Tuesday, April 14, 2009

PADA HEMAT MOHD AFFANDI...


Melayu hilang bangsanya:
Berapa banyak wawasan kita ada?

Malaysia, bukan Tanah Melayu yang sudah hilang, mempunyai banyak keistimewaan. Selain kaya dengan hasil bumi pelbagai macam, kita juga kaya dengan manusia pelbagai kaum. Orang Melayu, yang dianggap bumiputera dengan hak istimewa tertentu, tidak lagi boleh dipanggil “bangsa Melayu” kerana kedudukannya telah diturunkan sebagai salah satu kaum “pendatang” yang sama tarafnya dengan semua kaum pendatang selain Melayu.

Perkataan kaum itu sendiri tidak lagi kerap dipakai, kerana dalam suasana politik yang ada telah ditentukan perkataan yang tepat adalah “etnik”. Jadi jika anda orang Melayu, anda adalah salah satu jenis etnik yang ada di Malaysia. Jika anda masih mahu menggelarkan diri anda bangsa Melayu, anda adalah rasis (kini tidak lagi dipanggil perkauman kerana menurut pandangan yang dipopularkan oleh kaum Yahudi, rasis itu lebih tepat). Mengikut kehendak politik sekarang, anda adalah salah satu suku kecil bergelar etnik yang setaraf dengan orang asli, bumiputera asli, pendatang asli dari China, India, Arab dan lain-lain.
Anda tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, dengan itu menurut pandangan ini adalah karut jika anda masih mahu mempertahankan “ketuanan Melayu” kerana menurut politik sekarang “ketuanan Melayu” adalah gerakan rasis yang mesti ditentang dan dihapuskan. Kedudukan anda sebagai etnik Melayu dalam Perlembagaan tidak boleh dipinda pada waktu ini, tetapi boleh digugat dan digoncang untuk membuat anda berasa ragu dan takut.

Dalam konteks inilah munculnya Wawasan Satu Malaysia, untuk menterjemahkan ketakutan anda sebagai etnik Melayu supaya mengerti keadaan politik di Malaysia sudah berubah, oleh itu anda sebagai etnik Melayu mestilah bersedia untuk menerima perubahan itu dan mesti berani menghadapi tentangan dari segenap penjuru setelah ketua-ketua anda yang anda anggap sebagai penyelamat anda terbukti bukan penyelamat anda, tetapi penyelamat diri mereka sendiri. Adakah anda faham situasi kelam-kabut ini?

Cubalah anda fikirkan dan faham supaya anda sedar betapa jauhnya anda telah dibawa oleh ketua-ketua anda yang sebenarnya anda tidak perlukan. Itulah makna politik baru, jika anda belum faham. Dalam konteks itulah Wawasan Satu Malaysia itu berada. Masalahnya anda tidak dibenarkan berbincang tentang “wawasan” ini. Berbagai-bagai amaran telah dibuat untuk menakutkan anda supaya menerima saja Wawasan Satu Malaysia, tanpa sebarang perbincangan kritis dan sengit.

Sekarang anda tidak boleh berkata Satu Malaysia itu penjelmaan daripada Malaysian Malaysia yang mula-mula sekali disuarakan oleh Lee Kuan Yew dari Singapura, diangkat menjadi slogan yang menggerunkan orang Melayu oleh parti DAP (Malaysia), dan kini “seolah-olah” diteruskan oleh UMNO/BN melalui Perdana Menteri baru. Jika kita dibenarkan berbincang, mungkin kita akan sampai kepada program Dato’ Onn yang menolak UMNO dengan menubuhkan parti baru, malah kita akan sampai kepada projek penjajah Inggeris melalui Malayan Union.

Jika kita dibenarkan berbincang secara terbuka, kita akan melihat, seperti yang tertulis dalam sejarah, bahawa Malayan Union dipindahkan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu yang diterima baik oleh orang Melayu (ketika itu masih boleh dipanggil orang Melayu) kerana menurut mereka raja-raja mereka telah diberi kedudukan baru, menurut pilihan Inggeris. Raja-raja Melayu yang sedia berkuasa ditukar oleh Inggeris jika didapati menentang Inggeris.
Penyesuaian menurut cita rasa Inggeris dilakukan dengan persetujuan orang Melayu sendiri, oleh itu ahli sejarah mendapati agak sukar hendak menulis sejarah “kerajaan Melayu” kerana adanya pertukaran itu. Sejarah yang kita baca dan terima sekarang adalah versi Inggeris, yang dilembagakan dalam Perlembagaan Persekutuan, oleh itu tidak boleh diubah. Bolehkah kita berkata dengan wujudnya Wawasan Satu Malaysia ini sejarah itu telah dipaku mati, tidak boleh dibuka lagi dan tidak boleh diberi tafsiran kritis?

Anda juga tidak boleh berkata Wawasan Satu Malaysia adalah lanjutan daripada Wawasan 2020, kerana kesimpulan itu bermakna kedua-dua wawasan yang kelihatan berbeza itu pada hakikatnya adalah sama, dengan matlamat yang sama, iaitu untuk melanjutkan PPSMI dalam sistem pendidikan negara ini, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai teras pembinaan tamadun moden di Malaysia.
Dari perspektif itulah maka kedua-dua wawasan ini sebenarnya lanjutan daripada projek Malayan Union yang kononnya ditolak oleh UMNO, padahal pada hakikatnya UMNO wujud sebagai projek Inggeris untuk melaksanakan Malayan Union mengikut cita rasa pemimpin Melayu yang pro-Inggeris menjadi alat Inggeris untuk “merundingkan” kemerdekaan dengan etnik China, India dan lain-lain yang menyebelahi Inggeris dalam Perang Dunia II.

Tentulah sangat ironis apabila hanya selepas 50 tahun baru orang Melayu sedar, jika ada yang sedar, bahawa yang disebut “kemerdekaan” itu ialah perkongsian sama rata antara tiga etnik utama Tanah Melayu (yang sudah hilang) dimulai dengan penerimaan pemimpin UMNO terhadap kerakyatan jus soli. Nah, itulah sejarahnya, seperti yang terjadi, bukan seperti yang tertulis. Dari perspektif itulah kita harus membaca makna dan maksud Wawasan 2020 dan lanjutannya Wawasan Satu Malaysia yang mendaulatkan PPSMI. [14/4/2009]
(*Mohd. Affandi Hassan menggunakan nama pena MABHAS di awal penulisannya. Cepennya 'Kapitalis Kecil' disiarkan di akhbar 'Mingguan Pedoman' [5 Januari 1957] adalah kritikan sosial terhadap kebobrokan barjois, justeru beliau turut perjuangkan golongan prolitar sekalipun pernah berkhidmat sebagai pegawai tinggi kementerian)

BELASUNGKAWA...


Berpulangnya ke rahmatullah:
Ibu JurucakapPRIMA, Kamal Amir


Ibu kepada Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz, Hajjah Saerah Abdul Razak meninggal dunia pagi ini (14 April 2009) di rumah anak perempuannya Hajjah Habibah Kamal Hijaz di Batu 7, Lekir di Sitiawan, Perak. Dato' Kamal Amir yang berkejar balik ke Sitiawan semalam (13 April 2009) sempat menatap wajah ibunya sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi ini. Hajjah Saerah, 85 tahun uzur sejak beberapa bulan lalu mengadu kesukaran bernafas sejak semalam. Dato' Kamal Amir memberitahu, Allahyarhamah ibunya akan dkebumikan petang ini selepas asar di perkuburan Islam Batu 7, Lekir.


Hajjah Saerah ialah kakak kepada bekas wartawan Allahyarham A.R.Kamaluddin dan penulis buku-buku berunsur Islam A.R. Kamaruzzaman. Dato' Kamal Amir bagi phak keluarganya mengucapkan terima kasih kepada jiran-jiran, sahabat handai dan kawan-kawan yang turut mengunjungi jenazah ibunya. Justeru bagi pihak PRIMA dan rakan-rakan, ketua pimpinan Pak Dharma mengucapkan takziah kepada Dato' Kamal Amir dan keluarga, di samping mendoakan semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Telur itik dari Singgora
Zahid tak faham apa-apa!

Arakian tersebutlah kisah di sebuah negeri Melayu itu berasa beranglah Orangkaya Bagan Datoh Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, apabila Orangkaya Tumpat menyamakan kekacauan di negeri gajah putih akan berlaku pula di negeri Perak. Syahdan sekalian orang banyak berasa hairan baru sahaja beberapa hari dipilih masuk ke balai penghadapan harakah Melayu (UMNO), sudah menunjukkan belang. Sudah diketahui oleh orang banyak Orangkaya Bagan Datoh itu pernah ia memukul seorang anak muda kerana berkehendak akan anak perempuannya.

Adapun Orangkaya Tumpat Dato' Kamaruddin Jaafar itu dahulunya bersama-sama ia dengan Orangkaya Bagan Datoh. Tetapi sekali persetua keluarlah ia memasuki harakah Islam (PAS) selepas Orangkaya Permatang Pauh diperlekeh orang, disebabkan kasihnya akan sahabatnya itu. Maka Orangkaya Bagan Datoh dan Orangkaya Pangkor Dato' Zambry Kadir kekalnya ia dalam harakah Melayu, kerana boleh juga menjadi kepala perang untuk melawan Orangkaya Permatang Pauh itu, adanya. Syahdan diberitahu oleh Tun Jana Khatib yang di Singapura, kalau Allah berkehendak orang yang berkuasa hari ini, akan hilanglah kuasanya keesokan hari.

Sebermula disuruh bunuh oleh Sultan Singapura akan Tun Jana Khatib itu. Maka Tun Jana Khatib pun dibawa orang ke tempat pembunuhan, serta ditikam orang hampir kedai membuat bikang. Syahdan darah Tun Jana Khatib titik ke bumi, badannya ghaib tiada berketahuan. Maka oleh orfang membuat bikang itu ditutupnya dengan tutup bikang darah Tun Jana Khatib itu, lalu menjadi batu; datang sekarang pun ada di Singapura (tetapi bukanlah Batu Putih yang tak mampu dipertahan oleh Orangkaya Pagoh Tan Sri Muhyiddin yang menjadi orang besar di kemudian hari). Ada suatu ceritera badan Tun Jana Khatib itu terhantar di Langkawi, ditanamkan orang di sana; itulah dipantunkan orang:

Telur itik dari Singgora (Songkhla di negeri gajah putih)
pandan terletak dilangkahi
darahnya titik di Singapura
badannya terhantar di Langkawi.

Sebab itulah kata orang-orang d akhir zaman jambatan bengkok ke Singapura itu menjadi kemarahan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad yang membangunkan Langkawi seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:

Sukar mahu beri kefahaman:
Melayu Abdul Wahab, Abdul Wahib...

Assalamualaikum,

Kadangkala Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib sukar memahami kiasan yang sinis, disebabkan sudah menjad kebiasaan diserbu seladang yang menebong tak peduli apa. Justeru sukar untuk memberi kefahaman bagaimana Abu Nawas mentafsirkan perihal lembu pandai bercakap, apabila Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib mengenali Siddiq Sigaraga sahaja. Sekalipun sudah dijual kepada Hussin Lempoyang, mereka masih juga anggap diri masing-masing setara dengan adiknya Abdul Wahub. Disebabkan tak tahu membezakan antara ketuanan Melayu dengan ketuanan UMNO, mereka menganggap memenangkan UMNO adalah mmenangkan Melayu.

Sekitar dekad 1970-an misalnya, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu (Tan Sri Abdul Samad Idris) disaman oleh aktivis pembangkang Ibrahim Singgeh (bekas ADUN Tapah Road, Perak) apabila melabelkan Melayu yang menyertai parti terbabit 'hati perutnya bukan Melayu'. Bagaimanapun kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah, apabila akhbar yang membuat laporan tersebut bersetuju membayar sejumlah ganti rugi. Mesej yang disampaikan di sini ialah Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib yang berkeliaran sekarang, berlagak seperti akhbar yang membuat laporan itu.

Maknanya mereka membisikkan yang molok-molok untuk memperoleh ganjaran; disebabkan bimbang 'bercakap benar' apabila hilang peluang! Isu 'rampasan kuasa' di Perak bukan bermula 6 Februari 2009; malah sudah digerakkan pada malam 8 Mac 2008. Sebahagian besar Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib masih terpinga-pinga lagi ketika itu, tetapi Melayu Abdul Wahib sudah memikirkan 'untung rugi', 'buruk baik' dan 'malang tuah' politik Melayu. Bukan sahaja di Perak, malah di Selangor juga Melayu Abdul Wahib berperanan tetapi atas landasan: Ibarat memalu ular di belukar, kayu pemukul jangan patah, tanahnya jangan lembang, ular dipukul biarlah mati!

Tetapi Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib berfikiran sebaliknya kerana dalam sanubari masing-masing memikirkan ganjaran, justeru: Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang berdawat biar hitam! Barangkali Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib menyangka mudah sangat ganjaran berperanan seperti perihal George Bush di Iraq pada 2001. Iraq yang diramalkan Bush boleh selesai dalam beberapa minggu, sehingga beliau jadi 'kutu belahak' sekarang pun masih belum berakhir. Askar AS yang terbunuh di Iraq melebihi dari di Vietnam yang memalukan maruah rakyatnya. Begitulah!

-Pak Dharma

Monday, April 13, 2009

SUARA ANAK JELEBU...


Banjir resahkan penduduk:
Projek Takungan Air di Kg Gagu
Penduduk beberapa buah kampung di Jelebu merungut dengan masalah banjir sepanjang musim berikutan projek takungan membabitkan Mukim Ulu Teriang, beritahu seorang pekebun Zainal Maakir, 69. Menurutnya, sebelum ini banjir berlaku apabila membabitkan bah besar seperti tahun 1971 atau 1926. Apalagi dengan geografi daerah Jelebu sebagai kawasan paling kering (kurang menerima hujan) di Tenggara Asia, fenomena sekarang dianggap luar biasa. Zainal atau dikenali Tok Busu mengakui, sekarang ini banjir kerap berlaku. Pekebun-pekebun di sepanjang dataran Sungai Teriang mengalami kerugian dengan fenomena banjir ini. "Tanamn kontan seperti pisang, jagung, keledek dan kacang turut dimusnahkan oleh banjir," jelas Tok Busu lagi.

Aktivis UMNO Abdul RazakHarun, 60 juga mengalami kerugian apabila beberapa ekor ayam ternakannya mati akibat banjir, disebabkan tak sempat dipindahkan dari reban. Abdul Razak pesara tentera dari Kampung Jambatan Serong, Ulu Kelawang mengakui lokasi rumahnya berdekatan dengan projek mengorek terowong batu ke Sungai Terip di Kampung Pantai di Seremban. Terowong berkenaan akan disambung ke projek takungan air di Kampung Gagu yang menyebabkan 'Jeram Lesung' turut lupus, beliau memberitahu. Sumber dari Kampung Gagu mengakui dua buah trektor kepunyaan syarikat terbakir dibakar oleh penduduk-penduduk sebagai provokasi kepada langkah Menteri Besar Negeri Dato' Seri Mohamad Hassan berdegil melaksanakan projek tersebut.

SUARA ANAK PERAK


Zamry Kadir dinasihatkan:
Jaga kawasan sendiri baik-baik

Menteri Besar UMNO Dato' Zambry Kadir dinasihatkan memberi khidmat yang baik kepada kaasan yang diwakilinya bagi mengelakkan hilang kerusi pada pilihanraya akan datang menurut seorang penduduk di Manjong, Ishak Mat Lana. Memberitahu mengenai dakwaan Zambry hari ini (13 April 2009), orang Cina terpedaya dengan janji PAS menyebabkan calon UMNO tewas dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang 7 April 2009 lalu, beliau mengingatkan ianya sebagai menghina masyarakat Cina. "Apakah dengan mengantung permit Harakah dan Suara Keadilan, di samping TV dan media arus perdana bekempen sakan tak boleh mempengaruhi rakyat untuk menyokong UMNO," katanya.
Serentak dengan itu Ishak meminta Zambry turun padang bagi mengetahui masalah semua penduduk, jangan bergantung kepada publisiti di media yang menjadi 'sokong membawa rebah', beliau menjelaskan. Katanya lagi, pergilah ke Kampung Telaga Nenas dan saksikan sendiri tanah perkuburan Islam terhakis masuk ke Sungai Dinding yang menimbulkan keresahan kepada penduduk di situ. Kampung berkenaan dikuasai oleh UMNO, tetapi masalah tanah perkuburan Islam tak mampu diselesaikan. "Apakah sehingga semua kubur-kubur orang Islam tenggelam bersama Sungai Dinding baru UMNO nak menjengah?" menurut Ishak.

INFO SUARA PROLITAR:


Jenama rokok guna Putrajaya:
Macam menerima sokongan k'jaan


Kempen hentikan merokok di kalangan penagihnya tak memberi kesan positif, sekalipun sudah digerakkan sejak pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sejak dekad 1980-an. Harga rokok yang melonjak juga tak menghalang perokok meneruskan tabiat merokok. Apalagi pada dekad 2000-an, jenama rokok juga menampilkan Putrajaya yang dibangunkan oleh Tun Dr Mahathir. Jenama rokok 'SAAT' menggunakan latar belakang 'Putrajaya', tetapi tak diketahui sama ada ianya mempromosi pelancongan kepada Putrajaya atau untuk tujuan komersil ke atas jenama rokok berkenaan.

Justeru kerajaan dan kementerian kesihatan perlu memberi penjelasan mengenai kaitan syarikat rokok berkenaan dengan kerajaan Tak munasabah kerajaan membantu mempromosi rokok berkenaan, apabila Putrajaya dibenarkan diletakkan pada kotak rokok, seolah-olah kredit kepada syarikat rokok terbabit. Ketika kerajaan dan kementerian mengggerakkan kempen melarang merokok, ianya bagaikan memberi galakan pula dengan membenarkan syarikat rokok menggunakan Putrajaya mempromosikan jenama rokoknya. Menteri Kesihatan perlu memberi penjelasan bagaimana Putrajaya dibenarkan untuk diguna pada kotak rokok berjenama SAAT.