Saturday, May 10, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

AURA DI KALANGAN ANAK MUDA
ANWAR MENJADI PEMIMPIN ALTERNATIF

Assalamualaikum,

Selepas solat Jumaat semalam, terpaksa pula menjemput anak saya pelajar Unisel (Universiti Industrial Selangor) membuat praktikal di Subang Jaya, walaupun mengalami gout sedikit. Apalagi sejak Khamis (8 Mei 2008) saya tak ‘naikkan’ laman blog akibat kurang sihat, sekalipun Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Sdr Yassinsalleh, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Sdr L Mankadir Shamsi menghubungi menerusi telefon mahu pun SMS. Apabila balik ke rumah, keadaan gout bertambah teruk menyebabkan sukar mahu menjejakkan kaki. Bagaimanapun disebabkan sudah terbiasa dengan gangguan gout ini, saya tak menggelabah kerana memang bekalan ‘remethen’ sentiasa disimpan, termasuk juga ‘alloporonol’. (Selepas mengambilnya, kalau kena ‘urin test’ sudah pasti ‘positif’). Heh heh heh!

Sebelah paginya (9 Mei 2008), saya bersarapan dengan editor ‘Buletin Rakyat’ Puan Norzah Haji Kepol bersama suaminya Nasiri Hamid, dengan memilih ‘nasi lemak ikan masin’ sebagai menu utama kami. Beliau bercadang mahu menerbitkan akhbar tabloid ‘Warnasari’, yang sudah lama diberi permit KDN. Format ‘Warnasari’ mungkin lebih banyak diisi dengan ‘human interest’, dengan diterbitkan dua minggu sekali. Barangkali! Bagaimanapun kami sekadar ngomel-ngomel biasa sahaja, tak bincang pun mengenai penerbitan akhbar ‘Warnasari’ itu. Apalagi urusan saya bersama Nasiri lebih penting iaitu berkaitan pernerbitan novel ‘SEMPERONG’ dan buku ‘autobiografi Dato’ Sati Daud Haji Ahmad: PEJUANG PROLITAR DI DAERAH KECIL’.

Memang turut juga disentuh isu Pengerusi DAP Karpal Singh mempersoal kuasa Sultan Perak dalam kes pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP). Sebelumnya petang Khamis (8 Mei 2008), rakan-rakan dalam ‘Telapak Budaya Gombak’ berkumpul minum teh tarik di restoran mamak di Taman Seri Gombak, isu berkenaan juga ditimbulkan. Malah seorang rakan kononnya mengajak buat demonstrasi di hadapan Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong apabila titah ucapan baginda di Parlimen juga dipersoalkan. Bagaimanapun Sdr Omar Sudi Abdul Manan dan Sdr Zainal Alam tak yakin demonstrasi berkenaan boleh mencapai penyelesaian. “Orang Melayu terus dicabar dan diperlekeh secara terang-terangan,” jelas mereka.

Bagaimanapun tak dinafikan aura Dato’ Seri Anwar Ibrahim memang mendominasi pemikiran generasi muda sebagai pemimpin alternatif mereka. Misalnya, aktivis UMNO sukar mengumpulkan orang ramai bagi menggerakkan demonstrasi kalau sekadar guna SMS sahaja. Sebaliknya golongan muda spontan menyertai demonstrasi yang digerakkan oleh PKR menerusi SMS, sekalipun dihalang oleh pihak polis dan FRU. Aura Dato’ Seri Anwar bukan lagi fantasi, malah turut diakui oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razalegih Hamzah, malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz juga. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


SIKAP AROGAN PIMPINAN UMNO
TAK PEDULI GAGASAN PEJUANG BAHASA

Seminar yang digerakkan di Melaka hari ini (10 Mei 2008) turut membincangkan isu kemerosotan prestasi UMNO pada pilihanraya umum ke 12, 8 Mac lalu merumuskan ia berpunca dari sikap arogan pimpinan, sikap kebencaian dan meluat yang kertelaluan, malah persepsi pengundi muda terhadap kebobrokan dalam pentadbiran negara. Menurut salah seorang pembentang kertas kerja Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, beliau diminta oleh pihak penganjur membicarakan isu ‘kebudayaan dan bahasa Melayu’, tetapi tetap berkait rapat dengan kebeberantakan UMNO dalam pilihanraya lalu. Di samping Dato’ Dr Mohd Mansor, turut membentangkan kertas kerja ialah sejarawan Dr Ramlah Adam yang mengupas pembabitan bukan Melayu dalam politik pada period pra merdeka. “Mungkin sahaja seminar itu rentetan dari Kongres Permuafakatan Melayu sebelum ini,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.

Ketika menyampaikan kertas kerjanya, Dato’ Dr Mohd Mansor mengulangi pendirian konsisten beliau, iaitu ‘Bahasa Melayu’ tak boleh dikompromi dengan ‘Bahasa Melaysia’ sama ada sekarang mahupun selamanya. Beliau seterusnya menekankan, sikap arogan pimpinan UMNO termasuk Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein tak peka dengan gagasan pejuang Bahasa Melayu, menyebabkan UMNO perlu menerima padah. Katanya, kementerian pelajaran sudah diingat pembelajaran subjek Matematik dan Sains mesti dikembalikan kepada Bahasa Melayu, tetapi semuanya ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’. “Apabila ‘perahu sudah terasak ke tebing’ barulah pimpinan UMNO mahu mencari keperibadian Melayu semula,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

TOLAK UNSUR BUDAYA SONGSANG
HIDUPKAN CIRI PENTING BUDAYA MELAYU
Kebudayaan Melayu perlu dipertahankan sebagai teras kebudayaan nasional, menurut aktivis masyarakat dan penyair Melayu tersohor Sdr Yassinsalleh. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini menerusi SMS, Sdr Yassinsalleh mengulas isu ‘Freedom Festival’ yang dikatakan sedang digerakkan di salah sebuah resort di Port Dickson hari ini (10 Mei 2008). Kata Sdr Yassinsalleh yang juga pernah menerima anugerah Pengarah Terbaik di Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an menerusi dilem ‘Dia Ibuku’, kebudayaan Melayu adalah ciri penting dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia, bukan ‘dilacurkan’ dengan kebudayaan songsang. “Semua pihak perlu menolak budaya songsang, kalau mahu melihat generasi muda Melayu melonjak dengan peradaban jatidiri,” beritahu Sdr Yassinsalleh.

Seterusnya beliau mengingatkan kementerian perpaduan, kebudayaan, kesenian dan warisan lebih peka mengangkat martabat kesenian Melayu sama ada menerusi filem, drama TV mahupun persembahan teater dalam usaha pemupukan kebudayaan Malaysia berteraskan kebudayaan Melayu. Menurutnya, ‘pesta mengemping’, ‘ngajat’ atau lain-lain pesta rakyat di seluruh negara lebih bermakna daripada ‘Freedom Festival’ yang membawa unsur-unsur ‘tak bersopan’ seperti berbikini, kebebasan bergaul malah amat bertentangan dengan ajaran Islam. Sambil merujuk kepada ‘Taufan Nargis’ di Myanmar baru-baru ini, Sdr Yassinsalleh berkata, “Janganlah disebabkan kerana hanya ‘Freedom Festival’ mambawa lumpur habis semua terpalit, kalau pun naratif Nargis tak melanda pantai Port Dickson”.

INFO SUARA PROLITAR

PESTA BIKINI MALAM INI
JABATAN AGAMA PERLU PANTAU!

Jabatan agama sama ada di peringkat negeri mahupun di jabatan perdana menteri termasuk PEMADAM, diminta memantau ‘Freedom Festival’ dengan berbikini sepanjang malam di sebuah resort di Port Dickson malam ini (9 Mei 2008) hingga besok (10 Mei 2008). Pesta akan diserta deejay terkenal, wanita-wanita Melayu turut terbabit. Apa lagi heh heh he akan bersama memeriahkan pesta ini. Malulah orang Negeri Sembilan! Kalau nak buat pesta bikini, carilah tempat lain. Kita orang timur, sayangilah budaya timur. Apalagi bagi umat Islam! (SMS; 9 Mei 2008 - Komrad, Port Dickson, Negeri Sembilan).

JANGAN IKUT MACAM KEMPETEI
UMUMKAN LAPORAN SURUHANJAYA.

Cepat sahaja Hamid Albar (Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Jaafar Albar) jawab RPK (Raja Petra Kamaruddin). Kononnya RPK bohong fasal ancaman di penjara SB (Sungai Buluh). Kalau bohong, Hamid Albar dakwa aje RPK buat laporan palsu. Ini nasihat kepada Hamid Albar, jangan jadikan Malaysia macam masa kempetei, nak tekan orang lain. Kenapa laporan suruhanjaya mengenai perilaku polis tak diberi tahu kepada umum, kalau tak ada nak disembunyi? Laporan suruhanjaya mengenai video Lingam, kenapa nak tunggu PM (Perdana Menteri) baca baru nak umumkan kepada orang ramai? (SMS; 10 Mei 2008 – Ubi Singkong, Segamat, Johor)

MELAYU TAK PERLU UMNO
TAPI UMNO PERLU MELAYU

Orang akademik dah jadi mengarut. Status dan ijazah nak kelabukan mata orang ramai. Fasal apa bincang UMNO kalah pilihanraya? Penting sangatkah UMNO ini, hingga orang akademik gadaikan ijazah masing-masing. Kalau pentingkan masa depan orang Melayu, peduli apa dengan UMNO. Orang Melayu tak perlukan UMNO, tapi UMNO yang perlu orang Melayu. Kalau orang Melayu beri ‘good bye’, UMNO pun ‘maybe die’. Kabarnya hari ini (10 Mei 2008) orang akdemik bincang lagi di Melaka fasal UMNO kalah. (SMS; 10 Mei 2008 – Wak Kacong, Klebang Kecil, Melaka).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
GADIS MELAYU DILARIKAN
JEJAKA INDON TERLEPAS BEBAS

Syahdan dilaporkan oleh para penyurat hari ini, 4 Jamadilawal 1429 (atau disebut orang banyak 10 Mei 2008), perihal seorang lagi anak gadis Melayu dilarikan ke pulau di propinsi Riau, Indonesia. Adapun sebelum ini sudah dilaporkan oleh para penyurat akan perihal seorang gadis Melayu dilarikan ke Lambok di Jawa, adanya. Maka disebut dalam ceriteranya, akan gadis Melayu itu dilarikan ketika berusia 13 tahun, sejak tujuh tahun yang lalu, kemudiannya dijual kepada kumpulan yang mengendalikan penjualan. Arakian gadis Melayu itu diselamatkan oleh seorang lelaki, yang kononnya sekarang sudah jadi suamilah kepadanya. Sebermula terfikirlah kepada fakir akan Orangkaya Menteri Dalam Negeri dan Orangkaya Menteri Pertahanan terlalu mudahnya sesiapa sahaja melalui perairan di Selat Melaka, tak sama seperti keperihalan pada masa ianya dikawal ketat oleh Orangkaya Laksamana Hang Tuah dahulu.

Arakian tersebutlah Pateh Adam iaitu pangeran dari Surabaya datang ia ke Melaka menghadap Sultan Mahmud. Syahdan ketika itu Hang Tuah dan Bendahara Paduka Raja sudah tiadalah, innalillah wainnalillah hiraji’un. Maka oleh Sultan Mahmud dipermulia dan didudukkan tara Seri Nara Diraja Tun Tahir. Syahdan ketika berkunjung ke rumah Seri Nara Diraja, Pateh Adam melihat anak pembesar Melaka itu bernama Tun Manda masih kecil baru pandai berlari. Berkatalah Seri Nara Diraja, “Anak hamba itu mahu berlakikan Pateh Adam”. Maka Pateh Adam pun baliklah ke Jawa. Selang beberapa tahun datanglah ia semula ke Melaka, lalu dinaikinya rumah Seri Nara Diraja. Ketika itu Tun Manda sudah besarlah. Lalu kata Pateh Adam, “Bukankah dahulu Manira sudah berjanji untuk jadikan hamba laki Tuan Manda,” akan perihal itu disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!