Friday, May 8, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Orangkaya Menteri berkata-kata:
Orang banyak terbahak-bahak ketawa

Arakian tersebutlah kepada suatu hari akan Orangkaya Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishamuddin Hussein berkata, ia akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang negara tanpa mengira kaum, agama dan fahaman siasah. Maka hendaklah Orangkaya itu mengambil tindakan ke atas dirinya terlebih dahulu kerana PPSMI itu melanggar undang-undang jua. Sebermula disuruhlah anak-anak buah dato' temenggung mengheret Orangkaya Yang Dipertua DUN Perak keluar dari balarirong.

Syahdan diketahui orang banyak Orangkaya Menteri Besar itu masih dbicarakan di balai panjang nan tinggi. Maka kekecohan yang berlaku di balairongseri negeri Perak semalam (12 Jamadiawal 1430) itu akan mempengaruhi pula perbicaraan di balai panjang nan tinggi yang belum memutuskan mengenai Orangkaya Menteri Besar itu. Adapun orang banyak bertanya kepada fakir tidakkah ia berlawanan dengan daulat di balairong. Maka sukarlah mahu menjawab kerana adat resam itu tak sama, adanya.

Hatta, maka Betara Majapahit menyuruh panggil seorang kepetangan yang terlalu tahu, lagi lekas daripada yang lain. Maka titah Betara Majapahit kepada kepetangan itu, "Sendalkan aku keris Tun Bija Sura itu, kerana ia cerdik amat ku lihat." Maka sembah kepetangan itu, "Apa daya kula menyendal dia kerana Melayu itu berkeris di hadapan, jika ia bekeris di belakang dapat juga kula sendal." Maka fikir Betara Majapahit adat resam Melayu itu memang kerisnya di hadapan, tetapi sekali sekala dihunus juga lalu dicium, selepas itu meminta maaflah sekalipun orang banyak terbahak-bahak ketawa dengan berpantun:

Perigi timbanya gayung tiris
Mari digali di tepi kota
Sekali hamba menghunus keris
Dua kali maaflah dipinta.

Maka kepetangan itu berfikir juga di dalam hati, akan segala Jawa memang keris di belakang kerana resam Melayu keris di depan seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:


Fokus ditumpu isu DUN Perak:
Lupalah dengan kebobrokan yg lain

Assalamualaikum,
Kekecohan DUN Perak (gambar) semalam (7 Mei 2009) menyebabkan fokus ditumpukan ke Ipoh, justeru rakyat dilalaikan dengan isu kebobrokan yang lain termasuk PPMSI, pembuangan kerja institusi kewangan atau politik wang, tragedi wanita Mongolia dan masalah golongan prolitar di kampung-kampung. Isu sekeluarga orang Melayu tak mampu menghantar anak-anak sekolah, kemiskinan masih lagi membelenggu sekalipun sudah lebih setengah abad merdeka - semua tak dibincang lagi. Fokus hanya DUN Perak yang lintang-pukang, jongkang-kalang dan tunggang-langgang. Alahai!

Sekitar dekad 1960-an rakyat dimomok-momok dengan isu komunisme, subversif dan konfrantasi, menyebabkan mereka dilalaikan mengenai isu bahasa, pendidikan dan perjawatan dalam kerajaan. Anak-anak Melayu sekadar mengisi jawatan perkeranian, peon dan tak berapa kerat yang mampu memegang jawatan ADO pun; apalagi jawatan tinggi di kementerian. Justeru isu DUN Perak semalam, rakyat sekadar melongo sahaja, tetapi mereka macah sudah terbiasa dengan harga barang yang naik seterusnya tak turun-turun lagi.

Restoran nasi kandar di Ipoh juga menjadi tumpuan, di samping ramai mangsa ditangkap polis di situ, sebaliknya tak siapa pertikai dengan harga menu yang dihidangkan. Kalau nasi beriani ayam diletakkan harga RM6.90 pun, pelanggan akan memugar penuh selera, kerana isu DUN Perak yang bergegar, berdegar dan berlegar lebih seronok difokuskan. Dua tahun lalu nasi beriani ayam sekadar RM4.90 sahaja; atau roti canai 40 sen, kari kepala ikan barangkali RM14 sepinggan, tapi sekarang kurrr semangat!
Tak apalah! DUN Perak yang bergolak lebih penting daripada kepapaan rakyat berterusan, malah mereka sekadar didendangkan dengan projek mega berbilion-bilion termasuk koridor wilayah Iskandar, utara atau timur. Mereka yang ketinggalan ialah tak mampu merebut peluang, yang menganggur kerana memilih kerja dan huh huh huh semuanya sama seperti fenomena dekad 1960-an atau sebelum tragedi 13 Mei. PPSMI yang menggusarkan orang Melayu adalah insiden sama dengan menghina Bahasa Melayu pada 1967 - apabila ditangguh dijadikan bahasa rasmi kerana tak layak, heh heh heh!

-Pak Dharma

SUMBER MALAYSIAKINI...

Pet ditawar RM30 ribu sebulan:
Henti tulis mengenai isu Altantuya


Dalam pendedahan terbarunya penulis blog Raja Petra Kamaruddin (Pet) mendedahkan identiti seseorang yang rapat dengan Perdana Menteri baru, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menawarkan imbuhan RM30 ribu sebulan bagi memberhentikan sebarang pendedahan yang berkaitan isu Altantuya Shaariibuu. Dalam tulisannya Raja Petra mendakwa, kenalan rapat Dato' Seri Najib memintanya berhenti menulis tentang wanita Mongolia itu. Bagaimanapun beliau terus mendedakan identiti pegawai tentera yang memberi maklumat heh heh heh berada di lokasi Altantuya dan C4. (Gambar, Pet ketika keluar dari balai polis Sentul tak lama dulu)

Menurut pengendali blog Malaysia Today, maklumat kontroversi tersebut datang daripada Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin, “orang nombor dua dalam unit khas bahagian risikan tentera” Malaysia. Beliau bertemu pegawai tentera melalui seorang rakannya, Nik Azmi Nik Daud, yang dikenalinya sejak 45 tahun lalu. Nik Azmi seorang pembantu ahli politik veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, kata penulis itu lagi. Beliau juga memohon pertolongan daripada beberapa individu antaranya termasuk pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi pembantu Tengku Razaleigh tentang kredibiliti pegawai tentera tersebut.

MANUSIA & PERISTIWA

Tragedi memalukan Malaysia:
'Rampasan kuasa' secara kekerasan

Kekuatan muncung senapang digunakan bagi 'merampas kuasa' mirip kepada 'junta' di DUN Negeri Perak, menyebabkan segalanya berlaku mengikut manuskrip UMNO/BN pada 7 Mei 2009. DUN yang sepatutnya bermula 10.00 pagi terpaksa menunggu 4.30 petang bagi acara rasmi titah ucapan diraja. ApalagiDYMM Paduka Seri Sultan Perak tak turun mencemar duli, sebaliknya diwakilkan kepada Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin. Perak dikuasai oleh polis sejak 8.36 pagi dengan kekuatan pasukan ditumpukan di Ipoh. (gambar polis mengawal DUN Perak)

Dilaporkan di Kuala Lumpur perbicaraan di mahkamah Jalan Duta (jam 2.30 petang, 7 Mei 2009) barang kes sebuah motosikal tak dibawa ke mahkamah, disebabkan tak mempunyai kenderaan bagi mengangkut barang kes berkenaan. Semua kenderaan sudah dihantar ke Ipoh, justeru barang kes berkenaan tak dapat dibawa ke mahkamah. Begitulah. Insiden Speaker, Sivakumar dikerenyuk juga tak seharusnya berlaku dalam negara yang bertamaddun. Memang rampasan kuasa 'junta' boleh betahan di Myanmar, tetapi negara berkenaan tersisih daripada masyarakat antarabangsa.

10.17 pagi polis mula menggerakkan tangkapan dengan lima mangsa, di samping 10.18 pagi Ahli Parlimen Parti Buntar, Mujahid Yusuff Rawa pula ditangkap. 10:32 pagi beberapa orang lagi pimpinan Pakatan Rakyat (PR) ditangkap termasuk Jeyakumar Devaraj, Helen Ang dan Sallahuddin Ayub dibawa ke dalam Black Maria. 11.02 pagi Ganesan mengangkat sumpah menjadi Speaker mirip kepada pelantikan pengerusi mesyuarat yang tak berstatus DUN. 11.26 pagi dilaporkan lebih 60 mangsa ditangkap. Pesta menangkap mangsa diteruskan, malah mereka yang sedang makan tengah hari di restoran nasi kandar juga diberkas polis. Aduhai! Kronologi yang berlaku di Ipoh (7 Mei 2009) boleh layari http://www.ahmadtarmizi.blospot.com/., malah sehingga 3.59 petang, Raja Muda masih tak dapat merasmikan sidang DUN.

Thursday, May 7, 2009

INSIDEN HITAM DI IPOH...

Sultan memaham aspirasi rakyat:
UMNO berdegil tunjuk kepongahan

Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz mengucapkan tahniah kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang tak berangkat mencemar duli merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini (7 Mei 2009). Sekalipun Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin hadir mencemar duli mewakili ayahanda baginda, tetapi amat jelas baginda memahami aspirasi rakyat negeri Perak dalam isu krisis perlembagaan sekarang. "Tuanku lebih memahami aspirasi rakyat daripada UMNO yang mengaku menjadi pembela rakyat, tetapi bersikap seperti penjajah yang membuli rakyat," kata Dato' Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO.

Sambil merujuk kepada tragedi 1876 yang membabitkan pembunuhan J W W Birch, Dato' Kamal Amir menjelaskan, kolonial British menggunakan undang-undang rimba bagi menghalal cara apabila menyekat kebangkitan rakyat Perak menuntut keadilan. Malah British menunjukkan kepongahan dengan 'membuang negeri' Sultan Abdullah, sekalipun Perak adalah negeri baginda sendiri, beritahu Dato' Kamal Amir menambah. "Tragedi hitam di Perak hari ini, mudah-mudahan menambahkan benci lagi rakyat kepada Zamry dan mempercepatkan lagi keruntuhan jangka hayat UMNO," ujar Dato' Kamal Amir.


Sementara itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada media melalui Setiausaha Politik, Dr Shamsuri menejalskan, "Pada kali ini, bukan sahaja para penyokong dan pimpinan parti dari Pakatan Rakyat yang ditangkap, tetapi beberapa ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat negeri Perak juga telah ditahan." Peristiwa yang berlaku ini adalah berpunca dari sikap angkuh para pimpinan BN yang tidak menghormati undang-undang, beritahu Dato' Seri Abdul Hadi menambah. Katanya, bertindak dengan berselindung di sebalik lencana anggota keselamatan.

"PAS sekali-kali tidak akan menghormati kerajaan yang sememangnya tidak menunjukkan rasa hormat mereka kepada undang-undang dan perlembagaan negara," katanya. Pagi tadi, beberapa pimpinan Pakatan Rakyat telah ditangkappolis semasa beradaberhampiran di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dun Perak. Antara yang ditahan ialah, Ketua Pemuda PAS,Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S.Jayakumar dan beberapa Adun serta 30 orang awam.

APA KATA MANKADIR


Stail Najib ikut Mahathir
'Operasi Lalang' ramal dilaksana

Kerajaan UMNO/BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak diramal akan menghidupkan semula 'Operasi Lalang' sekitar dekad 1980-an yang dipelopor Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengekang kebangkitan rakyat, menurut aktivis budaya di Pahang L.Mankadir Shamsi (gambar kanan). Menyentuh penahanan Naib Presiden PAS Haji Muhammad Sabu semalam (6 Mei 2009), Mankadir memberitahu dalam tempoh 22 tahun Tun Dr Mahathir berkuasa, rakyat Malaysia mengalami trauma akibat kezalimannya. Beliau seterusnya menegaskan:

"Apakala Mahathir berada di belakang pentadbiran Najib Rosmah kini, maka yang tergambar banyak ialah segala tindak tanduk Najib Rosmah akan sehala dengan apa yang pernah dilakukan oleh Mahathir 22 tahun memerintah Malaysia dulu.Memang terlalu geram Mahathir bila melihat Pak Lah yang menggantinya amat berlembut dengan musuh-musuh politik. Oleh itu adalah diantara sebab besar mengapa Mahathir begitu marah pada Pah Lah.Rejim Mahathir yang amat perit dinikmati oleh rakyat Malaysia 22 tahun lalu kini kembali semula."
Penahanan aktivis Bersih Sdr Wong Chin Huat semalam dan diikuti penahanan cara kasar dan rakus oleh pihak SB terhadap Sdr. Mat Sabu (Naib Presisden PAS) dilihat sebagai putik yang mula menyuburkan buah dalam usaha Kerajaan UMNO/BN meneruskan kepongahan, beritahu Mankadir menambah. Kaanya lagi, pelaksanaan ISA secara bermaharajalela selama 22 tahun lampau Mahathir dilihat bagaikan hendak membunuh demokrasi di negara ini tetapi tidak kesampaian apakala rakyat bangun 1998 meruntuhkan sedikit keegoaannya, jelas Mankadir selanjutnya.

YASSINSALLEH BERPUISI...

SAJAK



Da Di Du Di Du...

Pengumuman!
Hari ini Istana Budaya
tak main pentas
Dewan Philharmonic
tak akan berochestra
wayang Times Square
habis cerita.

Semua tutup bisness
tak boleh tanding sandiwara
balai persada yang semakin
hebat di sinun
sudah dijampi kemenyan
pembuka panggung
pelakunya cicit kontraktor
Sang Sapurba
pentasnya arena sarkas
senda persenda.

Muziknya bagaikan gempita
memecahkan batu kapur di kuari
makanya jom Yop ramai-ramai
kita nonton hujungnya
karaton bermula ke akhirannya.

(ii)

Da di du di du
Tam tim tum tim tum
muka tak malu
durian gelek timun
da di du di du
tunggulah kamu
baju pun koyak
dirobek penyamun
sambal tempoyak
dilenyek dek timun
da di du di du
da di du
da di
da.

-Dr Seri Intan Mokhtar

jam o0412
Mei 7, 09
taman harum
melur yang sepi
semua orang
dah takde lagi
semua orang
dah pergi.

Turut Berorgy Sama

(Petang tadi
mereka tangkap lagi
macam chief gangster saja
Mat Sabu diserbu.

Ada kawan SMS aku
mengingatkan
supaya aku tidak menulis
sajak tentang esok
sidang pohon si balai-balai
yang jangan
cuba-cuba dipertikai.)

Aduhai,
malam kian jua
memanjangkan sepi
sendirian membelai rindu
mengusap pilu.

Kalaulah kita
kau dan aku,
dapat sama meniti pelangi
kita seberangi
gelita malam ini
membujuk bintang-bintang
menyaksikan.

Bagaimana
dua insan nestapa
saling membalut luka
penuh syahdu
melepas rindu
sepuas mahu
dalam dakapan embun
yang mendinginkan keringat
sekujur tubuh kita
tak bebenang seurat.

Pun hanya untuk seketika
yang amat sementara
kita sebenarnya menyekat pilu
mengubat rindu antara kita
yang saling perlu memerlukan
kemanjaan belaian keganasan
dahaga kenikmatan terpuncak
dua tubuh yang jadi satu.

-Yassinsalleh

jam 0051
Mei 7, 09
Ipoh, Perak

(esok sarkas memainkan
digitalgame baru
Perak porak peranda
mari kita rayakan pesta
persendaan maruah
jelata melata
itu dengan
turut berorgy sama.)