Wednesday, September 24, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PET DIHANTAR KE KEMUNTING, TAIPING
DITAHAN TANPA BICARA, KUASA MENTERI

Assalamualaikum,

Masuk hari ke 24 Ramadan (24 September 2008), Raja Petra Kamaruddin (Pet) mula ditahan di Kemunting bagi tempoh dua tahun di bawah Seksyen 8(1) ISA yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri menahan tanpa bicara mengikut Seksyen 73(1)ISA. Secara historikal, Menteri Dalam Negeri pada period Tun Dr Ismail Abdul Rahman dianggap hebat apabila langkah keselamatan disasarkan kepada anasir subversif dan militan komunis. Pet dihantar ke Kem Tahanan Kemunting di Taiping, menjadikan beliau kerabat diraja pertama dihantar ke sel tahanan ISA. Sebelumnya pada 1961 Dato’ Ahmad Boestamam membuka rekod sebagai Ahli Parlimen pertama ditahan di bawah ISA, apabila menentang penubuhan Malaysia yang dianggapnya ‘neo-kolonial’.

Maknanya, Pet tak merasa diletakkan selama 60 hari seperti pernah dialami oleh Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) di dalam bilik SW pada period penjajah (yang ditafsir beliau sebagai bilik ‘Sihat Walafiat’). Sekalipun tak menikmati 60 hari dalam bilik SW, tetapi penderaan rohaniah tetap diterima oleh Pet kerana seminggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dato’ Ahmad Boestamam ditahan pada 1961 juga ketika umat Islam menjalani ibadah puasa, justeru beliau dipisahkan dengan anak isteri menjelang Hari Raya Aidilfitri. Selepas dua tahun nanti, kita pastinya menunggu buku pengalaman Pet di Kemunting seperti pernah dilakukan oleh Dr Kassim Ahmad, Dato’ Ahmad Boestamam dan Abdul Aziz Ishak.

Berdasarkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Jaafar Albar penahanan tersebut berikutan siasatan polis terhadap tulisan Pet terdapat unsur menghina Islam, menghasut dan boleh membangkitkan kemarahan serta menjejaskan ketenteraman dan keamanan negara. Andaian Dato’ Seri Syed Hamid sama seperti dakwaannya semalam (23 September 2008) mengenai kenyataan Ahli Parlimen Seputeh yang diberi makanan ala ‘makanan anjing’ ketika ditahan. Ketika Dato’ Seri Syed Hamid mendabik dada kononnya dakwaan Ahli Parlimen terbabit tak betul, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah mengakui tahanan diberi sarapan 60 sen, RM2.00 makan tengahari dan RM1.90 makan malam.

Senator T Murugiah membuat kenyataan selepas ‘turun padang’ dengan melawat Balai Polis Travers, berbeza dengan Dato’ Seri Syed Hamid setelah berbuka puasa dengan anggota PDRM Kelantan (23 September 2008) yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Kelantan, Dato’ Abd Rahim Hanafi. Sudah tentu makanan yang disediakan ketika Dato’ Seri Hamid Albar berbuka puasa tak sama dengan tahanan di lokap balai polis. Mungkin sahaja Dato’ Abdullah Ahmad (Kok Lanas) boleh berkongsi pengalaman dengan Dato’ Seri Syed Abdul Hamid berkaitan isu tahanan ISA, disebabkan beliau juga pernah ditahan pada period Tun Ghazali Shafie menjawat Menteri Dalam Negeri. Atau sebaik-baiknya Dato’ Seri Abdul Hamid berkunjung ke kediaman Tun Ghazali bagi mendalami isu ISA ini secara ‘turun padang’.

-Pak Dharma

INFO SASTERA & BUDAYA


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(12)

4
OMBAK KIAN MENGGEGAR:

TERLONTA JAUH SEORANG DIRI:
TERINGAT EMAK TEMPAT BERMANJA

MEMANG tak dapat dibayangkan kebimbangan di hati ketika terlonta-lonta seorang diri di belukar tengah pulau. Deburan ombak memukul terumbu batu karang di bawah bukit kedengaran menggetarkan. Laut di sekeliling pulau kecil itu hitam macam buntut kuali tersangkut di dinding.

Tetapi saya percaya di pulau berkenaan tak mungkin terdapat binatang buas berkeliaran kerana lokasi di situ terpencil. Binatang buas juga akan mati kebuluran kalau harapkan ikan-ikan yang bermain di terumbu batu karang menjadi makanan rutinnya. Kalaupun terdapat binatang liar, mungkin kera habitat yang mudah membiak.

Disebabkan tak bertemu lagi kawan-kawan lain, saya mengambil keputusan bersembunyi sahaja di dalam belukar menunggu siang menjelang. Di lokasi pulau yang terlalu kecil itu mudah melihat ke bawah ketika bersembunyi di puncak bukit. Malah saya sendiri tak mampu lari ke mana-mana sekiranya diburu Si Tongkol bersama kunco-kunconya!

Ketika itu seolah-olah terdengar suara emak berbisik ingatkan supaya tak ikutkan sangat emosi. Sikap keras hati saya seringkali menyebabkan emak menitiskan air mata. Apalagi ketika saya mengalami patah kaki akibat jatuh motorsikal, memang emak tak dapat menahan sebak.

“Emak dah ingatkan, jangan menipu ibu bapa!” gerutu emak sebaik sahaja saya dihantar balik ke rumah waktu tengah malam dengan kaki bersimen.

“Kakak tak perlu bimbang, Hafiz sekarang dah selamat,” pujuk Rafi wakil pejabat peguam yang uruskan rawatan perubatan saya di hospital. “Pihak peguam akan buat tuntutan insuran, kalau kakak bersetuju,” ujarnya meyakinkan.

“Perkara tuntutan insuran tu tak penting sangat,” sahut emak masih terlalu geram. “Tapi Hafiz ni, tak sudah-sudah buat perangai,” tutur emak mengesat pelupuk mata disebabkan berasa sebak sangat di dada.

“Budak-budak, begitulah kakak!” beritahu Rafi. “Sepanjang saya uruskan kes babitkan kemalangan jalanraya, majoriti memang budak-budak sebaya Hafiz ni,” katanya tersengih-sengih mengerling saya.

Kebetulan pula hingga lewat jam 1.00 pagi, abah masih belum balik ke rumah. Dia habiskan masa di gerai teh tarik bersama kawan-kawannya. Bukanlah saban malam abah keluar minum teh tarik, tetapi sekali sekala apabila mereka mahu bersembang.

Disebabkan sewaktu Rafi menghantar balik ke rumah, abah masih lagi di gerai teh tarik, terpaksalah abang saya Adang memanggilnya balik. Pada mulanya saya sangka abah akan memberang melihat keadaan saya bersimen kaki, tetapi ternyata abah memang rasional. Dia tak akan bertempik marah dalam situasi saya terlantar selepas mengalami kemalangan jalanraya.

“Harap-harap selepas ni kamu insaf, Hafiz!” tegas ayah sebaik sahaja bersetuju Rafi uruskan tuntutan insuran.

Memang abah tak akan berleter panjang macam emak. Dia sekadar menuturkan secara ringkas, tetapi memang pedih untuk didengar. Kadangkala kalau abah mengur anak-anak juga seolah-olah menyakitkan hati, tetapi sebenarnya dia bergurau. Sukar bagi anak-anak mahu menyelami sikap abah yang dianggap unik.

“Abah kamu sasterawan yang disegani, Hafiz,” perlahan emak ingatkan setelah dapat mengawal perasaan sebak. “Jangan rosakkan nama baik abah, dengan perbuatan kamu yang nakal,” jelas emak seterusnya.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung…)

INFO SUARA PROLITAR


BAGUSLAH HARGA MINYAK TURUN
RAKYAT NILAI PRESTASI BUKAN JANJI!

Syabas, harga minyak petrol dan disel diturunkan 10 sen satu liter mula besok (25 September 2008). Apalagi dengan strategi rangsang ekonomi oleh kerajaan. Strategi ini pacu tambah peluang pekerjaan. Harap ianya bukan publisiti macam koridor itu koridor ini. Rakyat mahu harga minyak turun, harga barangan lain juga turun. Peluang kerja bukan untuk graduan menganggur sahaja, tetapi semua anak-anak muda. Rakyat akan nilai prestasi kerja BN, bukan janji-janji BN. – (SMS; 24 September 2008; 20:10:33 – Haji Kabul, Senawang, Seremban).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BEREBUT JAWATAN DALAM UMNO
DI MASA LALU ‘SIAPA KUAT DIALAH KUDRAT’

Arakian ketua anak-anak muda harakah Melayu (UMNO) Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein itu mengingatkan segala orang banyak supaya menyokong usaha peralihan kuasa itu dengan ikhlas. Maka tak siapa pun yang hiraukan sangat ingatan itu kerana Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin pada masa dahulu mudah sangat meminta maaf setelah menghunus keris. Syahdan kata sekalian orang banyak, kalau mahu tahu ikhlas atau tidak seseorang itu, sekali menghunus keris berpantang menyerah kalah! Sebermula sahabat-sahabat fakir diberitahu akan wazir ketua anak-anak muda itu Orangkaya Rembau Khairy Jamaluddin menanglah ia dipilih anak-anak buah menjadi ketua anak-anak muda di perkampungan itu. Maka semakin gementarlah akan Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin mahu menghunus kerisnya lagi.

Syahdan akan sekalian anak-anak muda itu berebut-rebut mereka mahu menjadi ketua di tengah segala anak-anak buah masing-masing. Maka semakin hebohlah di seluruh negeri akan Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu akan menyerah kuasa kepada Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Arakian terkejutlah Dato’ Seri Abdullah kerana dianggapnya ‘cerita gila’ yang tak masuk akal. Sebermula kata orang banyak semakin heboh orang-orang besar harakah Melayu berebut mahu menjadi ketua, maka semakin gemparlah perihal ceritera Dato’ Seri Abdullah mahu menyerah kuasa kepada Dato’ Seri Anwar. Maka di mana-mana pelusuk mereka berebut-rebut juga mahu menjadi orang-orang besar harakah Melayu, adanya.

Sebermula gemparlah orang banyak di luar. Maka Sultan Pahang pun bertanya, ‘Apa gempar itu?’ Maka sembah orang banyak, ‘Tuanku, orang laksamana konon mengamuk, membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja.’ Maka titah Sultan Muhammad Shah pada laksamana, ‘Orang laksamana konon membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja; baiklah tuan periksa.’ Kerana adat raja Pahang memanggil orangkaya-orangkaya Melaka ‘tuan’. Maka laksamana menyuruh membawa orang yang membunuh itu masuk; dengan ikatnya ia datang. Maka ditanya oleh laksamana, ‘Sungguhkah tuan hamba membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja?’ Maka sahut orang itu, “Sungguh, tuanku.’ Maka sembah laksamana kepada Sultan Pahang, ‘Sungguh patik itu membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja, tetapi tidak patik pengapakan, kerana Seri Akar Raja membunuh Telanai Terengganu tak memberitahu ke Melaka.’ Maka berebut-rebut pangkat di masa dahulu, siapa kuat dialah kudrat seperti disebut ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, September 22, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PM PRIHATIN DENGAN RAKYAT
KEBOBROKAN UMNO PIMPINAN DIPERSOAL

Assalamualaikum,

Kira-kira jam 10.30 pagi hari ini (22 September 2008), Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Haji Yaacob menelefon berkaitan aduan yang disampaikan oleh PRIMA ke pejabat Perdana Menteri. Secara peribadi memang saya mengakui Dato’ Ahmad dan lain-lain pegawai di Jabatan Perdana Menteri sentiasa prihatin di samping segera melayani setiap aduan yang disampaikan oleh PRIMA. Maknanya berurusan dengan Jabatan Perdana Menteri di bawah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, sentiasa diberi prioriti bagi diselesaikan secara bijaksana (pinjam kata-kata Dato’ Suhaimi Ibrahim, Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga aktivis belia). Sebenarnya aduan yang disampaikan kepada Perdana Menteri apabila berlaku kerenah birokrasi di kalangan jabatan tertentu yang perlu ditangani segera.

Ironinya, keperihatinan Jabatan Perdana Menteri di bawah Dato’ Seri Abdullah yang sentiasa melayani masalah rakyat disampaikan kepadanya, terpaksa pula berhadapan dengan provokasi dari pimpinan UMNO sendiri. Malah keputusan dalam mesyuarat tertutup MT UMNO juga boleh bocor kepada media, apabila kalangan pimpinan kanan UMNO dikatakan mendesak pelan peralihan kuasa disegerakan, bukan menunggu hingga Jun 2010. Aduhai! Berdasarkan buku ‘Riwayat Hidup Tunku Abdul Rahman Putra’ yang ditulis oleh Abdul Aziz Ishak (Qalam, Singapura; 1956), dalam mesyuarat ‘Jawatankuasa Agung UMNO’ (sekarang MT) sekitar dekad 1950-an, Tunku sentiasa dikritik hebat oleh Tan Sri Bahaman Shamsuddin, Tan Sri Sheikh Ahmad Hashim dan Tun Dr Ismail, malah kadangkala mereka tak bertegur beberapa ketika.

Tak pernah pula keputusan mesyuarat berkenaan bocor kepada media, sekalipun Abdul Aziz Ishak memang wartawan di Utusan Melayu. Mungkin sahaja wartawan tak berminat mahu mensensasikan isu lima pimpinan kanan UMNO mendesak disegerakan pelan peralihan kuasa ketika mesyuarat MT baru-baru ini, tetapi kalangan MT sendiri membuat pendekatan membocorkan kepada media. Barangkali! Sebelum PRU12 pun PRIMA sudah menggerakkan pertemuan khas dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai langkah mendaulat, memertabat dan mengangkat jatidiri Melayu dan raja-raja Melayu. Cukuplah dikatakan pertemuan itu amat berjaya, malah slogan PRIMA ketika digunakan menerusi laman blog ini adalah adaptasi daripada pemikiran Tun Dr M, iaitu: ‘Pilih calon, bukan pilih parti.’

Kira-kira jam 12.00 tengahari (22 September 2008), Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) pula menelefon apabila tak melihat kelibat saya pada majlis berbuka puasa di kediaman Tengku Razaleigh Hamzah semalam (21 September 2008). Haji Yahaya juga beritahu mengenai kalangan media ramai yang dijemput termasuk medium bukan Melayu, tetapi saya tak hadir apabila PRIMA tak diminta ikut serta (undangan secara peribadi memang saya terima menerusi Dato’ Kamal Amir). Bagaimanapun saya merasakan keprihatinan Pak Lah kepada masalah rakyat tak boleh dinafikan, sebaliknya kebobrokan dalam pimpinan UMNO menyebabkan beliau dikritik dari segenap penjuru. Barangkali!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


17 BAHAGIAN UMNO DI SABAH
MULAKAN SOKONG TERBUKA KU LI

Pimpinan di peringkat akar umbi UMNO semakin berani memberi sokongan terbuka kepada Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Disember 2008 ini, menurut sumber penganalisis politik. Sekalipun sudah berlaku ‘gerakan senyap’ sejak Julai 2008 lalu, tetapi sumber berkenaan mengakui 17 Bahagian UMNO di Sabah bersedia memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh. Malah pimpinan dari Sabah yang menduduki kerusi MT, Dato’ Shafie Apdal yang dikatakan terbabit bersama lima lagi ahli MT yang mendesak disegerakan pelan peralihan kuasa memperlihatkan pendirian terbuka dari Sabah, kata sumber itu. “Pencalonan terbuka perlu bagi menolak sebarang kouta, di samping kebebasan minda ahli UMNO digalakkan,” beritahu sumber berkenaan.

Menurut sumber tersebut, majoriti pimpinan peringkat akar umbi mahukan perubahan drastik dalam kepimpinan tertinggi dengan memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh memulihkan ‘krisis keyakinan’ yang melanda UMNO sekarang. Pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh Dato’ Seri Abdullah kepada timbalannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dilihat terlalu sentimental seolah-olah menafikan hak majoriti ahli sebagai pemilih sebenar. Seterusnya kata sumber itu, Tun Abdul Razak sendiri pernah membuat kesilapan apabila melantik Tun Hussein Onn sebagai timbalannya menggantikan Tun Dr Ismail, dengan menolak pilihan ahli UMNO ketika itu iaitu Tun Sardon Jubir. “Bertolak daripada insiden tersebut kebobrokan dalam pimpinan UMNO semakin ketara,” jelas sumber berkenaan menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(11)

3
MERANDUK MALAM:

KAWAN HILANG DALAM GELAP
MENUNGGU CERAH DI TUBIR GUA

“KITA nak ke mana ni, di luar gelap tak ada api!” laung Usin Sodok ketika tercegat di pintu gua.

“Jangan terburu-buru,” sahut saya masih mencari botol-botol ubat di atas meja. Sebaik sahaja ternampak botol minyak kuda, terus saya lumurkan ke badan. Setidak-tidaknya bau minyak berkenaan mengelakkan gangguan nyamuk. Reptalia bisa sama ada lipan, kala jengking mahupun ular juga akan undur sekiranya terbau minyak berkenaan.

Segera saya menyuruh kawan-kawan lumurkan minyak kuda ke seluruh badan, sekalipun baunya tak menyenangkan. Puas mencari bekalan minyak petrol di dalam gua kecil itu, memang kami tak temui langsung. Kalau balik semula ke bot Abang Din pun, memang sia-sia sahaja. Bot tak akan dapat digerakkan sekiranya tak mempunyai petrol.

“Di mana kita mahu dapatkan minyak petrol?” Abang Din masih tak mengenakan bajunya. Dia sekadar sandang bajunya di bahu sahaja ketika angin malam berpuput sejuk.

“Kita tak boleh tunggu lama, nanti Si Tongkol balik,” Mail Kengkang mendesak supaya segera keluar dari gua dalam terumbu batu karang itu.

“Kalau tak ada minyak petrol, bot kita tak boleh nak ke mana,” jelas saya ingatkan kawan-kawan. “Lebih baik kita berpecah, cari bot Si Tongkol!” ujar saya selanjutnya.

“His, kamu nak cari nahas!” sahut Usin Sodok mendengus. “Kamu nak larikan bot Si Tongkol?” soalnya lagi.

“Mana aku tahu nak pandu bot laju,” jelas Abang Din lesu disebabkan menahan pedih akibat belakang disebat dengan tali pinggang.

“Kita curi minyak petrol mereka,” beritahu saya membuat keputusan.

Serba salah juga Abang Din mahu berpecah dalam saat meruncing. Tetapi kami tak ada pilihan lagi terpaksa berpecah. Setidak-tidaknya sukar dikesan oleh Si Tongkol bersama kunco-kunconya. Bagaimanapun saya sanggup menyusup masuk ke dalam bot Si Tongkol untuk melarikan minyak petrol.

Justeru saya berseorangan sahaja turun ke pesisir pantai. Abang Din bersama Sahak Salai mencari botnya yang disembunyikan. Sementara Usin Sodok dan Mail Kengkang pula mengawasi laluan Si Tongkol bersama kunco-kunconya.

Setelah berpecah teus sahaja saya menyusup di celah belukar meranduk kegelapan malam. Memang di situ tak dapat pangkalan bot berhenti, kecuali teluk kecil di celah terumbu batu karang dengan airnya cetek. Ketika saya sampai di kawasan berkenaan, tak nampak pun bot laju Si Tongkol berlabuh.

Cepat-cepat saya berpatah balik ke lorong naik ke pintu gua, tetapi Usin Sodok dan Mail Kengkang tak lagi menunggu di situ. Segera saya menyusup ke arah terumbu batu karang di bawah lereng dengan harapan kawan-kawan sudah jejak kaki naik ke bot. Puas saya memerhati di sekeliling memang tak nampak mereka di mana-mana.

“Ah, Abang Din balik naik ke gua gamakanya!” bisik saya perlahan memerhati ke arah pintu gua. Memang sukar melihat dengan jelas di dalam gelap malam, sekalipun jarak dengan pintu gua bukanlah jauh sangat. Cahaya lampu minyak tanah di dalam gua juga tak menembusi hingga ke luar.

Hairan juga saya bagaimana kawan-kawan tak kelihatan dalam masa tak sampai setengah jam. Sewaktu saya turun ke pesisir pantai, memang bot Si Tongkol tak berlabuh di situ. Ke mana pula Si Tongkol sembunyikan bot lajunya?

Ketika menjengah di tempat bot Abang Din disembunyikan, saya juga tak melihat sesiapa di situ. Bot Abang Din masih tertambat di situ ditutupi ranting-ranting bakau. Macam mana pun saya tidaklah panik, tetapi terus meranduk kegelapan malam.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung…)


PUISI

Syair Orang Lama


Alkisah tersebut zaman dahulu
S46 dan UMNO tak sehalu
Rais Yatim berkata jangan melulu
roda bulat berpusing selalu.

Jangan disangka empat persegi
roda berpusing berputar lagi
tempat di atas ke bawah pergi
pemimpin UMNO juga yang rugi.

Berlakulah sudah kehendak peri
Abdullah Badawi memerintah negeri
pengampu Dr Mahathir terpaksa lari
mencari tempat berlindung diri.

Rais Yatim jadi menteri
Shabery Cheek turut berdiri
Tengku Azlan menarik diri
semuanya S46 empunya peri.

Lupalah UMNO kisah lama
Mat Taib berlagak macam panglima
Tok Pa sangka kononnya gelama
tak sedar diri hanyalah tuma.

Sedarlah UMNO nasib bangsa
jangan Melayu menjadi mangsa
tunjuk belang berebut kuasa
hidup diperlekeh sepanjang masa!

-Man Cincai
Selayang, Selangor
22 September 2008

INFO SUARA PROLITAR

ADUAN PRIMA DIBERI PERHATIAN:
TINGKAT MUTU PERKHIDMATAN AWAM

Unit Aduan Awam telah mengambil maklum mengenai aduan pihak tuan (PRIMA). Lawatan dan siasatan telah dijalankan pada lokasi aduan tersebut pada 17 September 2008 oleh Penolong Pengarah Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Jelebu. Keprihatinan pihak tuan amat kami hargai bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pihak Majlis Daerah Jelebu. Terima kasih. – (SMS, SPANS; 22 September 2008; 10:03:42 – Majlis Daerah Jelebu, Kuala Kelawang, Negeri Sembilan).

BEKALAN DAGING MEMANG CUKUP:
MACAM MANA PULA HARGA DI PASARAN?

Jaminan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Dato’ Mustapha Mohamad bekalan barang-barang menjelang Hari Raya Aidilfitri mencukupi, memang bagus untuk didengar. Tetapi macam mana dengan harga sekilo daging lembu hingga RM20-RM25 di Negeri Sembilan tahun ini? Kalau dulu RM24 dah cukup maskahwin untuk ‘anak dara’ di Negeri Sembilan macam sama pula dengan sekilo daging. Kok daging rusa yang dijual ‘mantai’ tahun ini, mahu pula sampai RM70-RM80 sekilo. Barulah ‘demam tak kebah’. – (SMS; 22 September 2008; 12:41:22 – Haji Kabul, Senawang, Negeri Sembilan)

JADIKAN LOKASI MAKAM DAENG PERANI
PRODUK PELANCONGAN DI NEGERI KEDAH

Oleh : Asalbayu
Menurut buku Sejarah Kedah oleh Haji Buyong Adil (DBP,KL,1980) di halaman 34 dan 35 terdapat catatan mengenai campur tangan Pahlawan Bugis Lima Bersaudara (PBLB) dalam krisis perebutan takhta di Kedah.Mereka yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Chelak, Daeng Kemasi, Daeng Menambun dan Daeng Merewah telah berhasil menewaskan angkatan Raja Kecil dari Siak yang membantu adinda tiri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II merampas kuasa.Dalam tahun 1136H (1724M) sekali lagi Raja Kechil berhasil merampas semula takhta lalu diberikan semula kepada adinda tiri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II dan baginda sekali lagi telah meminta bantuan PBLB itu.
Biarpun Raja Kechil berjaya dikalahkan serta diusir, Daeng Parani telah terkorban akibat ditembak tetapi tidak dinyatakan di mana pula lokasi peristiwa itu berlaku dan di mana pula jenazahnya yang hanya dikatakan dimakamkan di Kedah tanpa menyebut secara khusus lokasinya.Hasil kajian Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), didapati makam berkenaan berada di Kampung Ekor Lubok, Sidam Kanan, Kulim 16 km dari bandar Sungai Petani.Sekalipun telah lanjut usia, Haji Hassan Che Awang yang lahir pada 7 September 1922 dan pernah menuntut ilmu agama Islam di Kelantan dari tahun 1949 hingga 1957, yang merupakan zuriat Daeng Parani tertua di situ masih kuat ingatan.
“Menurut cerita Allahyarham ayah saya, moyangnya Daeng Parani itu adalah seorang pahlawan yang handal selain pendakwah Islam, penegak kebenaran dan begitu mudah memberi pertolongan apabila diminta.Itulah sebabnya apabila Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II perlukan bantuannya dia terus membantu sebanyak dua kali sekalipun upah yang dijanjikan ketika meberikan pertolongan awalnya dahulu khabarnya masih terhutang,” katanya.Menurut penjelasan bapanya yang diperolehi secara lisan, Daeng Parani terkorban kerana tembakan curi di Pinang Tunggal yang terletak kira-kira 5 km dari kampung tersebut setelah gencatan senjata diumumkan.
“Jenazahnya telah dibawa dengan perahu secara sulit tanpa disedari oleh sesiapa termasuk sebilangan pengikutnya lalu dimakamkan di sini yang mana ketika itu masih dipenuhi hutan tebal,” cerita beliau. Disebabkan bimbang akan terus diburu musuh-musuhnya, mereka mengambil keputusan menghapuskan gelaran nama sekalipun mereka adalah zuriat Daeng Parani yang beristerikan Tengku Aishah iaitu adinda Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II.“Dahulu kampung ini bernama Telok Bagan, kemudian diubah namanya kepada Pantai Sepom dan akhir sekali hingga kini dinamakan pula Kampung Ekor Lubok. Sepom adalah nama lain bagi asam kumbang yang pohonnya terdapat di sini ketika ia mula-mula diteroka dulu,” ujar Haji Hassan selanjutnya.
Ketika diadakan majlis pertemuan zuriat Daeng Perani baru-baru ini, satu pameran artifak yang pernah digunakan oleh Pahlawan Bugis antaranya keris, lembing, badik, tempayan, dokumen-dokumen penting, foto, keratan akhbar dan sebagainya telah diadakan.Pengerusi Persatuan Sejarah Cawangan Kedah (PSMCK), Dato’ Haji Wan Shamsudin Mohd Yusof menyarankan agar dapat dibina sebuah muzium mini bagi menempatkan bahan-bahan tersebut dengan kaedah yang lebih selamat.Dalam merealisasikan Koridor Utara (NCER) di mana industri pelancongan dikatakan sebagai sektor penting, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) serta Kementerian Pelancongan sewajarnya tidak terlepas pandang bahawa lokasi makam Daeng Perani berpotensi untuk dijadikan di antara produk penting sementelah PBLB amat berperanan dalam pergolakan politik di Nusantara.
Dengan yang demikian sudah tentulah penduduk setempat yang berjumlah sekitar 300 orang itu turut dapat meningkatkan ekonomi menerusi pelbagai aktiviti seperti industri kampung, hasil pertanian, homestay dan sebagainya.Turut memenuhi acara ialah Warisan Tarian Tradisional Bugis yang digayakan oleh penari-penari wanita Persatuan Zuriat Almarhum Raja Abdullah (PZARA) yang dibawa dari Selangor.Hadir sama ialah Atace Kedutaan Indonesia, Kolonel M Yunus yang mengakui keturunan Bugis, Timbalan Pengerusi PZARA, Prof Dr Abdullah Ghazali Zakaria (UM) dan Che Hassan Othman (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kedah).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

UMAT ISLAM PERLU DIDIKAN ILMU
SULTAN TAK DIBENAR JUMPA ULAMA
Kata sahibul hikayat sekali persetua pergilah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke negeri Johor Darul Takzim seperti dicanang orang banyak hari ini 22 Ramadan 1429 (atau disebut anak cucu fakir 22 September 2008). Adapun Orangkaya Perdana Meteri itu dijemput ke Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran oleh harakah Melayu (UMNO) Johor yang diketuai Orangkaya Menteri Besar Dato’ Abdul Ghani Othman dikediaman rasminya di Saujana, adanya. Maka Orangkaya Perdana Menteri itu memberikan tazkirah dengan dihadiri ramai orang besar-orang besar negeri termasuklah Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Syahdan diberitahu orang banyak akan Orangkaya Tan Sri Muhyiddin itu tidaklah ia duduk disebelah Orangkaya Dato’ Seri Abdullah, akan tetapi diselangi kononnya oleh Orangkaya Menteri Besar.

Sebermula akan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu menyerulah ia supaya tak perlu jemu menuntut ilmu dalam tazkirahnya. Arakian kata Orangkaya Perdana Menteri itu, “Kita mesti mempunyai ilmu dan bagi umat Islam, ilmu dalam al-Quran begitu luas dan mesti dipelajari kerana terbukti mampu memajukan masyarakat seperti yang penah dinikmati umat Islam suatu ketika dahulu.” Maka terfikirlah oleh fakir akan negeri Melaka itu dahulunya memang kerajaan Melayu yang besar, kerana menjadi pusat ilmu Islam setanding dengan Pasai. Syahdan pada suatu masa Sultan Melaka itu berdendam akan Bendahara Seri Maharaja, kerana tak mempersembahkan anaknya Tun Fatimah untuk diperisteri baginda. Maka lupalah Sultan Melaka akan ajaran Islam, lalu dibunuh Bendahara Seri Maharaja. Wallahu’alam!

Arakian, maka Sultan Mahmud hendak pergi mengaji maklumat pada Maulana Yusof. Adapun tuan itu jenun; jika layang-layang orang lalu di atas bumbungnya disuruhnya buangi ali-ali. Makat telah dapat, disuruhnya pesuk-pesukkan, katanya, ‘Mengapa engkau biadap lalu dari atas rumahku.’ Demikianlah lakunya Maulana Yusof, bapa Kadi Menawar itu. Maka Sultan Mahmud pun naik gajah, diiringkan orang banyak pergi ke rumah Maulana Yusof. Telah datang ke luar pintu Maulana Yusof, maka kata, ‘Apa kerja Sultan datang ke rumah fakir? Tutup pintu pagar kita.’ Maka Sultan Mahmud pun kembalilah ke istana baginda. Telah hari malam, maka segala hamba raja disuruh pulang, pergilah Sultan Mahmud dua berbudak, membawa kitab maklumat, barulah diterima oleh Maulana Yusof, begitulah sukar mahu mencari ilmu di masa dahulu seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, September 21, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

MAJLIS BERBUKA PUASA KU LI
RAKAN-RAKAN PENULIS HADIR

Assalamualaikum,

Kira-kira jam 3.00 petang (21 September 2008), Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon beritahu mengenai majlis berbuka puasa di rumah Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini. Haji Yahaya Ismail juga menelefon beritahu beliau akan hadir pada majlis berbuka puasa berkenaan, setelah menerima panggilan telefon daripada Wan Ahmad. Di samping Haji Yahaya juga beritahu mengenai sekurang-kurangnya 17 Bahagian UMNO di Sabah dikatakan akan mencalonkan Tengku Razaleigh bagi jawatan Presiden UMNO pada Disember 2008 nanti. Apabila menelefon adik angkat saya Nasiri Hamid, memang saya tak hadir majlis berbuka puasa di kediaman Tengku Razaleigh, kerana bimbang berulang insiden pada majlis berbuka puasa ‘Buletin Rakyat’ di Crown Princes, Khamis lalu (18 September 2008).

Anak-anak juga melarang saya ke majlis berbuka puasa berkenaan, kerana bimbang apabila rakan-rakan terus mengucapkan takziah yang menyebabkan saya tak mampu menahan sebak. Memang permata hati keluarga kami Ikram Hafiz sudah hampir sebulan disemadi, tetapi ucapan takziah tetap menjadi fobia kepada saya hingga sukar menahan sebak yang mengganggu majlis. Justeru saya lebih selesa berbuka bersama keluarga bagi tahun ini, sementara kepiluan masih lagi mengganggu. Insya Allah, selepas semuanya kembali normal saya bersedia untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan kawan-kawan di masa akan datang. Apalagi bapa saudara saya penyair Yassinsalleh juga kirim SMS, beliau tak hadir majlis berbuka puasa di kediaman Tengku Razaleigh itu.

Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pula berhasrat untuk ke majlis berbuka puasa di kediaman Tengku Razaleigh, tetapi ‘musuh’ dirinya sukar dielakkan. “Musuh’ bagi diri Dato’ Dr Mohd Mansor ialah perjalanan waktu malam menjadi masalah kerana tak boleh memandu kenderaan (lainlah sewaktu di UTM memang disediakan pemandu untuk berjalan malam), tetapi selepas bersara segalanya perlu dilakukan sendiri. Kalau mahu membantu pun mungkin sahaja Presiden Penaja Pemandu Teksi Muslim Lembah Kelang, Zainal Abidin Rasidin. Sebaliknya ketika saya hubungi Zainal Abidin, beliau juga sedang membantu masak memasak bagi majlis berbuka puasa di surau di kawasan kediamannya. Masya Allah!

Majlis berbuka puasa di kediaman Tengku Razaleigh dikatakan mengundang media di samping rakan-rakan dan penyokong-penyokongnya yang sudah turun padang membantu beliau dalam visi mahu membawa perubahan dalam UMNO. Memang Tengku Razaleigh tak penting, sebaliknya visi beliau dianggap memberi impak kepada perjuangan bangsa Melayu. Sokongan terbuka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam visi Tengku Razaleigh dilihat sebagai sokongan moral kepada beliau ketika menungkah arus yang serba menggegar, mendegar dan memugar! Bagi pihak PRIMA, memang kita tetap sentiasa bersama pejuang-pejuang bangsa yang mahu mendaulat dan memartabatkan roh bangsa Melayu itu.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


PERKUKUHKAN DULU DALAMAN UMNO
BUKAN ‘KOKOK BERDERAI EKOR BERTAIK’

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah, Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib dinasihatkan meningkat prestasi perkhidmatan yang boleh dinilai oleh rakyat, bukan sekadar mengharap ihsan daripada Perdana Menteri menganugerah jawatan berkenaan, kata bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Mengulas kenyataan Senator Tan Sri Muhammad yang juga Ketua Penerangan UMNO hari ini (21 September 2008) selepas menyampaikan cek RM18.25 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor bagi 2,300 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Bangi, Dato’ Kamal Amir mengingatkan, “Tumpukan perhatian kepada masalah rakyat di luar bandar terutama rungutan peneroka-peneroka Felda dengan harga komoditi bagi pasaran getah dan kelapa sawit.”

Dalam kenyataannya menteri yang bertaraf senator itu memberitahu mengenai kelicikan politik Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim menimbulkan spekulasi seolah-olah melakukan ‘tawar menawar’ dengan masyarakat Cina dan India untuk meraih simpati bagi mencapai impiannya untuk berkuasa. Menurut Dato’ Kamal Amir yang juga Jurucakap PRIMA, kalau Dato’ Seri Anwar mahu menjadi senator peluangnya terbuka menerusi lima kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, tetapi secara bermaruah beliau memilih untuk bertanding dalam pilihanraya kecil. Katanya, Senator Tan Sri Muhammad perlu bertindak memperkukuhkan UMNO menerusi program terancang, bukan mencari kesalahan orang lain ‘macam ayam kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik’. “Perbetulkan masalah dalaman UMNO dulu, baru perbetulkan orang lain,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(10)

3
MERANDUK MALAM:

KUNCI JERIJI MEMANG KUKUH
IDEA BUNTU DALAM KURUNGAN

DI LUAR kedengaran bunyi deburan ombak terlalu kuat memukul terumbu karang. Sekalipun sudah menjamah roti kering di samping meneguk air mineral, tetapi perut masih lapar. Apalagi Abang Din mengerang kesakitan akibat belakangnya berbekas disebat dengan tali pinggang.

Ketika itu kami tak mengetahui sudah pukul berapa, disebabkan jam yang dipakai sudah dirampas oleh Si Tongkol. Hanset saya juga trutu diambil, sekalipun sudah saya matikan. Mujurlah dia tak memaksa saya memberikan nombor pin hanset berkenaan.

“Nasib Hang Tuah lima bersahabat, dapat juga ditawan lanun!” keluh Abang Din kesejukan kerana tak memakai baju. Memang belakangnya terasa pedih kalau kenakan baju apabila bekas sebatan tergesel.

“Kamu yang bersungguh-sungguh sangat nak ke laut, macam mana sekarang Hafiz?” ujar Usin Sodok pula macam menyalahkan saya.

“Kamu tu bodoh sangat nak ikut, kenapa!” sahut Abang Din ingatkan kawannya itu.

“Jangan berbalah sama sendiri,” segera saya memujuk kawan-kawan. “Kita tak boleh percayakan Bung Hirman mahupun Bung Superman, mari kita berikhtiar untuk lepaskan diri,” saya cuba menolak jeriji bilik kurungan berkenaan.

“Kita nak ke mana, tempat ni tengah laut?” Mail Kengkang masih dalam ketakutan.

“Belakang Abang Din perlu diubat, kalau keluar kita boleh pupuk dengan pucuk senduduk,” jelas saya perlahan.

“Lagipun bot kita kehabisan minyak aje, kalau kita dapat petrol malam ni kita boleh larikan diri,” beritahu Abang Din optimis.

Memang saya tahu bot Abang Din ditambat di tepi pantai selepas ditarik Si Tongkol. Mereka sembunyikan bot berkenaandi celah terumbu batu karang, ditutupi dengan ranting-ranting bakau. Si Tongkol tak mahu tempat berkenaan ditemui sesiapa kerana dianggap pulau kecil tak berpenghuni.

Bilik kurungan yang sempit dalam gua kecil itu memang tempat mereka bersembunyi. Tetapi saya dapat mengagak sudah banyak mangsa diperosok ke situ. Apalagi keadaan jeriji besi yang kukuh dengan kunci diikat rantai, memang tak siapa pun mangsa mampu melarikan diri.

Sambil membelek-belek kunci yang tersangkut pada pintu jeriji, saya tetap kenang semasa mengikut perkhemahan pengakap. Gembira benar guru pengakap apabila saya dipilih menjadi peserta terbaik perkhemahan peringkat negeri. Memang semasa ikuti perkhemahan banyak kemahiran dapat dipraktikkan.

Kalau takat kunci deadbolt tahu sangat saya fasal pin yang menyendal pada frame. Asal sahaja pin ditolak ke bolt ianya akan menyentuh pada notch di dalam frame. Kunci tak akan terbuka sekiranya bolt tak masuk ke dalam trek. Sebab itu saya perlu masukkan bolt ke dalam trek kunci berkenaan.

Ketika tergaru-garu kepala mencari idea bagaimana mahu membolos keluar, saya ternampak pin baju tersemat di dada Sahak Salai. Sengaja dia kenakan pin disebabkan butangnya sudah tertanggal. Cepat-cepat pula saya meminta pin tersebut dari Sahak Salai untuk mengumpil kunci tersangkut di pintu jeriji.

Sebaik sahaja saya dapat menolak bolt kunci ke dalam trek, memang mudah sahaja ianya terbuka. Bilik sempit dalam gua kecil yang diterangi lampu minyak tanah sahaja, sukar sangat mahu bergerak. Saya tergesa-gesa membolos keluar, tetapi mengambil beberapa minyak ubat di atas meja, termasuk juga minyak gamat.

“Abang Din gosokkan minyak gamat ni di belakang dulu,” ujar saya menggamitnya.

“Gamaknya mereka juga pernah luka, sebab itu bekalkan minyak gamat di sini,” kata Abang Din menggeliat-geliat pedih apabila digosok pada bahagian yang berbekas disebat dengan tali pinggang.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung…)

PUISI

Syair Siti Zubaidah

(dengan apologi
versi baru)


Tersebutlah kisah suatu hari
hebohlah sudah semua menteri
ada yang terpaksa kencing berdiri
kerana bimbang perubahan negeri.

16 September disebut orang
kerajaan baru dicanang dikarang
Anwar Ibrahim dikata temberang
suara UMNO bertambah kurang.

Sekali persetua di rantau jauh
Siti Zubaidah kehilangan sauh
mencari suami hatinya luluh
bertemu Wan Azizah di Permatang Pauh

Pergilah mereka ke benua China
mencari suami sudah dihina
di dalam penjara kerana pesona
Siti Zubaidah tak mahu merana.

Terlalu gembira hatinya isteri
Siti Zubaidah berperi-peri
nasibnya sama Wan Azizah sendiri
berjuang membela suami jauhari.

Wahai UMNO sekalian Melayu
bacalah syair jangan merayu
insaflah kisah sejak dahulu
ketentuan Illahi hendaklah dilalu!

-Penyair Tua
Petaling Jaya, Selangor
21 September 2008.


INFO SUARA PROLITAR

PAK LAH LUAH RASA MARAH
GENERASI MUDA SUKAR DIKAWAL

Hari ini (21 September 2008) Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) meluah rasa marah yang tak terkira. Rakyat generasi muda dan pertengahan yang sudah tidak terkawal lagi, golongan ini dikatakan terlalu gemar memakai seluar ‘jean’ (bukan Jeanne) yang agak-agaknya lupakan budaya sendiri. Begitulah! – (SMS; 21 September 2008; 17:10:39 – YS, Kajang, Selangor).

PAK MENTERI JAMIN BARANG CUKUP
FASAL HARGA MEMANG TAK BOLEH JAMIN

Pak menteri jamin barang keperluan mencukupi Hari Raya tahun ni. Alhamdullillah. Takat jamin barang-barang cukup aje, tak pula disebut fasal harga. ‘Persatuan Pengeluar Telur’ pun cakap, bekalan telur mencukupi. Tapi harga telur gred A ialah 34 sen sebiji. Sebabnya harga makanan ternakan dah naik. Orang Melayu buat kuih, pakai santan kelapa. Sayangnya harga sebiji kelapa parut RM1.80. Adui yai! Harga baja naik gamak-nya! Tapi pakcik-pakcik dan atuk-atuk pekebun kecil jula kelapa sekadar 30 sen sebiji. Macam mana pak menteri? – (SMS; 21 September 2008; 18:37:08 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA MENTERI TAK BERPENGARUH
LEBIH BAIK SAHAJA MELETAKKAN JAWATAN

Syahdan menjadi gemparlah sekalian orang besar di negeri Melayu itu, apabila disebut Orangkaya Permatang Pauh mahu menubuhkan ‘kerajaan baru’. Sebermula tersebutlah akan Orangkaya Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Noor Mohammad Yaakob terlalu bimbanglah ia, akan keadaan keselamatan dan iktisad negeri Melayu. Kononnya, negeri-negeri atas angin semuanya ‘tunggu dan lihat’ dengan keadaan siasah negeri Melayu itu, kerana perbuatan Orangkaya Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Maka kata sekalian sahabat-sahabat fakir, rupa-rupanya Orangkaya Permatang Pauh itu terlalulah ia berpengaruh daripada Orangkaya Menteri sekalian, kerana negeri-negeri atas angin itu semuanya ‘tunggu dan lihat’ untuk bersahabat dengan negeri Melayu. Arakian kata sekalian yang hadir, ‘Eloklah Orangkaya Menteri semua meletakkan jawatan termasuklah Orangkaya Tan Sri Noor Mohammad kerana mereka tak berpengaruh hingga negeri-negeri atas angin tak pandang sebelah mata pun.’

Arakian setelah datang persalinan, maka orang bergelar itu keluar bersalin, sudah bersalin masuk pula. Maka dikenakan orang petam dan pontoh, kerana orang bergelar itu semuanya berpontoh, tetapi masing-masing pada patutnya: Ada yang berpontoh bernaga dengan penangkal dan azimat, ada yang berpontoh permata, ada yang berpenyangga sahaja, ada yang berpontoh perbuatan khalkan biru, ada yang berpontoh perak, ada yang bertimbalan, ada yang sebelah. Setelah sudah, maka ia menjunjung duli, lalu pulang; disuruh hantar pada siapa patut, atau orang yang menjemput itu juga menghantari; diarak, ada yang bergendang serunai sahaja, ada yang bernafiri, ada yang bernagara, ada yang berpayung putih, tetapi mahal adanya payung putih dan nagara itu; sedangkan payung kuning dan nafiri lagi sukar diperolehi, begitu perihal orang yang berpengaruh dalam pemerintahan Melayu itu seperti disebut ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, September 19, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


SEBAK DI MAJLIS BERBUKA PUASA
DIPELUKAN RAKAN-RAKAN PENULIS

Assalamualaikum,

Majlis berbuka puasa ‘Buletin Rakyat’ di Hotel Crown Princes, Jalan Tun Razak semalam (18 September 2008) sukar bagi saya menahan sebak di dada, apabila kawan-kawan masih mengucapkan takziah atas berpulangnya ke rahmatullah pemata hati keluarga saya Ikram Hafiz pada 26 Ogos 2008 (hari kemenangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh). Memang saya tak mampu menahan sebak sebaik sahaja berjabat tangan dengan taukeh ‘Buletin Rakyat’ Dr Amar Hassan bersama isterinya, malah air mata terus sukar ditahan ketika dipeluk oleh penulis veteran Pak Habib (S.H. Alattas). Pak Habib yang lantang mengkritik sesiapa saja itulah pernah menyelamatkan akaun Gapena pada 1980, apabila bersedia bersama saya tanda tangan vocer kosong berikutan penyata kewangan berserabut menjelang mesyuarat agung di Ipoh. (Mungkin Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein pun tak menyedarinya).

Pada peringkat awalnya memang saya serba salah mahu menghadiri majlis berbuka puasa berkenaan, sebaik sahaja adik angkat saya Nasiri Hamid menelefon pada Selasa (16 September 2008). Bagaimanapun isteri saya (Adiah Mat Lana) bersama anak-anak mendesak supaya tak hampakan permintaan editor ‘Buletin Rakyat’, Norzah Haji Kepol (isteri Nasiri), di samping bertemu kawan-kawan kolumnis akhbar berkenaan termasuk Pak Habib, Zakaria Bidin, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz (diwakili isterinya Datin Rozzie kerana beliau ke Terengganu), Raihan Suleiman Palestin dan beberapa lagi. Anak saya Cikgu Idham Khalil juga turut memberi semangat dengan bersedia untuk memandu kereta, dengan tak menyedari saya fobia apabila melihat ayam masak tomato tergolek di pinggan nasi yang menjadi kegemaran Allahyarham Ikram Hafiz.

Semasa hayatnya juga saya sukar menahan sebak apabila melihat Ikram Hafiz menyuap nasi berlaukkan ayam masak tomato dengan tiada jari hantunya akibat nahas motorsikal di malam Hari Natal 2004. Justeru saya tak akan memandang ke arahnya sewaktu dia berselera menyuap nasi. Justeru ketika sampai di tingkat 10 bangunan hotel, saya cuba menahan sebak dengan duduk menunggu isteri saya mengambil makanan. Ketika Puan Alleza Ahmad (isteri Dr Amar) datang ke meja mengalu-alukan kedatangan saya (meja saya sekeluarga diletakkan jauh dari kawan-kawan penulis oleh Nasiri bagi mengelakkan saya terus fobia), dada saya mula terasa sebak tetapi sengaja cuba gagahi untuk memeriahkan majlis berkenaan.

Sempat juga saya bergurau dengan Zakaria Bidin dan suami Raihan, sebaik selesai sahaja berbuka di samping mahu mencari surau untuk solat. Sebaliknya ketika didakap oleh Pak Habib (sambil beliau membacakan sedikit doa dari ayat-ayat al-Quran), air mata saya sudah tak dapat ditahan. Apalagi ketika mengerling tetamu lain dengan ketul ayam bergolek di pinggan, menyebabkan pelukan Pak Habib terasa memilukan. Sebaik sahaja Pak Habib melepaskan pelukan, segera saya kembali ke meja keluarga mengajak anak saya Cikgu Idham Khalil balik. Justeru saya balik awal seolah-olah terasa merosakkan majlis berbuka puasa yang diatur ‘Buletin Rakyat’. Aduhai!

Hari ini (19 September 2008), Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof menghubungi saya mengucapkan takziah sekalipun beliau mengakui belum lag terlambat. Kebetulan pada ‘Selasa Hitam’ iaitu hari Ikram Hafiz berpulang ke rahmatullah, Hajjah Fauziah dimasukkan ke Hospital Selayang menjalani pembedahan lutut. Dalam nada terharu Hajjah Fauziah mengakui, sekalipun diberi perhatian oleh keluarga tetapi ibadat puasa tetap banyak yang tertinggal, di samping solat pula terpaksa duduk di kerusi. Begitulah! Memang beliau mengakui berpulangnya ke rahmatullah Ikram Hafiz, sama juga seperti kehilangan anaknya sendiri, kerana biasanya apabila saya berkunjung ke rumah beliau, Ikram Hafiz yang akan memandu kereta saya.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


PERTUKARAN JAWATAN ANTARA PAK LAH DAN NAJIB
MEMBERI MAKNA PERBAHARUAN UMNO BERJALAN LANCAR

Langkah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih Menteri Pertahanan dengan menyerahkan portfolio Menteri Kewangan kepada Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dilihat mempunyai kaitan dengan gerakan pembaharuan dalam UMNO sedang berjalan lancar sekarang, kata bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau yang menelefon sekretariat PRIMA dari Terengganu malam semalam (18 September 2008), laporan PRIMA mengenai perjumpaan di kediaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 September 2008 adalah tepat. “Tun Dr Mahathir serius mahu memperbetulkan semula UMNO, berikutan keberantakan yang ditimbulkan pada period Dato’ Seri Abdullah perlu ditangani secara bijaksana,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Dato’ Kamal Amir yang terbabit bersama gerakan pembaharuan yang dipelopori Tun Dr Mahathir bersama Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Dato’ Mazlan Harun dan pimpinan MUBARAK memberitahu, agenda yang mahu digerakkan ialah memperkukuhkan semula UMNO. Pimpinan sekarang bukan sahaja mendedahkan kelemahan UMNO, sebaliknya meletakkan orang Melayu dalam dilema berikutan kebangkitan Pakatan Rakyat secara mendadak. Menurut Dato’ Kamal Amir, tak ada sebarang alasan lagi bagi memperkukuhkan semula UMNO selain daripada gerakan pembaharuan yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir. “Pimpinan peringkat akar umbi optimis pembaharuan dalam UMNO boleh dilakukan oleh menerusi kebijaksanaan yang telus,” beliau menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(9)

3
MERANDUK MALAM:

TERUMBU KARANG TENGAH LAUT
PELUANG BEBAS TERLALU SEMPIT

MEMANG Si Tongkol tak berperi kemanusiaan. Dia akan tampar sekiranya tak mengaku masuk ke perairan antarabangsa mahu mencari pulau batu karang tersebut. Mail Kengkang pula termuntah-muntah selepas ditumbuk perutnya. Begitu juga Sahak Salai disuruh lakukan ketumbuk ketampi sekiranya tak mahu kena belasah.

Sebab itu mereka semua ketakutan. Memang terasa nasib kami tak sebaik Hang Tuah lima bersahabat apabila dikejar lanun. Mereka diselamatkan oleh Batin Singapura yang datang membantu ketika lanun-lanun memburu sampan Hang Tuah. Tetapi kami berlima tak dapat lari ke mana. Malah dikurung di dalam gua di pulau batu karang berkenaan.

“Sekarang hari dah malam, kamu semua tak boleh nak ke mana-mana kerana di luar terlalu gelap,” beritahu lelaki bertubuh sasa berkepala botak, kemudian terus sahaja meninggalkan kawannya yang tersandar di bangkut itu.

Tak lama selepas itu dia datang semula membawa sekotak air mineral. Segera dihulur kepada kami bersama sebungkus roti kering. Dia menyuruh kami makan roti kering dan meneguk air mineral berkenaan. Ketika mencapai air mineral dalam kotak, memang saya dapati ianya dibotolkan di Indonesia.

“Brother, sekarang ni kami di perairan Indonesia ke?” lantas saya mendesak.

“Panggil saja saya, Bung Hirman,” beritahu lelaki bertubuh sasa berkepala botak itu. “Yang duduk tersandar dengan kaki letak di meja tu, memang kurang ajar, tapi panggil aje Bung Superman,” dia ketawa dibuat-buat semacam bergurau.

“Jadi, kami sekarang di perairan Indonesia ke, Bung Hirman?” ujar saya segera meminta penjelasan.

“Di sini perairan antarabangsa!” sahutnya tersengih-sengih.

“Sudah, kamu budak-budak jangan banyak kerenah!” ujar Bung Superman lantas turunkan kaki dari atas meja. “Kamu tak boleh balik, sebab di laut gelora ombak tsunami masih berbahaya,” jelasnya lantas mengangkat hanset sebaik sahaja berbunyi.

Lama dia bercakap menerusi hanset, tetapi tak diketahui biji butirnya. Tak berapa jelas pertuturannya disebabkan bunyi ombak juga bising memukul terumbu karang di bawah gua berkenaan. Di samping itu saya dapati Bung Superman dan Bung Hirman tak sama dengan Si Tongkol dan kawannya berbangsa India.

Si Tongkol bersikap garang serta panas baran. Mudah sahaja menampar kalau tak turuti kemahuannya. Begitu juga lelaki berbangsa India yang dipanggilnya Jojo cepat sahaja menjerkah macam serigala liar.

Sebaliknya Bung Superman dan Bung Hirman, bukanlah mengawal kami sangat. Dia disuruh menunggu di gua sementara Si Tongkol dan Jojo keluar jalankan operasi. Sebab itu kami tak diberi makan di bilik kurungan tersebut, kerana mereka tak mempunyai bekalan makanan. Kami lihat Bung Superman dan Bung Hirman juga sama-sama makan roti kering dengan meneguk air mineral.

“Kami keluar cari bekalan makanan!” ujar Bung Superman keras, kemudian memberi isyarat kepada Bung Hirman supaya tinggalkan gua berkenaan.

“Belikan kami nasi beriani, Bung Hirman,” sengaja saya menjerit kuat meminta perhatian lelaki sasa berkepala botak itu.

“Tengah laut ni di mana mau cari nasi beriani?” sahutnya terus melompat keluar dalam kegelapan malam di pintu gua.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung…)

MENUNGGU GILIRAN TERBIT PUISI
PEMENANG HADIAH SABAR DENGAN DBP

Apa khabar (rakan-rakan) PRIMA? Yang penting saudara (Pak Dharma) dan sekeluarga dalam sihat walafiat. Saya pun demikian juga. Sampai sekarang kumpulan puisi saya masih belum diterbit oleh pihak DBP (Dewan bahasa dan Pustaka) walaupun telah metrai surat perjanjian. Barangkali terpaksa menunggu giliran, agaknya! Terpaksalah bersabar. Saya tak sangka menang Hadiah Perdana Sastera Malaysia 2005-2006. Inilah pemenang yang ke 10. Hadiah terakhir saya terima ialah pada tahun 1989. Tidak payah kita bercakap tentang Pakatan Rakyat (PR) dan pergolakan UMNO. Kita hanya menunggu sahaja. Kalau saudara ada niat nak menulis, tulislah. Itu bidang saudara. Saya hanya mampu menulis puisi sahaja dan sedang menyiapkan kumpulan puisi terbaru.
- (Haji Nahmar Jamil, Kangar, Perlis).

PUISI

Pantun Versi Baru

Pulau Pandan jauh di sana
Gunung Daik bercabang empat
memang padan bangsa merana
buat baik tidak bertempat.

Pisang emas di dalam baldi
masak sebiji bawa ke kedai
bangsa lemas kerana berbudi
jadi Pak Kaduk kampung tergadai

Tanjung Katung airnya biru
tempat mandi dara jelita
lagikan berkampung semakin haru
inikan pula tak pernah sekata.

Nasi lemak buah bidara
buah langsat saya landaikan
UMNO semak kerana bicara
hidup bangsat Melayu digadaikan.

Pucuk pauh delima batu
ikan semilang di tapak tangan
maruah jatuh tak bermutu
Melayu terbilang sekadar omongan.

Makan sirih berkain sampin
pinang kotai di hutan lengang
Melayu tersisih kerana pemimpin
mengaku pandai tetapi bangang!

-Cucu Tok Azit
Kubu Gajah, Pelangai
Pahang.
18 September 2008.


INFO SUARA PROLITAR

JAMINAN MENTERI TAK BOLEH PAKAI
SIAPA LAGI DIHARAP UMNO UTK BERJANJI?

Police arrested blogger Syed Ayidi Syed Abdul Aziz aka Sheikh Kickdefella ini Kota Bharu today (17 September 2008). Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Hamid Albar beri jaminan selepas tiga individu ditahan di bawah ISA, takkan berlaku lagi tangkapan baru. Nampaknya jaminan menteri UMNO pun sukar dipakai. Kalau jaminan menteri dah tak boleh pakai, jaminan siapa lagi boleh diharap oleh rakyat Malaysia? – (SMS; 17 September 2008; 18:11:48 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

HAMID ALBAR PERLU JAWAB:
ANWAR ANCAM NEGARA ATAU UMNO?

Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) ancam keselamatan negara atau goncang kedudukan UMNO? Siapa Dato’ Seri Syed Hamid Albar yang ingatkan orang ramai jangan nak buat spekulasi Anwar ditahan di bawah ISA. Sedar tak Hamid Albar ketika lawan Anwar nak rebut Ketua Pemuda UMNO dulu, berapa undi aje hangpa dapat? Takat jadi menteri kabinet, orang tak heran. Kalau tanya orang ramai pun, mereka tak kenal siapa menteri kabinet sekarang. – (SMS; 18 September 2008; 14:34:51 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

DAKWAAN ANWAR SEBAGAI ANCAMAN NEGARA
TAK SEPATUTNYA DIUCAPKAN OLEH PAK LAH


Arakian terkejutlah sekalian orang banyak apabila Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebut akan Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan iktisad rakyat jelata. Adapun dakwaan tersebut tak sepatutnya ia terkeluar dari mulut Orangkaya Perdana Menteri. Syahdan diberitahu orang banyak suatu ketika dahulu Orangkaya Permatang Pauh itu adalah menjadi ketua kepada Orangkaya Perdana Menteri. Maka kata orang banyak kasadnya Orangkaya Perdana Menteri itu sudah diketahui apabila mengatakan akan bekas ketuanya itu mengancam keselamatan negara dan iktisad rakyat jelata. Adapun yang menjadi ancaman kepada keselamatan ialah rasuah, salahguna kuasa dan mengada-adakan perkara yang tak ada seperti perihal Patih Karma Wijaya ketika ia memfitnah Laksamana Hang Tuah dahulu.

Kata sahibul hikayat maka tersebutlah perkataan anak Sultan Mansor Shah yang bernama Raja Ahmad dan Raja Muhammad, kedua-duanya pun besarlah. Adapun yang kasad Sultan Mansor Shah, Raja Muhammadlah hendak dijadikan raja akan ganti baginda kerana Raja Muhammad itu sangat dikasihi baginda. Sekali peristiwa Raja Muhammad pergi bermain-main berkuda di kampung Bendahara Paduka Raja. Adapun kepada masa itu Tun Besar anak bendahara bermain sepak raga di lebuh dengan segala anak-anak muda. Maka Raja Muhammad pun lalu; Tun Besar tengah menyepak raga. Maka raga itu pun jatuh menimpa destar Raja Muhammad, jatuh ke tanah. Maka ditikamnya Tun Besar, menyebabkan gemparlah kampung bendahara. Syahdan akan Raja Muhammad itulah yang mengancam keselamatan negara, lalu disuruh Sultan Mansor Shah dirajakan ke Pahang seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, September 17, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG


SENJATA UNTUK DOMINASI KUASA
ZAID SEDIA LETAK JAWATAN MENTERI

Assalamualaikum,

Peletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bagi Undang-Undang) Dato’ Zaid Ibrahim baru-baru ini(15 September 2008) yang menolak ISA digunakan sebagai senjata mendominasi kuasa dilihat sebagai di luar dugaan. Dato’ Zaid menolak jawatan menteri bagi menegakkan keyakinan beliau iaitu kekuatan UMNO perlu digerakkan melalui kepimpinan yang berwibawa bukan memperalatkan ISA. Bukan sahaja Dato’ Zaid menyedari ramai pejuang-pejuang bangsa menjadi mangsa ISA, malah majoriti pimpinan UMNO juga memahami kekuatan UMNO bukan terletak di sebalik kuasa kebal ISA, tetapi ialah dengan menghapuskan kebobrokan, kepongahan dan keberantakan yang berterusan. Legasi kempetei Jepun pada dekad 1940-an yang diadaptasi dalam melestari pentadbiran akan menyemarakkan lagi keberangan rakyat. Begitulah!

Media arus perdana pula yang dianggap kebal, terpaksa menerima padah akan disaman kerana memfitnah seorang Ahli Parlimen, menyebabkan beliau ditahan di bawah ISA dengan tak usul periksa. (Laksamana Hang Tuah juga dihukum dengan tak usul periksa oleh Sultan Melaka, hingga berlaku tragedi memalukan, memilukan dan menyayukan). Mereka yang berfikiran waras sukar mempercayai kalau Ahli Parlimen terbabit mahukan dilarang azan dilaungkan di masjid, atau secara sengaja menjolok sarang tebuan. Sebaliknya isu berkenaan dieksploitasi oleh media arus perdana yang percaya kekebalan melindungi institusi media terbabit, sekalipun pada dekad 1970-an di bawah Akta Hasutan, medialah yang dikenakan tindakan.

Misalnya, Tun Musa Hitam apabila meminta sekolah jenis kebangsaan ditutup, beliau tak didakwa di bawah Akta Hasutan, sebaliknya media yang menyebarkan dikenakan tindakan. Justeru Tan Sri Melan Abdullah selaku Ketua Pengarang Kumpulan terpaksa menerima tanggungjawab, apabila didakwa di bawah Akta Hasutan. Kes yang sama turut dialami oleh Fan Yew Teng atas kapisiti pengarang akhbar ‘Rocket’ apabila menyiarkan teks ucapan Dr Ooi yang berbau hasutan. Berdasarkan fakta berkenaan, Ahli Parlimen terbabit tak sepatutnya dikenakan ISA, disebabkan media yang mengeksploitasi isu berkenaan sebenarnya menimbulkan kekeliruan orang ramai. (Amat jelas sekarang pihak mana yang menjadi juara memfitnah sama ada penulis laman web dan laman blog atau media arus perdana).

Ketika media arus perdana terus melekakan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan isu ’16 September 2008’ yang dianggap angan-angan kosong Dato’ Seri Anwar Ibrahim, keberangan rakyat semakin sukar dibendung. Bukan sahaja harga minyak petrol mengelirukan, malah harga sebiji kelapa siap di parut di kedai runcit ialah RM1.80 semalam (16 September 2008) iaitu sejak beberapa minggu lalu. Kalau sebiji kelapa dibeli daripada pekebun-pekebun kecil di Bagan Datoh sekadar 15 sen ke 25 sen sebiji (kebetulan bapa mertua saya ialah pekebun kecil kelapa di Bagan Datoh), memang terlalu membingungkan, membengangkan dan membangangkan kenaikan harga yang melambung di Kuala Lumpur. Media arus perdana masih bermain dengan ‘fantasi kuasa kekebalan’ UMNO, ketika Dato’ Seri Abdullah memerlukan sokongan secara komprehensif. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO SASTERA & BUDAYA


LANGKAH BIJAK TUN DR MAHATHIR
HALANG LANGKAH ‘RAMPASAN KUASA’.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah bijak dengan menggerakkan perjumpaan bersejarah di kediamannya di Cyberjaya, (yang dikatakan) 6 September 2008 lalu sebagai usaha menghalang pimpinan PKR di bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim memproklamir ‘kerajaan baru’ semalam16 September 2008. Pemilihan 6 September juga dianggap simbolik, (pada 6 September 1946 rundingan disambung semula antara British, raja-raja Melayu dan UMNO bagi memansuhkan Malayan Union) dalam usaha Tun Dr Mahathir menyelamatkan UMNO, beritahu penganalisis politik. Dalam perjumpaan tersebut membabitkan pimpinan UMNO termasuk Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Dato’ Mazlan Harun dan beberapa lagi. “Tun Dr Mahathir akan mengetuai kempen bagi pencalonan Tengku Razaleigh bagi jawatan Presiden UMNO,” menurut sumber.

Langkah Dato’ Seri Anwar tak meneruskan pelan peralihan kuasa pada 16 September juga dikatakan mempunyai kaitan dengan usaha yang digerakkan oleh Tun Dr Mahathir di Cyberjaya pada 6 September lalu. Pelan peralihan kuasa yang disebut-sebut oleh Dato’ Seri Anwar berikutan 31 ahli Parlimen BN dikatakan akan menyertai PKR ianya boleh mendorong kepada darurat diproklamir, jelas sumber tersebut. Justeru Dato’ Seri Anwar juga terpaksa mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan undang-undang darurat di proklamir. (Dalam perspektif sejarah sebaik sahaja diisytihar Persekutuan Tanah Melayu pada Februari 1948 menggantikan Malayan Union, British memproklamir darurat pada Jun 1948). “Malah langkah memproklamir ‘kerajaan baru’ juga boleh ditakrif ianya sebagai satu ‘rampasan kuasa’,” beritahu sumber berkenaan.

BEBAN DI BAHU UMNO NS
KEKAL PIMPINAN KHAIRY DI REMBAU
Spekulasi empat ADUN BN akan menyertai Pakatan Rakyat (PR) di Negeri Sembilan 16 September 2008 dikatakan tak menggugat kerajaan negeri yang dipimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Hassan, sekalipun ianya tak berlaku setelah berakhirnya tarikh yang disebut-sebut dalam pelan peralihan kuasa PR. Bagaimanapun menurut sumber di sini, kedudukan Dato’ Muhamad Hassan semakin terdesak berikutan lanskap politik yang berkocak kuat di negeri ini kerana Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dikatakan menjadi ‘beban’ di bahu UMNO Negeri Sembilan. Seterusnya sumber tersebut memberitahu, ketika di bawah pimpinan Tan Sri Muhd Isa Samad prestasi BN di Negeri Sembilan tak segoyah sekarang. “Dato’ Muhamad terpaksa menanggung beban kehadiran Khairy menyebabkan BN merana,” jelas sumber berkenaan.

Kejayaan PR mendominasi 15 kerusi DUN daripada 37 di Negeri Sembilan memang pencapaian di luar dugaan berikutan Khairy menjadi calon di Parlimen Rembau pada PRU12. Apabila empat DUN BN menyertai PR, bermakna kedudukan lawan ialah 19 di samping BN sekadar 18, beritahu sumber itu lagi. Justeru Negeri Sembilan bukan sahaja memerlukan semula pimpinan Tan Sri Muhd Isa, malah Khairy juga tak wajar menjadi beban kepada UMNO di negeri ini. Seterusnya kata sumber tersebut, proses peralihan kuasa di Negeri Sembilan semakin cepat sekiranya Khairy terus kekal dalam pimpinan di negeri ini, sekalipun menggunakan rangkaian platform ‘pak pong pak mustape’ mendapat sokongan di peringkat Bahagian Rembau. “Taktik Dato’ Muhamad mahu mengurangkan pengaruh Tan Sri Mohd Isa akan memakan diri sendiri,” menurut sumber tersebut.
INFO SASTERA & BUDAYA
NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(8)

3
MERANDUK MALAM:

DIKURUNG LELAKI BERBADAN SASA
APABILA DI BAWA KE PULAU RAHSIA

TERASA lapar disebabkan tak menjamah makanan sejak petang. Ketika makan tengahari pun sekadar roti dan nasi lemak bekalan apabila turun ke laut selepas subuh. Siapa pun tak beritahu ibu bapa apabila ikut Abang Din ke laut. Sebab itu beli roti dan nasi lemak di gerai di bagan sahaja untuk bekalan memancing bersama Abang Din.

Sebaik sahaja sampai di bagan, Abang Din menyuruh beli bekalan makanan. Belum tentu boleh balik awal sekiranya sudah turun ke laut. Setidak-tidaknya ketika air surut jam 4.00 petang barulah bot balik semula ke bagan. Memang kami tidak duga bot Abang Din kehabisan minyak hingga hanyut jauh memasuki perairan antarabangsa.

“Saya laparlah Abang Din,” bisik Sahak Salai mendengus lantas duduk bertinggung memeluk kepala lutut.

“Nak buat macam mana, kita kena sabarlah sikit,” ujar Abang Din berdiri memegang jeriji pintu bagaikan lock-up di balai polis. “Lagipun tak tahu di mana kita sekarang ni,” tuturnya perlahan kerana bimbang didengar dua lelaki sasa yang mengawal di luar bilik kurungan berkenaan.

Memang tak disangka bot laju yang mara mendekati kami ketika hanyut di laut bukan pasukan polis marin. Empat lelaki sasa di dalam bot laju berkenaan menarik bot kami jauh ke pulua batu karang. Mereka menuduh kami memasuki perairan antarabangsa.

Tetapi kami cam sangat mereka bukan polis marin Indonesia. Ketua mereka yang perkenalkan dirinya Si Tongkol beberapa kali menyebat Abang Din dengan tali pinggang kerana dituduh bersalah. Saya pula ditampar oleh Si Tongkol kerana cuba pertahankan Abang Din.

Ketika sampai di pulau batu karang tengah laut, kami diikat tangan sebelum dimasukkan ke bilik kurungan di dalam gua. Justeru kami menyedari bukan ditahan oleh polis marin kerana bilik kurungan berkenaan tidaklah pejabat pihak berkuasa. Lagipun Si Tongkol bersama kawan-kawannya sekadar memakai jean dan jaket, serta kepala diikat dengan kain merah.

“Mereka semua ni lanun!” ujar saya berligar dalam bilik kurungan tersebut. “Nelayan yang kena samun di laut, mungkin perbuatan mereka ini!” gerutu saya menjeling marah ke arah dua orang lelaki yang mengawal di luar bilik kurungan.

Lelaki sasa itu memang bersenjata. Bukan sahaja memiliki pistol, mereka juga turut membawa M-16. Salah seorang daripadanya duduk tersandar di bangku dengan dua kaki diletakkan di atas meja.

“Kamu semua lapar ke?” lelaki sasa yang tersandar di bangku itu bertanya.

“Tentulah lapar brother, kami semua ni pelajar sekolah, mana boleh tahan berlapar, “ sahut saya memang terasa geram.

“Sabarlah, di sini jauh dari pekan, bukan senang nak dapat bekalan makanan,” jelas lelaki itu sambil menghisap rokok.

“Kalau begitu lepaskan saja kami semua,” ujar saya beranikan hati disebabkan kawan-kawan yang lain sudah berasa serik.

Sebelum dimasukkan ke bilik kurungan, memang Abang Din teruk disebat dengan tali pinggang. Si Tongkol tak percaya kami keluar memancing ke laut hingga bot dihanyut ombak ke perairan antarabangsa. Bukan Abang Din sahaja disebat, malah Usin Sodok juga pecah bibir ditampar oleh Si Tongkol.

(bersambung…)

PUISI

Pak Pong Pak Mustape

(dengan apologi)

Pak pong pak Mustape
ada dule di rumahnye
ada tepung ada kelape
masak inti aduh enaknye.

Pak pong pak Mustape
jalan-jalan ke kota raje
UMNO kucing tak bergigi
tikus di dapur lompat tinggi.

Pak pong pak Mustape
makan kuih inti kelape
kalau UMNO hilang kuase
komponen BN besar kepale!

Pak pong pak Mustape
pergi pasar cari belanje
orang UMNO rebut kedudukan
komponen BN rebut makan.

Pak pong pak Mustape
main-main tepi telage
komponen BN pakai celana
bisul UMNO meletus di mata.

-OBS
Petaling Jaya, Selangor
16 September 2008.


Bangau Oh Bangau 2

Bangau oh bangau
kenapa orang tak balas SMS
macam mana orang nak balas
takut kena ISA.

ISA oh ISA
kenapa orang takut
macam mana orang tak takut
spendar semua dah basah.

Spendar oh spendar
kenapa engkau basah
macam mana aku tak basah
sebab orang becer.

Becer oh becer
kenapa engkau tak becer
macam mana aku tak becer
takut unte berak.

Unte oh unte
kenapa engkau berak
macam mana aku tak berak
Anwar nak perintah.

Anwar oh Anwar
kenapa kau nak perintah
macam mana aku tak nak perintah
rakyat dah tak nak dialah.

Rakyat oh rakyat
kenapa dah tak nak dialah
macam mana nak lagi kat dialah
sang kelembai dah peluk dia.

Kelembai oh kelembai
kenapa peluk dia
macam mana tak peluk dia
nanti aku kena macam Petra.

Petra oh Petra
kenapa engkau kena
macam mana aku tak kena
dia dah terkencing.

Kencing oh kencing
kenapa engkau terkencing
macam mana tak terkencing
rakyat sudah bising.

Rakyat oh rakyat
kenapa buat bising
macam mana kami tak bising
Anwar dah asah taring.

Taring oh taring
kenapa suara aje nyaring
macam mana suara aje nyaring
aku pun terkencing.

Kencing oh kencing
kenapa Anwar kencing
macam mana Anwar tak terkencing
cakap tak serupa bikin!

-Yassinsalleh
Kajang, Selangor
16 September 2006.


INFO SUARA PROLITAR

KENA GEMPAQ PUN DAH KETAR
UMNO MEMANG TAK SEMANGAT!

Anwar’s gempaq made UMNO’s heh heh heh, huh huh huh urinate in their pants, holding dear life. Depa terkejut beruk! Gitulah semangat orang UMNO. Cabut kerih minta maaf, Parti Gerakan gertak nak keluar BN meleleh hingus. Tak macam UMNO zaman Tok Azit, Dato’ Onn nak keluar, keluarlah! Semangat Melayu kuat. Kalau golongan imigran nak tunjuk eksyen boleh blahhh. UMNO sekarang cabut kerih pun ketar. – (SMS; 16 September 2008; 18:40:58 – Cucu Tok Azit, Pelangai, Pahang).

LAPOR SEGERA PADA BPR
JANGAN SENGAJA CARI PUBLISITI

Kok dah sah orang pujuk Dato’ Hassan Malik tawarkan itu dan ini untuk masuk PKR, lapor sajalah kepada BPR. Buek apo publisiti? Dah lama kojo, memang Hassan Malik tu jarang keluar berito di surat kabar. Dah jadi timbalan montori pun, tak buek apa. Balik Pilah pun tak turun padang. Dulu jadi orang kuek belio, tak apo. Sekarang dah jadi timbalan montori, konolah turun padang selalu. Kok jadi ADO dulu lainlah, boleh rileks duduk pojabat jo! (SMS; 17 September 2008; 14: 37: 43 – Mat Kulat, Senaling, K Pilah).

MENULIS JAGA ‘PERIUK NASI’
LEBIH BAIK JUAL GORENG PISANG

Sekiranya tanyakan siapa Rahim Kajai, Samad Ismail, Pak Sako, Yusuf Ishak atau wartawan besar dan kecil pada period penjajah, anak-anak muda lebih kenal kalau bandingkan dengan Kalimullah Hassan. Eloklah Kalimullah jangan lekakan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan ‘fantasi’ menyebabkan PRU12 semua terbelalak mata. Bak kata Pak Hussein Yaacob (wartawan juga), kalau takat menulis nak ‘jaga periuk nasi’, jual goreng pisang tepi jalan pun boleh dapat duit.- (SMS; 17 September 2008; 14:50:22 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

SERAH PORTFOLIO MENTERI KEWANGAN
PIMPINAN PAK LAH SEMAKIN TERDESAK

Bayangkan Si Luncai yang tak pakai spendar tertidur masa pegang ‘machine gun’. Heh heh heh hebat untuk kartun Lat. (Dato’ Seri) Abdullah Ahmad Badawi (telah) serahkan portfolio menteri kewangan kepada (Dato’ Seri) Najib Tun Razak, kuatkuasa serta merta (lihat HRKH) – (SMS; 17 September 2008; 15:07:11 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

LAIN PENGASAS NEGERI SINGAPURA
LAIN PULA DISEBUT ORANG KEMUDIAN

Sebermula disebut orang banyak akan bekas Orangkaya Perdana Menteri di negeri Singapura itu, Lee Kuan Yew dalam keadaan sakit, adanya. Maka dipukul canang ke segala pelusuk menyebut akan bekas Orangkaya Lee Kuan Yew pengasas negeri Singapura. Arakian terlalu masyghol segala rakyat jelata Melayu kerana disebut perihal negeri Singapura itu diasaskan oleh bekas Orangkaya Lee Kuan Yew. Syahdan akan negeri Singapura itu sudah memilih Orangkaya Ketua Menterinya iaitu Tun Lim Yew Hock dan Orangkaya David Marshall. Maka bekas Orangkaya Hamid Jumat itu disebut orang menjadi ketua segala Melayu di negeri Singapura pada zaman bahari. Syahdan datanglah pedagang dari negeri atas angin pada masa dahulu bernama Stamford Raffles, bertemulah ia dengan Temenggung Abdul Rahman, adanya.

Hatta, setelah datang ke tengah laut ribut pun turunlah, dan kenaikan itupun keairan. Maka dipertimba orang, tiada tertimba air ruang lagi. Arakian kenaikan itu hampir ke Teluk Belanga, makin sangat air naik. Maka dibuang orang segala harta, hanya mahkota yang tinggal, tiada juga kenaikan itu timbul. Syahdan penghulu kenaikan pun menyemabh Sang Nila Utama, ‘Tuanku pada bicara patik, sebab mahkota ini juga gerangan maka kenaikan ini tiada timbul, kerana segala harta yang di dalam perahu ini telah habislah sudah.’ Maka titah Sang Nila Utama, ‘Jikalau demikian, buangkanlah mahkota itu.’ Arakian dibuang oranglah mahkota itu. Hatta, maka ribut teduhlah, kenaikan pun timbullah. Sang Nila Utama naik ke darat bermain di Kuala Temasik, bagindalah memberi nama ‘Singapura’ itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!