Monday, February 23, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

ISA SEKADAR PUSAT PEMULIHAN:
ABDUL WAHUB TENTU LEBIH TAHU!


Assalamualaikum,

Majlis Bicara Tokoh anjuran Pertubuhan Penggerak Generasi Muda Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri di Kuantan semalam (22 Februari 2009) membincangkan ‘Adakah ISA Satu Bentuk Penganiyaan?’ memang menakjubkan. Apalagi ahli panel yang diundang ialah bekas tokoh penting al-Arqam, Zabidi Mohamed dan bekas bendahari kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) Faiz Abu Bakar Bafana, di samping Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Rumusan ahli-ahli panel ialah ISA sebagai pusat pemulihan, bukan berbentuk hukuman yang bersifat penganiayaan. Kalau tak silap, Zabidi juga pernah tampil di kaca TV bersama pimpinan al-Arqam Ustaz Ashaari Muhammad sekitar dekad 1990-an dulu. Barangkali!

Mungkin sahaja saya tak kenal rapat dengan Zabidi, Faiz mahupun Ustaz Ashaari, tetapi berkawan dengan Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Dato’ Ahmad Boestamam (Pak Boes) malah Tan Sri Abdul Samad Idris (pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri). Pak Sako dan Pak Boes memang bekas tahanan ISA sejak period kolonial British, sementara Tan Sri Abdul Samad adalah bertanggungjawab dengan ISA sekitar dekad 1970-an, ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Ibrahim Ali, Tan Sri A. Samad Ismail, Dato’ Abdullah Ahmad dan Dato’ Abdullah Majid turut menjadi tahanan ISA.

Tak pernah pula ISA ditakrif sebagai pusat pemulihan, kecuali pada period kolonial British dekad 1940-an, Pak Sako memohon supaya tahanan ISA diberi latihan kemahiran sebelum dibebaskan. Pak Sako dan Pak Boes juga pernah memberitahu saya mengenai bilik SW (di kurung dalam bilik gelap melebihi 50 hari hingga tak mengenal siang dan malam, apabila keluar mata mereka berbinar-binar disilau matahari, menyebabkan mereka mengalami masalah mata). Saya difahamkan ISA untuk membanteras anasir-anasir subversif, komunisme dan menjaga ketenteraman awam. Ironinya, isu Dato’ Harun tak pula digunakan ISA, kerana MT UMNO yang bersidang 18 Mac 1976 dalam Perkara 4 jelas menyebut:

“…Memandangkan keadaan keselamatan dan ketenteraman dalam negara adalah terancam oleh musuh-musuh negara di mana persefahaman dan perpaduan rakyat seluruhnya sangat-sangat penting dan mustahak untuk menghadapi ancaman ini maka Majlis Tertinggi UMNO telah membincangkan dan mengambil keputusan menasihatkan Dato’ Haji Harun supaya meletakkan semua jawatannya dalam parti UMNO dan Barisan Nasional dan juga Menteri Besar Selangor…”

Maknanya, keselamatan negara tak terancam kalau Dato’ Harun menerima keputusan tersebut, dengan tak memerlukan ISA. Disebabkan Dato’ Harun enggan, beliau dipecat mengikut Fasal 11 Ceraian 13 Perlembagaan UMNO dan heh heh heh! Apabila Zabidi dan Faiz diminta bercakap di hadapan Timbalan Ketua Polis Negara, selaras dengan filem ‘Tiga Abdul’ karya Tan Sri Dr P. Ramlee: “Oh, sebut fasal nak bawa ayahanda ke hospital semua harta tak ada…” Untuk tambahan – kalau minta ayahanda cepat mati, barulah peruntukan harta boleh dibahagi mengikut ‘demokrasi terpimpin kepala otak kamu’ kata Abdul Wahab. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

PPSMI MIRIP ‘MALAYAN UNION’
UNTUK KUBURKAN BAHASA MELAYU


(Kenyataan media pimpinan PRIMA, Pak Dharma di Kuala Lumpur, 23 Februari 2009 menyokong Gerakan Mansuh PPSMI, bagi menggerakkan ‘Perhimpunan 100 Ribu’ orang umat Melayu di hadapan Istana Negara pada 7 Mac 2009, sebagai manifestasi bangsa Melayu yang tergugat bahasanya, kerana kebobrokan dasar pelajaran, kepongahan pimpinan negara dan keberantakan pemikiran penjenayah budaya.)

Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) memberi sokongan kepada Gerakan Mansuh PPSMI (GMPPSMI) pimpinan Dato’ Dr Hassan Ahmad yang menggerakkan suara rakyat dalam ‘Perhimpunan 100 Ribu’ di hadapan Istana Negara 7 Mac 2009 ini. Malah PRIMA sudah menghubungi Dato’ Dr Hassan dengan memberi jaminan akan turut serta dalam perhimpunan tersebut, di samping bersetuju menggerakkan 100 orang pencinta Bahasa Melayu menyertai ‘Perhimpunan 100 Ribu’. Memang PRIMA prihatin dengan isu PPSMI yang mirip kepada gagasan ‘Malayan Union’, justeru harus ditentang sebagai musuh nombor satu negara.

Hari ini (23 Februari 2009) PRIMA menghubungi Dato’ Dr Hassan, di samping berasa kagum dengan kesungguhan beliau tak berkompromi dalam isu PPSMI. Memang secara berterusan PRIMA menganggap mereka yang menyokong PPSMI adalah penjenayah budaya yang tak boleh dimaafkan, berikutan memperdaya ibu bapa pelajar-pelajar Melayu. PPSMI bukan sekadar dua mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris, sebaliknya merangkumi semua mata pelajaran yang berkaitan dengan Sains dan Matematik. Bahasa Melayu tak seharusnya menjadi mangsa dasar yang sudah membunuh ‘tulisan Jawi’ malah turut mengkuburkan akhbar ‘Utusan Melayu’.

LEMPAR BATU SEMBUNYI TANGAN:
SIKAP ‘MEMPERBODOH’ DIRI SENDIRI
Bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengingatkan calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin tak ‘memperbodohkan’ dirinya dengan politik ‘limpar batu sembunyi tangan’, malah ditertawakan oleh masyarakat umum. Mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin hari ini (23 Februari 2009) meminta jangan dikaitkan Barisan Nasional (BN) dengan dakwaan salah guna kuasa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato’ Kamal Amir berkata Tan Sri Muhyiddin sudah memalukan UMNO seolah-olah kerajaan sekarang bukan ditadbirkan oleh BN. “Siapa SPRM hingga ianya boleh mengatasi kuasa kerajaan,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya menurut Dato’ Kamal Amir, banyak kes laporan polis dibuat berkaitan salah guna kuasa lebih awal daripada kes lembu di Selangor, sekadar diberi jaminan ianya akan disiasat tetapi tak pula diambil tindakan segera untuk didakwa. Dato’ Kamal Amir juga membangkitkan kuasa SPRM yang keterlaluan dalam soal siasat seorang aktivis UMNO yang ditahan Temerloh pada 23 Januari 2009 iaitu dengan no repot Kuantan/002014/09 tak ditakrifkan sebagai salah guna kuasa. “Tan Sri Muhyiddin calon untuk jawatan nombor dua, janganlah memperbodohkan diri dengan kenyataan begitu,” ujar Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

SUMBANGAN SASTERAWAN SILAM:
LESTARIKAN GAGASAN PERSURATAN BARU

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) didesak mengambil inisiatif mengenang sumbangan sasterawan-sasterawan silam dengan menggerakkan majlis memperkatakan karya-karya mereka, menurut pengkritik sastera tersohor Mohd Affandi Hassan. Katanya, majlis mengenang sasterawan silam bukan sahaja menghormati karya-karya mereka, malah turut menghimpunkan pemikiran bersama dalam melestarikan gagasan persuratan baru. Mohd Affandi yang juga bekas pegawai tinggi kementerian melahirkan rasa kesal kerana badan-badan persuratan termasuk Gapena, Pena mahupun ormas-ormas yang lain gagal untuk mengambil inisiatif menggerakkan majlis demikian.

“Ramai pengarang lama yang berjasa kepada persuratan Melayu dilupakan oleh generasi sekarang,” beritahu Mohd Affandi ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Seterusnya beliau menyebut tokoh-tokoh persuratan seperti Ahmad Bakhtiar, Mohamad Sallehuddin, Ahmad Rashid Talu, Harun Aminulrashid, Abdullah Sidek, Shamsuddin Salleh dan ramai lagi seolah-olah hilang bersama angin. Serentak dengan itu beliau menyarankan DBP, menggerakkan perjumpaan sasterawan-sasterawan warga emas dalam majlis bertukar-tukar pandangan mengenai karya-karya mereka.
Sementara itu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah bersetuju dengan saranan Mohd Affandi meminta DBP mengenang jasa sasterawan silam menerusi majlis perjumpaan demikian. Menurut Dato’ Dr Mohamad Mansor, sumbangan Mohamad Sallehuddin novelis ‘Dua Orang Tawanan’ (terjemahan daripada karya barat) dan banyak lagi hampir tak diketahui oleh penulis-penulis muda sekarang. “Mohamad Sallehuddin satu-satunya wartawan Melayu yang terpilih menyertai ‘victory parade’ di London pada 1945, iaitu pencapaian tak pernah diterima oleh penulis sekarang,” kata Dato’ Dr Mohamad Mansor.

PRIMA TAK TERBABIT GERAKKAN:
DEKLAMASI PUISI DENGAN WANG

Dalam gerakan deklamasi puisi menentang PPSMI, tak pernah PRIMA meminta mana-mana pihak menyalurkan sumber wang secara mengugut untuk meranapkan reputasi mereka, beritahu penyelaras deklamasi puisi PRIMA penyair Yassinsalleh. Beliau mengakui terkejut dengan dakwaan seorang Ahli Parlimen kepada beberapa rakan di lobi Parlimen baru-baru ini, bahawa pihaknya menuntut peruntukan besar bagi majlis berkenaan. Menurut Yassinsalleh, pihaknya sekadar ditawar menyelaraskan deklamasi puisi di kawasan Parlimennya. “Kalau pihak Ahli Parlimen itu mahu memperalat PRIMA untuk kepentingan politiknya, kami pun tak ambil kira,” beritahu Yassinsalleh.

Sebaliknya kata Yassinsalleh, apabila ditawarkan lokasi bagi menggerakkan majlis tersebut, PRIMA akan hadir sebagai manifestasi menentang PPSMI. Malah beliau juga menambah, PRIMA sanggup ke Jerantut di Pahang yang jaraknya jauh dari Kuala Lumpur dengan tak pernah mengharapkan diongkosi. Beritahu Yassinsalleh lagi, lokasi di Jerantut disediakan oleh PKR, justeru PRIMA tak menolak apabila tawaran itu datang dari UMNO. “Disebabkan tak semua pimpinan UMNO bersetuju dengan PPSMI, sebab itu PRIMA menerima tawaran, tapi tak pernah mendesak peruntukan yang memang karut jumlahnya,” jelas Yassinsalleh selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR

TAK HORMAT PIMPINAN LAMA:
MEMANG FENOMENA DALAM UMNO

Pengakuan Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir, mengenai ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad tak diberi penghormatan selepas persaraan oleh pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimanapun Dato’ Mukhriz semasa bercakap ketika melawat mangsa ribut di Rembau, meminta pentadbiran selepas ini hendaklah memberi penghormatan kepada Dato’ Seri Abdullah. Semua itu mendedahkan kebobrokan sebenar dalam UMNO. Selepas insiden 1987, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri mahukan monomen Tunku di depan bangunan Parlimen dibuang.

Dato’ Seri Najib tak akan bercakap begitu, kalau tak direstu oleh bos ketika itu. Malah Dato’ Seri Najib tak berasa segan mengkritik ayahnya Tun Razak yang perkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Felda. Pada masa pentadbiran Dato’ Seri Abdullah, barulah Dato’ Seri Najib berbangga dengan DEB dan Felda. Masa Tun Abdul Razak pun heboh dengan ‘orde baru’ dan ‘orde lama’. Pimpinan yang dikira pro ‘orde lama’ pun tak diberi tempat termasuklah Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Fatimah Hashim, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan dan lain-lain. Begitulah fenomena UMNO - (SMS; 23 Februari 2009; 21: 36: 09 - Mat Toro, Felda Jenderak Utara, Pahang)
KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

KISAH MAKAN MUNTAH HANTU:
& KISAH ORANGKAYA MURAH HATI

Sebermula akan Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pergilah ia ke Tawau. Berkatalah Orangkaya Menteri itu guru-guru yang mengajar al-Quran dan Fardu Ain (atau disebut anak cucu fakir, Kafa) berada dalam kelompok miskin. Arakian bersetuju Orangkaya Menteri itu mahu menyemak bayaran kepada guru-guru itu. Maka terfikirlah kepada orang banyak, terlalu bermurah hati Orangkaya Menteri ketika pertandingan merebut jawatan dalam harakah Melayu (UMNO) itu semakin hampir.

Syahdan maka hantu itu pun muntahlah, terlalu banyak muntahnya itu. Maka dimakannya oleh Badang muntah hantu itu habis semuanya; akan janggut hantu itu, dipegang oleh Badang, tiada dilepaskannya. Telah sudah ia makan muntah hantu itu, maka dicubanya oleh Badang, dibantunnya pohon kayu yang besar-besar itu habis tercabut. Maka dilepaskannya janggut hantu itu, maka Badang pun berjalanlah. Sambil berjalan dibantunnya kayu yang besar itu habis tercabut, sepertilah orang di akhir zaman ini makan muntah hantu berupa ampu sana ampu sini untuk menjadi senang linang yang disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:




HIDUP BAHASA MELAYU.

Sunday, February 22, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

Assalamualaikum,

INFO SASTERA & BUDAYA:

MANIFESTASI KESINAMBUNAN PERJUANGAN
DEKLAMASI PUISI DI PERAK TETAP DITERUSKAN

Deklamasi puisi Pasir Salak yang ditangguh Januari 2009 lalu bagi menentang PPSMI, akan diteruskan di Sitiawan sebagai manifestasi kesinambungan perjuangan Bahasa Melayu, beritahu penyalaras PRIMAYassinsalleh. Puisi-puisi yang dideklamsikan di Sitiawan juga akan diantologi seperti jadual asalnya, beliau menambah. Sekretariat PRIMA diberitahu, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz bersetuju mengambil inisiatif menjadi tuanrumah kepada deklamasi puisi berkenaan.

Bagaimanapun jelas Yassinsalleh, temanya sebelum ini ‘Mengusung Keranda 152 Lagikah’ tak diteruskan, berikutan usaha GAPENA dan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein sudah membuat laporan polis pada 15 Februari 2009, di samping GMP dan Dato’ Dr Hassan Ahmad bersama SN Dato’ A Samad Said berjaya menyampaikan memorandum kepada Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein. “Deklamasi puisi PRIMA sekadar kesinambungan perjuangan yang akan berterusan dari generasi ke generasi,” beritahu Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR:

LAPORAN PENDUDUK FELDA KEMAHANG
PENDUDUK TADAH HUJAN HARAPKAN AIR

Oleh: Ahmad Nizam Hamid
(Temerloh, Pahang)

Sudah lebih 50 tahun merdeka, penduduk Felda Kemahang, Bentong tak menikmati bekalan air. Terpaksa tadah air hujan. Laporan TV3 jam 1.30 tengahari 21 Februari 2009. Ironinya, kawasan yang dilaporkan oleh TV3 itu di kawasan Parlimen yang diwakili oleh Menteri Kesihatan Dato’ Liow Tiong Lai. Apalagi kawasan Parlimen berkenaan turut diwakili ADUN Pelangai yang juga Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Adnan Yaakob. Selepas Mac 2009 ini Perdana Menteri juga dari Pahang.

Macam mana kawasan yang diwakili menteri kabinet dan Menteri Besar, malah negeri yang bakal diwakili Perdana Menteri, rakyat terpaksa menadah air hujan? Lagipun ianya diwakili oleh BN sejak 1974, malah diwakili Parti Perikatan mulai 1955.Begitulah! Kedudukannya di ulu tahun 1960-an dikenal pasti antara punca kemiskinan orang Melayu terutamanya petani kerana lintah darat dan sistem padi kunca. Orang Melayu melarat dan terbelenggu dengan hutang.

Sekarang Felda lebih kurang sama, tenaga dikuras untuk produktiviti dan penghasilan yang dikawal Felda tetapi apa yang dikembalikan kepada peneroka? Kalau pun ada adakah memadai? Tidakkah zalim namanya tatkala ada kawasan Felda yang mundur infrastruktur tetapi Felda belanjakan ratusan juta bina menara Felda di Kuala Lumpur. Saya kadang-kadang gagal memahami cara fikir pembuat dasar. Agaknya mereka ini dijangkiti penyakit ‘megalomania’ tak? (210209).


HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Friday, February 20, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

Assalamualaikum,

PIHAK YANG TIDAK DAPAT BERSUARA
HARUS MENYAMPAIKANNYA KPD ORANG BERKUASA
Setiap warga yang prihatin terhadap bangsa, agama dan tanahair, tetapi tak mempunyai apa-apa kuasa wajar menyampaikan mesej kepada orang yang berkuasa (sudah tentulah kerajaan dan UMNO barangkali!). Mesej berkenaan bagi menyedarkan ‘orang yang berkuasa’ supaya tak terikut-ikut sikap pemandu laju hingga tak memahami fungsi brake ialah untuk menyelamatkan mereka. Memang PRIMA berpegang kuat kepada peringatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuan singkat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya 15 Ogos 2007 lalu. Malah mesej tersebut sudah pun disampaikan secara jelas oleh rakyat Malaysia pada PRU12, tetapi pihak yang mencapai keajaiban luar biasa pada 8 Mac 2008 itu menyangka, mereka benar-benar menerima mandat rakyat. Aduhai!
Tak hairanlah bekas Menteri Besar Selangor yang juga calon jawatan Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo mengakui, kritikannya terhadap kerajaan negeri Selangor adalah atas kapisiti beliau selaku Ketua Pembangkang. Tugasnya mengkritik kerajaan sebagai mesej daripada rakyat, justeru kerajaan negeri Selangor wajar mempertingkatkan prestasi. Misalnya, dalam isu pegawai-pegawai masjid, tak wajar mereka yang pro UMNO, tetapi memberikan khidmat yang baik kepada kariah disingkirkan. Ahad lalu (15 Februari 2009) mesyuarat agung Masjid al-Khiriyah, Taman Seri Gombak memperlihatkan pegawai-pegawai yang bukan pro-kerajaan negeri tersingkir, sekalipun mereka memberikan perkhidmatan cemerlang sebelum ini. Bekas nazir, Haji Ahmad Radzi tersingkir disebabkan beliau memang dikenali tak pro kerajaan negeri sekarang.

Haji Ahmad Radzi mampu melaksanakan tugas dengan baik hingga terbina bangunan baru berharga RM6.7 juta; malah mungkin sahaja kutipan dana dari ahli kariah tak mencapai sasaran RM1 juta pun. Begitu Haji Baharuddin yang bersedia turun padang menziarah ahli-ahli kariah yang berhadapan musibah atas kapisitinya setiausaha masjid, adalah tenaga yang seharusnya dikekalkan bagi memakmurkan masjid. Ironinya, apabila menyangka kemenangan lpada PRU12 lalu sebagai mandat rakyat semata-mata, bukan disebabkan mesej yang bertalu-talu dari kalangan prolitar, jsuteru berlakulah naratif ‘kaduk naik junjung, si kudung dapat cincin, kacang lupakan kulit’. Parking meter yang kononnya mahu dihapsukan, sebaliknya terus beroperasi disamping saman tak membayar parkin meter ialah RM60 berbanding dengan kerjaan negeri sebelumnya RM30.

Ketua Pembangkang Parlimen Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga perlu menyampaikan mesej berikutan kebimbangan rakyat dengan perilaku ‘si kudung naik junjung. Memang media arus perdana boleh mengeksploitasi setiap isu, tetapi tak semua laporan berita boleh diselewengkan. Isu gambar bogel misalnya, tak akan diekspolitasi sekiranya individu terbabit lebih bersopan. Takkan tidur di sofa di ruang tamu rumah dalam keadaan ghairah (sayangnya, saya tak pernah melihat gambar berkenaan), hingga tak sedar boleh diambil gambar dalam posing begitu begini. Sekitar awal dekad 1970-an, ada pihak mendakwa tak berlaku ‘secret talk’, tetapi usaha pihak lain buat tawar menawar. Sebaliknya apabila ditanya, kalau tak berlaku ‘secret talk’ kenapa perjumpaan diadakan beberapa kali, individu terbabit naik berang. Awal dekad 1970-an bolehlah naik berang kerana ketika itu rakyat memerlukan, tetapi dalam keadaan sekarang tunjukkalah berang tak bertempat kalau mahu tahu tingginya langitnya, dalamnya lautan!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

KARPAL PERTIKAI KUASA SPEAKER:
PR BERTAMBAH BOBROK FASAL UNDANG2

Kecoh di Perak berikutan kerajaan negeri ‘digulingkan’ pada 6 Februari 2009 lalu, masih belum reda apabila Karpal Singh mempertikai kuasa Speaker Sivakumar yang menggantung Menteri Besar UMNO Dato’ Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya daripada menghadiri sidang Dewan (sekalipun Dewan Negeri tak bersidang pun). Memang Karpal Singh peguam berpengalaman, tetapi tak semestinya pakar undang-undang yang serba tahu dalam semua perkara. Apalagi peguam juga mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing sahaja, misalnya berkelayakan dalam kes jenayah kelas tiga takkan sama dengan peguam yang membuat tesis kanun tanah. Justeru dalam pelaksanaan ‘Undang-Undang Siddiq Sigaraga’, Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee lebih pintar menampilkan penyelesaian menerusi karektor Hussin Lempoyang.

Penggemar-penggemar filem Melayu lama terkekeh-kekeh mentertawakan diri sendiri apabila menonton filem ‘Tiga Abdul’ ketika Hussin Lempoyang menyebut: “Berniaga manusia lebih baik daripada berniaga unta.” Kecoh di Perak tak akan berlaku kalau ‘berniaga unta lebih baik daripda berniaga manusia’ yang disebut Hussin Lempoyang. Malah berniaga manusia diteruskan dengan ‘levi’ kepada pekerja-pekerja asing, hingga agen yang mengagihkan pekerja kepada majikan boleh memperoleh ganjaran sama RM200 satu kepala. Agen terbabit tak peduli sama ada pekerja asing terbabit menghidap sawan, tak siuman, penjenayah atau lain-lain asal sahaja ‘berniaga manusia’ lebih lumayan daripada ‘berniaga unta’. Bagaimanapun ‘perhambaan moden’ taklah terlalu bobrok kalau dibandingkan dengan ‘perhambaan minda’. Tak hairanlah Jamal Pak Tongkol sekadar menjawab ‘Wauuu’.

INFO PERCAMBAHAN MINDA:

ALTANTUYA DAN MAHSURI:
KORBAN NAFSU LELAKI MELAYU

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Beliau ialah pesara Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD). Beliau menulis ceita pendek, novel, esei dan kritik sastera. Tujuh buah kumpulan cerita pendeknya telah diterbitkan: Matinya Seorang Pahlawan (Kota Bharu: Percetakan Dian, 1971): lima buah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (Le Masque, 1974; Mimpi Rakyat, 1985; Pura Bujangga, 1990; Tenggelam di Lautan China, 1994; Biarlah Orang Tahu, 2005); sebuah oleh Penerbit Fajar Bakti (Bukan Ahli UMNO: Bukan Salah SSB, 1998). Novelnya ‘Aligupit’ (1993) berupa sebuah satira politik yang antara lain mengemukakan diea Dua Kerajaan dalam apolitik Malaysia; manakala novelnya ‘Puajangga Melayu’ (Penerbit Fajar Bakti, 1997, 714 hal.) membicarakan konsep pengarang dalam warisan Islam and Melayu dan gagasan Persuratan Baru. Beliau menganjurkan ‘pendidikan estetika’ di sekolah-sekolah dengan menerbitkan buku ‘Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP, 1992). Beliau berasal dari Kelantan, dan kini menetap di Petaling Jaya, Selangor).

Selepas Mahsuri, orang Melayu mencipta sebuah legenda baru dalam cerita Altantuya yang dibunuh dan diletupkan hingga berkecai tulangnya. Tiada siapa pun tahu mengapa Altantuya yang berasal dari Monggolia itu datang ke Malaysia untuk dibunuh dan diletupkan. Siapa yang melakukannya hanya diketahui dalam bisikan khabar angin, tidak dibenarkan diceritakan berterus terang. Tidak seperti Mahsuri yang diketahui ceritanya dan pembunuhnya, Altantuya sangat istimewa kerana tiada siapa pun berani mengaku menjadi pembunuhnya. Oleh itu Altantuya yang cantik menawan lelaki Melayu yang misteri itu membunuh dirinya dan meletupkannya sendiri dirinya yang membuat lelaki Melayu jadi gila itu.

Persis seperti terjadi kepada Anwar Ibrahim, yang menurut Dr. Mahathir Mohamed mencederakan dirinya sendiri untuk mencari simpati dan publisiti. Penjahat yang memukul Anwar Ibrahim akhirnya diketahui setelah disiasat oleh satu suruhanjaya penyiasat; tetapi Altantuya tidak bernasib baik kerana tiada siapa pun ingin mengetahui cerita sebenarnya. Noritta gadis cantik dari Perlis yang terbunuh di kediaman mewahnya lebih bernasib baik kerana pembunuhnya dikatakan mempunyai bau badan yang busuk. Walaupun pembunuh itu tidak diketahui, sekurang-kurangnya bau badannya diketahui dan ini bolehlah dijadikan bukti memang pembunuh itu wujud walaupun tidak diketahui siapa. Altantuya nampaknya tidak mendekati lelaki yang berbau busuk badannya, mungkin kerana beliau seorang yang pemilih dan tahu menilai harga lelaki yang didekatinya, yang sebenarnya mendekatinya untuk mendapatkan sesuatu yang berharga.

Bau badan Altantuya pastilah sangat harum dan benar-benar memikat, sehingga menaikkan nafsu lelaki Melayu yang mendekatinya, yang membuatnya menjadi gila. Ketiga-tiga cerita perempuan cantik ini wajar dijadikan bacaan wajib di sekolah-sekolah di kalangan murid-murid perempuan, supaya mereka lebih berhati-hati ketika mendekati lelaki Melayu yang gemarkan perempuan cantik. Cerita itu hendaklah diajarkan dalam bahasa Inggeris, supaya gadis-gadis Malaysia yang malas belajar bahasa Inggeris menjadi rajin untuk mengetahui cerita sebenar tiga orang perempuan cantik yang terbunuh kerana menjadi mangsa nafsu lelaki Melayu itu. Anak-anak gadis itu hendaklah diperingatkan supaya setiap kali mereka bertemu dengan lelaki Melayu yang berkuasa dan banyak wang, mereka hendaklah bertanya, “Adakah orang ini pembunuh Noritta dan Altantuya?” (18/2/2009)

INFO SASTERA & BUDAYA

BELASUNGKAWA KEPADA KELUARGA:
PELUKIS TERSOHOR MENINGGAL DUNIA

Pelukis terpenting Malaysia Dato’ Ibrahim Hussein meninggal dunia semalam (19 Februari 2009) adalah kehilangan seorang seniman besar yang sukar dicari ganti, kata aktivis budaya Yassinsalleh. Justeru katanya, PRIMA mengucapkan belasungkawa kepada keluarga beliau terutama Datin Sam Hussein dan anaknya Alia sentiasa beresabar dengan musibah berkenaan. Seterusnya Yassinsalleh yang juga pengarah filem Melayu terbaik dekad 1980-an memberitahu, kehilangan seniman Dato’ Ibrahim bukan dirasakan oleh keluarganya tetapi semua kerabat karyawan di Malaysia. “Saya mampu menterjemahkan sebuah skrip ke dalam bentul visul pergileman mahupun TV, tetapi Dato’ Ibrahim mampu menterjemahkan panorama alam ke atas kanvas yang putih bersih,” beritahu Yassinsalleh menambah.

Bagaimanapun beritahu Yassinalleh, memang sebagai karyawan beliau tak kenal rapat dengan Dato’ Ibrahim tetapi kedua-dua abangnya amat sinonim dalam perjuangan Bahasa Melayu. Kata Yassinsalleh lagi, abangnya Dato’ Abdullah Hussein diangkat sebagai ‘Sasterawan Negara’ memang tak berkompromi dengan isu Bahasa Melayu. Apalagi seorang lagi abangnya Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satu GAPENA membuktikan kesungguhannya dengan membuat laporan polis terhadap kerajaan dan Menteri Pelajaran kerana gagal memansuhkan PPSMI. “PRIMA tetap bersama dalam perjuangan GAPENA, GMP, PENA dan semua pejuang Bahasa Melayu bagi mendesak kerajaan memansuhkan PPSMI,” menurut Yassinsalleh yang turut menyampaikan belasungkawa kepada Tan Sri Ismail Hussein.

INFO SUARA PROLITAR

PELIK FASAL KISAH BOGEL & TELANJANG:
BENARKAH ORANG BERMORAL TIDAK BERAKHLAK?

Ustaz dan lebai Melayu berkata jika seseorang Islam mandi telanjang di bilik mandi, lalu terus ambil wuduk, maka wuduknya sah. Dia boleh solat. Bagi para pemimpin UMNO hukum itu sangat pelik, kerana menurut mereka seseorang yang telanjang atau separuh telanjang di tempat tidurnya adalah orang tidak bermoral, dan orang yang mengambil gambarnya untuk disebarkan kepada umum adalah seorang yang bermoral tinggi. Kini timbul persoalan besar: Adakah YB Elizabeth Wong, ADUN dan Ahli Exco, yang gambarnya di tempat tidur diedarkan kepada umum tidak bermoral, manakala yang ambil gambar dan mengedarkannya seorang yang bermoral?

Menurut para pemimpin UMNO soalnya mudah saja: YB itu tidak bermoral kerana tidur telanjang untuk diambil gambarnya. Jika ada budak nakal bertanya soalan pelik: Adakah tidak di kalangan para pemimpin UMNO, jantan dan betinanya, pernah tidur telanjang? Jawabnya tidak ada, dan tidak pernah terjadi. Semua para pemimpin UMNO tidur dengan pakaian penuh, malah ada yang tidur dengan pakaian istiadat untuk menghormati istana. Demikianlah hebatnya para pemimpin UMNO menjaga moral mereka supaya tidak terjejas sedikit pun di mata rakyat. Kini para pemimpin tertinggi UMNO mengaku mereka tidak bersalah dan tidak berbuat apa-apa untuk mengeluarkan foto telanjang itu,

Sebaliknya mereka terkejut dan bersimpati (sambil tertawa) dengan tuan tubuh yang telah dipermainkan. Demikianlah tidak bermoralnya para ahli politik dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat, oleh itu mereka tidak layak memerintah. Sekarang orang ramai tertanya-tanya, mengapa pula Elizabeth Wong yang cekap bekerja dan cerdik pula tidak layak memerintah semata-mata kerana gambarnya diedarkan oleh orang berkenaan? Kini ada orang mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah NGO yang kerjanya mengambil gambar senyap-senyap ahli-ahli politik yang mandi, tidur, berehat di pantai, bersantai di kolam dan tasik, untuk membuktikan mereka tidak layak menjadi ahli politik, tidak layak menjadi menteri atau ahli exco.

Perlembagaan Persekutuan hendaklah dipinda untuk membenarkan rakyat menubuhkan NGO pengintip kelakuan ahli politik itu, kerana keadaan sekarang cukup mendesak supaya apa juga kejahatan manusia dilembagakan dalam Perlembagaan Negara. Sesiapa juga yang mempersoalkan kejahatan itu melanggar undang-undang dan menderhaka kepada raja. - (Mohd Affandi Hassan, Petaling Jaya, Selangor - 19/2/2009)

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

DARURAT ITU MUSLIHAT MEREKA:
JANJI ORANGKAYA PERDANA MENTERI

Syahdan tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kononnya kata ahli-ahli nujum dipaksa menyerahkan kuasa lebih awal daripda yang pernah dijanjikannya, akan anak-anak buah Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu bermuslihat belaka. Sebermula Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu menjawab soalan penitir-penitir canang sama ada darurat akan diisytiharkan di negeri Perak atau sebaliknya. Maka terkejutlah sekalian orang banyak, kerana Orangkaya Dato’ Seri Abdullah berkata demikian dalam majlis melancarkan Tabung Dana Kemanusiaan Kanak-Kanak Gaza di Seri Perdana, Putrajaya. Arakian kata sekalian orang banyak, kalau Orangkaya itu mahu menyebut akan anak-anak buah Orangkaya Permatang Pauh bermuslihat, hendaklah ia bercakap di majlis yang lain, adanya.

Sebermula akan dua orang anak raja Chempa, Shah Indera Berma seorang namanya, Shah Pau Ling seorang namanya; kedua-duanya berlepas berperahu dengan orang banyak dan anak isterinya. Maka Shah Pau Ling lalu ke Acheh, ialah asal raja Acheh. Lagi akan kisahkan perkataan itu kemudian, bukanlah kerana bermuslihat tetapi mahu memberitahu perkara yang benar belaka. Adapun Shah Indera Berma lalu ke Melaka; maka terlalu suka baginda Sultan Mansor Shah melihat segala mereka itu. Dan Shah Indera Berma dengan isterinya Keni Mernam sangat dipermulia baginda; sekaliannya disuruh masuk Islam. Maka oleh Sultan Mansor Shah akan Shah Indera Bernam itu dijadikan menteri, itulah muslihat baginda untuk berbaik-baik bagi segala Chempa itu di Melaka seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, February 18, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA < < < > > > PRIMA
(menentang perhambaan manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

TIGA CALON KETUA PEMUDA:
DEBAT TERBUKA DI TV9 ‘HUJAH’.

Assalamualaikum,

Penampilan tiga calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam slot ‘HUJAH’ di TV9 malam kelmarin (17 Februari 2009), memberi peluang kepada perwakilan menilai keterampilan mereka dalam pemilihan Mac 2009 nanti. Tiga calon terbabit bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempunyai peluang yang seimbang, sekalipun kemampuan menarik perhatian audien di Dewan Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seolah-olah didominasi oleh Dato’ Seri Dr Mohd Khir. Malah pada satu peringkat Dato’ Mukhriz dilihat kurang bersemangat dibanding dengan dua pencabarnya; apalagi mahu digantung harapan untuk membawa pembaharuan dalam lokomatif pimpinan Pemuda.

Secara rasional Dato’ Seri Dr Mohd Khir memang kelihatan berani apabila mahu merakyatkan Pemuda UMNO; apalagi turut mempertikai ISA yang dipertahan oleh Dato’ Mukhriz. Sebaliknya Khairy Jamaluddin mengikut rentak Dato’ Seri Mohd Khir yang mengakui sudah membangkitkan beberapa kali dalam Exco Pemuda pelaksanaan ISA memberi kesan kepada UMNO dalam PRU12 lalu. Justeru dua calon Pemuda UMNO Dato’ Seri Dr Mohd Khir dan Khairy Jamaluddin menampilkan diri dengan keberanian agresif, sementara Dato’ Mukhriz masih tercari-cari haluan. Ketika Khairy mahu membawa ‘suara orang muda’, di samping Dato’ Seri Dr Mohd Khir mahu menjadikan Pemuda UMNO ‘suara rakyat’, Dato’ Mukhriz sekadar mahu melaksanakan pendekatan pembaharuan, tetapi tak jelas kea rah mana disasarkan.

Kalau berdasarkan slot ‘HUJAH’ di TV9 itu sebagai ‘debat terbuka’, barangkali Dato’ Seri Dr Mohd Khir berada pada rating di hadapan sekali. Bukan saja pakej pengalaman beliau selaku Presiden Majlis Kerjasama Belia Asian, malah beliau mempunyai rangkaian pimpinan yang akrab dengan belia termasuk GPMS dan Belia 4B. Ketika Dato’ Seri Dr Mohd Khir tak berkompromi dengan ketuanan Melayu di samping isu PPSMI, Khairy Jamaluddin masih terikat dengan kelemahan-kelemahan ketuanya Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dalam isu ketuanan Melayu dan PPSMI. Apalagi Dato’ Mukhriz bagaikan teraba-raba berkaitan isu berkenaan yang dilihat mahu berkompromi dengan Pemuda di kalangan komponen BN. Heh heh heh!

PILIHANRAYA KECIL ‘BUKIT’ MENULAR:
SPR BERTAMBAH RIMAS SEPANJANG 2009

Isu foto bogel ADUN Bukit Lanjan di Selangor, boleh mendorong satu lagi pilihanraya kecil sekiranya Elezabeth Wong kekal dengan keputusan mahu meletak jawatan. Sebelum ini dua ‘Bukit’ bersiap sedia untuk pilihanraya kecil iaitu ‘Bukit Gantang’ di Perak dan ‘Bukit Selambau’ di Kedah. Desas desus juga menyebut Parlimen ‘Bukit Katil’ di Melaka akan dikosongkan selepas Mac 2009, diikuti DUN ‘Bukit Baru’ yang akan melengkapi pilihanraya kecil ‘bukit’ berterusan demi satu. Bukan sahaja SPR bertambah rimas, malah BN yang mahu berlagak dengan ‘politik kotor’ akan berhadapan insiden seperti sebelum Mei 1969, apabila ADUN dan Ahli Parlimen Parti Buroh meletak jawatan satu demi satu. Disebabkan UMNO dan BN tak mahu belajar daripada sejarah, justeru sejarah itu boleh berulang tak diduga, tak disangka dan tak dijangka!

Memang selepas Perak, kerajaan PR di Kedah mahu digugat disebabkan kedudukan 16 kerusi PAS berbanding 14 kerusi UMNO tak cukup kuat, apabila bergantung kepada 4 (PKR) 1 (DAP) dan 1 (Bebas).. Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau boleh sahaja menular Bukit Lada, Bukit Pinang, Bukit Kayu Hitam atau Anak Bukit. Kelantan juga boleh menular pilihanraya kecil ‘bukit’, kerana meman terdapat DUN Bukit Panau, Bukit Bunga, Bukit Tuku; diikuti di Terengganu dengan DUN Bukit Tunggal, Bukit Payung dan Bukit Besi.. SPR dan UMNO juga bole memikirkan pilihanraya kecil ‘bukit’ di Pulau Pinang yang membabitkan Bukit Mertajam, Bukit Tengah, Bukit Tambun, Bukit Bendera dan Bukit Gelugor. Bersediakan SPR dan UMNO menghadapi scenario pilihanraya kecil ‘bukit’ sekiranya mahu meneruskan ‘politik kotor’ itu. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

KUASA SPRM WAJAR DIPANTAU:
ELAKKAN MALAYSIA JADI GESTAPO

Meletakkan kuasa berlebihan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PRM) dengan tak dipantau boleh mendorong Malaysia menjadi seperti Gestapo, kata pengkritik sastera tersohor sekitar dekad 1960-an Haji Yahaya Ismail (Pak Ya). Mengulas insiden lapoiran polis yang dibuat ahli UMNO yang terbabit dalam kes ‘politik wang’ pada 28 Januari 2009, Pak Ya soal siasat dijalankan amat keterlaluan seolah-olah melakukan jenayah berat. Isu ‘politik wang’ sudah ditimbulkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak sejak 1971 lagi, justeru cara soal siasat keterlaluan itu sukar diterima. Apalagi Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah mengingatkan supaya tak dilakukan soal siasat keterlaluan itu. “berdasarkan 12 perkara yang dilapor dalam aduan berkenaan tak sepatutnya berlaku,” beritahu Pak Ya.

Aktivis UMNO terbabit Halimi Kamaruzzaman membuat laporan di Balai Polis Damansara pada 28 Januari 2009, berikutan ditangkap di pejabat SPRM Temerloh pada 23 Januari 2009. Berdasarkan laporan tersebut kata Pak Ya memang terdapat unsure-unsur didera dan di ‘assault’ malah pada perkara (a) disebut dengan jelas, “Saya telah dipukul di bahagian kepala, perut dan bahu bertubi-tubi oleh ketiga-tiga pegawai ini pada 23.1.09 di dalam bilik tahanan. Menurut Pak Ya, dalam isu ketidak adilan, pihak kami bukan sahaj mempertahankan aktivis di luar UMNO, malah aktivis UMNO juga wajar diberi perlindungan dan keadilan. “Keadilan adalah untuk semua bukan kepada aktivis di luar UMNO sahaja,” beritahu Pak Ya.

SEJARAH PERJUANGAN BANGSA MELAYU:
UMNO SEKADAR PERUNDING KEMERDEKAAN

oleh: Mohd Affandi Hassan
(Pengkritik Sastera Melayu Moden)

Sejarah sebenar yang objektif tentang perjuangan rakyat menentang penjajahan di Tanah Melayu belum lagi ditulis. Yang ada dan dipakai di sekolah-sekolah ialah sejarah yang dipinda untuk mendaulatkan UMNO sebagai “perunding” kemerdekaan. Tidak ada ahli sejarah atau penulis buku sejarah yang membezakan antara ”pejuang” kemerdekaan dengan “perunding” kemerdekaan. Hal ini terjadi kerana sejarah politik di Tanah Melayu dilihat sebagai peristiwa, sebagai naratif khusus tentang kumpulan yang “menang”, bukan sejarah perjuangan rakyat yang objektif. Sejarah itu masih lagi dalam bentuk dan semangat Hikayat Sejarah Melayu yang meletakkan golongan bangsawan dan para raja sebagai watak utama yang mencorakkan sistem politik dan kewujudan negara.

Dalam konteks moden, peristiwa Malayan Union menjadi asas kepada sejarah baru yang pada hakikatnya adalah penerusan daripada feudalisme yang dicorakkan oleh Hikayat Sejarah Melayu. Peristiwa Malayan Union ini melahirkan feudalisme baru ciptaan UMNO dengan kerjasama dan sokongan penjajah Inggeris. Dalam konteks ini, tidak saja Malayan Union merupakan projek penjajahan Inggeris, malah apa yang disebut “kemerdekaan” itu sendiri adalah projek penjajah Inggeris untuk menafikan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan. Melalui projek kemerdekaan tajaan Inggeris ini, satu kumpulan pemimpin Melayu berketurunan bangsawan diwujudkan oleh Inggeris untuk menjadi rakan mereka dalam perundingan kemerdekaan dengan bangsa asing di Tanah Melayu.

Pada hakikatnya Inggeris ingin membalas jasa golongan pendatang ini yang menyokong mereka dalam Perang Dunia II. Mereka melahirkan para “perunding” kemerdekaan untuk menjayakan projek kemerdekaan penjajah Inggeris. Sementara itu, para pejuang kemerdekaan seperti Ishak Hj. Muhammad, Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam dan lain-lain dijadikan pemberontak dan penjahat. Suara mereka tidak ada langsung dalam perundingan itu, yang diwakili sepenuhnya oleh golongan bangsawan, birokrat asuhan Inggeris, dan wakil-wakil pendatang asing. Melalui dua cara ini, yakni melalui cara yang diwujudkan dalam Hikayat Sejarah Melayu dan episod selepas Perang Dunia II dalam Hikayat Malayan Union, maka terciptalah sejarah Tanah Melayu moden yang dilihat dan dihuraikan sepenuhnya daripada perspektif penjajahan Inggeris dan pewarisnya “perunding” kemerdekaan tajaan Inggeris.

Dari perspektif inilah sejarah itu tidak objektif, menghadkan naratifnya kepada tingkah laku “perunding” kemerdekaan warisan Malayan Union, dengan menjadikan para perunding itu wira bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Jika sejarah yang palsu ini diteruskan, maka yang terjadi ialah krisis politik di Perak yang berakhir dengan rampasan kuasa yang biadab dengan restu sultan sendiri. Oleh itu adalah penting jika sejarah Tanah Melayu dilihat dari perspektif dua mitos agung, iaitu Mitos Sejarah Melayu dan Mitos Malayan Union, jika kebenaran sejarah ingin ditonjolkan. (17/2/2009).

KOMENTAR:
Bersama Pak Parjo

KERAJAAN YANG TELAH DIRAMPAS KUASANYA
DIIBARAT SEBAGAI CETEK AKAN KANUN NEGERI

Sebermula Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri yang dirampas kuasanya itu sebagai cetek akan kanun negeri, adanya. Syahdan akan Orangkaya Dato’ Seri Mohamed Nazri sentiasa mahu menunjuk-nunjuk seperti hulubalang lakunya, kerana selama ini ia sukar mahu melawan bayang-bayang bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir Mohamad. Arakian fakir diberitahu akan Orangkaya itu satu purnama lagi nasibnya terumbang ambing, kalau tak bertindak menjadi hulubalang sekarang. Kasihan! Memang pernahlah orang tua-tua mengingatkan ‘kalau banyak bercakap, biasanya akan tergigit lidah’. Disebabkan Orangkaya itu tak gemar belajar akan papatah petitih orang tua-tua dahulukala, maka ia mahu juag terus bercakap.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan raja Maluku, negerinya dialahkan oleh Kastilan. Maka raja Maluku pun larilah ke Melaka. Pada ketika itu Raja Rokan dan Telanai Terengganu pun ada di Melaka menghadap Sultan Alauddin. Maka raja Melaka dipersalin oleh Sultan Alauddin dengan pakaian anak-anak raja dengan sepertinya. Adapun raja Maluku itu terlalu tahu bersepak raga. Maka segala anak-anak tuan yang muda –muda bermain sepak raga, dan raja Maluku yang menjadi ibunya. Setelah raga dating kepadanya disepaknya raga itu, seratus, tengah dua ratus kali, maka baru diberikan kepada orang lain, kerana itulah caranya ia mahu menunjuk-nunjuk akan perihal hulubalangnya pada masa itu. Arakian raja Maluku itu biasanya akan termengah-mengah selepas menyapak raga itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU.

Monday, February 16, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

SEGELINTIR MELAYU UMNO BANGKIT UNTUK
MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN INSTITUSI RAJA

Assalamualaikum,

Kebangkitan segelintir Melayu UMNO yang mahu mempertahankan kedaulatan institusi raja, di samping sengaja dihebohkan media seolah-olah menonton filem ‘Tiga Abdul’ karya Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee. Audien terbahak-bahak ketawa dengan garapan P. Ramlee (sekalipun mentertawakan diri sendiri), apabila Sidiq Sigaraga berasa bangga memperbodohkan Abdul Wahab dan Abdul Wahib, ketika Tuan Penasihat meraih keuntungan 25 persen. Segelintir Melayu UMNO yang berselindung di sebalik NGO juga merasakan majoriti Melayu yang menolak perhambaan minda tak kenal siapa pimpinan GPMS, seni mempertahan diri dan lain-lain pertubuhan yang melakonkan watak Tuan Penasihat berdasarkan filem ‘Tiga Abdul’ P. Ramlee, sekalipun pelakon asalnya Salleh Kamil lebih berjaya menjiwai watak tersebut.

Pada period kolonial British pun, mereka mendakwa mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu, dengan menghebahkan Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Pandak Edot di Pasir Salak yang menentang Sultan Perak. Di Pahang Dato’ Bahaman, Mat Kilau, To’ Gajah Imam Rasu, Panglima Mansor Chenor dan Panglima Haji di Lipis dianggap mahu mencabar kedaulatan Sultan Pahang, sekalipun yang memperhina institusi raja adalah British dengan kekuatan militan dan perjanjian berat sebelahnya. Kebangkitan segelintir Melayu UMNO pula berikutan ‘rampasan kuasa’ di Perak pada 6 Februari 2009 dengan propaganda ‘Tiga Abdul’ iaitu ‘siapa marah kena jual’. Justeru yang ‘kena jual’ tetap Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib.

Melayu Abdul Wahub masih mampu menggunakan fikiran ‘yang dianugerah Allah’ (bukan menerusi IPTA atau IPTS; apalagi dari luar negeri), mengenai kebobrokan pihak yang memperalatkan undang-undang Sidiq Sigaraga. British pun sekadar mampu alatkan undang-undangnya dalam tempoh 100 tahun sahaja hingga 1941, apabila gagal bertahan daripada kemaraan Jepun. Memang melucukan apabila golongan yang meminda undang-undang bagi menghapuskan kekebalan raja-raja pada 1993, tiba-tiba bangkit pula untuk mempertahankan kedaulatan raja-raja. Kalau mahu didaulatkan semula raja-raja dengan ‘orang tertentu’ tak berpeluang menyaman Sultan Perak, justeru kekebalan raja-raja itu dipulihkan terlebih dahulu. Kembalikan semula kekebalan raja-raja Melayu seperti keperihalan sebelum pindaan 1993. Silakan!

Apabila kekebalan raja-raja tak dipulihkan, memang wajarlah P. Ramlee menggarap filem komedi hebatnya ‘Nujum Pak Belalang’. Dalam gelak ketawa segelintir Melayu UMNO boleh menonton bagaimana Sultan Shahrul Nizam dari kerajaan negeri Beringin Rendang merangkak di dalam gua mahu mencari mahkotanya yang dilarikan dua orang penyamun dengan sengaja diberikan nama ‘Badan’ dan ‘Nyawa’. Maknanya, musuh sebenar segelintir Melayu UMNO itu ialah ‘badan’ dan ‘nyawa’ sendiri (atau diri sendiri) bukannya Ahli Parlimen bukan Melayu yang mahu menyaman Sultan Perak itu. Justeru segelintir Melayu UMNO yang berdemonstrasi mahu mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu ini, belajarlah dengan membuat kajian secara kritis terhadap filem-filem garapan P. Ramlee yang malar segar itu. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

KECOH DI REMBAU TAK IKUT LUNAS:
SEKADAR MENANGGUK DI AIR KERUH

Oleh: Hussein Lempoyang

Dato’ Ismail Shamsuddin mendakwa Undang Rembau mempunyai kepentingan peribadi tidak mempedulikan permintaannya untuk mendapat balik jawatannya sebagai Dato’ Lela Setia/Dato’ Perba Rembau. Katanya, mahkamah tinggi Seremban pada 2007 telah mengisytiharkan pemecatannya dari jawatan itu pada tahun 1997 sebagai tidak sah. Oleh itu adalah tidak adil dari segi adat jawatan itu tidak dikembalikan kepadanya. Dato’ Ismail mendakwa beliau telah pun menghantar surat kepada Undang Rembau tetapi tidak mendapat apa-apa jawapan ataupun tindakan. Katanya struktor lembaga Undang Rembau akan tergugat sekiranya beliau mendapat kembali jawatannya itu. “Undang Rembau sekarang dilantik oleh Dato’ Sedia Lela menggantikan tempat saya, setelah saya dipecat,” Katanya dalam sidang media di Dewan Kelab Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam (15 Februari 2009).

Bagaimanapun sidang media dihadiri kira-kira 10 orang sahaja itu tidak diberi perhatian, disebabkan dalam masa yang sama gerakan SAHABAT juga mengadakan sidang media berhampira di Dewan Orang Ramai, Kampung Baru bagi menyatakan sokongan kepada institusi raja-raja Melayu. Justeru sidang media Dato’ Ismail yang menuntut pesaka Waris Nan Dua Carak di Luak Rembau, Dato’ Perba itu menimbulkan tanda tanya menurut salah seorang ahli waris di Rembau Haji Kamarudzaman Salleh. Kata, Haji Kamarudzaman bagi seseorang yang menuntut haknya perlulah di telapak sendiri, bukan menerusi sidang media. “Penyelesaian adat adalah kepada waris yang dibuat di telapak masing-masing, bukan di mana-mana sahaja tak mengikut lunas adat,” menurut Haji Kamarudzaman.

Justeru sidang media terbabit sekadar mahu ‘test market’ malah lebih bersifat untuk menangguk di air keruh dalam kemelut sekarang. Haji Kamarudzaman juga menganggap perilaku berkenaan adalah ditakrif menghina institusi raja-raja Melayu, apabila membuat tuntutan pesaka tak mengikut lunas seperti ditetapkan adat: ‘Melompat bersetumpuan, mengerat berlandasan’, jelas Haji Kamarudzaman. Seterusnya beritahu beliau, sesiapa yang dipecat daripada pesaka kedudukannya ialah: Punggur yang tak boleh bertunas muda’, justeru beliau merujuk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan Bab 8 Perkara 28 (1) menyebut: “Dengan tertakluk kepada Ceraian (2) di bawah fasal ini maka perkataan raja di mana-mana yang ada tertulis di dalam Bahagian Kedua Perlembagaan ini adalah bermakna Yang Maha Mulia dan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin yang ada pada masa itu.”

PIMPINAN MELAYU JGN JADI KEPOMPONG:
MAMPU LAHIRKAN KEINDAHAN RAMA-RAMA

Pimpinan politik bukan Melayu lebih pintar mahu menjadi juara dalam isu PPSMI (Pembalajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris), beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah. Mengulas laporan di TV malam kelmarin (14 Februari 2009), Presiden MCA Dato’ Seri Ong Tee Kiat mahu PPSMI dikaji semula, malah menuntut diajar dalam bahasa ibunda (mother tounge), Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor berasa hairan terhadap pimpinan Melayu di dalam BN berasa ragu-ragu mahu mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. “Pimpinan Melayu dalam BN jangan menjadi kepompong yang sekadar tempat menampung rama-rama,” beliau mengingatkan.
Seterusnya Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor berasa sedih dengan sikap Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein seolah-olah tak menyedari ‘kepompong’ itulah yang melahirkan ribuan rama-rama beranika warna. Bahasa Melayu yang dianggap sama seperti kepompong yang kelihatan buruk oleh Dato’ Seri Hishamuddin sebenarnya mampu melahirkan rama-rama beranika rama itu. Katanya lagi, Dato’ Seri Hishamuddin juga tak perlu mengharapkan sokongan grup pelan peralihan kuasa akan mendominan calon-calon bagi jawatan tertinggi UMNO, Mac 2009 ini bagi mempertahan PPSMI. Menurutnya, siapa sahaja yang menentang kepentingan Melayu akan menerima padah dalam pemilihan tersebut. “Sekali PPSMI ditentang, setiap pimpinan yang pertahankan isu berkenaan akan disingkirkan,” jelas Profesor Dato’ Dr Mohd Mansor.

INFO SASTERA & BUDAYA

PEMANGKIN SASTERAWAN WARGA EMAS:
PERTINGKATKAN PENULISAN UNTUK BANGSA

Kalangan penulis yang dikategorikan ‘sasterawan warga emas’ menyambut baik kurniaan dana sejumlah RM5 ribu yang disumbangkan oleh Ke bawah Kaus YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau untuk aktiviti ‘sasterawan warga emas’. Dalam perjumpaan sasterawan warga emas yang diwakili PRIMA di kediaman rasmi YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip 10 Februari 2009 lalu, YTM itu mengumumkan dana tersebut dalam sabda ucapannya. Presiden Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) , Dato' Dr Hassan Ahmad mengucapkan tahniah apabila mengalu-alukan kurniaan YTM Undang Luak Rembau itu. Beliau yang tak berkesempatan hadir dalam majlis tersebut disebabkan jadual yang lain, meminta sasterawan warga emas ikut bersama dalam aktiviti GMP.

Bekas Pengarang Urusan Fajar Bakti, Drs A.F Yassin menganggap ianya sebagai galakan kepada sasterawan warga emas menghasilkan karya-karya berterusan. Drs A.F. Yassin yang juga sasterawan warga emas kelahiran Rembau, tak sempat menyertai delagasi menghadap YTM Undang Luak Rembau menharapkan sumbangan kurnia tersebut boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam meneruskan aktiviti sasterawan warga emas, terutama menghasilkan karya-karya yang bermutu untuk kepentingan agama, bangsa dan tanahair. Seorang lagi bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ A. Aziz Deraman yang mempunya jadual ke Kota Kinabalu mahukan sumbangan kurnia YTM Undang Luak Rembau itu dijadikan pemangkin untuk sasterawan warga emas terus berbakti bagi mempertingkatkan karya-karya sastera Melayu.

TAHNIAH KEPADA GAPENA:
BERSAMA MENENTANG PPSMI

Langkah Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membuat laporan polis semalam (15 Februari 2009) kerana kegagalan kerajaan membatalkan PPSMI disambut baik oleh penulis-penulis warga emas dan pejuang Bahasa Melayu di seluruh negara, beritahu aktivis budaya Yassinsalleh. Katanya, memang penulis-penulis warga emas menunggu ‘kejantanan’ Gapena sebagai ormas (organisasi massa) dalam mempertahankan daulah Bahasa Melayu yang diperkotak-katik menerusi pelaksanaan PPSMI. Gapena sedar pelaksanaan PPSMI tak sah mengikut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 dan secara jelas mencabul Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, tetapi mengambil masa yang lama untuk membuat laporan polis. “Tetapi ianya masih belum terlambat untuk Gepena tampil dengan kejantanan,” Yassinsalleh menjelaskan seterusnya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Ketua Satu Gapena Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, Yassinsalleh yang juga bekas pendidik memberi jaminan akan bersama di belakang Gapena memberikan sokongan dalam isu PPSMI. Katanya, selagi Gapena tak berganjak menentang PPSMI, pihak penulis-penulis warga emas bersama PRIMA akan memberikan sokongan tak berbelah bahagi. Malah, penulis-penulis warga emas dan PRIMA akan ikut bersama aktiviti Gapena menentang PPSMI hingga ianya dimansuhkan tanpa syarat. Menurut Yassinsalleh lagi, Gapena akan menerima sokongan padu daripada semua penulis-penulis di Malaysia dalam isu PPSMI ini. “Bukan sahaja sokongan moral, malah bantuan material juga pihak penulis-penulis warga emas dan PRIMA bersedia bersama Gapena,” kata Yassinsalleh menambah.

INFO SUARA PROLITAR

MASA KUAT DULU PERLEKEH RAJA:
SEKARANG SANGGUP BUAT APA SAJA!

Macam nak tergelak baca laporan media. Mereka yang menunjuk-nunjuk nak jadi juara pertahankan institusi raja-raja sekarang, muka itulah dulu yang mencaci raja-raja Melayu dulu. Mereka nak tarik sokongan orang Melayu yang sudah membencinya pada PRU12, lalu gunakan isu raja-raja Melayu. Ketika kuat dulu, raja-raja diperlekeh, kekebalan raja-raja dihapuskan. Tak payah berdalih kononnya nak perkukuhkan institusi raja-raja. Masa itu ada raja Melayu nak buat perjumpaan dengan rakyat, jabatan kerajaan pun dilarang memberikan kerjasama. – (Ustaz A.A. – Ipoh, Perak).

SEKARANG HARI-HARI SUSAH:
PELAN ALIH KUASA HARI-HARI MASUK

Seorang pembeli ‘surat khabar lama’ memberitahu, sekarang ‘hari-hari susah mahu cari makan’, tetapi selepas pelan peralihan kuasa nanti ‘hari-hari ada orang masuk ISA’. Itu pandangan golongan prolitar dengan senario politik semasa. Maknanya, pembeli ‘surat khabar lama’ juga tahu mengeluh dengan senario politik di negara ini. Disebabkan sumber mata pencariannya sekadar membeli surat khabar lama, kerana peluang lain sukar digapai, justeru tugas berkenaan diteruskanlah. Tak dapat dinafikan majoriti rakyat memang tak yakin perubahan yang membantu rakyat selepas pelan peralihan kuasa, kecuali untuk kepentingan peribadi sahaja. – (Man Cincai, Selayang, Selangor).

BEBAN YANG DITANGGUNG PELAJAR:
MENTERI TUTUP TELINGA DGN RUNGUTAN

Ibu bapa yang prihatin menyedari beban yang ditanggung anak-anaknya yang masih bersekolah. Anak-anak ke sekolah jam 7.00 pagi dan balik 2.10 petang. Kalau ada kenderaan sendiri cepatlah sampai di rumah, sebaliknya yang menaiki bas sekolah jam 3.30 petang belum tentulah sampai. Balik dari sekolah anak-anak keletihan, terpaksa tidur selepas makan. Sekurang-kurangnya jam 5.30 terbangun, masih belum sempat untuk membuat kerja-kerja sekolah. Kalau mahu membuat kerja-kerja sekolah, terpaksalah selepas makan malam, dan selesai solat maghrib. Rutin ini dilalui anak-anak sekolah untuk kefahaman kepada jabatan pelajaran, khususnya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein yang tak peka dengan masalah pembelajaran selama ini.

Justeru kerja-kerja sekolah itu akan dibuat hingga lewat jam 2.00 pagi, barulah pelajar terbabit masuk tidur. Bayangkan apabila tidur lewat perlu bangun jam 5.30 pagi esoknya untuk ke sekolah pula. Tak hairanlah ramai pelajar-pelajar bosan dengan persekolahan hingga berlakunya murid-murid ponteng! Tetapi pelajar-pelajar yang setia, mereka tetap mematuhi rutin berkenaan, disebabkan tak pernah dibuat sebarang kajian oleh pihak jabatan. Murid-murid tambah dikelirukan apabila ibu bapa diberitahu dua subjek sahaja iaitu Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Tetapi murid-murid terbabit merungut apabila biologi, sains tambahan, kimia, matematik tambahan, geometri dan algebra juga diajar menggunakan Bahasa Inggeris.

Ketika Menteri Pelajaran memberitahu PPSMI ditangguhkan, tetapi ianya tetap masih diteruskan di sekolah-sekolah. Kalau ditangguhkan bermakna pelaksanaan PPSMI itu perlulah ditangguhkan, justeru pengajaran dalam Bahasa Inggeris itu ditangguhkan serta merta. Biasanya orang-orang politik selalu bercakap, kalau merasakan negeri ini tak sesuai, maka carilah negeri lain untuk menjadi warga negara. Sebaliknya orang politik tak pernah pula memikirkan, kalau merasakan tak mahu menerima pandangan dan rungutan rakyat, pergilah mencari negeri lain untuk menjadi menteri yang rakyatnya tak merungut dan tak memberikan kritikan – (Ibu Bapa Prihatin, Ampang, Selangor).

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

PERSIDANGAN MAJLIS RAJA-RAJA
ORANGKAYA PERDANA PERJELASKAN

Sebermula tersebutlah alkisah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ia akan memberi penjelasan mengenai peristiwa di negeri Perak dalam persidangan Majlis Raja-Raja tak lama lagi. Adapun akan Majlis Raja-Raja itu akan bersidang tiga purnama sekali. Memang tak sama dengan zaman dahulukala ianya bermesyuarat di balairongseri apabila dititahkan sahaja. Syahdan pada zaman bahari raja itu hendaklah ditaati, kerana tak sekali-sekali hamba Melayu itu menderhaka. Adapun Orangkaya Dato’ Abdullah itu berkata demikian kerana mengulas cadangan harakah Melayu (UMNO) Cheras, yang mahukan sidang khas Majlis Raja-Raja. Maka fakir berasa terkedulah kerana beraninya hamba Melayu sekarang menyuruh rajanya membuat sidang khas setelah gerangannya mereka lebih berkuasa dari raja.

Arakian baginda Sultan Mansor Shah segera berangkat mendapatkan mayat anakanda baginda. Maka diarak baginda, dibawa masuk ke istana; maka ditanamkan dengan seperti adat kerajaan. Maka segala orang yang mengiring Raden Kelang itu habis dibunuh baginda, disebabkan meninggalkan anakanda itu. Syahdan akan segala pengiring-pengiring Raden Kelang tak sempat mencadangkan Sultan Mansor Shah bermesyuarat terlebih dahulu dengan segala pembesar-pembesarnya. Maka empat puluh hari baginda tiada nobat, bercintakan Raden kelang. Maka Bendahara Paduka Raja persembahkan nobat, maka baharu baginda nobat. Syahdan, akan Paduka Mimat, anak Sultan Mansor Shah dengan Puteri Hang Li Po, anak raja China itu pun sudah hilang; akan tetapi hamba Melayu itu sedialah hamba juga seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:




















HIDUP BAHASA MELAYU.

Saturday, February 14, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA <<< >>> PRIMA

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

INFO HAK ASASI MANUSIA


SURAT TERBUKA IR MUHAMMAD NIZAR:
KRISIS ANGKAT SUMPAH MB DI STANA PERAK

Assalamualaikum,

(Perutusan yang disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Ir Muhamad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak pada 6 Februari 2009, berikutan berlakunya ‘rampasan kuasa’ oleh UMNO dengan memproklamir Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Besar Perak apabila mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, sekalipun melanggar tata susila dan etika institusi kesultanan Melayu sejak zaman dahulu, malah berlawanan pada perlembagaan negeri Perak sekarang. Polis dan kakitangan kerajaan dikerah bagi melaksanakan upacara yang bertentangan dengan perlembagaan seperti keperihalan Edward Gent diproklamir sebagai Gabenor Malayan Union pada 1 April 1946)

Bismilahir Rahmanir Rahim,
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan. Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berekaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi (6 Februari 2009). Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa pelantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya. Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan da nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan. Saya yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandate sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adala bertepatan dengan prinsip demokrasi dan system Raja Berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan institusi raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret intitusi raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana. Tiga kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar: Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu: Pertama - Pembubaran Dewan Undang Negeri, Kedua - Undi tidak percaya dalam siding khas Dewan Undangan Negeri, dan Ketiga - Saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung siding khas atau apa-apa siding membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak? Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan sahaja ganjil, tapi salah. Pelantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan.

RAJA DARI SEGALA RAJA FITNAH:
MEDIA ARUS PERDANA PROKSI UMNO:

Oleh: Dato’ Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin

Hari ini (6 Februari 2009) timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 milik RTM menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya Pakatan Rakyat dengan tujuan meneggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa. Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilimparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO. Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memuatrbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi (6 Februari 2009). Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan. Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit itu ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitive Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas-petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr Abdul Rahman Hashim yang menjerit. Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi institusi istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepnuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertehankan institusi diraja bahkan institusi kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini.

Saya tidak relah rakyat menganggap istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil. Pesanan kepada Sultan Perak dan rakyat: Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak di luar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan. Terima kasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullah.

UMNO RENDAHKAN DARJAT RAJA:
BIADAB, DERHAKA, ANGKUH, JAHIL…

oleh:Mohd Affandi Hassan
(Sasterawan Melayu Tersohor)

UMNO begitu perit menghadapi kemurkaan rakyat yang diciptanya sendiri dengan merampas kerajaan Perak dengan begitu biadab, sehingga memerlukan seorang raja untuk membelanya. Kenyataan akhbar Sultan Selangor menyuarakan dengan jelas ketakutan UMNO, sehingga kenyataan itu penuh dengan cercaan yang tidak perlu yang dilakukan UMNO untuk merendahkan darjat raja-raja Melayu. Sebenarnya pindaan perlembagaan 1983 yang dilakukan UMNO membuka ruang yang sangat luas untuk sesiapa saja mengkritik raja-raja Melayu dan membawa mereka ke mahkamah untuk diadili dan dihukum. Perbuatan ini tidak dianggap biadab, derhaka, angkuh, jahil, dan kemaruk kuasa (senarai ini dalam kenyataan akhbar Sultan Selangor), padahal itulah yang dilakukan UMNO selama ini.

Sebenarnya tidak pantas bagi seorang raja untuk mencerca rakyatnya, kerana selain ditegah oleh Demang Lebar Daun dalam perjanjian dengan perlente Keling yang diangkat menjadi raja Palembang, perbuatan mencerca rakyat itu hanya mendatangkan kemurkaan rakyat yang sedang marah kerana diperbodohkan oleh para pemimpin yang rakus kuasa, biadab, tamak, derhaka dan sebagainya itu. Lebih waras dan lebih wajar jika raja-raja Melayu tidak memihak kepada kumpulan tertentu, atau parti tertentu, tetapi tetap melindungi rakyat yang tertipu dan dizalimi. Kita mempunyai undang-undang yang boleh dipakai oleh sesiapa saja untuk membela dirinya di mahkamah, oleh itu tidak wajar golongan yang ingin membela diri dan mencari keadilan itu disekat daripada berbuat demikian.

Sewaktu ditanya kepada Imam Ghazali mengapa kerajaan Parsi boleh bertahan 5000 tahun, jawab Imam Ghazali, di kalangan raja-raja Parsi terdapat raja-raja yang adil, termasuk Raja Nushrawan Adil (ejaan nama raja ini berbeza-beza) yang dijadikan model oleh raja-raja Melayu. Oleh kerana para pemimpin UMNO tidak tahu sejarah ini, maka mereka telah memberi nasihat yang salah kepada Sultan Selangor sehingga melahirkan kenyataan akhbar yang memalukan rakyat Malaysia. Sampai begitu sekali UMNO menghina rajanya.

HIDUP BAHASA MELAYU.

Friday, February 13, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA <<< >>> PRIMA
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KERENAH BIROKRASI DALAM TAKAFUL:
HAL EHWAL PELAJAR MAHU PERJUANGKAN

Assalamualaikum,

Hampir enam bulan berlalu permata hati keluarga saya, Allahyarham Ikram Hafiz berpulang ke rahmatullah pada 26 Ogos 2008, tapi hingga sekarang rakan-rakannya di kampus masih mengingati beliau. Petang ini 13 Februari 2009, bahagian hal ehwal pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) di Bestari Jaya menghubungi saya, bagi menyampaikan kutipan derma dari fakultinya. Maknanya, selepas enam bulan berlalu rakan-rakannya masih terus membuat kutipan derma kepada Allahyarham yang menemui khaliqnya, ketika rakan-rakan terlalu menyayangi beliau. Allahyarham Ikram Hafiz meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalanraya di Ijok, sewaktu perjalanan balik ke rumah dari kampus untuk mengambil buku-buku pengajiannya.

Bagaimanapun pihak hal ehwal pelajar tak berputus asa apabila pihak insuran Takaful masih belum memberikan imbuhan kepada Allahyarham. Sekalipun dokumen sudah diserahkan kepada pihak Takaful, tetapi masih tak diselesaikan atas alasan ‘surat kebenaran pengkebumian’ tak dikepilkan bersama. Ironinya, pihak Takaful macam tak mahu melayani ‘sijil kematian’ sebagai dokumen terpenting. Justeru pihak keluarga saya tak berminat lagi mahu melayani kerenah Takaful (yang janjinya molok-molok belaka), tetapi pihak hal ehwal pelajar masih mahu meneruskan usaha membuat tuntutan insuran. Alhamdullillah. Sepatutnya ‘sijil kematian’ (yang dikeluarkan oleh jabatan pendaftaran negara) itu lebih bermakna daripada ‘surat kebenaran pengkebumian’ (yang dikeluarkan oleh hospital); apalagi surat berkenaan diambil oleh JPN. Tapi, begitulah kerenah birokrasi dalam Takaful. Aduhai!

SUMBANGAN DANA RM5 RIBU:
SOKONGAN MORAL KEPADA PRIMA

YTM Dato’ Lela Maharaja, Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau berkenan menyumbangkan dana sebanyak RM5 ribu ringgit untuk aktiviti PRIMA dalam pertemuan di kediaman rasminya di pecan Rembau pada 10 Februari 2009 lalu. PRIMA diwakili Pak Dharma, Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Yassinsalleh dan Mohd Najib diterima mengadap oleh YTM Dato’ Undang Luak Rembau bagi menerima memorandum perjuangan mempertahankan ‘ketuanan Melayu’ dan menentang PPSMI. “Sumbangan yang disampaikan oleh YTM Dato’ Undang Luak Rembau, seolah-olah mengimbau kembali bagaimana raja-raja Melayu menyumbangkan dana RM15 ribu kepada Kongres Melayu Pertama pada 1946 bagi menubuhkan UMNO,” kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

KETUANAN MELAYU CIPTAAN UMNO:
SUDAH DIPINDA RAJA ADIL RAJA DISEMBAH

Oleh: Mohd Affandi Hassan
Petaling Jaya, Selangor

Dalam perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan perlente Keling yang diangkat menjadi raja mereka oleh rakyat Palembang, termaktub persetujuan bahawa raja tidak boleh memalukan rakyat, manakala rakyat pula tidak dibenarkan menderhaka kepada raja. Tidak disebut raja tidak boleh dihina jika melakukan kezaliman; oleh itu orang tua-tua telah meminda persetujuan itu melalui peribahasa mereka yang terkenal, Raja adil raja disembah; raja zalim raja disangggah. Tetapi peribahasa ini tidak boleh dipakai lagi, seperti banyak lagi peribahasa lain yang diharamkan selepas merdeka. Antaranya peribahasa berkaitan dengan gelaran “Keling” dan ular siapa dulu yang harus dibunuh, atau yang perahunya karam.

Kini semuanya ditafsir dan dihukum mengikut istilah “ketuanan Melayu” yang dicipta oleh UMNO untuk mengabui mata orang Melayu sambil menakutkan orang bukan Melayu. UMNO mendakwa mereka telah diberi hak istimewa untuk mempertahankan “ketuanan Melayu” itu, oleh itu mereka boleh berbuat apa saja dalam konteks itu, termasuk menolak demokrasi jika didapati tidak memihak kepada mereka. Peristiwa di Perak adalah contoh paling baik membenarkan kesimpulan ini. Dalam politik Malaysia moden, raja-raja Melayu telah mengkhianati rakyatnya dengan menyebelah kepada penjajah untuk menerima Malayan Union; tetapi raja-raja ini telah diselamatkan oleh para pembesar Melayu, golongan bangsawan Melayu, yang kehilangan kuasa dan kedudukan jika Malayan Union itu dilaksanakan.

Golongan bangsawan dan para pembesar ini digunakan oleh Inggeris untuk melaksanakan projek kemerdekaan tajaan mereka, sebagai hadiah mereka kepada orang bukan Melayu yang telah menyokong mereka ketika perang. Orang Melayu menyokong Jepun dengan harapan akan diberi kemerdekaan selepas Jepun berundur. Dengan kemenangan Inggeris dalam Perang Dunia II, maka Inggeris meletakkan syarat yang ketat kepada pembesar Melayu jika mereka ingin merdeka mengikut tajaan Inggeris. Paling berat ialah persetujuan mereka untuk memberi kerakyatan kepada kaum pendatang secara total melalui jus soli. UMNO menerimanya sebagai hadiah kepada kebaikan Inggeris yang berjanji akan memerdekakan Tanah Melayu. Inggeris pun tunaikan janjinya, dan orang Melayu pun hilang Tanah Melayu; tetapi UMNO sangat gembira serta megah kerana raja-raja mereka telah diberi kedudukan tinggi oleh Inggeris dengan menyerahkan hal ehwal adat dan agama Islam kepada raja, sambil merampas semua kuasa lain yang seharusnya ada pada seorang raja tulen.

Walau bagaimanapun sejarah Tanah Melayu dan raja-rajanya ditulis, hakikat ini tidak dapat ditolak. Penenggekan raja-raja Melayu di atas takhta adalah bukti kegagalan perjuangan orang Melayu untuk medapat kemerdekaan sebenar. Oleh itu mereka akan menghadapi masalah politik seperti di Perak sepanjang hayat dan sepajang sejarah mereka. Demikianlah celakanya orang Melayu yang menerima perjanjian Demang Lebar Daun dengan perlente Keling yang dilantik orang Melayu menjadi raja mereka di Palembang, yang kemudiannya diturunkan di Tanah Melayu. Yang pertama harus berani menerima hakikat ini ialah ahli sejarah sendiri, yang telah mengkhianati sejarah bangsanya.

INFO SASTERA & BUDAYA:

DESAK TARIK KERAKYATAN SASTERAWAN:
GEROMBOLAN MELAYU LATAH KERANA UMNO

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Tokoh Pengkritik Sastera Melayu Moden)

Dalam tahun 1972, ketika Hadiah Sastera mula-mula diperkenalkan oleh Tun Razak atas nasihat para sasterawan sendiri, sebuah cerita pendek saya berjudul “Biarlah Orang Tahu” terpilih; tetapi kerana beberapa sebab saya menolaknya. Rupanya keputusan saya itu menimbulkan kemarahan ahli politik UMNO, khususnya seorang yang sangat dekat dengan Tun Razak. Katanya: “Berani ini Affandi lawan Tun Razak. Kita patut cabut kerakyatannya …” Yang menyampaikan cerita itu seorang wartawan, sahabat saya. Episod ini saya abadikan dalam judul buku kumpulan cerita pendek terbitan DBP, Biarlah Orang Tahu (2005).

Sekarang seorang bernama Karpal Singh sedang riuh dijeritkan oleh sekumpulan gerombolan Melayu yang latah supaya kerakyatannya dilucut, diharamkan menjejakkan kaki di Perak, dan lain-lain usul yang mencerminkan kebodohan Melayu, bukan kebijaksanaan yang kita harapkan. Mengapa orang Melayu sangat bangga memperagakan kebodohan mereka, terjerit-jerit di tepi jalan meminta kerajaan bertindak zalim terhadap sesiapa juga yang mereka tidak suka? Ini terjadi kerana UMNO dan polis sendiri memberi sokongan dan menggalakkannya. Mereka tidak dikenakan sekatan berhimpun secara haram kerana mereka memihak kepada kezaliman ketua-ketua yang mereka sanjung.

Walaupun mereka sangat bangga mendesak supaya undang-undang dilaksanakan sekeras-kerasnya, tetapi undang-undang tidak boleh digunakan untuk menentang kezaliman. Mereka berkata kerajaan baru yang dirampas oleh UMNO di Perak dilakukan berasaskan undang-undang dan perlembagaan; tetapi mereka marah jika orang lain menggunakan undang-undang untuk mencabar perbuatan haram mereka. Bilakah orang Melayu akan cerdik dan menunjukkan kecerdikan bila berguam dan berhujah? Sudah 50 tahun lebih mereka diajar menjadi bodoh dan Pak Turut. Adakah mereka akan meneruskannya? Keputusan ini telah ditentukan oleh ketua-ketua UMNO supaya diteruskan, kerana itulah intipati makna ketuanan Melayu yang taat kepada raja dan pemimpin. Malah ulama sendiri memberi nasihat supaya orang Islam jangan jadi cerdik, sebaliknya terus taat kepada kezaliman kerana itulah kadak dan kadar, sudah ditakdirkan sejak azali.

Jika ulama sendiri demikian keliru dan cetek, maka siapa lagi yang boleh diharapkan oleh orang Melayu? Raja-raja mereka telah mengkhianati mereka zaman Malayan Union dulu; dan warisan Malayan Union itu masih diteruskan dalam sistem politik yang berteraskan dua mitos agung, Mitos Sejarah Melayu dan Mitos Malayan Union. Bangsa Melayu hanya akan menjadi cerdik dan merdeka jika mereka faham bagaimana dua mitos agung ini telah mencengkam pemikiran dan tindakan mereka. Mereka akan terus menjadi bodoh dan bangga menjadi bodoh jika mereka tidak memahami dua mitos agung politik ini. Inilah cabaran orang Melayu dalam Abad 21 ini.

PUISI

Imbauan Ikan-Ikan Dikaca

-buat saudaraku
Dato’ Yazid Othman

Ikan-ikan di kaca indah alamnya
indah alamnya ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca gemulai lenggangnya
gemulai lenggangnya ikan-ikan di kaca.

Ikan-ikan di kaca manja hidupnya
manja hidupnya ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca, ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

Terpenjara sebenarnya ikan-ikan di kaca
demikian aku terilham dari wajah bangsaku
dari jiwa orang Melayu dalam segala kealpaannya
Iya, ikan-ikan di kaca kau lahir sebagai perbantahan
hati seorang remaja yang cuba belajar
menjadi dewasa ketika bangsanya
terlonta-lonta mencari pengertian
apa dan siapakah mereka di bumi keramat
tanah airnya sendiri.

Dan kini bukan lagi
kau keli dan puyu
tapi kelisa dan flowerhorns
aduhai ikan-ikan di kaca?

-Yassinsalleh
Kuala Lumpur
12 Februari 2009
jam 1604


INFO SUARA PROLITAR

JADIKAN PRIMA NGO YANG KUAT:
PERLU BAHAGIAN PENYELIDIKAN CEKAP

Untuk PRIMA menjadi NGO yang kuat, perlu ada bahagian penyelidikan yang cekap. Baik jika sdr. atau sesiapa dari PRIMA boleh bekerjasama dengan Dr. Abu Hassan Hasbullah dari UM yang banyak menjalankan penyelidikan politik, sosiologi dan lain2. Dikemukakan komen saya seterusnya tentang situasi politik Malaysia sekarang. - (Emel; 13 Februari 2009 - MAH, Petaling Jaya, Selangor)

PR MENANG KENA SANTAU:
BN MENANG RAKYAT TERBUNGKANG

Bukit Selambau Bukit Gantang, banyak ampu banyak limau, UMNO & BN akan terpukang, macam kerbau dibaham limau. Beras secupak jadi segantang, tanak nasi gulai kelayau, BN menang rakyat terbungkang, PR menang kena santau. Mujur juga Bukit Selambau dan Bukit Gantang, kalau Behrang, Jelapang dan Cangkit Jering, tak ke haru biru? Macam mana pula Pensiangan di Sabah. Masya Allah. Takut-takut UMNO kena sembelit, atau buasir tak mahu sembuh. Apalagi buasir, kalau dah kena tak senang duduk. Kabarnya ramai sangat ahli UMNO dah kena buasir. - (SMS; 12 Feberuari 2009; 22:19:24 - YS, Puchong Perdana, Selangor)

HIDUP BAHASA MELAYU!