Monday, January 26, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

LEPAS JEMBATAN TONGKAT DIBUANG:
PENGUNDI WARGA EMAS TAK KECIL HATI

Assalamualaikum,

Kalau tak dikirim SMS pun, memang saya sudah membaca akhbar ‘Harakah’ dengan berita utama di muka hadapan ‘Melayu Berani Berubah’. Bagaimana pun saya tak cam siapa pengirim SMS berkenaan, sekadar nombornya ialah 019-9563438. ‘Harakah’ sebagai organ PAS, tak hairan sangat apabila ianya dijadikan propaganda parti berkenaan dengan menampilkan segala ‘kebaikan’ belaka, dengan tak dilihat sebarang kritikan. Berbeza dengan akhbar arus perdana menjadi ‘lidah tak rasmi’ kepada UMNO dan BN, hingga pimpinan komponen BN juga diangkat terlalu tinggi. Biarlah! Ironinya, puji-pujian diberikan kepada pengundi-pengundi muda berikutan kemenangan calon PAS dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari 2009 lalu.

Maknanya, pengendali laman web dan blog tak memberi sumbangan dalam pencapaian PAS pada pilihanraya kecil berkenaan. Malah hasil PRU12 pada Mac 2008 juga seolah-olah tak memberi kredit kepada pengendali laman web dan blog. Alhamdullillah! Tetapi rakan-rakan pengendali laman web dan blog tak memerlukan puji-pujian, sebaliknya ia sekadar sumbangan kepada negara. Ketika PRIMA menganjurkan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Ogos 2007 di Yayasan Kepimpinan Perdana, memang wakil PAS dan komponen Pakatan Rakyat ikut sama terconggok. Salah seorang wakil komponan (sekarang dah jadi Exco) pun berpeluang berwacana dengan Tun Dr Mahathir, tapi tunjuk eksyen sikit. Tak apalah!

PRIMA menggerakkan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir, selepas perjumpaan dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Bezanya, pertemuan dengan Tengku Razaleigh secara tertutup di kediamannya, tetapi matlamatnya tetap sama apabila Tun Dr Mahathir mahu berwacana dengan orang ramai. Kedua-dua pertemuan itu diaturkan oleh Raja Petra Kamaruddin dan Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz bagi mewakili pengendali laman web dan blog menerusi aktiviti PRIMA. Selepas PRU12 PRIMA juga menggerakkan siri pertemuan dengan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo yang juga disertai oleh Dato’ Suhaimi Ibrahim (sekarang Setiausaha Politik Perdana Menteri) dan Dato’ Ruhanie Ahmad (terbabit sebagai pengendali laman blog).

Memang undi di hujung jari pengundi-pengundi menentukan keputusan pilihanraya kecil di Kuala Terengganu, tetapi perubahan tersebut bukan sekadar ‘di permukaaan’ sahaja. Misalnya kalau membaca buku autobiografi ‘Tan Sri Abdul Samad Idris’, nikmat kemakmuran Malaysia sekarang tak dicapai semudah macam komponen Pakatan Rakyat yang berlagak selepas dilantik Exco kerajaan negeri. Tan Sri Abdul Samad terpaksa mengharung arus deras Sungai Rajang pada waktu malam menggunakan bot enjin sangkut untuk memujuk ketua-ketua suku kaum dalam pungutan suara PBB. Mungkin sahaja di kalangan pengundi muda yang dipuji-puji itu, pengundi-pengundi warga emas turut membantu hingga mencapai lebih 32,000 undi kepada PAS di Kuala Terengganu. Takkan lepas jembatan, tongkat dibuang heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


SYED NAN DIMASUKKAN KE ICU:
PENGGERAK DI BELAKANG TABIR PRIMA

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia (KPKM) Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah dimasukkan ke wad ICU, tingkat empat Hospital Temerloh sejak semalam (24 Januari 2009), beritahu aktivis sosial di Pahang, L. Mankadir Shamsi. Syed Nor Adnan (Abang Engku) yang juga tenaga di belakang tabir aktiviti PRIMA di Pahang disahkan menghidap penyakit ‘buah pinggang’, tetapi sempat menghubungi sekretariat PRIMA pada sebelah paginya memberitahu keadaan kesihatannya bertambah baik. Bagaimana pun menurut Mankadir, beliau diberitahu oleh keluarga Abang Engku keadaannya kian kritikal dan dikejarkan semula ke hospital. “ADUN Kuala Semantan sudah menziarah petang semalam di wad ICU, tetapi pelawat lain tak dibenarkan,” kata Mankadir.

Seterusnya Mankadir menjelaskan, Abang Engku dalam persiapan mengatur beberapa siri baca puisi menentang PPSMI di Pahang, termasuk yang akan digerakkan di Jenderak Utara, 7 Februari 2009 ini. Siri baca puisi di Pahang akan diadakan di pekan Temerloh sebagai kemuncak, selepas di Jenderak Utara dan di Kampung Mempatih mengikut jadual Abang Engku, kata Mankadir menambah. Sebelumnya memang Abang Engku merancang mengadakan siri baca puisi di kediamannya di Lancang, sebaik sahaja ianya bermula di kediaman Dato’ Kamal Amir di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. “Disebabkan kesihatannya tak mengizinkan, Abang Engku bersetuju ianya dibawa ke Jenderak Utara,’ beritahau Mankadir selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

BELASUNGKAWA KEPADA KELUARGA:
HILANGNYA MUTIARA SASTERA MELAYU

Aktivis sastera dan budaya merasakan pemergian Sasterawan Negara Arenawati sebagai kehilangan mutiara bagi kesusateraan Melayu, kerana karya-karya beliau memang mempunyai sentuhan yang mengangkat martabat Bahasa Melayu, kata bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansur Abdullah. Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Arenawati yang nama sebenarnya Muhammad Abdul Biang, beliau turut melahirkan rasa sedih berikutan berpulangnya ke rahmatullah sasterawan berkenaan hari ini (25 Januari 2009). “Pelajar-pelajar yang pernah menggunakan novelnya sebagai teks sastera SPM seharusnya terhutang budi kepada beliau,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

Di samping terbabit menghasilkan karya-karya sastera, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga pengkaji kesusasteraan Melayu mengakui SN Arenawati antara penngarang yang teguh memegang prinsip. Menurutnya, ketika SN Arenawati ditawarkan berkhidmat dalam sebuah penerbitan dengan imbuhan lumayan, beliau menolaknya dengan sopan kerana tak mahu melukakan hati rakannya yang memberikan ruang untuk beliau berkarya di penerbitannya. Sekalipun beliau sekadar dibayar dengan imbuhan yang jauh lebih rendah, tetapi SN Arenawati tak menjual harga persahabatannya demi mempertahankan prinsip, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. “Justeru, pemergian SN Arenawati adalah kehilangan mutiara dalam persada kesusasteraan Melayu,’ ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.

PUISI

Ku Putar Jarum Arloji

Berikan aku sebutir pasir
& lontarkan ke muka Bush
laksana sepatu Iraq yang menerjah
ke pinggir kota amarah
ku putar jarum arloji -
menukar waktu di Rumah Putih
lingkaran bingkai tembaga &
bayang hitam Guantinamo.

Hulurkan laras M-16
& sangkutkan di bahuku
kita mencari limpahan pasir
di setiap penjuru Gaza
puing-puing runtuhan bangunan
menimpa bayang Ehud Olmert
di celah mimpi ngeri PBB &
kematian tamaddun manusia!

- Dharmala N.S.
Kuala Lumpur.
20 Januari 2009.


INFO SUARA PROLITAR

KESAN TAPAK TANGAN HARIMAU:
SUKAR DISEMBUNYIKAN KEPADA UMUM

Insiden luar biasa memang sukar mahu diterjemahkan kepada masyarakat umum, tetapi tak mampu untuk disembunyikan, menurut Hajjah Safiah binti Jatin, 83 dari Kampung Petaling, Jelebu di Negeri Sembilan. Dalam insiden awal Januari 2009 lalu, Hajjah Safiah diganggu kemunculan seekor ular hitam yang menghilang dalam sekelip mata. Selepas beliau meminta bantuan dari jirannya YM Dato’ Ombi Pangkal Maharajela Kadin bin Kidam iaitu Dato’ Lembaga terkanan di luak Jelebu, memang beliau mengakui raptelia berkenaan sudah membolos keluar menerusi lubang dinding. Bagaimanapun beliau masih tak mampu menyembunyikan insiden, apabila kesan tapak kaki harimau dilihat di tengah rumahnya. Kesan tapak kaki harimau itu seolah-olah tangan sebelah kanan yang jelas berbekas di atas lantai rumah berkenaan.
SOKONG HAPUSKAN PPSMI
CINTAI BAHASA MELAYU!
Assalammualaikum Saudara Abdul Muluk!

Saya amat menyokong pendirian saudara dalam hal ini. Saya amat mencintai BAHASA MELAYU! Bahasa Melayu adalah BAHASA ILMU yang amat mudah untuk rakyat kita memahami! Hapuskan PPSMI!!! Saya tetap menyokong saudara dalam menghidupkan semula kegemilangan Bahasa Melayu. Pemimpin kita sudah alpa dan leka dek kemewahan dan kuasa sampai lupa marhaen di bawah ini. Teruskanlah perjuanganmu demi bangsa ini wahai saudaraku! - (E-mail ; Joyah Sport ; 22 Jan 2009 , 22:38:15)

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

MAHU SEKALIAN MELAYU BERUBAH
BELAJARLAH DARIPADA SERI BIJA DIRAJA

Syahdan Orangkaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perusahaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (dahulunya disebut ia Haji Muhyiddin Yassin) mengingatkan akan harakah Melayu (UMNO) itu supaya berubah segera. Maka terkedu ia gerangannya apabila menyebut harakah Melayu itu telah terlalu ‘parah’. Arakian terfikirlah fakir akan Orangkaya Tan Sri Muhyiddin itu bercakap ketika menyampaikan sumbangan daripada ‘Yayasan Amal Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM), kerana tak berubah kepada yayasan gasing, yayasan wau, yayasan sepak raga atau yayasan yang menjadi kebanggaan Melayu jua. Sebermula semasa melawat ke negeri Arab di Bahrain, berkata juga Orangkaya Tan Sri Muhyiddin itu mahukan sekalian orang Melayu di dalam harakahnya segera berubah, tetapi tak disebut pula perkara yang mahu dilakukan perubahan itu.

Hatta, berapa lamanya maka datang pula orang Siam menyerang Melaka; Awi Dicu nama panglimanya. Maka kedengaran khabar ke Melaka, maka dipersembahkan orang kepada sultan. Maka baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja berlengkap akan mengeluari orang Siam. Seri Bija Diraja dan segala hulubalang sekaliannya dititahkan baginda mengiringkan Bendahara Paduka Raja. Adapun Seri Bija Diraja itu sedia asal Melayu, Tun Hamzah namanya, asalnya daripada muntah lembu; ialah dipanggil Dato’ Bongkok. Apabila berjalan atau duduk, bongkok ia. Serta ia mendengar khabar musuh datang, jadi betul ia, kerana sedia Seri Bija Diraja itu berubah serta merta, disebabkan ia memang asal Melayu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, January 22, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


KALAU DULU ‘BAHASA HAMBA’
SEKARANG MELAYU ‘BAHASA RAJA’

Assalamualaikum,

Hampir tersentak saya apabila diberitahu mengenai seseorang yang tak dikenali dalam persuratan Melayu dikatakan akan mengisi jawatan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Justeru apabila menghubungi beberapa orang kawan, mereka juga turut terpinga-pinga malah menyokong untuk menghantar memorandum kepada kerajaan dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (kerana merasakan sia-sia sahaja berurusan dengan Dato’ Seri Hishamuddin Hussein yang sudah dilabel sebagai pembunuh Bahasa Melayu selagi secara arogan mahu meneruskan pelaksanaan PPSMI). Malah PRIMA tak teragak-agak menghantar memorandum kepada DYMM baginda raja-raja Melayu seperti pernah dilakukan sebelum PRU12.

Sebaliknya apabila dirujuk ke internet, Alhamdullillah pegawai terbabit sebenarnya diletakkan ke agensi lain. Bagaimanapun tak bermakna aktivis persuratan membiarkan sahaja kerajaan membuat keputusan sendiri mengenai pimpinan DBP, sekiranya lantikan tersebut membabitkan kedaulatan Bahasa Melayu. Apalagi kita tak memerlukan individu yang menulis surat berjela-jela mengharapkan pimpinan negara memilihnya menduduki jawatan penting di DBP. Memang kriteria keilmuan diperlukan memimpin DBP, tetapi keberanian mempertahankan martabat Bahasa Melayu juga wajar menjadi prasyarat yang terunggul. Pejuang-pejuang bahasa tetap merindukan kriteria keberanian Tun Syed Nasir Ismail atau Profesor Diraja Engku Aziz pada period 1950-an dan 1960-an dulu.

Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah tak perlu risau dengan kebegaran aktivis bahasa yang mahu memartabatkan Bahasa Melayu seperti ditunjukkan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Mohd Affandi Hassan atau Yahaya Ismail. Malah tak perlu bimbang dengan kesederhanaan Drs A F Yassin, Tengku Alauddin Abdul Majid atau Dato’ A Aziz Deraman yang berpengalaman sebagai pegawai tadbir. Pimpinan politik berketerampilan seperti Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, Dato’ Suhaimi Ibrahim atau Dato’ Ruhanie Ahmad juga tetap mampu meneruskan kesinambungan Tun Syed Nasir dan Prof Diraja Ungku Aziz bagi melestarikan keberanian memartabatkan Bahasa Melayu.

Memperlekehkan Bahasa Melayu seperti kepongahan mereka yang mahu melaksana PPSMI, sukar diterima oleh aktivis bahasa pada setiap zaman termasuk period Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji, Munshi Abdullah mahupun Syed Sheikh al-Hadi, Abdul Rashid Talu, Tan Sri Zaaba, Rahim Kajai, Pak Sako atau Kris Mas, Dato’ Usman Awang dan semua aktivis sastera sekarang. Kalau ‘Bahasa Melayu’ ditakrif sebagai ‘bahasa hamba’ dengan kebanggaan terhadap Bahasa Inggeris, dunia sudah disedarkan oleh hukum karma seorang manusia berketurunan hamba, Barrack Hussein Obama sudah dipilih menjadi Presiden di negara yang pernah menjadi ‘tuan’ kepada bangsanya. Aduhai!

-Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA

KEHANCURAN UMNO SUKAR DIBENDUNG:
NAJIB TERJEJAS PELAN PERALIHAN KUASA

Pelan peralihan kuasa Mac 2009 ini mungkin berhadapan fenomena kehancuran UMNO yang sukar dibendung lagi, beritahui bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengulas isu ramai pimpinan UMNO ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (22 Januari 2009). Siri serbuan yang dibuat SPRM di Maran dan Temerloh di Pahang, di Bruas, Perak dan di Durian Tunggal, Melaka akan menjejaskan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Bagi berlaku adil kepada semua pihak, SPRM juga perlu ke Kubang Pasu, Kedah malah di mana-mana sahaja yang membabit ‘politik wang’ terlalu dahsyat, menurut Dato’ Kamal Amir. “Sekiranya melebihi 50 peratus kes ‘politik wang’ diserbu SPRM, menjelang Mac 2009 UMNO sekadar tinggal sejarah,” jelas Dato’ Kamal Amir menambah.

Beliau seterusnya mengakui siri serbuan yang dilakukan oleh SPRM sekarang lebih dahsyat daripada insiden pengharaman UMNO di mahkamah pada 1987. Katanya lagi, berikutan fenomena sekarang beliau merasakan pelan peralihan kuasa juga turut sukar diramalkan, justeru Mac 2009 perubahan lanskap politik juga akan menjadikan UMNO semakin terdesak. Sebaliknya beritahu Dato’ Kamal Amir, kalau tak dibendung ‘politik wang’ keadaan UMNO juga bertambah teruk, malah ianya membabitkan kepentingan negara kerana kerajaan di bawah pimpinannya. “Bibit-bibit kehancuran UMNO bukan disebabkan parti berkenaan sudah tak relevan, tetapi kerana kebobrokan pimpinan yang semakin parah,” menurut Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

ARUS DERAS SUNGAI JERANTUT
MENUNGGU TAMU DEKLAMASI PUISI

Penggiat puisi akan berkampung di Felda Jenderak Utara perkampungan peninggalan Mat Kilau di pinggir Sungai Jerantut 7 Februari 2009 ini sebagai satu manifestasi menyampaikan mesej rakyat menentang perhambaan minda apabila kerajaan berdegil mahu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Pengerusi penyelarasnya L. Mankadir Shamsi memberitahu, Jerantut dan Semantan sentiasa menunggu tamu deklamasi puisi sebagai langkah menyampaikan mesej secara berhemah, bagi mengingatkan kerajaan isu PPMSI bukanlah perkara remeh temeh. “Apabila deklamasi puisi di Pasir Salak terpaksa ditangguhkan, getar suara rakyat akan diteruskan secara berkesinambungan di Jerantut dan Semantan seperti sejarah di masa lalu,” beritahu Mankadir.

Pendeklamator yang akan terbabit dalam ‘Getar Arus Sungai Jerantut’ ini termasuk Dato’ Dr M. Ashikin, Dato’ Kamal Amir, Yassinsalleh, Dr Seri Intan, Yasleh Rita Ayu, Suhaimi Said, Zainal Rasidin, Datin Rozie, Zakaria Bidin, Dharmala N.S. dan beberapa lagi yang akan memberitahu kemudian. Seterusnya Mankadir menjelaskan, puisi-puisi yang dideklamasikan akan dijadikan antologi selaras dengan suara ‘Getar Arus Sungai Jerantut’ di kalangan prolitar yang menentang PPSMI. Pemilihan Felda Jenderak Utara menjadi lokasi perkampungan penggiat puisi adalan simbolik kepada bumi kelahiran Mat Kilau yang mencetuskan gerakan menentang campur tangan Inggeris pada 1891. “Kalau Mat Kilau menjadikan arus Sungai Jerantut aspirasi perjuangan, maka penggiat puisi akan menggunakan ilham daripada getar sungainya,” kata Mankadir.

Sementara itu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz juga tak menolak kemungkinan Pahang akan dijadikan lokasi meneruskan aspirasi melonjakkan perjuangan melawan PPSMI melalui deklamasi puisi. Sepanjang Februari 2009, deklamasi puisi akan digerakkan di Pahang dengan semangat Dato’ Bahaman, Tok Gajah Imam Rasu, Mat Kilau, Panglima Mansor Orangkaya Chenor, Panglima Haji Orangkaya Jelai, Pak Sako, Dato’ Abu Samah atau Mohd Yassin Salleh (bukan penyair Yassinsalleh). Menurut Dato’ Kamal Amir selepas di Semantan (Mempatih), deklamasi puisi akan digerakkan di Jerantut dan di Temerloh. “PRIMA menyambut saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu kita perlu menyampaikan mesej,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


PENA AKAN GEGARKAN PUISI
HAK ASASI MANUSIA DI PALESTIN

Bekas Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena) penyair Sutung Umar Rs memberitahu deklamasi puisi menampilkan isu hak asasi manusia akan digerakkan di Rumah Pena berdekatan DBP pada 1 Februari 2009 ini. Aktivis bahasa dan penggiat puisi dijemput hadir sekalipun bukan ahli Pena, katanya ketika ditemui digerai teh tarik Taman Sri Gombak malam semalam (21 Januari 2009). Sutung Umar antara penyair tersohor dekad 1980-an pernah bertugas sebagai editor di DBP, di samping editor sastera di Berita Harian, apabila dilantik menjadi Setiausaha Agung Pena. “Bumi Palestin dihancurkan oleh regim Zionis, kita harus terpanggil bagi menyampaikan simpati kepada mereka yang tak berdosa menjadi mangsa,” kata Sutung Umar.

Bagaimanapun penyair Yassinsalleh memberitahu sepatutnya Pena lebih peka kepada isu PPSMI daripada hak asasi manusia di Palestin yang sudah diperjuangkan oleh seluruh masyarakat antarabangsa sekarang, termasuk juga Presiden Amerika yang baru Barrack Hussein Obama. Ketika seluruh dunia bersimpati denga kemusnahan di Palestin, siapa pula yang mahu bersimpati dengan kehancuran Bahasa Melayu akibat kepongahan para pimpinan UMNO sekarang, ujar Yassinsalleh. Seterusnya beliau memberitahu, sekalipun penyair-penyair dan aktivis persuratan bersimpati dengan rakyat Palestin, tetapi simpati itu perlu dilebihkan lagi kepada rakyat Melayu. “Kita tak mahu Melayu menjadi bangsa yang terus bersikap hanya kera di hutan disusukan, anak dipangku diletakkan,” menurut Yassinsalleh lagi.


PUISI


Stadium Bukit Jalil

Syahdan tersebutlah
kisah di suatu ketika
betapa merimpahruahannya
Stadium Bukit Jalil
dibanjiri ratusan ribu
apa yang dikatakan
para penentang perang
terpekik terlolong mengutuk
Bush, Amerika yang melancarkan
perang terhadap Iraq, Saddam.

Dan berhiburlah
mereka seisi stadium
dengan dendangan Siti Nurhaliza
dan sesudah itu seluruhnya
menyepi & bisu
bagaikan sunyinya
Stadium Bukit Jalil yang kosong
makanya Saddam
sendirian bersembunyi
di dalam lubang cacing.

Arakian kini,
saban hari saban ketika
berbondong-bondonglah
gerombolan peniup nafiri
melaungkan simpati
terhadap wargaGAZA
bergelimpangan mati
dalam temasya Zionis
mengucapkan selamat pergi
kepada Bush dan meghamparkan
permaidani yang diwarnai
darah kanak-kanakGAZA
menyambut ketibaan Barrack Obama.

Bagaikan gema
Kuala Terengganukah pula
kali ini sorak sorai itu
terhenti bagaikan
lumba TENGKUJUH
yang kematian angin!

-Yassinsalleh
UPM, Selangor.
Jam 22:39
20 Jan 09



INFO SUARA PROLITAR


PENDIDIKAN TINGGI DI NEGARA JIRAN
MENDAPAT PERHATIAN AKTIVIS PRIMA

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz bersama isterinya Datin Rozie akan ke Medan penghujung Januari 2009 ini bagi menghadiri majlis konvokesyen adik iparnya di institusi pengajian tinggi di negara jiran itu. Beliau memberitahu adik iparnya menerima ijazah pengajian Islam dari universiti di Medan, setelah menamatkan pengajian baru-baru ini. Dato’ Kamal Amir akan berada di Medan sehingga 29 Januari 2009 bag menghadiri upacara konvekesyen berkenaan. Sebelum ini bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor mengadakan lawatan ke Universitas Andalas di Limau Manis, kota Padang, Sumatera Barat bersama isterinya Datin Amelia. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor lawatan tersebut sebagai bertukar-tukar pendapat dengan kalangan akademik di universitas berkenaan.


PELANTIK FIRDAUS KE KERUSI SENATOR
RUANG BAGI K’JAAN FIKIR CALON KP DBP

Tahniah kepada bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr Firdaus Abdullah yang dilantik menjadi Ahli Dewan Negara semalam (21 Januari 2009). Bagaimanapun kalangan aktivis persuratan mahupun kebudayaan tak banyak menaruh harapan dengan pelantikan tersebut apabila menelusuri peranan beliau selaku Ketua Pengarah DBP gagal memberikan signal mengenai penentangan rakyat terhadap PPSMI. Justeru pelantikan Dato’ Dr Firdaus tak dilihat sebagai satu penghargaan kepada golongan penyair dan sasterawan, sebaliknya memberi ruang kepada kerajaan memikirkan bakal pengganti beliau di DBP. Mudah-mudahan nama aktivis budaya seperti Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Dato’ Tengku Alauddin Abdul Majid, Dato’ A Aziz Deraman, Drs Mohd Fadzil Yassin atau Mohd Affandi Hassan akan dipertimbangkan oleh kerajaan.


MAKLUM BALAS LINTAHBERTULANG
DIKIRIM TERUS KE BLOG PRIMA

OLEH:lintahbertulang

-Agaknya apalah lagi cara untuk membanteras gejala ...Agaknya apalah lagi cara untuk membanteras gejala mat rempit yang tak pernah sunyi dari menghiasi kesunyian malam-malam kita? Kemalangan yang melibatkan mereka rupa-rupanya tidak memberi apa-apa kesan mendalam dalam 'jiwa' rempit mereka sehingga nyawa dah tak penting bagi mereka. Sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa pun masih ada yang bolos. Apakah kesudahannya mat rempit di negara kita?

- Hanya satu perkara yang boleh menyelamatkan UMNO dari kekalahan iaitu hapuskan politik wang secara total dengan buka siasatan ke atas pemimpin UMNO...

-Salam... Sebelum ini PBB yang berpusat di New York...- Salam... Sebelum ini PBB yang berpusat di New York hanyalah sebuah pertubuhan dunia yang menjadi 'hiasan' yang seolah-olah tidak membuat apa-apa tindakan ke atas perlakuan dunia. Ia seperti tempat rundingan yang tiada kesudahan. Maka wajarlah jika ia dipindahkan ke negara lain kerana sebelum ini ia hanya menjadi kuda tunggangan US yang kononnya 'sheriff' dunia...


KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

SEKALIAN ORANG BANYAK MENUNGGU:
JANJI BEKAS KETURUNAN HAMBA KULIT HITAM

Syahdan sekalian orang banyak berharap ketua kerajaan negeri atas angin Barrack Hussein Obama itu boleh mewujudkan ‘hala tuju baru’ dalam hubungan dengan dunia Islam. Sebermula akan Barrack Hussein Obama berjanjilah ia akan menutup penjara di Teluk Guantanamo. Arakian segala kejadian itu tak pula menjadi iktibar kepada sekalian anak Melayu perihal anak keturunan hamba kulit hitam di negeri atas angin berjaya ia menjadi pemerintah di negara ‘tuannya’. Maka perihal itu sudah lama diketahui oleh sekalian hamba Melayu iaitu Qutubuddin Aibak seorang hamba abdi menjadi raja di Delhi, India pada 1206 Masehi. Syahdan Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini 25 Muharam 1430 (22 januari 2009) tertunggu-tunggu juga akan janji Barrack Hussein Obama itu, adanya.

Sstelah berapa lamanya, datanglah peredaran dunia; maka Sultan Mansor Shah pun geringlah. Telah diketahuinya oleh baginda dirinya akan kembali, maka baginda menyuruh memanggil anakanda baginda Raja Hussein dan bendahara dan segala orang besar-besar. Telah datang sekaliannya, maka titah Sultan Mansor Shah pada segala mereka itu, ‘Ketahuilah oleh kamu sekalian, bahawa dunia ini telah lepaslah rasanya daripada kami, melainkan negeri akhirat semata-mata yang ku hadap. Adapun pertaruhku anak kita Hussein kepada bendahara dan segala orang besar-besar; iaitu ganti kita pada tuan-tuan sekalian. Jikalau barang suatu salahnya, hendaklah dimaafkan oleh tuan-tuan sekalian.’ Maknanya, peringatan kepada sekalian hamba Melayu akan menjadi ketua itu tak akan kekal selama-lamanya seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:










HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, January 21, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

Assalamualaikum,

LANGKAH GENCATAN SENJATA ISRAEL:
BUSH TAK BERKUASA DI RUMAH PUTIH

Kepongahan Ehud Olmert melancarkan serangan ke atas Gaza sejak 27 Disember 2008, adalah mencari kesempatan dengan tempoh kekuasaan George W Bush di Rumah Putih sehingga hari ini (20 Januari 2009). Justeru apabila ‘keldai peliharaan’nya Bush tak berkuasa lagi di Rumah Putih, regim Zionis pun mengambil langkah mengadakan ‘gencatan senjata’. Dengan langkah menguatkuasakan gencatan senjata selepas kejayaan membunuh orang awam Palestin ‘beramai-ramai’, sekalipun tewas kepada serang balas Hamas, regim Zionis sengaja mendabik dada menerusi propaganda terancang bagi memelihara moral negaranya

Bilangan besar kemusnahan pihak Israel yang disokong Amerika Syarikat, bukan sahaja tak menjejaskan Hamas, malah kedua-dua ‘bangsat’ itu dikutuk oleh masyarakat antarabangsa. Hari ini (20 januari 2009) Israel terpaksa menguatkuasakan gencatan senjata berikutan tamat tempoh penggal perkhidmatan Bush di Rumah Putih, kerana perjuangan panjang akan melebarkan lagi kemusnahan bagi pihak Tel Aviv. Kejayaan Israel hanya memusnahkan prasarana dan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam, tetapi adalah mustahil 13 orang sahaja pihak Yahudi terkorban termasuk tiga orang awam dalam tempoh 22 hari bertempur. Propaganda Yahudi dan AS menunjukkan mereka menang, tetapi hakikatnya mereka mengalami kekalahan fizikal dan mental.

Laporan akhbar ‘The Observer’ di London semalam (19 Januari 2009) juga mengakui rejim Zinois berkenaan gagal membebaskan tenteranya, Gilad Shalit yang ditawan oleh Hamas yang menjadi punca serangan dilancarkan. Apalagi pimpinan Hamas, Ismail Haniyeh turut mengakui pihaknya sebagai ‘kemenangan hebat’, sekalipun agensi berita Yahudi melaporkan 1,300 rakyat Palestin terbunuh di Gaza. Sebaliknya seorang Ahli Parlimen Israel, Yisrael Katz secara terbuka semalam (19 Januari 2009) mengakui beratus-ratus tentera Yahudi terbunuh dan tercedera dalam pertempuran 22 hari itu. Logiknya, Yahudi tak akan menghentikan serangan kalau sekadar ‘keldainya’ Si Bush tamat tempoh perkhidmatan, tetapi kemusnahan tenteranya mendorong mereka segera menghentikan serangan.

“Israel tak mencapai matlamatnya dalam pertempuran yang mengakibatkan ratusan askar Israel cedera,” beritahu Katz kepada agensi berita AFP. Kehancuran moral regim Zionis di Israel menambahkan lagi kebangsatan George Bush yang meninggalkan Rumah Putih sebagai ‘kutu belahak’ yang tak berguna. George Bush tak akan dikenang seperti keperihalan George Washington, Abraham Lincoln atau John F Kennedy, tetapi diingat dengan insiden ‘kasut terbang’ di Iraq. Pemulauan barang-barang keluaran AS mungkin sahaja tak membawa banyak implikasi kepada pembangunan ekonomi negara berkenaan, tetapi pemindahan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari New York ke negara lain lebih bermakna kepada keamanan dunia. Apalagi AS tak layak menjadi lokasi ibu pejabat PBB dengan rekod jenayah perangnya lebih dahsyat daripada Jerman mahupun Jepun pada dekad 1940-an.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

TREND PEMIKIRAN PENGUNDI MUDA:
TAK MENYUMBANG KEKALAHAN UMNO

Kekalahan UMNO dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari 2009, bukan disumbangkan oleh trend pemikiran pengundi muda, sebaliknya kebobrokan UMNO yang sukar dibendung, menurut bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, adalah tak munasabah dalam tempoh tak sampai setahun daripada tarikh PRU12 (8 Mac 2008), trend pemikiran tersebut mampu mengubah senario politik sekarang. Kalau pada PRU12 UMNO menang di Kuala Terengganu menerusi pengundi yang sama, justeru tak perlu menyalahkan pengundi muda dengan kekalahan yang dialami akibat kebobrokan UMNO yang teruk. “UMNO menyangka propaganda media arus perdana dan mencurahkan peruntukan berjuta-juta ke Terengganu mampu dilestarikan, tetapi taktik berkenaan sudah ketinggalan masa,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya beritahu Dato’ Kamal Amir, UMNO perlu membawa pendekatan baru menerusi propaganda berhemah, menghapuskan ‘politik wang’ dengan pemborosan ketara dan tak membodohkan orang Melayu, kalau mahu terus dihormati. Calon UMNO Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh juga bukanlah menyumbangkan kepada kekalahan tersebut, sebaliknya UMNO dikalahkan oleh bayang-bayangnya sendiri menerusi siri propaganda melaga-lagakan komponen pihak lawan. Kata Dato’ Kamal Amir lagi, mesej amat jelas ditujukan kepada pimpinan UMNO sekarang sama ada mahu berundur secara terhormat atau di’sejarah’kan oleh bangsa Melayu. “Perubahan politik sekarang semakin ketara iaitu calon menjadi pilihan bukannya parti, kerana yang melakukan kesalahan ialah ‘orang’ bukannya ‘parti’,” kata Dato’ Kamal Amir menambah.

PENAMPILAN ‘MAT REMPIT’ KAMPUNG:
‘ANAK MUDA’ BUAT WARGA EMAS BENGANG

Lumba haram yang dipopularkan ‘Mat Rempit’ bukan sahaja membingungkan pasukan polis di kota, malah membengangkan warga emas di desa, beritahu Pakcu Roseli Deraus, 60 dari Jelebu, Negeri Sembilan. Memberitahu sekretariat PRIMA, Pakcu Roseli kecewa dengan gelagat anak-anak muda terbabit dengan lumba haram di daerah ini. Katanya, ‘Mat Rempit’ terbabit memilih malam Ahad iaitu melewati jam 12 malam, bagi setiap perlumbaan haram bermula di Bukit Tangga hingga ke Kampung Chennah melalui pekan dan balai polis Kuala Kelawang. “Bagaimanapun tak diketahui sama ada mempunyai pertaruhan atau tidak, tetapi memang merunsingkan warga emas dengan gelagat anak muda Melayu sekarang,” beritahu Pakcu Roseli.

Sementara di Batang Berjuntai, Selangor dilaporkan ‘Mat Rempit’ mengadakan lumba haram di kawasan estet kelapa sawit yang turut membabitkan pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi swasta berdekatan. Menurut sumber penduduk di sini, lumba haram terbabit memang mempunyai pertaruhan termasuk juga wang dan ganja setiap kali ‘Mat Rempit’ itu mengadakan perlumbaan. Kata mereka, lumba haram tersebut dijalankan pada waktu malam dengan lokasinya di jalan tak berturap minyak tar di tengah kawasan estet kelapa sawit. Pembabitan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi swasta dalam aktiviti ‘Mat Rempit’ mudah dikesan, apabila dilaporkan beberapa insiden kemalangan jalanraya dilaporkan berlaku berhampiran estet terbabit. “Anak-anak muda ‘Mat Rempit’ merasakan nyawa sudah tak berharga lagi,” menurut seorang penduduk tempatan.

INFO SASTERA & BUDAYA

BACA PUISI PASIR SALAK DITUNDA:
PROTES PPSMI TETAP AKAN DITERUSKAN

Majlis deklamasi puisi di Pasir Salak yang dijangka 24 & 25 Januari 2009 ditunda tarikhnya ke satu masa yang belum ditetapkan, berikutan masalah teknikal beritahu penyelarasnya Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) semalam (19 Januari 2009). Bagaimanapun Pak Ya tak memberitahu masalah tenikal berkenaan, sebaliknya pihak penganjur sendiri meminta ianya ditangguhkan. Sebelum ini deklamasi puisi berkenaan yang dinamakan penganjurnya ‘SimfoniPUISI Pasir Salak’ dengan kerjasama PRIMA sudah menghubungi rakan-rakan penyair bagi menjayakannya. Majlis berkenaan yang disasarkan sebagai mesej dalam menentang PPSMI sudah menerima respons rakan-rakan penyair yang peka dengan isu yang menjejaskan kedaulatan Bahasa Melayu.

Justeru hari ini (20 Januari 2009) pihak sekretariat penyelenggara majlis deklamasi berkenaan, Yassinsalleh menghubungi PRIMA menyampaikan keputusan tersebut bagi pihak penganjur. Yassinsalleh dalam SMS kepada sekretariat PRIMA menjelaskan, “SimfoniPUISI Pasir Salak ditunda ke tarikh lain. Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa pihak penganjur majlis tersebut di atas telah memutuskan menunda majlis itu ke tarikh lain yang belum ditentukan. Oleh yang demikian majlis yang asalnya dijadualkan pada 24 & 25 Januari 2009 telah dibatalkan. Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Bagi pihak penganjur kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan kesediaan saudara untuk bersama menjayakan majlis itu. Kami juga memohon maaf di atas sebarangn kesulitan yang timbul kerananya.”

Sementara itu aktivis budaya di Pahang L Mankadir Shamsi memberi jaminan protes terhadap pelaksanaan PPMSI tetap akan diteruskan, sekalipun Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein memberitahu ianya akan ditangguhkan kepada tahun depan. Kata Mankadir, penangguhan baca puisi di Pasir Salak tak bermakna segalanya sudah berakhir, kerana di Semantan suara rakyat tetap bergema. Beliau seterusnya menambah, penangguhan di Pasir Salak akan menjadi simbolik dengan kebangkitan di Semantan apabila Dato’ Maharajalela gugur pada 1876 ianya disambut oleh penampilan Dato’ Bahaman pula pada 1891. “Kita akan membawa majlis baca puisi ke Semantan sebagai manifestasi rakyat yang terus berkesinambungan meneruskan perjuangan,” Mankadir menjelaskan seterusnya.

INFO SUARA PROLITAR

ANAK BEKAS WARTAWAN DI IJN:
SIMPATI RAKAN PENULIS & BLOGGER

Anak bekas wartawan Hussein Yaakob yang juga pengendali laman blog Hashim Hussein Yaakob http://www.bigdog.blogspot.com/ dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak 17 Januari 2009, kata aktivis masyarakat Sallehuddin Hashim. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Sallehuddin memberitahu Hashim selamat menjalani pembedahan tetapi dimasukkan ke ICU pada 17 Januari 2009, berikutan tekanan darahnya (H/P) turun. Bagaimanapun menurut Sallehuddin, pengendali laman blog itu tetap ceria malah bersemangat untuk menulis di samping melestarikan laman blognya. “Namun dia kelihatan agak bertenaga dan tetap bersemangat, dan petang dipindahkan ke HDU bagi rawatan rapi,” kata Sallehuddin menambah selanjutnya.

Hashim yang lebih dikenali dengan ‘Prof’ turut meminta rakan-rakan pengendali blog mendoakan beliau semoga segera sembuh. Bagaimanapun Sallehuddin bagi pihak keluarga Hashim menggesa rakan-rakan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarganya. Sallehuddin juga berharap rakan-rakan blogger dapat meluangkan masa untuk menziarahinya di wad IJN, bagi memberi semangat kepadanya ketika berhadapan cabaran getir sekarang. “Saya menyeru rakan-rakan sudi menghulurkan bantuan kepada Hashim, di samping mohon doa rakan-rakan penulis dan blogger,” jelas Sallehuddin yang sempat menziarahi Hashim di IJN pada 18 Januari 2008. Mereka yang ingin memberi sumbangan kepada Hashim bolehlah menghubungi blog ‘bigdog’ atau terus menelefon Sallehuddin di talian 013-3022 627.

PERSAINGAN GOLONGAN MUDA & TUA:
TANAH PERKUBURAN YANG JADI MANGSA

Trend pemikiran yang membawa persaingan antara golongan muda dan tua, bukan sahaja membabitkan senario politik apabila pengundi-pengundi muda menolak gerakan politik konvensional, malah terikut-ikut di kalangan masyarakat. Di daerah Jelebu, Negeri Sembilan misalnya pengurusan tanah perkuburan Islam di Kampung Bacang Manting turut menjadi mangsa persaingan trend pemikiran ini, apabila golongan muda yang menguasai pengurusan memutuskan arah kiblat sebelum ini tak menepati kompas yang ditetapkan oleh pejabat agama. Berikutan keputusan tersebut berlaku insiden penggali kubur enggan meneruskan kerja-kerjanya pada Ogos 2007 lalu, kerana dianggap berlawanan dengan arah kiblat yang diguna pakai di tanah perkuburan yang sudah diasas pada 1820-an. Arah kiblat yang ditetapkan oleh golongan muda menyerong 15 darjah dari petunjuk arah kiblat sebelum ini.

Sepuluh tahun sebelum ini berlaku juga kekecohan mengenai arah kiblat bagi Masjid ar-Rahimah di Taman Greenwood, Gombak apabila golongan muda mempertikai arah kiblat masjid yang sudah dibina lebih 10 tahun sebelum berdasarkan petunjuk arah kiblat yang diluluskan oleh Majlis Agama Islam Selangor. Justeru berdasarkan permuafakatan golongan muda, arah kiblat Masjid ar-Rahimah diserongkan 9 darjah ke kiri apabila ianya digunakan kompas yang lebih tepat. Kononnya! Bagaimanapun pakar meteorologi juga mengakui peredaran cakerewala akan berubah, tetapi tak bermakna arah kiblat turut berubah. Dengan peredaran cakerewala berubah tak semestinya petunjuk arah kiblat berasaskan kepada kedudukan matahari seperti keperihalan tanah perkuburan Islam di Kampung Bacang Manting di Jelebu, diserongkan ke kanan hingga 15 darjah.

Peredaran cakerawala boleh dikesan kepada kedudukan matahari di lokasi Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor apabila bayang rumah di Jalan SG 9/1 akan memanjang menutupi jalan dalam tempoh tiga bulan iaitu Oktober membawa kepada Disember setiap tahun. Bayang berkenaan akan memendek pada Januari hingga April menyebabkan jalan berkenaan terdedah kepada cahaya matahari, tetapi akan kembali sederhana pada Mei membawa kepada September iaitu sebahagian sahaja jalan tersebut ditutupi bayang rumah. Fenomena berkenaan mungkin kurang diselusuri oleh golongan muda terbabit sekalipun mereka memang peka dengan kepentingan agama. Sebaliknya apabila berlaku perpecahan di kalangan masyarakat dengan trend pemikiran yang terlalu ekstrim, ianya memerlukan pendekatan yang lebih rasional. Barangkali!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MASALAH IKTISAD & PERALIHAN KUASA:
PERGILAH ORANGKAYA KE NEGERI ARAB

Sebermula pergilah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke negeri Arab iaitu Baharin kerana mahu mempertingkatkan perdagangan. Bertemulah Orangkaya Dato’ Seri Abdullah dengan Putera Mahkota negeri itu, Sheikh Salman Hamad Isa al-Khalifa kerana urusan perdagangan, ketika masalah iktisad di dunia kian sukar, khabarnya! Syahdan kelihatan juga Orangkaya Menteri Luar Dato’ Seri Rais Yatim ikut sama dalam rombongan perdagangan; apalagi tersebutlah Orangkaya Menteri Perdagangan Antarabangsa Tan Sri Muhyiddin Yassin khabarnya ke negeri Arab itu. Arakian tinggallah Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meratapi kekalahan harakah Melayu (UMNO) dalam pilihanraya di Kuala Terengganu 21 Muharam 1430 (17 Januari 2009) yang lalu.

Syahdan maka Raja Muhammad diserahkan baginda pada Seri Bija Diraja, disuruh rajakan di Pahang. Maka Tun Hamzah menantu Seri Amar Diraja, digelar baginda Seri Amar Diraja, maka dijadikan bendahara Pahang dan diberi yang layak jadi penghulu bendahari, dan yang patut jadi temenggung, maka itulah yang dinamakan peralihan kuasa pada masa itu, adanya. Telah itu maka Seri Bija Diraja kembali ke Melaka. Maka negeri Melaka makin makmurlah, masyhorlah peri kebesaran Melaka itu dari atas angin datang ke bawah angin. Sebermula oleh segala Arab dinamainya Malakat, tempat perhimpunan segala dagang. Adapun zaman itu sebuah negeri pun tiada menyamai Melaka, melainkan Pasai dan Haru, tiga buah negeri itu juga sama besarnya. Oleh itu tiadalah ia berlaku peralihan kuasa, kerana ia berdagang dengan negeri Arab seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:











HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, January 17, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


SOLAT HAJAT UMAT ISLAM
ISU PALESTIN MENCEMAR KESUCIAN

Assalamualaikum,


Sudah berturut-turut Jumaat hari ini (16 Januari 2009), jemaah setia di Masjid al-Khairiyyah, Taman Seri Gombak mengadakan solat hajat selepas selesai solat Jumaat bagi memohon pertolongan Allah SWT menyelamatkan umat Islam Palestin. Memang tak diberi sebarang publisiti kerana solat hajat di samping derma yang dihulurkan wajar dilestarikan ‘tangan kanan memberi, tangan kiri juga tak tahu’. Begitulah! Keberangan umat Islam terhadap Israel sekadar disampaikan menerusi mesej, disebabkan buat masa sekarang ‘hari dia’ yang diperkuatkan dengan senjata dan militan Amerika Syarikat (AS). Justeru isu Palestin perlu dilihat sebagai lanjutan ‘Perang Salib’ Salehhuddin al-Ayubi, bukan sekadar berkaitan politik al-Fatah dan Hamas!

Dana membantu rakyat Palestin terutama perubatan, kemanusiaan dan pakar-pakar kedoktoran seperti digerakkan oleh Mercy Malaysia atau Aman Malaysia, adalah perkara yang berbeza daripada solat hajat. Bantuan secara fizikal memang berbeza dengan yang berbentuk spritual, malah tak kelihatan di media massa, publisiti atau hurah hurah hurah! Justeru sumbangan jemaah Masjid al-Khairiyyah berturut-turut Jumaat mengadakan solat hajat tak diketahui oleh penduduk Palestin mahupun PBB. Mudah-mudahan Ehud Olmert atau George W Bush (satu ketika dulu tercekik biskut) akan mengulangi pula nasib Ehud Barak yang berbulan-bulan koma dalam keadaannya ‘hidup segan mati tak mahu’. Insya Allah!

Apabila bakal Presiden AS pertama daripada kulit hitam Barrack Hussein Obama mendakwa Osama Laden masih musuh nombor satu negaranya, umat Islam juga harus mengambil pendekatan bersama AS dan Yahudi adalah musuh nombor satu umat Islam. PBB juga tak boleh diharapkan selagi sekretariatnya berpusat di AS, kerana negara Yahudi itu sendiri diwujudkan oleh PBB menerusi Resolusi 181 pada November 1947. AS dan PBB seolah-olah mahu memaksa negara-negara Islam mengiktiraf Israel, justeru gerakan ketenteraan disasarkan kepada Iraq dan Afghanistan bagi menakut-nakutkan umat Islam. Apalagi Mahmoud Abbas yang kalah dalam pilihanraya Palestin dijadikan boneka Yahudi dan AS di Palestin yang kononnya mahukan perdamaian. Bagi Yahudi dan AS, perdamaian ialah mematuhi segala kemahuan mereka dengan menjadikan Mahmoud Abbas boneka di Palestin.

PILIHANRAYA KECIL KUALA TERENGGANU
TERUSKAN ‘PILIH CALON BUKAN PILIH PARTI’

Pengundi-pengundi dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu wajar untuk meneruskan motto bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu pilih calon bukan pilih parti. Sebelum PRU12 lagi Tun Dr Mahathir sudah mengingatkan rakyat Malaysia supaya memilih calon bagi memastikan mereka diwakili oleh pimpinan yang perihatin dengan masalah rakyat. PRIMA menyokong mesej yang disampaikan oleh Tun Dr Mahathir, bagi mengajak pengundi-pengundi keluar dari kepompong ‘kebangsatan’ di samping menolak perhambaan minda. Justeru pengundi-pengundi tak perlu terikat dengan sumbangan UMNO di masa lalu, kalau calonnya tak mencerminkan perjuangan UMNO yang diasaskan untuk kepentingan Melayu.

Langkah mencurahkan peruntukan ke Terengganu yang diklasifikasikan bukan rasuah atau bertujuan memancing undi, sebaliknya sudah dirancang beberapa tahun sebelum ini adalah jelas meneruskan tradisi ‘perhambaan minda’. Rakyat di Sarawak yang diganggu bencana banjir, lebih wajar diberikan peruntukan sekarang berbanding Terengganu. Atau peruntukan tersebut boleh disalurkan sebelum pilihanraya kecil, kerana pimpinan UMNO sendiri menyedari ‘rasuah politik’ hampir memusnahkan mereka. Tun Dr Mahathir turut mengakui hanya dengan RM200 seorang disogokkan kepada perwakilan di Bahagian Kubang Pasu, beliau sekadar memperoleh undi kesembilan bagi memenuhi kouta tujuh delegasi untuk ke Perhimpunan Agung UMNO. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

BABI MASUK KE KAWASAN MASJID
RAHSIAKAN SUPAYA TAK TERSEBAR

Umat Islam yang mencari perlindungan di masjid ketika berhadapan mala petaka, tetapi melupakan semula selepas terlepas bencana dianggap lebih teruk daripada regim Zionis di Israel, kata pendakwah Ustaz Rizal ketika menyampaikan tazkirah sebelum solat Jumaat di Masjid al-Khairiyyah, Taman Seri Gombak hari ini (16 Januari 2009). Serentak dengan itu beliau menarik perhatian kepada insiden yang berlaku di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini apabila babi memasuki masjid berikutan spesies haiwan berkenaan terancam oleh pembangunan di persekiataran. “Babi pun tahu mencari perlindungan di masjid ketika spesiesnya terancam, menyebabkan orang ramai menjadi panik dengan kehadiran haiwan itu,” beritahu Ustaz Rizal.

Beliau mendedahkan isu babi masuk ke masjid sekalipun cuba dirahsiakan oleh pihak jawatankuasa masjid terbabit, bagi menjadi iktibar kepada umat Islam yang berebut-rebut ke masjid ketika berlaku malam petaka. Menurutnya, selepas tragedi tsunami banyak masjid di Selangor terutama sekitar Shah Alam menjadi tumpuan untuk beribadat, tetapi sekarang suasana di masjid-masjid kembali seperti sebelum tragedi tsunami, ujar beliau menambah. Seterusnya dengan tragedi pencerobohan regim Zionis ke Gaza sekarang, masjid menjadi tumpuan umat Islam bagi mengadakan solat hajat di samping mengutip dana membantu Palestin. “Janganlah selepas keadaan di Palestin reda, umat Islam kembali rileks dan tak pedulikan lagi masjid,” menurut beliau selanjutnya.

HASSAN ALI PIMPIN QIAMULAIL
JEMAAH DIGESA KE MASJID 4 PAGI

Exco Selangor Dato’ Haji Hassan Mohd Ali memimpin qiamulail di Masjid al-Khairiyyah dengan mengajak jemaah ke masjid mulai jam 4.00 pagi, Sabtu 17 Januari 2009. Beliau seterusnya memberikan kuliah subuh kepada jemaah sebagai gerakan memakmurkan masjid yang sebelumnya didominan oleh pimpinan UMNO. Dato’ Haji Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) kawasan Gombak Setia mengambil inisiatif turun padang menggerakkan qiamulail di masjid berkenaan. Bagaimanapun menurut bekas nazir masjid terbabit Haji Ahmad Radzi, aktiviti bagi memakmurkan masjid memang menjadi agenda terancang apabila pembinaan masjid siap dilaksanakan pada 2006. Program qiamulail, kuliah subuh, tazkirah Jumaat dan semua majlis ilmu digerakkan secara tersusun di Masjid al-Khairiyyah.

MENGALAMI GANGGUAN MINI-STROK
ABANG ENGKU DIMASUKKAN KE HOSPITAL

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku) dimasukkan ke Hospital Daerah Mentakab akibat gangguan mini-strok semalam (15 Januari 2009), kata aktivis sosial di Pahang L. Mankadir Shamsi. Abang Engku yang sentiasa bersama aktiviti PRIMA sebelum ini menelefon sekretariat yang mengakui beliau terjatuh di rumahnya di Lancang. Bagaimanapun Abang Engku dibenar pulang selepas menerima rawatan beberapa hari. Sebaliknya kata Mankadir malam ini (16 Januari 2009) beliau dihubungi oleh isteri Abang Engku memberitahu ia dimasukkan semula ke hospital. Disebabkan Mankadir masih di Kuala Terengganu membantu calon PAS dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, beliau masih belum tahu lagi mengenai perkembangan Abang Engku.

INFO SASTERA & BUDAYA:

DALAM MELESTARI PIMPINAN DBP
JAUHKAN BUDAYA BURUNG TEKUKUR

Struktor pembangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sekadar mahukan identiti Melayu menjana keperkasaannya, malah perlu dilestarikan dalam pimpinannya di samping menjauhkan ianya dikuasai ‘budaya burung tekukur’. Golongan yang dianggap antagonis budaya sebenarnya mempunyai kecintaan yang besar terhadap pembangunan Bahasa Melayu seperti pernah dilestarikan oleh Tun Syed Nasir Ismail dan Profesor Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid. Bagi mengelakkan DBP dikuasai ‘budaya burung tekukur’ ianya perlu dipisahkan daripada momentum Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang sebenarnya terlalu daif dalam perjuangan ormas. Justeru pimpinan DBP juga memerlukan kelainan pendekatan terutama yang membabitkan jatidiri bangsa setanding dengan keberanian Tun Syed Nasir dan Ungku Aziz.

Mungkin sahaja DBP memerlukan aktivis budaya dari kalangan yang berpengalaman dalam pentadbiran awam bagi jawatan pengerusinya seperti Dato’ Abdul Aziz Deraman (bekas Ketua Pengarah DBP) atau Mohd Affandi Hassan (bekas pengarah di beberapa kementerian) mahupun Dato’ Tengku Alauddin Abdul Majid (bekas KSU di kementerian kebudayaan, pelancongan dan kesenian). Dari kalangan pimpinan politik bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga antara tokoh yang cenderung dalam kebudayaan Melayu sesuai untuk jawatan Pengerusi DBP. Ketangkasan mereka disusuli beberapa nama yang layak menduduki kerusi Ketua Pengarah DBP seperti Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah (bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM) atau Drs A.F. Yassin (bekas editor pengurus di Penerbitan Fajar Bakti), mahupun Dato’ Chamil Wariya antara wartawan yang berpengalaman.

INFO SUARA PROLITAR:

BANTERAS PEMBOROSAN UMNO
JANGAN UNDI CALON DI TERENGGANU

Sepanjang kempen pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos 2008 terlalu banyak peruntukan dihantar ke kawasan berkenaan. Pengundi-pengundi di Permatang Pauh juga berasa bingung dengan kemurahan hati kerajaan pimpinan UMNO yang boros apabila pilihanraya. Sekarang kerajaan pimpinan UMNO memboroskan wang rakyat di Kuala Terengganu, dengan macam-macam peruntukan. Pakatlah semua rakyat dan adik kakak yang jadi pengundi di Kuala Terengganu, janganlah undi UMNO yang boros tak tentu fasal setiap kali menjelang pilihanraya. Jadikan Kuala Terengganu sebagai bermula protes membanteras pemborosan UMNO – (SMS; 16 Januari 2009; 21:36:14 – Nik Lah, pengundi DUN Ladang).

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

UMAT ISLAM BERPECAH BELAH
RAJA MUDA TERLALU BERDUKACITA

Syahdan terlalu dukacitalah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah akan nasib umat Islam di negeri ini kononnya berpecah belah, adanya. Baginda bertitah pada majlis penutup Perhimpunan Iktisad Islam Ketiga (KEI 3) di Kuala Lumpur semalam, 18 Muharam 1430 (15 Januari 2009). Arakian terlalulah gembira Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mendengar titah baginda itu, kerana merasakan dirinya sudahlah menjadi wira KEI 3 sekalipun sekalian orang banyak mengetahui akan kokoknya sahaja berderai-derai, ekor bergelumang taik jua. Maka baginda pun bertitah di depan orang banyak, “Sifat umah yang lebih taksub dan lebih setia kepada kumpulan masing-masing mengalihkan mereka daripada menuju kiblat yang sama.” Astaga!

Sebermula telah Maharaja Jaya melihat Tun Demang mati, maka baginda pun terlalu marah, segera menampilkan gajahnya, mengusir Seri Nara Diraja. Maka oleh Seri Nara Diraja ditikamnya dengan lembingnya, kena dada Maharaja Jaya, lalu mati. Telah dilihat segala orang Kampar, Maharaja Jaya dan Tun Demang sudah mati, maka segala orang Kampar pun pecahlah (tak pula disebut dalam ‘Kitab Melayu’ pecah belah). Maka diperikut oleh segala orang Melaka, sambil dibunuhnya lalu dimasukinya ke dalam kota sekali. Maka segala orang Melaka pun merampas, terlalu banyak beroleh rampasan. Syahdan gajah kenaikan Maharaja Jaya pun dapat dibawanya kembali ke Melaka. Maka kata segala orang banyak, kalau tak taksub dan setia kepada kumpulan masing-masing akan berlakulah seperti perihal orang Kampar dibunuh serta harta benda dirampas orang Melaka yang termaktub dalam ‘Kitab Melayu’ disebut oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Wednesday, January 14, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

MATLAMAT HANCUR UMAT ISLAM:
PROPAGANDA PERANG SARAF YAHUDI

Assalamualaikum,

Dalam tempoh 18 hari (14 Januari 2009) sejak selepas hari Natal, regim Zionis di Israel menggempur Gaza dengan matlamat untuk menghancurkan umat Islam di Palestin. Serangan yang digerakkan oleh Perdana Menterinya Ehud Olmert bagaimanapun gagal menembusi pertahanan Gaza, sebaliknya berundur juga akibat bedilan roket dan moter Hamas. Tetapi Israel menafikan kelengkapan perang mereka dimusnahkan oleh Hamas iaitu sebagai propaganda bagi mempertingkatkan semangat tenteranya. Memang Yahudi berbangga dengan taktik propaganda perang sarafnya, yang dianggap oleh pengkaji-pengkaji tasauf sebagai sifat-sifat ‘syaitan’kerana ianya berunsur ‘psaikologi’. Bagi pengkaji-pengkaji tasauf kaedah ilmu psaikologi adalah berkait rapat dengan ciri-ciri syaitan. Begitulah!

Fizikal Ehud Olmert dengan hidung besarnya memang menampakkan ciri-ciri syaitan, di samping rakan sekongkolnya George W Bush berhidung bengkok, lengkap sebagai khadam kepada regim Zionis itu. Apalagi Ehud Olmert sendiri mengakui memberi arahan kepada khadamnya Bush bagi menolak sebarang resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi tekanan kepada Yahudi. Sekalipun Ehud Olmert mampu memperkuda Bush dan PBB, tetapi dalam tempoh 18 hari berperang regim Zionis itu juga mengalami kerugian besar. Bukan sahaja kemusnahan kelengkapan perang atau naratif kehilangan jiwa tenteranya disembunyikan, malah mereka juga turut kerugian harta benda dan kerosakan prasarana.

Sekiranya tiada sebarang tentangan daripada Hamas, masakan regim Zionis masih lagi berligar-ligar di sempadan dalam tempoh 18 hari, dengan tak merempuh terus ke bandar Gaza sebagai penakluk? AS sendiri gagal menjadi penakluk di Iraq dan Afghanistan kalau tak dibantu oleh 28 negara-negara ‘bangsat’ termasuk dari Asia yang sanggup menyumbangkan tentera dan sumber kewangan. Jepun misalnya, yang bersetuju memberi bantuan dana kewangan dibenarkan semula mempertingkatkan kekuatan tentera selepas dihadkan berikutan kalah perang pada 1945. Korea Selatan pula diberi ganjaran dengan tokoh diplomatnya Bun Ki-mun dilantik menjadi Setiausaha Agung PBB, di sebalik muslihat AS dan Zionis yang boleh ‘membeli’ dan ‘menjual’ manusia. Aduhai!

Keputusan yang diambil kumpulan hak asasi manusia di Geneva hari ini (14 Januari 2009) mendesak masyarakat dunia menghadapkan ‘bapa pengganas’ Ehud Olmert ke mahkamah antarabangsa atas kesalahan ‘jenayah perang’ adalah mesej jelas ibu pejabat PBB harus dipindahkan ke Geneva. Pemulauan ke atas barang-barang produk AS wajar dilaksanakan dengan tak perlu merujuk kepada kerugian peniaga-peniaga seperti disebut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato’ Shahrir Samad. Mereka wajar menerima risiko kerana mempromosi barangan produk AS, sekalipun dikatakan turut menyalurkan dana kepada rakyat Palestin.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

HUKUM HUDUD DIGEMBAR GEMBUR:
MEDIA PERDANA CUBA ‘BANGANGKAN’ DIRI

Bekas Exco Pemuda UMNO bagi biro hal ehwal antarabangsa Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz melahirkan rasa kesal terhadap media arus perdana yang tak hiraukan saranan Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir mahukan UMNO dan PAS menerima ‘genjatan senjata’ 24 jam dalam kempen piihanraya kecil Kuala Terengganu bagi menggerakkan protes terhadap keganasan Israel ke atas Gaza. Katanya, cara media arus perdana mengeksploit isu ‘hukum hudud’ bukan sahaja bertujuan memecah belah Pakatan Rakyat, sebaliknya turut memecah belah orang Melayu. Justeru media terbabit menurutnya, turut ‘membangangkan’ diri sendiri yang mungkin sudah sedia bangang, bengang dan bingung. “Hukum hudud hanya dipolitikkan kerana pelaksanaannya perlu memansuhkan Perlembagaan Persekutuan sekarang,” beliau menambah.

Dato’ Kamal Amir yang juga Jurucakap PRIMA memberitahu, isu sebenarnya yang ditentang oleh pihak tertentu bukan ‘hukum hudud’, tetapi pelaksanannya yang tak boleh ‘ditempel’ atau ‘dipinda’ pada Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya lagi, sekiranya ‘hukum hudud’ mahu dilaksanakan ianya mestilah memansuhkan sepenuhnya struktor Perlembagaan Persekutuan sama seperti menebang pokok bagi digantikan dengan pokok yang baru. Sebaliknya parti pembangkang yang menentang ‘hukum hudud’ tak akan mampu menghalang kalau ianya dijadikan alternatif kepada Perlembagaan Persekutuan. “Justeru untuk berlaku adil lebih baik media arus perdana tak menggembar gemburkan isu berkenaan untuk kepentingan politik peribadi,” katanya lagi.

WIBAWA SYED HAMID DI BAWAH 0%:
GESA ANWAR MENGHINA PM MALAYSIA

Menteri Luar Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Syed Jaafar Albar secara tak langsung mengiktiraf Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim lebih berwibawa daripada pimpinan UMNO termasuk Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pun bakal Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Menyentuh saranan Dato’ Seri Syed Hamid meminta Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempengaruhi pimpinan Amerika Syarikat (AS) menghentikan serangan Israel ke atas Palestin memperlihatkan wibawa beliau sebagai menteri kabinet jatuh di bawah paras kosong peratus, kata bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. “Meletakkan Anwar lebih berpengaruh dari pimpinan UMNO, maknanya Hamid Albar tak yakin dengan Perdana Menteri, Pak Lah,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.

Dalam laporan TV hari ini (14 Januari 2008), Dato’ Seri Syed Hamid Albar mencabar Dato’ Seri Anwar menggunakan pengaruhnya di kalangan pimpinan AS bagi meminta mereka mendesak Israel memberhentikan serangan ke atas Palestin. Selaku menteri kabinet, Dato’ Seri Syed Hamid Albar perlu yakin dengan kemampuan Perdana Menteri menanngani isu berkenaan, apalagi Dato’ Seri Abdullah sudah mengemukakan 10 usul yang diluluskan Parlimen, Isnin lalu sebagai deraf awal mendesak Kongres AS dan negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). “Sekiranya Dato’ Seri Syed Hamid Albar tak yakin dengan pimpinan PM, beliau wajar meletakkan jawatan dari kabinet,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

AFFANDI YANG TAK BERKOMPROMI:
MEMINTA PERDEBATAN SIHAT SASTERA

Memang penampilan kritikan sastera Mohd Affandi Hassan sarat dengan idea yang kadangkala menimbulkan keberangan karyawan apabila kurang menelusuri secara bijaksana. Malah kebanyakan karyawan mudah ‘melenting’, asal sahaja diterjah oleh Mohd Affandi Hassan dengan teori-teori sastera yang dianggap arogan. Tetapi Mohd Affandi kekal dengan penampilannya yang tak berkompromi meminta perdebatan yang sihat secara intelektualisme setiap kali menyampaikan pandangannya yang kritis, mengetis dan memantis. Aduhai! Justeru buku ilmiah yang dihasilkan Mohd Affandi Hassan ‘Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan’ terbitan Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM, Bangi (2008) semacam menuntut satu perdebatan ilmiah dari kalangan sarjana-sarjana sastera yang berketerampilan.

Mungkin sahaja Mohd Affandi tak disenangi oleh segelintir kalangan sarjana sastera, malah kalangan birokrasi dengan kritikan-kritikan keras yang dianggap radikal, tetapi tak semua menunggu beliau menerjah karya-karya mereka. Sekitar dekad 1960-an, memang Mohd Affandi dianggap pengkritik sastera yang konsisten melimparkan ideanya sama seperti Yahaya Ismail dan Hang Tuah Arshad. Kritikan keras terhadap ‘Sejarah Melayu’ diungkapkan secara berani oleh Mohd Affandi dalam frasa ‘Dua Mitos Agung’ dengan menyebut: “Pengarang hikayat ini tidak memberitahu kita berterus terang bahawa yang diidamkan perlente Tamil/Keling ini ialah anak dara Demang Lebar Daun yang cantik jelita tidak ada tandingannya itu.”

INFO SUARA PROLITAR

BERAS NASIONAL SUBSIDI K’JAAN:
PILIHAN PEKERJA BANGLA DAN INDON

Beras subsidi yang dikenali ‘kampit beras nasional’ harganya RM17.00 bagi 10 kilo. Bagaimanapun campuran dengan 15% beras hancur. Di pasaraya NSK Selayang pula, beras jenama Fadzilah mempunyai dua harga iaitu RM23.00 bagi ‘harga ahli’ dan RM24.00 bagi harga biasa. Campuran beras hancurnya hanya 5% sahaja. Bagi orang ramai, mereka memilih campuran 5% atau 10% beras hancur. Tak hairanlah beras subsidi itu kebanyakan diborong oleh peniaga nasi lemak dan pekerja Bangla. Maknanya, beras subsidi itu menjadi pilihan Bangla dan Indon. Atau dalam istilah lain beras nasional itu disubsidi oleh kerajaan untuk Bangla dan Indon. – (SMS; 14 Januari 2009; 10:37:22 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

MENITIR CANANG PADA ORANG BANYAK:
KEIKHLASAN NAJIB BANGUNKAN TERENGGANU

Sebermula tersebutlah alkisah di sebuah negeri Melayu bernama Terengganu yang akan mengadakan pemilihan Orangkaya Kuala Terengganu pada 19 Muharam 1430 (atau 17 Januari 2009) ini. Syahdan berkatalah Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, kerajaannya ikhlas mahu membangunkan Terengganu menjadi negeri maju. Maka terfikirlah fakir bersama rakan-rakan yang lain selama ini gerangannya Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib tak ikhlas sangat mahu memajukan negeri Terengganu itu. Maka berkain sarung dan berbaju teluk belanga ia bersama sepupunya Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin Hussein ke rumah abang Dato’ Razali Ismail (bekas Orangkaya Kuala Terengganu, Allahyarham) bernama Mohamad Ismail di Batu Burok untuk menitir canang kepada orang banyak. Aduhai!

Arakian setelah Seri Maharaja jadi bendahara maka negeri Melaka pun makin makmur lagi dengan ramainya, kerana Bendahara Seri Maharaja terlalau saksama adil dengan murahnya, dan baik budi pekertinya pada membawa hati orang, terlalu sangat pada memeliharakan segala dagang. Begitulah dititir canang oleh anak cucu Melayu mengenai bendahara itu, adanya. Adapun adat kapal dari atas angin, apabila akan ke Melaka, serta membongkar sauh maka salawat mualimnya, disahut nakhoda dan saudagar sekalian, ‘Bandar Melaka, pisang jarum, air Bukit Cina, Bendahara Seri Maharaja.’ Sahut kelasi sekalian, ‘Orang berbayu tok, orang berbayu’ (maksudnya ialah orang Melayu), kerana kalua tak dititir canang tahulah orang banyak bendahara itu cucu Mani Purindam dari negeri Pahili di benua Keling seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU