Sunday, December 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

EDISI KHAS:

BAGINDA TUANKU JAAFAR MANGKAT
BELASUNGKAWA SEKALIAN RAKYAT JELATA

Assalamualaikum,

Kira-kira jam 1.45 tengahari, 27 Disember 2008, Kamarudzaman Salleh menelefon dari Balai Undang Luak Rembau beritahu beliau di pejabat YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau. Balai Undang dikawal rapi oleh polis, sebaik sahaja diumumkan DYMM Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Bagaimanapun sebelum Kamarudzaman menelefon, memang saya sudah mendengar berita ringkas di radio jam 12.00 tengahari mengenai kemangkatan baginda. Kamarudzaman sekadar beritahu YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip berkirim salam, di samping beliau menyaksikan fenomena di Balai Undang dengan pengumuman kemangkatan Yang Dipertuan Besar.

Secara peribadi saya pernah mengadap DYMM Tuanku Jaafar di Istana Hinggap, Seremban pada 1981, apabila menemani Tan Sri Abdul Samad Idris bagi mengundang baginda mencemar duli merasmikan muktamar Nasrul Haq di Seremban. Bagimanapun saya mengadap bukan atas kapisiti Pemangku Setiausaha Agung Nasrul Haq ketika itu, tetapi berbincang untuk menyediakan teks titah ucapan baginda pada hari perasmian muktamar. Baginda sendiri menitahkan teks titah ucapan tersebut diselitkan dengan pepatah petitih serta perbilangan Adat Perpatih. Kemudian pada dekad 1990-an, saya bersama Tan Sri Abdul Samad berlepas ke Padang di Propinsi Sumatera Barat terlebih dahulu sebelum baginda bersama keluarganya berangkat tiba membuat lawatan tak rasmi.

Kebetulan pula lawatan ke Sumatera Barat ketika baginda masih lagi Yang Dipertuan Agong, justeru Konsul Malaysia di Medan terpaksalah turun ke Padang. Malah Duta Malaysia di Jakarta juga turut menghadiri majlis-majlis rasmi bersama Gabenor Sumatera Barat ketika itu, Drs Hassan Basri Durin yang juga kenalan rapat Tan Sri Abdul Samad. Bersama Tan Sri Abdul Samad memang saya terbabit membantu membuat kaji selidik mengenai takhta kerajaan Negeri Sembilan, justeru serba sedikit pembabitan baginda dalam aktiviti kemasyarakatan dalam pengetahuan saya. Baginda diputerakan di Kelang pada 19 Julai 1922, ketika ayahanda baginda berkhidmat sebagai pegawai tadbir Melayu di Kelang, Selangor.

Memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Seri Menanti pada 1928, baginda melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar mulai 1933. Menamatkan pengajian di Kuala Kangsar pada 1941, baginda dihantar ke Raffles College di Singapura tetapi tergendala akibat pencerobohan Jepun ke atas Tanah Melayu. Pada period pemerintahan Jepun, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Tanah Daerah Seemban. Berikutan Jepun menyerah kalah pada 1945, British kembali ke Tanah Melayu dengan mengirim Harold Mac Michael memaksa raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan menerima retorik penubuhan Malayan Union.

Ketika Harold Mac Michael ke Seremban pada 14 November 1945, bagi mendapatkan tandatangan Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad bersama YTM Undang Yang Empat (Dato’ Kelana Putera Dato’ Maamor Kassim, Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Mendelika Menteri Akhir Zaman Dato’ Shahmaruddin Abdul Rahman, Undang Luak Jelebu, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Kamat Sulaiman, Undang Luak Johol dan Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Ipap Abdulla, Undang Luak Rembau) serta wakil Tunku Besar Tampin, Sharifah Loyah – baginda Tuanku Jaafar menurunkan tanda tangan sebagai saksi bersama Tengku Nasir dan Tengku Hussain.

Apabila pembentukan Malayan Union, baginda berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) Rembau pada 1946. Baginda ditukarkan ke pejabat Sekretariat Negeri Selangor di Kuala Lumpur pda 1948, tetapi meletakkan jawatan beberapa bulan sahaja berkhidmat di situ. Seterusnya pda 1948, baginda berangkat ke London bagi melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Nottingham. Selepas menerima ijazah LL.B, baginda menerima kursus di seberang laut bagi persediaan berkhidmat dengan kerajaan apabila balik ke tanah air. Sekembalinya ke tanah air baginda dihantar berkhidmat selaku ADO Parit di Perak, kemudiannya Penolong Setiausaha Kerajaan III Perak di Ipoh.

Baginda mula berkhidmat di Negeri Sembilan pada dekad 1950-an dengan menjawat Pegawai Daaerah (DO) Tampin, tetapi pada 1957 memulakan perkhidmatan dalam bidang diplomatik. Dalam tahun 1957 baginda memegang jawatan Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tetap Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa-Bangsa Bersatu, diikuti Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di London (1958-1962). Baginda mula berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Kaherah dan Republik Arab Bersatu (1963-1965) dan ditukarkan ke Nigeria dan Ghana (1965-1967). Ketika berkhidmat di Nigeria, baginda dipilih oleh Undang Yang Empat menaiki takhta kerajaan Negeri Sembilan pada 18 April 1967, berikutan kemangkatan kekanda baginda, Tuanku Munawir.

Sewaktu menuntut di Universiti Nottingham, baginda Tuanku Jaafar aktif dalam sukan malah pernah menjadi juara badminton, skuasy dan tenis di kalangan pelajar-pelajar di situ. Memang baginda merupakan pemain badminton, skuasy dan tenis yang baik sejak menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tak hairanlah baginda juga merupakan aktivis badan sukan dengan menjadi Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Melayu Malaya dan Yang Dipertua Persatuan Bolasepak, Kriket dan Hoki Melayu bagi negeri Perak. Baginda dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong ke 10 (1994-1999) dalam Persidangan Raja-Raja Melayu, selepas berakhir pusingan sembilan raja-raja Melayu memegang jawatan Yang Dipertuan Agong Malaysia. Al-Fatehah!

-Pak Dharma

Friday, December 26, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

LUCU INSIDEN ANAK BERKHATAN:
PENDARAHAN MINTA DOA TENGKU RAZALEIGH

Assalamualaikum,

Bapa saudara saya Yassinsalleh berkunjung ke rumah malam 25 Disember 2008 sebaik sahaja mendapat tahu kelahiran cucu saya Puteri Nurlaily Suffiyah. Sebelumnya Dato’ Kamal Amir menelefon bagi mengucapkan tahniah, sementara isterinya Datin Rozi menghubungi isteri saya. Mungkin sahaja melucukan mengenai insiden anak-anak Dato’ Kamal Amir yang berkhatan pada 20 Disember 2008, kebetulan saya tak dapat hadir disebabkan ke Pekan melihat suasana di rumah peninggalan bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak di pinggir Sungai Pahang pada hari Sabtu. Apalagi setiap hari Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memang balik ke Pekan, di samping rumah berkenaan menjadi pejabat khidmat masyarakat Ahli Parlimen Pekan. Heh heh heh!

Lucunya, anak-anak Dato’ Kamal Amir mengalami pendarahan menyebabkan Datin Rozi juga panik, lantas menelefon isteri saya pada 24 Disember 2008. Sebaliknya Dato’ Kamal Amir tak panik, tetapi menghubungi Tengku Razaleigh Hamzah bukannya doktor bagi mendapat khidmat nasihat. Tengku Razaleigh sekadar membekalkan Dato’ Kamal Amir air yang sudah didoakan sama seperti dilakukan oleh pemimpin Darul as-Syifa’ Dato’ Dr Harun Din. Alhamdullillah, pendarahan yang dialami anak-anak Dato’ Kamal Amir sembuh selepas meminum air yang didoakan oleh Tengku Razaleigh. Rupa-rupanya Tengku Razaleigh juga berkemahiran dalam rawatan tradisional, sekalipun beliau tak dikenali dengan kebolehan tersebut.

Memang tak menghairankan kemahiran Tengku Razaleigh dalam rawatan tardisional, kerana Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris pun banyak memberitahu saya mengenai rahsia rawatan tradisioanal. Sekalipun beliau terbabit dalam gerakan politik di samping menduduki kerusi kabinet, tetapi tak menyisihkan rawatan secara tradisional yang jelas dianggapnya sebagai ‘budaya Melayu’. Pernah satu ketika seorang tetamu (wanita) berkunjung ke pejabatnya di Finas mengalami histeria, beliau sekadar merenung tajam kepada tetamu berkenaan hingga gangguan histeria itu terhenti. Tak hairanlah Dato’ Kamal Amir mengakui, kadangkala perlu menerima hakikat mengenai kaedah rawatan tradisional juga mampu membantu.

Dr Amar Hassan dari Perlis pula mengirim SMS apabila terlepas daripada hukuman Jawatankuasa Disiplin UMNO yang dipengerusikan Tengku Ahmad Rithauddin Ismail, justeru tak dipecat dari Bahagian Arau. Sebelumnya Dr Amar merupakan aktivis Pemuda UMNO Negeri Perlis, yakni sudah lama menjadi ahli UMNO. Entah kenapa beliau tiba-tiba tersenarai sebagai aktivis yang dipantau oleh jawatankuasa disiplin, yang turut akan dipecat? Ketika UMNO dalam keadaan kucar-kacir, mundar-mandir dan cemar-cupir mahu memecat aktivis yang berpotensi seperti Dr Amar, mungkin sahaja UMNO akan berhadapan dengan suasana: Dikerat tak bersambung, dicarik tak bertampung; dicicir tak berpungut, dipinggir tak bersangkut. Alahai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

UMNO PASTI ‘BUNGKUS’ DI TERENGGANU:
SEMPADAN TERAKHIR TAKAH SURVIVAL NAJIB

Banyak pihak berpendapat UMNO ‘bungkus’ dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari 2009 ini berdasarkan beberapa spekulasi. Justeru pilihanraya kecil berkenaan menjadi ‘sempadan terakhir’ kepada takah survival politik Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang bakal menjadi Presiden UMNO pada Mac 2009 nanti. Penganalisis politik Sallehuddin Hashim berkata, “Pilih Wan Farid masuk parit, nak lawan tengok PAS letak calon kerana ianya undi Cina menjadi penentu.” Menurutnya lagi, kalau pragmatik untuk memilih UMNO sepatutnya Zuber Embong diletakkan sebagai calon. Seterusnya Sallehuddin merasakan peluang UMNO untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu terlalu sukar.

Ketika UMNO berhadapan masalah, PAS juga perlu memastikan calonnya diterima oleh pengundi di Kuala Terengganu, kata aktivis masyarakat Dr Seri Intan Mokhtar. Beliau memberitahu, kenyataan Dato’ Husam Musa mengenai isu hukum hudud mungkin menjejaskan sokongan pengundi Cina, tetapi faktor kemenangan PAS adalah bergantung kepada kebobrokan pimpinan UMNO sekarang. Dato’ Seri Mohd Najib diketahui umum sebagai pemimpin bermasalah, justeru calon yang dianggap proksi beliau akan lebih sukar diterima oleh pengundi. Apalagi sudah kedengaran desas desus Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz mahu menjadikan pilihanraya kecil ini sebagai platform menguji pengaruhnya menjelang pemilihan UMNO Mac nanti. “Kalau pimpinan UMNO di luar Terengganu dibawa berkempen, pilihanraya kecil akan memihak kepada PAS,” menurut Dr Seri Intan menambah.

PEMILIHAN KETUA PENGARAH DBP:
KEWIBAWAAN PENDIDIKAN MELAYU

Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah berkelayakan ditampilkan selaku Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berdasarkan keterampilan beliau melonjakkan kewibawaan pendidikan Melayu. Dato’ Dr Mohd Mansor yang memulakan pendidikan peringkat menengahnya di Sekolah Menengah Dato’ Abdul Razak, Tanjung Malim bukan sahaja antara pelajar pendidikan Melayu yang dieksprimen bagi memenuhi aspirasi perjuangan nasionalisme UMNO dan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KKGMS) sekitar 1958/59, malah pencapaian akademiknya mengkagumkan. Sebagai pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor juga aktivis sastera dan persuratan yang memahami aspirasi sebenar takah perjuangan Bahasa Melayu.

Di samping Dato’ Dr Mohd Mansor, bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ A Aziz Deraman juga masih berkemampuan melonjakkan kedaulatan Bahasa Melayu seperti ditampilkan beliau menerusi ‘Majlis Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu’ pada Ogos 2000. Dato’ A. Aziz yang juga bekas pelajar di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Cheras adalah berasaskan pendidikan Melayu, di samping pemikir budaya yang berwibawa apabila memegang jawatan pengarah kebudayaan pada period Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dilestarikan sekitar dekad 1970-an. Justeru Kementerian Pelajaran di bawah Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dalam usaha memulihkan semula imej DBP sebagai penggerak Bahasa Melayu wajar memastikan dua tokoh sastera dan persuratan terbabit menduduki kerusi Ketua Pengarah DBP. Mudah-mudahan!

PRIMA SEDIA AMBIL TANGGUNGJAWAB
SAMAN KERAJAAAN KALAU GAPENA UNDUR

Pimpinan PRIMA bersedia meneruskan langkah menyaman kerajaan dan Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein yang mencabul Perkara 152 Perlembagaan dalam isu pelaksanann Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sekiranya Gapena gagal berbuat demikian, kata aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar (MSO). Serentak dengan itu Haji Mohd Sayuti mengumumkan majlis Baca Puisi 152 pada 31 Disember 2008 ini jam 8.30 malam di kediaman Dato’ Kamal Amir No. 1 Lorong Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail. “Kalau Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mahu bertolak ansur, PRIMA akan meneruskan langkah sebagai manifestasi bangsa Melayu,” beliau menjelaskan.

Siri Baca Puisi 152 akan diteruskan di Pasir Salak pada 24 & 25 Januari 2009, di samping sebelum itu akan digerakkan ke Kuala Terengganu pada 7 Januari 2009 sempena penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, menurut Haji Mohd Sayuti menambah. Kesabaran PRIMA sudah tak mampu bertahan selagi kementerian pelajaran secara arogan mahu meneruskan pencabulan Perlembagaan Persekutuan, kata beliau. Sementara itu di Temerloh, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia (KPKM), Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah bersedia membawa PRIMA menggerakkan majlis Baca Puisi 152 di kediamannya bila-bila masa sahaja. “Bangsa Melayu pasti berasa berang apabila hak mereka dicabul sewenang-wenangnya,” beliau memberitahu.

INFO SASTERA & BUDAYA

MAJLIS ARTIS SEKADAR KOMERSIL:
JANGAN SAMPAI JADI FANTASI KETERLALUAN.

Penghargaan kepada artis yang keterlaluan oleh masyarakat hingga meminggirkan para sasterawan dianggap sebagai budaya undur ke belakang, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Menyentuh penghargaan kepada majlis perkahwinan artis yang dianggap komersial, di samping menimbulkan perbalahan di kalangan stesen TV menurut Dato’ Kamal Amir, ianya membawa masyarakat ke alam fantasi seolah-olah majlis perkahwinan artis lebih bernilai daripada ‘budaya negara’. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA beliau berkata, akibat fantasi yang keterlaluan artis luar negeri juga diberi anugerah pingat kebesaran yang membawa gelaran Dato’. “Bukan sahaja di negara berkenaan pingat tersebut tak dihargai oleh masyarakatnya, malah tak sesuai dengan budaya di negeri itu,” beliau menjelaskan.

Sebaliknya menurut Dato’ Kamal Amir, aktivis budaya yang mengangkat martabat jatidiri bangsa terus dipinggirkan ketika negara lain mementingkan kebudayaan masing-masing. Pemikir budaya seperti Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee misalnya, dianggap sebagai karyawan filem sahaja semasa hayatnya, hanya diberi penghargaan selepas beliau meninggal dunia. Justeru katanya lagi, ramai kalangan pemikir budaya di kalangan aktivis persuratan tak diberi penghargaan disebabkan pandangan mereka yang kritis. Beliau menyebut beberapa tokoh seperti Yassinsalleh, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Suhaimi Haji Muhammad, Dato’ Ruhanie A.R., Yahaya Ismail atau Mohd Affandi Hassan yang dianggap penyair biasa sahaja. “Pandangan mereka kritis, tetapi sumbangan kepada pemikiran budaya Melayu lebih hebat daripada Shah Rukh Khan,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) Hajjah Fauziah Raof yang baru sahaja menjalani pembedahan lutut di Hospital Selayang turut melahirkan kekesalan dengan penghargaan yang keterlaluan kepada artis. Ahli-ahli sukan yang pernah mengharumkan nama negara satu ketika dulu, dianggap terlalu kecil sangat sumbangan mereka dibandingkan daripada artis-artis, beliau menambah. Begitu juga dengan bekas wartawan-wartawan dianggap lebih rendah sumbangan mereka daripada artis-artis. Sekalipun bekas wartawan-wartawan tetapi merekalah yang mengangkat artis-artis berpotensi, begitu juga bekas ahli-ahli sukan turut mengharumkan nama negara. “Janganlah sampai penghargaan itu diberikan kepada tersalah orang, tetapi berdasarkan untuk seronok-seronok,” beritahu Hajjah Fauziah.

PUISI LAMA

Puisi Berkanun

Tikam bunuh padang berdarah
sial baka berpuntung suluh
upih racun sisa dimakan
maling curi terluang dinding
samun saka tegak di batas
umbut umbi tebu di bibir.

Sumbang salah laku perangai
menggonggong membawa terbang
pulang pagi berbasah-basahan
menjual bermurah-murah
dahaga dahagi memberi malu
mamak menyembah malam
kemanakan menyembah siang
raja adil raja disembah
raja nanar raja disanggah.

Kemanakan beraja ke mamak
mamak beraja pada penghulu
penghulu beraja pada muafakat
muafakat bersendi alur dan patut
alur patut bersendi benar
benar berdiri sendiri-sendirinya!

-Alba
Jelebu, Negeri Sembilan.
25 Disember 2008.

INFO SUARA PROLITAR

SATU KILO HARGA GETAH:
TAK MAMPU BELI SEPINGGAN NASI

Harga getah yang turun hingga RM1.25 sekilo, tak mampu untuk membeli sepinggan nasi goreng RM4.00. Memang kerajaan tak mempunyai ‘tongkat sakti’ bagi mengubah harga barangan dalam tempoh satu malam, tetapi perancangan yang baik mungkin boleh membantu rakyat. Apalagi pekebun-pekebun kecil harapkan untuk meminta bantuan, kalau bukan kepada kerajaan? – (SMS; 25 Disember 2008; 13: 41: 28 – Rusdi; Felda Titi, Jelebu, Negeri Sembilan)

AMALAN TIKAM KAWAN DI BELAKANG
PATUT JADI PERINGATAN KEPADA UMNO

Langkah Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato’ Zahar Hashim menyertai PAS, sepatutnya menjadi peringatan kepada UMNO supaya tak menikam kawan dari belakang. Sikap menikam kawan dari belakang dan bertindak macam sulur kacang melilit junjung, memag menjadi amalan UMNO. Lagi ramai dipecat, lagi cepat UMNO menjadi sejarah - (SMS; 24 Disember 2008; 22:37:21 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

JANGAN SEMBUNYI PUNCA VIRUS:
HENTI MEMBINA RUMAH BURUNG

Kementerian Kesihatan tak seharusnya menyembunyikan punca virus chikungnya, jika benar ianya disebabkan nyamuk yang membiak menerusi air bertakung di kawasan rumah memelihara burung walit (burung layang-layang). Hentikan pembinaan rumah memelihara burung walit dibina yang mencari keuntungan hasil sarang burung tersebut, tetapi implikasinya menyusahkan orang ramai. – (SMS; 24 Disember 2008; 23:42:09 – Abu Zahim, Tapah, Perak)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA PAK LAH DUKACITA:
APABILA GEORGE BUSH DIKASUTKAN

Syahdan tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pergilah ia ke negeri Farsi. Maka berteguhan janjilah ia dengan pemerintah di negeri Farsi, Mahmoud Ahmadinejad untuk sama-sama berniaga kedua-dua negeri Farsi negeri Melayu itu. Sebermula Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah taklah ia bersetuju akan penitir canang di negeri Baghdad melontarkan kasut ke muka pemerintah negeri atas angin yang bernama George W Bush. Maka diceritakan orang banyak akan George W. Bush dilontarkan dengan kasut, kerana terlalu bencinya orang di negeri Baghdad akan tingkah lakunya. Arakian tak terperikan ramainya orang di negeri Baghdad menjadi mangsa peperangan George W. Bush itu.

Sebermula telah datang ke Goa maka diwartakan kepada wazir-wazir peri kebesaran negeri Melayu bernama Melaka dengan makmurnya serta dengan ramai bandarnya. Pada masa itu wazirnya di Goa, Alfonso d’Albuqarque namanya. Maka ia pun terlalu ingin mendengar khabar negeri Melaka itu. Maka ia menyuruh berlengkap kapal tujuh buah, dan ghali panjang sepuluh, fusta tiga belas. Telah sudah lengkap mak disuruhnya meyerang Melaka, maka negeri atas angin itu tak mahu negeri Melayu itu melebihi akan kemayshuran negerinya. Maka Gonzalo Priera nama kapitanya telah datang ek Melaka, maka dibedilnya dengan meriam. Syahdan ramailah rakyat negeri Melaka menjadi mangsa sama seperti rakyat Baghdad dibedil George W. Bush yang dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, December 24, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

HADIAH MENJELANG TAHUN BARU:
MENYAMBUT KEHADIRAN CUCU PERTAMA

Assalamualaikum,

Bagi pihak PRIMA saya mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sempena hari jadinya ke 82 pada 20 Disember 2008, kerana tarikh berkenaan memang sentiasa menjadi ingatan saya, berikutan hari jadi saya jatuh pada 21 Disember. Rupa-rupanya selepas hari jadi saya pada 21 Disember, hadiah menjelang tahun baru ialah menyambut kehadiran cucu pertama saya Puteri Nurlaili Suffiyah, selepas solat Maghrib kira-kira jam 7.40 malam pada 22 Disember 2008. Memang agak terlewat saya menimang cucu, kerana rakan-rakan sebaya sudah mempunyai lebih 10 orang cucu. Malah kawan-kawan yang lebih muda usia pun cucunya ramai, disebabkan pada usia awal 20-an sudah mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun semalam (22 Disember 2008), seorang kawan beritahu mengenai kong kalikong dalam frasa pengagihan buku menerusi skim Biro Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran. Buku-buku yang dihantar ke Sarawak dan Sabah yang diberikan kepada ‘pembekal’, menunggu bayaran dari BTP untuk melunaskan wang kepada pihak penerbit. Malah ‘pembekal’ yang gagal menyalurkan buku-buku ke sekolah melaporkan penerbit-penerbit tak mempunyai stok. Isu yang dihadapi oleh penulis-penulis buku ialah sama ada ‘pembekal’ benar-benar peniaga yang ‘tulen’ atau sekadar peniaga ‘anugerah’ menerusi kroni politik. Apabila penerbit ‘kantoi’, sudah tentu peruntukan BTP tak sampai kepada sasaran untuk membantu penulis. Barangkali!
Misalnya, berlaku kes BTP sudah melunaskan bayaran kepada pembekal ‘anugerah’ berdasarkan dokumen yang dilampirkan, tetapi buku-buku tak sampai ke destinasi atas alasan penerbit tak mempunyai stok. Astaga! Sepatutnya bayaran yang sudah dilunaskan kepada pembekal ‘anugerah’ seharusnya dikembalikan, bukan menyenarai hitamkan penerbit yang kononnya tak mempunyai stok mencukupi. Justeru, Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein wajar ‘turun padang’ bagi memantau pembekal buku ‘anugerah’ yang sekadar kroni dengan diluluskan oleh BTP. Setidak-tidaknya pembekal buku lengkap dengan kemudahan perhubungan yang boleh dihubungi oleh penerbit.

Isu yang sama turut dihadapi Perpustakaan Negara yang diberi peruntukan membeli buku-buku terus dari pengarang ketika di bawah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa), Dato’ Seri Dr Rais Yatim. Bagaimanapun apabila kementerian yang sama berubah nama kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di samping menterinya Dato’ Shafie Apdal, skim membeli buku terus kepada pengarang dimansuhkan. Perpustakaan Negara membeli buku-buku daripada penerbit, tetapi ironinya satu penerbit sahaja memperoleh lebih 100 judul buku; apalagi ianya dikenali bukan penerbit bumiputera. Kalau BTP untuk pembekal buku, Perpustakaan Negara untuk penerbit ‘tunggal’, siapa pula untuk pengarang Melayu? Alahai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

ORANG KUAT GAPENA BUAT KEPUTUSAN YANG TEPAT
AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP KP

Syabas! Ketua Satu Gapena Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran dalam isu Bahasa Melayu dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana mencabul perlembagaan negara mengikut Perkara 152. Tak timbul selepas enam tahun dilaksanakan baru Gapena mengambil tindakan seperti didakwa Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, tetapi perjuangan bahasa sudah digerakkan sejak 1950-an, malah dilanjutkan hingga 1960-an dan pada 1970-an Bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya di Dewan Rakyat dan mahkamah. Barangkali Dato’ Seri Hishamuddin sudah terlupa, justeru perlu diingatkan menerusi tindakan undang-undang.

PRIMA menyokong penuh langkah Gapena, malah bersedia untuk mengumpul dana bagi membantu tindakan undang-undang ke atas kementerian terbabit boleh dilaksana. Profesor Emeritus Tan Sri Ismail tak akan berseorangan dalam perjuangan bahasa, dan Dato’ Seri Hishamuddin wajar memahami aspirasi bangsa Melayu. Langkah PRIMA menyokong ‘Grup Pemuisi Simfoni Pasir Salak’ menganjurkan majlis baca puisi di samping kesediaan mengarak ‘Keranda 152’ seperti pada dekad 1960-an seharusnya menyedarkan Dato’ Seri Hishamuddin ‘sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan’. Melaksanakan kekuatan ‘kuasa’ bagi menghalal cara, belum pernah mencapai matlamatnya, kerana George W Bush yang mampu menggunakan kekuatan militan ke atas Iraq akhirnya dimalukan dengan lontaran kasut ke muka. Begitulah!

INFO SASTERA & BUDAYA

ANTOLOGI PUISI ‘HIJRAH MUSAFIR’
SENTUHAN BERSAHAJA PENULIS PAHANG

Sempena ulang tahun ke 50 Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), organisasi massa (ormas) berkenaan menerbitkan antologi puisi penulis Pahang ‘Hijrah Musfair’. Antologi yang diselenggara oleh Baharuddin C D dan Rahman Haji Yusof memuatkan karya 35 penulis kebanggaan ormas di negeri Pahang. Dengan kata pengantarnya dari Profesor Rahman Shaari, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, ‘Hijrah Musafir’ mungkin sahaja sentuhan bersahaja penyair-penyair veteran termasuk E. Tan Alauddin, M. Ashikin, M.Z. Alias, Baharuddin C.D., Sahmad Malaya atau L. Mankadir Shamsi. Sekalipun tak menampilkan bait-bait simbolisme, ambiguitis atau imajeri yang hebat, tetapi ‘Hijrah Musafir’ tetap merakamkan jatidiri ‘Melayu’nya.

Membaca beberapa puisi yang termuat dalam ‘Hijrah Musafir’, ormas di Pahang seolah-olah meminggirkan Yassinsalleh, penyair yang sentiasa bermain dengan ungkapan melankoliknya seperti ‘Ikan-Ikan Di Kaca’ dan ‘Semantan Tersulakah Engkau’. Memang ketiadaan Yassinsalleh dalam antologi puisi yang diterbitkan DPMP, ianya seolah-olah tak melengkapi suara penyair anak Pahang. Misalnya, apabila GAPENA sekitar dekad 1980-an dimalukan dengan penolakan Pak Sako bagi menerima anugerah ‘Budayawan Gapena’, ianya dianggap kerana hadiahnya sekadar sepasang pakaian Melayu. Fakta sebenarnya ialah, Pak Sako terkilan apabila Pak Zek (Zakaria Hitam) juniornya terlebih dahulu diberi anugerah ‘Budayawan Gapena’ itu. Maknanya, kenapa beliau dipinggirkan oleh Gapena sebelum itu?

PUISI

Legasi Puteri Prolitar

(Selamat datang cucuku
Puteri Nurlaili Suffiyah)

Ku perhatikan malam
tertegun merapati
kilau mimpi melimpah
ke sisi angin waktu
yang terhambat memukau
bibir lembutmu membelah
getar tangis di tembok pasrah
mengombak ke dadaku
bak siulan camar senja.

Lepaskan jarum arloji
memutar waktuku yang singkat
di atas permaidani ungu
ku hitung bulatan cahaya
di celah jeriji purnama
tabtibau semakin galak
melompati lurah gaung
mencari keramahan tangismu.

Ku cari aroma wangian
di hujung pelipismu
antara getar angin & sumber rahsia
bayang malam di dadaku
hulurkan jari jemarimu
menyambut butir-butir doa
dalam genggaman syahdu
titisan legasi puteri prolitar!

-Dharmala N.S.
Kuala Lumpur
22 Disember 2008.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERKARA HUKUM HUDUD DISEBUT:
KETIKA PILIHANRAYA DI TERENGGANU

Sebermula berkatalah Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak perkara hukum hudud yang disebut-sebut harakah Islam (PAS) itu sudah lapuk. Arakian akan PAS itu tak pula menyebut-nyebut hukum hudud, tetapi Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib sengaja mahu melaga-lagakan mereka. Syahdan kalau tak berlakulah pilihanraya kecil di Kuala Terengganu itu, maka Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib pun tak tahu bercakap mengenai hukum hudud. Maka akan kerajaan negeri Melaka dan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Ali Rustam juga akan menjemput Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib hari ini (25 Zulhijjah 1429/23 Disember 2008) untuk melancarkan kewangan Islam (DMDI) heh heh heh!

Syahdan maka raja Pahang pun tersenyum. Titah baginda, ‘Adapun Telanai Terengganu kita suruh bunuh itu sebab biadap mulutnya, mengata-ngata negeri Melaka di bawah kelengkapannya. Adapun saudara sepupu Seri Akar Raja yang mati itu, mana bicara laksamana dengan Seri Akar Raja, kerana ia bukan orang lain pada laksamana.’ Maka laksamana dan Seri Akar Raja bermohon pergi menanamkan saudara sepupunya itu. Maka Sultan Pahang berangkat masuk. Maka segala yang mengadap itu pun masing-masing kembali ke rumahnya. Maka laksamana pun turun ke perahunya, kerana tak mahulah ia mendengar akan perkara hukum hudud yang dibesar-besarkan oleh Orangkaya Seri Akar Raja seperti halnya Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib yang dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, December 22, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

KETIKA BERDIRI DI TEBING SUNGAI
LOKASI BALAI POLIS DI BAKAR DI SEMANTAN.

Assalamualaikum,

Sempat juga singgah di masjid di Mempatih, Lancang untuk solat subuh, dalam perjalanan ke Pekan semalam (20 Disember 2008). Disebabkan temu janji jam 10.00 pagi, Ir Fazal Khan mengajak bertolak jam 4.00 pagi dari Kuala Lumpur. Masya Allah! Rupa-rupanya masjid di perkampungan Lana di Mempatih itu adalah lokasi perjuangan anak-anak Pahang memulakan frasa gerakan nasionalisme pimpinan Dato’ Bahaman Orangkaya Semantan. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia, Syed Adenan Dato’ Syed Abdullah menunjukkan kepada saya, tapak bekas pekan Semantan dari jambatan Mempatih. Apalagi lokasi tapak bekas pekan Semantan memang terletak di bawah jambatan berkenaan.

Seolah-olah terimbau kepada saya insiden Dato’ Bahaman membakar balai polis Semantan di pinggir sungai sekitar tahun 1891, disebabkan di tapak lokasi berkenaan masih tersergam sebatang pokok besar. Di situlah balai polis atau markas pasukan Sepahi (menurut Ir Fazal Khan ‘Sepahi’ dalam bahasa Urdu bermaksud ‘tentera’) ditempatkan, yang menjadi sasaran Dato’ Bahaman. Bagaimanapun kata Syed Adenan (Abang Engku), sebenarnya Dato’ Bahaman tak sehebat yang digambarkan oleh orang-orang Melayu hingga boleh ditembakkan menjadi peluru lela (meriam). Dato’ Bahaman adalah sekadar pemimpin biasa, tetapi mempunyai strategi perang yang tersusun.

Mungkin sahaja Dato’ Bahaman yang gelarannya ‘Orangkaya Semantan’ sebagai pembesar istana memang mempunyai amalan kebatinan, tetapi bukan seperti yang diberi gambaran oleh masyarakat Melayu terlalu hebat. Malah dikatakan boleh melompat dari tebing ke tebing Sungai Semantan, seolah-olah seorang yang memilik supernatural power. Sebagai manusia biasa Dato’ Bahaman sendiri pernah diperintahkan oleh Sultan Pahang membantu Tengku Kudin (Ridhauddin) yang disokong British untuk melawan pemberontakan Raja Mahadi di Selangor tahun 1872 (atau 20 tahun sebelum kebangkitan nasionalisme di Pahang).

Wilayah yang ditadbirkan oleh Dato’ Bahaman bukanlah Temerloh (Kuala Semantan), tetapi Mukim Semantan yang meliputi Lancang dan Mentakab. Selepas Dato’ Bahaman dilabel sebagai ‘penderhaka’, jawatan Orangkaya Semantan sebagai pembesar istana dimansuhkan, tetapi sebagai pelaksanaan dasar ‘pecah dan perintah’ Inggeris ianya digantikan dengan jawatan ‘Dato’ Setia Pahlawan Semantan’. Tokoh pertama memegang jawatan ‘Dato’ Setia Pahlawan Semantan’ ialah datuk kepada Abang Engku sendiri, Dato’ Syed Ali al-Habshi. Adik kepada Dato’ Syed Ali al-Habshi ini dikenali Syed Zin al-Habshi berpindah ke Jelebu di Negeri Sembilan.

Ketika di Jelebu Syed Zin dikenali ‘Syed Zin al-Jefri’ berkahwin dengan waris berundang Ulu Jelebu, justru anaknya Syed Ali Syed Zin al-Jefri dilantik menyandang pesaka Undang Luak Jelebu sehingga 1895. Disebabkan Jelebu di bawah pemerintahan Dato’ Syed Ali al-Jefri pada 1891 itu, tak hairanlah ramai pejuang-pejuang Pahang melarikan diri ke Jelebu sebelum ke Terengganu. Dato’ Bahaman dikatakan pernah membuat pertahanan di Jeram Ampai, Kenaboi di Jelebu (kira-kira tiga kilometer dari Pahang merentasi Gunung Besar Hantu), berdasarkan Jelebu di bawah pemerintahan Dato’ Syed Ali al-Jefri.

Sebaliknya apabila istana melantik Syed Ali al-Habshi (bapa saudara Dato’ Syed Ali) memegang jawatan Dato’ Setia Pahlawan Semantan pada 1892 atas nasihat British, tak hairanlah Dato’ Bahaman melarikan diri ke Terengganu yang juga disebut Jeram Ampai sebagai pertahanannya. Bagaimanapun menurut Abang Engku, memang ada perjanjian sulit di antara Dato’ Bahaman dengan datuknya Syed Ali al-Habshi, apabila jawatan Orangkaya Semantan dimansuhkan dan diganti kepada Dato’ Setia Pahlawan Semantan. Bagaimanapun Abang Engku taklah berbangga dengan jawatan anugerah British yang disandang oleh datuknya, kemudian diwarisi oleh ayahnya Dato’ Syed Abdullah.

Pada 1964 Abang Engku pernah bertanding atas tiket Bebas ketika memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Lancang, sekalipun ayahnya Dato’ Syed Abdullah bertanding atas tiket UMNO di DUN Mentakab. Dalam usia 21 tahun, Abang Engku mencuba nasibnya menentang arus, bagaimanapun tewas kepada calon MCA di DUN Benus (sekarang Lancang). Beliau seolah-olah tak menghiraukan kedudukan ayahnya yang bertanding di DUN Mentakab boleh terjejas, sebaliknya Dato’ Syed Abdullah memberitahu saudara maranya, “Terpulanglah pada awak semua sama nak sokong Nan atau tidak”. Begitulah semangat anak Semantan, barangkali!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

SENJATA AMPUH PAS DI TERENGGANU
CALON UMNO BERHADAPAN PANCAROBA

Pemilihan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjadi calon UMNO dalam pilihanraya kecil Parlimen KualaTerengganu adalah sebagai ‘orang pilihan Najib’, kata bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak semalam (20 Disember 2008) di Kuala Terengganu apabil UMNO negeri itu mengemukakan nama Dato’ Wan Ahmad Farid, beliau memberitahu jurang perpecahan UMNO semakin ketara, sekalipun semua pihak cuba menafikan. Apalagi keputusan UMNO sekarang banyak dibuat oleh Dato’ Seri Najib yang bakal mengambil alih kuasa pada Mac 2009, jelasnya. “Peluang calon UMNO menang bukanlah mudah dalam keadaan perpecahan sekarang,” menurut Dato’ Kamal Amir.

Katanya lagi, PAS mungkin sahaja meminta sokongan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zaid Ibrahim sebagai senjata ampuh pada pilihanraya kecil di Kuala Terengganu 17 Januari 2009 akan datang. Dato’ Zaid menjadi wira baru orang Melayu di pantai timur, apabila meletak jawatan menteri kerana memprotes ISA yang berkaitan dengan isu penulis blog Raja Putra Kamaruddin mendedahkan kes Datin Seri Rosmah Mansor. Justeru menurut Dato’ Kamal Amir, protes yang dilakukan oleh Dato’ Zaid adalah prinsip apabila ISA digunakan untuk kepentingan pihak tertentu, bukan masalah keselamatan awam sebenarnya. “Mungkin PAS akan menampilkan Dato’ Zaid sebagai senjata ampuh, ketika UMNO di ambang perpecahan,” beritahu Dato’ Kamal Amir menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA:

PUISI

Di Hujung Mimpi

Kadang-kadang kita singgah
mandi air terjun
sambil mendengar serindit
berkicauan
dan mentari turun
menyulam pelangi
indah sungguh bercinta.

Kadang-kadang kita singgah
menghitung manik embun
sambil bintang-bintang menari
dan bulan membelai
tubuh kita tak berbenang
nikmat sungguh berkasih.

Kadang-kadang pula
kita terdampar di gurun sengsara
kita berdakapan
di ranjang kerikil
dan bara pasir
menghampar pilu yang amat
saujana duri kaktus
pembalut luka
tabah sungguh merempuh dugaan.

Tiba-tiba kini tidak lagi
meniti pelangi
kerana kau tak mahu lagi
menatang mimpi
dan aku tak pandai
menjanjikan fatamorgana
siksa sungguh rindu!

-Yassinsalleh
jam 1430
Disember 19, 08.


INFO SUARA PROLITAR:

PERJUANGKAN ISU MELAYU
JANGAN KOKOK AJE BERDERAI!

Syabas GPMS dan ketuanya Dato’ Reezal Merican Naina Merican, nak pertahankan isu berkaitan orang Melayu. Nak perluaskan biasiswa JPA, macam mana dengan PTPTN yang dibangkitkan orang Melayu? Kita pun tahu yang perlekehkan orang Melayu, bukan orang lain, tapi orang Melayu juga. PPSMI, apa dah jadi dengan GPMS? Bahasa Melayu pun GPMS tak berani nak cakap. Orang Melayu tak suka bahasanya dipanggil ‘Bahasa Malaysia’, sebab dah hilang Melayunya. Janganlah GPMS jadi ‘kokok berdegar-degar, ekor bergelumang taik’ – (SMS; 21 Disember 2008; 12:47:07 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MAKA MAULANA BERASA KESAL
KARANGAN PUISI SUDAH TAK HALAL.

Syahdan akan bekas Mufti Perlis, Maulana Dr Asri Zainul Abidin berasa kesallah ia apabila jabatan yang diketuai Orangkaya Dato’ Seri Ahmad Sabry Cheek melarang lagu ‘Aku Bukan Musuh Harta’ disiarkan. Arakian akan Orangkaya Dato’ Seri Ahmad Sabry Cheek tidaklah ia bersuara, tetapi diarahkan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Dato’ Adilah Shek Omar memberitahu orang banyak semalam (22 Zulhijjah 1429 atau disebut juga anak cucu fakir 22 Disember 2008). Puisi dalam lagu berkenaan kononnya tak sesuai kepada pendengaran orang-orang tertentu, menyebabkan Dato’ Seri Ahmad Sabry yang berfikiran terbuka itu turut serba salah jua, adanya. Maulana Dr Asri itu khabarnya pergilah ia ke negeri atas angin untuk mengaji lagi, kononnya.

Sebermula maka Tun Abdul Karim pun ke tengahlah. Maka Seri Dewa Raja tampil ke hadapan, duduk di kepala gajah. Maka di palingnya Balidamani, lalu dilanggarnya pintu Kadi Menawar. Beberapa pun dipasang orang mercun dan periuk api dengan tempik sorak seperti tagar, tiada dihisabkan oleh Balidamani, dirempuhnya juga. Syahdan pintu pagar pun terbuka lalu masuk ke dalam. Maka sekalian orang pun hairan melihat tahu Seri Dewa Raja naik gajah itu, gajah penakut jadi berani. Maka gajah pun dikepilkan orang ke balai Kadi Menawar, begitu perihal berkuasanya anak orang besar Melaka daripada alim ulama, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:












HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, December 19, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA
SUARA < < < > > > PRIMA
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


BELASUNGKAWA KEPADA KELUARGA:
ANAK SENIMAN LEGENDA MENINGGAL

Assalamualaikum,

Berpulangnya ke rahmatullah pemuzik di Istana Budaya, Nasir P Ramlee sekadar dirasakan oleh rakan-rakan rapatnya di samping keluarga tersayang. Bagaimanapun bagi pihak PRIMA saya turut menucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham sebagai aktivis seni yang seharusnya diberikan penhargaan. Memang Nasir P Ramlee yang meninggal dunia semalam (17 Disember 2008) tak sehebat ayahnya Tan Sri Dr P Ramlee, tetapi sumbangannya sebagai aktivis seni tetap ditinggalkan sebagai khazanah negara. Apalagi lagu-lagu yang digubahnya semula, terlihat nilai estatik yang setanding dengan pemuzik-pemuzik tanah air.

Penampilan Nasir dalam lakonan juga tak sehebat ayahnya, malah beliau sekadar membintangi beberapa buah filem sahaja. Apabila diperkenalkan oleh ayahnya P Ramlee menerusi filem ‘Anak Bapak’ sekitar dekad 1960-an, karektor Nasir selaku budak pejabat tak menguji kemampuannya. Sebaliknya Nasir memberi lakonan yang baik dalam filem ‘Kalau Berpaut di Dahan Rapuh’ arahan Omar Rojik., sayangnya tak ada filem susulan. Apalagi ketika itu prestasi filem Melayu dalam keadaan kucar kacir menyebabkan bakat Nasir tak menyerlah. Sekalipun PRIMA tak kenal rapat dengan Nasir, tetapi sumbangan beliau sebagai aktivis seni tetap dihargai. Takziah kepada keluarganya, moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya.

PERBEZAAN KAUM TAK WUJUD, TAPI:
‘ORANG BERADA’ DAN ‘ORANG TAK BERADA’

Kemelesetan ekonomi dan jurang perbezaan di antara orang Melayu dan Cina serta India adalah ancaman terbesar yang dihadapi Negara, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kononnya Dato’ Seri Abdullah mahu selesaikan isu berkenaan sebelum bersara, atau mungkin tak bersara kalau isu terbabit tak juga selesai, langsai dan sangsai. Barangkali! Sudah lebih 50 tahun merdeka, takkan isu perbezaan itu tak juga hai hai hai. Sebenarnya bukan perbezaan kaum, tetapi perbezaan antara ‘orang berada’ dan ‘orang tak berada’ yang terdapat di kalangan Melayu, Cina, India, Benggali, Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Orang Asli, Portugis dan semua rakyat Malaysia.

Tak hairanlah seorang kenalan saya Fazal Khan merungut, apabila kaum Panjabi tak diwakili lagi oleh parti kerajaan di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara. Faizal Khan bekas seorang jurutera yang menukar profesion kepada bidang penerbitan buku-buku memberitahu pada 1959, MIC meletakkan seorang panjabai T Mahima Singh di kerusi Parlimen Port Dickson (sekarang Teluk Kemang). Malangnya selepas T Mahima Singh tewas pada pilihanraya 1969, MIC tak lagi mencalonkan pimpinan Pajabi. MIC di bawah Dato’ Seri Samy Vellu seolah-olah merasakan tak penting sokongan masyarakat Panjabi, sekalipun DAP berbangga dengan Karpal Singh dan Govind Singh Deo, kata Fazal Khan. Heh heh heh!

-Pak Dharma

UCAPAN HARI LAHIR
UNTUK DR. M
Selamat hari lahir untuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyambut hari lahir pada hari Sabtu ini, (20 Disember) daripada warga PRIMA.Semoga terus sukses selalu.

INFO HAK ASASI MANUSIA

KAJI SEMULA WAJIBKAN PELAJAR:
BELI POLISI INSURAN DI IPTA/IPTS

Kerajaan diminta mengkaji semula kaedah mewajibkan pelajar-pelajar membeli polisi insuran yang lebih memberi manfaat kepada syarikat berkenaan berbanding daripada menyelesaikan maalah pelajar, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu mengenai laporan seorang pelajar di Universiti Industri Selangor (Unisel) meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya, tetapi berhadapan dengan kerenah syarikat insuran bagi keluarga mangsa membuat tuntutan.

Menurut beliau prosedur yang diberitahu kepada keluarga mangsa tak munasabah, mengarut dan berserabut. “Kalau rekmen pihak universiti pun syarikat insuran banyak berdalih, prosedur apa lagi yang mahu diikuti?” ujar Dato’ Kamal Amir.

Kata Dato’ Kamal Amir pelajar-pelajar yang mendaftar memasuki IPTA/IPTS diwajibkan membeli polisi insuran menerusi pinjaman PTPTN, di samping pemotongan juga terlalu mudah. Sebaliknya dalam insiden yang menimpa seorang pelajar pada Ogos 2008, pihak universiti sudah mengusahakan tuntutan kepada syarikat insuran ETIQA, tetapi selepas empat bulan disenyapkan pihak keluarga mangsa dikehendaki memberikan photostat ‘surat pengkebumian’.

Kata Dato’ Kamal Amir menambah, apa perlunya lagi ‘surat pengekbumian’ kalau sudah ditunjukkan ‘sijil kematian’. Malah beritahu Dato’ Kamal Amir, surat pengkebumian adalah untuk urusan JPN bagi memansuhkan kad pengenalannya, bagi membolehkan polis mengeluarkan ‘sijil kematian’. “Prosedur syarikat insuran menjadi rumit apabila tuntutan dibuat, tetapi terlalu mudah untuk memotong PTPTN pelajar,” menurut Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

SIMFONI PUISI PASIR SALAK
MENTERI PELAJARAN ‘BUTA BAHASA’

Grup Pemuisi Pasir Salak dengan kerjasama Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) akan menggerakkan ‘SIMFONI PUISI PASIR SALAK & BICARA HATI: MENGARAK KERANDA 152 LAKAH KITA?’ pada 24 & 25 Januari 2009 akan dating, beritahu jurucakapnya Yassinsalleh. Majlis baca puisi di Pasir Salak berkenaan sebagai simbolik kepada tragedi pembunuhan J W W Birch pada November 1876 disamping pembabitan Dato’ Maharajalela Pandak Lam. Menurut Yassinsalleh, majlis baca puisi itu adalah mesej kepada semua pihak kebangkitan aktivis bahasa mempertahankan Bahasa Melayu, di samping mengutuk penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah.

Kata Yassinsalleh menambah, Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein yang mahu meneruskan polisi berkenaan ‘buta bahasa’, kerana tak memahami perkataan ‘matematik’ itu dipinjam oleh orang barat daripada Bahasa Arab. “Kalau orang barat meminjam bahasa Arab, kenapa bangsa Melayu mendewa-dewakan sangat Bahasa Inggeris?” ujar Yassinsalleh lagi. Justeru beliau memberitahu, penyair-penyair yang ingin menyertai majlis baca puisi ini, bolehlah mengirimkan sajak untuk diantologikan dan dikirimkan kepada secretariat secepat mungkin bagi persiapan awal menerusi emel: yassinsalleh2005@yahoo.com.5.

Seterusnya Yassinsalleh menjelaskan kepada penyair-penyair yang ingin menyertai perkampungan penyair di Pasir Salak, pihak secretariat menyediakan program 1) tempat penginanpan, makan malam dan sarapan pagi, 2) setiap penyair undangan akan membacakan sajak tak melebihi 7 minit bagi satu acara, 3) dua acara akan diadakan iaitu malam pertama dan malam kedua, 4) pihak secretariat akan menerbitkan sebuah antologi daripada kumpulan sajak yang bakal dideklamasikan dan akan disebarkan di majalis tersebut dan 5) untuk urusan tersebut penyair-penyair dikehendaki mengirimkan sajak-sajak mereka pada kadar yang segera. “Penyair-penyair akan dimaklumkan tentang perkembangan berkaitan dari waktu ke waktu,” beritahu Yassinalleh.

PUISI

Di Pucuk Tualang

Kini
sedang memilin embun
untuk menggantung
nakhoda air mata
satu di pucuk tualang.

-Yassinsalleh
12 Disember 08


Dipilin Nestapa

Telah dating dari rindu
selembar harapan pilu
memilin kalbu memintal sayu
suatu bangsa bercanda
di lantai janji semalam
yang cuma sekadar
hanya soraksorai seloka duka
fatamorgana bercanda….

Makanya akan teruskah jua
engkau menghirup bara
sambil menghairahi berahi
di ranjang Hang Li Po
mengulit bahara
sambil dengan lidahmu
yang kelu kau masih jua
amat bernafsu melaungkan
ketuannanmu –
sedang di tanganmu
tidak lagi menggenggam bara!

Dan keris itu tak lagi
berani kau kucup
kerana Melayu
telah menjadi badut
dalam seloka tersembam
di celah paha perbarisan
perawan tua.

Berhentilah
kau berkata-kata
duhai sida-sida perkasa
kerana Melayu bangsa kita
sudah cukup azab
menatang nestapa
menanggung aib
kedayusanmu!

-Yassinsalleh
13 Disember 08
Jam 0520


INFO SUARA PROLITAR

MAJLIS KHATAN ANAK KAMAL AMIR
KEHADIRAN SEMUA PIHAK DIALU-ALUKAN.

Majlis berkhatan anak lelaki Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dan isterinya Datin Rozi Kamal Amir akan diadakan Sabtu ini (20 Disember 2008). Rakan-rakan dan sahabat handai dijemput hadir meraikan majlis berkhatan dan khatam al-Quran ini bermula 12.00 tenghari di kediaman beliau No 1 Lorong Dato’ Sulaiman 8, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Menurut Datin Rozi, majlis akan dimulakan dengan khatam al-Quran diikuti jamuan makan tengahari. Bagi pihak keluarga kata Datin Rozi, beliau mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan dan sahabat handai yang sudi sama-sama memeriahkan majlis tersebut.

AKTIVIS BUDAYA DEKAD 1970-AN
MENERIMA MENANTU AKHIR TAHUN

Penggiat teater dekad 1970-an Shafie Ibrahim mengadakan majlis perkahwinan anak bungsunya Sabtu ini (20 Disember 2008) di kediamannya di Shah Alam. Isterinya Puan Som memberitahu, majlis persandingan jam 2.00 petang tetapi jemputan kepada tetamu bermula jam 12.00 tengahari hingga ghurub matahari. Shafie Ibrahim seorang kontraktor, sebelum ini aktif dalam badan kebudayaan di samping menjadi Pengerusi, Kumpulan Budaya Anniverseri Kuala Lumpur dan Setiausaha Kumpulan Budaya Seremban, Negeri Sembilan sekitar dekad 1970-an.

EDITOR BULETIN RAKYAT:
RAI PERKAHWINAN ANAK SAUDARA

Majlis perkahwinan anak saudara Editor Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol akan diadakan pada 27 Disember 2008 (Sabtu) di kediamannya No 557 Taman Pisang Mas Jaya, Gadek, Alor Gajah, Melaka. Anak saudara Norzah, Noor Aslinda Mohd Kamal bertemu jodoh dengan pasangannya Busu Isyhak Haji Husin dari Felda Hutan Perca, Alor Gajah. Bagi pihak abangnya Mohd Kamal Haji Kepol dan isteri Noor Aini Selamat, Norzah dan suaminya Nasiri Hamid mengalu-alukan kehadiran tetamu-tetamu undangan bagi memeriahkan majlis perakhwinan anak saudaranya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MULUT LANCANG DI BALAIRONGSERI:
ORANGKAYA SERI GADING TUNJUK GARANG

Sebermula akan Orangkaya Seri Gading Dato’ Mohamad Abdul Aziz berdirilah ia di balairongseri menuding jari ke arah Orangkaya Bandar Kucing kerana bermulut lancing, kononnya! Syahdan, kemarahan Orangkaya Dato’ Mohamad itu disebabkan lawannya menuduh kerajaan tak prihatin dengan rakyat jelata. Maka diungkit oleh Orangkaya Dato’ Mohamad perihal kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit membantu rakyat, tetapi masih ramai juga anak cucu fakir yang hidup melarat, melalut dan mengarut. Entahlah! Arakian anak-anak buah fakir di kampung-kampung tetap juga berasa hairan kerana harga barang-barang keperluan tak juga turun, sekalipun harga minyak sudah turun, turun dan turun. Maka berebut-rebutlah mereka membeli beras murah sekampit 10 kilo RM17 dengan campuran beras hancur 15% itu. Aduhai!

Arakian adapun Laksamana pada mada itu tiadalah dua bandingannya, melainkan ada seorang hulubalang ratu Daha, Sangka Ningrat namanya, ialah yang dapat sedikit berlawan dengan Laksamana. Itupun dinyanyikan juga: Geger wong ing panggung dene Sangka Ningrat teka penjurit ratu ing Daha. Ertinya: Gempar orang di atas panggungan sebab melihat Sangka Ningrat dating itu, hulubalang ratu Daha. Demikianlah kelakuan segala orang Melaka yang ke Majapahit itu, masing-masing dengan kelakuannya. Telah dilihat ratu Majapahit akan Sultan Mansor Shah terlalu bijaksana, maka pada hati betara Majapahit, “Baiklah Sultan Mansor Shah ini aku ambil akan menantuku, aku dudukkan dengan Raden Galoh Chendera Kirana.” Syahdan tahulah betara Majapahit tak elok bermulut lancing ketika berhadapan dengan Laksamana, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, December 12, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA
SUARA < < < > > > PRIMA

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PETANI PROLITAR MAKIN BIMBANG:
BUKIT RUNTUH PASTI MENUNGGU WAKTU

Assalamualaikum,

Penarahan bukit bagi membangunkan estet perumahan di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur cepat menerima respons daripada pelbagai pihak, kerana ianya lokasi perumahan mewah yang dihuni golongan elit. Apalagi insiden bukit runtuh menimbus 14 rumah menjelang Hari Raya Aidiladha lalu, membuatkan pelbagai pihak saling tuding menuding jari. Tetapi penarahan bukit di kawasan golongan prolitar tak diberi perhatian, malah pelbagai pihak seolah-olah mahu menunggu bukit runtuh, di samping menimbus hidup-hidup golongan prolitar yang melarat, menyarat dan menyerat. Barangkali! Memang begitulah keluhan petani-petani prolitar di Kampung Teriang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Ketika balik menziarah keluarga Hari Raya Aidiladha, salah seorang petani Zainal Maakir, 68 atau dikenali Tok Busu memberitahu penarahan bukit di Hulu Gepau dan Japas mungkin memberi impak kepada perkampungan petani ini dalam tempoh beberapa tahun lagi. Justeru Tok Busu sangat berharap wartawan TV3 terutama Karam Singh Walia tampil mendedahkan penarahan bukit kononnya untuk projek takungan air terbesar di Negeri Sembilan. Tok Busu setelah berlaku insiden seperti di Bukit Antarabangsa, barulah pelbagai pihak mahu bersuara!

Sekalipun jawapan sudah diberikan oleh Pejabat Daerah Jelebu bertarikh 6 Februari 2007 ianya projek Jabatan Bekalan Air (rujuk bil 62 dlm PTJ 1/101/2002), tetapi jaminan keselamatan akibat penarahan bukit tak diberikan. Apalagi kehadiran jurutera perunding dari SMHB Sdn Bhd seolah-olah memberi gambaran syarikat koprorat berkenaan terbabit dengan projek berkenaan. Jabatan Bekalan Air dan SMHB Sdn Bhd mungkin sahaja tak berasa bimbang dengan insiden runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur disebabkan mereka tak mendiami lokasi perkampungan petani-petani prolitar ini. Apalagi mereka lebih percaya kepada legenda naga turun apabila bukit pecah dan terpokah. Aduhai!

Sebaliknya Tok Busu bukan sahaja melihat sendiri, pencemaran Sungai Teriang semakin memilukan hati, malah beliau penduduk asal perkampungan berkenaan. Justeru dia merayu Karam Singh Walia dan TV3 tampil mendedahkan pencemaran sungai di Kampung Teriang, penarahan bukit di Hulu Gepau dan Japas, pemusnahan alam semula jadi yang menjadi agenda kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Dato’ Seri Mohamad Hassan. Bukan sahaja suara rakyat di Negeri Sembilan mula kedengaran meminta Dato’ Seri Mohamad Hassan segera berundur dari kerusi Menteri Besar, malah pimpinan UMNO di peringakt akar umbi juga mempertikaikan pimpinannya. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

K’JAAN BARU SEBELUM MAC 09
KALAU PR BERKOMPROMI KU LI PM.

Kerajaan alternatif akan menjadi kenyataan sebelum Mac 2009, sekiranya pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sedia berkompromi menerima Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah selaku Perdana Menteri dengan konsep ‘Kerajaan Perpaduan’. Justeru pilihanaya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari 2009 menjadi medan ujian kepada spekulasi penubuhan kerajaan baru. Sekiranya pilihanraya kecil itu nanti tak menyebelahi UMNO, harapan mempertahankan BN sebagai sebuah kerajaan hanya ‘macam berpaut di dahan rapuh’.

Malah sumber yang rapat dengan pimpinan PR mengakui beberapa pertemuan sudah digerakkan antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Tengku Razaleigh. Apalagi pemecatan ke atas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zaid Ibrahim dikatakan mempunyai kaitan dengan permuafakatan Dato’ Seri Anwar-Tengku Razaleigh, menurut sumber tersebut. Bagaimanapun sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh enggan memberikan komen, tetapi tak menafikan berlakunya pertemuan tersebut. Kata sumber itu menambah, Tengku Razaleigh masih membuat pertimbangan sama ada akan membawa penyokongnya atau tidak menyertai PR.

Pendedahan Dato’ Zaid Ibrahim mengenai segelintir pimpinan UMNO mencemuh Dato’ Seri Abdullah, memperlihatkan perpecahan dalam UMNO sukar dibendung, beritahu sumber itu seterusnya. Mereka yang tak sebulu dengan Dato’ Seri Mohd Najib tak teragak-agak menyokong Tengku Razaleigh sebagai kumpulan Bebas yang akan menjadi komponen PR. Menurut sumber itu lagi, sekiranya Dato’ Seri Anwar sedia berkompromi dengan memberi laluan kepada Tengku Razaleigh membentuk ‘Kerajaan Perpaduan’, riwayat UMNO yang bakal memilih Dato’ Seri Mohd Najib bagi kerusi presiden akan berakhir.

SISTEM KEHAKIMAN SUKAR DIPERTAHAN
SELAGI TAK DIPERBAIKI SECARA KOMPREHENSIF.

Sistem kehakiman di Negara ini akan kembali dipandang rendah oleh masyarakat antarabangsa, malah lebih buruk daripada insiden 1987 sekiranya kerajaan masih berteka teki dalam beberapa isu, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Mengulas kenyataan Pengarah Siasatan BPR Dato’ Mohd Shukri Abdul dalam media hari ini (12 Disember 2008) mengenai 90 peratus aduan rasuah dan politik wang dalam pemilihan peringkat Bahagian UMNO, sudah selesai disiasat Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO berkata, “Selesai disiasat tak perlu dihebohkan, yang penting tindakan susulan selepas penyiasatan dibuat.”

Dato’ Kamal Amir juga menambah, calon BN bagi kawasan Parlimen Teluk Kemang di Negeri Sembilan pada PRU12 dilaporkan pernah membuat aduan polis berhubung kes peti undi pos, tetapi tak diketahui tindakan susulannya. Apalagi spekulasi menyebut peti undi berkenaan berpindah ke kawasan Parlimen lain, yang seharusnya diberi penjelasan kepada umum terutama pihak Surhanjaya Pilihanraya (SPR). Berikutan SPR akan mengendalikan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, ketelusan dan kewibawaan SPR mengenai kes di Teluk Kemang perlu diperjelaskan, beritahu Dato’ Kamal Amir. “Kita mahu sistem kehakiman benar-benar dipulihkan, terutama dalam pendedahn klip video Linggam,” ujar beliau lagi.

INFO SASTERA & BUDAYA

GERAKKAN SEMULA HARI PUISI:
KEKAL MEWAKILI SUARA RAKYAT

Hari Puisi perlu dihidupkan semula sebagai acara tahunan Persatuan Penulis Nasional (PENA) iaitu kemuncak majlis baca puisi bulanan yang digerakkan sekarang, kata penyair Yassinsallah. Menurut Yassinsalleh yang juga aktivis PENA, acara Hari Puisi lebih awal digerakkan pada awal dekad 1970-an, malah lebih awal daripada ‘Hari Sastera’ yang dijayakan oleh GAPENA. Justeru Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan seharusnya peka dengan ‘Hari Puisi’, seperti pernah diberi sokongan kewangan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sekitar dekad 1970-an sebagai manifestasi suara rakyat, menurut Yassinsalleh selanjutnya.

“Bagaimanapun puisi seharusnya dirakyatkan, bukan digerakkan ke hotel-hotel mewah atau dewan besar,” ujar Yassinsalleh menambah. Yassinsalleh yang kerap tampil dalam acara baca puisi PENA, PRIMA dan lain-lain organisasi massa (ormas) mengakui, Hari Pusi seharusnya dirayakan bersama rakyat seperti dilaksanakan pada dekad 1970-an. Penampilan jurubicara dari institusi pengajian tingi kadangkala mencacatkan acara baca puisi yang seharusnya langsung digerakkan bersama rakyat, kata Yassinsalleh selanjutnya. “Biarlah puisi itu kekal mewakili suara rakyat, bukan berlagak sebagai pemangkin pemikiran elit dan keegoan ilmuan di institut pengajian tinggi,” beritahu Yassinsalleh.

PUISI

Bulan Membariskan

Malam ini bulan
membariskan bintang-bintang
bagaikan nakhoda tempang
cuba membariskan pelautnya
di pucuk gelombang
dan esok mentari pula
akan membariskan pelangi
bagaikan bendahara
membariskan perawan tua
bertelanjang di anjung istana.

Lalu akan berebutanlah
para sida-sida perkasa
menagih mimpi menerpa janji
syahwat yang dikasi raja,
demikianlah adanya
kau yang bernama Melayu
hanyalah sekadar lembu-lembuKASI
yang amat setia berbaris
menunggu janji menanti mimpi
sementara para dewa
bermukah di mimbar biara.

-Yassinsalleh
Dis, 12 08, jam 1821.


INFO SUARA PROLITAR

GUNA PENULIS DARI KL
TULIS BUKU MENGENAI NS.

Laporan mengenai Muzium Negeri Sembilan gunakan penulis Kuala Lumpur membuat penyelidikan buku Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau memang memalukan. Kurangkah Negeri Sembilan dengan penulis? Bukankah Negeri Sembilan sudah dua kali memberi anugerah kepada sasterawan Negeri Sembilan? Kenapa tak gunakan khidmat penulis dan sasterawan Negeri Sembilan sendiri. Kalau nak harapkan penulis dari Kuala Lumpur, lebih baik kerajaan Negeri Sembilan tak beri anugerah keapda penulis di Negeri Sembilan. – (SMS; 11 Disember 2008; 14:43:56 – Anak Waris; Rasah, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ULANGKAJI PERIHAL WARGA EMAS:
MEMAKAN MASA HINGGA LEBIH SETAHUN

Sebermula tersebutlah ceritera Orangkaya Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon perihal akan mengkaji Dasar Warga Emas Negara (DWEN). Kononnya kajian itu akan mengambil masa satu tahun untuk disiapkan kerana barangkali terlalulah susah mahu dikaji. Syahdan anak cucu fakir pun berkatalah, kalau susah sangat tak payahlah dikaji-kaji, kerana perkara yang diulangkaji biasanya sudah kita faham segalanya.

Arakian untuk mendalami pemahaman, maka hendaklah dulangkaji atau dikaji-kaji. Adapun perkara orang warga emas itu pada firasat fakir ialah orang tua-tua; orang sudah tua dan sudah bongkok tiga, adanya. Kalau perihal orang yang dituakan atau ketua, tak payahlah dikaji-kaji. Syahdan kadangkala terlalu banyak dikaji-kaji, bimbanglah fakir ianya akan dikeji-keji pula. Sebermula akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad termasuklah orang warga emas, tetapi tak payahlah dikaji-kaji kerana sebelumnya sudah banyak ianya dikeji-keji.

Syahdan maka Dang Raya Rani dengan keempat perempuan sertanya itu pun lenyaplah. Ada kadar sesaat, maka kelihatan seorang perempuan tua, bongkok belakangnya, berlipat tiga, geranganya begitulah warga emas yang dimasudkan. Maka ia berkata pada Tun Mamat, ‘Adapun segala kata-kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani kepada Puteri Gunung Ledang. Akan titah tuan puteri, jikalau raja Melaka hendakkan aku perbuatkan aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka ke Gunung Ledang, mudah-mudahan berlaku kejadian seperti di Bukit Antarabangsa,’ begitulah disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!