Sunday, July 6, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

NYAWA PROLITAR TERLALU MURAH
RAWATAN IJN UNTUK GOLONGAN MEWAH


Assalamualaikum,


Sudah lama Haji Abu Bakar Ninggal tak menghubungi, tetapi pagi semalam (5 Julai 2008) beliau menelefon saya. Bagaimanapun beliau tak mahu bercakap panjang kerana kredit telefon bimbitnya tak boleh bertahan lama. Ramai juga kawan-kawan merungut menenai bil telefon macam tak munasabah, tetapi perlu juga dibayar kerana ianya perlu sebagai kemudahan awam. Dalam masa yang sama Yassinsalleh pula mengirim SMS fasal Raja Petra Kamaruddin dipanggil memberi keterangan berkaitan akuan bersumpah di balai polis Sentul jam 5.00 petang (5 Julai 2008). Bagaimanapun saya tak sempat untuk ke balai polis, mahupun jamuan makan merayakan 100 hari (mungkin PKR berjaya menubuhkan kerajaan negeri) yang diterima dari SMS menerusi Sallehuddin.


Saya lebih peka dengan SMS yang diterima dari Institut Jantung Negara (IJN) iaitu beritahu temujanji yang dibuat menerusi Hospital Teluk Intan sudah ditetapkan esok (7 Julai 2008) bagi membawa bapa mentua saya mendapatkan rawatan. Hospital Teluk Intan sebelum ini memberitahu keluarga isteri saya, apabila temujanji dengan IJN ditetapkan sekurang-kurangnya sediakan RM5 ribu bagi rawatan lanjut. Justeru keluarga isteri saya berasa serba salah untuk meneruskan rawatan lanjutan di IJN, di samping komplikasi penyakit bapa mentua saya dikatakan serius apabila dimasukkan ke Hospital Teluk Intan baru-baru ini. Aduhai! Bagaimanapun, saya akan ke IJN juga mendapatkan penjelasan mengenai rawatan seterusnya yang diperlukan. Insya Allah!


Tak lama dulu seorang rakan saya (bekas Ahli Parlimen) ketika menerima rawatan di IJN memberitahu saya, polisi di IJN sekarang kemudahan bagi rawatan diberi prioriti kepada golongan mewah, di samping mampu menyediakan kos rawatan. Justeru mereka daripada kalangan prolitar akan menerima giliran ‘bertunda-tunda’ bagi rawatan di IJN, kerana nyawa mereka bolehlah diklafikasikan terlalu murah. Maknanya, tentu golongan prolitar termasuklah bapa mentua saya sekarang sukar mendapatkan rawatan di IJN dengan kos yang tinggi. Bagi mereka yang mengalami penyakit jantung, sekadar pasrah sahaja menunggu waktu yang tak sesaat diundurkan dan tak sesaat didahulukan, dengan polisi yang diamalkan di IJN.


Tentulah sukar bagi pekebun-pekebun kecil mahu mengumpulkan RM5 ribu bagi rawatan jantung, apalagi kalau anak-anak juga sekadar ‘orang pencen’ daripada bekas tentera dan sebagainya. Ketika dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pun kad pesara tenteranya juga tak laku dipamerkan; apatah lagi dengan IJN. Barangkali! Justeru golongan prolitar seperti bapa mentua saya memang tak harapkan apa-apa rawatan di IJN, sebaliknya kalau mengalami ‘rebah’ lagi terpulanglah kepada Hospital Teluk Intan sama ada mahu menerima atau menolaknya. Temujanji dengan IJN memang tak larat untuk diteruskan, tetapi cukuplah menunggu: Pak pung pak mustape, ada dule di rumah nye. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:


PENAFIAN TAK SEMESTINYA BENAR
FAKTA PERLU DISIASAT DENGAN TELUS



Pengendali laman web ‘Malaysiakini’, Raja Petra Kamaruddin hadir di balai polis Sentul jam 5.00 petang semalam (5 Julai 2008) bagi memberi keterangan dalam soal siasat berhubung akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam kes perbicaraan saga warga Mongolia, Altantuya Shaariibu. Raja Petra (Pet) masuk ke kawasan balai polis Sentul dengan diiringi oleh peguamnya, di samping 150 rakan-rakan yang turut memberi sokongan moral kepada beliau, beritahu aktivis masyarakat Yassinsalleh yang mewakili PRIMA. “Isu yang penting bukanlah akuan bersumpah Pet yang dihebohkan, tetapi siasatan yang telus bagi memelihara sistem kehakiman di Malaysia tak diperlekehkan,” beritahu Yassinsalleh selanjutnya.

Keadilan yang diperjuangkan bukan sekadar penafian daripada mulut Dato’ Seri Najib semata-mata, tetapi perlu dibuktikan secara telus, menurut Yassinsalleh lagi. Katanya lagi, sesiapa sahaja boleh menafikan sesuatu isu yang membabitkan dirinya, termasuk juga Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kalau Dato’ Seri Anwar menafikan isu liwat, Dato’ Seri Najib menafikan terlibat dalam kes Altantuya, Tun Dr Mahathir juga turut menafikan campur tangan dalam sistem kehakiman pada 1988, malah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi juga menafikan menantunya Khairy Jamaluddin menguasai ‘Tingkat Empat’, jadi bagaimana penafian itu harus dilihat ianya tak pernah berlaku, jelas Yassinsalleh menambah. “Siapa sahaja boleh menafikan, tetapi rakyat perlu diberitahu kebenaran penafian itu,” beliau menegaskan.

(Gambar ihsan oleh: Yassinsalleh)

INFO SASTERA & BUDAYA:


SIKAP PENULIS MAHU ‘JAGA HATI’
GAPENA KEMBALI PILIH PEDATI LAMA



Pemilihan semula Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein memegang jawatan Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dalam mesyuarat agungnya semalam (5 Julai 2008) bukanlah memeranjatkan kata pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mengulas keputusan mesyuarat agung GAPENA memilih pedati lama, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga penulis prolifik sekitar dekad 1970-an dan 1980-an menganggap, ianya seolah-olah komputer yang sudah diset. Bagaimanapun kata Dato’ Dr Mohd Mansor, dengan 26 undi menolak Tan Sri Ismail daripada memimpin GAPENA, ianya jelas menunjukkan sebahagian penggiat sastera mahukan pimpinan organisasi massa (ormas) itu dirombak. “Tan Sri Ismail perlu berundur secara terhormat, demi membawa perubahan dalam GAPENA,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


Persaingan dalam merebut jawatan Ketua Gapena memperlihatkan pimpinan Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Hanafiah menawarkan diri, tetapi sekadar memperoleh 26 undi beranding Tan Sri Ismail 46 undi. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, rata-rata penulis Malaysia masih dipengaruhi ‘perhambaan minda’ apabila terpaksa untuk ‘menjaga hati’ individu, sekalipun pada dasarnya mereka sudah bosan dan meluat. Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor merujuk kepada insiden persaingan merebut jawatan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) sebelum ini, apabila beliau menawar diri melawan Tengku Alaudin Abdul Majid. Dalam persaingan tersebut Dato’ Dr Mohd Mansor tewas tiga undi sahaja melalui undi terbuka. “Mereka yang serba salah untuk mengangkat tangan, terpaksa berkecuali kerana mahu ‘jaga hati’,” jelasnya.


INFO SUARA PROLITAR:


10 PEGAWAI BUKIT AMAN
SIASAT PET DI BALAI POLIS SENTUL.


I am at Sentul police station. Pet (Raja Petra Kamaruddin) is still inside with his lawyer. They went in 5.15 (pm). The 10 is from Bukit Aman. About 150 supporters and 100 Press. Pet came out at 7.35 (pm). Pet was there as a witness for report made againts him by AG for making false declaration. But the focus of questioning was more on who is Pet’s informer – (SMS; 5 Julai 2008; 20:00:58 – Dr Seri Intan; Kuala Lumpur).


JAMUAN UNTUK SAMBUT 100 HARI
DI RUMAH BLOG BUKIT DAMANSARA


Rocky…tonight, 7.30 pm onwards at Blog House, 66 Lorong Setiabestari 2, Bukit Damansara. Join us for a 100-days Dinner & Get Together – (SMS; 5 Julai 2008; 14:16:02 – Sallehuddin, Kuala Lumpur).


ANAK SAUDARA BUAT LAPORAN
PENYIASAT PERSENDIRIAN HILANG.


Anak saudara kepada penyiasat persendirian Abdul Razak Baginda, (iaitu individu yang kontroversi) Balasubaramaniam, buat laporan polis 5.00 petang tadi berkenaan kehilangan pakciknya. (SMS; 5 Julai 2008; 21:23:36 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PERKARA SIASAH MEMANG KOTOR
MASALAH KELIRU KERANA PERIBADI


Arakian gemparlah sekalian hulubalang juak-juak apabila canang sudah dititir orang banyak ke seluruh pelusuk negeri mengatakan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Razak itu bersih sebersih-bersihnya. Maka berkatalah Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti disuratkan hari ini 3 Rejab 1429 (atau disebut juga 6 Julai 2008), masyarakat jadi keliru kerana masalah peribadi Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tetapi diletakkan hampir seluruh rakyat jelata dalam keadaan tak tentu arah. Syahdan tersebutlah seorang pegawai tinggi agama di sebuah negeri, suatu masa dahulu pernahlah ia mengendalikan perkara khalwat Orangkaya ternama. Maka atas titah perintah Orangkaya ternama perkara khalwat itu didiamkanlah. Akan pegawai tinggi agama itu berhentilah ia lalu menjadi guru agama mengajar anak-anak muridnya.


Sebermula telah sudah berteguh-teguhan janji itu, maka Seri Nara Diraja pun berlengkap menghimpunkan segala orang besar-orang besar yang serta menghadap bendahara dan orang lain sekalian. Telah hari malam, maka Raja Kassim naik gajah yang bernama Juara Demang, Seri Nara Diraja mengepalai gajah, maulana itu pun sama di atas gajah itu. Maka orang kapal pun naik dengan segala alat senjatanya. Maka kata Raja Kassim pada Seri Nara Diraja, ‘Apa bicara tuan hamba, jikalau bendahara tiada serta kita, tiada akan hasil pekerjaan kita; dan jika kita ajak bendahara, di manakah ia mau?’. Maka kata Seri Nara Diraja, ‘Mudah juga pekerjaan itu pada hamba, Tuanku. Mari kita pergi pada bendahara kerana perkara siasah itu memanglah kotor juga,’ seperti disuratkan oleh ‘Kitab Melayu’ dariapada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, July 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERIHAL SENAPANG TAK BERPELURU
SAMA MACAM HARIMAU TAK BERTARING

Assalamualaikum,

Lama juga laman blog PRIMA menyepi, mungkin juga kerana filem ‘Sepi’ akan masuk pawagam Julai ini menyebabkan ianya terikut-ikut untuk bersepi sesepi-sepinya. Sebelum itu Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah menelefon Selasa lalu (1 Julai 2008), fasal isu ‘perihal senapang tak berpeluru’ apabila mahu membantu frasa penting dalam lanskap politik yang serba kucar-kacir, kacau-bilau dan berceridau. Justeru saya beritahu Syed Adnan (Abang Engku), samalah macam harimau tak bertaring, kuku pun tak boleh harap mampu mencakar. Tetapi penyair Yassinsalleh pula mengirim SMS hari ini (4 Julai 2008), kok tak ada peluru, kita belilah. Astaga!

Apalagi hari Isnin (30 Jun 2008), pembantu muzium di Muzium Negeri Sembilan, Ahmad Afian Abdul Kadir beritahu temujanji dengan Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman sudah ditetapkan 10 Julai 2008. Dalam tempoh ‘bersepi’ itu memang saya tumpukan masa untuk manuksrip buku berkaitan Rembau, al-maklumlah! Secara historikal, penyandang pesaka Undang Luak Rembau memang pembesar Melayu yang kuat sentimen menentang penjajah Inggeris. Malah Dato’ Nganit (1819-1838) turut mengangkat senjata secara militan membantu Dato’ Dol Said di Naning. Begitu juga Dato’ Haji Sahil (1871-1883) mengangkat senjata dalam perang di Legong menentang Syed Hamid al-Qadri di Tampin yang disokong oleh Inggeris, di samping menerima risiko dipecat dan dibuang negeri ke Singapura. Begitulah!

Alhamdullillah, sekarang saya keluar dari ‘kamar menyepi’ untuk sama berblog semula dengan PRIMA. Bagaimanapun merasa terkedu juga apabila dilaporkan anak-anak yang belajar di Sekolah Taman Seri Gombak 1 mengalami keracunan makanan Selasa lalu (1 Julai 2008). Kebanyakan ibu bapa pelajar terbabit, bolehlah saya anggap anak atau adik-adik yang sama menetap dalam satu kariah masjid. Apalagi anak saya sendiri juga menjadi tenaga pengajar di sekolah berkenaan, tentulah perasaan ‘kebapaan’ saya sukar disembunyikan apabila anak-anak terbabit sakit perut, muntah-muntah bercampur darah dan tenaga menjadi lemah. Memang kita tak boleh menuding jari kepada sesiapa bagi mencari kesalahan, sebaliknya insiden berkenaan boleh dipantau kalau semua pihak prihatin dengan masalah permakanan di kantin.

Keracunan makanan yang disediakan di kantin sudah berlaku di beberapa buah sekolah sebelum ini, termasuk di Pahang dan Kelantan. Misalnya, kalau jabatan pelajaran ‘turun padang’ apabila menerima aduan ibubapa, dengan tak melayani sebagai isu remeh temeh, segalanya boleh dipantau. PRIMA pernah terbabit dalam satu isu di sebuah sekolah menengah di Selangor berikutan tindakan disiplin yang keterlaluan guru-guru ke atas murid tegar. Jabatan pelajaran sekadar menerima laporan pihak sekolah, yang membuat ‘tekanan’ kepada anak saya (sekarang anak yang dikatakan ‘tegar’ itu sudah menuntut di Universiti Industrial Selangor). Akhirnya, apabila isu berkenaan dibawa PRIMA kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sepatutnya tak perlulah begitu), barulah tindakan segera diambil. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


PIMPINAN ISLAM GEMAR BERBALAH
MUSUH AMBIL PELUANG KELEMAHAN

Pimpinan Melayu yang gemar berbalah akibat perbezaan pendapat, menyebabkan pihak musuh mengambil peluang berikutan kelemahan sendiri apabila mahu memperkasa perpaduan dalam memepertahankan bangsa, agama dan tanahair, kata aktivis belia Dato’ Suhaimi Ibrahim. Mengulas isu Majlis Gurdawara memfailkan permohonan sebagai ‘mencelah’ di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi, Jalan Duta semalam (3 Julai 2008) berikutan larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald-The Chatolic Weekly, beliau menjelaskan ianya berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri. “Itulah masalahnya, orang Islam berbalah sama sendiri, bukan Islam ambil kesempatan atas kelemahan kita,” kata Dato’ Suhaimi yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Laporan akhbar hari ini (4 Julai 2008) menyebut Majlis Gurdawara menerusi Tetuan Jagjit Singh & Co menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, dengan alasan afidavit itu bertujuan menjaga kepentingan kaum Sikh khususnya mengenai kebebasan dan hak-hak dalam perlembagaan Persekutuan. Matlamat permohonan ‘mencelah’ itu bagi mengekalkan agama Sikh, identiti, kebudayaan dan warisan kerana mereka mendakwa, perkataan Allah digunakan bagi merujuk kepada Tuhan adalah sebahagian daripada intergal kepada versi asal Kitab Suci Agama Sikh. Bagaimanapun Setiausaha Agung Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Mohd Radzi Mustapha tak dapat dihubungi bagi memberikan komen.

INFO SASTERA & BUDAYA

DILEMA SENIMAN MELAYU:
KERJAYA BUKAN PROFESION


Pembabitan aktivis seni dalam kerjaya masing-masing berhadapan dilema, kerana sukar dijadikan sebagai profesionalisme berikutan tiada penghargaan yang setimpal, menurut bekas aktivis perfileman Yassinsalleh. Katanya, bukan sahaja imbuhan yang diterima tak berbaloi, malah penghargaan yang diberikan sekadar ‘memilih bulu’. Yassinsalleh yang juga seorang penyair menyentuh isu karyawan muda tak berminat berpersatuan dalam media perdana hari ini (4 Julai 2008). Kalau berpersatuan untuk kepentingan seorang berdua individu, beritahu Yassinsalleh yang pernah dinobatkan pengarah terbaik Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an menerusi ‘Dia Ibuku’, tak hairanlah karyawan muda ‘meluat’ untuk berpersatuan.

Seterusnya ujar Yassinsalleh, pernahkah persatuan-persatuan sedar artis-artis veteran juga tak mampu menjadikan kerjaya mereka sebagai profesionalisme?. “Misalnya, artis meminta bayaran RM100 ribu bagi watak utama sesebuah filem, tentu dianggap ianya mengada-ngada, bukan menghargai bakatnya,” kata Yassinsalleh. Menurutnya, beliau pernah diberitahu, aktor Allahyarham Mahmud June dibayar RM150 untuk watak kecil dalam sebuah drama swasta. Bagaimana mahu menghargai seorang aktor veteran, kalau bayaran hanya sesuai untuk pekerja buruh binaan sehari, beliau menambah. Yassinsalleh juga menyebut mengenai empat artis yang pernah dihantar ke Kongo pada dekad 1960-an, tetapi seorang sahaja diberi anugerah negara.

“Empat artis berkenaan bukannya melancong, tetapi menghiburkan tentera-tentera Malaysia yang berkhidmat di tengah api peperangan di Kongo, di samping turut sama menyabung nyawa,” kata Yassinsalleh lagi. (Berdasarkan rekod artis yang dimasudkan oleh Yassinsalleh ialah Tan Sri S.M. Salim, Ismail Bontak, Normadiah dan Hashimah Yon). Seterusnya Yassinsalleh memberitahu, beliau menerima laporan mengenai penulis skrip TV untuk animasi dibayar RM100 sahaja bagi satu siri, kononnya mengimbangi bayaran murah oleh Astro. “Lebih baik tak payah berpersatuan, kalau untuk kepentingan seorang berdua sahaja individu,” kata Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

SENTIASA BERTAQWA DAN IBADAT
MOGA-MOGA JAUHKAN MALA PETAKA

Bertaqwalah kepada Allah SWT, jangan meminta bantuan kepada makhluk. Tak perlu kita meminta-minta kepada sesama makhluk, kerana Allah SWT sudah mengatur segala yang ada di bumi dan di langit dengan sempurna. Dengan keadaan negara sekarang sibuk orang-orang politik buat masalah, marilah kita semua sentiasa ingatkan Allah SWT. Moga-moga Allah SWT melindungkan negara kita dari mala petaka. – (SMS; 2 Julai 2008 – Abdul Latiff bin Sheikh Haji Ahmad, Seperi Hilir, Jelebu, N. Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SUDAH AZALI SEJAK DAHULUKALA:
PEMBESAR MELAYU FITNAH MEMFITNAH

Syahdan tersebutlah ceritera di negeri Melayu itu, berbalahlah pembesar-pembesarnya dengan tuduh menuduh. Arakian akan Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim masghullah ia kerana khabarnya difitnah orang. Maka tersebutlah pula memanda Timbalan Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengaku juga ianya jadi mangsa difitnah. Sebermula diberitahu orang banyak kepada fakir, terlalu masghullah rakyat jelata kerana fitnah memfitnah semakin menjadi-jadi. Sudah azali sejak dahulukala kononnya pembesar-pembesar Melayu itu memang gemar sangat ianya fitnah memfitnah, tohmah mentohmah, jatuh menjatuh. Sekali persetua di dalam negeri Melayu itu dikata orang banyak macam tak lagi bermaruah, kerana kejadian bermukah itu sudah tak terasa meloyakan, menjijikkan dan menggeli-gelemamkan. Barangkali!

Arakian berkampunglah Pateh Karma Wijaya bersama pembesar-pembesar yang dengki akan Laksamana Hang Tuah itu kerana terlalu disayangi oleh raja. Maka kata Pateh Karma Wijaya, “Apa bicara Orangkaya sekalian, akan Hang Tuah itu sangatlah disayangi sultan, satu salahnya pun tiada!” Syahdan sekalian orang besar itu berfikirlah sesama sendiri. Sekali persetua disebut oranglah adapun akan Laksamana Hang Tuah itu bermukah dengan dayang istana. Terlalu murkalah Sultan Mansor Shah mendengar sembah Pateh Karma Wijaya, merah padam muka baginda. Maka akan Laksamana Hang Tuah disuruh buang jua pada Bendahara Paduka Raja. Maka oleh bendahara segala titah itu dikerjakanlah. Arakian medengar Laksamana Hang Tuah dibuang raja, Hang Jebat pun mengamuk dalam istana. Bergelimpanglah mayat orang banyak, tak terperi bau busuknya akibat diamuk Hang Jebat, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, June 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA PRIMA
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

LETAK UNDANG-UNDANG DI TANGAN
INTEGRITI KAUM SEMAKIN TERCABAR

Assalamualaikum,

Ketika Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah menelefon beritahu kawannya Dato’ Lim ke Taiwan beberapa hari, justeru tak sempat bertemu sifu di Kelang, saya baru sahaja balik teh tarik di gerai mamak kira-kira jam 11.00 pagi. Sebelum itu aktivis belia Sobri Ahmad baru sahaja menelefon beritahu akan menemui mantan Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo petang ini (28 Jun 2008), disebabkan beliau (Dr Khir) masih lagi di Langkawi. Tak apalah! Justeru saya pun mula menaip bagi menyiapkan penulisan buku berkaitan luak Rembau. Hanya beberapa perenggan sahaja menaip, pengarang ‘Buletin Rakyat’ Norzah Haji Kepol menelefon mengajak makan tengahari di gerai ‘gulai kawah’. Heh heh heh!




Semalam pun (27 Jun 2008) Norzah beritahu terpaksa membawa anak kecilnya ke pejabat, disebabkan makcik yang ‘mengasuh’ anaknya mengalami musibah berikutan cucunya dimasukkan ke hospital. Sebaliknya saya tak memberi perhatian kepada perkara yang sudah lumrah berlaku apabila insiden masuk ke hospital memberi implikasi kepada keluarga. Rupa-rupanya cucu wanita terbabit dimasukkan ke hospital akibat di belasah hampir 60 orang pemuda bukan Melayu yang bertindak sebagai gangsterisme apabila terbabit dengan kemalangan kecil di jalanraya. Anak muda bukan Melayu berkenaan enggan mencari penyelesaian, sebaliknya menelefon rakan-rakannya bagi membelasah mangsa berhampiran dengan pasar borong pada petang 26 Jun 2008.

Orang ramai sekadar menyaksikan insiden tersebut, kerana bimbang dengan tindakan gangsterisme pemuda bukan Melayu itu, sambil mencabar sesiapa saja di pasar borong jangan masuk campur urusan mereka. Bagaimanapun sempat juga segelintir orang yang mempunyai telefon bimbit merakamkan insiden berkenaan. Insya Allah ianya boleh membantu siasatan polis. Cucu wanita terbabit bagaimanapun meninggal dunia petang semalam (27 Jun 2006), dan dikebumikan jam 11 malam akibat menjadi mangsa dengan undang-undang diletakkan di tangan sendiri oleh hampir 60 orang pemuda bukan Melayu yang arogan, biadap dan tak beretika!

Diharap kes ini diselesaikan secara telus, tulus dan terus, kerana dari rakaman telefon bimbit amat jelas dengan aksi ganas yang keterlaluan, malah di luar batas kemanusiaan. Mereka bukan sahaja menolak penyelesaian berhemah, malah mencabar intergriti kaum apabila perilaku mereka seolah-olah negara ini tak mempunyai undang-undang, peraturan atau badan kehakiman. Mungkin sahaja ianya dianggap sebagai terlalu beremosi, tetapi adalah tak adil seorang remaja berusia belasan tahun di belasah oleh hampir 60 orang pemuda bukan Melayu yang tak menghormati undang-undang negara. Justeru isu begini tak perlu dirahsiakan semata-mata mahu memelihara intergriti kaum, sebaliknya perlu didedahkan bagi penilaian kepada semua pihak: Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikkan sempadan!

-Pak Dharma.

INFO SUARA PROLITAR


BISA KERIS JADI SIMBOL
JEJAK DITIKAM MATI JUA!

Semangat dan bisa keris Melayu yang menjadi simbol UMNO kononnya: ‘Sebulan dagang menggalas lalu, jejaknya ditikam mati jua, setitik darah jatuh ke laut, setahun ikan tak bermain, setitik darah jatuh ke tanah, semusim padi tak menjadi’. PIRAHHH! Kerana UMNO sebenarnya: ‘Dagang lalu ditanakkan nasi, anak di rumah di bunuh orang, kera di hutan disusukan kenyang, anak di pangku dibiarkan buntang!’. Malangnya nasib Pak Kaduk. – (SMS; 28 Jun 2008; message centre – Yassinsalleh; Kajang, Selangor).

BUDAYA DUSTA SANA SINI
SEMAKIN BERTAMBAH GANAS

OLEH : Asalbayu



Telah kucuba percaya cerita mutakhirtapi hampa lalu aku kecundangmengunyah situasi milenium kinibudaya dusta sanasini tanpa belas mengganas.Lalu aku juga ditauliah bersamajadi penjaja dusta dibawa lewat bicaramendokong doktrin terkinisantun dijenamakan bahan primitif.Didikan dekad-dekad silam sedihnya pada arus terkiniterpinggir setelah dihakis nilai materialinsan lantas hilang keinsanan sejagat.Dunia lihatlahrona pekerti penghunimukini coraknya samasekali berbezadihiasi kezaliman berpanjangan.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MAJLIS MAKAN TAK BOLEH BERUCAP
SAMALAH MACAM DALAM KANDANG

Arakian gemparlah sekalian orang banyak apabila anak Melayu itu tak dibenarkan lagi berucap mengikut tata cara pemilihan dalam ketuanan Melayu. Maka bekas Orangkaya Menteri Besar di negeri Selangor bernama Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo meminta akan larangan berucap itu hendaklah ditarik balik, adanya! Syahdan melarang orang banyak berucap dalam majlis keramaian terasalah macam membaca kitab orang di atas angin yang disebut ‘Animal Farm’, akan tetapi sudahlah banyak kitab-kitab Melayu pada masa ini dikarang orang seperti ‘Tikus Rahmat’ (Hassan Ibrahim), ‘Daerah Tercinta’ (Mohd Mansor Abdullah) dan ‘Tembolok’ (Dharmala N.S.). Syahdan dirawi para sahabat, akan Rasullullah juga tak dibenarkan berdakwah (berucap) di Taif hingga terdampar melarikan diri ke kebun anggur, tetapi diberi perlindungan oleh orang musyrikin juga.

Alkisah, maka ada seorang menteri Sultan Mahmud, Tun Perpatih Hitam namanya, asalnya daripada Tun Jana Bunga Dendang. Maka Tun Perpatih Hitam beranak seorang laki-laki, Tun Husin namanya, terlalu baik sikapnya. Maka kata Tun Husin, ‘Jikalau bapaku dicerca orang, aku mengamuk’. Maka dengan takdir Allah taala, Tun Perpatih Hitam bersoal dengan orang dagang. Maka Tun Perpatih Hitam pun bercerca dengan orang itu pada Bendahara Seri Maharaja. Tatkala itu laksamana pun ada, kerana adat bendahara Melaka apabila menyerca orang temenggung dan laksamana tiada bercerai dengan bendahara. Jikalau ada orang biadap pada bendahara, laksamana membunuh dia, jika yang patut ditangkap dan dipasung, temenggung menangkap dia; demikianlah adat zaman dahulukala disurat ‘Kitab Melayu’ itu oleh:










HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, June 27, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA PRIMA
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

TAK DENGAR FASAL DESAS DESUS
NAIB CANSELOR UNISEL DIBERHENTIKAN.

Assalamualaikum,

Memang berhasrat mahu menghadiri perjumpaan yang digerakkan oleh Yassinsalleh bersama Dato’ Ruhanie Ahmad (Ron), Dato’ Dr Alias Muhammad dan Dr Seri Intan di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Haji Hussein, jam 8.00 malam 26 Jun 2008. Tetapi anak saya Ikram Hafiz menelefon dari Universiti Industrial Selangor (Unisel) meminta dijemput selepas maghrib, disebabkan Jumaat (27 Jun 2008) tak ada kelas. Yassinsalleh (bapa saudara saya) yang menggerakkan perjumpaan tersebut, memberikan laporannya melewati jam 12 malam, berkaitan senario politik yang bergolak, berolak dan berombak sejak berakhir PRU12. Heh heh heh! Ketika memasuki kawasan Unisel, tak pula didengar desas desus mengenai kedudukan Naib Canselor yang dilaporkan hari ini (27 Jun 2008) perkhidmatannya ditamatkan.

Tengaharinya (26 Jun 2008), Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengajak makan tengahari di restoran ala Minang (Natrabu) di Kampung Baru, di samping menikmati minuman kegemaran saya ‘pokat’. Sdr Haji Mohd Sayuti Omar dan pengendali laman blog Sdr Sallehuddin juga turut sama. Sebelum itu Sdr Sallehuddin menelefon beritahu insiden seorang rakannya sewaktu menuntut di USA berhadapan dengan keberangan orang ramai, disebabkan sekarang berkhidmat di pejabat Menteri Besar Selangor dari Pakatan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim. Sdr Sallehuddin sendiri kurang tertarik dengan pendekatan Tan Sri Khalid mentadbir kerajaan negeri Selangor, malah berharap ianya boleh digilirkan kepada Dato’ Dr Hassan Ali dari PAS.

Disebabkan sejak semalam lagi sudah berjanji untuk bersarapan dengan aktivis NGO Sdr Ezam Mohd Noor, hari ini (27 Jun 2008) kami bertemu di sebuah restoran mamak di Taman Seri Gombak. Sebelum Sdr Ezam sampai kira-kira jam 10.00 pagi, sengaja saya hubungi Haji Bakar Ninggal (penerbit Mulya Utama Enterprises) dan Norzah Haji Kepol (wartawan Buletin Rakyat) untuk bertemu di restoran mamak berkenaan. Memang kami mengusik Sdr Ezam kerana tak dibenarkan bertanding sebarang jawatan UMNO apabila menyertai semula parti itu, malah laporan sebuah akhbar tabloid (Sinar Harian) hari ini seolah-olah meluahkan rasa tak puas hati terhadap beliau. Bagaimanapun tak hairan sangat dengan laporan akhbar tersebut, kerana setiap media mahukan berita sensasi.

Sebelah petangnya Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah pula menelefon beritahu mengenai perkembangan kelab pimpinannya. Beliau juga mempunyai program menggerakkan penentangan terhadap ‘perhambaan minda’ yang menyebabkan masyarakat Melayu menjadi passif. Tetapi apakan daya dalam usia warga emas (beliau sudah berusia 67 tahun), tenaga fizikal kami sudah berkurangan dibandingkan dengan 10 tahun lalu. Kalau memandu kereta menuju destinasi yang jauh, terasa sengal-sengal badan malah kadangkala mengah juga. Bagaimanapun pemikiran kami masih mampu memberi sumbangan kepda bangsa, agama dan tanahair. Begitulah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


KU LI RASMI DEKLAMASI PUISI
PENYAIR BERHIMPUN DI BANDAR TUN RAZAK

Deklamasi puisi sepanjang bulan akan digerakkan PRIMA bulai Julai 2008 ini, bermula di Bandar Tun Razak pada 25 Julai nanti, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Ahli Parlimen Gua Musang yang juga mantan Naib Presiden UMNO, Tengku Razalegih Hamzah akan merasmikan deklamasi puisi berkenaan, di samping turut mendeklamasikan puisinya, beritahu Dato’ Kamal Amir. Seterusnya menurut Dato’ Kamal Amir, penyair-penyair tersohor akan berhimpun di Bandar Tun Razak bagi menyampaikan bait-bait puisi mereka mengenai kebobrokan yang menimpa agama, negara dan bangsanya. “Puisi melangkaui batas kemanusiaan dengan tak mengira fahaman dan ideologi politik,” beliau menambah.

Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Dato’ Kamal Amir menjelaskan acara deklamasi puisi sepanjang bulan akan diteruskan sebagai aktiviti PRIMA. Selepas digerakkan di Bandar Tun Razak, ianya akan menjelajah ke lain-lain negeri termasuk di utara, di timur dan di selatan di samping mengangkat puisi rakyat. Di Kelantan menjelang Ogos, deklamasi puisi akan mengangkat ‘dikir barat’ sebagai acara utama, diikuti di Negeri Sembilan dengan ‘randai’ dan di Melaka ‘dondang sayang’. PRIMA juga turut prihatin dengan lagu-lagu rakyat yang perlu diangkat sebagai medium menggerakkan kebudayaan nasional, katanya. “PRIMA akan meneruskan usaha pemupukan budaya nasional berteraskan kebudayaan Melayu,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

RUMUSAN ANALITIKAL GEJALA RASUAH
SEMAKIN SUBUR DI BAWAH SISTEM KAPITALIS

Gejala rasuah ditakrif sebagai musuh utama yang meruntuhkan tamadun dalam sejarah peradaban manusia. Rakyat Malaysia diminta menolak sebarang kompromi dalam isu rasuah ke arah mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika, seperti dirumuskan dalam buku ‘Islam & Perjuangan Melawan Rasuah’ (I&PMR) oleh Ezam Mohd Noor dan Helme Hanafi. Bagaimanapun berdasarkan analitikal pengarang buku ini, rasuah akan terus subur di bawah sistem kapitalisme yang mengharamkan agama sebagai pedoman hidup. Seterusnya pengarang menyarankan, ‘untuk merawat barah rasuah ini sudah semestinya kita wajib kembali kepada tatacara kehidupan Islam yang mengaitkan kehidupan bernegara dengan ajaran agama dalam bentuk perintah dan larangan.

Buku ‘I&PMR’ sudah dicetak dua kali dalam tempoh Mac – Mei 2008, memang satu analitikal secara ilmiah di samping merujuk kepada perundangan Islam. Misalnya, dalam bab keempat ‘Islam dan Pencegahan Rasuah’, begitu juga bab kelima ‘Penghayatan Prinsip Hisbah dan Urustadbir Yang Baik di Malaysia’, Ezam dan Helme menegaskan: ‘Pelaksanaan Hisbah di dalam tradisi Islam bermula sejak dari zaman Rasullullah lagi. Baginda telah melantik pegawai-pegawai untuk mengawasi perjalanan pasar dan urusan perdagangan’. Buku setebal 130 halaman ini tak pula disertakan harganya, tetapi sesuai menjadi bahan rujukan kepada mereka yang menolak sebarang ciri ‘perhambaan minda’ manusia kepada manusia. Selamat membaca!

INFO SUARA PROLITAR

JANGAN PASS VIDEO PADA ORANG
KELAM KABUT APABILA HUBUNGI KAWAN

Heh heh heh, video you dengan huh huh huh disibarkan. Cuba hantar on mx ke 36660 sekarang. Free reg, tolong jangan pass kat orang. Very urgent, please help. Huh huh huh hubungi saya tadi sampai kelam kabut. Raja Petra told me he is ok, dead sure of himself. They r playing into his qallery - (SMS; 27 Jun 2008; 12.42:33 – Awang Mat, Kuala Lumpur).

TIGA SYARIKAT BUMIPUTERA
BERI SUB-KONTRAK PADA SINGAPURA

Projek RM600 juta, kontrak ICT diberikan kepada tiga syarikat bumiputera dengan dipaksa diserahkan kepada tiga sub-kontrakor bukan Melayu. Rupa-rupanya syarikat itu ada kaitan dengan Singapura, malah membabit warga Israel menjadi ahli lembaga pengarahnya. Ianya bukan sahaja ada kaitan dengan Israel untuk berdaya saing secara global, dan perisik mossad di barisan depan syarikat – in the stable of hellerburtons group of company linke to Dick Chenny – (SMS: 27 Jun 2008; 11.44:49 – YS, Kajang, Selangor).

MEMPERTAHAN GLORI PERJUANGAN
PENGASAS BANGSA PALING BERJASA


Sebaik selesai pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1991, saya menyertai politik melalui parti UMNO dengan niat dan semangat melakukan perubahan ke arah kebaikan di samping meneruskan cita-cita besar dan pengorbanan bapa-bapa pengasas negara ini (the founding fathers). Saya dipecat pada tahun 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti pda masa itu. Hari ini saya menyatakan hasrat secara rasmi kembali menyertai UMNO dengan niat yang sama iaitu – melakukan perubahan ke arah kebaikan di samping mempertahan dan meneruskan cita-cita dan pengorbanan bapa-bapa pengasas negara ini.

Melakukan perubahan ke arah kebaikan menjadi teras perjuangan saya di dalam politik kerana itulah juga teras perjuangan Rasul-Rasul kita khususnya Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim AS, yakni melakukan islah (perubahan) untuk mengangkat martabat manusia di dunia dan di akhirat kelak. Sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu saya melalui liku perjuangan yang getir dan pelajaran paling berharga bagi saya dalam tempoh itu ialah keyakinan kemelut ummat dan negara ini berpunca daripada persoalan rasuah dan penyelewengan.

Ini juga sesuai dengan hadis Rasullullah SAW yang kebetulan saya membacanya di penjara semasa ditahan di bawah dakwaan mendedah dokumen rahsia rasmi kerajaan yang membabit salahlaku rasuah dua pemimpin. Hadis riwayat Muslim yang bermaksud, “Setiap manusia ada cabarannya dan cabaran bagi ummatku adalah harta”, itu dinukilkan di kulit muka depan sebuah novel yang membicarakan persoalan rasuah karya ulama besar Bapak Hamka. Ia memperkukuh keyakinan saya untuk terus mengorbankan segenap jiwa dan tenaga bagi mengajak pemimpin dan masyarakat menghadap cabaran ulama ummat iaitu menghadap gejala rasuah.

Saya menubuhkan NGO Gerakan Rakyat nati Korupsi (GERAK) dengan segala kepayahan dan keterbatasan tetapi tetap dengan semangat dan cita-cita menjadikan rasuah musuh nombor satu negara. Kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik memegang tampuk pemerintahan bahawa memerangi rasuah adalah agenda utamanya amat menarik minat saya dan saya ikutinya secara dekat dan mendalam.

Dan kenyataan Perdana Menteri beberapa minggu lalu yang menyatakan komitmen pentabiran beliau melakukan perubahan besar terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia dan struktur yang menjamin kebebasannya bertindak merupakan kenyataan paling bermakna bagi saya dan paling penting dan signifikan dalam perjuangan melakukan perubahan (reform) di negara ini. Setelah berjumpa beliau baru-baru ini, saya percaya beliau komited di dalam mempastikan proses perubahan itu.

- (Mohd Ezam Mohd Noor, Kuala Lumpur)

MANIS JANGAN TERUS DITELAN
PAHIT JANGAN TERUS DIBUANG

OLEH : Asalbayu


Maaf kawan kiranya aku terlanjursetelah tiga dekad di siniberkali-kali cuba kujejaki. Namun belum kutemui kemanisanatas nama kawan carilah akan kautemui barangkali.Berliku laluan ini. Samaronak dan ranjau telah kutempuhidi mana-mana kecuaian diintaimencabar ketabahan. Gelincirkesungguhan andai rapuhtercalar. Tertusuk bisa.Kiranya rapuh benteng iman kecundang menanti kelalaianmelenyapkan gunung harapan.Lebur semangat.Barang diingatkemanisan lazimnya beracunkepahitan di dalamnya ada penawarterokalah. Cabar halanganmudah-mudahan berhasilterimalah dariku sekalung tahniah.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

Syahdan banyaklah rancangan membangunkan negeri Melayu itu ditangguhkan dalam Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK) yang diumumkan semalam 22 Jamadilakhir 1429 (atau disebut orang 26 Jun 2008) seperti diberitahu oleh memanda Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Arakian tersebutlah akan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengakui bahawasanya masalah iktisad di seluruh dunia tak menentu menyebabkan pengurusan perbendaharaan di negeri Melayu juga ikut terjejas, adanya. Sebermula Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib memberitahu penangguhan segala rancangan pembangunan itu, bukanlah disebabkan menghukum rakyat jelata kerana tak menyokong kerajaan, seperti disebut orang tua-tua Melayu, ‘gajah sama gajah bergaduh, pelanduk tersepit di tengah-tengah’!

Arakian ada beberapa hari, maka Raja Iskandar pun menyuruh mengeluarkan beras pada bendahari akan pelabur segala rakyat. Maka sembah Sang Rajuna Tapa, ‘Beras tiada lagi, Tuanku.’ Kerana ia hendak belot. Telah dinihari, maka Sang Rajuna Tapa membuka pintu kota, maka Jawa pun masuklah. Maka beramuk-amukan dengan segala orang dalam kota. Daripada banyak kedua pihak rakyat mati, darah pun seperti air sebak penuh melimpah di dalam kota Singapura. Maka itulah bekas darah yang ada sekarang di padang Singapura itu. Syahdan, patahlah perang orang Singapura. Maka Raja Iskandar pun berlepas turun dari Seletar lalu ke Muar, seperti disebut orang banyak dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:













HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, June 26, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

POTONGAN GAJI SETIAP BULAN
TUNGGAKAN PINJAMAN RM25 RIBU

Assalamualikum,

Aneh! Selepas 50 tahun merdeka, pentadbiran sesebuah institusi masih lagi seperti pada period penjajah yang serba lintang-pukang, tunggang-langgang dan simpang-perinang. Mungkin sahaja ‘bukan salah ibu mengandung’, tetapi disebabkan pemikiran bangsa terlalu sempit, terhimpit dan terkepit. Barangkali! Hari ini (25 Jun 2008), anak saya Khairil Nizam menerima notis dari peguambela & peguamcara Rashid Asari & Co (bertarikh 18 Jun 2008, sekalipun menggunakan pos bedaftar), berkaitan pinjaman dari Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) yang diasaskan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid (yang juga ayahanda kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zetty Akhtar).

Disebabkan tak wujud koordinasi antara institusi terbabit (ANGKASA dan BSN), potongan gaji yang dibuat oleh majikannya Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) setiap bulan, kononnya tertunggak lebih RM25 ribu sehingga Jun 2008. Astaga! Maknanya, tunggakan tersebut tak dilunaskan sejak mula pinjaman dibuat. Ironinya, BSN tak pernah menghantar notis sekalipun sudah tertunggak hingga RM25 ribu. Justeru ANGKASA yang dipantau kementerian pembangunan usahawan dan koperasi, di samping BSN di bawah kementerian kewangan seharusnya memberi suri teladan yang baik berikutan penyelarasan yang lintang-pukang ini. Apalagi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Seri Noh Omar dikatakan ‘orang kepercayaan’ Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru hari ini (25 Jun 2008) saya menulis surat kepada Dato’ Seri Abdullah dan Dato’ Seri Noh Omar bagi pihak anak saya, meminta disiasat bagaimana potongan bulanan gaji dibuat oleh MPM dengan dimasukkan kepada ANGKASA tak sampai ke dalam akaun BSN. Mungkin sahaja RM25 ribu terlalu kecil kepada sesetengah pihak, tetapi bagi golongan prolitar berpendapatan kecil ianya boleh memeningkan kepala, membeningkan tenaga dan mengheningkan minda, semata-mata disebabkan oleh kekalutan penyelarasan institusi-institusi terbabit. Dokumen mengenai pemotongan gaji yang dibuat MPM kepada ANGKASA adalah bukti jelas pembayaran dibuat, tetapi BSN tak pernah mahu menghubungi ANGKASA. Barangkali!

Isu ini boleh ditakrifkan ‘gajah sama gajah berlaga, pelanduk tersepit di tengah-tengah’. Malah pihak MPM juga perlu memberi penjelasan, disebabkan jumlahnya memang besar, apalagi berdasarkan dokumen pembayaran ianya sudah dilunaskan oleh MPM. Profesor Diraja Ungku Aziz ketika mengasaskan ANGKASA, sudah tentulah mempunyai visi menggalakkan komuniti Melayu berkoperasi, sekalipun ianya sudah digerakkan ketika Bapak Abdul Aziz Ishak (Allahyarham) menjadi Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama selepas pilihanraya 1959. Kalaulah tak disebabkan isu kilang baja urea untuk kepentingan Melayu menjadi kemarahan Tunku dan Tun Tan Siew Sin, Pak Aziz Ishak sudah boleh diangkat sebagai ‘Bapa Syarikat Koperasi’. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

TUMPU KEPADA TEKNOLOGI PENGELUARAN
NASIB PEKEBUN KECIL SAWIT PERLU DIBANTU

(Kenyataan media pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 25 Jun 2008; meningkatkan produk sawit perlu diseimbang dengan eksport ke luar negeri yang jatuh merudum, apabila pembukaan ladang sawit baru dibekukan).

Langkah kerajaan tak membenarkan pembukaan ladang sawit baru, berikutan keupayaan penggunaan teknologi mampu meningkatkan pengeluaran sebanyak 30 peratus dengan keluasan sedia ada, dianggap sebagai prihatin dengan kempen ‘bumi hijau’ yang digerakkan di seluruh dunia bagi mengelakkan kemusnahan khazanah hutan negara yang berharga. Kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membekukan permohonan membuka ladang sawit baru bagi, tak berkaitan dengan peningkatan pengeluaran, mutu dan kuantiti sawit. Di samping ladang sawit, Malaysia juga membabitkan beratus-ratus pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negara yang bingung, bangang dan bengang dengan masalah sawit.

Dengan pengeluaran sawit mencecah hingga 15.8 juta tan setahun, Malaysia dilabel sebagai antara pengeksport utama minyak sawit dunia, tetapi sekadar mengeksport 100,000 tan sahaja. Dengan perbezaan angka yang ketara itu adalah wajar, pembukaan ladang sawit baru dibekukan bagi mengimbangi pengeluaran dan permintaan. Ironinya, ketika pengeluaran sawit tinggi, dibandingkan kuantiti eksport yang rendah, harga minyak masak berasaskan sawit masih juga mahal iaitu RM2.80 satu paket isian sekilo, berbanding dengan sebelum PRU12 dalam anggaran RM2.30-RM2.50 bagi satu paket isian sekilo. Pekebun-pekebun kecil kelapa yang terpaksa menyulam tanaman mereka dengan sawit ketika pasaran sawit menggalakkan, sekarang berada dalam dilema yang menyulitkan apabila harga mentah sawit jatuh.

Di samping kerajaan membekukan pembukaan ladang sawit baru, PRIMA juga menyeru masalah pekebun-pekebun kecil sawit juga perlu diberi perhatian. Pekebun-pekebun kecil sawit di Bagan Datoh dan di kawasan Hilir Perak misalnya yang bergantung kepada pengeluaran sawit, masih belum mampu menikmati kemakmuran negara yang dibanggakan selama ini. Apabila kerajaan memberi tumpuan kepada perladangan sawit yang besar termasuk di Sabah dan Sarawak, pekebun-pekebun kecil di pesisir pantai yang sebelumnya pekebun-pekebun kecil kelapa, juga perlu diberi perhatian di bawah penggunaan teknologi baru dan kaedah amalan perdagangan yang baik dalam industri sawit ini.

PIMPINAN AKTIVIS BELIA GERAKKAN
MAJLIS WACANA PEMIKIRAN MELAYU

Pimpinan Melayu Selangor akan dicabar melestarikan perpaduan bangsa, apabila kumpulan aktivis belia menggerakkan ‘Majlis Wacana Pemikiran Melayu’ sebelum pertengahan Julai 2008 ini. Tiga ahli penal yang diminta berdialog dikatakan mempunyai pendekatan kritis termasuk mantan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, mantan Ketua Angkatan Muda PKR, Sdr Ezam Mohd Noor dan Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hassan Ali. Jurucakap kumpulan berkenaan Sdr Sobri Ahmad memberitahu, wacana yang memperkatakan penolakan ‘perhambaan minda’ di kalangan masyarakat Melayu akan diberi penekanan. “Setakat ini Dato’ Seri Dr Mohd Khir dan Sdr Ezam sudah memberi pengakuan lisan untuk menyertai wacana berkenaan, di samping Dato’ Dr Hassan dipercayai turut berminat, sekalipun belum lagi memberi jawaban,” katanya.

Di samping tiga ahli panel terbabit, pihak kumpulan berkenaan turut mengundang mantan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Sdr Abdul Muluk Daud selaku ‘pemudah cara’. Menurut Sdr Sobri, dua pimpinan muda Melayu Dato’ Seri Dr Mohd Khir dan Sdr Ezam, di samping pemimpin veteran PAS Dato’ Dr Hassan memang terkenal dengan sikap kritis mereka. Sementara ‘pemudah cara’ Sdr Abdul Muluk pernah menimbulkan kontroversi pada 1999, apabila membangkitkan isu ‘pimpinan Melayu kelas dua’. Kombinasi pemikiran tokoh-tokoh yang terbabit dalam wacana berkenaan, jelas Sdr Sobri memang mampu dikongsi bersama. Mereka yang berminat menyertai wacana tersebut bolehlah menghubungi Sdr Sobri tel: 012-2694567.

INFO SASTERA & BUDAYA

MAJLIS KEBUDAYAAN ORANG ASLI
SEMPENA MUSIM BUAH - BUAHAN

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Dato’ Seri Anwar dijangka hadir pada majlis kebudayaan Orang Asli di Jenderak, Pahang 2 Ogos 2008 nanti, beritahu panatia sambutannya Sdr L Mankadir Shamsi. Majlis yang dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Orang Asli sempena musim buah-buahan itu dianjurkan oleh pejabat aktivis sosial di sini, Haji Suhaimi Said yang juga seorang peguam, beritahu L Mankadir. Katanya, Nurul Izzah dijemput ke majlis berkenaan bagi mendekatkan pimpinan muda PKR kepada rakyat prolitar yang terabai sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun. “Kita mahu jadikan kebudayaan sebagai jambatan merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat prolitar,” menurut L Mankadir lagi.

Seterusnya L Mankadir menambah, pihak panatia juga berharap pihak pimpinan PRIMA akan turut menghadiri majlis berkenaan. Sekalipun Nurul Izzah dijempat tetapi ianya bukan majlis politik, sebaliknya lebih condong kepada persembahan kebudayaan Orang Asli, jelas L Mankadir. Sebelum ini pimpinan PRIMA pernah menyertai majlis kebudayaan Orang Asli di Kampung Pian yang juga dianjurkan oleh pihak pejabat Haji Suhaimi. Bagaimanapun majlis kebudayaan kali ini lebih menarik kerana ianya sempena musim buah-buahan yang menjadi kebanggaan dalam kebudayaan masyarakat Orang Asli, beritahu L Mankadir menambah. “Durian dikatakan akan mulai luruh hujung Julai nanti bagi menyambut pengunjung,” katanya.

INFO SUARA PROLITAR

PERJUMPAAN AKTIVIS PENULIS AGRESIF
BINCANG SENARIO MENJELANG SEPTEMBER

Kumpulan penulis agresif mengadakan perjumpaan malam ini (27 Jun 2008) di lokasi yang belum ditetapkan, tetapi dikatakan di sebuah premis kedai nasi kandar di Kuala Lumpur. Perjumpaan tersebut berkaitan dengan senario politik menjelang September 2008 yang dikatakan berolak-olak, beriak-riak dan berombak-ombak. Jurucakap kumpulan berkenaan, Sdr Yassinsalleh memberitahu antara aktivis penulis yang dijemput termasuk mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato’ Ruhanie Ahmad, mantan Setiausaha Politik Tun Ghafar Baba, Dato’ Alias Muhammad, aktivis NGO Dr Seri Intan, Ketua Pimpinan PRIMA Pak Dharmala N.S. dan beberapa lagi.

Menurut Sdr Yassinsalleh, di samping isu kenaikan harga minyak boleh dikenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada penyebar tegar, pengakuan berkanun pengarang laman web ‘Malaysiakini’ Raja Petra Kamaruddin berkaitan kes bunuh Altantoya Shaariibu dan sokongan akar umbi kepada hasrat Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk merebut jawatan Presiden UMNO, Disember 2008 ini akan dijadikan topik perbincangan. Pak Dharmala pula dijangka akan diminta memberikan info mengenai senario politik di Selangor, berikutan laman blog PRIMA sudah membuat andaian kemungkinan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat akan jatuh dalam tempoh terdekat. (Menerusi telefon; 25 Jun 2008; 10.00 pagi).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

BAGINDA BERTITAH DI BALAIRONG
JANGAN SEBUT PERKARA KAITKAN AGAMA.

Sekali persetua tersebutlah di sebuah negeri Melayu, Perak namanya, telah bertitah baginda Sultan Azlan Shah, janganlah di sebut-sebut perkara yang menyinggung orang iaitu perkara agama. Arakian baginda pun bertitah, “Islam adalah agama yang berpegang teguh kepada amalan keadilan dalam kanun negara. Islam mempunyai talian dan ikatan sejarah yang istimewa dan lama dengan penduduk wilayah ini”. Syahdan disebut orang banyak akan baginda itu bertitah di balairongseri seperti ianya disurat orang hari ini, 21 Jamadilakhir 1429 (yakni disebut orang kemudian hari ialah 25 Jun 2008). Syahdan maka tahulah fakir bahawa baginda tersinggung apabila orang bukan Melayu mempersoal hak raja-raja Melayu dalam urusan pentadbiran agama dan adat istiadat Melayu di negeri baginda yang dijalankan sejak turun temurun.

Hatta, maka datang sebuah kapal Feringgi dari Goa. Maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya, dan bandarnya pun terlalu ramai. Maka segala orang berkampung melihat rupa Feringgi itu. Arakian sekalinya hairan melihat dia. Maka kata orang Melaka, “Ia ini Benggali Putih”. Maka pada seorang Feringgi itu berpuluh-puluh orang Melaka mengerumuni dia; ada yang memutar janggut, ada yang menepuk kepala, ada yang mengambil cepiaunya, ada yang memegang tanagnnya. Maka kapitan kapal itu pun naik menghadap Bendahara Seri Maharaja. Oleh kapitan kapal itu dipersembah pada Bendahara Seri Maharaja rantai emas berpermata seutas, ia sendiri memasukkan kepada leher Bendahara Seri Maharaja, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:









HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, June 22, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:

ANGGOTA RELA USAP-USAP COTAR
BAWA TAHANAN IMIGRESEN KE HOSPITAL!

Assalamualaikum,


Ketika menunggu di ruang jabatan kecemasan Hospital Daerah Teluk Intan semalam (20 Jun 2008), bagi urusan memasukkan bapa mertua saya ke wad, terlihat lima orang wanita memakai baju-T ‘tahanan imigresen’ dikawal dua orang anggota RELA wanita. Salah seorang anggota RELA wanita itu mengusap-usap cotar di pinggang apabila melintasi di hadapan saya, seolah-olah ‘akulah aku’! Apalagi lima orang tahanan wanita berkenaan digari tangan, untuk mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan itu. Salah seorang wanita berkenaan memangku anaknya (mungkin sahaja wanita Indonesia), seolah-olah mereka dilayan bagaikan penjenayah yang berbahaya. Malah Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Albar, mungkin sahaja tak pernah melihat fenomena yang berlaku di Hospital Teluk Intan itu.

Memang prosedur menetapkan tahanan terbabit perlu digari, tetapi atas budi bicara peraturan menggari boleh diketepikan; apalagi mereka dibawa ke hospital bagi rawatan perubatan. Malah mereka juga tak mungkin mampu melarikan diri, disebabkan sebagai pendatang tanpa izin adalah sukar bagi tahanan terbabit memahami selok belok laluan di persekitaran Teluk Intan. Dato’ Seri Syed Hamid Albar kalau mengikuti pertikaman lidah di Parlimen antara Lee Kuan Yew-Tan Sri Syed Jaafar Albar sekitar dekad 1960-an tentu terhiris perasaan apabila Lee Kuan Yew menyebut Albar (Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar) lahir di Makasar, Indonesia. Warga Indonesia yang memasuki negara ini tanpa izin pun boleh dirujuk kepada aktivis NGO, Zainal Abidin Rasidin.

Pada period sebelum Dato’ Seri Syed Hamid memegang portfolio kementerian dalam negeri, episod membawa masuk warga Indonesia ke negara ini boleh dianggap fenomena biasa sahaja. Malah beritahu Zainal Abidin, sindiket yang membawa masuk mereka ke negara ini adalah warga tempatan, di samping dikenakan RM800 (bagi satu kepala) kepada majikan yang memerlukannya. (Bayaran yang dikenakan seolah-olah membenar pembiakan virus perhambaan yang menjadi legasi sejak period ‘Kuntakente’, dengan menjual warga Indonesia oleh sindiket terbabit pada harga RM800 seorang. Malah harga seekor kambing untuk aqiqah pun hampir RM1,000.)

Justeru ketika mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 2003, saya mahu ‘mas kahwin’ di Negeri Sembilan dinaikkan daripada (RM24 anak dara, dan RM12 janda) kepada RM1,000 (tetapi sekarang sudah diterima RM200) sekalipun ditentang hebat, kononnya akan ‘meramaikan’ anak dara tua di negeri berkenaan. Sebaliknya mereka tak pernah diberitahu mengenai insiden di Petasih, Jelebu mengenai seorang suami memperlekeh isterinya (seorang janda) yang dinikahi dengan ‘mas kahwin’ RM12. Apabila pihak jabatan agama Islam bertindak untuk menyelesaikan kes tersebut si isteri terbabit memberitahu, sekilo daging di pasar pun harganya RM14 (maknanya lebih mahal dari ‘mas kahwin’). Begitulah!

Mungkin sahaja kenaikan nilai ‘mas kahwin’ (di Negeri Sembilan masih lagi dikekal perbezaan ‘mas kahwin’ anak dara dan janda, sekalipun dalam mesyuarat Majlis Agma Islam 2003, sebulat suara menerima pandangan saya iaitu dihapuskan perbezaan mas kahwin anak dara dan janda, setelah rujuk ayat 4 surah an-Nisaa’), tak sama dengan nilai kenaikan harga minyak. Apabila ke Bagan Datoh semalam (20 Jun 2008) harga petrol dengan Proton Iswara ialah RM100 (pergi dan balik), berbeza dengan tahun 2004 hanya RM35 (pergi dan balik), itupun menggunakan kereta Galant Sigma. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Abdul Samad tentu memahami ‘fakta angka’ yang menjadi amalan BN, dengan tak perlu secara sinis menunggu andaian perubahan kerajaan pada September 2008. (Rujuk forum di TV baru-baru ini).

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

PERJUANGAN NUBE TERLALU LAMA
RINTANGAN DALAM INSTITUSI PERBANKAN


(Kenyataan media pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 22 jun 2008, berkaitan isu kenaikan gaji 32,000 pekerja bank yang merangkumi 23 institusi perbankan dalam Persatuan Bank Perdagangan Malaysia - MCBA)


Kenaikan gaji bagi kakitangan bank memang sudah lama diperjuangkan oleh pihak Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube), malah ahli-ahli mereka turut secara berani berkempen dengan memakai lencana mengkritik majikan ketika bertugas iaitu sebelum PRU12. Malah mereka juga menentang sebarangn usaha kerajaan melaksanakan ‘penggabungan bank’ yang menyebabkan ramai kakitangan bank berhadapan dengan isu ‘kehilangan jawatan’. PRIMA bukan sahaja mengalu-alukan kenaikan gaji bagi 32,000 kakitangan perkeranian dan bukan perkeranaian meliputi 23 institusi perbankan, malah mendesak lebih 10,000 kakitangan yang kehilangan jawatan berikutan ‘penggabungan bank’ diambil semula bertugas meneruskan perkhidmatan.
Institusi perbankan memang berkait rapat dengan penjanaan ekonomi, malah bagi negeri-negeri membangun banyak digerakkan oleh pertumbuhan institusi perbankan yang terancang. Majikan dalam institusi perbankan perlu prihatin dengan perjuangan Nube yang sejak lama berhadapan dengan tekanan-tekanan, terutama apabila pelaksanaan ‘penggabungan bank’ memberi implikasi kepada pimpinan Nube sendiri. Kenaikan gaji 17 peratus melalui perjanjian bersama (CA) dengan Persatuan Bank Perdagangan Malaysia (MCBA) yang dimetrai semalam (21 Jun 2008) bukanlah 100% tercapai matlamat sasaran, tetapi ianya menjadi dorongan kepada pembaharuan seterusnya dalam memberi jaminan kepada perjuangan Nube selama ini.

MENENTANG PUAK ANTI ISLAM
PAKATAN RAKYAT MAKIN LONGGAR


Aktivis NGO, Ezam Mohd Noor menafikan akan menggempur Terengganu dan Kelantan apabila menyertai semula UMNO. Memberitahu kritikan terhadap Pakatan Rakyat ketika berucap di Terengganu 20 Jun 2008 lalu, Ezam menjelaskan beliau sekadar memenuhi jemputan rakan lama di salah satu Bahagian UMNO di Terengganu. Katanya, tumpuan tetap diberikan kepada Selangor, Perak dan Pulau Pinang bagi menentang puak yang menggerakkan naratif anti Islam dan Melayu di samping bertopengkan parti politik, kononnya untuk semua kaum. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Ezam secara tegas menjelaskan, “Tumpuan saya di Selangor, Perak dan Pulau Pinang terhadap puak anti Islam/Melayu dalam PKR dan DAP”.

Ezam dilaporkan berucap di Terengganu baru-baru ini memberitahu, permuafakatan Pakatan Rakyat tak bertahan lama dengan persefahaman yang longgar, di samping sikap pemimpin-pemimpinnya lebih rakus untuk berkuasa. Selaras dengan analisis pemerhati-pemerhati politik, PAS dikatakan enggan untuk menerima Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail bagi menjadi Perdana Menteri sekiranya usul undi tak percaya dibawa ke Parlimen bagi menumbangkan kerajaan BN. Menurut sumber, PAS tak berkompromi dengan isu wanita memimpin negara Islam. “DAP pula akan berperanan seperti di Perak dan Selangor dengan memastikan polisi mereka diterima bagi mengekalkan kerajaan yang serba goyah,” menurut sumber berkenaan.

BEKAS ADUN RASMI RUMAH OKU
LINDUNG MEREKA KURANG UPAYA

Bekas ADUN Gombak Setia, Haji Yuszahari Yusuff akan merasmikan rumah kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) di Taman Seri Gombak, 12 Julai 2008 ini beritahu ahli jawatankuasa perlindungan OKU, Haji Ahmad Radzi. Orang ramai dijemput hadir bagi meraikan perasmian rumah berkenaan, di samping mendengar taklimat dari pimpinan OKU di Taman Seri Gombak berkaitan dengan aktiviti mereka. Menurut Haji Ahmad Radzi yang juga nazir Masjid al-Khiriyyah, Taman Seri Gombak, rumah tersebut mendapat suntikan daripada Haji Yuszahari bagi melindungi nasib kalangan OKU yang selama ini bergerak secara individu dalam menangani masalah mereka. “Dengan wujud rumah OKU ini, mereka akan ditempatkan di situ dalam usaha membantu kebajikan mereka,” beritahu Haji Ahmad Radzi.

Rumah perlindungan OKU yang terletak di lokasi fasa 9, Taman Seri Gombak iaitu di Jalan 9/1 sudah diberi suntikan oleh Haji Yuszahari sejak awal tahun ini, sebelum PRU12 digerakkan yang menyaksikan kerajaan negeri Selangor berubah tangan. Kalangan OKU dan penduduk Taman Seri Gombak menurut Haji Ahmad Radzi lagi, sudah merancang menganjurkan perasmian rumah kebajikan berkenaan sebelum Mac 2008. Bagaimanapun bagi memberi laluan kepada PRU12 pada 8 Mac 2008, jawatankuasa pengelola bersetuju tarikh perasmian ditangguhkan hingga 12 Julai ini. “Keprihatinan Haji Yuszahari dalam menangani isu OKU tetap akan diteruskan, sekalipun beliau bukan lagi ADUN Gombak Setia,” menurut Haji Ahmad Radzi.

INFO SASTERA & BUDAYA:

PERJUANG MASALAH ARTIS MELAYU
TAK PERLU PIMPINAN DUDUK DI PARLIMEN

Kalangan artis tak perlu merungut apabila banyak masalah mereka tak diperjuangkan sekalipun mempunyai wakil di Dewan Negara iaitu Tan Sri Jins Shamsuddin, kerana fungsi senator bukan khusus untuk artis, beritahu pengarah terbaik Pesta Filem Malaysia dekad 1980-an, Yassinsalleh. Mengulas laporan media hari ini (22 Jun 2008) mengenai Tan Sri Jins Shamsuddin tak memperjuangkan masalah artis setelah menduduki kerusi senator, Yassinsalleh mengingatkan, artis-artis jangan terlalu ghairah mahukan wakil mereka di Dewan Negara kerana masalah mereka hanya boleh ditangani oleh kalangan pejuang, bukan oleh sesama artis. “Pejuang hanya lahir di kalangan pemimpin yang mempunyai pandangan jauh, bukan mengejar glamor atau kepentingan peribadi,” ujar Yassinsalleh seterusnya.

Menurut beliau, pemimpin yang berwawasan tak perlu menduduki Dewan Negara, malah tak semestinya seorang artis bagi memperjuangkan masalah artis. Katanya, pada dekad 1970-an dan 1980-an, (Allahyarham) Haji Idris Ibrahim ketika menduduki kerusi Dewan Rakyat (Setapak, sebelum ditukar kepada Tititwangsa) bukan seorang artis, tetapi beliau menempatkan pejabat kepada Persatuan Seniman di Jalan Haji Hussein bagi menggerakkan aktiviti. “Haji Idris juga memberi suntikan kewangan bagi membiyai aktiviti Persatuan Seniman, di samping memperjuangkan nasib mereka di Dewan Rakyat, hingga Menteri Penerangan (ketika itu Dato’ Seri Rais Yatim) mewujudkan polisi membantu artis menerusi ‘drama swasta’ ketika perfileman Melayu merudum,” kata Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR:

EKSPLOIT PAK LAH SERAH KUASA
UMNO TAK IZIN UTAMAKAN KELUARGA!

Alwi, Reezal dan Shabree di KK, skuad khas di bawah arahan KB sedang rosakkan UMNO dengan mengeksploit Pak Lah akan serah kuasa selepas persidangan UMNO, sedang ketika yang sama burukkan Najib & Muhyiddin tak layak dan tak mampu pimpin UMNO. Keluarga AAB terlalu tahu yang Pak Lah mesti melepasi MT, Disember 08 untuk terus heh heh heh. Mereka sangat takuti yang ahli-ahli UMNO tidak akan izinkan kepentingan keluarga melebihi kepentingan parti, agama & bangsa. Jika ikhlas umumkan peralihan, sebelum cawangan mesyuarat. Jangan perbodohkan ahli-ahli UMNO lagi! – (SMS; 20 Jun 2008; 18.52:40 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

‘SAPU RINGIN’ HULUBALANG MELAYU
BERMAINLAH DENGAN BIJAK TUTUR KATA

Sebermula hulubalang di balairongseri (Dewan Rakyat) bernama Orangkaya Dato’ Seri Nazri Aziz (yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri) berkatalah ia ketika di Padang Rengas, tak ada sebarang usul undi tak percaya kepada Orangkaya memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badari esok, 19 Jamadilakhir 1429 (atau disebut orang banyak 23 Jun 2008). Arakian akan Orangkaya Dato’ Seri Nazri itu konon memberitahu usul di balairongseri esok ialah kenaikan harga barang akan dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Orangkaya Dato’ Shahrir Abdul Samad. Syahdan hulubalang di balairongseri itu memberi jaminan tiada usul seperti itu akan dibawa bagi menjatuhkan memanda Orangkaya Dato’ Seri Abdullah daripada jawatan Perdana Menterinya.

Syahdan, maka betara Majapahit pun memberi titah pada Sultan Mansor Shah, ‘Ada pun sekarang Jawa dan segala orang negeri lain semuanya ini telah bermainlah, masing-masing dengan permainannya, dan segala orang Melaka juga tiada bermain; suruh apa ia bermain, kita hendak melihat’. Maka Sultan Mansor Shah pun memberi titah pada Tun Bija Sura, ‘Titah betara Majaphit suruh orang Melaka bermain’. Maka Tun Bija Sura fikir seketika di dalam hatinya, ‘Baik aku bermain sapu-sapu ringin, supaya berlunjur di hadapan hulubalang Jawa ini’. Arakian, Tun Bija Sura hulubalang raja Melaka itu lalu ia menyembah, ‘Tuanku, apatah ada permainan kita Melayu ini melainkan sapu-sapu ringin’. Maka dilarang oleh hulubalang-hulubalang Jawa, tetapi segera disuruh oleh betara Majapahit bermain seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!