Friday, March 7, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)







PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA



DARI LAMAN BLOG:


PELAJAR SEKOLAH JUGA MELUAT
KEMPEN KETERLALUAN MENERUSI TV

Assalamualaikum,


Pelajar sekolah juga meluat dengan kempen keterlaluan menerusi TV, hingga turut mencemuh BN, bukannya TV terbabit. Bukan sekadar pelajar yang baru menuntut dalam Tingkatan Tiga, malah beberapa orang remaja juga mencemik lantas meninggalkan TV begitu sahaja. Ironinya, remaja-remaja terbabit baru sahaja merungut disebabkan ketika membantu calon PAS tak diberi imbuhan dengan penat lelahnya, tetapi tiba-tiba pula meluat dengan kempen keterlaluan di TV. Maknanya, media yang dikuasai kerajaan turut menyumbang saham menambahkan kebencian dan keberangan rakyat kepada BN akibat TV digunakan seenak-enaknya untuk berkempen. Gambaran berkenaan semasa saya berkunjung ke rumah kawan di sebuah kampung di Rembau, Negeri Sembilan semalam iaitu 6 Mac 2008. Alahai!


Sebelumnya saya sudah memberitahu Sdr Rozmal Malakan, pengarah pilihanraya PAS bagi kawasan Parlimen Rembau untuk turun ke Rembau bersama pimpinan PRIMA termasuk Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dan Haji Mohd Sayuti Omar, tetapi disebabkan tak diberitahu sama ada nama kami dimasukkan atau tidak ke dalam permit polis, justeru kami tak ikut sama berceramah. Bagaimanapun Rembau bukanlah asing kepada saya, apalagi ramai kawan-kawan termasuk bekas aktivis belia Dato’ Laksamana Ismail Kadir, bekas aktivis politik Haji Mohd Shariff Harun, malah menantu saya juga dari Rembau. Begitulah! Pagi ini (7 Mac 2008) Dr Harun Kidam dari Melaka pula mengirim SMS bertanyakan senario politik di Kuala Lumpur. Heh heh heh!


Saya menerima laporan ceramah anjuran pakatan pembangkang di Pulau Pinang malam semalam (6 Mac 2008) dihadiri lebih 45,000 orang, sementara di Bangsar (dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai) berlaku kesesakan lalu lintas hingga lebih dua kilometer, berikutan Dato’ Seri Anwar Ibrahim terbabit memberikan ceramah bagi calon PKR (anaknya sendiri) Nurul Izzah yang diberi jolokan ‘Puteri Reformasi’. (Secara fakta sempena sambutan ke atas ‘Puteri Reformasi’ ini jugalah UMNO melahirkan ‘Puteri UMNO’). Maknanya dua hari berturut-turut media ‘diarahkan’ membuat serangan peribadi terhadap Dato’ Seri Anwar, sambutan terhadap penampilan beliau seolah-olah gelombang 1999 berulang semula. Barangkali!



Sekalipun saya diminta berceramah oleh calon pilihanraya malam 6 Mac 2008, tetapi tak sempat hadir disebabkan memberi latihan kepada anak-anak muda yang berminat dengan ‘Nasrul Haq’. Sebaliknya hari mengundi esok hari 8 Mac 2008, sudah berbagai-bagai laporan dibuat termasuk amaran Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang secara langsung campur tangan dalam urusan pilihanraya di sebalik alasan ‘keselamatan’. Walhal beliau sendiri membuat kenyataan ‘lapan negeri dalam keadaan panas’, malah peniaga-peniaga kecil Cina secara terbuka memberi sokongan kepada PAS. Apalagi mereka tak segan silu membenarkan PAS menggantung poster di premis kedai, sebagai mesej jelas kepada BN dan kepimpinan negara.



-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


PELAJAR DIGERAKKAN KE TERENGGANU
DALAM USAHA REALISASI ‘PENGUNDI HANTU’


Bas yang membawa pelajar-pelajar bagi dijadikan ‘pengundi hantu’ mula bergerak masuk ke Terengganu hari ini (7 Mac 2008) bagi memastikan BN mampu bertahan ketika kebencian dan keberangan rakyat sukar dibendung. Menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, sekalipun peajar-pelajar terbabit menafikan mereka ‘pengundi hantu’, tetapi balik ke kampung untuk bercuti, sebaliknya terbukti mereka balik menerusi bas yang disewa khas. Dato’ Kamal Amir menyentuh insiden dua buah bas yang ditahan sekumpulan aktivis ketika memasuki Terengganu pagi ini (7 Mac 2008) seperti dilapor berita radio petang ini. “Bagaimanapun PRIMA berasa kesal apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan secara langsung masuk campur dalam urusan pilihanraya,” kata Dato’ Kamal Amir.

Menurut Dato’ Kamal Amir, beliau bersetuju dengan penjelasan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan dengan PRIMA pada 15 Ogos 2007 lalu, apabila kerajaan menafikan sesuatu dakwaan terhadap kritikan tak bermakna ianya ‘tak berlaku’. Misalnya, kata Dato’ Kamal Amir ketika Tun Dr M dimalukan dengan penyingkiran sebagai wakil Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO dengan nilai RM200 memang ianyanya ‘dinafikan’, tetapi tak bermakna insiden tersebut ‘tak berlaku’. “Justeru apabila pelajar-pelajar yang diangkut secara konvoi dengan bas khas menafikan mereka bukan ‘pengundi hantu’, tak bermakna penafian itu benar-benar betul,” jelas Dato’ Kamal Amir selanjutnya.

Seterusnya Dato’ Kamal Amir turut mempersoal pembohongan media yang dikuasai kerajaan mengenai kemunduran di negeri Kelantan. Katanya lagi, media arus perdana hari ini (7 Mac 2008) menyiarkan lawatan dua orang menteri Pusat ke kawasan di negeri yang dikuasi BN. Beliau turut mengirimkan gambar-gambar berkenaan menerusi emel kepada sekretariat PRIMA bagi penelitian semua pihak termasuk pimpinan kerajaan.


GAMBAR SATU:


Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohammad Yakcob menemui penduduk di Labuh Banting, Padang Menora, Butterworth. Selepas 50 tahun merdeka, di samping kerajaan negeri Pulau Pinang dikuasai oleh Parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) sejak 1955, kemudiannya di bawah BN sejak 1974 apabila Parti Gerakan menyertai kerajaan campuran sejak 1971, rumah wanita di Padang Menora ini boleh dilihat lantainya yang reput. Gambar lawatan Tan Sri Nor Mohammad ini disiarkan oleh media arus perdana hari ini (7 Mac 2008). Sekalipun menteri itu menyebut mengenai Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sejak 2000, tetapi rumah wanita berkenaan tak diberi perhatian setelah lapan tahun, hinggalah menjelang pilihanraya esok 8 Mac 2008. (Peringatan: Butterworth tak terletak di negeri Kelantan).

GAMBAR DUA:


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Seri Azmi Khalid melawat ke rumah (atau banglo?) Puan Sabariah di Kampung Kolam, Pasang Besar di kawasan Parlimen Padang Besar disiarkan oleh akhbar arus perdana hari ini (7 Mac 2008) menjelang hari mebuang undi besok (8 Mac 2008). Beliau diiringi calon BN bagi awasan DUN Titi Tinggi Sdr Yip Sun Onn, dengan berkonvoi menaiki motorsikal (kerana jalannya yang sempit serta dikelilingi tanah belukar yang tak dimajukan). Rumah Puan Sabariah yang daif itu tak menggambarkan wilayah berkenaan pesat membangun, malah ianya adalah propaganda bohong BN terhadap kemunduran di Kelantan. (Peringatan: Kampung Kolam terletak di kawasan Parlimen Padang Besar di Perlis, bukannya di Kelantan).

GAMBAR TIGA:


Pertandingan badminton All England yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham bermula dua hari lalu (5 Mac 2008) seolah-olah memberi signal kepada pengundi-pengundi di Malaysia dengan papan tanda iklan bagaikan menonjolkan simbol PAS. Peminat-peminat sukan turut berasa bangga apabila simbol PAS seolah-olah kelihatan di arena berkenaan. Heh heh heh! Sekalipun ianya secara kebetulan sahaja, tetapi ianya memberi gambaran jelas di mana-mana sahaja mata dipalingkan pengundi tak lagi melihat lambang yang lain daripada ‘bulan mengambang penuh’ atau ‘mata’. Malah ketika menonton pertandingan badminton di luar negara pun lambang berkenaan terus menjadi pilihan penonton. Barangkali!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


FIKIRLAH TAK SEKALI TIBA
AKAL PUN TAK SEKALI DATANG!


Sebermula disebut orang banyak akan Perdana Menteri negeri Melayu bernama Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu menyerulah ia akan masyarakat Cina berfikir semasak-masak jika mahukan wakilnya dilantik menyertai jemaah menteri. Syahdan akan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditanya oleh para penyurat ketika melancarkan projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan menaik taraf serta pembinaan Pusat Jantung dan Pembedahan Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam (6 Mac 2008) iaitu dua hari sebelum membuang undi pada 8 Mac 2008. Maka diberitahu oleh nenek moyang fakir adalah ‘fikir itu tak sekali tiba, akal pun tak sekali datang’.

Syahdan sahabat-sahabat fakir juga menghubungilah dengan memberitahu akan Tan Koon Swan yang pernah dipenjara di Singapura pada 1980-an dahulu ialah wakil rakyat dari MCA juga, adanya. Adapun Dato’ Dr Chua Soi Lek itu kabarnya juga ianya wakil rakyat MCA yang dipilih, kemudian dilantik menjadi menteri jua. Maka fakir juga diberitahu akan Tan Sri Mohd Taib Muhammad, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Tan Sri Abu Hassan Omar juga semuanya bukanlah wakil rakyat di luar BN, adanya. Sebermula akan kata-kata memanda Perdana Menteri itu amat baiklah dituruti iaitu berfikirlah semasak-masaknya.

Arakian kata sahibul hikayat setelah berfikir semasak-masaknya, maka bersetujulah Tameng Sari menerima pelawaan Pateh Aria Gajah Mada untuk beradu kekuatan dengan pahlawan Melayu dari Melaka bernama Hang Tuah itu. Adapun Tameng Sari itu adalah pahlawan gagah lagi banyak tau dengan ilmu kebatinan, maka dialah yang dicari oleh Pateh Aria Gajah Mada. Apabila masuk ke tengah peseban, lalu dicabar oleh Tameng Sari akan pahlawan Melayu itu setelah menerima upah berketi-keti emas. Maka cabaran pahlawan Majapahit itu disambut oleh Hang Tuah dengan menyenseng lengan bajunya sambil memangkis, “Ceh, tiada Melayu membuang baka!”, seperti disurat dalam Kitab Melayu daripada penyurat:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, March 6, 2008


JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda dari manusia kepada manusia)







PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA.




DARI LAMAN BLOG



KEMELUT POLITIK DI NEGERI PERLIS
BERKOCAK, BERGOLAK DAN BEROMBAK!



Assalamualaikum,


Memang lama tak mendapat khabar dari rakan-rakan di Perlis, tetapi semalam (5 Februari 2008) Haji Nahmar Jamil mengirim surat beritahu mengenai senario politik di negeri berkenaan yang berkocak, bergolak dan berombak. Sebelumnya mantan editor Dewan Pelajar di DBP, Haji Abdul Ahmad yang sudah bersara dan menetap di Perlis sekadar mengirim SMS sahaja. Begitu juga mantan Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis (3P) Haji Rejab F.I. juga mengirim SMS sempena Maal Hijrah. Maknanya hubungan dengan rakan-rakan tak pernah terputus, sekalipun jarang bersua disebabkan kedudukan geografi yang berbeza. Dr Harun Kidam dari Melaka pula pernah berkunjung ke rumah Tan Sri Khalid Ibrahim malam 12 Februari 2008 dengan membaca puisi, sayangnya tak sempat pula bertemu, mungkin saya leka berbual dengan Hajjah Habsah Hassan dan Hajjah Rubiah Suparman.




Bagaimanapun surat dari Haji Nahmar memang menarik kerana dilampirkan pula risalah politik yang disibarkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka Kelawar Tok Bah, Toyol, Gedembai dan Kongkiak. Haji Nahmar juga menulis: “Saya cukup gembira saudara berceramah di platform pembangkang, malangnya saudara disalah faham dianggap sebagai sasterawan heh heh heh (lihat Mingguan Siasah). Mudah-mudahan berjaya pembangkang.”. Hingga tulisan ini dinukil saya masih belum membaca ‘Mingguan Siasah’, tetapi sudah melihat blog MSO (mungkin sahaja petikan dari blog MSO) apabila saya dijemput berceramah oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Wangsa Maju, Sdr Wee Choo Keong. Memang PRIMA tak terbabit dengan mana-mana parti politik, tetapi bersedia dijemput untuk memberikan ceramah. Begitulah!



Kalangan penulis-penulis bukanlah anti-establishement, sebaliknya mahu melihat kerajaan yang bersih, bersedia menerima teguran dan memberi keseksamaan kepada rakyat. Justeru PRIMA menyambut baik pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 15 Ogos 2007 iaitu ‘parti (UMNO) tak salah, tetapi orang-orang tertentu dalam parti itu yang bersalah’. Justeru pada pilihanraya ke 12 ini, PRIMA mengambil pendekatan ‘undi calon, bukan undi parti’ berdasarkan pandangan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir, kerana beliau antara pemimpin terawal di samping Tengku Razaleigh Hamzah yang bersedia menerima kunjunga PRIMA.




Justeru pembabitan aktivis PRIMA memberi ceramah di atas platform pembangkang sekadar ‘memilih calon’ bukan ‘memilih parti’ seperti dilakukan oleh Jurucakap PRIMA apabila berceramah menerusi platform PAS di Pasir Mas, Kelantan. Begitu juga Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang menjalankan ‘kanvesing’ di rancangan Felda di kawasan Parlimen Pekan menggunakan platform BN, adalah berdasarkan pendekatan ‘undi calon, bukan undi parti’. Justeru apabila saya menerima jemputan untuk berceramah di platform PKR di kawasan Parlimen Wangsa Maju, juga adalah berdasarkan pendekatan yang sama iaitu mahukan kerajaan yang bersih, bersedia menerima kritikan dan mampu memberi keseksamaan kepada rakyat. Mudah-mudahan!




-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA



DIPENGARUHI HAGEMONI KUASA
PILHANRAYA DI THAILAND MENULAR



Keputusan pilihanraya di Thailand dan di Pakistan tahun lalu (2007) boleh menular di Malaysia pada 8 Mac ini (2008), sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipengaruhi oleh hagemoni kuasa, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamil Hijaz. Langkah membatalkan penggunaan dakwat khas bagi menanda kuku atau jari pada saat-saat akhir menunjukkan hagemoni kuasa seperti ditunjukkan oleh Thaksin Shinawatra di Thailand dan Pervez Musharraf di Pakistan mempengaruhi keputusan pilihanraya yang jelas penuh kontroversi, hipokrasi dan korupsi, beritahu Dato’ Kamal Amir lagi. “Kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini (6 Mac 2008) menimbulkan persoalan apabila beliau sendiri menghantar laporan kepada SPR,” menurut Dato’ Kamal Amir.





Seterusnya beliau menambah, sebagai badan bebas SPR tak seharusnya menerima pandangan pihak polis, sebaliknya merujuk kepada Menteri Dalam Negeri sebelum langkah membatalkan itu dilaksanakan. Sekiranya berdasarkan laporan polis sahaja sesuatu sistem boleh diubah di saat-saat akhir, mungkin sahaja SPR juga boleh membuat keputusan membatalkan pilihanraya apabila menerima laporan pihak polis, beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Apalagi sebelum ini Tan Sri Musa juga turut membuat kenyataan mendedahkan lapan negeri dalam keadaan ‘panas’, yang seharusnya tak disuarakan oleh penjawat awam. “Kalau keadaan keselamatan berbahaya, lebih baik di peringkat awal polis menasihatkan pilihanraya tak diadakan,” kata Dato’ Kamal Amir.





NAFI TERBABIT PENGARUHI:
IBARHIM CALON PAS DI PASIR MAS

Aktivis masyarakat Haji Mohd Sayuti Omar menafikan beliau terbabit mempegaruhi pimpinan PAS di Kelantan menerima Dato’ Ibrahim Ali menjadi calon di Pasir Mas. Beliau menolak desas desus yang menyebut hubungan akrabnya dengan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendorong parti itu meletakkan Dato’ Ibrahim menjadi calon pada pilihanraya 8 Mac 2008 ini. Menurut Haji Mohd Sayuti, pimpinan kolektif PAS di Kelantan yang menilai prestasi Dato’ Ibrahim sewaktu beliau menjadi Ahli Parlimen BN, malah beliau juga aktif ketika mengambil bahagian dalam perbahasan. Seterusnya kata Haji Mohd Sayuti, beliau difahamkan rakyat di Pasir Mas menyedari Dato’ Ibrahim prihatin dengan pendidikan anak-anak Melayu.





“Saya difahamkan sesiapa sahaja mengadu kepada Dato’ Ibrahim mengenai kesulitan menghantar anak-anak mendapat pendidikan, beliau akan membantu sedaya upaya tak mengira penyokong UMNO mahupun penyokong PAS,” jelas Haji Mohd Sayuti yang juga berasal dari Pasir Mas. Menurut Haji Mohd Sayuti dalam politik memang musuh sentiasa mengambil pendekatan negatif, justeru tak hairanlah Dato’ Ibrahim dilabel sebagai ‘pakar lompat’. Sebaliknya beritahu Haji Mohd Sayuti lagi, ramai lagi pimpinan politik yang melompat tapi tak pernah disentuh termasuk juga tokoh-tokoh ternama di satu masa lalu. “Memang saya turut mengiringi Dato’ Ibrahim semasa penamaan calon, tapi tak pernah mempengaruhinya bagi menjadi calon PAS,” kata Haji Mohd Sayuti.

INFO SASTERA & BUDAYA



KEJATUHAN LEKRA DAN KOMUNISME
DITERBITKAN SEMULA UNTUK PEMAHAMAN

Buku ‘Pertumbuhan, Perkembangan dan Kejatuhan Lekra di Indonesia’ (PPDKLDI) oleh Yahaya Ismail akan diterbitkan semula, bagi membolehkan generasi alaf baru 2000 memahami bahaya komunisme kepada tamadun manusia. Yahaya Ismail pengkritik sastera tersohor dekad 1960-an memberitahu, buku berkenaan yang buat pertama kali diterbitkan pada 1972 menerusi DBP, akan diulang cetak oleh sebuah penerbitan di Indoensia. Dengan kata pengantarnya oleh pengkritik sastera ternama di Indonesia iaitu H.B. Jassin, fokus memang tertumpu kepada Lekra (Lembaga Kebudayaan Rakyat) yang disusupi anasir komunisme sekitar dekad 1960-an, hingga menyebabkan berlakunya kebangkitan rakyat menentang Presiden Sukarno dalam ‘Gerakan 30 September 1967’.





Ketika mengalu-alukan penerbitan semula buku berkenaan, pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menganggap PPDKLDI adalah kajian ilmiah yang sesuai untuk memberi kefahaman kepada rakyat Indonesia dan Malaysia mengenai bahayanya unsur-unsur komunisme. Justeru, kata Dato’ Dr Mohd Mansur generasi muda perlu didekatkan dengan kebebasan minda, bagi menolak sistem komunisme yang tak menerima agama sebagai landasan kehidupan rakyat. Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga aktivis budaya dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM memberitahu, sekalipun PPDKLDI sudah diterbitkan lebih 30 tahun lalu, tetapi masih relevan dijadikan bahan bacaan umum yang sesuai kepada semua peringkat umur.

Memang PPDKLDI merupakan tesis Yahaya bagi memenuhi pengajian akademik di Universiti Nasional Indonesia di bawah seliaan H.B. Jassin, tetapi persoalan yang dibawa merumuskan kepentingan di nusantara. Dalam kata pengantarnya H. B. Jassin juga turut mengakui: “Telah beberapa buku terbit mengenai komunisme di Indonesia, antara lain karangan Brackman, Hindley, Kahin, tapi mereka sama sekali tidak menyinggung peranannya di lapangan kebudayaan. Syukurlah skripsi ini sekarang sudah dapat terbit di Malaysia. Mudah-mudahan menjadi cermin, jangan sampai apa yang dialami di Indonesia berulang pula di Malaysia.” Maknanya kebobrokan dalam pentadiran kerajaan memungkinkan anasir luar menyusup masuk dalam kebudayaan tempatan. Barangkali!



KOMENTAR
bersama Pak Parjo




PERIHAL PENDAPATAN RAKYAT
HASIL KAJIAN YANG MENINGKAT

Sebermula tersebutlah di negeri Melayu akan Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2007 yang dikeluarkan semalam (27 Safar 1429 atau tarikh anak-anak muda sekarang 5 Mac 2008) menjadi kebanggaan pembesar-pembesar negeri yang mahu dipuji-puji iaitu meningkat 4.3% daripda RM3,249 sebulan pada 2004 kepada RM3,686 pada 2007. Maka bertanyalah sahabat-sahabat fakir kepada penjaja kecil di tepi jalan, mahu dapatkan laba RM70 sehari ini pun ‘wal hasil balik hasal’. Syahdan akan pemandu teksi pula merungut kerana pakai gas pun (sebelumnya menggunakan petrol), pening kepala juga mahu dapat keuntungan bersih RM40 sehari. Tak tahulah sama ada kajian itu adalah berdasarkan hitung panjang purata termasuk pendapatan Patrick Lim, Vincent Tan, Ananda Krishnan atau Robert Kuok yang dicampurkan dengan petani, penjaja, nelayan dan heh heh heh!



Syahdan pergilah sahabat-sahabat fakir ke Felda kerana kononnya peneroka-peneroka menerima bonus RM500 setiap keluarga, apabila diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri negeri Melayu itu yang bernama Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Bahawasanya pada zaman purbakala akan Bendahara Paduka Raja tidaklah mempunyai ia akan timbalannya, tetapi taat setianya tiadalah berbelah bahagi kerana ‘pantang anak Melayu derhaka’. Maka peneroka-peneroka Felda itu memberitahu sahabat-sahabat fakir akan bonus itu memanglah diberi setiap tahun sebagai dividen, tetapi setelah dipotong itu dan ini oleh koperasi baliklah peneroka-peneroka itu ke rumah masing-masing ‘pergi dapat engap, balik dapat hembus’. Isy isy isy!




Arakian setelah didengar oleh Sultan Mahmud perihal syarat-syarat peminangan yang dikehendaki oleh Puteri Gunung Ledang seperti disembahkan Tun Mamat, maka baginda menitahkan semua orang besar-besar Melaka menyediakan segala permintaan tersebut. Syahdan bagi membina jembatan emas dan jembatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang itu, maka segala hamba rakyat dikerah memberikan segala barang-barang kemas mereka. Akan setempayan air mata dan setempayan air pinang muda pula, lalu dikerah segala hamba rakyat menangis dengan menadahkan air mata mereka. Terlalu gembiralah Sultan Mahmud kerana hamba rakyat boleh dikerah menyediakan segala yang dititah baginda seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ dan disurat oleh:















HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, March 5, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan manusia kepada manusia)





PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA




DARI LAMAN BLOG




SINGGAH DI HENTIAN LEBUHRAYA
HAMPIR DISERBU PEKERJA INDONESIA




Assalamualaikum,




Hampir saya tergelak besar ketika singgah di hentian lebuhraya Seremban, selepas berlangsung pilihan raya umum (Pemilu) di Indonesia beberapa tahun lalu. Bukanlah keputusan pilihanraya itu menyebabkan saya mahu tergelak besar, tetapi kawan saya Dr Abdul Wahid Suhaimi dan Haji Abu Bakar Ninggal diserbu beberapa orang pekerja am dari Indonesia sebaik sahaja masuk ke kawasan hentian berkenaan. Keputusan Pemilu di Indonesia ketika itu memperlihatkan kejatuhan Parti Golongan Karya (Golkar) yang dipimpin Pak Akbar Tanjong di tangan gabungan parti-parti politik pimpinan Haji Abdul Rahman Wahid (Gus Dur) dan Megawati Sukarnoputeri. Sebaik sahaja masuk ke kawasan hentian saya terus duduk menunggu Dr Abdul Wahid (bekas penyokong setia Dato’ Seri Anwar Ibrahim) dan Haji Abu Bakar memesan minuman.




Apalagi jam sudah hampir 3.00 pagi, dalam keadaan terkuap-kuap mengantuk memang wajar pun berhenti untuk meneguk kopi. Kebetulan kami baru balik dari satu kawasan Felda menemui seseorang dalam usaha memberi sokongan moral kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (ketika itu masih lagi di dalam penjara Sungai Buloh). Beberapa orang pekerja am dari Indonesia itu menghampiri Dr Abdul Wahid sambil mengerling ke arah saya yang terkuap-kuap menunggu Haji Abu Bakar memesan kopi. Mereka bertanya pada Dr Abdul Wahid sama ada saya (yang duduk terkuap-kuap itu) Pak Akbar Tanjung atau ‘pelanduk dua serupa’. Selepas Dr Abdul Wahid memberi penjelasan, pekerja-pekerja am Indonesia berlalu tetapi sempat juga melambai tangan ke arah saya.




Dr Abdul Wahid memberitahu pekerja-pekerja am Indonesia itu menyangka saya Pak Akbar Tanjung, sekalipun saya tak pernah ambil tahu mengenai Pemilu di Indonesia yang membawa kejatuhan Golkar. Maknanya, rakyat Indonesia tak memikirkan kekalahan Golkar, sebaliknya ciri-ciri kepimpinan politik diberi keutamaan. Bagi mereka memang tak senang dengan pentadbiran Allahayarham Presiden Suharto yang memimpin Golkar, sebaliknya rakyat Indonesia tak menyalahkan parti terbabit. Bagaimanapun Pemilu yang digerakkan di Indonesia berbeza dengan pilihanraya umum di Malaysia, kerana calon-calon yang bertanding tak ditetapkan kawasan masing-masing. Calon-calon yang menang dikira berdasarkan peratusan undi yang diterima oleh parti masing-masing bagi jumlah kerusi yang diperolehi. Begitulah!

Bagi pekerja-pekerja am Indonesia yang bekerja di Malaysia, mereka juga dikenakan tanggungjawab mengundi menerusi kedutaannya di Kuala Lumpur. Golkar dikatakan menerima undi daripada warga negara mereka yang bekerja di Indonesia, justeru tak hairanlah pekerja-pekerja terbabit terkeliru ketika terserempak saya di hentian lebuhraya Seremban. Memang Dr Abdul Wahid dan Haji Abu Bakar juga berasa hairan apabila pekerja-pekerja warga Indonesia itu menyangka saya Pak Akbar Tanjung, menyebabkan mereka berdua mencari gambar pemimpin Golkar itu di akhbar-akhbar. Bagaimanapun saya difahamkan ketika berkunjung ke Indonesia, Golkar sukar mencapai kemenangan apabila dipimpin oleh Pak Akbar Tanjung disebabkan sentimen keJawaan yang menebal di Jakarta. (Pak Akbar Tanjung berketurunan Minangkabau).

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA



TERUJA MENJELANG HARI MENGUNDI
PENYAIR DI PERLIS GESA PILIH CALON

Kalangan penyair dan penulis di Perlis turut menyibar risalah meminta rakyat mengundi calon dan bukan parti seperti disarankan oleh PRIMA. Penyair Nahmar Jamil dari Kangar mengirimkan risalah-risalah berkenaan yang disampaikan oleh mereka yang menamakan diri masing-masing Toyol, Kelawar Tok Bah, Gedembai dan Kongkiak. Menurutnya, kalangan UMNO di Perlis turut kecewa dengan keputusan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan semula Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kassim bertanding menjadi calon pilihanraya. “Ada 12 dalil atau perkara Dato’ Seri Shahidan tak boleh lagi jadi Menteri Besar, sebut sahaja satu persatu semua orang Perlis tahu,” menurut risalah berkenaan.

Justeru kalangan penyair dan penulis di Perlis terpaksa bangkit menyeru rakyat Perlis merealisasikan saranan pimpinan PRIMA iaitu ‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’ dengan gesaan mengundi calon yang menentang Dato’ Seri Shahidan. Mereka juga turut menyelar pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan calon-calon bersih mewakili BN, sebaliknya meletakkan ramai ‘calon-calon haprak’ kerana berharap rakyat terus ‘memilih parti dan bukannya calon’. Risalah yang disibar oleh penyair-penyair dan penulis-penulis di Perlis itu turut memuatkan ungkapan puisi yang sinikal berjudul: PANGKAH lah BN (yang dimaksudkan ‘lah’ ialah PM).

PANGKAH lah BN
Supaya
Harga barang segera naik
Petrol segera naik
Tol segera naik
Budak sekolah X kena yuran…tipu
Budak universiti kena PTPTN
Rasuah merajalela
Corect, corect, corect…terus
Merajalela!

KALAU KERAJAAN TAK TERBABIT
PECAT SERTA MERTA PENGERUSI SPR.

Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan tanda dakwat khas bagi menanda kuku atau jari pengundi dalam usaha mengadakan pilihanraya telus mengikut sistem demokrasi, cuba digagalkan oleh pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai misi terakhirnya menjalankan tugas, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Laporan media hari ini (5 Februari 2008) mengenai keputusan SPR di saat-saat akhir itu atas alasan pihak polis mengesan cubaan tipu yang babitkan empat indvidu tiga negeri, sebagai mengecewakan. “Sekiranya empat individu terbabit sudah disiasat polis, tak ada sebab SPR membatalkan perancangan awal menggunakan dakwat berkenaan,” kata Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya ujar Dato’ Kamal Amir, sekalipun Tan Sri Abdul Rashid menjalankan tugas kali terakhir kerana tempoh perkhidmatannya disambung setahun sahaja, beliau (Tan Sri Abdul Rashid) tak seharusnya mengambil sikap mudah. Apalagi Ketua Polis Negera Tan Sri Musa Hassan sendiri mengakui siasatan awal polis sudah dilakukan, dan mereka yang cuba mengelirukan ketelusan pilihanraya sudah dipantau, justeru tak ada sebab SPR bedolak dalik, jelasnya. Beliau juga turut membidas Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang terus bersandiwara dengan menafikan kerajaan tak terbabit dengan urusan SPR. “Kalau tak terbabit, kerajaan harus bertanggungjawab memecat Pengerusi SPR serta merta sebelum hari mengundi 8 Mac ini,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

GOLONGAN YANG HARAM DISOKONG
DARI BUKU MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

(Dipetik dari buku Mohd Asri Zainul Abidin sebelum beliau dilantik menjadi Mufti Negeri Perlis)


Apabila orang Islam menganggap persoalan politik ialah sesuatu yang tiada kaitan dengan Islam, maka mereka menyerahkan kuasa kepada sesiapa sahaja yang mereka suka dengan perhitungan nafsu tanpa melihat kepada tuntutan-tuntutan agama. Hasil dari sikap ini maka individu serta golongan yang jahat dan zalim menguasai tampuk pemerintahan. Golongan ini menganggap kuasa adalah sumber dan lesen untuk mereka melakukan apa sahaja tanpa merasa takut kepada amaran-amaran Allah. Politik dijadikan modal untuk mengaut kekayaan dan harta serta melakukan jenayah dan kezaliman ke atas orang lain. Ini adalah politik yang diwarisi daripada Fira’un dan kuncu-kuncunya. Firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 4:

(Maksudnya): Sesungguhnya Fira'un telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Is menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan.

Sekiranya Fira'un membunuh anak-anak lelaki di kalangan Bani Israel kerana bimbang tergugat kuasa dan politiknya demikian juga dengan pewaris menghapus dan menghancurkan segala musuh politiknya yang boleh menggugat sistem kezaliman dan kekejaman yang dihidupkan. Para ulama seperti disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam ‘Fath al-Bari’ menamakan Abu Jahl sebagai (Fira’un bagi umat ini) kerana sikapnya yang menentang kebenaran dan zalim. Sebenarnya Fira’un adalah gelaran yang diberikan kepada sesiapa memerintah Mesir Kuno. Abu Jahl bukan pemerintah negeri Mesir dan beliau juga tidak membunuh anak-anak lelaki Quraisy atau Israel, namun sikapnya yang bangkit melakukan kezaliman dan mengepalai penentangan terhadap kebenaran melayakkan beliau dianugerahkan gelaran berkenaan.

Golongan zalim akan menghadap Allah dengan kemurkaanNya. Demikian juga para pengikut dan penyokong mereka akan dihadapkan ke atas jenayah sokongan terhadap kezaliman. Oleh itu bertaubatlah jika anda pernah menyokong golongan yang zalim, sam ada dengan suara, perbuatan atau undi anda. Janganlah diulangi kemungkaran ini di kala kezaliman kelihatan sangat jelas dan nyata di hadapan mata kita. Allahu Akbar wa lillah al-Hamd.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

SURAT RAHSIA YANG DIDEDAH
ORANG BESAR MENJADI BIMBANG

Kata sahibul hikayat orang besar di Pulau Mutiara bernama Tan Sri Dr Koh Tsu Koon itu berasa bimbanglah ia apabila surat rahsianya kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi diketahui oleh sekalian rakyat jelata. Adapun disuratkan orang pada hari Rabu (5 Mac 2008 bersamaan 27 Safar 1429) mengakulah orang besar itu surat berkenaan bocor, lalu diminta siasat sesiapa yang membocorkannya. Seperti disuratkan orang banyak, adapun orang besar tersebut memberikan kontrak bernilai RM1 bilion kepada pedagang Motorola untuk meneruskan perdagangannya di Pulau Mutiara itu, telah ditafsir oleh orang banyak sebagai merasuah. Kononnya pedagang terbabit melabur RM350 juta dengan menjadikan negeri Melayu ini sebagai tempat pemasarannya.

Syahdan akan Sultan Malikul Mansor itu terbuanglah ke Manjong, setelah menerima surat rahsia daripada abangnya Sultan Malikul-Tahir. Adapun surat rahsia yang dibawa oleh Tun Perpateh Tulus Tukang Sagari itu kononnya mempersilakan Sultan Malikul Mansor ke istana, tetapi apabila masuk menghadap semua juak-juak hulubalangnya diminta tinggal di luar. Maka Sultan Malikul Mansor bersama menterinya Sidi Ali Hisamuddin dibuang ke Manjong, dengan Sidi Ali Hishamuddin dipenggal lehernya. Setelah tiga tahun berasa masygholllah Sultan Malikul Tahir kerana menurunkan adiknya dari takhta, lalu dihantar surat yang tak rahsia menjemputnya semula ke istana. Tetapi sampai di Padang Maya Sultan Malikul Mansor singgah di kubur menterinya Sidi Ali Hisamuddin lalu hilanglah dia menurut ceritera Kitab Melayu dan:
















HIDUP BAHASA MELAYU!
JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)






PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA


DARI LAMAN BLOG




ANJAKAN PENGUNDI MELAYU
BOLEH MENGUBAH SENARIO POLITIK




Assalamualaikum,




Tak semena-mena semalam (3 Mac 2008) seorang kawan dari Seremban, Haji Kamaruddin Sulaiman mengirim SMS bertanya mengenai senario politik sekarang, berdasarkan pandangan PRIMA. Pesara kerajaan yang terbabit dalam perniagaan itu mengakui BN masih mampu mendominasi pentadbiran negara pada pilihanraya umum ke 12, 8 Mac 2008 nanti, tetapi anjakan pengundi Melayu mungkin mengubah senario politik keseluruhannya. Kata Haji Kamaruddin, anjakan pengundi Melayu tak akan berlaku seperti tsunami kerana majoriti penduduk di luar bandar minda mereka seolah-olah komputer mengikut set yang telah diprogram. Bagaimanapun undi bukan Melayu di bandar juga tak memberi banyak perubahan, apabila parti-parti pembangkang tak mampu membawa sebarang perubahan radikal.

Mungkin sahaja isu pengundi hantu berkesan di kawasan yang kedudukannya 50-50, sebaliknya apabila BN mampu mendominasi pengaruh dengan majoriti hampir 10,000 ianya tak memerlukan ‘pengundi hantu’. Apalagi jumlah ‘pengundi hantu’ dikatakan menjangkau hampir 90,000, tentulah sukar diterima akal kerana secara logik bagaimana mahu mengangkut mereka ke pusat membuang undi? Memang isu ‘pengundi hantu’ sudah berlaku sejak dekad 1960-an pun, malah dalam pilihanraya 1974 ramai pengundi tak berpeluang mengundi apabila nama mereka tak tersenarai dalam daftar pengundi. Sebaliknya selepas pilihanraya mereka menyedari nama masing-masing dipindahkan ke kawasan DUN yang lain, sekalipun masih di Parlimen yang sama.

Begitu juga pada pilihanraya 1995, ketika membuat kiraan undi pos, wakil saya mengeluh panjang kerana beberapa kertas undi ditolak (ditakrif sebagai undi rosak) adalah lambang ‘kepala banting’ (PRM). Bantahan tak dibuat apabila ianya dianggap ‘undi rosak’, tetapi bagaimana kertas undi ‘kepala banting’ lawan ‘dacing’ dimasukkan ke dalam peti undi berkenaan. Tak apalah! Sebaliknya kemenangan ‘gemilang’ BN pada pilihanraya 1995, terpaksa dibayar dengan ‘kesakitan’ amat sangat pada pilihanraya 1999. Begitu juga kemenangan ‘cemerlang’ pada pilihanraya 1974, dibayar dengan harga besar apabila PAS keluar daripada BN pada 1978. Tak tahulah dengan kemenangan ‘terbilang’ pada pilihanraya 2004, sama ada akan dibayar atau tidak pada pilihanraya ke12, 8 Mac 2008 ini. Heh heh heh!

Kegahirahan propaganda media pula tak sampai ke desa-desa, kerana majoriti pengundi di luar bandar bukanlah membaca akhbar. Kadangkala warta perdana jam 8.00 di TV juga mereka tak sempat menonton, kerana sebahagian besarnya di masjid solat berjemaah hingga menjelang isya’. Apalagi sebahagian besar wartawan yang berkhidmat di media perdana, sekadar menjalankan ‘titah perintah’ sebaliknya ketika berbual-bual bersama teman sekerja mereka akan heh heh heh! Misalnya, sekitar dekad 1990-an ketika ramai pimpinan UMNO terpinggir dari jawatan kabinet, apabila menjemput rakan-rakan kalangan wartawan dari almarhum akhbar ‘WATAN” bertemu (sambil makan tengah hari) memang sidang editor ingatkan wartawan-wartawan: “Orang politik masa jatuh kenallah wartawan, bila dah naik tak kenal lagi kamu semua”. Begitulah!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA

PM PUJI KEJAYAAN SENDIRI
MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyifatkan sikap memuji-muji kejayaan sendiri oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi seolah-olah ‘seperti masuk bakul angkat sendiri’. Katanya, ketika Pak Lah merasmikan Wisma TNB di Seberang Jaya semalam (3 Mac 2008) beliau memuji-muji kejayaan pimpinannya dalam tempoh empat tahun dengan ekonomi negara berkembang pesat. Justeru menurut Dato’ Kamal Amir, PM sekadar menerima laporan pegawai-pegawai sahaja dengan tak ‘turun padang’ bagi mengetahui penderitaan rakyat dengan kenaikan harga barang-barang komoditi, pengangguran tak terkawal, masalah gejala sosial dan peluang perniagaan di kalangan peniaga-peniaga kecil terbatas. “Kalau PM sekadar mendengar laporan sahaja memang beliau menyangka ekonomi berkembang pesat,” katanya.

Seterusnya beritahu Dato’ Kamal Amir yang juga seorang usahawan, berdasarkan pasaran sahama semalam (3 Mac 2008), bursa saham Asia dan Eropah menjunam teruk di Wall Street sejak Jumaat (29 Februari 2008) berikutan kemelesetan ekonomi di Ameriks Syarikat. Kalau Indeks Hang Seng di Hong Kong jatuh 3.07 peratus, Indeks Strait Times di Singapura jatuh 3.3 peratus, takkan Indeks Komposit Kuala Lumpur yang merudum 26.79 mata dianggap hebat sangat, menurut Dato’ Kamal Amir. Justeru katanya, tak perlu kita merujuk kepada bursa saham, memadai ‘turun padang’ melihat kesulitan peniaga-peniaga kecil sama ada restoran, stationery, gerai-gerai mahupun tekstil bagaimana pergerakan ekonomi mereka dalam tempoh empat tahun lalu. “Sekadar menerima laporan memang pegawai-pegawai akan sediakan yang terbaik,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

PRESTIJ NEGARA MAKIN MENURUN
KHAIRY BOLEH MEMBAWA BENCANA

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya dalam temubual yang disiarkan menerusi ‘Today Online’ memberitahu pandangannya mengenai Naib Ketua UMNO, Khairy Jamaluddin: “Saya rasa, jika anda mengikut mereka, ia akan membawa bencana kepada parti (UMNO).” Jawapan Tun Dr Mohamad berkaitan dengan kemungkinan menantu Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein memainkan peranan yang lebih besar dalam UMNO selepas pilihanraya ke 12 ini (8 Mac 2008). Menurut bekas Perdana Menteri itu dalam temubual tersebut, kad laporan yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Abdullah tak melaporkan apa-apa perkara yang negatif.

“Sebagai contoh kehilangan begitu banyak wang, prestij negara menurun dan hakikat bahawa ramai yang tidak dapat kerja dan perniagaan di dalam negara ini sehingga mereka terpaksa pergi ke tempat lain,” beritahu Tun Dr Mahathir dalam temubual tersebut. Malah beliau turut menyifatkan koridor demi koridor yang dilancarkan oleh Dato’ Seri Abdullah sekadar pengumuman sahaja semata-mata. “Tidak ada apa-apa yang berlaku di tempat berkenaan. Jumlah wang yang terlibat begitu hebat, sehingga berterilion ringgit dan akan menjadi kenyataan mungkin dalam masa 10 hingga 20 tahun lagi. Oleh itu kesemuanya adalah janji. Sesiapa sahaja boleh berjanji,” kata Tun Dr Mahathir. (risalah ‘Kempen’ yang dikeluarkan oleh PAS – 3 Mac 2008).

MANIFESTO BN GAGAL BERSAING
SUKAR LINDUNGI KEBAJIKAN RAKYAT



Manifesto BN gagal bersaing dengan tawaran BA menyebabkan media perdana yang dimonopoli oleh kerajaan bertubi-tubi cuba memutar belitkan kandungan manifesto BA, beritahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap dalam ceramah di Jalan Thambi Abdullah, Brickfields 28 Februari (2008) lalu. Dato’ Seri Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan seterusnya menegaskan, “Rakyat telah menderita dengan kenaikan harga barang, tol dan khasnya minyak naik menyebabkan barang naik, makanan dan kos pengangkutan pun jadi mahal. Semuanya berpunca daripada kenaikan harga minyak.”

Menurutnya lagi, kerajaan perasuah menyebabkan kenaikan harga pendidikan yang tak munasabah. Kononnya pendidikan percuma tetapi ada bayaran yuran tambahan yang menyebabkan ibu bapa tertekan dengan propaganda tipu daya murahan, ujar Dato’ Seri Anwar menambah. Sepatutnya kata Dato’ Seri Anwar lagi, sebahagian keuntungan bersih Petronas sebanyak RM80 bilion setahun itu dapat digunakan sebaik-baiknya untuk frasa memberikan pendidikan percuma di sekolah rendah, menengah dan universiti. Justeru beliau meminta rakyat memberikan peluang kepada BA mentadbirkan negara selepas pilihanraya ini, di samping menilai keistimewaannya berbanding dengan BN. “Malah BA berjanji akan bertindak menurunkan harga minyak untuk selesaikan segala masalah yang berbangkit,” beritahu Dato’ Seri Anwar.

INFO SASTERA & BUDAYA

PEJUANG PROLITAR DI DAERAH KECIL
PENEROKA TANAH SECARA BERHEMAH

Ketika pejuang prolitar Hamid Tuah menggemparkan kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Dato’ Abu Bakar Baginda sekitar awal dekad 1960-an dalam isu penerokaan tanah haram, di Negeri Sembilan tampil seorang lagi pejuang prolitar iaitu Dato’ Sati Haji Daud bin Haji Ahmad yang menggerakkan penerokaan tanah secara berhemah. Dalam masa Hamid Tuah menggerakkan penerokaan tanah di Batu Tiga, Subang diikuti Sungai Sirih di Tanjung Karang di Selangor, Dato’ Sati Haji Daud pula bersama pengikut-pengikutnya meneroka tanah di Geylang, Triang Ilir diikuti di Seperi, mukim Gelami Lemi. Di Geylang Dato’ Sati Haji Daud meneroka di lokasi hutan seluas 100 ekar dengan 50 orang pengikutnya menerusi permohonan berhemah di pejabat tanah daerah Jelebu.

Berikutan kejayaan di Geylang, atas kapisiti ketua adat lembaga dagang di daerah Jelebu Dato’ Sati Haji Daud membawa 100 orang pengikutnya meneroka hutan di Seperi di lokasi seluas hampir 300 ekar, dengan setiap pengikutnya memperoleh 2 ¾ ekar pada awal tahun 1960. Bagaimanapun Dato’ Sati Haji Daud gagal meneroka tanah hutan bersama 200 pengikutnya di hutan Hulu Teriang sekitar 1964, berikutan isu tanah haram yang digerakkan oleh Hamid Tuah di Selangor, di samping kerajaan negeri melaksanakan ‘rancangan tanah pinggir’. Malah selepas pilihanraya 1964 sebahagian besar pengikut-pengikut Dato’ Sati Haji Daud berpindah ke kawasan Felda termasuk di Sungai Kelamah, Pasir Besar dan Air Kuning yang terletak di daerah Tampin apabila permohonan mereka menjadi peneroka Felda diterima.

Perjuangan Dato’ Sati Haji Daud menggerakkan penerokaan tanah bagi mereka yang tak bertanah di Negeri Sembilan didokumentasikan menerusi buku ‘Autobigorafi Dato’ Sati Haji Daud bin Haji Ahmad: Pejuang Prolitar Di Daerah Kecil’ yang dihasilkan oleh anaknya sendiri Dharmala N.S. penulis yang menghasilkan banyak buku autobiografi di Malaysia sekarang. Buku yang diterbitkan oleh Prisma Network setebal 260 muka dijual dengan harga RM50.00 bagi kulit tebal dan RM25 kulit nipis. Pengurus penerbitannya Sdr Nasiri Hamid memberitahu, cetakan buku berkenaan terhad berdasarkan permintaan sahaja. “Pasaran secara umum belum lagi dibuat, tetapi buku autobiografi memang dicetak terhad mengikut kadar permintaan,” beritahu Sdr Nasiri.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KELANTAN JADI SASARAN
NEGERI MUNDUR NEGERI MAJU
Syahdan tersebutlah alkisah di negeri Melayu yang mengadakan pemilihan orang-orang besar pada 8 Mac 2008 (atau kira-kira tarikh yang fakir fahami ialah 1 Rabiulawal 1429), sekalian pegawai-pegawainya menuduhlah Kelantan itu negeri termundur kerana diperintah oleh puak-puak yang tak sehaluan dengan mereka. Sebermula seorang bekas menteri wanita pun diminta bersuara lalu dikatakannya ‘selagai negeri Melayu Kelantan diperintah oleh puak-puak tak sehaluan dengannya, maka negeri itu tiadalah perubahan’. Maka fakir pun diberitahu mengenai negeri Melayu Kelantan itu diperintah oleh orang-orang yang sehaluan dengan bekas menteri wanita pada 1978 hinggalah 1990, oleh itu tiadakah perubahan dalam tempoh 12 tahun itu, adanya!

Tersebutlah ceritera pada pemilihan orang besar-besar 2004 berjanjilah calon yang hendak ditabal menjadi MB negeri Melayu Kelantan sekiranya puak-puak mereka berjaya dipilih pada 8 Mac 2008, akan melaksanakan bil elektrik percuma selama tiga bulan. Heh heh heh! Adapun calon berkenaan menanglah dalam pemilihan 2004, tetapi janji untuk bil elektrik percuma selama tiga bulan hanya tinggal janji sahaja, maka sekarang datang semula untuk menabur janji baru untuk membawa kemajuan ianya ke atas negeri Melayu Kelantan yang sudah sedia maju itu. Syahdan fakir pun diberitahu akan perihal Tun Isap dijanjikan keselamatan oleh Sultan Mahmud setelah membunuh Tun Ali. Lalu Seri Dewa Raja anak bungsu Bendahara Paduka Raja diberitahu akan Tun Ali dibunuh oleh Tun Isap, maka diadangnya serta dicabuknya kepala Tun Isap hingga tak selamatlah ia di bumi Melaka itu adanya, kata















HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, March 3, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)






PILIHANRAYA UMUM KE 12, MAC 2008
'UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI'
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA



DARI LAMAN BLOG:


PERANG POSTER MAKIN RANCAK
GAMBAR CALON MACAM PERAGAWAN

Assalamualaikum,


Bekas editor ‘Dewan Pelajar’ dari DBP, Haji Abdul Ahmad yang menetap di Perlis selepas bersara mengirim SMS pagi ini (2 Mac 2008), beritahu mengenai senario politik di negeri berkenaan dengan perang poster semakin rancak di bandar Arau. Haji Abdul yang juga terkenal sebagai pengarang novel kanak-kanak mengakui persaingan sengit berlaku di seluruh negeri, termasuk kawasan DUN Tambun Tulang yang ditandingi oleh Menteri Besar Dato’ Seri Shahidan Kassim. Apalagi kawasan Parlimen Arau yang turut menampilkan adik Dato’ Seri Shahidan selaku calon BN iaitu Dato’ Ismail Kassim dikatakan antara ‘kawasan panas’ di Perlis seperti disebut oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebelum ini.
Bagaimanapun ketika balik menjengah ke Jelebu petang ini (2 Mac 2008) kira-kira jam 4.00 petang, saya sempat singgah di perkampungan Orang Asli ketika melalui jalan Genting Peras dari Hulu Langat. Biasanya mereka menjual petai yang dilonggok di tepi jalan dengan nilai 50 papan (50 keping) RM25.00, tetapi tak kelihatan ulam yang menjadi kesukaan ramai itu, kerana mungkin sahaja bukan musimnya. Apabila saya mengusiknya dengan berkata, “Kalau tak ada petai jual ikut papan, awak jual pakai timbanglah!”. Si penjual Orang Asli itu menjawab, “Petai tak ada musim, macam mana nak jual ikut papan atau pakai timbang!”. Sebaliknya Orang Asli berkenaan bergurau dengan berpantun: Bau hancing, hancing juga, takkan sama buluh dikerat; kalau dacing, dacing juga, takkan timbang sama berat. Begitulah!


Apabila sampai di Jelebu memang saya melihat poster BN merata dari simpang ke Kampung Chennah hingga ke pekan Petaling, tetapi kebanyakannya gambar calon bagi kawasan Parlimen iaitu Dato’ Seri Dr. Rais Yatim. Tak banyak poster gambar calon BN bagi DUN Chennah, sebaliknya calon DUN Kelawang (Dato’ Yunus Rahmat) pula turut ditampal di kawasan Kampung Cempedak hingga ke pekan Petaling (sekalipun terletak di bawah DUN Chennah). Aduhai! Gambar poster Dato’ Seri Dr Rais pula seolah-olah peragawan kerana berposing dalam pelbagai aksi dengan memperaga pakaian Melayu, pakaian berkot, pakaian celorong celoreng (bersama Pak Lah), pakaian kasual (bersama kartun) dan pakaian untuk ke pejabat. Heh heh heh!
Kira-kira jam 7.00 malam, rakan dari Kuala Lumpur pula menelefon beritahu fasal ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi ketika sampai di Hulu Kelang jam 9.30 malam hujan turun. Sebelumnya saya sudah menelefon Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir, sekiranya boleh ke lokasi yang dinyatakan tetapi beliau juga baru balik ke rumah (mungkin sahaja dari bermain golf). Disebabkan tersalah lokasi saya juga sempat hadir pada ceramah terbabit, tetapi ketika balik ke Taman Seri Gombak jalan di fasa 3 berlaku kesesakan lalu lintas sekalipun sudah jam 10.30. Rupa-rupanya calon PAS meneruskan legasi kempen mereka dengan dihadiri ramai jumlah pengikut setianya, menjadikan senario pilihanraya semakin hangat, menyengat dan berbangat!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:
USAHA PERLEKEH BAHASA MELAYU
DOSA YANG AMAT SUKAR DIMAAFKAN


Sesiapa yang memperlekeh ‘Bahasa Melayu’ tak boleh diterima secara bertolak ansur, malah dosanya amat sukar dimaafkan, beritahu pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail. Mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mahu memastikan semua ADUN di dalam kawasan Parlimen Kangar yang ditandinginya perlu fasih Bahasa Inggeris, malah mereka akan diberi kursus singkat apabila menang pilihanraya (laporan media hari ini 2 Mac 2008), Haji Yahaya berkata, DUN Perlis bukanlah Parlimen di Britain justeru tak sewajarnya kenyataan itu dibuat oleh seorang pemimpin tertinggi UMNO. “Perbahasan di Parlimen juga sudah ditetapkan menggunakan Bahasa Melayu selepas tragedi 13 Mei,” jelasnya menambah.


Memang PRIMA menggalakkan budaya ilmu dengan pembelajaran pelbagai bahasa, tetapi bukan meletakkan prasyarat bagi seseorang ADUN atau Ahli Parlimen perlu fasih berbahasa Inggeris apabila memenangi pilihanraya. Haji Yahaya yang juga pemimpin Front Bertindak Bahasa Kebangsaan sekitar dekad 1960-an kecewa dengan kenyataan Dato’ Seri Mohd Radzi yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri kerana undur terlalu jauh ke belakang dalam isu ‘Bahasa Melayu’. Katanya, sekitar dekad 1960-an memang Bahasa Inggeris dibenarkan dalam perbahasan di Parlimen, di samping menjadi bahasa utama di mahkamah. Bagaimanapun selepas tragedi 13 Mei, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sama ada perbahasan di Parlimen mahupun di mahkamah, menurut Haji Yahaya selanjutnya.


PEMBANGKANG BERPELUANG DI PAHANG
BEBERAPA KAWASAN PANAS TERUS BERSAING


Pembangkang dilihat berpeluang mengulangi pencapaian pada pilihanraya 1999, berikutan berlaku persaingan sengit di beberapa kawasan panas. Aktivis PRIMA di Pahang Sdr L. Mankadir Shamsi memberitahu menerusi SMS antara kawasan yang dianggap panas termasuklah DUN Jenderak dan Parlimen Kuala Krau. Katanya DUN Jenderak ditandingi oleh calon PKR Haji Suhaimi Said, di samping Parlimen Kuala Krau meletakkan calon PAS, Ustaz Kamal Shaari. Selepas seminggu berkempen menurut Sdr Mankadir, kedudukan di Parlimen Kuala Krau boleh dikatakan 50-50, serta peluang bagi DUN Jenderak semakin cerah. “Kalau sokongan pengundi tak berubah sehingga hari membuang undi 8 Mac nanti, peluang pembangkang memenangi kawasan berkenaan tak boleh dinafikan,” katanya.

Apalagi pengundi-pengundi mula menerima saranan PRIMA iaitu ‘undi calon, bukan undi parti’ berikutan penerangan yang disampaikan keapda mereka diterima dengan baik, menurut Sdr Mankadir lagi. Beliau mengakui calon PKR Haji Suhaimi diterima baik oleh pengundi-pengundi di Jenderak atas kapisitinya sebagai peguam, di samping hubungan kekeluargaan yang akrab. Sementara calon PAS, Ustaz Kamal Shaari adalah bekas imam masjid negeri Selangor yang menimbulkan kontroversi apabila mendedahkan isu jenazah ‘seseorang’ bertukar menjadi khinzir. Malah Ustaz Kamal dipanggil untuk soal siasat oleh pihak polis berhubung pendedahan yang dibuatnya. “Pengundi-pengundi bertekad untuk memilih calon, bukan parti pada pilihanraya kali ini,” beritahu Sdr Mankadir.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL RAMAI PENGUNDI HANTU
PM NAFI JUMLAH 85,000 MENYUSUP MASUK


Sebermula kata sahibul hikayat Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tak percaya akan perihal pengundi hantu menyusup masuk ke Kelantan dan Terengganu hingga 85,000 orang. Syahdan bersetujulah fakir akan penjelasan Dato’ Seri Abdullah, mereka pengundi-pengundi itu rakyat Terengganu yang bekerja di luar, tetapi balik untuk mengundi. Maka percayalah fakir ramai juga rakyat Terengganu yang berhijrah ke luar bagi bekerja disebabkan kemiskinan dan kemunduran seperti perihal berlaku di Kelantan seperti disebut oleh menantunya Khairy Jamaluddin sebelum ini. Semakin lama banyak pula yang terbongkar, terselongkar dan terlakar apabila pemimpin-pemimpin BN mahu memanipulasi isu kemunduran Kelantan, tetapi di Terengganu juga ramai rakyatnya yang berhijrah ke Kuala Lumpur. Heh heh heh!

Sekali persetua akan Badang itu berasa hairanlah kerana ikan-ikan dalam lukah yang dipasangnya di sungai dicuri orang. Maka berkatalah Badang di dalam hatinya, baik jua akan ku tangkap si pencuri itu. Pada suatu hari Badang pun menghendap dari sebalik belukar untuk memastikan orang yang berani mencuri ikan yang terkena dalam lukahnya itu. Sekonyong-konyong dilihatnya hantu keluar daripada air, lalu memakan ikan-ikan yang terkena lukanya hingga habis tinggal sisa-sia tulang sahaja. Arakian Badang pun menyerbu serta menangkap janggut hantu itu mahu ditetaknya dengan parang beletong. Maka ketakutanlah hantu itu dengan meminta nyawa, di samping berjanji akan memenuhi apa sahaja permintaan Badang yang juga memeningkan kepala:



HIDUP BAHASA MELAYU!