Tuesday, May 12, 2009

MENOLAK PERHAMBAAN MINDA

Insiden di Perak sekarang:
Usah ulangi kepongahan penjajah!
Langkah melestarikan kerajaan 'kudeta' di Perak, bukan mempertahankan maruah UMNO atau PR, sebaliknya membebankan rakyat dan raja-raja Melayu. Dalam tempoh 24 jam selepas Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin disahkan Menteri Besar Perak yang sahih, hari ini (12 Mei 2009) Dato' Dr Zambry Abd Kadir diberi hak. Tak malukah aktivis politik sama ada UMNO mahupun PR dengan sikap 'ahmak' atau 'bodoh sombong' begini? Kolonial British sudah pun berambus dari negara ini, tetapi legasi kepongahannya diteruskan. Kalau Zambry terlalu ghairah, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, mahupun Tun Dr Mahathir Mohamad wajar menasihatinya.

Kolonial British pernah mengharamkan parti politik yang halal pada 1948; iaitu Parti Komunis Malaya (PKM), menyebabkan dalam tempoh 12 tahun membebankan rakyat. Murid-murid sekolah mahu bersarapan pagi membeli roti kena tahan kerana tak mempunyai permit (saya sendiri mengalaminya, tak payah nak berbohong dengan propaganda), beli susu atau barang-barang dalam tin ditebuk terlebih dahulu, dan macam-macam lagi. PKM yang dihalalkan hanya diharamkan pada 1948, kerana terbabit dengan mogok estet dan golongan prolitar.

PKM tak disokong oleh orang Melayu kerana tak mendaulatkan Bahasa Melayu (seperti ditunjukkan bangunan ibu pejabatnya di Foch Avenue, Kuala Lumpur tahun 1948; gambar ihsan muzium Kampung Perdamaian Sukhirin, selatan Thailand), sekalipun perlembagaannya turut dicetak dalam tulisan jawi. Pimpinan Melayu yang terbabit adalah dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menjadi komponen PKM seperti keperihalan UMNO-MCA-MIC atau PR sekarang (PKR-PAS-DAP).

Bekas menteri UMNO Tun Ghafar Baba (gambar), Tun Sardon Jubir, Dato' Rahman Talib dan pimpinan lain adalah bekas aktivis PKMM. Begitulah!Kalau tak disebabkan kepongahan kolonial British, rakyat Tanah Melayu tak perlu melalui undang-undang darurat selama 12 tahun. Bekas aktivis PKM (di kalangan Melayu ialah Rejimen Ke 10) yang menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin di selatan Thailand, mempunyai ramai kaum keluarga mereka di Malaysia.
Malah saya bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad IdrisI(bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan) pernah mewawancara Shamsiah Fakeh, Ibrahim Ahmad, Abu Bakar Jali dan beberapa lagi yang terbabit bersama Rejimen Ke 10 ini. Mereka adalah anak Melayu yang cintakan bangsa, agama dan tanah airnya, sama juga seperti yang dilaung-laung oleh UMNO. Cintakan bangsa, agama dan tanah air tak semestinya menjadi aktivis UMNO. Aduhai! - Pak Dharma.

INFO TERKINI


Sikap 'tak bermalu' UMNO:
Takut DUN Perak dibubarkan.
Dengan tak menghiraukan kebencian warga Perak terhadap dirinya, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir memohon Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah. Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Laman blog Malaysiakini melaporkan, Zambry memfailkan rayuan tersebut pagi tadi (12 Mei 2009) dan akan didengar secepat mungkin. Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas (macam permainan sorok-sorok kanak-kanak di kampung). Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar. Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat.

EKORAN KECOH DI PERAK...

Hak Zambri buat rayuan:
Tapi, tak berasa malukah?

Kerajaan 'kudeta' pimpinan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir akan berusaha membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan sebagai menebus 'malu' setelah gagal mempertahankan kedudukannya selaku Menteri Besar Perak. Memang Zambry berhak membawa kes berkenaan bagi membuat rayuan, tetapi tak berasa malukah? Kalau dari peringkat awal lagi segalanya dah tak betul, justeru sampai bila-bila pun warga Malaysia tahu UMNO/BN menghalal cara bagi meneruskan kuasa, sekalipun kebencian rakyat sukar dipujuk dengan seribu janji dan harapan.

Bagaimanapun kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat lewat malam semalam (11 Mei 2009) mengambil keputusan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang berkuat kuasa serta merta. Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di kediaman beliau selepas tamat mesyuarat tersebut yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak di Ipoh.

Keputusan itu adalah antara tiga ketetapan penting yang diputuskan of Exco pada mesyuarat itu susulan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Putrajaya tengahari semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah sejak beliau mengangkat sumpah jawatan tersebut pada Mach 2008. Dato' Seri Ir Mohamad Nizar memberitahu media selepas mesyuarat itu, "Pada mesyuarat tergempar Ecxo kami telah mencapai keputusan untuk menggantung Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid daripada tugas mereka dengan serta merta."

Mereka dilarang menghadirkan diri atau menjalankan tugas di pejabat Setiausaha Kerajaan sehingga diberitahu kelak, beritahu Ir Mohamad Nizar. Menurutnya lagi, kami tidak memecat mereka kerana gaji dan elaun mereka tetap diberi tetapi mereka tidak dibenarkan bertugas. "Tugas Setiausaha Kerajaan Negeri akan dipangku oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Jamaluddin Al Amini manakala timbalan Penasihat Undang-Undang akan menjalankan tugas ketuanya yang digantung kerja. Sekiranya mereka dibenarkan terus bertugas kami khuatir akan timbul perasaan syak mengesyaki antara mereka dengan kakitangan lain dan perkara ini tidak baik," beliau menjelaskan. (http://www.biaqpila.blogspot.com/)

PUISI BERSAMA DR INTAN

Apelah Ropenye Perak
Idak Berdoroyan Yop Oi!

Mase Intan kecil dulu
arwah opah kate
bila dia dah takde
keturunanannye,
janganlah berebut
tanah pesake.

Nanti merajuk
semangat tanah
akan terbantut subur
tumbuhan-tumbuhan
pohon-pohon terlupekan musim
pokok-pokok tak mahu
berbunge.

Aduhai, opah
maafkanlah Intan,
mase opah kabor tu
Intan tak percaye.

Udah sebulan
musim doroyan
patutnya bermule,
sebatang pun
idak lagi berbunge
di Lata Kinjang takde
di Tualang Sekah tak kembang
di Malim Nawar
pun tak nampak rope.

Alahai, opah
apelah ropenya
Perak idak berdoroyan
semusim sajeke
kami takkan merase
gulei tempoyak?

Aduhai orang-orang besor negri
tolonglah kami orang-orang kampung
janganlah doroyan kami
berpanjangan tak berbunge
berontilah menghalal haramkan
politik negri pilihan kami
menurut nafsu nafsi
kembalikan hak kami yang ternafi.

Kalau idak,
takut nanti tujuh musim
doroyan tak menjadi
tujuh musim ikan tak bermain
tujuh keturunan kemarau memanjang
tujuh zaman bangsaku
hilang keturunan
dan pohon-pohon doroyan
akan ditebang
untuk dibuat terompah.

Opah Robeah tersayang
negri kite, Perak tercinte
porak perande!

-Dr Seri Intan Mokhtar
jam 2316
Mei 11, 09
Lata Kinjang,
Cenderiang, Tapah,
Perak DR.

Monday, May 11, 2009

APA KATA TUAN GURU...


Syukur dengan keputusan:
Nik Aziz ajak berpuasa sunat
Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihati rakyat Malaysia dan penyokong PR berpuasa esok (12 Mei 2009) kerana bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Dalam kenyataannya di Kota Bharu, Dato' Nik Aziz berkata, "Setelah kita menang di Perak kini Perak telah bertukar menjadi emas buat Pakatan Rakyat. Kejahatan telah terbukti dan kebenaran telah menjelma. Saya menasihati agar yang beragama Islam untuk puasa sunat esok hari serta sembahyang sunat syukur dua rakaat, jangan terlalu gooh dengan kemenangan ini."

Menurut laporan laman blog http://www.ahmadtarmizi.blogspot.com/, Dato' Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mengeluarkan kenyataan media di Kota Bharu sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak: 1) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak, 2) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak, dan 3) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.

Sebalikya UMNO/BN menerusi Dato' Dr Zamry Abdul Kadir mendakwa, mereka cuma menggunakan alasan mendapat lebih majoriti apabila 3 wakil rakyat dari Pakatan Rakyat melompat ke BN. Disamping itu Zamry juga mendakwa mendapat perkenan pihak Istana Perak dan menuduh Nizar seorang penderhaka. Sekiranya Zambry membuat rayuan terhadap keputusan tersebut, maruah UMNO/BN bukan sahaja jatuh ke perlimbahan, malah petanda awal ianya menggali kubur sendiri, menurut penganalisis politik.

KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI...


Perlembagaan Tertinggi:
Sah Mohammad Nizar MB
(Kenyataan media Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim, di Petaling Jaya pada 11 Mei 2009, mengenai keputusan mahkamah tinggi yang mengesahkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak)

Alhamdulillah saya menyambut baik keputusan mahkamah tinggi hari ini yang mengistiharkan YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan tersebut merupakan satu kemenangan buat rakyat dan juga sistem demokrasi di negara ini. Kami menyeru agar YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan segera dikembalikan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Keputusan hari ini membuktikan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Makanya adalah mustahak bagi semua institusi kerajaan untuk menghormati semangat yang termaktub dalam perlembagaan. Ini termasuklah sistem pengasingan kuasa yang secara jelas menggariskan pengasingan di antara kuasa eksekutif, kehakiman dan juga perundangan. Sejajar dengan itu adalah penting untuk kita mengiktiraf sidang bawah pokok yang berlangsung pada 3hb Mac 2009 serta segala resolusi yang diluluskan pada hari tersebut.
Bagi menyelesaikan kemelut politik di Negeri Perak, Pakatan Rakyat tuntas dengan tuntutan agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan serta merta. Ini membolehkan rakyat menentukan kerajaan mana yang memperolehi mandat serta kepercayaan mereka melalui pilihanraya yang bakal diadakan nanti. Kami yakin rakyat pasti memilih yang terbaik buat masa depan mereka dan negara ini. Sepanjang kemelut di Perak, Pakatan Rakyat menunjukkan iltizam untuk tetap teguh menjunjung Keluhuran Perlembagaan serta konsisten membawa Perubahan.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo

Anak harimau jangan diajar:
Makan daging ketika ia lapar

Arakian penitir-penitir canang yang suka menyurat berasa hampa akan Orangkaya Tuan Guru Dato' Seri Hadi Awang itu tak dilawan menjadi penghulu segala anak-anak buah harakah Islam (PAS) di negeri Melayu itu. Adapun penitir-penitir canang itu sudah menjadi kebiasaan melaga-lagakan siapa sahaja yang tak bersetuju dengan harakah Melayu (UMNO). Maka tak henti-hentilah penitir-penitir canang itu berharap akan Orangkaya Nasharuddin Mat Isa akan ditentang ia untuk jawatan Timbalan Penghulu.


Syahdan akan Haji Muhammad Sabu juga disebut-but orang akan melawan Orangkaya Nasharuddin itu, adanya. Sebermula penitir-penitir canang itu juga berharap Orangkaya Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abdul Razak dan Orangkaya Dato' Husam Musa akan ikut sama berlawan. Adapun penitir-penitir canang itu bukanlah menyurat untuk kepentingan bangsanya, kerana mereka itu mahu menyara hidup anak isteri. Maka fakir pun berfikir di dalam hati, penitir-penitir canang merasakan sudah khatamlah belajarnya. Maka diperbuat orang banyak pantun:

Ketitir kunang-kunang
Gagak bulunya hitam
Penitir-penitir canang
Banyak kaji tak khatam

Kata sahibul hikayat, ada seorang orang salah berdosa pada baginda, salahnya itu tida berapa bina. Maka oleh Seri Maharaja disuruhnya bunuh orang itu. Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Hai, hai, lihatlah Seri Maharaja; anak harimau diajarnya makan daging, dia kelak akan ditangkapnya." Maka pada ketika itu Seri Bija Diraja datang dari Singapura. Sebermula fakir diberitahu akan Seri Maharaja itu apabila menjadi bendahara, dialah yang dibunuh oleh Sultan Mahmud bersama semua keluarganya sekali, seperti dirawi dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!