Sunday, October 19, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

KEMISKINAN TEGAR PERLU DIBASMI
PERJUANGAN DPD GOLONGAN PROLITAR

Assalamualaikum,


Naratif janji BN akan diteruskan seperti manifesto PRU12 bagi melaksanakan program membasmi kemiskinan tegar sebelum 2010, walaupun negara sudah melewati 51 tahun merdeka. ‘Rancangan Lima Tahun Malaysia’ yang dikemukakan oleh Tun Abdul Razak Hussein (Allahyarham) sejak awal dekad 1960-an juga bertujuan untuk membasmi kemiskinan; diikuti ‘Dasar Ekonomi Baru’ pada dekad 1970-an berhasrat mengagihkan kekayaan negara sama rata di kalangan rakyat jelata. Begitulah! Tetapi peluang merebut kekayaan negara juga terbatas, kerana legasi kepimpinan terhad kepada kaum keluarga. Si ayah yang berkuasa dalam kepimpinan negara (sama ada kerajaan mahupun pembangkang) akan berusaha untuk mewariskan kepimpinan kepada si anak yang menunggu penuh berkeyakinan. Aduhai!

Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga menggerakkan program ‘kemiskinan sifar’ apabila memimpin kerajaan negeri Selangor, selaras dengan matlamat beliau untuk merealisasikan ‘pembangkang sifar’ di Selangor. Justeru Dato’ Seri Dr Mohd Khir memfokus pembangunan di pesisir pantai bagi membantu nelayan-nelayan, di samping petani-petani dengan kecenderungan di daerah-daerah tertentu sahaja. Mungkin sahaja pembangunan disasarkan di daerah kawasan pesisir pantai, sebaliknya di hulu-hulu negeri kurang diberi perhatian. Akibatnya, Dato’ Seri Dr Mohd Khir hampir mensasarkan ‘pembangkang sifar’ pada PRU11 tahun 2004, tetapi mengalami anjakan paradigam pada PRU12 apabila program ‘kemiskinan sifar’ tak mampu direalisasikan. Barangkali!

Memang kemiskinan wajar menjadi musuh utama negara, bukan isu perkauman yang diwar-warkan sebelum ini, termasuk memperlekeh orang Melayu sebagai golongan imigran dengan memutar belitkan fakta sejarah. Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap di majlis penyampaian Anugerah Desa Cemerlang dan Gemilang 2008 Peringkat Kebangsaan di Kampung Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka (18 Oktober 2008) mahukan perjuangan membasmi kemiskinan disokong oleh semua pihak. Ironinya, pihak mana pula yang tak mahu berjuang membasmi kemiskinan, malah pada period perjuangan Dato’ Ahmad Boestamam, Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Aziz Ishak dan Dr Burhanuddin al-Helmy mereka menjadi idola golongan prolitar dalam perjuangan membasmi kemiskinan itu.

Sebaliknya pejuang-pejuang prolitar yang mahu membasmi kemiskinan sekitar dekad 1960-an dilabel sebagai anasir subversif yang pro komunisme justeru diperosok ke dalam sel di bawah tahanan ISA. Misalnya, Hamid Tuah (Pak Hamid, Allahyarham) diperosok sebagai tahanan ISA apabila membawa petani-petani meneroka tanah di hutan Batu Tiga (Subang), Sungai Sirih (Tanjung Karang) dan Teluk Gong (Pelabuhan Kelang) atas frasa tuduhan meneroka tanah haram. Pak Hamid meneroka kawasan hutan (yang dilabel tanah haram) apabila permohonannya tak diluluskan oleh pejabat tanah. Sebaliknya ayah saya (Dato’ Sati Haji Daud bin Sheikh Haji Ahmad) yang meneroka tanah dengan diluluskan permohonannya atas kapisiti dato’ adat di Jelebu, dihalang meneruskan penerokaan atas alasan permohonan tanah berkelompok ‘dibekukan’ pada 1965. Alahai!

Kemiskinan bukan sekadar mengkategorikan pendapatan isi rumah kurang RM500 sebulan sahaja, tetapi mereka yang tak bertanah juga perlu diklasifikasikan sebagai ‘miskin tegar’. Apalagi mereka yang menyewa rumah (maknanya, tak berumah) juga perlu diklasifikasikan sebagai ‘miskin tegar’, selepas program pembinaan ‘rumah murah kerajaan’ sekitar dekad 1960-an diambil alih oleh pemaju-pemaju perumahan yang membolot kekayaan menerusi hutang pembeli-pembeli rumah di institusi perbankan. Dengan segala kepongahan institusi perbankan akan menggunakan prosedur guaman mengugut, menggertak dan membuli pembeli-pembeli rumah yang bermasalah, seolah-olah penjenayah kewangan yang tak berwarga negara. Begitulah!

-Pak Dharma



INFO HAK ASASI MANUSIA:

SPEKULASI PENUBUHAN K’JAAN PERPADUAN
KETIKA PERGOLAKAN PEMILIHAN PIMPINAN UMNO


Peluang Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan Persekutuan tak bergantung kepada langkah drastik 30 Ahli Parlimen BN melompat menyertai PKR pimpinan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menurut pengnalisis politik yang mengikuti spekulasi berkenaan. Dengan kedudukan PR 81 kerusi (berikutan 1 kerusi PAS sudah memproklamir sebagai Bebas), Dato’ Seri Anwar memerlukan 30 kerusi bagi memboleh-kan jumlah 111 kerusi daripada 222 keseluruhan ahli Parlimen. Sekiranya peralihan kuasa berlaku pada Mac 2009 beritahu sumber berkenaan, Perdana Menteri ketika itu (mungkin sahaja Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) boleh membubarkan Parlimen bagi menggerakkan pilihanraya baru ke arah menstabilkan semula politik. “Bagaimanapun kalau tak sempat menunggu Mac 2009, perkara ini memang sukar ditafsirkan,” kata sumber berkenaan seterusnya.

Banyak pihak berpendapat penampilan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam pergolakan UMNO sekarang boleh mendorong kepada naratif ‘Team A’ dan ‘Team B’ pada 1987, beritahu sumber tersebut menambah. Justeru Dato’ Seri Anwar tak perlu menunggu 30 ahli Parlimen BN melompat, bagi melestarikan penubuhan kerajaan Persekutuan dalam proses peralihan kuasa, kata sumber itu lagi. Sebaliknya mereka boleh berkompromi dalam beberapa perkara, termasuk menerima saranan ke arah pembentukan alternatif ‘Kerajaan Perpaduan’ yang lebih positif. Sebelum ini Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan bersedia memberi sokongan kepada satu agenda penubuhan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang membabitkan PR, menurut sumber itu memberitahu spekulasi pertandingan jawatan tertinggi UMNO sekarang.



INFO SASTERA & BUDAYA:

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(23)

7

STRATEGI PERANG BONEKA

SI KEJAM JADI BERTIMBANG RASA:
MAHU MENCEROBOH PLANET BONEKA

KALAU bukan dia seludupkan Bapak Profesor keluar dari Sweden, memang mati kering orang tua itu dalam kurungan kumpulan gerila. Dia dipaksa bekerja di pusat teknologi atom bawah tanah yang dibangunkan kumpulan gerila terbabit. Memang Si Tongkol pakar penyeludup yang mampu larikan Bapak Profesor. Mereka sama-sama bangunkan jana teknologi di pulau terumbu batu karang itu.

Sudah berkali-kali Bapak Profesor ingatkan Si Tongkol jangan kurung mangsa di situ. Asal sahaja mencolek nelayan-nelayan di laut, Bapak Profesor mahukan mangsa dibunuh sahaja. Dia tak mahu siapapun menyedari pulau terumbu batu karang itu dijadikan planet boneka. Di situ mereka beroperasi siapkan senjata-senjata canggih untuk diseludupkan oleh Si Tongkol sama ada ke Afghanistan, Thailand, Sri Lanka, Somalia, Filipina atau di mana-mana.

“Mereka semua budak-budak, takkan nak dibunuh,” Si Tongkol bingkas bangun bercekak pinggang. “Budak-budak tu mesti dihantar balik ke perairan Malaysia, sebab mereka bukan menceroboh ke sini!” dia membuat keputusan.

“Keluarga budak-budak tu mungkin anggap mereka menjadi mangsa tsunami,” lantas Jojo mencelah kerana yakin polis marin Malaysia tak akan memburu ke situ.

“Sekejam-kejam aku, tak pernah membunuh budak-budak, tau!” jerkah Si Tongkol merenung tajam ke muka Jojo. “Aku juga pejuang menentang kolonial mengikut cara yang aku pilih,” gerutunya keras menyebabkan kawan-kawannya terdiam.

“Habis, apa perlu kita buat sekarang?” lama terkebil-kebil mata memerhati Si Tongkol barulah Bung Hirman bertanya.

“Kita mesti tuntut dapatkan semula budak-budak tu,” tegas Si Tongkol mencapai senjata M-16 di atas meja. “Budak-budak tu mesti dihantar balik ke perairan Malaysia,” ujarnya membuat keputusan mengikut rumusannya sendiri.

“Bukankah perjanjian dengan Bapak Profesor, kita tak boleh menceroboh ke planet bonekanya?” Jojo ingatkan kawannya yang bertubuh sasa bagaikan keperkasaan ahli gusti Stone Cold itu.

“Dia sudah menceroboh ke sini, maknanya dia sendiri melanggar perjanjian!” Si Tongkol menggertap bibir sambil mendehem beberapa kali.

Keputusan Si Tongkol sama juga macam arahan seorang ketua. Kunco-kunconya tak boleh membantah setelah keputusan dibuat oleh Si Tongkol. Mereka perlu juga masuk membolos ke planet boneka yang dikuasai oleh Bapak Profesor. Setidak-tidaknya mereka tahu mengenai jana teknologi yang dibangunkan Bapak Profesor di celah terumbu batu karang di sebelah gua persembunyian.

Beberapa kali juga Bung Hirman cuba menyeberangi zon tanda ke planet boneka, tetapi dia dihalang pengawal sempadan. Tentera boneka tetap berkawal di zon sempadan akan mengusir siapa sahaja membolos masuk. Dia diberi amaran akan ditembak tentera boneka sekiranya berkeras juga mahu melepasi zon sempadan.

Ketika balik semua ke gua, tak bertangguh Si Tongkol menampar muka Bung Hirman. Marah benar Si Tongkol sebaik sahaja menerima panggilan telefon Bapak Profesor yang laporkan kunco-kunconya menceroboh masuk ke zon larangan. Memang tahu sangat Bung Hirman setiap pergerakan di pulau terumbu karang itu sentiasa dipantau oleh Bapak Profesor dengan beratus-ratus pengawal boneka.

Sebab itu Bung Hirman tak berani bertindak di luar pengetahuan Si Tongkol. Apalagi dia diingatkan oleh Bapak Profesor di setiap pelusuk terumbu batu karang dipasang bahan letupan sama ada campuran gas ‘bromin’, sebatian ‘hidrokarbon alkeno’ atau ‘molekul alkeno’ yang telah diubahsuai dijadikan dinamit. Apalagi keluli logam ‘tungsten’ yang diguna pada tentera boneka sukar ditembusi tembakan peluru.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung
)


PUISI LAMA

Senandung Ikan Kekek

Ikan kekek mak eloi-eloi
ikan gelama mak elai-elai
tekak tercekik rasanya amboi
apabila MCA akan terkulai.

Ikan kekek sangkut di tiang
ikan gelama si ikan sardin
terkekek-kekek ketawa Lim Kit Siang
Chua Soi Lek jadi Timbalan Presiden.

Ikan kekek terenang-renang
ikan gelama buah berembang
Chua Soi Lek dipilih menang
semua amoi janganlah bimbang.

Ikan kekek burung jelatik
ikan gelama burung merpati
UMNO borek MCA rintik
komponen sama BN sejati

Ikan kekek mak eloi-eloi
ikan gelama mak elai-elai
UMNO memekik kuatnya amboi
MCA ternganga mengilai-ngilai.

Ikan kekek ah, ikan kekek oi
ikan gelama wah, ikan gelama woi
abang adik hah hah, abang adik hoi hoi
BN sama rebah, BN sama perui!

-Man Cincai
Selayang, Selangor
19 Oktober 2008.



INFO SUARA PROLITAR:

MACAM PROKSI PAK LAH
LAWAN DENGAN PROKSI DR M

Pencalonan bagi pemilihan UMNO nampaknya mamcam proksi Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi lawan proksi Tun Dr Mahathir Mohamad. Calon-calon yang condong kepada Tun Dr Mahathir sedang mendahului pencalonan. Sebabnya Dato’ Seri Abdullah awal-awal mengaku kalah. Kalau Tun Dr Mahathir dulu, biarlah satu undi majoriti, tetap dikira menang juga. Dato’ Seri Abdullah nak ikut Dato’ Onn Jaafar. Nak sokongan solid 100%. Dalam amalan demokrasi, susahlah dapat sokongan 100%. – (SMS; 19 Oktober 2008; 16:48:09 – Pak Kadir, Hulu Langat, Selangor).

DI MANA JANJI MENTERI PENERANGAN
LAPORAN BERITA YANG ADIL SAKSAMA

Laporan berita negeri di TV1 jam 5.00 petang hari ini (19 Oktober 2008), macam tak percaya dengan janji Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek. Dulu Dato’ Ahmad Shabery janji laporan berita adil saksama, tak kira negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR). Laporan mengenai Kelantan, tak nampak pun fasal kerajaan negeri. Sambutan Hari Raya pun nampak muka Menteri Pertanian dan Asas Tani, Dato’ Mustapha Mohamad mewakili Kelantan. Kalau mewakili Kelantan Menteri Besar Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat, gerenti beritanya tak keluar. – (SMS; 19 Oktober 2008; 20:13:58 – Wan Aziz; Damansara, KL).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


TAK SABAR TUNGGU PERALIHAN KUASA:
RAJA TUA MAHU CUCUNDA SEGERA MATI

Sebermula gemparlah sekalian rakyat jelata dengan perbalahan orang-orang besar di negeri Melayu itu. Maka sekalian orang-orang besar itu berebut-rebut jawatan mahukan kedudukan setara segala mereka yang duduk berayap-ayapan di balairongseri. Syahdan terlalu marah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad memerintah sekalian anak-anak buah harakah Melayu (UMNO) itu membuang anak-anak buah Dato’ Seri Abdullah. Arakian Dato’ Seri Abdullah pun berkata, “Cis, siapa Tun yang sudah keluar harakah Melayu (UMNO) cuba nak buat perintah kepada anak-anak buah kita semua!”. Maka tak tahulah fakir mahu memikirkan, kerana bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir itu dulunya orang besar jua, selama 22 tahun ia berayap-ayapan di balairongseri.

Arakian tersebutlah sekalian penitir-penitir canang, mereka pun menemui sekalian orang-orang besar supaya memburuk-burukkan bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir. Oleh yang demikian Orangkaya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato’ Shahrir Samad dan Orangkaya Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar pun turutlah memburuk-burukkan bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir itu, adanya. Maka sekalian rakyat hina dina di dalam negeri Melayu yang membayar cukai itu tak dibenarkan lagi bercakap mengenai harakah Melayu (UMNO) itu, kalau mereka bukan anak-anak buahnya. Syahdan di negeri atas angin, sekalian orang-orang besar yang duduk di balairongseri itu ialah ‘wakil pemerintah istana’ tak kiralah sama ada anak-anak buah Orangkaya Menteri atau anak-anak buah Orangkaya Pembangkang.

Syahdan dengan takdir Allah taala Sultan Mahmud Shah pun gering, sakit buang-buang air, pada sehari dua tiga belas kali buang air. Maka bendahara dan laksamana tiada bercerai dengan baginda; jikalau akan santap Bendahara Paduka Raja menyuapi, jikalau buang air laksamana membasuh maka pada sehari, dua tiga puluh kali laksamana membasuh raja dan bendahara pun dua tiga belas kali menyuapi raja pada sehari. Berapa lamanya, adalah Sultan Mahmud baik sedikit, boleh santap dan boleh beradu. Maka baginda santap nasi susu, lalu bentan; nyaris lepas dari tangan. Maka diberitahu orang tahu Bendahara Paduka Raja dan laksamana. Maka keduanya pun datang duduk hampir baginda; kerana baginda sudah diratapi orang, maka dilarang Bendahara Paduka Raja orang menangis itu.

Adapun akan Sultan Mahmud Shah, ada lagi nenda baginda (bonda Sultan Alauddin), disebut orang Raja Tua; akan baginda itu kasih akan cucunda baginda Sultan Menawar Shah daripada Sultan Mahmud. Maka sangatlah dikaulkan baginda Sultan Mahmud biar mati (seperti perihal anak-anak buah harakah Melayu di akhir zaman ini mahukan peralihan kuasa disegerakan), supaya Sultan Menawar kerajaan di Melaka. Telah ia mendengar Sultan Mahmud gering itu, maka Raja Tua pun segera datang dengan ratapnya, tergerbang-gerbang dengan rambutnya; pada kasad Raja Tua, ‘Serta aku datang ku tiarapi Sultan Mahmud Shah, biar ia segera mati sekali.’ Telah Raja Tua datang, maka tiada diberi hampir oleh Bendahara Paduka Raja, katanya, ‘Jangan tuanku hampir pada cunda, jikalau tuanku dekat pada cunda, patik amuk,’ seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!