Wednesday, December 26, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



SUMPAHAN TUJUH KETURUNAN
LANGKAWI SEKADAR MITOS MAHSURI



Assalamualaikum,


Lawatan ke pulau legenda Langkawi bermula 22-24 Disember 2007, mungkin sahaja tertarik dengan promosi berikutan kejayaan LIMA 2007 (Pameran Maritim dan Pesawat Antarabangsa Langkawi) sejak pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dulu. Bagaimanapun bukanlah kehebatan LIMA yang menjadi fokus saya ingin membuat lawatan ke Langkawi, sebaiknya mitos Mahsuri dengan sumpahan tujuh keturunan lebih menarik perhatian. Mahsuri wanita Melayu yang mampu melonjakkan nama sebagai pejuang kezaliman, mampu memberi kesedaran kepada bangsanya yang sejak turun menurun menjadikan individu yang lemah mangsa kepada kekejaman mereka yang berkuasa mengikut undang-undang nafsu sarakah tak berperi kemanusiaan.



Tetapi kesedaran bangsa Melayu terhadap mitos Mahsuri sekadar pada lahiriah semata-mata, apabila mereka melihat pada persepsi wanita Melayu terbabit menjadi mangsa fitnah hingga dihukum bunuh. Tragedi yang dikatakan berlaku pada 1819M itu, ternyata tamadun bangsa Melayu sudah berkembang berikutan Pulau Pinang sudah jatuh ke tangan Inggeris yang dipimpin Farncis Light pada 1776M, begitu juga Singapura di bawah Thomas Stamford Riffales pada Januari 1819M. Pada period tersebut Kedah pula di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah (1804-1843), apabila dikatakan ianya berkaitan dengan serangan Siam ke atas Kedah. Kononnya!


Mahsuri dibunuh ketika suaminya Wan Darus membantu Sultan Kedah melawan tentera Siam di Kuala Kedah, apabila birasnya Wan Mahara cemburu dengan kecantikan Mahsuri yang mempesonakan Dato’ Pekerma Jaya (Yahya), suami Wan Mahara (abang kepada Wan Darus). Beliau mencari kesempatan hubungan baik seorang perantau dari Minangkabau dikenali Deramang dengan Mahsuri, dengan memerangkap mereka hingga dituduh berkhalwat (mungkin juga berzina); walhal ketika itu Mahsuri baru melahirkan anak yang masih lagi ‘menyusu’. Justeru sewaktu Mahsuri dibunuh dengan keris pesaka ayahnya Pandak Mayah (senjata lain kononnya tak lut ditikam), memancut darah putih dari tubuh Mahsuri (mungkin juga susu pada payudaranya), menyebabkan beliau lantas menyumpah: Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!


Insiden serangan Siam (menerusi Raja Legor) ke atas Kedah pula berlaku pada tahun 1821 (bukannya 1819), menyebabkan Sultan Ahmad Tajuddin berundur ke Pulau Pinang. Sebaliknya apabila Sultan Ahmad Tajuddin meminta bantuan Inggeris, mereka enggan membantu sebaliknya menghantar wakilnya John Crawford pada 1822, di samping Henry Burney mengadakan perjanjian dengan Bangkok pada 1826. Berikutan fakta ‘Perjanjian Burney’, Sultan Ahmad Tajuddin tak dibenarkan balik ke Kedah, sebaliknya dihantar menetap di Melaka, hingga pada 1842 barulah takhta baginda dikembalikan. Di manakah pula kaitannya dengan Wan Darus (suami Mahsuri) yang membantu peperangan Kedah melawan Siam?


Tak mungkin Mahsuri berdarah putih (malah kepercayaan orang Kedah, Puteri Lindungan Bulan di Jitra juga berdarah putih); begitu di Johor mengenai Sultan Mahmud Mangkat Dijulang berdarah putih untuk memanipulasi kehebatan orang Melayu apabila ditikam oleh Megat Seri Rama pada 1699M. Sebaliknya seperti dirawikan oleh Abu Said Khudri r.a. ketika ayahnya Malik bin Sanan r.a. menjilat darah Rasullullah yang cedera dalam peperangan Uhud mengakui darah baginda Rasullullah sama dengan pejuang-pejuang Islam yang lain (iaitu merah) apabila baginda Rasullullah bersabad: “Api neraka tidak akan menyentuh orang yang darahnya bercampur dengan darahku.”



Kalau Rasullullah berdarah merah, takkan Mahsuri, Puteri Lindungan Bulan atau Sultan Mahmud Mangkat Dijulang berdarah putih! Justeru kalangan para ulama mahupun pimpinan agama seharusnya membetulkan semula persepsi masyarakat Melayu terhadap mitos Mahsuri mengenai ‘darah putih’ yang digambarkan sebagai wanita Melayu yang suci itu. Versi mengenai Mahsuri juga dikatakan berlaku di Jempol, Negeri Sembilan dalam insiden gadis kampung bernama ‘Jempu’ yang difitnah melakukan perbuatan zina, ketika tunangnya ‘Tengkek’ dikatakan merantau. Hukuman bagi kesalahan tersebut ialah terjun ke dalam sungai yang dicancang dengan buluh runcing (ranjau), menyebabkan Jempu terbunuh dengan darahnya mengapung hingga ke kuala Sungai Jempol. Begitulah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

SEKTOR PELANCONGAN MAJUKAN LANGKAWI
BUKAN SEKADAR KOMERSILKAN MITOS MAHSURI


Memajukan sektor pelancongan di Langkawi tak seharusnya bergantung kepada fakta komersialkan mitos Mahsuri sahaja, sebaliknya menjadikan ianya pulau peranginan yang menarik pelabur-pelabur luar, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau yang juga terbabit dalam bidang usahawan mengakui cetusan idea bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membawa Pameran Maritim dan Pesawat Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) setiap tahun mampu menjadikan pulau legenda itu pusat pelancongan berpotensi di Asia Tenggara, sekiranya menerima sentuhan idea yang berterusan dari bekas perdana menteri itu.


Tun (Dr M) sudah meletakkan asas bagi memajukan Langkawi dengan prasarana bagi membangunkan sektor pelancongan, justeru kita tak boleh bergantung kepada mitos Mahsuri bagi pembangunan jangka panjang Langkawi,” kata Dato’ Kamal Amir lagi. Kota Mahsuri yang dibangunkan di Ulu Melaka memang mampu menarik pelancong bagi jangka pendek, tetapi lama kelamaan ianya akan menjadi klise kalau sekadar tayangan klip video mengenai episod yang menimpa keluarga Mahsuri. Seterusnya Dato’ Kamal Amir menambah, usaha memberi kemudahan pembelajaran kepada waris keturunan Mahsuri dari Phuket (Wan Aishah) juga tak membawa sebarang hasil membanggakan.


Apalagi dengan ‘Tasik Dayang Bunting’ perlukan suntikan baru dalam pembangunan pelancongan, bukan sekadar bot solar atau gerai kecil yang menjual minuma dalam tin hingga RM3 seunit, sedangkan di Kuala Lumpur boleh diperolehi RM1.20 seunit. Begitu juga kereta kabel di Gunung Mat Cincang, memang menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara, tetapi mungkin bagi tempoh jangka pendek sekiranya tak mempunyai sebarang pelan induk bagi tempoh jangka panjang ianya akan kehilangan pengunjung, menurut Dato’ Kamal Amir selanjutnya. “Persaingan kereta kabel di Genting Highland dan keretapi bukit di Bukit Bendera, Pulau Pinang lebih memudahkan pengunjung ke lokasi berkenaan,” ujar Dato’ Kamal Amir.


Seterusnya Dato’ Kamal Amir menarik perhatian kepada harga makanan di gerai-gerai di Pantai Cenang yang menurutnya ‘menghambarkan’ selera pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Bukan sahaja harganya lebih mahal dari di Kuala Lumpur mahupun di Pulau Pinang, malah perkhidmatan juga terlalu ‘memualkan’ kalau Langkawi mahu dibangunkan sektor pelancongan. Katanya, bukan sekadar roti nan hingga RM2.00 berbanding di Kuala Lumpur RM1.20, malah bagi ayam tanduri juga mencecah RM6.00 berbanding di Kuala Lumpur sekadar RM4.50. “Di samping harga tak setimpal dengan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, perkhidmatan juga hingga satu jam pengunjung terpaksa menunggu,” jelasnya.


INFO SASTERA & BUDAYA:


SASTERA LISAN MELAYU TERPINGGIR
PEMIKIRAN SONGSANG KARYAWAN ILMIAH


Masih banyak karya sastera lisan Melayu dipinggirkan akibat pemikiran songsang kalangan karyawan ilmiah yang menganggap tak sesuai dengan pendekatan semasa, menurut novelis prolifik dekad 1980-an Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah apabila memperkatakan perkembangan sastera Melayu sekarang. Beliau seterusnya berbangga apabila Saterawan Negara Dato’ A. Samad Said ketika majlis pelancaran buku di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini berulang-ulang menyebut tak kurang 27 kali ‘Bahasa Melayu’ sebagai manifestasi menolak ‘Bahasa Malaysia’. “Ketika pelancaran buku Dato’ Syed Hamid Albar, A. Samad Said berulang-ulang menyebut tak kurang 27 kali ‘Bahasa Melayu’ bukan ‘Bahasa Malaysia,” katanya.



Seterusnya beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, kesongsangan pemikiran ilmiah menyebabkan karya-karya sastera lisan Melayu terpinggir apabila kalangan intelektual mentakrifkan karya-karya pemikiran baru sebagai perkembangan menarik dalam kesusateraan Melayu. DBP pula yang memberi perhatian kepada karya-karya dianggap intelek, sebaliknya hilang perhitungan kerana karya-karya terbabit sudah dieksprimen oleh karyawan-karyawan sekitar dekad 1970-an dan 1980-an yang ditakrif sebagai ‘absurdisme’, ‘stream of conciousness’ atau ‘interior monolog’. “Karya-karya realisme dan konvensionel dianggap bukan pemikiran baru mengikut takrif sekarang,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


Katanya, bangsa Melayu memerlukan ‘Bahasa Melayu’ sebagai jatidiri yang tak boleh dikompromi dengan sebarang alasan yang dangkal, jutseru sastera lisan Melayu juga wajar diberi nilai baru di samping menolak ‘kesongsangan ilmiah’. Beliau menarik perhatian pada dekad 1960-an, apabila seniman legenda Tan Sri P. Ramlee mengangkat karya sastera lisan ‘Pak Belalang’ dalam medium perfileman menerusi ‘Nujum Pak Belalang’ hingga mampu memenangi anugerah ‘Filem Komedi Terbaik’ dalam Pesta Filem Asia di Tokyo, Jepun. “Karya sastera lisan Melayu mampu menakluki pemikiran orang luar, sekiranya diberi penghayatan yang bersumberkan ilmu,” ujar beliau.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo


SEMUA PIHAK TOLAK KEGANASAN
SEMUA PIHAK MAHUKAN KEADILAN


Sebermula akan fakir diberitahu semua pihak tak sukakan keganasan.Begitulah! Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat tak memberi ruang kepada ‘puak pelampau’ seperti dilaporkan akhbar arus perdana hari ini (26 Disember 2007). Kata Dato’ Seri Abdullah (Pak Lah), budaya ekstrim tidak akan menyelesaikan masalah, ketika menyampaikan mesej Hari Natal (25 Disember 2007). Alhamdullilllah! Hari Natal tahun ini aman tenteram, tak seperti Hari Natal 2004 apabila ‘puak pelampau’ tsunami menunjukkan garangnya, hingga tak mampu kuasa FRU atau mana-mana pihak menentang kemaraannya. Justeru memang semua pihak menolak keganasan; malah semua pihak juga mahukan keadilan!


Syahdan tersebutlah alkisah Hang Jebat itu berkatalah ia: “Raja adil raja disembah; raja zalim raja disanggah!”. Maknanya, rakyat itu tak akan bersikap ‘melampau’ seperti keperihalan Hang Jebat mengamuk di istana, sekiranya pemerintah itu berlaku adil, tak membolot harta kekayaan negara dan memberikan pertimbangan yang seksama, bukan mendengar laporan sebelah pihak yang sengaja mengampu-ampu. Gamaknya! Maka terbacalah fakir akan ‘Kitab Melayu’ betapa ‘Marga Paksi’ tujuh bersaudara berlaku ‘melampau’ mereka di bumi Melaka, hingga porak perandalah kehidupan rakyat jelata semuanya. Segala hulubalang Melaka (ketika itu belumlah lagi wujud FRU), tak mampu untuk menghalang sikap melampau ‘Marga Paksi’ tujuh bersaudara.


Lalu berfikirlah Hang Tuah bagaimana mahu menghadapi akan kerenah dan sikap melampau Marga Paksi tujuh bersaudara itu. Sekonyong-konyong menyamarlah Hang Tuah menjadi pengikut setia Marga Paksi, dengan berpura-pura melakukan sikap melampau dengan merompak, menyamun dan merampas harta benda rakyat Melaka, adanya! Syahdan akan Hang Tuah yang berpura-pura menjadi sahabat @ orang suruhan Marga Paksi, diberinya minum air mabuk lagi memabukkan. Apabila Marga Paksi tujuh bersaudara itu sudah mabuk lagi memabukkan, lalu dipenggal oleh Hang Tuah akan leher Marga Paksi bagi menghapuskan sikap melampaunya, seperti disuratkan oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!


Wednesday, December 19, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



PERIHAL 3 JUTA UMAT ISLAM
PERHIMPUNAN DI MASJID AL-HARAM



Assalamualaikum,


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA. Prima mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha’ kepada semua umat Islam, esok 20 Disember 2007, di samping mendoakan kejayaan perihal tiga juta muslimin muslimat dalam perhimpunan di Masjidil Haram, Mekah al-Mukarramah seterusnya di padang Arfah dengan perpaduan yang tiada tolok banding akrabnya. Mudah-mudahan! Antara tiga juta umat Islam di seluruh dunia yang akan wukuf bersama di padang Arfah, termasuklah dua pimpinan Prima, Sdr Mohd Radzi Mustapha dan Sdr Mohd Sayuti Omar. Mereka berdua dijangka balik ke tanah air pada pertengahan Januari 2008 ini, insya Allah menemui haji yang mabrur dalam perjalanan jauh ke tanah suci bagi tahun ini.



Memang Hari Raya Aidiladha tahun ini, ramai rakan-rakan yang telah mendahului kita menemui Allah tetap menjadi nostalgia; apalagi banyak kenangan manis bersama semasa hayat mereka. Kalangan penulis-penulis yang pernah berjuang mempertahankan martabat Bahasa Melayu semenjak Tun Sri Lanang (Tun Muhammad, Bendahara Paduka Raja, Johor sekitar 1615M) hinggalah kepada Munshi Abdullah, Syed Sheikh al-Hadi, Zaaba, Abdul Rahim Kajai pada period sastera bertulis, Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban mendambakan kita kepada pengorbanan mereka. Pengarang-pengarang lampau secara berterusan memperjuangkan keunggulan Bahasa Melayu, di samping melestarikan kemegahan ‘tulisan jawi’. Aduhai!



Pengorbanan mereka berkesinambungan menerusi Kris Mas, Usman Awang, Harun Aminulrasyid, Pak Sako, Pak Ahmad Boestamam dan ramai lagi yang tak jemu-jemu menolak sebarang perhambaan minda, bagi melonjakkan kewibawaan Bahasa Melayu. Bagi saya antara rakan-rakan yang tetap dikenang pengorbanan mereka mempertahankan Bahasa Melayu termasuklah Tan Sri Abdul Samad Idris, Pak Sako dan Zakry Abadi yang sudah mendahului kita menemui Khaliqnya. Apalagi Tan Sri Abdul Samad Idris akan mengajak mencari ‘lemang Pak Ali’ di Hulu Kelang, asal sahaja menjelang Hari Raya Aidiladha atau mencari daging ‘bantai’ di pasar Keramat. Begitulah!



Bagaimanapun takrif ‘korban’ menjelang Hari Raya Aidiladha ialah menyembelih lembu dengan dagingnya diagih-agih kepada orang ramai. Apalagi menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen atau wakil-wakil rakyat berebut-rebut hantarkan lembu berekor-ekor ke kawasan pilihanraya bagi ibadat ‘korban’. Kadangkala mengeluh juga tok guru-tok guru pondok (kerana tak pernah sampai ke al-Azhar di Kaherah) kerana bimbang ‘ibadat korban’ bertukar menjadi ‘upacara korban’ seperti dilakukan kaum jahiliyah membawa korban untuk uzza, latta dan sebagainya. Justeru pengorbanan para pejuang Bahasa Melayu sama ada Tun Sri Lanang, Abdullah Munshi, Syed Sheikh al-Hadi dan terus berkesinambungan, tak ditakrif ‘korban’. Alahai!



-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:


KEGAGALAN KERANA KEDEGILAN KERAJAAN
SURUHANJAYA DIRAJA MEMANG DIALU-ALUKAN


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengalu-alukan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Diraja bagi siasatan klip video mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam dengan hakim kanan yang dikatakan mengatur pelantikan hakim, Tan Sri Haidar Mohamed Noor hari ini (19 Disember 2007), bagi membolehkan orang awam mengikuti prosiding secara terbuka mulai 14 Januari hingga 25 Januari 2008. Menurut Dato’ Kamal Amir, sekiranya kerajaan tak berdegil dalam usaha menubuhkan Suruhanjaya Diraja apabila ianya dibangkitkan dulu, isu yang membabitkan kewibawaan institusi kehakiman ini sudah boleh diselesaikan.


“Disebabkan kedegilan kerajaan, panel penyiasat bebas yang ditubuhkan di peringkat awal secara tergesa-gesa bagi menyiasat rakaman klip video itu mengalami kegagalan,” ujar Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Sekalipun penubuhan Suruhanjaya Diraja belumlah terlambat, tetapi kerajaan harus belajar daripada kesilapan begini akibat kedegilan atau kepongahan pentadbiran sekarang. Tak perlu menunggu sehingga laporan polis dibuat oleh adik peguam terbabit baru usaha penubuhan Suruhanjaya Diraja dilakukan, tetapi kerajaan perlu bersikap rasional bukan meneruskan kepongahan yang akhirnya boleh memalukan sistem kehakiman di negara ini, kata Dato’ Kamal Amir.


Dalam kenyataan Tan Sri Haidar hari ini (19 Disember 2007), suruhanjaya berkenaan bersetuju sebulat suara membenarkan orang ramai dan media mengikuti prosiding itu yang akan diadakan di sebuah mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta bermula 14 Januari 2008. Penubuhan suruhanjaya tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 12 Disember 2007 turut menamakan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Mahadev Shankar; bekas Peguam Cara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Emeritus Dato’ Dr Khoo Kay Kim.


PELANTIKAN OKU KE DEWAN NEGARA
ISMAIL MEMANG PAKAR BIDANG EKONOMI


Pelantikan Profesor Dato’ Dr Ismail Mohd Salleh menduduki kerusi Ahli Dewan Negara apabila mengangkat sumpah semalam (18 Disember 2007) disambut baik oleh semua pihak termasuk PRIMA. Aktivis PRIMA yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menyifatkan pelantikan Dato’ Dr Ismail sebagai senator adalah berdasarkan keintelektualisme yang dimiliknya bukan disebabkan beliau dikategorikan orang kurang upaya (OKU). Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, Presiden Kaunseling Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, negara membangun seperti Malaysia memerlukan pemikir-pemikir berwibawa dalam semua institusi.



“Dalam masyarakat yang menentang perhambaan minda, kita perlu menolak sebarang politiking dalam mengisi jawatan yang memerlukan pemikir-pemikir berwibawa,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Pelantikan Dato’ Dr Ismail selaku senator diharap bukanlah permulaan dan terakhir bagi pemikir-pemikir berwibawa menyertai badan penggubal undang-undang negara, jelas Dato’ Dr Mohd Mansor lagi. Justeru beliau menambah, tak perlu dibanggakan kerana fizikalnya yang dikategorikan OKU, tetapi inti kepada pelantikan Dato’ Dr Ismail ialah sumbangan pemikiran yang mampu dimanfaatkan kepada kepentingan negara.



Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor menarik perhatian kepada label OKU yang diberikan kepada Dato’ Dr Ismail oleh pihak media berikutan pelantikan pakar ekonomi itu menduduki kerusi Ahli Dewan Negara. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, sebelum Dato’ Dr Ismail, negara Malaysia sudah mempunyai Ahli Dewan Rakyat yang boleh dikategorikan sebagai OKU iaitu Profesor Zulkifly Muhammad apabila memenangi kerusi Parlimen Bachok pada pilihanraya 1959 dan 1964 atas tiket PAS. “Malaysia berbangga dengan penampilan Profesor Zulkifly sebagai Ahli Parlimen yang berwibawa, sekalipun secara fizikal beliau dikategorikan sebagai OKU,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya.




LESTARI DEKLARASI PERDANA
MESEJ KEPADA PEMIMPIN MELAYU



PRIMA akan melestarikan ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’ sebagai mesej kepada pemimpin-pemimpin Melayu sama ada kalangan politik, pendidikan, ekonomi, budayawan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO), kata pimpinan kanan PRIMA Yahaya Ismail (Pak Ya). Menurut beliau setakat ini, deklarasi berkenaan sudah dikirim kepada semua raja-raja Melayu, Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim. “Deklarasi ini juga akan dikirim kepada semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan menteri-menteri kabinet,” beritahu Pak Ya.


Bagaimanapun Pak Ya menjelaskan, setakat ini belum terdapat pemimpin-pemimpin Melayu memberi respons kepada ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’, tetapi ianya akan diteruskan dengan penerbitan buku yang turut memuatkan deklarasi berkenaan. Katanya, pihak PRIMA sudah menyediakan buku ‘Selepas 50 Tahun Merdeka: Dilema Melayu Ke 2’ yang akan diterbitkan tak lama lagi. Beberapa orang penganalisis politik, pengkritik sosial, ahli akademik dan pemikir budaya yang menyatakan kesediaan untuk menulis artikel bagi menghasilkan buku berkenaan, menurut Pak Ya lagi. “Kita mahu pemimpin-pemimpin Melayu jangan menunggu dah terantuk baru nak tengadah, dah terbolos baru nak melantai,” ujar Pak Ya menambah.



MEMUPUK PERPADUAN NASIONAL
ETIKA KEJIRANAN KEPADA MELAYU



Penduduk di kawasan perumahan Taman Seri Gombak merungut apabila menyentuh etika kejiranan hanya diminta orang Melayu sahaja berkompromi, sebaliknya pihak lain tak prihatin dengan masalah jiran-jiran. Seorang penduduk yang mahu dikenali Nan memberitahu malam ini (19 Disember 2007), menjelang menyambut Hari Raya Aidladha besok (20 Disember 2007) satu keluarga bukan Melayu mendirikan khemah menutupi jalan bagi mengadakan majlis perjumpaan keluarganya. Mereka bukan sahaja menutup jalan, malah menghalang pintu pagar rumah-rumah jiran apabila meletakkan kereta di sepanjang jalan seolah-olah rumah-rumah jiran tak berpenghuni.


“Tak mungkin keluarga itu menerima kebenaran daripada Majlis Perbandaran Selayang, kerana biasanya permit sementara perlu diletakkan pada khemah yang didirikan menutup jalan,” beritahu Nan. Menurutnya lagi, kadangkala keluarga bukan Melayu terbabit membasuh kereta, kotak air-con (kerana menjalankan perniagaan service air-con) hingga air melimpah ke permukaan jalan, tetapi apabila laporan dibuat kepada Majlis Perbandaran mereka tak melakukan kerja-kerja tersebut ketika pemerikaan dibuat oleh penguatkuasa. Justeru tak hairanlah, keluarga terbabit memasang khemah dengan menutup jalan dengan tak memerlukan permit, di samping membelakangkan etika kejiranan, kata Nan selanjutnya.



INFO SASTERA & BUDAYA:

PROKLAMIR SASTERAWAN NEGARA
MENUNGGU PENAMPILAN PENGARANG WANITA


Kononnya sejak Profesor Dr S. Othman Kelantan diproklamir ‘Sasterawan Negara’ empat tahun lalu, panel penilai masih belum mampu memproklamir sasterawan Melayu ke 10 bagi menerima anugerah berprestij itu. Bagaimanapun 2007 sudah dibayangkan sasterawan yang akan diproklamir mengikut citarasa panel penilai termasuk dua dari kalangan wanita. Tak tahulah kalau panel penilai merasakan Dr Fatimah Busu tak mampu menandingi sasterawan lelaki, sekalipun karya-karya beliau dikatakan tak kurang hebat kalau dibandingkan dengan karya-karya besar sasterawan lelaki yang tak sebesar mana itu. Lainlah kalau panel penilai ‘terjuling mata’ kepada karya-karya Dr Siti Zainon Ismail yang pernah diproklamir menerima anugerah SEA Writes. Entahlah!


Memang penilaian sastera dikatakan subjektif, samalah seperti sukan SEA di Korat yang banyak acara sukan dinilai markah secara subjektif. Heh heh heh! Akibat perkiraan markah mengikut subjektif, dikatakan banyak acara sukan Malaysia gagal memenangi pingat emas, menyebabkan Menteri Belia dan Sukan Dato’ Azalina Othman Said naik berang. Beliau dikatakan menyalahkan pegawai-pegawai persatuan sukan tak prihatin dengan pembabitan atlit-atlit negara, menyebabkan kemerosotan dalam bidang sukan yang pernah didominasi oleh Malaysia. Tetapi sastera yang dinilai secara subjektif ini tak pernah menimbulkan keberangan kepada menteri yang berkaitan dengan pembangunan sastera, gamaknya Menteri Pelajaran kot!


KOMENTAR:
bersama Pak Parjo

‘BERSIH’ YANG MAHU BERSIHKAN
PENGERUSI SPR PERLU DIBERHENTI


Alkisah tersebutlah akan Gerakan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), bukan sekadar mahukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersih dan adil, sebaliknya turut juga untuk ‘menyapu bersih’ jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. Alahai! Tak sepatutnya Tan Sri Abdul Rashid dijadikan sasaran, apabila ianya berlaku kekalutan, kekelabutan dan kekemelutan dalam daftar pengundi, seperti diberitahu kepada fakir sejak sebelum beliau menduduki kerusi panas itu. Adapun sekali peristiwa akan fakir membacalah yang disuratkan mengenai Yunus bin Matta a.h. kalah ia ketika ‘undi’ (sekalipun tak ada SPR), lalu dicampak ke laut hingga hingga tersisih beberapa tahun di dalam perut ‘Nun’. Tahulah Yunus bin Matta a.h. itu akan kesilapan yang dilakukan iaitu meninggalkan kaumnya ketika diuji oleh Allah SWT.



Sebermula jawatan SPR yang dipegang oleh Tan Sri Abdul Rashid itu sekadar sementara sahaja atau ‘pinjam-pinjaman’ gerangannya, kerana diriwayatkan oleh sahabat-sahabat fakir terdahulu, Tan Sri Ahmad Perang ketika menjadi Pengerusi SPR juga dikritik keras sebelum pilihanraya 1969. Adanya! Malah beliau diperli kerana tak mampu untungkan KTM ketika menjadi Pengerusi KTM, tiba-tiba diberi tanggungjawab mengendali SPR. Maka fakir pun berfikirlah, tak salah bagi BERSIH meneruskan usaha sebagai aktiviti, setidak-tidaknya kerajaan tak berdegil sangat membiarkan kepongahan dalam pentadbiran seperti tersebutlah akan raja Melaka itu mahu ia meminang Puteri Gunung Ledang menyebabkan terpinga-pinga mahu menyuratkan Kitab Melayu oleh:




HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, December 14, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:

BERI INTENSIF KEPADA PENULIS
DASAR BARU PERPUSTAKAAN NEGARA!

Assalamualaikum,



Pagi Jumaat minggu lalu (7 Disember 2007) saya menerima panggilan telefon dari Cik Rosmini pegawai di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), meminta menemui beliau di pejabatnya. Ketika sampai di tingkat 16 bangunan pejabat di Jalan Tuan Abdul Razak, beberapa orang penulis dan pengarang sudah menunggu bagi berurusan dengan Cik Rosmini yang kelihatan sibuk. Kebetulan pula seorang penulis dari Kelang dikenali Ghazali berbual-bual dengan saya sementara menunggu Cik Rosmini menguruskan urusan berkaitan dengan intensif kepada pengarang mengikut dasar PNM. Berikutan pertemuan dengan Cik Rosmini, disusuli kemudian dengan Puan Nafisah saya diberitahu mengenai dasar PNM memberi intensif kepada pengarang-pengarang berkarya.


Menurut Puan Nafisah pihak PNM menawarkan peruntukan RM25,000 bagi sebuah judul buku karya pengarang dengan pesanan terus kepadanya sebagai menggalakkan mereka terus berkarya. Justeru katanya, pengarang mampu menikmati sesebuah hasil karyanya dengan tawaran maksimum sejumlah RM25,000 yang tak membabitkan ‘pihak ketiga’ mahupun penerbit sendiri. Langkah tersebut beritahu Puan Nafisah adalah memberi kredit kepada kalangan pengarang bagi melindungi mereka daripada dieksploit oleh pihak lain. Sebelum ini memang sudah menjadi diketahui umum bagaimana pihak lain mengeksploitasi karyawan sekalipun dikuatkuasa akta hakcipta dan harta intelek.



Sebaliknya beberapa orang pengarang yang menerima intensif menggalakkan mereka berkarya dari PNM mengakui, dasar baru yang diperkenalkan kerajaan ianya mengangkat martabat karyawan. Berdasarkan karya-karya yang dipilih PNM diusahakan oleh pihak penerbit, jutseru pengarang-pengarang juga masih terikat dengan dasar penerbit tersebut. Misalnya, sejumlah RM25,000 yang diperuntukkan oleh PNM tak semuanya masuk terus ke saku penulis mahupun pengarang, kerana kos percetakan memerlukan bayaran tunai. Siapa lagi yang mampu menawarkan bayaran tunai kepada syarikat percetakan, kalau bukan pihak penerbit sendiri? Bukan sahaja kos percetakan, malah pengarang juga terpaksa membayar khidmat penerbit yang menguruskan percetakan. Begitulah!



Lainlah buku yang bernasib baik, apabila jumlah RM25,000 dengan kuantiti yang kecil, apabila tawaran turut diberikan kepada penerbit menerima pesanan PNM. Kes seperti ini tak banyak, justeru penerbit sedia berkompromi dengan pengarang bagi urusan penerbitan berkenaan. Misalnya, sejumlah RM25,000 itu terpaksa dikongsi bersama penerbit bagi urusan penerbitan dengan natijah pengarang menerima RM11,000, di samping penerbit RM14,000 termasuk kos percetakan. Ini juga dikira pengarang masih bernasib baik, kerana bagi pengarang yang kurang bernasib baik mungkin sahaja mereka menerima kurang daripada jumlah tersebut. Aduhai!




Makanya si pengarang menerima nasib bagaikan nelayan Melayu di pesisir pantai, apabila terpaksa ‘menaruh harapan’ kepada peraih ikan dengan membayar kos mereka ke laut termasuk bot, enjin bot, pukat, bungkah ais dan apa sahaja yang berkaitan dengan nelayan. Apabila hasil tangkapan dibawa ke pantai, peraih ikan akan mengira untung setelah memberikan kemudahan ke laut, di samping nelayan merantai hutang sekalipun ianya mampu dibayar. Bagaimanapun intensif yang diberikan oleh PNM dan dasar kerajaan itu setidak-tidaknya mampu memberi harapan lebih bermakna kepada pengarang masakini, seperti diungkap dalam cerita rakyat ‘Pak Pandir’ : 'Dari tiada baiklah ada!




- Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:

PRESTASI SUKAN KURANG UMMMP!
ATLET BERBEZA DENGAN GLAMOUR ARTIS


Prestasi atlet Malaysia di Sukan SEA, Korat, Thailand yang berlangsung sekarang (Disember 2007) dikatakan menimbulkan banyak rungutan di kalangan peminat-peminat sukan tanah air. Malah Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Azalina Othman Said turut melahirkan rasa kesal dengan prestasi yang ditunjukkan, seolah-olah reputasi Malaysia sebagai negara yang disegani dalam bidang sukan semakin merudum menjelang alaf baru 2000. Bukan sahaja Dato’ Azalina, malah peminat-peminat sukan tanah air kecewa malah menyifatkan pegawai-pegawai persatuan sukan lebih mementingkan keegoan sendiri daripada melonjakkan kecemerlangan sukan.




Pengerusi Tetap Pegerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof yang juga peminat sukan turut melahirkan rasa hampa dengan kegagalan ramai atlet negara menampilkan aksi cemerlang, gemilang dan terbilang dalam temasya sukan di Korat itu. “Kita tak salahkan atlet, tetapi kegagalan mereka perlu dilihat dengan ketelusan pentadbiran badan sukan terbabit, termasuk sikap arogan pegawai-pegawainya,” kata Hajah Fauziah ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Pegawai-pegawai sukan harus menerima hakikat iaitu di bahu mereka terletak beban bagi memastikan kemajuan bidang sukan, sementara kerajaan memantau setiap perkembangan badan sukan terbabit, beritahu Hajah Fauziah seterusnya.



Beliau juga melahirkan rasa terkilan apabila ramai atlet yang berjasa tak diberi penghargaan, berbanding dengan artis yang glamour dengan populariti. Katanya, dalam bidang sukan bolasepak ramai pemainnya yang berjasa besar tak diberi anugerah bintang kebesaran yang membawa gelaran berstatus ketika ramai artis menerima penganugerahan sekalipun kemampuan mereka terhad. Misalnya, kata Hajjah Fauziah Memang Dato’ Ghani Minhat dan Dato’ Soh Chin Aun sudah menerima anugerah bintang kebesaran, tetapi rakan-rakan mereka seperti Santokh Singh, Ng Boon Bee, Arthur Koh, Shahruddin Abdullah, Hassan Sani, James Wong dan beberapa lagi masih tak diberi penghargaan.



Begitu juga Misbun Sidek yang mengharumkan nama negara dalam sukan badminton ketika Malaysia hampir tenggelam sekitar dekad 1970-an, seolah-olah jasanya terlalu kecil dibandingkan artis-artis terbabit. Apalagi di Denmark mahupun negara-negara baltik, mereka lebih mengenali ahli sukan badminton dan hoki berbanding dengan negara Malaysia sendiri. Menurut Hajjah Fauziah, bintang-bintang sukan mempertaruh tenaga fizikalnya untuk menaikkan imej negara, tetapi artis-artis sekadar mengejar glamour dan glori peribadi. “Justeru jangan salahkan atlet apabila prestasi sukan merudum, tetapi salahkan diri sendiri yang meminggirkan mereka,” ujar Hajjah Fauziah.





PIMPINAN PRIMA AMBIL INISIATIF
KETEGANGAN HAMPIR CETUSKAN BIMBANG


Pimpinan PRIMA mengambil inisiatif meredakan ketegangan yang membimbangkan penduduk sekitar fasa 8 dan fasa 9 di Taman Seri Gombak, Batu Caves di Selangor apabila berlaku pergaduhan di kalangan kumpulan remaja di ‘kedai kopi’. Dalam insiden malam 8 Disember 2007, usik mengusik dua remaja di ‘kedai kopi’ bertukar menjadi pergaduhan apabila salah seorang meminta bantuan keluarga. Apabila keluarga remaja itu menyerang ‘anak-anak muda’ yang masih lagi pelajar, aksi tindak balas menyebabkan keluarga terbabit mengimpot kumpulan ‘samseng’ di luar Taman Seri Gombak. Pada 9 Disember 2007, dua pelajar terbabit ditahan dilokap polis Rawang, sekalipun peringkat awalnya diminta memberi keterangan sahaja.


Apabila ibu bapa kedua-dua pelajar berkenaan menemui pimpinan PRIMA bagi membantu mereka, pertemuan diadakan bersama wakil pimpinan UMNO Bahagian Gombak yang juga jawatankuasa penduduk, Sdr Zainal Alam, wakil masjid dan pihak polis sendiri setelah pihak UMNO menghubungi pejabat ADUN Gombak Setia. Dalam pertemuan tersebut dimaklumkan sebelah pihak membuat laporan polis, sementara pihak satu lagi turut membuat laporan polis berikutan rumah sebuah keluarga diserang dengan menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan remaja yang diimpot dari luar Taman Seri Gombak, tetapi dua pelajar berkenaan pula ditangkap.



Justeru 8 Disember 2007, PRIMA terpaksa menghubungi pejabat Menteri Dalam Negeri bagi meminta dua pelajar terbabit dibebaskan berikutan menjelang Hari Raya Aidiladha, setelah usaha yang dilakukan oleh ibu bapa pelajar-pelajar berkenaan gagal. Bagaimanapun 10 Disember 2007, dua pelajar terbabit dibebaskan dengan jaminan polis, di samping perdamaian dijalankan bagi kedua-dua pihak menerusi kerjasama polis dan UMNO Bahagian Gombak dalam usaha membendung ketegangan kaum. Justeru PRIMA bagi pihak ibu bapa dua pelajar terbabit mengucapkan terima kasih kepada pejabat Menteri Dalam Negeri, pihak polis, dan UMNO Bahagian Gombak terutama Omar Sudi Abdul Manan dan Zainal Alam Mahmud.


INFO SASTERA & BUDAYA:

‘RINDUKU JAUH DI KAABAH’
NOVEL PENGEMBARAAN KEJIWAAN


Pemenang hadiah kedua Sayembara Mengarang Novel Remaja sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2007, Nurul Salwa kembali meneruskan sentuhannya dalam novelnya ‘Rinduku Jauh Di Kaabah’. Mengungkapkan kisah pelajar di sekolah agama yang tak berminat dengan pengajiannya, tetapi terlalu sensitif apabila membaca novel yang ditulis seorang ustaz bekas pelajar pengajian pondok di Pulau Nyiur, Pattani. Pelajar berkenaan mengutuk pengarang novel tersebut yang menyentuh perasaannya, kerana dianggap membiarkan watak dalam novel tersebut Siti Rogayah mengembara jauh ke Mekah al-Mukarramah apabila ditinggalkan oleh Muhammad Qayum.

Sebaliknya Siti Rugayah memilih untuk mengembara selepas berkahwin dengan lelaki dalam kalangan keluarga berstatus bernama Sallehuddin. Rupa-rupanya suami Siti Rogayah mengalami penyakit kronik, di samping menghembuskan nafas di bumi Mekah al-Mukarramah. Tak disedarinya Muhammad Qayum yang melarikan diri daripadanya juga mengembara di Mekah al-Mukarramah melanjutkan pengajian, di samping sanggup mendermakan darah bagi membantu suami Siti Rogayah. Kemarahan Romlah pembaca novel itu terhadap pengarang novel berkenaan menjadi kompleks apabila menyedari ianya adalah guru yang mengajar di sekolah agama tersebut.



Romlah pula turut mengembara apabila disingkirkan dari sekolah agama, tetapi memilih ke sekolah menengah biasa meneruskan pengajiannya. Apalagi ketika Romlah terperangkap dengan kumpulan tabligh, kemuncak kembaranya ialah kerinduan yang amat sangat herhadap kaabah. Pengembaraan kerohanian dalam ‘Rinduku Jauh Di Kaabah’ digarap menerusi imbas kembali ‘novel di dalam novel’ yang menjadi renungan watak Romlah terhadap insiden yang pernah menimpa Ustaz Fikri, malah dilambangkan pula kepada pertemuan Muhammad Qayum dan Siti Rogayah ketika di pengajian pondok Pulau Nyiur di Pattani. Novel berharga RM16.90 senaskhah ini diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprise, Batu Caves, Selangor.


PARLIMEN SUDAH TAK SELAMAT
SERAH MEMORANDUM DITAKRIF ‘HARAM’




Langkah pihak polis menangkap aktivis masyarakat di kawasan bangunan Parlimen dianggap keterlaluan, seolah-olah lokasi ‘penggubal undang-undang’ di bawah kuasa polis, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Pihak polis boleh membuat tangkapan apabila aktivis terbabit keluar dari kawasan bangunan Parlimen bagi menghormati fungsi ‘penggubal undang-undang’ sekiranya pihak berkuasa mahukan setiap warganegara menghormati undang-undang dan perlembagaan. “Biarlah pihak BERSIH menyampaikan memorandum di dalam kawasan bangunan Parlimen kerana bukanlah perhimpunan haram, kemudian tangkaplah mereka apabila keluar dari bangunan tersebut” katanya melahirkan rasa kesal.



Dato’ Kamal Amir menyebut insiden di bangunan Parlimen 9 Disember 2007, bukan sahaja memalukan polis malah kewibawaan kerajaan juga turut dipersoal apabila lokasi Parlimen dijadikan medan ‘mempersenda’ institusi penggubal undang-undang. Dalam insiden tersebut aktivis masyarakat termasuk pimpinan politik seperti Dato’ Mustapha Ali, Dr Lo’ Lo’ dan beberapa lagi ditangkap, sekalipun pimpinan pembangkang di Parlimen cuba mententeramkan keadaan. “Kekerasan bukanlah menyelesaikan masalah, kerana Presiden George Bush yang bertindak secara arogan menghantar tentera ke Afghanistan dan Iraq pada tahun 2000 sekadar mampu membunuh manusia, tetapi setelah tujuh tahun tak mencapai sebarang matlamat,” jelas Dato’ Kamal Amir.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

PERIHAL PANDANGAN PIMPINAN VETERAN
HARAPLAH ‘TAK SOKONG MEMBAWA REBAH’!


Adapun beberapa hari lalu akan fakir diberitahu mengenai pandangan pelbagai pihak mahu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada sesiapa sahaja yang menggugat kemananan. Maka tersebutlah dua orang pimpinan veteran menerusi akhbar arus perdana pada 2 Disember 2007 lalu meminta kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menggunakan ISA ke atas mereka yang ditakrif menggugat keamanan, bukanlah terbabit dengan anasir-anasir subversif seperti yang fakir dimaklumkan pada dekad 1960-an dan 1970-an dahulu (belumlah lagi dahulukala). Dua orang pimpinan veteran itu pernahlah berkedudukan menteri pada dekad 1970-an, malah mereka juga memimpin Wanita dan Pemuda UMNO. Kabarnya!


Syahdan telah disuratkan oleh tukang-tukang canang mengenai lima orang pimpinan Kumpulan Tindakan Hak-Hak Hindu (Hindraf) hari ini (14 Disember 2007) ditahan di bawah ISA. Memanglah fakir tak berhasrat mahu mengulas lebih lanjut akan perkara yang sudah disuratkan itu, tetapi teringat jugalah fakir akan Pak Lah kepada peringatan nenek moyang fakir dahulukala: Jangan sampai sokong membawa rebah! Biasanya nenek moyang fakir apabila rumpun pisangnya berbuah di kebun, akan ditupang (sokong) pada bahagian tandan bagi mengelakkan pokoknya rebah akibat buah yang memanjang lebat di tandan. Begitulah! Kadangkala akan rebah juga pokok pisang nenek moyang fakir mengikut cuaca seperti ribut, hujan dan sebagainya (seperti novel anak cucu fakir ‘Semperong’ yang belum terbit lagi).


Maka sudah disuratkan orang kepada fakir tak lama dahulu, seorang bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussein menerima pampasan RM2.5 juta, disebabkan kerajaan secara keliru menahannya di bawah ISA. Entahlah! Tetapi akan fakir diberitahu di dalam ‘Kitab Melayu’ perihal Raja Dewa Sura itu ditahan tak dibicara (kira-kira macam ISA jugalah gamaknya!) setelah negerinya Pahang dialahkan oleh Melaka. Maka Raja Dewa Sura diletakkan di bawah pengawasan Tun Bija Sura, lalu ianya dibiarkan bebas ke sana ke mari dengan tak dipasung. Setelah beberapa lamanya, diperintahkan pula Raja Sura Dewa itu diletakkan di bawah pengawasan Seri Nara Diraja, maka dipasunglah ia mengikut ‘Kanun Melaka’. Adanya!


Adalah kepada suatu hari berkatalah Raja Dewa Sura kepada Seri Nara Diraja (Tun Ali), semasa hamba di bawah pengawasan Tun Bija Sura tidaklah hamba disakiti, malah tak pernah dipasung (maknanya dilokap), tetapi dengan ‘keling tua’ (disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ itu, maksudnya Seri Nara Diraja) akan hamba diperlakukan seorang orang yang bersalah jua. Maka dijawab oleh Seri Nara Diraja, akan Tun Bija Sura itu orang gagah lagi pahlawan besar tentu tuan hamba tak boleh lepas (atau tak akan lari ke mana-mana), sebaliknya hamba ini sudah tua lagi hamba kepada raja, kalau tuan hamba lepas, tentulah hamba dimurkai raja. Tahulah fakir ketika itu sudah berlaku perihal ‘dua peraturan’ mengikut tafsiran sendiri seperti juga diberitahu kepada:








HIDUP BAHASA MELAYU.

Thursday, December 6, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


POLITIK AKADEMIK DI IPT
MACAM API DALAM SEKAM


Assalamualaikum,

Memang sukar dipercayai apabila desas desus menyebut berlakunya naratif ‘politik akademik’ di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sama ada ianya sebelum mahupun selepas diwujudkan kementerian pengajian tinggi pada 2004. Justeru pembentukan kementerian pengajian tinggi juga tak memberi makna, sekiranya struktor pentadbiran IPT masih ‘di takuk lama’, dengan membenarkan ‘politik akademik’ menjadi ‘api dalam sekam’ yang membawa pelajar-pelajar diselubungi ‘perhambaan minda’ berterusan. Misalnya, isu pelantikan pemikir budaya dan intelektualisme bagi ‘Kerusi Tun Ghafar Baba’ mahupun ‘Kerusi Zaaba’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dikatakan berlaku hanky panky tak berkesudahan, menyebabkan sukar mahu membuat pelantikan.


Apalagi perkara dalaman di IPT (sama ada IPTA mahupun IPTS) tak seharusnya mahu disampaikan juga kepada pengetahuan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sudah sedia dibebani dengan pelbagai isu negara. Tetapi apabila menteri terbabit tak memberi respons terhadap permasalahan yang berbangkit di IPT, langkah seterusnya tentulah disampaikan juga kepada pengetahuan Perdana Menteri. Secara kronologi memang Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapha Mohamed terlalu sukar memberi respons, mahupun membalas surat menyurat yang disampaikan ke kementerian yang serba bobrok, pongah dan arogan.


Ketika IPT di bawah kementerian pelajaran/pendidikan, ‘politik akademik’ sudah menular secara bekesinambungan. Dalam pertemuan di rumahnya satu ketika dulu Allahyarham Bapak Profesor Syed Hussein al-Attas pernah menyebut insiden beliau diminta balik ke Malaysia bagi memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaya. Ketika itu beliau masih berkhidmat dengan IPT di Singapura, di samping akan menikmati skim persaraan dalam tempoh sembilan bulan sahaja bagi menamatkan perkhidmatan. Disebabkan desakan yang kuat dari kementerian, beliau hilang nikmat skim persaraan apabila diminta balik serta merta dengan tak sempat menunggu tempoh sembilan bulan dalam perkhidmatan di IPT Singapura. Aduhai!


Akibat ‘politik akademik’ beliau menghadapi pelbagai tekanan apabila memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaya sehingga isu beliau mengkritik kenaikan pangkat dalam akademik termasuk jawatan profesor yang dianggapnya ‘profesor kangkong’ dijadikan ‘lapangan sasar’ untuk menjatuhkan beliau. Malah isu pembelian karpet bagi ubahsuai pejabat Naib Canselor juga digembar-gemburkan, sekalipun kos pembiyaan di bawah RM3,000 ketika itu boleh diluluskan sendiri oleh beliau atas kapisiti Naib Canselor. Apabila beliau diberhentikan dari Naib Canselor Universiti Malaya, bukan sahaja kehilangan skim persaraan dari IPT di Singapura malah beliau tak menerima sebarang kemudahan dari IPT di negaranya sendiri. Begitulah!


-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA :


‘DEKLARASI PERDANA’ SUDAH DIHANTAR
DISEMBAHKAN KEPADA RAJA-RAJA MELAYU



‘Deklarasi Perdana’ mengandungi ’10 Keprihatinan’ sudah dikirimkan kepada semua raja-raja Melayu pada 5 Disember 2007, kata pimpinan kanan PRIMA Yahaya Ismail (Pak Ya). Menurut beliau, sekalipun pada peringkat awalnya ‘Deklarasi Perdana’ akan disembahkan kepada raja-raja Melayu secara peribadi, tetapi ianya akan memakan masa yang lama bagi disampaikan kepada semua pimpinan Melayu. Malah pertemuan dengan Ahli Parimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada 30 November 2007 juga turut dibatalkan atas sebab-sebab tak dapat dielakkan. “Justeru bagi menjimatkan masa pihak PRIMA menghantar ‘Deklarasi Perdana’ berkenaan menerusi pos,” beritahu Pak Ya selanjutnya.

Kebimbangan rakyat sudah disampaikan kepada pimpinan Melayu termasuk Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di samping bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai keprihatinan dan tanggungjawab PRIMA, ujar Pak Ya lagi. Terpulanglah kepada pimpinan Melayu bagi mengambil langkah-langkah susulan atau pasrah kepada takdir seoah-olah ‘menunggu bulan jatuh ke riba’, katanya. Seterusnya Pak Ya menolak sebarang tanggapan sikap ‘bangsa Melayu’ yang menjadi punca segala masalah, tetapi yakin kebobrokan dalam pimpinan Melayu menyebabkan rakyat yang dipimpin berada dalam fenomena ‘ketam jalan mengereng, mahu mengajar anaknya berjalan betul’. “Kalau peluang yang disediakan untuk mengisi tembolok pemimpin, kenapa salahkan bangsa Melayu yang menjadi mangsa pimpinan?” tegas Pak Ya.



JUARA SEPAK TAKRAW DI PARLIMEN
PUBLISITI MURAH ATAU ‘TUMPUL IDEA’


Langkah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tak menyertai Sukan SEA di Korat, Thailand menjadi heboh di Dewan Rakyat semalam (5 Disember 2007), seolah-olah juaranya menggegar di Parlimen. Bagaimanapun tak tahulah sama ada ianya gimmik mahu mencari publisiti murah, atau mereka yang terbabit membahaskan isu berkenaan dalam keadaan ‘tumpul idea’, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Ironinya, tambah Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, isu yang menimbulkan sensasi itu dijawab oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, bukan Melayu yang kemungkinan kurang memahami ‘sepak takraw’.



“PRIMA menyokong langkah PSM tak menyertai sukan di Korat, bagi mempertahan maruah negara dalam sukan berkenaan,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga aktivis PRIMA. Menurut beliau, kalah atau menang dalam pertandingan sudah menjadi adat dalam perebutan juara, tetapi apabila negara kita ‘diperkotak-katik’ adalah lebih baik ‘beri sahaja kejuaraan’ kepada mereka. Malaysia sudah mengalah dengan pertukaran nama permainan daripada ‘sepak raga’ kepada ‘sepak takraw’ pada dekad 1960-an, malah formatnya juga dirombak mengikut kemahuan Thailand. Sebelumnya pemain-pemain tak dibenarkan keluar daripada gelanggang permainan, tetapi mengalah kepada Thailand mengikut peraturan ‘sepak takraw’ mereka.



Dengan menukar ‘bola rotan’ kepada ‘bola plastik’ sekali lagi Thailand mahu terus mendominasi permainan ‘sepak takraw’ sebagai budaya mereka, seolah-olah Malaysia mesti mematuhi kemahuan mereka. Kalau Thailand berkeras dengan sikap arogan mereka, PSM wajar bertindak mempertahan maruah negara di samping menggerakkan pemahaman terhadap ‘budaya Melayu’ serta kaitannya dengan ‘sepak raga’. Sukan sepak raga sudah popular sejak kesultanan Melaka sekitar 1400-an, bukan budaya yang diimpot dari Thailand, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya. “Malaysia mampu popularkan sukan ‘sepak raga’ kalau dilaksanakan program terancang,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.


INFO SASTERA & BUDAYA:



TEATER KANAK-KANAK REALISME
PERTAMA DIHASILKAN LADIN NUAWI



Aktivis teater kanak-kanak Ladin Nuawi bersama Cikna, akan mementaskan “Kain Bendera Kain’ di Taman Budaya Kuala Lumpur pada 13-16 Disember 2007 dengan kerjasama Kumpulan Srikandi Tun Fatimah dan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Wilayah Persekutuan. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Ladin turut mengakui ‘Kain Bendera Kain’ adalah teater kanak-kanak pertama dihasilkan beliau yang digarap secara realisme. “Teater ini membawa tema mengenai kenegaraan, di samping mendaulatkan maruah negara, wanita dan alam,” beritahu Ladin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini (6 Disember 2007).



Ladin yang dikenali bersama Kumpulan Bingkas Kebayan terbabit mementaskan banyak teater kanak-kanak yang berbentuk sombolisme, di samping mementingkan artistik persembahan. Teater berkenaan dipersembahkan percuma kepada kanak-kanak dan remaja mulai jam 3.30 petang secara terbuka. Taman Budaya terletak di lokasi berdekatan Balai Polis Trafik, Jalan Bandar, Kuala Lumpur akan menguji kemampuan Ladin merealisasikan tema kenegaraan sbagai aktivis teater kanak-kanak tersohor. Mereka yang inginkan butir-butir lanjut mengenai teater ‘Kain Bendera Kain’ boleh menghubungi Ladin menerusi handset 012-3721453 atau hantarkan emel kepada beliau: ladinuawi@yahoo.com.my.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KAJIAN BADAN ANTARABANGSA
PILIHAN YANG ADIL LAGI BERSIH

Kata sahibul hikayat pilihanraya di Malaysia itu bebaslah dari segala kebebasan yang bebas sebebasnya seperti keperihalan kaji selidik badan antarabangsa TNS dan Gallup International. Syahdan akan kaji selidik itu menyebut 74 peratus mengakui pilihanraya itu bebas dan adil, sementara 69 peratus mengakui Malaysia ditadbir mengikut kemahuan rakyat. Syabas! Maka diberitahu kepada fakir semua media arus perdana melaporkan hasil kaji selidik itu di muka hadapan akhbar-akhbar besar hari ini (6 Disember 2007), kerana ianya memang menjadi kesukaan, kelekaan dan kepekaan seperti keperihalan katak di hujung pelepah kelapa keseronokan ditiup angin bayu yang diceriterakan kepada fakir oleh nenek moyang dahulukala. Heh heh heh!


Alkisah akan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Nik Abdul Rashid Nik Abdul Rahman pula kononnya mencabar sesiapa tak percaya akan keadilan mahupun kebersihan SPR membawalah ke mahkamah untuk dibicarakan. Mudah-mudahan Tan Sri Nik tak bersaralah ia sebelum pilihanraya itu, kerana teringin sangatlah fakir akan mahu mengetahui perkara-perkara yang akan dibicarakan kelak. Adanya! Setau-tau fakir akan pilihanraya ini sudahlah dilakukan oleh nenek moyang dahulukala, tetapi tak samalah caranya dengan anak cucu sekarang yang lebih pandai, cerdik dan pintar terutama dengan perkara-perkara yang bebas sebebas-bebasnya.


Sebermula akan Sultan Mahmud itu mahu mengadakan pilihanraya bagi memilih bendahara setelah kematian Bendahara Putih yang masyhur lagi gah namanya ketika belayar ke benua China. Maka berbarislah sembilan orang calon (tapi tak pula berparti kononnya!), termasuklah Paduka Tuan Tun Muhammad bin Tun Perak, Seri Maharaja Tun Mutahir bin Tun Ali, Seri Nara Diraja Tun Tahir bin Tun Ali yang dikatakan paling kanan statusnya di istana Melaka. Syahdan akan bonda Sultan Mahmud itu adik kepada Tun Mutahir bersembunyilah di sebalik pintu katanya, “Pilihlah Pak Mutahir!”. Maka dipilihlah oleh Sultan Mahmud akan Tun Mutahir jadi bendahara lalu ditanya olehnya, “Adilkah?”. Dijawablah oleh tuan-tuan itu, “Adil Tuanku!”. Tak pula kedengaran kepada nenek moyang fakir, “Bersihkah?”, seperti juga yang didengar oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!