Wednesday, May 13, 2009
YASSINSALLEH BERPUISI...
Pada ulangtahun kelahiranmu ini
maafkan daddy tidak dapat bersama
adik tiup lilin potong cake
terimalah hadiah hari jadi
untuk adik dari daddy:
-i-
Adab datang memberi salam
hemah menanti salam bersambut
tepak dihulur pembawa maksud
sirih dikapur air diteguk
hemah berbahasa sopan berkata.
Adat meminta bermohon muafakat
tertib berpakat mencari bulatnya
berjunjung naik berjinjang turun
datang pandang depan
pergi nampak belakang.
Itulah landas tamadun
turunan nenek moyang
warisan pesaka zaman bezaman
nilam geliga baiduri cendekia
khazanah megah bangsa berdarjat
berpualam berbahara bertahta berdaulat
bersemai di hati terukir di kalbu
terpahat di jiwa terhampar di sanubari
gemilangnya Melayu terbilang
bangsaku bertuah
bumiku petanya iman
jalannya syariah pelitanya adat
obornya kitab Allah.
-ii-
Hari ini warisan pesaka
dan segalanya yang keramat
atas nama kuasa seghairahnya
sedang dihumban ke dalam
unggun besar serakus-rakusnya
dan layulah engkau Melayu
kerana nama bangsamu itu sendiri
membawa erti tukang layu
bertaraf tukang sapu
tukang merapu, tukang ampu
tukang tipu yang tak tau malu
-Yassinsalleh
jam 1413
Mei 13, 2009
di bawah pohon
pokok si balai-balai
Ipoh, Perak DR
aku menyambut
Hari Jadi Puteri
kesayanganku
Yasleh Hani Wati.
KOMENTAR:
Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera Orangkaya Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin pergilah ia mengiringi Raja Muda Perak di istana. Maka terlalulah gembira baginda Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah melihat orangkaya itu datang, kerana sebelum ini anak-anak buah Orangkaya Dato' Dr Zambry Abdul Kadir menuduhnya 'derhaka'. Disebabkan balai panjang nan batuah membenarkan rayuan Orangkaya Zambry menangguhkan perintah balai panjang nan tinggi, maka Orangkaya Nizar pun tak dibenarkan memasuki pejabat.DARI LAMAN BLOG:
Mudah-mudahan virus 'gila babi' yang mengganggu sistem demokrasi di Perak tak menular ke DUN lain. Apalagi isu 'politik wang' juga memang lumrah sama ada dalam pilihanraya mahupun pemilihan UMNO. Pada 1971 pun Allahyarham Tun Abdul Razak sudah bangkitkan 'politik wang' dalam pemilihan UMNO, malah Tun Musa Hitam juga turut membangkitkan pada pemilihan 1982. Maknanya isu politik wang sudah 'alah bisa tegal biasa' kepada UMNO, justeru pilihanraya bila-bila masa pun memang strategi 'politik wang' amalan biasa UMNO. Ayuh, bubarkan DUN Perak.Tuesday, May 12, 2009
TERSEMBUNYI & NYATA...
Apabila laman blog mendedahkan bekas Setiausaha Politik kepada bekas MB Terengganu, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, dicari oleh polis bagi membantu penyiasatan kes ugutan kepada ADUN Terengganu menerusi SMS, media arus perdana menyiarkan penafian pihak polis. Mereka yang membuat komen menerusi laman blog turut berlagak 'rebung tak miang, buluh pula yang miang', dengan memberi gambaran laman blog sengaja mahu memfitnah.
Nah sekarang laporan nyata yang tak dapat disembunyikan hari ini (12 Mei 2009) Dato' Dr Ahmad Ramzi ditahan Polis pagi tadi bagi membantu siasatan kes SMS ugutan bunuh kepada tiga Adun BN pada 13 April lalu. Kenapa sebelum ini polis menafikan beliau sedang dicari untuk membantu soal siasat? Sandiwara bagaimana mahu dilakonkan oleh aktor-aktor UMNO, sehingga semalam (11 Mei 2009) apabila polis dapatkan waran tangkap terhadapnya setelah gagal hadir memberi keterangan dalam tempoh tiga hari yang diberikan. Tempoh tiga hari telah berakhir pada jam 3 petang semalam. Begitulah!
PANDANGAN KU LI...
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memohon Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan membubarkan DUN Perak, bagi membuka penyelesaian krisis perlembagaan yang berlarutan dengan mengadakan pilihanraya khas seperti dilakukan ke atas DUN Kelantan pada 1978. Tengku Razaleigh yang juga bekas Naib Presiden UMNO dalam laman blognya menegaskan: "Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelit Perak, merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata umum." MENOLAK PERHAMBAAN MINDA
Langkah melestarikan kerajaan 'kudeta' di Perak, bukan mempertahankan maruah UMNO atau PR, sebaliknya membebankan rakyat dan raja-raja Melayu. Dalam tempoh 24 jam selepas Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin disahkan Menteri Besar Perak yang sahih, hari ini (12 Mei 2009) Dato' Dr Zambry Abd Kadir diberi hak. Tak malukah aktivis politik sama ada UMNO mahupun PR dengan sikap 'ahmak' atau 'bodoh sombong' begini? Kolonial British sudah pun berambus dari negara ini, tetapi legasi kepongahannya diteruskan. Kalau Zambry terlalu ghairah, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, mahupun Tun Dr Mahathir Mohamad wajar menasihatinya.
PKM tak disokong oleh orang Melayu kerana tak mendaulatkan Bahasa Melayu (seperti ditunjukkan bangunan ibu pejabatnya di Foch Avenue, Kuala Lumpur tahun 1948; gambar ihsan muzium Kampung Perdamaian Sukhirin, selatan Thailand), sekalipun perlembagaannya turut dicetak dalam tulisan jawi. Pimpinan Melayu yang terbabit adalah dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menjadi komponen PKM seperti keperihalan UMNO-MCA-MIC atau PR sekarang (PKR-PAS-DAP).
Bekas menteri UMNO Tun Ghafar Baba (gambar), Tun Sardon Jubir, Dato' Rahman Talib dan pimpinan lain adalah bekas aktivis PKMM. Begitulah!Kalau tak disebabkan kepongahan kolonial British, rakyat Tanah Melayu tak perlu melalui undang-undang darurat selama 12 tahun. Bekas aktivis PKM (di kalangan Melayu ialah Rejimen Ke 10) yang menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin di selatan Thailand, mempunyai ramai kaum keluarga mereka di Malaysia.INFO TERKINI
Dengan tak menghiraukan kebencian warga Perak terhadap dirinya, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir memohon Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah. Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat.
