Friday, October 17, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

SEKUMPULAN PELAJAR TENDANG GURU
TAHAP DISIPLIN SEKOLAH MAKIN TERUK

Assalamualaikum

Insiden seorang guru, Cikgu Azahana Ibrahim diserang sekumpulan pelajar perempuan di Perlis yang dilaporkan (17 Oktober 2008) memang memeranjatkan. Saya tak fikir tahap disiplin pelajar terlalu buruk, hingga murid Tingkatan 2 berani bertindak ganas. Bagaimanapun laporan berita TV malam ini (jam 8.00 malam) menyebut pelajar terbabit sudah digantung persekolahannya, sebagai tindakan serta merta yang diambil oleh pihak jabatan pelajaran. Disiplin pelajar memang merunsingkan semua ibu bapa, tetapi jabatan pelajaran juga perlu menilai insiden ini secara bijaksana (pinjam istilah Dato’ Suhaimi Ibrahim, bekas Presiden GPMS). Kadangkala kemungkinan juga berpunca daripada ‘pendekatan’ yang dilakukan pihak sekolah terhadap pelajar-pelajar bermasalah yang mendorong kepada insiden tak berdisiplin pelajar terbabit.

Pada 2004 misalnya, DYMM Tuanku Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah berasa murka dengan tahap disiplin yang menyebabkan seorang pelajar mengalami cedera parah didera kawan-kawan sekolahnya. DYMM Sultan Pahang murka kepada pengurusan sekolah terbabit yang sengaja menyembunyikan fakta sebenar, bagi melindungi nama baik sekolah daripada tercemar, kononnya! Isu menangani disiplin pelajar juga kadangkala membabitkan sikap antara guru-guru sendiri yang bersaing di kalangan kakitangan sekolah. Sekalipun disedari oleh kementerian menerusi pelbagai surat atau memorandum ibu bapa, tetapi semuanya ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’, malah dianggap perkara remeh temeh.

Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein misalnya, tak wajar enggan melayani sebarang surat menyurat yang disampaikan ke kementeriannya, seolah-olah pendekatan yang diambil pihak sekolah semuanya boleh menyelesaikan masalah, dengan tak mengira persekitaran juga perlu diambil kira. Justeru, saya mengambil contoh insiden anak saya Allahyarham Ikram Hafiz yang pernah dibuang sekolah (atas sebab-sebab meritnya sudah melebihi). Pelajar di Perlis yang menendang guru sekadar digantung perseolahan, tetapi Ikram Hafiz dibuang sekolah kerana disiplinnya merokok, ponteng kelas dan enggan mengakui dakwaan yang dikenakan ke atas dirinya oleh guru (tak pernah pun memukul guru, sebaliknya dia yang dipukul oleh guru). Pihak sekolah tak pernah menghargai sumbangannya sebagai ‘peserta terbaik perkhemahan pasukan beruniform’ seluruh negeri Selangor.

Dia dituduh ‘Kristian’ kononnya memakai rantai salib, tetapi sebenarnya (lambang anak kunci) yang dihadiahkan oleh kakaknya sempena hari jadinya. Sebaliknya apabila saya bertanya kepada ‘ustaz’ dan ‘guru penolong kanan’, ustaz berkenaan mengakui tak pernah melihat tetapi sekadar mendengar aduan daripada ‘pengawas’ (yang memang berdendam kepada Ikram Hafiz). Saya dipanggil ke sekolah apabila dia didakwa menghisap rokok, tetapi apabila ditanya kepada pelajar yang menuduhnya, pelajar berkenaan melihat dia menghisap rokok selepas balik dari solat terawih dalam bulan Ramadan (Maknanya hari malam, di samping pelajar perempuan itu tinggal di fasa yang jauh dari fasa rumah saya). Guru terbabit tak pernah melihat, tetapi sekadar menerima aduan sekalipun lokasi di luar sekolah dan pada waktu malam. (Pelajar yang mengadu itu, memang berdendam atas perkara peribadi). Apabila didesak si guru terbabit menolak sebarang pertanyaan yang dianggap macam ‘cross examination’ di mahkamah.

Bagaimanapun Ikram Hafiz dapat membuktikan kepada guru terbabit segala pendekatan yang dilakukan terhadapnya tak beretika, apabila dia mampu meneruskan pengajian memasuki IPTS (Unisel), dengan mengambil peperiksaan sebagai calon persendirian. Memang nasib tak menyebelahinya, apabila meninggal dunia setelah terbabit dalam nahas motosikal pada 26 Ogos 2008 lalu, dalam perjalanan balik ke rumah dari Unisel di Bestari Jaya (Batang Berjuntai). Insiden yang dialami oleh Allahyarham Ikram Hafiz, adalah contoh bagaimana ‘kebobrokan’ pendekatan yang dilakukan pihak sekolah dalam menangani disiplin pelajar, sehingga pelajar yang menghisap rokok di luar sekolah juga diheret ke meja guru penolong kanan (memang ibu bapa juga tak galakkan anak-anak menghisap rokok), tetapi pendekatan yang diambil biarlah beretika.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


HARI RAYA MASIH DISAMBUT
RUMAH TERBUKA AKTIVIS MASYARKAT

Rumah terbuka menyambut Hari Raya masih diteruskan oleh beberapa orang aktivis masyarakat, berikutan sebelumnya rakan-rakan ramai yang balik ke kampung menemui sanak saudara. Justeru dengan mengadakan rumah terbuka memberi peluang kepada rakan-rakan yang tak sempat meraikan bersama pada hari raya pertama dan kedua untuk menghadiri majlis berkenaan. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang juga pengurus kempen Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden UMNO, turut mengadakan rumah terbuka besok (Sabtu, 18 Oktober 2008) di kediamannya No 1 Lorong Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail mulai jam 5.00 petang hingga ke malam. Dato’ Kamal Amir mengundang aktivis masyarakat dan rakan-rakan PRIMA bersama keluarga ke majlis rumah terbukanya.

Berikutnya pada 25 Oktober 2008, ketua pimpinan BERSIH Ezam Mohd Noor juga mengadakan majlis rumah terbuka di kediamannya No 3 Jalan Platinum 7/37B, Seksyen 7 Shah Alam. Dalam kiriman SMSnya pimpinan BERSIH, Abdul Ghani memberitahu majlis rumah terbuka berkenaan pada sebelah siang iaitu tengahari menjelang ke petang. Ezam seterusnya mengundang semua rakan-rakan dan aktivis masyarakat menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan. Tradisi majlis rumah terbuka meraikan Hari Raya sudah diterima sebagai budaya baru masyarakat, apabila mereka yang balik ke kampung pada awal Hari Raya dapat bersama-sama meraikan dengan kawan-kawan di bandar. Di smaping majlis rumah terbuka, budaya baru masyarakat juga turut menganjurkan majlis berbuka puasa di bulan Ramadan bagi meraikan kawan-kawan. Begitulah!

TAK WAJAR BERITA SAMAN
KE ATAS RAJA MELAYU DIBESARKAN

Beberapa pihak melahirkan rasa terkilan dengan sikap media yang menyiarkan laporan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman disaman sejumlah US$1 juta oleh sebuah bank perdagangan. Sekalipun fakta berkenaan benar, setelah pihak mahkamah membuat keputusan, tetapi wajarlah digunakan pertimbangan ‘budi bicara’ supaya tak diperbesarkan. Menurut seorang dato’ adat di Jelebu (tak mahu namanya disiarkan), gambaran yang diberikan seolah-olah raja Melayu boleh muflis dengan tindakan tersebut, di samping ianya boleh memalukan kerajaan negeri sendiri. “Kalau raja Melayu boleh dimalukan, apa akan jadi dengan institusi beraja di negara kita,” menurut dato’ adat berkenaan.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(22)

6
DI PLANET BONEKA

HANYA WAJAH DI SKRIN BESAR:
MELAWAN BONEKA DI BILIK KURUNGAN

“BAPAK Profesor, adakah tuan mahu jadikan kami semua ni robot?” lantas saya bingkas bangun mendongak ke arah kamera litar.

“Kamu tak dapat dapat dihantar balik, kerana planet boneka ini tak boleh diketahui oleh mana-mana pihak,” beritahu Bapak Profesor lantas menampakkan wajahnya pada skrin besar di dinding keluli.

“Macam mana kami nak percaya, planet tak diketahui oleh mana-mana pihak?” ujar saya sengaja menyindir.

“Jangan cuba mengajar aku!” Bapak Profesor meninggikan suara. Marah benar dia aabila saya tak mahu percaya dengan keampuhan pertahanannya. “Tahukah kamu dinding logam ‘tungsten’ ini aku larikan dari Sweden,” katanya bangga dengan kejayaan membina planet boneka di situ.

Tahu sangat saya logam ‘tungsten’ yang disebut memang sukar dileburkan sekalipun dengan suhu kepanasan 1,650C. Sebab itu Bapak Profesor tak bimbang kalau diserbu pihak polis marin. Terkekeh-kekeh dia ketawa ketika beritahu pulau terumbu karang itu akan lenyap sekiranya solar yang digunakan di bawah air mengeluarkan kabus tebal. Justeru polis marin sama ada dari Indonesia mahupun Malaysia takkan dapat jejaki lokasi persembunyian planet boneka.

Satu-satunya yang tahu pulau terumbu batu karang berkenaan memang Si Tongkol bersama kunco-kunconya. Ke mana lagi Si Tongkol mahu bersembunyi sekiranya diburu interpol, kalau bukan di planet boneka? Bapak Profesor mengakui Si Tongkol bekalkan bahan makanan dan alat-alat teknologi, selepas mendapat bekalan senjata api. Si Tongkol bersama kunco-kunconya yang seludupkan ke merata lokasi.

“Sekarang perang tak perlukan senjata nuklear Bapak Profesor,” tutur saya sengaja mahu menyakiti hatinya. “Alaf 2000 setiap kuasa besar mahu berperang gunakan sistem komputer saja,” beritahu saya spontan.

“Kamu budak hingusan, jangan cuba nak tunjuk pandai!” bentak Bapak Profesor di skrin pada dinding keluli berkenaan.

Ketika itu mata saya melingas ke kiri ke kanan memerhati bahan-bahan ‘ethanol’, ‘alkeno’ dan ‘molekul alkeno’ banyak tersusun di atas rak dalam bilik seperti makmal itu. Sementara Abang Din pula berbisik kepada Usin Sodok supaya membaca beberapa banyak ayat 128 dan 129 ‘surah at-Taubah’ semasa terkurung begitu.

Dalam masa Abang Din dan Usin Sodok membaca ayat-ayat al-Quran yang diajar oleh ayahnya Alang Seman, Mail Kengkang dan Sahak Salai juga turut membaca ‘surah al-Kautsar’ berulang kali. Mereka diingatkan oleh ustaz-ustaz di sekolah supaya amalkan ayat-ayat berkenaan ketika terkurung di mana-mana.

Sewaktu Bapak Profesor yang muncul di skrin besar memberi amaran, cepat-cepat saya jatuhkan tubuh dari katil. Sekaligus pula tentera boneka menerkam, tetapi cepat-cepat saya menyusup ke bawah katil. Apabila saya berselindung di bawah katil ternyata boneka-boneka yang dipantau alat kawalan jauh tak mampu membongkok ke situ.

Boneka-boneka terbabit terus bertindak liar mahu mengangkat katil tersebut. Bilik seperti makmal itu bertukar kecoh seketika disebabkan saya tak mahu keluar dari bawah katil. Berkali-kali suara Bapak Profesor memberi amaran supaya tak bersembunyi di situ, tetapi saya tetap berdegil. Wajahnya semakin bengis kelihatan di skrin besar.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Naratif Pantun Beradat

Pergi ke rimba pokok berbaris
bawa pedati ditarik kuda
maafkan hamba menghunus keris
nak tunjuk berani depan Pemuda.

Kalau ke padang membawa guli
jangan bermain di tengah laman
selamat bersidang sekalian ahli
UMNO semakin hilang pedoman.

Sekali air bah, sekali pasir berubah
sekali parti kalah, sekali UMNO gelabah
sekali raja mangkat, sekali resam berganti
sekali hilang pangkat, sekali memendam hati!

Seciuk bak ayam, sedencing bak besi
seikat bak lidi, serumpun bak serai
hiruk serata alam, UMNO berebut kerusi
berpakat tak sudi, kokok aje berderai-derai!

Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
ke hulu sama bergalah, ke hilir sama berdayung
sakit tanggung sendiri, susah memang digeruni
biarlah hilang Pak Lah, pada Najib boleh berpayung.

Makan sirih berpinang tidak
pinang ada di negeri Melaka
hati sedih menangis tak hendak
kenang UMNO dilanda petaka!

-ALBA (Abdul Latiff Ahmad)
Jelebu, N.S.
17 Oktober 2008.


INFO SUARA PROLITAR

‘DOUBLE STANDARD’ JADI AMALAN
DORONG APA YANG BERLAKU 8 MAC 08.

Badan Pencegah Rasuah (BPR), bukan sekadar siasat laporan yang dibuat Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharuddin terhadap Setiausaha Politik MB, Mohd Misbahul Munir Masduki saja. Siasatlah banyak laporan yang dibuat oleh pihak lawan terhadap salah guna kuasa pimpinan BN juga. Misalnya, Perwaja Steel takkan senyap aje, sekalipun mendiang Tan Sri Eric Chia dah tak ada. Apa yang berlaku pada 8 Mac 2008 dulu, kerana ‘double standard’ yang dibuat oleh pelaksana undang-undang yang didorong oleh penggubal undang-undang. – (SMS; 17 Oktober 2008; 15:37:52 – Pak Sahak; Lekir, Sitiawan, Perak).

PAKATAN RAKYAT NAK BANTU
PULIHKAN EKONOMI

Oleh : Asalbayu

Kalangan anggota parlimen Barisan Nasional curiga dengan hasrat Pakatan Rakyat untuk menghulurkan kerjasama ke arah usaha memulihkan ekonomi negara seperti yang dapat dibaca di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17336&Itemid=1 .Ketika berlangsung persidangan parlimen pada 13 Oktober 2008 mereka mengosongkan tempat duduk seperti dilaporkan menerusi lamam http://msomelayu.blogspot.com/. Jika beginilah keadaannya barangkali elaun persidangan yang mereka ambil itu sudah tentulah tidak bersih atau dengan anggapan yang lebih tidak bersopan ialah haram.Majlis Fatwa Kebangsaan tidak berminatkah untuk member respons? Atau barangkali mengikut rukun Islam Hadhari ia dibolehkan?

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

HAK RAKYAT DIJAMIN PERLEMBAGAAN
PERIHAL RAJA MELAYU YANG ADIL SAKSAMA

Syahdan bersidanglah raja-raja Melayu itu, mesyuwarah ke 215 di Istana Maziah di Terengganu pada 16 Syawal 1429 (iaitu disebut anak cucu fakir 16 Oktober 2008). Maka baginda raja-raja Melayu itu mengingatkan akan rakyat jelata bukan Melayu, hak mereka dijamin dalam Kanun Persekutuan (Perlembagaan Persekutuan) dan peruntukan Kanun Tubuh Negeri (Undang-Undang Tubuh Negeri), seperti jua yang sudah termaktub dalam ‘Kanun Melaka’ dahulukala, adanya. Arakian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin berangkatlah baginda menghadiri mesyuwarah tersebut yang ianya dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, raja negeri Kedah dan jajahan takluknya itu. Sebermula akan raja-raja Melayu itu sejak dahulukala, baginda menjadi pelindung segala rakyat jelata tidaklah mengira sama ada Melayu atau bukan, sama ada dari negeri atas angin atau negeri-negeri jiran termasuklah dagang santari yang berniaga di negeri baginda.

Arakian raja Melayu itu membuat negeri di Palembang, sebelum ke Singapura dan karar di Melaka. Sekali persetua tersebutlah Gangga Negara dekar Beruas di negeri Melayu, Perak itu kerajaannya besar, Raja Gangga Shah Johan nama rajanya. Sebelum kerajaan Melayu di Melaka itu, kerajaan Beruas itu kerajaan yang besar. Maka diserang oleh Raja Suran, alahlah ia. Syahdan Raja Suran menyerang pula akan negeri Ganggayu, kotanya dari batu hitam, datang sekarang lagi ada kotanya itu di hulu Sungai Johor (maka belumlah fakir menyiasatnya lagi). Adapun asal namanya Kelang Kio, iaitu bahasa Siam, ertinya ‘perbendaharaan permata’, Raja Chulan nama rajanya. Diberitahu kepada fakir ada sebuah lagi kerajaan Melayu yang besar sebelum Palembang itu, dikatakan orang Langkasuka namanya. Syahdan terasalah sedihnya hati fakir, kerana dikatakan orang Melayu itu datang berdagang ke negeri ini. Astaga!

Kata sahibul hikayat maka Raja Iskandar pun diamlah di Melaka. Adapun akan Raja Iskandar tatkala diam di Singapura (tak diketahui lagi oleh baginda akan Singapura itu bukanlah negeri Melayu di akhir zaman ini); tiga puluh dua tahun; maka Singapura alah oleh Jawa; maka kararlah baginda di Melaka tiga tahun. Maka datanglah peredaran dunia, baginda pun hilanglah, dan anakanda baginda Raja Besar Mudalah ganti kerajaan ayahanda baginda, terlalu sekali adil perintah baginda. Arakian Raja Besar Muda yang pertama berbuat menteri mengajari orang di balai, dan mengadakan bentara empat puluh berdiri diketapakan balai akan menjunjung titah raja dan menyampaikan sembah sekalian orang tak kira Melayu atau bukan ke bawah duli baginda. Syahdan dijadikan baginda akan anak tuan-tuan biduanda kecil membawa segala alat kebesaran, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, October 15, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:
PERBAHASAN BAJET 2009
MENDEDAHKAN KEPONGAHAN AHLI PARLIMEN


Assalamualaikum,


Media arus perdana (14 Oktober 2008) yang mahu mengeksploit perdebatan di Parlimen apabila Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim membahaskan bajet 2009 (dulunya disebut belanjawan), secara tak langsung mendendahkan kepongahan ahli Parlimen-ahli Parlimen BN yang tak prihatin dengan etika wakil rakyat. Tak hairanlah apabila mereka menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan Mac 2009 nanti, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan mereka sebagai ‘pak lawak-pak lawak’. Sikap yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen BN yang duduk di lobi atau di kantin Parlimen ketika perbahasan penting, memang layaklah dilabel oleh Tun Dr M sebagai ‘pak lawak-pak lawak’.


Apabila berjalan mundar mandir di Dewan persis ‘pak lawak-pak lawak’ dalam pementasan ‘bangsawan’, mereka sekadar menjadi pelakon ekstra bagi menimbulkan gelak ketawa sama ada secara slapstik mahupun membodohkan diri sendiri. Begitulah! Peranan ‘pak lawak-pak lawak’ dalam pementasan ‘bangsawan’ sekadar untuk berhibur-hibur sahaja, tak berfungsi apa-apa. Misalnya, saya juga pernah menonton pementasan ‘bangsawan’ sekitar dekad 1960-an berjudul ‘Hang Tuah’, tetapi watak Hang Lekiu dibawakan oleh pelakon tua yang ditetapkan sebagai ‘pak lawak’. Mungkin ‘pak lawak’ yang dimaksudkan Tun Dr M dalam pemilihan UMNO mirip kepada naratif pementasan ‘bangsawan’ hingga watak Hang Lekiu juga dilawakkan. Aduhai!

Bagaimanapun pada dekad 1960-an pemimpin-pemimpin kanan kerajaan sama ada Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak mahupun Tun Dr Ismail dikatakan sentiasa menekuni ucapan-ucapan Profesor Zulkifli Muhammad (PAS-Bacok), Tan Sri Mohd Asri Muda (PAS-Pasir Putih), Tan Sri Tan Chee Khoon (SF-Batu) ketika perbahasan di Parlimen. Malah Tun Dr Ismail dilaporkan akan bergegas masuk ke Dewan (sekiranya beliau berihat di biliknya), apabila Profesor Zulkifli atau Tan Sri Mohd Asri mengambil bahagian dalam perbahasan. Berdasarkan laporan media sekitar dekad 1960-an juga, beberapa orang Ahli Parlimen pembangkang sentiasa menunggu-nunggu Tun Dr Mahathir (Perikatan-Kota Setar) berucap di Parlimen.


Justeru orang ramai juga (terutama di kampung-kampung yang sekadar membaca akhbar di kedai-kedai kopi) mengenali ahli-ahli Parlimen kerana pandangannya yang kritis. Malah anak-anak muda sebaya dengan saya ketika itu bukan sahaja tertarik membaca laporan di akhbar, sebaliknya menekuni juga laporan khas Parlimen di TV (hitam putih sahaja ketika itu). Ahli-ahli Parlimen seperti Abu Bakar Hamzah (Pas-Bacok, selepas kematian Profesor Zulkifli), Tun Dr Mahathir (Per–Kota Setar Utara), Dato’ Ahmad Arshad (Per-Tangkak), Samad Gol Ahmad (PAS-Pasir Mas), Tan Sri Dr Tan Chee Khoon (SF-Batu), D.R. Seenivasagam (PPP-Ipoh), Dato’ Tahir Majid (Per-Kuala Langat) dan Tan Sri Mohd Asri (PAS-Pasir Putih) diminati anak-anak muda sebaya saya yang ‘melahu’ (menganggur) di kampung ketika itu.

Bagaimanapun insiden ahli-ahli Parlimen BN cuba mengelak daripada menekuni ucapan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat (Isnin, 13 Oktober 2008), memang ‘pak lawak-pak lawak’ mengikut persepsi Tun Dr M. Istilah memboikot yang disebut media arus perdana, sebenarnya menampakkan kerendahan minda sekalipun mereka daripada kalangan yang dianggap intelektual. Bagi membezakan ‘kerendahan minda’ dengan ‘intelektual’ ini, elok juga dicatatkan insiden di ibu pejabat Nasrul Haq sekitar dekad 1980-an. Ketika itu seorang profesor dari UKM dalam bidang Usulluddin mengalami gangguan berdebar-debar perasaan, justeru datang ke pejabat Nasrul Haq yang turut mengendalikan rawatan Islam dipimpin Pak Mochtar Lintang. Profesor terbabit beristighfar beberapa kali apabila gangguan yang dialaminya hanya pulih dengan bacaan al-Fatihah sahaja (beliau sebenarnya hafiz al-Quran). Begitulah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

REKOD ANWAR SUKAR DICABAR
BERUCAP 5 JAM DI DEWAN RAKYAT


Mungkin sahaja Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim memecah rekod dengan berucap lima jam di Dewan Rakyat. Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri mahupun Menteri Kewangan (yang membentangkan bajet) pun tak pernah mengambil masa terlalu panjang. Pada dekad 1960-an Timbalan Presiden PAS, Profesor Zulkifli Muhammad sahaja dari pembangkang yang berucap di Dewan Rakyat lebih dua jam. Bagaimanapun selepas pilihanraya 1969, pindaan dibuat bagi menghadkan tempoh ahli Perlimen berucap dalam perbahasan, tetapi Ketua Pembangkang diberi prioriti dengan tiada had. Bagaimanapun Dato’ Seri Anwar tak mengemukakan usul undi tak percaya kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti spekulasi sebelum ini dari pelbagai pihak.


Sekalipun Dato’ Seri Anwar tak menggugat kerajaan BN, tetapi rekod yang ditampil beliau berucap bagi tempoh lima jam (pada 13 Oktober 2008) memang sukar dicapai oleh pimpinan BN sendiri. Apalagi bagi tempoh perbahasan beliau, sekadar Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) dan Dato’ Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) saja mencelah bagi meminta penjelasan. Justeru penampilan Dato’ Seri Anwar selaku Ketua Pembangkang mampu memberi sedikit perubahan dalam sistem demokrasi di Dewan Rakyat, sekiranya semua pihak prihatin dengan isu menentang perhambaan minda. UMNO mahupun BN seharusnya menampilkan pimpinan yang mampu mengimbangi ketahanan Dato’ Seri Anwar berucap melangkaui lima jam, bukan membangkitkan perkara remeh temeh yang mendedahkan kepongahan BN kepada kebobrokan yang berterusan.

UMNO MAKIN SUKAR DISELAMATKAN
APABILA ‘KERAJAAN PERPADUAN’ MUNCUL


Pelbagai pihak melihat pencalonan solid yang diterima Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pada minggu pertama Mesyuarat Agung Perwakilan Bahagian UMNO sebagai ‘perang saraf’ yang digerakkan oleh media arus perdana. Sehingga selesai 28 Bahagian UMNO bermesyuarat, Dato’ Seri Mohd Najib menerima pencalonan semua Bahagian berkenaan, dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang disebut-sebut sebagai pencabar, di samping calon-calon lain yang menawarkan diri dilabel sebagai ‘pak lawak’, kedudukan Dato’ Seri Mohd Najib seolah-olah manifestasi UMNO sekarang. Sekiranya Dato’ Seri Mohd Najib dipilih memimpin UMNO, berdasarkan pandangan penganalisis politik ianya sekadar ‘berubah pimpinan’ sahaja, bukan perubahan mutlak yang diharapkan oleh ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Dato’ Seri Mohd Najib dipilih oleh ‘sekelompok’ perwakilan di Bahagian UMNO yang tak mencerminkan sokongan majoriti orang Melayu. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi juga dipilih oleh semua Bahagian UMNO pada 2003 (kecuali Gua Musang), sebelum ditangguhkan Perhimpunan Agung bagi menghadapi PRU12. Justeru pilihan sekelompok ahli UMNO, sekadar mampu diterjemahkan pada PRU11 sahaja, sebaliknya menerima padah pada 2008. Barangkali! Dato’ Seri Abdullah pula mencapai kemenangan besar PRU11, disebabkan imej ‘Mr Clean’ yang diterimanya sebaik sahaja mengambil alih kepimpinan daripada Tun Dr M.


Berbeza dengan Dato’ Seri Abdullah, imej Dato’ Seri Mohd Najib sekadar bersandar kepada kedudukannya sebagai ‘anak Tun Abdul Razak’. Dengan reputasi yang kurang menyerlah seperti disebut Tun Dr M, beliau juga pernah mengkritik Allahyarham bapanya atas sebab-sebab survival politik. Malah Dato’ Seri Dr Mohd Najib turut mendesak arca Tunku Abdul Rahman di hadapan Parlimen dipindahkan, di samping menarik balik gelaran ‘Bapa Kemerdekaan’. Memang beliau bertindak demi survival politik dalam senario ketika itu (dekad 1980-an), tetapi imej yang disebut Tun Dr M ‘tak menyerlah’ itu disebabkan hanya ‘mengikut angin’. Alahai!

INFO SASTERA & BUDAYA:


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(21)

6
DI PLANET BONEKA

LALUAN TERUMBU BATU KARANG:
TERKURUNG BAGAIKAN MANUSIA ROBOT


“SI TONGKOL si peyeludup senjata api itu, memang pemeras!” gerutu Bapak Profesor menggamit saya mengikutnya.

Terus sahaja saya mengekori dia. Ketika melalui jambatan kecil menyeberang terowong, saya menyedari laluan berkenaan di dalam terumbu batu karang. Kedengaran ombak memukul kuat di bawah jambatan berkenaan seolah-olah telaga. Kocakan ombak itu mengalirkan tenaga elektron bagi kegunaan bekalan api di sekitar lokasi yang dikuasai Bapak Profesor.

Di seberang jambatan kecil terdapat dinding pepejal sama seperti digunakan di bilik operasi Bapak Profesor. Sebaik sahaja dia menekan butang kawalan di dadanya, dinding pepejal terbuka bagaikan pintu melengkung. Memang Abang Din bersama Usin Sodok, Mail Kengkang dan Sahak Salai ditempatkan di situ. Keadaannya tak sama dengan bilik kurungan Si Tongkol yang serba tak selesa.

Bilik berkenaan dilengkapi perabut mewah bagaikan di hotel besar. Tetapi di setiap penjuru bilik memang dikawal tentera boneka yang sentiasa mengawasi mereka. Tentera boneka yang direka cipta Bapak Profesor sama seperti anak kecil dengan ketinggian satu meter. Tetapi perisian komputernya lengkap memiliki ciri-ciri pertahanan yang sukar untuk dimusnahkan.

“Kami semua nak balik, Bapak Profesor,” desak saya meminta simpati lelaki tua yang baru dikenali itu.

“Bagaimana kamu mahu balik, di sini di tengah perairan antarabangsa,” beritahu Bapak Profesor mendengus perlahan.

“Bot kami disembunyikan di celah terumbu batu karang di sebalik sana,” jelas saya berhati-hati juga dengan beberapa tentera boneka yang mengawasi bilik berkenaan.

“Kamu tak akan selamat, di sebalik bukit sana zon dikuasai Si Tongkol,” ujarnya memberi isyarat supaya tak mendesak apa-apa. Kemudian dia terus meninggalkan kami di bilik berkenaan dengan pintunya tertutup rapat seolah-olah pepejal yang bersatu dengan terumbu karang di sekeliling.

“Nampaknya kita tak ada jalan keluar,” bisik Abang Din mendekati saya setelah Bapak Profesor keluar. Dia juga memberi isyarat mengenai tentera boneka yang mengawal di sekeliling mempunyai fikiran seperti manusia.

Saya tak menyahut apa-apa. Terus sahaja berbaring di katil dengan tilam spring yang selesa. Memang saya dapat mengagak kami tak dibenarkan berbincang. Sebab itu tentera boneka terus mengawasi kami di bilik berkenaan yang dipantau Bapak Profesor menerusi alat kawalan di dadanya. Ketika saya mengerling ke arah Usin Sodok, dia juga terlentang di katil dalam kebingungan.

Mail Kengkang dan Sahak Salai juga membisu tak berani membuka mulut. Asal sahaja bergerak, tentera boneka akan menyergah. Ketakutan yang dialami mereka berdua menjadikan Mail Kengkang dan Sahak Salai lebih kaku daripada boneka-boneka tersebut.

Disebabkan kami berlima sukar berkomunikasi kerana diawasi tentera-tentera boneka yang berkawal, terpaksalah masing-masing terlentang di katil sahaja. Ketika itu saya merasakan kami sudah bertukar identiti seolah-olah robot tak boleh berfikir. Sementara boneka-boneka yang mengawal kami pula bagaikan manusia yang berakal.

Kalau berkeras mahu melawannya memang kami boneka-boneka berkenaan lebih pantas bertindak. Sekali sekala saya mengerling ke arah mata boneka-boneka ternyata pantulan cahayanya mampu menembusi dinding bilik. Keluli ‘tungsten’ yang digunakan membina dinding berkenaan memang sukar dibolosi. Kamera litar pula memang terpasang di setiap penjuru menyebabkan kami tak boleh bergerak ke mana-mana.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Alahai Sayang

Cik ke cik ke boom
cik ke boom
semua kita kena berjaga
jangan nanti hilang spender
curi dek heh heh heh
Shah Rukh Khan
alahai sayang!

-Yassinsalleh
Kajang, Selangor
14 Oktober 2008.

Adat Tak Beradat

Orang Padang menyirat benang
Di susun maka dilipat
Dilipat lalu dipertiga
Kalau direntang tak amuh panjang
Elok dipuntal tak jua singkat
Pada berderai air mata.

Bulat air dek pembetung
Bulat kata dek muafakat
Ke gunung sama didaki
Ke lurah sama dituruni
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah.

Kerbau tak berkandang, seladang
Padi tak berpagar, lalang
Sumpah tak bermaruah, sampah
Janji tak berhuruf, alif mim nun wau
Adat melanggar adat, tak beradat!

-Alba
Jelebu, N.S.
14 Oktober 2008.

KERAJAAN NEGERI MELAKA DISOAL
ARTIS TEMPATAN TAK DIBERI PERHATIAN.

Bekas aktivis perfileman Yassinsalleh mengucapkan syabas kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pimpinan Dato’ Mustapha Maarof yang mengkritik kerajaan negeri Melaka menganugerakan pingat yang membawa gelaran Dato’ kepada seorang pelakon Bollywood yang tak sehebat mana. Menurut Yassinsalleh, peranan aktor berkenaan tak membantu meningkatkan pembangunan industri perfileman di negara ini, apalagi usaha mempromosi industri pelancongan menerusi filem-filemnya sudah dilakukan oleh pihak pengusaha filem di Hollywood. Misalnya, kata Yassinsalleh filem ‘Tiger Paper’ lakonan David Niven sebahagian besar lokasinya di buat di Malaysia. “Apakah kerana usaha tersebut kerajaan perlu memberikan pingat kebesaran kepada David Niven,” ujar Yassinsalleh yang mendakwa Dato’ Mustapha Maarof sekadar diberi peranan sebagai pemandu kereta sahaja dalam filem tersebut.


Kerajaan negeri Melaka baru-baru ini memberi anugerah pingat kebesaran membawa gelaran Dato’ kepada aktor Bollywood Shah Rukh Khan sempena hari jadi Yang Dipertu Negeri, Tun Khalil Yaakob. Menurut sumber, Shah Rukh Khan diberi anugerah bagi mengenang jasanya meningkatkan kemajuan filem Hindustan di samping mempromosi industri pelancongan Malaysia menerusi filem-filemnya. Seniman hari ini (14 Oktober 2008) mengeluarkan kenyataan mempersoal kerajaan negeri Melaka memberi anugerah berkenaan atas kriteria bagaimana. Mengulas kenyataan Seniman itu, Yassinsalleh juga melahirkan rasa hairan bagaimana kerajaan negeri Melaka membuat penilaian hingga terlepas pandang tokoh-tokoh seni di Melaka sendiri. “Omar Suwita adalah anak seni kelahiran Melaka yang lama terbabit dengan perfileman Melayu, tetapi kenapa tak diberi perhatian,” beliau menjelaskan.

INFO SUARA PROLITAR:

FAKTA YANG DIPUTAR BELITKAN
GERAKAN BAWA SUARA LEE KUAN YEW!

Oleh: Dr Seri Intan Mokhtar


Gerakan cuba memutar belitkan sejarah. Fakta yang menyebut orang Melayu juga golongan imigran seperti Cina dan India, adalah suara Lee Kuan Yew ketika Singapura masih dalam Malaysia dulu. Untuk menarik hati Orang Asli dikatakan negeri ini diduduki oleh Orang Asli. Tak sedarkah Dato’ Tan Lian Hoe, beliau menang di kawasan Parlimen Grik dengan 72.78% ialah pengundi Melayu daripada jumlah 26,229? Kalau pemimpin Gerakan kononnya mengikut telunjuk UMNO, kenapa tak keluar sahaja dari BN sejak dulu? Kalau Dato’ Tan ‘buta sejarah’ eloklah rujuk kepada ‘Warta Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu’ No 244 dikeluarkan di Rumah Kerajaan, Singapura bertarikh 1 Julai 1901 ditandatangani oleh Frank Swettenham, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu:

Perkara 14: “…Orang-orang Cina sudah barang tentu bertambah bilangannya sangat banyak, tetapi mereka ini nampaknya tidak seimbang antara lelaki dan perempuan kerana dari angka-angka yang ada ternyata bahawa jumlah lelaki dari segala kaum Cina ada 491,313 orang berbanding dengan hanya 184,825 orang sahaja perempuan. Memang sangat memuaskan juga tambahan bilangan orang-orang India dalam masa 10 tahun ini, dari 20,177 orang menjadi 52,501 orang. Orang India ini merupakan bahagian penduduk yang paling berfaedah dan penting dan akhirnya hendaklah juga diambil perhatian bahawa penduduk bandar Kuala Lumpur ibu Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah bertambah dari 19,020 orang kepada 32,381 orang.”

Penyata yang disebut dalam ‘Warta Kerajaan’ ini tak menyebut ‘Negeri-Negeri Orang Asli Bersekutu’, tetapi jelas disebut ‘Negeri-Negeri Melayu Bersekutu’. Tak perlulah saya tampilkan fakta lawatan Ma Huan dalam ‘sejarah Cina’ sekitar abad ke 12 atau Laksamana Cheng Ho pada abad ke 13 yang berkunjung ke Semenanjung Tanah Melayu, kerana Dato’ Tan pun faham anugerah yang diterimanya membawa gelaran Dato’ pun adalah daripada raja Melayu. Mungkin sejarah ‘Gerakan’ pun Dato’ Tan tak faham lagi, kerana parti itu diasaskan oleh Profesor Syed Hussein al-Attas, Profesor Syed Naguib al-Attas, Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, Tun Dr Lim Chong Eu, Mustapha Hussein, Dato’ Harun Siraj, V David, V Veerapan pada 1968. Sebaliknya konsep berbilang kaum Gerakan bertukar apabila menyertai BN. Entahlah!


PAKATAN RAKYAT NAK BANTU PULIHKAN EKONOMI
Oleh: Asalbayu

Kalangan anggota parlimen Barisan Nasional curiga dengan hasrat Pakatan Rakyat untuk menghulurkan kerjasama ke arah usaha memulihkan ekonomi negara seperti yang dapat dibaca http://www.harakahdaily.net/index.phpoption=com_content&task=view&id=17336&Itemid=1 .


Ketika berlangsung persidangan parlimen pada 13 Oktober 2008 mereka mengosongkan tempat duduk seperti dilaporkan menerusi laman http://msomelayu.blogspot.com/. Jika beginilah keadaannya barangkali elaun persidangan yang mereka ambil itu sudah tentulah tidak bersih atau dengan anggapan yang lebih tidak bersopan ialah haram.Majlis Fatwa Kebangsaan tidak berminatkah untuk member respons? Atau barangkali mengikut rukun Islam Hadhari ia dibolehkan?


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ANAK-ANAK MUDA CARI KETUA
MACAM LAYANG-LAYANG RAJA AHMAD


Kata sahibul hikayat akan bekas Menteri Besar Selangor Orangkaya Dato’ Seri (Tabib) Mohd Khir Toyo itu masih ketinggalan dengan 11 pencalaonan sahaja hingga hari ini 14 Syawal 1429 (atau disebut orang banyak 14 Oktober 2008) bagi merebut ketua anak-anak muda harakah Melayu (UMNO) itu. Syahdan akan Orangkaya Dato’ Seri (Tabib) Mohd Khir itu bukanlah ‘pak lawak’. Kononnya banyaklah ia membantu nelayan-nelayan dan petani-petani di Selangor semasa menjadi Orangkaya Menteri Besar. Hingga sekarang ramai petani-petani dari Sungai Besar berjual beli barang-barang kampung seperti kerepet pisang, kerepet ubi dan lain-lain ke Kuala Lumpur kerana usaha Orangkaya Dato’ Seri (Tabib) Mohd Khir itu. Arakian ia menunggu sehingga 27 pencalonan lagi bagi layakkan diri bertanding jawatan ketua anak-anak muda itu, adanya.

Sebermula kawan-kawan fakir pun memberitahu Orangkaya Dato’ Seri (Tabib) Mohd Khir, calon yang tak bergantung kepada bapa atau bapa mentua. Adapun Orangkaya Dato’ Mukhriz yang sudah mendapat 39 pencalonan adalah anak bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Arakian tersebutlah akan Orangkaya Khairy Jamaluddin yang sudah menerima 20 pencalonan juga ialah menantu Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Maka berfikirlah para sahabat fakir akan peri baiknya orang seperti Dato’ Seri (Tabib) Mohd Khir mengetuai segala ana-anak muda harakah Melayu, kerana tak bergantung kepada sesiapa. Ia juga sudah dikenali sebagai ketua Majlis Kerjasama Belia Asian. Begitulah!

Sekali persetua musim orang bermain layang-layang, maka segala anak-anak muda dan segala anak tuan-tuan semuanya bermain layang-layang, pelbagai rupanya layang-layang itu, (kerana mereka mahu layang-layang itu naik tinggi). Syahdan Raja Ahmad, anak Sultan Mahmud pun bermain layang-layang terlalu besar, seperti kajang sebidang besarnya, talinya tali kail tunda yang besar. Apabila banyak layang-layang orang sudah naik (lebih kurang sama macam pencalonan merebut jawatan dalam UMNO, barangkali!) maka dinaikkan baginda layang-layang baginda itu. Dilihat orang layang-layang Raja Ahmad sudah naik, maka segala orang banyak menurunkan layang-layangnya, kerana barang layang-layang yang tergesel oleh layang-layang Raja Ahmad itu akan putus, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, October 13, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


PENULIS CERITA MISTERI MENINGGAL
BELASUNGKAWA UNTUK KELUARGA TERCINTA

Assalamualaikum,



Penulis cerita-cerita misteri yang prolifik A Jalil Miran meninggal dunia pagi ini (13 Oktober 2008) yang dikatakan berakhir dengan misteri juga. Sebaik sahaja editor Buletin Rakyat Norzah Haji Kepol menelefon beritahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah Jalil Miran, saya menyampaikan mesej kepada kawan-kawannya terutama di Variapop yang pernah menerima khidmat beliau. Disebabkan tak dapat hubungi Suhaimi Hamid, saya terus menelefon Ahmad Mahmud, menyebabkan beliau juga tergamam beberapa saat. Memang Jalil Miran meninggal dunia secara misteri seperti cerita-cerita yang ditulisnya menerusi majalah dan buku-buku. Menurut Nasri Hamid (suami Norzah), beliau sekadar demam biasa, tetapi apabila dimasukkan ke hospital beliau mengalami paru-paru berair di samping diganggu kuman. Entahlah!



Secara peribadi saya tak kenal rapat dengan Jalil Miran, tetapi beberapa kali bersua memang beliau seorang yang ramah. Pertama kali bersua ketika Allahyarham Dato’ Jamaluddin Bakar (bekas editor Buletin Utama) mengadakan majlis ‘Rumah Terbuka’ pada 2003, kemudiannya apabila Dato’ Jamaluddin meninggal dunia tak lama selepas itu. Apabila Norzah menerbitkan ‘Buletin Rakyat’, pernah juga saya bersua Jalil Miran sekali dua, tetapi tak banyak yang dibualkan hanya sekadar bertanya khabar. Bagaimanapun sumbangan Jalil Miran dalam penulisan cerita-cerita misteri seharusnya diberikan perhatian, kerana tak semua penulis mampu menghasilkan genre demikian. Mungkin sahaja penulis-penulis kreatif boleh berimaginasi dengan karya-karya misteri, sebaliknya Jalil Miran digarap berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengembara alam. Begitulah!


Bagi pihak PRIMA saya mengucapkan takziah kepada keluar Jalil Miran, apalagi perpisahan dengan orang tersayang sudah saya alami pada 26 Ogos 2008 lalu berikutan kembalinya ke rahmatullah permata hati keluarga Ikram Hafiz, diikuti pula bapa mentua saya pada 1 Oktober 2008 (iaitu pada Hari Raya pertama). Justeru kesedihan keluarga Jalil Miran masih dapat saya rasakan, malah pada 11 Oktober 2008 emak kepada sahabat baik anak saya Khairil Nizam (Zaidi Ismail) juga meninggal dunia secara mengejut akibat stroke. Ketika menziarahi di kediamannya di Taman Gombak, saya menyedari ayah Zaidi iaitu Ismail ‘senyum dalam tangisan’, sekalipun beliau rancak berbual melayani saya yang terkedu dengan fenomena demikian.

Malam ini (13 Oktober 2008) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon, beritahu fasal beraya sakan tahun ini, di samping baru sahaja balik dari Johor Bahru menemui anak-anaknya di sana. Justeru saya bergurau dengan memberitahu beliau, sepatutnya mengikut tradisi Melayu anak-anak menziarah ibu bapa, bukan sebaliknya apabila ibu bapa pula mengunjungi anak-anak. Memang Dato’ Dr Mansor beraya ke Kedah di kampung isterinya sejak sebelum 1 Syawal, seterusnya balik pula ke Teluk Intan iaitu kampung beliau sendiri menjengah sanak saudara, sebelum ke Pahang menemui sanak saudara Allahyarhamah isterinya terdahulu. Justeru bukanlah salah anak-anaknya tak menziarahi di Hari Raya, tetapi beliau sendiri terbang bebas sebebas-bebasnya. Heh heh heh!


-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:


GERAKAN PERLU AMBIL TINDAKAN
WANITA BIADAP TERHADAP MELAYU


Masyarakat bukan Melayu diingatkan jangan terlalu biadap dengan menganggap orang Melayu golongan imigran sama seperti kaum lain yang diterima menjadi warga negara menerusi resolusi Jawatankuasa Perhubungan Kaum-Kaum pada November 1949, yang ditubuhkan oleh British. Kebiadapan yang ditunjukkan oleh Ketua Wanita Gerakan, Dato’ Tan Lian Hoe bukan sahaja bercanggah daripada perspektif sejarah, malah tersasar jauh daripada fakta sebenarnya, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mengulas dakwaan Dato’ Tan, orang Melayu sebagai golongan imigran dari Indonesia, Dato’ Dr Mansor menyifatkan ianya sebagai serangan balas terhadap bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Dato’ Ahmad Said yang digantung keahliannya selepas membantu calon BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos lalu.



“Kalau UMNO sudah menggantung keahlian Dato’ Ahmad, Gerakan juga perlu mengambil langkah tegas terhadap kebiadapan Dato’ Tan,” jelas Dato’ Dr Mansor. Menurut Dato’ Dr Mansor berdasarkan perspektif sejarah, nusantara adalah kerajaan Melayu yang berpusat di Palembang termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Jawa sejak abad keempat Masehi. Seterusnya kata Dato’ Dr Mansor, kalau dakwaan Dato’ Tan diterima iaitu Orang Asli adalah penduduk tetap, kenapa tak disebut dalam catatan orientalis barat ‘Semenanjung Tanah Orang Asli’ sebelum kedatangan penjajah barat. Justeru beliau menambah, Dato’ Tan perlu meminta maaf kepada orang Melayu kerana kebiadapannya bukan sekadar menyinggung UMNO tetapi seluruh orang Melayu termasuk Orang Asli.


INFO SASTERA & BUDAYA:




NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).


(sambungan kelmarin…)


(20)


6


DI PLANET BONEKA


JEBAT MAHU TEMUI PROFESOR
MATA DIIKAT DENGAN KAIN HITAM



KAKI saya juga diikat hingga tak boleh bergerak untuk melawan, sambil mata ditutup dengan kain hitam. Dalam masa yang singkat tubuh saya diangkat ke dalam tong besar seperti bekas minyak tar. Kemudian bekas berkenaan bergerak dengan mengeluarkan bunyi laksana radio transistor tak tepat stesen.


Sekalipun mata ditutup kain hitam, tetapi saya dapat mengagak tong besar seperti kenderaan itu melalui lereng bukit. Memang bergoncang-goncang badan seolah-olah melalui lorong kecil berlopak-lopak. Terpaksalah saya mendiamkan diri kerana bimbang diserang berterusan oleh lima boneka yang dipantau alat kawalan jauh. Setidak-tidaknya saya boleh bersemuka dengan Bapak Profesor yang yang diberitahunya.



Sebaik sahaja kenderaan berkenaan berhenti, lama juga saya tertunggu-tunggu. Ikatan pada kaki dan tangan masih belum dibuka. Kain hitam penutup mata juga tak dibuka. Tetapi saya tetap kuatkan semangat. Kalau menyerah kalah terlalu awal, masakan mampu melawan musuh. Ketika itu memang terasa diri saya seolah-olah Hang Jebat yang tak gentar menentang lawan.


Apabila ikatan kain hitam di mata saya dibuka, ternampak lelaki tua berambut panjang dengan janggut putih sampai ke dada merenung tajam. Dia memakai cermin mata bingkai halus; duduk bersandar di kerusi dengan dikelilingi berpuluh-puluh komputer.

“Tuankah, Bapak Profesor?” saya memberanikan hati bertanya.


Dia mengangguk perlahan. Matanya tak lepas merenung sekujur tubuh saya. Tetapi saya tetap tenang berhadapan dengannya. Sengaja saya kikis perasaan takut kerana tak mahu ditewaskan oleh renungan psaikologinya. Malah saya juga turut merenung ke arahnya dengan tak berkedip mata.


“Kenapa kamu menceroboh masuk ke sini?” jerkah Bapak Profesor tak berganjak duduk tersandar di kerusinya.


Apabila saya mengerling di setiap monitor komputer memang jelas kelihatan semua lokasi di segenap pelusuk pulau kecil berkenaan. Tetapi gua kecil tempat persembunyian Si Tongkol bersama kunco-kunconya tak dipantau menerusi monitor komputer tersebut. Bagaimanapun di sekitar lokasi luar gua memang dipantau oleh Bapak Profesor.


“Jawab soalan saya, kenapa kamu menceroboh ke sini?” ulangi Bapak Profesor.


“Saya bersama kawan-kawan tak menceroboh, tapi dicolek oleh Si Tongkol!” tegas saya tak bimbang apa-apa kerana yakin dengan kebenaran yang dituturkan.


“Hah, Si Tongkol penyeludup senjata itu, memang jahanam dia!” gerutu Bapak Profesor mencebek bibir dalam dialek Indonesia. “Siapa kawan-kawan kamu kamu yang dicolek Si Tongkol?” dia bangun dari kerusi sambil mengibas-ngibas punggung.

“Kami berlima turun memancing ke laut, sayangnya bot kami kehabisan minyak, tiba-tiba datang Si Tongkol bersama kunco-kunconya mencolek kami,” beritahu saya berterus terang.

Lantas Bapak Profesor menekan butang di meja. Sekaligus ikatan di kaki dan tangan saya terbuka sendiri. Tak bertangguh saya melompat keluar dari kenderaan seolah-olah tong minyak tar itu. Keadaan kenderaan lebih mirip kepada keranda, dengan enjinnya diubah suai menggunakan alat kawalan jauh.

Ketika itu boneka-boneka berkawal di luar bilik Bapak Profesor dengan dindingnya seolah-olah cermin yang boleh telus memandang keluar. Sebaliknya mereka di luar bilik tak akan melihat sebarang aksi Bapak Profesor di situ. Peralatan canggih di kawasan itu memang unik kerana direka cipta dengan teknologi komputer yang serba canggih.

Saya dapat mengagak dinding bilik Bapak Profesor bukan keluli biasa, sekalipun kelihatan seperti cermin. Setidak-tidaknya dia gunakan logam ‘tungsten’ yang mampan melalui pantulan solar. Apalagi dengan kedudukan lokasi dikelilingi terumbu karang, dia sukar ditembusi musuh. Tentera boneka yang dipantaunya mampu bergerak pantas sama macam tenaga raksasa.


(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA


Buai Laju-Laju.
(versi baru)


Buai laju-laju
sampai hari petang
orang ramai lalu
Dol tinggal sorang.


Buai laju-laju
sampai hujung julai
semah jadi batu
sumpah dek sang kelembai.

Buai laju-laju
sampai hari malam
Ku Li kena tipu
cita-cita jadi pekasam.

Buai laju-laju
sampai hujung sana
UMNO tetap gitu
tak kira dosa pahala.


Buai laju-laju
sampai tepi sudut
Anwar jadi badut
janji kena kentut.

Buai laju-laju
sampai waktu makan
apa nak jadi orang Melayu
ramai-ramai buang pakaian.

Buai laju-laju
sampai kokok ayam
Melayu dah telanjang
orgy siang malam.

Buai laju-laju
sampai tepi surau
kenapa jadi gitu
kena tanya kat bangau.

Bangau oh bangau
kenapa jadi gitu?
macam mana tak jadi gitu
Melayu takde batu.

Batu oh batu
kenapa takde batu
macam mana nak ada batu
Melayu jual maruah.


Melayu oh Melayu
kenapa jual maruah
macam mana tak jual maruah
boleh cepat kaya.

Kaya oh kaya
macam mana nak cepat kaya
senang saja nak cepat kaya
kita sokong agenda heh heh heh!

-Yassinsalleh
Kajang, Selangor
13 Oktober 2008.


INFO SUARA PROLITAR:


UMNO SEKADAR GANTI PEMIMPIN
BUKAN MEMBAWA PERUBAHAN TULEN



Trend pemilihan UMNO, tak berbeza dengan di masa lalu. Di mana pembaharuan itu? Bahagian UMNO calonkan orang itu, itu juga. Kalau nak pembaharuan, UMNO perlu dibersihkan. Bukan nak bersihkan orang tertentu, dengan dilindungi melalui kuasa yang akan diperolehi. UMNO sekadar ganti pemimpin, bukan membawa perubahan yang tulen. Apabila UMNO tak mahu berubah, insya Allah rakyat akan membuat perubahan. Tunggulah PRU13. – (SMS; 13 Oktober 2008; 16:47:51 – Man Cincai, Selayang, Selangor).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


MIMPI ORANGKAYA BUKAN KOSONG
LIMA NEGERI MELAYU SUDAH DITAWAN



Arakian tersebutlah Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim beritahu akan menubuhkan ‘kerajaan baru’ menjelang Hari Raya Aidiladha. Maka diejek-ejek oleh harakah Melayu (UMNO), kerana sebelum ini tak berjaya menubuhkan pada 16 Ramadan 1429 (16 September 2008) lalu. Syahdan Orangkaya Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam berkatalah ia, akan Orangkaya Permatang Pauh itu sekadar mimpi kosong sahaja. Sebelum pemilihan 8 Mac 2008 (mengikut kata anak cucu fakir), ramailah orang harakah Melayu menyebut, Orangkaya itu bermimpi untuk menawan negeri-negeri Melayu. Arakian, apabila lima negeri Melayu diperintah oleh Orangkaya berkenaan, maka terpaksa Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu berundur jua. Maka berpesanlah fakir kepada anak cucu sekalian janganlah takabor dan bercakap sombong, adanya.


Maka sekali persetua ada seorang Jawa demam terkukul-kukul. Maka oleh segala orang muda-muda ditertawakannya (sekalipun tak sama seperti perihala Orangkaya Dato’ Mohd Ali Rustam itu tertawa, tetapi fahamlah sekalian yang ada). Arakian Jawa itu pun berasa malu, lalu ia mengamuk dengan golok Sunda. Maka orang pun banyak mati dibunuh oleh Jawa itu, seorangpun tiada dapat mengembari dia (sama macam lima negeri Melayu yang terlepas daripada genggaman harakah Melayu itu, adanya). Syahdan orang pun gemparlah berlarian ke sana sini. Setelah sekalian anak-anak muda yang takabor dan sombong (seakan-akan orang harakah Melayu hari ini) bertempiaran menyelamatkan diri, dipanggillah Hang Tuah ke situ. Syahdan akan Hang Tuah pun berpura-pura undur apabila melihat Jawa itu, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, October 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG

PENGUMUMAN PAK LAH DITUNGGU-TUNGGU
TIDAK AKAN MEMPERTAHANKAN JAWATAN

Assalamualaikum,

Berita TV jam 5.00 petang semalam (8 Oktober 2008), baru disibarkan proklamir Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan Mac 2009 nanti. Sebelumnya, memang semua pihak menunggu-nunggu sejak pagi janji Dato’ Seri Abdullah mahu membuat pengumuman penting hari ini, 8 Oktober 2008. Keputusan Dato’ Seri Abdullah melaksanakan pelan peralihan kuasa lebih awal, berikutan desakan pelbagai pihak termasuk gerakan bersepadu di kediaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Cyberjaya 6 September 2008 lalu yang turut disertai Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin. Selepas perjumpaan tersebut, Tan Sri Muhyiddin sendiri menggesa pelan peralihan kuasa yang dipersetujui Jun 2010 dipercepatkan demi memulihkan imej UMNO yang tercalar, terkelar dan terselar. Barangkali!

Ketika berhari raya ke rumah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan petang kelmarin (8 Oktober 2008) di Selayang, saya juga turut menunggu-nunggu berita di TV jam 3.00 – 4.00 pm, tetapi Dato’ Seri Abdullah masih belum membuat sebarang kenyataan. Bagaimanapun spekulasi sebelumnya sudah dihebahkan melalui SMS berkaitan keputusan Dato’ Seri Abdullah tak akan mempertahan jawatan Presiden UMNO. Misalnya Yassinsalleh malam sebelumnya (7 Oktober 2008), beritahu mengenai SMS dari Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali mengesahkan Dato’ Seri Abdullah akan umumkan keputusan berkenaan. Tak hairanlah Dato’ Suhaimi Ibrahim semacam serba salah mahu membalas SMS saya sebelumnya berkaitan dengan lanskap politik yang melanda UMNO sepanjang Oktober.

Bagaimanapun pada 6 Oktober 2008, Dato’ Suhaimi yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri sudah memberi penjelasan kepada saya menerusi SMS menyebut: “Pak Lah akan melakukan yang terbaik untuk parti (UMNO) dan negara.” Pandangan ringkas Dato’ Suhaimi ini memang mudah difahami apa ‘yang tersirat dan tersurat’ iaitu Dato’ Seri Abdullah tak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan UMNO, Mac 2009. Ketika menghadap YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman, Undang Luak Rembau di Balai Undang Rembau pagi semalam (8 Oktober 2008), beliau tertarik juga mahu mengikuti spekulasi berkaitan keputusan yang dibuat oleh Dato’ Seri Abdullah, sekalipun fokus yang diberikan ialah persiapan menyambut 10 tahun pemerintahannya di luak Rembau pada 21 November ini.

Jam 5.00 petang semalam (8 Oktober 2008), kawan lama saya Mokhtar Abdul Rahman berkunjung hari raya ke rumah, dan berasa terkejut apabila saya beritahu mengenai bapa mentua yang berpulang ke rahmatullah 1 Syawal 1429 yang lalu. Mokhtar yang bertugas di Bank Pembangunan berasal dari Batu Pahat, Johor mengenali saya sejak 1980 apabila bapa saudaranya dikenali Sham (anak angkat kepada Penghulu Kiyai Mohd Salleh Abdul Karim) menyerahkan kitab peninggalan Kiyai Salleh yang bertulisan tangan. Justeru saya serahkan pula kepada beliau (Mokhtar) apabila Sham meninggal dunia. Kira-kira 6.00 petang, Haji Abu Bakar Ninggal pula menelefon kerana terlepas mengikuti berita jam 5.00 petang di TV. Maknanya, isu Dato’ Seri Abdullah tak mempertahankan jawatannya dibincangkan oleh semua peringkat lapisan rakyat. Begitulah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

SOKONG KUATKUASA PELAKSANAAN:
ANAK MANGSA ISA ANGGAP TAK BERCANGGAH

Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak Hajjah Fauziah Raof menyokong kerajaan melaksanakan kuatkuasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sekalipun beliau adalah anak mangsa ISA pada 1948. Menurutnya, pada period penjajah ayahnya Allahyarham Ustaz Haji Raof Ahmad ditahan di bawah ISA, dengan tak diberi pembelaan oleh mana-mana pihak, apabila dituduh terbabit dalam gerakan subversif dan militan komunis. Kata Fauziah lagi, masyarakat Melayu ketika itu memandang rendah kepada tahanan ISA, hingga emaknya juga diberhentikan daripada menjadi guru agama ketika beliau masih lagi bayi. Seterusnya beritahu Hajjah Fauziah, beliau tak nampak kenapa ISA itu dianggap kejam sekalipun ianya tak bercanggah dengan kepentingan hak asasi manusia. “Mereka yang mengancam keselamatan juga bertentangan dengan hak asasi manusia yang mereka perjuangkan,” jelas Hajjah Fauziah.

Berbeza dengan perjuangan menuntut kemerdekaan pada 1948 apabila mereka ditahan di bawah ISA, matlamatnya adalah jelas untuk menentang penjajah. Menurutnya lagi, ayahnya Ustaz Haji Ahmad dieksploit sebagai aktivis komunisme, sekalipun ketika ditahan di bawah ISA beliau menjadi tenaga pengajar di instirusi pengajian pondok Gunung Semanggol bersama Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Justeru beritahu Fauziah, beliau merupakan anak mangsa ISA yang dibesarkan oleh ibunya dalam tempoh Ustaz Haji Raof dihantar ke kem tahanan di Melaka bersama Dato’ Ahmad Boestamam, Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi. Apabila dibebaskan pada dekad 1950-an, Ustaz Haji Raof mengikuti kursus jahitan dalam tempoh transisi di pusat pemulihan, Hajjah Fauziah menambah.

“Mereka yang didakwa sebagai mangsa ISA tak perlu kecewa, kerana setiap waris pejuang mesti bersedia menerima risiko dan pengorbanan,” menurut Hajjah Fauziah mengakui ayahnya Ustaz Haji Raof tak pernah mengutuk ISA. Kemahiran sebagai tukang jahit selepas diberi kursus di kem tahanan membolehkan Ustaz Haji Raof membuka perniagaan kedai jahit di Kampung Baru, malah pada 1957 beliau diberi tanggungjawab membuat ‘tekat’ bagi pakaian rasmi Yang Dipertuan Agong, beritahu Hajjah Fauziah lagi. Menurut beliau seterusnya, Ustaz Haji Raof juga terus diberi prioriti membuat ‘tekat’ bagi pakaian rasmi Yang Diertuan Agong hingga dekad 1970-an. “Pihak tertentu tak perlu mengeksploit isu ISA, kerana saya juga merupakan anak mangsa ISA,” kata Hajjah Fauziah menambah.

‘KERAJAAN PERPADUAN’ IDEA KU LI:
ADAPTASI ‘NASAKOM’ DARIPADA SUKARNO
Cadangan melaksanakan penubuhan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang disebut-sebut oleh bakal calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dianggap adaptasi ‘Nasakom’ daripada Ir Sukarno pada dekad 1960-an yang menuju ke arah sistem satu parti lebih bobrok, menurut penganalisis politik Haji Yahaya Ismail. Mengulas kenyataan Tengku Razaleigh yang mengakui sudah mengadakan pertemuan tiga kali dengan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang, beliau yang juga bekas pensyarah USM di samping pernah menuntut di Indonesia memberitahu ‘Nasakom’ yang didominasi oleh D.N. Aidit terpaksa ditentang oleh rakyat menerusi kebangkitan ‘Gestapo’ (Gerakan 30 September) pada dekad 1960-an. “Tengku Razaleigh seharusnya belajar dari sejarah, dan jangan cuba menunjuk ajar sejarah,” kata Haji Yahaya.

Bagaimanapun bekas Exco biro antarabangsa Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menafikan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang dicadangkan Tengku Razaleigh menjuruskan kepada sistem satu parti, sebaliknya lebih bersifat menyuburkan demokrasi apabila membawa semua parti-parti politik berbincang dalam skop permuafakatan yang lebih luas. Menurut Dato’ Kamal Amir, sebagai pemimpin yang diterima oleh semua lapisan masyarakat, pertemuan Tengku Razaleigh dengan pimpinan Pakatan Rakyat adalah fenomen baru dalam politik Malaysia yang memerlukan pembaharuan lebih menyeluruh. Sikap terbuka Tengku Razaleigh membolehkan beliau dikunjung oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat. “UMNO memerlukan pimpinan seperti Tengku Razaleigh yang mampu diterima oleh semua pihak,” menurut Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(18)

5
WAKTU BERLALU LAMBAT

KECOH SEJAK SELEPAS SUBUH:
BENCANA MEMANG JARANG BERLAKU

KETIKA dihubungi Andak Rahman, dia sudah beritahu mengenai kekecohan sejak selepas subuh. Tetapi sengaja abah tak tergesa-gesa balik ke rumah opah, sebaliknya terus ke Teluk Intan. Abah hubungi kawan-kawan di pejabat polis marin di Kuala Lumpur meminta bantuan khas.

Biasanya abah tak pernah gelabah. Dia akan hubungi kawan-kawan mendapatkan pandangan. Kalau tak boleh diselesaikan di peringkat jabatan, abah akan hubungi pihak pentadbiran negeri. Setidak-tidaknya abah akan maklumi juga kepada pengetahuan YB menteri. Abah tahu YB menteri akan membantu sekiranya dibuat rayuan sampaikan masalah peribadi.

“Tsunami yang berlaku di Lautan Hindi ni dekat dengan Aceh, tapi bencana ni jarang berlaku di situ,” beritahu Adang lagi. “Tahun 1960 pernah berlaku lebih besar tsunami di Chile sampai 9.5 skala Richter,” ujarnya bandingkan dengan tragedi di Aceh sekadar 9 skala Rischter sahaja.

“Manalah opah kamu tahu fasal skala Richter tu, Adang,” tersengih-sengih Andak Rahman ingatkan anak saudaranya.

“Tak apa, Cuma nak beri penjelasan aje,” sahutnya perlahan. “Maknanya, kita di Bagan Datoh tak terjejas, lagipun gempa di China tahun 1557 lebih banyak memakan korban sampai 830,000 penduduk,” katanya mahu melekakan opah dan emak. Setidak-tidaknya mereka dapat melupakan fasal budak-budak yang turun ke laut buat sementara waktu.

“Biarlah di mana pun berlaku ombak besar, yang opah risaukan Si Hafiz tak balik lagi dari laut!” sekaligus opah meluahkan perasaannya yang merusuh.

“Cukuplah Adang, tak sesuai cakap macam tu pada opah sekarang ni,” segera Andak Rahman memintas.

Emak tak bercakap sepatah pun melihat opah termengah-mengah akibat diganggu athma. Memang dia tak peduli fasal Adang menyebut tragedi tsunami di Aceh hingga tempiasnya sampai ke Kedah dan Pulau Pinang. Apalagi mengenai geografi dengan lapisan kerak bumi atau ‘mantle’ sedalam 150 kilometer wujudnya arus perolakan haba yang berpusing-pusing.

Ketika itu emak sekadar memikirkan mengenai anaknya yang turun ke laut bersama kawan-kawan sebaya. Tak seorang pun yang berusia lebih 18 tahun. Mereka masih anak-anak yang belum menamatkan pengajian di sekolah. Setidak-tidaknya mereka tak wajar turun ke laut dengan tak ditemani orang dewasa.

Hampir jam 3.00 pagi barulah atuk terjongol di muka pintu dapur bersama Alang Seman. Atuk juga kelihatan sugul ketika mengajak Alang Seman masuk ke rumah. Terkuap-kuap juga mereka berdua menahan mengantuk.

“Macam mana dengan budak-budak tu?” soal opah tak berganjak bersandar di tepi dinding. “Lambat benar rasanya waktu ni berjalan,” keluhnya memang tak sabar lagi mahu mendengar khabar berita.

“Sabarlah, menantu awak dah minta bantuan dan kerjasama polis marin,” jelas atuk. “Ombak besar tak sampai ke sini, polis marin Indonesia dah jumpa pulau yang disyaki mereka terkandas, tapi tak nampak apa-apa di situ,” dia terbatuk-batuk kecil.

Tak lama selepas itu barulah abah balik bersama Abang Khairil. Tetapi abah tak bercakap sepatah pun, hanya duduk tersandar sahaja akibat keletihan sangat.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA

Balada Pantun Enam Kerat

Kalau engkau membawa lading
bawa sabut di dalam pendua
emas setali jangan disuasakan
kalau engkau mahu bertanding
usah direbut jawatan ketua
beli undi jangan dibiasakan.

Siram bunga di atas riba
raut rotan tidak berduri
buat simpai pengikat suasa
karam UMNO kerana haloba
berebut jawatan pentingkan diri
biarlah tergadai maruah bangsa.

Kalau engkau pergi berdua
balik ke rumah membawa kendi
boleh peraga suami dan isteri
kalau engkau memilih ketua
biar berhemah lagi berbudi
boleh menjaga bangsa dan negeri

- S A Karim,
Selayang, Selangor
8 Oktober 2008.


INFO SUARA PROLITAR

SELEPAS KEJATUHAN MELAKA:
TOK BUNGKAL PENGASAS REMBAU.

Makam pengasas luak Rembau, Tok Bungkal (isteri Dato’ Raja Balang) di Kota, sewajarnya dipulihara oleh kerajaan negeri menerusi Muzium Negeri Sembilan. Tok Bungkal meneroka di perkampungan yang dikenali Kota sekarang ini dianggarkan pada 1530-an, iaitu pada period kejatuhan kesultanan Melaka berikutan pencerobohan Portugis pada 1511. Dato’ Bungkal dikatakan anak perempuan Dato’ Batin Sekudai yang bongsu, berkahwin dengan Dato’ Lela Balang berketurunan Minangkabau. Anak Tok Bungkal bernama Dato’ Seri Rama dilantik menjadi Undang Luak Rembau pertama pada 1540 bergelar Dato’ Lela Maharaja. – (SMS; 8 Oktober 2008; 18:17:33 – Jani Ludin, Kota, Rembau, Negeri Sembilan).

MERAJUK NAK BAWA DIRI
BIARLAH KE HUTAN JAUH DI SANA!

I tak rela hidup di bawah pimpinan kemudi di haluan u! I nak pergi duduk dalam hutan, jadi ADC Tok Batin pun tak ape. U nak ikut I, jum – (SMS; 9 Oktober 2008; 12:50:37 – YS, Kajang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SELEPAS ORANGKAYA LETAK JAWATAN:
DISURUH PULA ‘DIAM’ JANGAN BERSUARA

Syahdan gemparlah sekalian orang banyak apabila Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan tak mahu lagi memimpin harakah Melayu (UMNO), ketika memberitahu penitir-penitir canang semalam 8 Syawal 1429 (disebut juga 8 Oktober 2008). Maka pelbagai pihak memuji-muji pengorbanan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah sama ada secara ikhlas mahupun bermuka-muka. Arakian Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beriya-iya mendesak Orangkaya Dato’ Seri Abdullah segera melaksanakan peralihan kuasa, turut juga menyifatkan ianya sebagai pengorbanan besar. Heh heh heh! Sebermula akan Orangkaya Dato’ Mohd Ali Rustam turut mengambil peluang bersuara dengan menyeru anak-anak buah harakah Melayu semua menggantikan dengan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Razak. Maka tak diberi hak anak-anak Melayu itu memilih ketua yang mereka suka. Aduhai!

Arakian tersebut ceritera akan bekas Orangkaya Perdana Menteri, Tun (Tabib) Mahathir Mohamad menyerulah ia supaya Orangkaya Dato’ Seri Abdullah ‘diam’ sahaja. Apalagi bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir itu tak terperanjat dengan pengumuman Orangkaya Dato’ Seri Abdullah, sekalian seluruh pelusuk negeri gempar akan kejadian itu, adanya. Maka berkatalah bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir, hatinya juga tak senang dengan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib, kerana kerjanya tak bagus apabila sentiasa mematuhi perintah ketuanya. Syahdan di masa dahulukala apabila laksamana menyuruh seseorang itu ‘diam’, maka diherdiknya menyebabkan orang itu ketakutan. Tak tahulah fakir akan maksudnya bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir menyuruh Orangkaya Dato’ Seri Abdullah ‘diam’.

Sebermula laksamana pun berkata kepada Orangkaya Tun Jana Pakibul, Perdana Menteri Siak, ‘Sungguhkah tuan hamba yang membunuh Orangkaya itu?’ Maka sahut Tun Jana Pakibul, ‘Oleh dengan titah maka hamba berani; kerana ia derhaka ke bawah Duli Yang Dipertuan sini.’ Maka Laksamana Hang Tuah menghadap ke arah Tun Jana Pakibul; mengereng pada Sultan Ibrahim. Maka oleh laksamana ditunjuknya Tun Jana Pakibul dengan tangan kirinya, sambil mengherdik, ‘ Diam kamu! Tiada berbudi tuan hamba orang hutan, maka tiada tahu cara adat bahasa, benarkah membunuh orang tiada memberitahu ke Melaka? Hendak merajalela tuan hamba di Siak ini?’ Maka Sultan Ibrahim dan segala orang besar-besar semuanya ‘diam’, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ turun temurun yang dikarang :


HIDUP BAHASA MELAYU!