Friday, April 10, 2009

CORETAN ZACK

Kabinet baru diatur:
Kepada siapa mereka suka!

Nak bising buat apa? Semua telah diatur oleh mereka yang diberi mandat memerintah dan menyusun siapa yang mereka suka. Allah juga telah menentukan segala-galanya sepertimana kehendak-Nya. Yang berjaya Tuhan sayang pada mereka sambil meletakkan ujian besar dari yang gugur dan gagal. Yang tidak berjaya pula, Tuhan sedang menguji kesabaran dan iman mereka yang kemudiannya akan disediakan rahmat yang lebih besar sekiranya semasa berkuasa mereka tidak menyeleweng atau menyalah guna kuasa. Kalau mereka banyak menghimpun dosa dan sombong, mereka terimalah padahnya selepas ini.


(* Zack ialah Zakaria Bidin, kolumnis di akhbar Buletin Rakyat. Beliau ialah bekas editorial akhbar 'Balai Muhibbah' di Jabatan Perdana Menteri sekitar dekad 1970-an, dan bekas ketua editor akhbar 'Ekspres'.)

ANALISIS MOHD AFFANDI...

Janji pembaharuan Najib:
Kabinet mala petaka yang berpuaka

Sama ada secara kebetulan atau memang dirancang, pada hari ini 9/4/2009 dua orang mata-mata yang dituduh membunuh wanita Monggolia Altantuya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Belum tentu akan digantung, tapi hukuman telah dibuat. Maka pada hari ini juga rakyat Malaysia bersorak gembira kerana sebuah kabinet baru untuk mereka telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri baru. Tidak tahu mengapa anak Tun Razak yang baru saja dilantik jadi PM membentuk Kabinet yang oh ...oh, eh ... eh biasa saja.

Agaknya ramai yang masih rindukan ketua-ketua parti muka lama yang kalah pilihan raya, yang telah ditolak rakyat hidup-hidup. Tentulah mereka sangat istimewa kepada PM baru, walaupun rakyat sudah meluat melihat mereka, terutama ketika berucap berdegar-degar sampai berputar-putar halkum (kalau jantan) atau terhenjut-henjut buah dada lisut (kalau betina). Kata T. S. Eliot, sasterawan besar Inggeris itu: (maaf hendak kutip panjang sedikit kerana tepat sekali dengan apa yang terjadi sekarang):

“We are the hollow men/ We are the stuffed men/ Leaning together / Headpiece filled with straw. Alas! / Our dried voices, when / We whisper together / Are quiet and meaningless / As wind in dry grass / Or rats’ feet over broken glass / In our dry cellar." Jelas dan tepat sekali menggambarkan tokoh-tokoh Kabinet baru ini. Seterusnya kata Eliot: “Shape withour form, shade without colour, / Paralysed force, gesture withour motion;/” Telah berkata Tun Razak pula, sasterawan adalah propagandis zamannya.
Tapi bukan T. S. Eliot, yang menggambarkan kehebatan perasaan hampa manusia Eropah selepas Perang Dunia I. Soalan bodoh: Adakah tidak “the hollow men” dalam politik Malaysia, terutama dalam UMNO/BN? Mereka ini pun propagandis zamannya juga kah? Kabinet ini diberi nama kabinet rakyat. Soalan bodoh lagi: Mengapa diberi nama kabinet rakyat? Tidakkah semua kabinet, sejak mula merdeka hingga sekarang, semuanya untuk rakyat? Itulah cara propagandis menonjolkan diri, mesti istimewa dan lain dari yang lain, padahal tidak lebih daripada “ the hollow men stuffed with straw.”

Cara mendekati rakyat begini kelihatan sangat janggal, terlalu menghina kemampuan berfikir rakyat, terlalu memperkecil keupayaan rakyat membaca kepalsuan kata-kata hebat yang tidak lebih daripada ucapan yang “stuffed together with straw.” Sekarang soalan mencabar: Mengapa kabinet ini wajib dinilai dengan kritis? Jawapannya mudah saja: Mereka didakwa dianggotai tokoh-tokoh yang akan membina Negara Satu Malaysia yang memihak kepada rakyat, yang menjadikan kebajikan rakyat paling atas. Betulkah begitu? Katalah betul.

Oleh itu langkah pertama yang wajib dilakukan ialah mengisytiharkan harta benda anda untuk dilihat rakyat banyak mana hak anda dan banyak mana pula hak rakyat. Jika anda tidak berani melakukannya, minta ampun banyak-banyak kami mahu sembah derhaka: Biarlah tidak usah bekerja untuk kami rakyat yang tidak mahu terhutang budi supaya tidak diungkit-ungkit bila kalah pilihan raya kononnya kami tidak mengenang budi. Kalau tidak mahu, atau malu hendak isytiharkan harta anda pun tidak mengapa, kerana kami tahu berapa banyak harta anda sejak anda menjadi pembela rakyat dan berjuang untuk rakyat.

Simpanlah harta itu di luar atau di dalam negeri, itu hak anda dan kami pun tidak mahu kacau, hanya anda saja yang kacau kami. Jangan buat apa-apa pun atas nama kami jika faedahnya andalah yang menerimanya. Jadi sebenarnya tidak ada kabinet untuk rakyat. Yang ada ialah kabinet yang disusun oleh PM untuk mencerminkan pilihan peribadinya, sama ada dipengaruhi (oleh Dr. Mahathir Mohamed misalnya) atau tidak. Setiap kabinet adalah gambaran matlamat politik seorang PM dan kawan-kawannya, seperti yang diakui bahawa kabinet ini pun bertujuan untuk memenangi pilihan raya ke tiga belas nanti.

Tidak salah untuk memenangi pilihan raya, tetapi matlamat politik yang ingin dicapai itu tidak wajar dijadikan matlamat rakyat, kerana anda awal-awal lagi telah memberi amaran kepada rakyat bahawa mereka mesti memilih anda. Itulah rasuah politik paling besar dan tidak boleh dimaafkan oleh rakyat. Jadi rakyat tidak harus tertipu dengan slogan, kerana slogan adalah permainan politik yang tidak semestinya menguntungkan rakyat.

Ahli politik yang duduk dalam kabinet pula harus jujur dan berani mengaku bahawa mereka bukanlah pemimpin yang terbaik untuk negara Malaysia, tetapi mereka berada di situ kerana sistem politik Malaysia tidak dapat menentukan ciri-ciri pemimpin yang baik, bijaksana, amanah, dan takutkan Allah Ta’ala. Jadi anda akan faham mengapa anak Mahathir Mohamed dilantik menjadi Timbalan Menteri penting. Berbeza dengan ciri politik Islam, yang meletakkan yang akhir itu di tempat pertama, oleh itu semua ciri kepemimpinan yang baik dengan sendirinya mengikutinya. [9/4/2009]

(*Mohd. Affandi Hassan, pesara PTD yang berpengalamn dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan. Beliau adalah sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor, malah dianggap setanding dengan H.B. Jassin di Indonesia.)

Thursday, April 9, 2009

Suara Suhaimi Di Lubuk Kawah...

Perihal setia Najib:
Masih kekal kpd Mahathir

Ada dua nama yang Mahathir (bekas Presiden UMNO ,Tun Dr Mahathir Mohamad) memang tak bersetuju, satu Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO), dan satu lagi Muhammad Muhd Taib (Tan Sri, bekas Ketua Penerangan UMNO). Mahathir kata Khairy Jamaluddin didapati rasuah oleh UMNO Disciplinary Committee manakala Muhammad Muhd Taib tak tahu Bahasa Inggeris.Tapi anak Mahathir yang dikalahkan oleh Khairi Jamaluddin dapat pangkat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, eh hem eh hem!.

Yang kebanyakannya gugur dari kabinet adalah yang sangat lantang membela Pak Lah apabila diserang Mahathir. Yang naik dalam senarai kabinet Najib (Dato' Seri Mohd Najib Tun razak) tu semua tak rasuah. Mereka yang tersenarai memang disenangi oleh Mahathir. Ada apa-apa ke? Jadi, kita cabar semua perwakilan UMNO dari Bahagian-Bahagian supaya dedahkan siapa beri berapa banyak untuk mendapat pencalonan dulu. Kalau betul-betul mahu UMNO bersih, takut apa? Dedah aje lah! Kalau nak perubahan, berubahlah betul-betul; jangan sekerat ular, sekerat belut. Puah paleh weh!
(*Haji Suhaimi Said, anak pejuang nasionalisme di Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang. Pernah ditahan di bawah ISA pada dekad 1980-an, dalam isu mempertahankan mangsa di Mamali dan Lubuk Merbau di Kedah. Beliau adalah pegaumabela dan peguamcara).

Apa Kata SMS...

Sekadar 'jaga hati'
Bimbang komponen lari

Kabinet Najib (Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun razak) hanyalah kabinet 'jaga hati' supaya komponen tak merajuk. Kaki bodek Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dapat tempat. Anak 'Singa UMNO' (Dato' Seri Syed Abdul Hamid Albar) patah taring. MCA dengan 15 kerusi mahu 4 menteri dan 6 timbalan menteri; kouta mahu penuh, kerusi takde tak apa! Parti Gerakan dah lingkup satu negeri, beri juga jawatan menteri. Kalau tak habis lari. Mat Taib @ Mike Tyson apa hal wal hasil balik hasal, wal hasal balik hasil. Begitulah 'hikayat kabinet Najib'! (L. Mankadir Shamsi, Lancang, Pahang).

BM Hidup kembali:
Harapan demi harapan

Salam. Macam mana harapan kabinet baru Najib (Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak)?. TPM & MP (Timbalan Perdana Menteri & Menteri Pelajaran) orang Johor. Barangkali kesan GMP (Gerakan Mansuh PPSMI). Insya Allah, Bahasa Melayu hidup kembali. Alhamdullllah, Pak Dharmala NS - selamat berkarya. Buku tentang KJ (Khairy Jamaluddin) tu patut pedulikan? Harap Pak Ya bertenang, ketika menentang arus! - (Dr. Leo A.W.S, Kota Bharu, Kelantan)

PUISI


Malang Oh Malang

Bila kita kol
orang tu tak jawab
anggap sajalah
dia tu pekak
jangan buruk sangka
kata dia sengaja
tak nak jawab.

Tapi kalau pekak
apa guna pakai
fon pulak
ehh, orang tak boleh
mendengar
pakai fon untuk
SMS
macam Pyan.

Jadi kalau tak pekak
gamaknya,
dia letihlah tu
baru balik dari
Bukit Gantang
penat tampal
poster tapi tak
menang
macam mana
nak menang
kuat sangat tipu
orang.

Entah-entah
fon dia dah jual
tak?

Dia nak balik
tak ada
tambang
duit upah bawa hantu
dia kalah bertaruh
nak minta kat boss
dah pergi ke
Danuk pula dia.

Hai, jual dengan
simcard sekali
ini mesti dia
terkena badi
si pawang tua tu
kalaulah
pawang kengkang tu
tak datang
dah tentu
menang.

Aduhai,
malang oh malang!

-Yassinsalleh
jam 0630
April 9, 09
fajar Kuala Lumpur
tak berembun.

EMEL MOHD AFFANDI...


Wira Iraq baling kasut:
Susah untuk jadi dewasa

Saya tertawa baca pasal selipar. Mengapa jadi isu? Dr. Syed Husin Ali pakai selipar saja pergi lecture. Tak pula dia lahirkan pelajar kurang ajar (atau biadab). Mengapa selipar jadi isu? Seorang wartawan Iraq tiba2 jadi wira bila dia baling kasut ke arah Pre. Bush. Hendaknya janganlah ada di antara penulis/sasterawan kita baling kasut/selipar pula bila tak sukakan penceramah atau pemikirannya. Rupanya susah untuk jadi dewasa dalam dunia penulisan di Malaysia. Sabar sajalah, Pak Dharma. Salam. - (Mohd Affandi Hassan, Petaling Jaya, Selangor)

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Dijatuhi hukuman mati:
Keris laksamana tak berguna

Kata sahibul hikayat dua orang anak buah Dato' Temenggung yang berkawal menjaga keselamatan itu pun dijatuhi hukum mati hari ini 12 Rabiulakhir 1430 (atau disebut orang banyak di kemudian hari 9 April 2009). Adapun anak-anak buah Dato' Temenggung itu sudah bertaraf penggawa iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri seorang namanya, adapun yang bertaraf bentara itu Koperal Sirul Azhar Umar seorang namanya. Sebermula anak-anak buah Dato' Temenggung itu didakwalah ia membunuh wanita dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu namanya. Arakian tersebut seorang penulis warta Raja Petra Kamaruddin namanya, pernah dibawa ia ke penjara kerana perihal memfitnah perkara Altantuya, adanya!

Syahdan setelah mendengar segala permintaan Tuan Puteri Gunung Ledang, Tun Mamat penghulu orang Inderagiri itu turunlah. Setelah bertemua dengan Laksamana Hang Tuah yang menunggu di pertengahan gunung kerana keuzuran, serba salahlah Tun Mamat mahu memberitahu akan permintaan Tuan Puteri Gunung Ledang. Adapun Tuan Puteri Gunung Ledan itu dimintanya Sultan Mahmud mendirikan jambatan emas dan jamban perak dari Melaka hingga ke Gunung Ledang. Arakian laksamana pun enggan balik ke Melaka, lalu dicampaknya keris Taming Sari ke dalam sungai Melaka kerana katanya, keris itu tak berguna lagi untuk membunuh kerana orang di kemudian hari menggunakan heh heh heh, seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:




HIDUP BAHASA MELAYU!