Sunday, April 27, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:

PRIMA SEKADAR RASA TERPANGGIL
DALAM ISU BABITKAN MASALAH MELAYU

Assalamualaikum,

Memang tak sempat ke Holliday Villa di Subang Jaya bagi menghadiri majlis Tengku Razaleigh Hamzah bersama gabungan cawangan-cawangan UMNO Subang Jaya jam 2.00 petang semalam (26 April 2008), disebabkan terpaksa ke Jerantut bagi persiapan ‘Baca Puisi’ di perkampungan Orang Asli, Kampung Pian di Penderas. Saya bertolak ke Lancang terlebih dahulu jam 3.00 petang, disebabkan majlis bersama Tengku Razaleigh pihak PRIMA sudah menghantar wakil iaitu Jurucakap PRIMA sendiri Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Apalagi Dato’ Kamal Amir juga turut bersama Tengku Razaleigh ke Kota Bharu di sebelah paginya, kemudian menaiki pesawat balik ke Kuala Lumpur terserempak pula bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.



PRIMA tak terbabit dalam gerakan politik, tetapi merasa terpanggil untuk ikut serta apabila melibatkan isu kebobrokan masyarakat Melayu. Justeru pembabitan Dato’ Kamal Amir mahupun penyair Yassinsalleh menyertai majlis Tengku Razaleigh tak bermakna mereka terlibat dalam gerakan politik UMNO; begitu juga Sdr L Mankadir Shamsi atau Sdr Zainal Abidin Rasidin menghadiri majlis-majlis PKR, tak bermakna mereka aktivis parti politik berkenaan. Apalagi majlis malam baca puisi yang diatur perkampungan Orang Asli oleh Sdr L Mankadir Shamsi di Jerantut, memang diberi kerjasama oleh PKR Kuala Krau yang dipimpin Haji Suhaimi Said. Ketika singgah di Lancang saya sempat minum di kedai ‘Singgah Sini’ milik adik ipar Sdr L Mankadir Shamsi, di samping membeli telur itik, petai dan madu lebah di gerai sebelahnya.

Ketika sampai di pejabat Haji Suhaimi di Kuala Krau jam 7.00 pm, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah juga sampai bersama isterinya, diikuti penyair Yassinsalleh disertai oleh anak sulungnya Yusleh (sedangkan menyiapkan Phd-nya di UKM) dan Dr Intan. Sejurus kemudian Presiden Penaja Persatuan Pemandu-Pemantu Teksi Lembah Kelang, Sdr Zainal Abidin Rasidin pula sampai berseorangan, berikutan Sdr Zakaria Bidin yang dijangka turut serta pada peringkat awal, tiba-tiba pula tergeliat kaki menyebabkan tak dapat ke Jerantut. Perjalanan ke Kampung Pian pula kira-kira 45 minit dari Kuala Krau, justeru rombongan kami terpaksa bergerak terlebih dahulu, dengan Sdr Zainal Abidin menunggu Dato’ Kamal Amir yang dalam perjalanan apabila majlis bersama Tengku Razaleigh selesai kira-kira jam 7.00 malam.


Sambutan meriah diberikan oleh penduduk-penduduk Kampung Pian, sekalipun hujan turun mencurah-curah. Majlis sepatutunya di bawah khemah terbuka, terpaksa pula dipindahkan ke dewan orang ramai atas arahan Tok Batin yang tak dapat hadir bersama berikutan hujan semakin lebat mulai jam 9.00 malam. Hingga jam 12.00 malam majlis berakhir, dengan Dr Seri Intan Mokhtar bagi pihak British Council mendermakan pen dan buku nota kepada anak-anak penduduk termasuk juga belia-belia. Ketika balik ke Kuala Lumpur melalui lebuhraya, saya kehabisan petrol tetapi dari Temerloh hingga ke Genting Sempah barulah ditemui stesen minyak Petronas. Alangkah baik sekiranya stesen minyak tersergam berhampiran plaza tol bagi kemudahan pengguna jalanraya selepas jam 12.00 malam. Astaga!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


PEMUDA UMNO DAN HUNUS KERIS
FAKTOR YANG SENGAJA DIMANIPULASI.

Langkah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Hussein meminta maaf berikutan insiden menghunus keris tiga tahun lalu, dianggap bagaikan episod kambing dituduh mengeruhkan air sekalipun minum di sebelah hilir ketika sang harimau minum di sebelah hulu. Mengulas laporan media semalam (26 April 2008), pakar kaunseling yang juga bekas profesor, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah berkata, sikap Dato’ Seri Hishamuddin itu mendedahkan Pemuda UMNO kepada kebangangan, kebengangan dan kebingungan.Anjakan undi bukan Melayu pada pilihanraya umum ke 12, 8 Mac 2008 tak kena mengena dengan isu menghunus keris, tapi faktor parti-parti komponen bukan Melayu sendiri. “Apabila mereka gagal menangani isu dalam komuniti mereka, kerajaan dipersalahkan,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.



Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, keris sekadar lambang jatidiri Melayu malah bukan ancaman kepada mana-mana komuniti kecuali dimanipulasi untuk gimmik politik oleh pihak yang korup idea. Seterusnya jelas Dato’ Dr Mohd Mansor pada period penjajah sama ada Portugis, Belanda, Inggeris mahupun Jepun, mereka tak menganggap keris sebagai ancaman kepada kepenjajahan. Misalnya pada dekad 1940-an beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, Mohd Yusuff Ahmad seorang Ahli Majlis Permesyuaratan Persekutuan menyebut di dalam persidangan mengenai kedudukan raja-raja Melayu sama seperti ‘keris’ yang diletakkan di dinding sebagai perhiasan. “Memang sikap ahli berkenaan pro British, tetapi secara logiknya keris bukanlah ancaman kepada mana-mana komuniti,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.


PIMPINAN KU LI SEDANG DITAGIH
MENCAPAI SASARAN ‘MELAYU BERDAULAT’


Orang Melayu di peringkat akar umbi menagih pimpinan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah bagi mencapai sasaran ‘Melayu Berdaulat’, bukanlah gerakan mendesak Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur daripada pimpinan UMNO, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu dalam pertemuan pada majlis ‘Malam Baca Puisi’ di Kampung Pian, Kuala Krau semalam (26 April 2008). Majlis yang dianjurkan oleh kumpulan kesenian Orang Asli di perkampungan berkenaan turut dihadiri oleh aktivis masyarakat, peguam Haji Suhaimi Said. “Bagi Tengku Razaleigh kejayaan beliau sudah mencukupi, tetapi orang Melayu di peringkat akar umbi menagih pimpinan beliau,” kata Dato’ Kamal Amir.

Beliau seterusnya menolak konsep ‘ketuanan Melayu’ yang diwar-warkan oleh UMNO, sebaliknya mahukan ‘kedaulatan Melayu’ menjadi sasaran dalam usaha orang Melayu mendesak Tengku Razaleigh tampil memimpin UMNO. Menurut Dato’ Kamal Amir, ketuanan Melayu tak akan membawa sebarang makna sekiranya ‘tak berdaulat’. Katanya lagi, ketika UMNO mengalami krisis antara hidup dan mati pada 1950 berikutan Dato’ Onn Jaafar berundur, orang Melayu menagih pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra kerabat diraja Kedah memimpin UMNO, sekalipun beliau bukan barisan pemimpin pada period tersebut. “Kalau mahu menjadikan ‘Melayu berdaulat’ ianya adalah perlu dipimpin kerabat diraja, justeru kita mendesak Tengku Razaleigh tampil ke hadapan,” ujar beliau menambah.



INFO SASTERA & BUDAYA:

BACA PUISI DI KAMPUNG PEDALAMAN
PENYAIR ORANG ASLI HASILKAN SAJAK

Aktivis masyarakat Haji Suhaimi Said membacakan puisi yang ditulis penyair di perkampungan Orang Asli di Kampung Pian, Kuala Krau, Jerantut dikenali dengan nama penanya ‘Hak’. Puisi yang ditulis dalam dialek Orang Asli itu, di sampaikan di hadapan penduduk-penduduk pada majlis ‘Malam Baca Puisi PRIMA’ (26 April 2008) bermula jam 9.00 malam. Puisi yang mengungkapkan masyarakat Orang Asli sebagai peribumi, di samping mempunyai ‘hak istimewa’, sewajarnya tak dipinggirkan daripada pembangunan ekonomi, pendidikan, budaya dan politik. Hak antara penulis Orang Asli yang berminat dalam genre sajak, tetapi kurang mendapat pendedahan. Beliau berpendidikan menengah di samping bergaul rapat dengan kalangan masyarakat di Kuala Krau.

Di samping membacakan puisi karya Hak, Haji Suhaimi yang turut bertanding atas tiket PKR bagi kawasan DUN Jenderak pada pilihanraya ke 12, 8 Mac 2008 lalu turut menerima laungan ‘Reformasi’ daripada penduduk-penduduk di Kampung Pian. Sebelum majlis baca puisi, Haji Suhaimi mengakui kesukaran menembusi dominasi UMNO di kawasan DUN Jenderak disebabkan sumber maklumat tak sampai kepada pengundi di perkampungan pendalaman. Bukan sahaja ketiadaan IT dan komputer, malah pengundi bergantung kepada sumber maklumat ‘satu hala’. Justeru katanya, tak hairanlah penyair Hak yang berpotensi dalam bidang penulisan tak mampu melonjakkan bakatnya hingga ke peringkat nasional.

DEKLAMASI PUISI BAWA MESEJ
PENYAIR TAMPIL BERSAMA RAKYAT

Pembabitan dalam deklamasi puisi memang membawa kepada pimpinan negara supaya peka dengan permasalahan rakyat prolitar yang tertindas, menurut Yassinsalleh penyair yang dikenali dengan sajaknya ‘Ikan-Ikan Di Kaca’ sekitar dekad 1970-an. Dalam majlis ‘Malam Baca Puisi PRIMA’ di perkampungan Orang Asli, Kampung Pian, Kuala Krau semalam (26 April 2008), Yassinsalleh mendeklamasikan sajak ‘Gurindam 10 Budak Hitam Di Putrajaya’ versi baru. Pada versi sebelumnya, Yassinsalleh sekadar mengungkap sehingga ‘budak hitam ke 6’, tetapi pada versi baru beliau menyelesaikan merangkumi hingga semua 10 budak hitam terbabit. “Deklamasi puisi saya adalah membawa mesej bagi menampilkan suara rakyat prolitar,” menurut Yassinsalleh.

Seterusnya beliau mengakui, sajaknya ‘Gurindam 10 Budak Hitam Di Putrajaya’ memang mendesak Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur bagi memulihkan krisis keyakinan teruk dialami oleh orang Melayu sekarang. Menurut, Yassinsalleh sajak berkenaan sudah dideklamasikan pada majlis bersama Persatuan Penulis Nasional (PENA) sebelum pilihanraya 8 Mac 2008. Justeru beliau menambah, puisi beliau mendesak Dato’ Seri Abdullah berundur bukan berikutan prestasi buruk UMNO pada pilihanraya ke 12 lalu, sebaliknya sudah dimulakan sebelum pilihanraya lagi. “Maknanya saya sudah menyedari pimpinan Dato’ Seri Abdullah perlu ditolak sejak sebelum pilihanraya lagi,” beritahu Yassinsalleh.

AKTIVIS PRIMA IKUT BERSEWANG
KESENIAN TRADISIONAL ORANG ASLI


Aktivis PRIMA diberi sambutan meriah oleh penduduk-penduduk perkampungan Orang Asli, di Kampung Pian, Kuala Krau malam 26 April 2008 dengan lagu rakyat dan kesenian tradisional ‘bersewang’. Pimpinan kesenian di Kampung Pian, turut disertai tiga pemuda pemetik gitar kapuk bagi mengiringi nyanyian lagu rakyat. Aktivis PRIMA juga turut diberi penghormatan dengan dikalungkan anyaman daun kelapa bagi menyambut tetamu yang berkunjung. Ketika tarian rakyat ‘bersewang’ dipersembahkan dengan unsur-unsur mistik, aktivis PRIMA turut sama menari diketuai oleh Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, penyair Yassinsalleh, Zainal Abidin Rasidin, Dr Seri Intan Mokhtar, Yusleh, Datin Amelia dan Nurul Salwa.

Kumpulan kesenian Kampung Pian juga memainkan alat muzik tradisional dari buluh yang disertai warga emas sebagai pemangkin memberi galakan kepada belia-belia mereka memelihara budaya komuniti di pendalaman. Lagu-lagu tradisional dalam dialek Orang Asli juga diperdengarkan sepanjang majlis ‘Malam Baca Puisi’ bermula jam 9.00 malam hingga 12.00 malam. Tok Batin yang mengetuai komuniti Orang Asli di Kampung Pian, pada peringkat awalnya dijangka hadir, tetapi tak menyertainya berikutan hujan lebat yang turun mencurah-curah mulai jam 9.00 malam. “Harap majlis seperti ini akan terus diadakan lagi, sebaik-baiknya pada musim durian,” beritahu wakil kumpulan kesenian Orang Asli ketika menemui pimpinan utama PRIMA, sasterawan Dharmala N.S.


PUISI

Kita Anak Bumi Ini


Telah ribuan tahun
perjalanan nenek moyang kita
dari muara ke hulu belantara
menyeberangi sungai merentasi gunung
di lembah di lereng berkampung
kemudian berpindah
meniti kehidupan susah payah
kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


Dari zaman nenek moyang itu
tanah didiami kebun diterokai
lalu singgah si pedagang
menek moyang menyambut restu
dan esoknya berpindahlah
ke tapak lain meneroka lagi.


Hingga kini kita di sini
mempesakai kehidupan nenek moyang
menunggu tibanya lagi si pedagang
apakah kita akan terbuang?

Kita anak bumi ini
tidak akan ke mana-mana
hanya di sini
merasa pedih derita
miskin lara.


Hari ini kita bersama
serentak subur rumpun padi huma
akan menuntut mertabat kita
selaku manusia anak negara!



Rumah ini
kampung ini
tanah ini
inilah bumi kita!

Kita akan ke mana lagi
kerana kita anak bumi ini
yang telah berani
menuntut hak
untuk bumi ini menjadi bumi kita
tanah ini menjadi milik kita
kerana esok lusanya.



Akan ada lagi pedagang datang
mengulangi sejarah nenek moyang
di sisih dari muara
hingga ke hulu belantara.


Kita nyatakan di malam keramat ini
tanah ini mesti kita miliki
bukan dengan kata-kata
bukan dengan janji demi janji
bukan tersirat tapi tersurat.


Di tanah milik kita sendiri
akan kita bangunkan kehidupan baru
tanpa ragu-ragu
kerana derita nenek moyang
akan kita lipat dalam kenangan
dan kita menjadi berani!


Terima kasih malam keramat ini
yang menyuarakan mertabat kita
satu bangsa yang akan berani
memiliki hak pesaka
kerana selama ini
derita hampa kian lama
tak siapa ambil tahu!


Lalu kita ucapkan terima kasih
pada si pembela yang pengasih
si pembohong, kita ucapkan selamat tinggal
kerana kita telah menjadi bangsa yang berani
di bumi ini!


L MANKADIR SHAMSI
Kg Pian, Kuala Krau
26-04-08.




INFO SUARA PROLITAR:

KU LI MEMANG PRIHATIN
TAPI AWAS MUSLIHAT KRONI!


Saya difahamkan Tengku Razaleigh Hamzah akan mengadakan perjumpaan di Lundang, Kelantan pada 29 April 2008 ini. Nampakanya Tengku Razaleigh prihatin dengan perjuangan untuk kepentingan orang Melayu. Tetapi beliau juga mungkin tak dapat melarikan diri daripada trend pemikiran UMNO. Syabas Ku Li! UMNO memang dah teruk, kroni-kroni juga mencari peluang. Takkan Ku Li tak boleh ingat kroni-kroni yang hancurkan perjuangan 1988 dulu. Harap Ku Li berhati-hati, supaya pisang tak berbuah dua kali. (SMS; 27 April 2008 – Adi, Lancang, Pahang).



PEMIMPIN TAK BOLEH DITEGUR
YANG MUDA NAK TUNJUK PANDAI


Apa dah jadi dengan UMNO sekarang? Tak fikirkah dah kalah lima negeri, tapi masih nak berebut-rebut jawatan? Saya pun dah fed-up dengan UMNO. Orang muda nak tunjuk pandai, pemimpin pula tak boleh ditegur. Kita yang di bawah ni jadi macam bangsat, buat kerja untuk mereka. La ni buat hal salahkan orang lain pula, bila dah kalah sampai hilang lima negeri. Salah sendiri nak disembunyikan. Depa ingat kita semua boleh terima apa saja mereka nak buat untuk UMNO. (SMS; 27 April 2008 – Hafar, Gombak, Selangor).


HISHAMUDDIN BACUL
Oleh: Mansor Abdullah

Isu Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishamuddin Hussein memohon maaf baik kepada ahli-ahli parti lawan mahupun party UMNO yang dianggapnya dia bukanlah seorang yang sombong, angkuh dan takbur sebenarnya silap. Sebaliknya tindakan beliau itu adalah bodoh dan bacul sebenarnya. Bagi beliau berbuat demikian tidak merupakan satu kerugian apa-apa, malah dianggap megah dan berhemah seb agai menunjukkan keberanian beliau memohon maaf. Tetapi bagi pihak yang lain pula, tindakannya itu telah menunjukkan suatu kejayaan besar kepada mereka kerana berani mendesak dan 'merngugut' hingga akhirnya mantan KP UMNO itu tunduk akur.

Sedarkah mantan KP UMNO ini bahawa jati dirinya begitu lemah dan rapuh? Ia langsung tidak mermperlihat jati diri seorang anak Melayu Asli yang hakikatnya tidak akan berganjak walau seinci daripada apa pun pendirian yang telah diambilnya kerana setiap yang dilakukannya itu dia mesti berani dan tahu untuk bertanggungjawab terhadapnya. Namun begitu kita tidak hairanlah kenapa terjadi begitu, kerana beliau sendiri bukanlah orang Melayu Asli atau pun sejati barangkali. Jikalau beliau seorang anak Melayu tulen, beliau tidak seharusnya bersifat apologetik kerana setiap perbuatannya sanggup dia bertanggungjawab. Ibarat kata pepatah, jika tangannya yang mencincang, bahunya sedia memikul.

Tetapi soalnya bagaimana beliau mahu mempertahankannya jikalau beliau sendiri buta sejarah dan jahil budaya sendiri? Andainya beliau tahu dan arif tentang kedua-duanya itu, sudah tentulah sejak awal-awal lagi beliau tidak tergamak untuk melakukannya sedemikian. Pertama, sedarkah KP UMNO ini bahawa adat resam Melayu, jika keris dicabut, pantang disarungkan semua sebelum ia dunakan bagi sesuatu. Adat Istiadat Raja-raja Inggeris dahulu kala juga mencabut pedangnya, kemudian meletakkan ke hujung mata pedang ke bahu kiri dan kanan kemudian ke atas kepala sebagai menghormati atau mengistiharkan sesutu kurniaan gelaran dan pangkat.

Dalam budaya Melayu, keris adalah lambang ketuanan dan keagungan Raja-raja Melayu yang berdaulat. Menjunjung keris yang dicabut dari sarungnya atau mencium keris telanjang itu adalah satu penmghormatan tertinggi sebagai ikrar dan sumpah taat setia. Jika keris itu tidak tercabut (bukan terhunus) bermakna tak ada apa ertinya. Ini pun satu hal, para wartawan Melayu kena faham dan erti perkataan Melayu itu senmdiri. Antara tercabut dengan terhunus itu membawa makna berbeza. Menghunus bermakna adalah mengacu-acuukan kepada seseorang sebelum dia menikam. Sekiranya keris itu masih bersarung, ia tidak memperlihatkan kuasa atau keagungannya. Sebab itulah bendera UMNO diletakkan keris telanjang dan tidak bersarung.

Gambarkan kebodohan orang Melayu dengan budayanya sendiri seginggakan kedddaulatan raja dicemar begitu sahaja. Tak ada ertinya raja berperlembagaan dan berdaulat jikalau ketika baginda dinobatkan sebagai Yang Dipertuan Agonmg pun mengangkat keris bersarung. Ini sungguh mengaibkan. Ada lebih baik jika digantikan sahaja dengan menjunjung kita suci Al Quran semasa melafazkan Wabillahi, Watullahi dan sebagai dan sebagainya itu. Siapalah agaknya yang menasihati raja-raja sehingga sanggu[p mencemar kedaulatan raja dan menjatuh martabat dan maruah rajanya? Tahuklan anda, jika seorang Melayu tidak beran i mempertahankan adat resam, budayanya sendiri lebih baik jangan pakai nama Melayu, baik pakai nama yahudi atau orang putih sahaja.

Orang-orang Melayu yang taat setia kepada raja berperlembagaan berasa amat tersinggung dengan perbuatan KP UMNO ini. Sepatutnya beliau mempertahankannya dengan memanggil btokoh budayawan Melayu yang tulen memberikan ppendapat supaya dapat dipertahankan apa juga tindakan yang telah dibuat dahulu demi maruah bangsa Melayu. Datuk Seri Hishamuddin tidak seharusnya berbuat begitu sebagai mwakili Melayu. Anggaplah apa yang dibuat itu hanya secara peribadi atau atau tindakannya yang bahlol dan bukannya Melayu amnya yang bacul!

Dipetik daripada BH semalam, Datuk Seri berkata, bahawa sebagai pemimpin mesti besar hati dan besar jiwa untuk sanggup meletakkan kedudukan BN lebih penting daripada segala-galanya. Alangkah malunya kita mempunyai pemimpin Melayu yang konon memperjuangkan bangsa dan agamanya, tiba-tiba sanggup tiunduk hanya kerana demi party semata-mata. Cis! Melayu apakah itu? Tun Abd. Razak pernah mengucapkan tentang pembanguna, katanya demi pembangunan yang bakal dibuat dan dilaksanakan, sekiranya ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada Melayu, saya rela tidak melaksanakan pembangunan itu! Itu bunyi anak Melayu sejati, Orang Besar Berempat Negeri Pahang, anak beradat dan beristiadat Melayu tulen bukannya kacukan!

Menelusuri kekalahan BN yang lepas, bukan sepatutnya diletakkan ke bahu UMNO semata-mata. Jika dibuat analisa secara terbuka, calon-calon BN yang kalah kebanyakannya bertanding di kawasan bukan Melayu majoritinya. Jadi siapakah yang mengalahkan mewreka, adakah orang-orang UMNO agaknya? Yang peliknya, pemimpin-pemimpin parti komponen BN tak seorang pun tampil sebagaimana orang UMNO yang sanggup hendak menangkap mereka yang membuat sabortaj. Mengapa mesti orang Melayu dan UMNO sahaja? Apakah orang-orang bukan Melayu yan g membuat sabotaj begitu takkan diambil tindakan? Pelik, memang pelik kalau orang Melayu yang memerintah, hendak hukum orang Melayu yang tak puas hati sedang orang lain bukan setakat tidak puas hati tetapi mahu meruntuhkan kedaulatan Melayu itu semahu-mahunya didiam dan diampunkan sahaja.

Perhimpunan Melayu yang akan di adakan di Johor bahru nanti, datanglah para pemimpin UMNO yang selama ini hanya kokok saja berderai-derai itu tapi ekor bergelumang najis, mari kita sama-sama berbincang, kalau mahu kucup keris pun ayuhlah! Kita lihat siapakah Melayu yang sebenar dan siapakah musuh Me;ayu dari kalangan orang-orang Melayu itu sendiri? Jika orang-orang UMNO masih tidak mahu sedar juga, nantilah padahnya, maka Tsunami kali kedua dalam politik negara akan melanda orang-orang Melayu dan UMNO khasnya sekali lagi. Ketika itulah baru orang Melayu sedar, tetapi kertika itu nasi sudah menjadi kerak hangus semata-mata. Percayalah dan sedarlah bahawa anak-anak Melayu sudah tidak tahan dan tidak mahu aplogetik lagi, kerana mereka sudah banyak sangat mengalah dan dialahkan selama ini, cukuplah sudah!



KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MARUAH MELAYU BUKAN KERIS
TOMBAK DAN LEMBING JADI SENJATA


Sekali persetua kecohlah di dalam negeri Melayu apabila ketua anak-anak muda Dato’ Seri Hishamuddin Hussein menghunus keris, walaupun tak turun mengamuk ke tengah peseban. Adapun kejadian yang berlaku tiga tahun lalu, disebut orang hingga ke hari ini menyebabkan Dato’ Seri Hishamuddin dilaporkan meminta maaf semalam, 19 Rabiulakhir 1429 (atau bagi anak cucu fakir 26 April 2006). Syahdan akan keris itu juga digunakan apabila menyampaikan titah raja, kerana hulubalang-hulubalang Melayu akan menggunakan tombak dan lembing sekiranya mahu mengancam musuh. Maka apabila menghunus keris, bukan bermakna mahu membunuh sebaliknya menyampaikan titah raja seperti Tun Isap membawakan keris kepada Bendahara Seri Maharaja.

Syahdan akan Hang Tuah berlima sahabat itu sedang membelah kayu di hadapan rumahnya, ketika seorang Jawa mengamuk di pasar. Adapun orang Jawa itu demam kura terkukul-kukul lalu diejek oleh anak-anak muda menyebabkan dia berasa malu. Maka mengamuklah orang Jawa itu, habis dibunuh siapa sahaja di hadapannya. Hang Tuah pun mengusir orang Jawa itu dengan kapak di tangannya. Arakian orang Jawa itu mendekati Hang Tuah, lalu dikapaknya kepala terbelah dua. Maka orang Jawa itu pun matilah. Syahdan kawan-kawan sama sebayanya bertanya kepada Hang Tuah kenapa tak gunakan keris semasa melawan orang mengamuk, lalu dijawab oleh Hang Tuah, ketika itu kapak sahaja yang ada di tangannya seperti diterangkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, April 26, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:


MENAGIH JANJI MENTERI KESIHATAN
PESAKIT MASIH MENUNGGU LEBIH 2 JAM



Assalamualaikum,



Balik dari Jelebu semalam (24 April 2008) kira-kira jam 9.00 malam, saya terus menghantar anak saya Syamsul Anwar (anak istimewa, yang menghidap autisme) ke Hospital Selayang akibat demam. Sebelumnya pejabat kesihatan daerah Gombak yang membuat lawatan rumah ke rumah menasihati orang ramai mendapatkan rawatan di hospital (bukan klinik swasta) sekiranya mengalami demam berterusan, sakit kepala dan sengal-sengal sendi berikutan wabak denggi disyaki menggugat. Merungut juga isteri saya apabila kenang jaminan Menteri Kesihatan yang baru Dato’ Ong Ka Chuan akan meningkatkan perkhidmatan di hospital dengan tempoh singkat kepada 20 minit pesakit menunggu giliran, tetapi terpaksa menunggu lebih dua jam. Begitulah!



Penghidap autisme memang mudah bosan menunggu lama, kerana dalam tempoh 30 minit ianya akan ‘memberontak’ disebabkan sikapnya hayperactive. Masalah sudah pun diberitahu kepada jururawat bertugas, tetapi heh heh heh! Terpaksa juga menunggu hingga jam 11.30 malam. Aduhai! Kira-kira jam 10.00 malam pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail menelefon ketika saya masih lagi di ruang pesakit luar Hospital Selayang. Haji Yahaya bertanyakan berkaitan perjumpaan dengan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo pada 23 April 2005. Disebabkan Haji Yahaya tak ikut sama, beliau mengakui kesediaan Dato’ Seri Dr Mohd Khir bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada Disember 2008 nanti, sebagai manifestasi kebangkitan kebebasan intelektual yang menolak perhambaan minda dalam UMNO.



Ketika sampai di rumah kira-kira jam 12.00 malam, adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid pula beritahu mengenai insiden ‘Rukun Tetangga’ membelasah seseorang hingga hampir berlaku pergaduhan. Ir Adnan diminta menjadi ‘orang tengah’ apabila lelaki yang terbabit dibelasah bertindak membalas dendam terhadap ‘Rukun Tetangga’. Setelah disiasat rupa-rupanya salah seorang daripada ‘Rukun Tetangga’ di kawasan perumahan terbabit memang gemar mendera termasuk menyuruh anak muda yang disyaki melakukan perkara tak baik melakukan ‘ketumbuk ketampi’. Ironinya, lelaki yang dibelasahnya itu merupakan ahli ‘Rukun Tetangga’ juga.
Sikap salah guna kuasa oleh ‘Rukun Tetangga’ yang melakukan arahan di luar aturan yang ditetapkan oleh pentadbiran ‘Rukun Tetangga’ itulah menjadi punca masyarakat berasa benci dan meluat terhadap ‘Rukun Tetangga’. Malah kebencian itu juga menular kepada UMNO dan BN, menyebabkan di kawasan perumahan calon-calon UMNO dan BN terkulai, tersalai dan terbarai! Ir Adnan yang dianggap ketua tak rasmi bagi penduduk di fasa 8 kawasan perumahan terbabit sudah memberi mesej kepada ‘Rukun Tetangga’, ‘alang guru kepalang ajar, alang tukang kayu binasa; kalau ketam jalan mengereng, jangan harap anaknya berjalan betul!’.


Hari ini (25 April 2008) bekas profesor dan pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon beritahu beliau dimarahi oleh penyair Yassinsalleh apabila sering bersikap berkompromi dalam isu ‘politik akademik’. Apalagi Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM yang kurang ‘mengampu’ terus tercicir bagi mengisi jawatan di IPTA selepas bersara termasuk ‘Kursi Tun Ghafar Baba’ di UPSI, ‘Kursi Tun Abdul Razak’ di UKM mahupun Ketua Pengarah DBP di bawah kementerian pelajaran. Kata Yassinsalleh bukan sahaja kerajaan membazirkan tenaga ‘akademik’, malah negara turut mengabaikan kepakaran Dato’ Dr Mohd Mansor.

-Pak Dharma.





INFO HAK ASASI MANUSIA:



BESOK KU LI DI SUBANG
PRIMA KE KAMPUNG ORANG ASLI

Jadual perjumpaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama gabungan cawangan-cawangan UMNO di Subang besok (26 April 2008) mulai jam 2.00 petang memperlihatkan orang Melayu sudah bergerak menolak ‘perhambaan minda’ yang menjadi trend UMNO selama ini. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, Tengku Razaleigh sedang menggerakkan usaha membawa perubahan kepada kalangan UMNO di peringkat akar umbi bagi membebaskan orang Melayu dari jaringan ‘perhambaan minda’ yang berterusan. Seterusnya Dato’ Kamal Amir juga turut mengalu-alukan kesediaan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo untuk memimpin Pemuda UMNO dengan membawa ‘suara rakyat’, di samping hidupkan semula ‘semangat perjuangan Dato’ Harun Idris’.


Sementara itu di Pahang, aktivis teater Sdr L Mankadir Shamsi pula memberitahu majlis ‘Baca Puisi Perkampungan Orang Asli’ sudah bersiap sedia menyambut penyair-penyair PRIMA ke Kampung Pian di Kuala Krau. Katanya, penduduk-penduduk Orang Asli di perkampungan berkenaan akan memperkenalkan kesenian tradisional mereka termasuk bersewang bagi memeriahkan kunjungan PRIMA. Beritahu Sdr L Mankadir, majlis berkenaan bagi mendekatkan kebudayaan dan kesenian tradisonal Orang Asli yang diabaikan kepada aktivis budaya dan sastera dari PRIMA yang prihatin dengan rintihan masyarakat Orang Asli. “Kita mahu PRIMA turut memperjuangkan kebudayaan, sastera lisan dan kesenian Orang Asli ke peringkat nasional,” kata Sdr Mankadir.




INFO SASTERA & BUDAYA:


PENGURUSAN DBP PERLU DIPANTAU
BERKAITAN PENERBITAN, PERCETAKAN & PEMASARAN



Bekas profesor dan pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mahukan pengurusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa dipantau menerusi siasatan yang telus berkaitan penerbitan, percetakan dan pemasaran buku-buku di bawah agensi berkenaan. Menurut beliau pengurusan DBP juga tak terlepas daripada isu berkaitan kebobrokan pentadbiran hingga berlaku mogok di kalangan kaki tangan, pemasaran yang dimonopoli oleh pihak tertentu dan pembangunan sastera yang kurang berkesan. Apalagi kata Dato’ Dr Mohd Mansor, penerbitan karya sastera banyak digerakkan oleh penerbitan swasta yang lebih terancang sama ada pemasaran, produktiviti mahupun pengurusan.




“Kita mahu DBP menjadi agensi budaya yang proaktif dan berdaya saing dalam menterjemahkan hasrat orang Melayu mahu melihat pembangunan sastera seiring dengan kedaulatan memartabatkan Bahasa Melayu,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga novelis prolifik tanah air. Seterusnya beliau melahirkan rasa kecewa dengan penerbitan novelnya ‘Amigo Possa’ yang dicetak sekadar 1,700 naskhah sahaja, berbanding dengan buku autobiografi ‘Dato’ Onn Jaafar: Potret Pejuang Terbilang’ (bukan diterbitkan oleh DBP) dicetak 10,000 dengan diterima oleh Biro Teknoloji Pendidikan (BTP), iaitu di bawah kementerian pelajaran. Disebabkan DBP tak mampu menembusi BTP, justeru perbezaan ‘angka’ amat ketara, katanya.





INFO SUARA PROLITAR:

SISASAT SEGERA LAPORAN POLIS
BABITKAN BEKAS MENTERI MENCABUL.



Karpal Singh mendesak polis untuk meneruskan siasatan ke atas bekas menteri yang didakwa mencabul kehormatan wanita (berusia 30-an), walaupun kes tersebut telah ditarik semula. Mengikut undang-undang Malaysia jika laporan yang dibuat wanita itu palsu, maka hukuman ke atas wanita berkenaan boleh dikenakan, maksimum enam bulan penjara. Apakah Malaysia mahu meneruskan kisah ‘Musang Berjanggut’ P. Ramlee ketika Tok Nikah Kahwin berkata: ‘Salah tu memang salah, tapi itu undang-undang dato’ yang bikin!’. (SMS; 24 April 2008 – YS, Kajang, Selangor).




WAJARKAH KENA LANGIR LIMAU
SUKAR SANGAT BUKA LAMAN BLOG


Sudah berkali-kali saya cuba membuka laman blog http://www.adimul.blogspot.com/ tapi masih juga tak berhasil. Mungkinkah saya perlu kena mandi berlangir limau, kerana kata kawan saya seelok-eloknya ‘berlangir’ dengan limau sunkist. Saya difahamkan laman blog ini semakin menarik perhatian ramai, apalagi bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga dilaporkan melayarinya. Sebab itu, tolong berikan panduan supaya saya boleh melayari laman blog PRIMA. (SMS; 25 April 2008 – ZB, Taman Kencana, Cheras, Kuala Lumpur).



TAKZIAH KEPADA KELUARGA RUSTAM
HILANGNYA SUARA GOLONGAN MARHAIN



Takziah kepada keluarga Allahyarham Rustam A Sani yang meninggal dunia pada 23 April 2008. Bagi saya kehilangan Rustam A Sani bermakna gugurnya sebutir bintang yang menjadi pejuang suara marhain yang dipelopori oleh ayahnya Bung Boestamam (Dato’ Abdullah Sani bin Raja Kecik). Ketika diberitahu mengenai kematian beliau, saya berada di luar Kuala Lumpur. Bagaimanapun sumbangan Rustam A Sani dalam penulisan dan menyuarakan kepentingan marhainisme tetap dikenang buat selama-lamanya. (SMS; 25 April 2008 – S. Buyong, Beranang, NS).




KOMENTAR
bersama Pak Parjo



HUBUNGAN BAIK TERJALIN LAMA
KESERASIAN NEGARA GAJAH PUTIH


Sebermula akan negeri Melayu itu sudah lama menjalin hubungan baik dengan negara Gajah Putih sejak turun temurun daripada paduka nenda Parameswara (Sultan Iskandar) hinggalah kepada paduka ayahanda Raja Kassim (Sultan Muzzafar Shah). Syahdan akan memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi diberitahu oleh sekalian para penyurat hari ini 18 Rabiulakhir 1429 (yakni 25 April 2008 mengikut perkiraan anak cucu fakir) berkata akan menghulur sebarang bantuan yang dianggap wajar oleh negara Gajah Putih (disebut anak cucu fakir Thailand) bagi pembangunan iktisad. Arakian fakir dimaklumkan orang banyak akan negara Gajah Putih itu terlalulah maju pertaniannya jika dibandingkan dengan negara Melayu ini, adanya.


Oleh yang demikian tak tahulah fakir bagaimana negeri Melayu ini hendak membantu negara Gajah Putih yang sudah sedia maju pertaniannya, hinggakan segala buah-buahan dari negeri itu dibawa masuk ke negeri ini. Hatta masakannya juga sudah penuhlah di merata pelusuk kampung dan ceruk rantau negeri Melayu iaitu tomyam, daging masak merah, nasi paprid, mi lakna dan bermacam-macam lagi. Syahdan begitulah peri majunya negeri Gajah Putih yang memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah mahu memberi bantuan itu. Arakian tersebutlah gajah Sultan Mansor Shah bernama Kancanci terlepas ke hutan, maka ditemui orang di dalam paya dan semak berduri.


Maka pergilah panglima gajah Seri Rama mengambil, tiada dapat ia membawanya balik ke istana. Maka disuruh baginda tafahus di dalam negeri Melaka itu, kalau-kalau ada orang tahu ilmu gajah. Lalu dipersembahkan orang Maharaja Dewa Sura iaitu raja Pahang di bawah pemerintahan Siam yang negerinya dialahkan Melaka terlalu tahu akan ilmu gajah. Maka Maharaja Dewa Sura memberitahu orang yang membawa titah, hendaklah dilepaskan (bebas dari tahanan), barulah dia mahu mengambil gajah itu. Telah dilepaskan Maharaja Dewa Sura itu, gajah tersebut dapatlah diambilnya. Maka oleh Sultan Mansor Shah disuruhlah semua anak-anak orang besar Melayu belajar akan ilmu gajah kepada Maharaja Dewa Sura orang Siam itu, seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:














HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, April 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

TERGAMAM SELEPAS SOLAT SUBUH
TIBA-TIBA TERIMA SMS SYED HUSSIN
Assalamualaikum,

Selepas solat subuh seperti kebiasaan, saya berbaring semula hingga kadangkala terlelap juga hingga santak jam 7.30 pagi. Hari ini (23 April 2008), memang saya sudah bercadang membawa anak saya Ikram Hafiz membuat ‘pemeriksaan kesihatan’ (medical check-up) bagi persiapan memasuki Universiti Industrial Selangor (Unisel) 3 Mei 2008 ini. Apabila SMS berbunyi saya boleh meneka rakan-rakan yang mengirimnya sama ada penyair Yassinsalleh, Sdr Zakaria Bidin, Sdr L Mankadir Shamsi atau Haji Sayuti Omar. Kalau Dato’ Kamal Amir, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Haji Bakar Ninggal atau Sdr Zainal Abidin Rasidin mereka lebih selesa menelefond daripada mengirim SMS. Kadangkala Dr Haroun Haji Kidam dari Melaka, Dr Leo A.W.S. dari Kelantan atau Ustaz Azmi dari Negeri Sembilan juga akan mengirimkan SMS juga. Begitulah!


Rupa-rupanya awal pagi ini (23 April 2008) Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Hussin Ali dan Haji Sayuti Omar serentak mengirimkan SMS beritahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah aktivis masyarakat dan penulis Rustam A Sani jam 3.00 pagi akibat serangan sakit jantung. Rustam bekas pensyarah di UKM bukan sahaja pengandali laman blog, malah terbabit dalam kesinambungan perjuangan ayahnya Dato’ Ahmad Boestamam. Beliau juga dikenali pejuang hak asasi manusia, malah ikut sama dalam gerakan awal isu keadilan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada September 1998. Ketika GERAK digerakkan diibu pejabat PAS oleh Allahyarham Dato’ Fadzil Noor, memang Rustam tak ikut sama.

Memang semasa GERAK digerakkan selepas rumah Dato’ Seri Anwar digempur FRU malam 20 September 1998, saya tak melihat Rustam. Mungkin sahaja ketika itu PRM diwakili oleh Dr Syed Hussin Ali dan Dr Sanusi Osman, sementara saya pula bersama Allahyarham Abang Mat (Sdr Ahmad Noor) dan Dr Tan Seng Giaw mewakili DAP, di samping Dato’ Fadzil Noor, Subky Latiff dan Haji Mahfuz Omar pula mewakili PAS. Kalangan akademik yang saya kenali pula ialah Dr Aziz Bari dan Shaari Sungip, sementara dari NGO pula Dato’ Syed Jamal, Tian Chua dan Anuar Tahir. Sekalipun Rustam tak bersama di peringkat awal, tetapi beliau terbabit dalam gerakan seterusnya sehinggalah Parti Keadilan Nasional ditubuhkan di bawah pimpinan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Bagaimanapun saya mengenali Rustam melalui ayahnya Dato’ Ahmad Boestamam (Pak Boes) yang lebih rapat dengan saya. Ketika menggerakkan akhbar ‘Mingguan Bumi’ bersama Hussein Yaacob, Abu Bakar Ninggal, Yusuff Jalil dan Saroji Mokhtar memang Pak Boes ikut sama terbabit. Setiap petang kami akan berjumpa, sekalipun Pak Boes menghadapi masalah penglihatan berikutan pembedahan mata. Sebagai aktivis pula Rustam bukanlah mempunyai karektor yang sama seperti Pak Boes, sebaliknya beliau mirip seperti Dr Syed Hussin yang serius (malah jarang berjenaka). Kalau terserempak di pasaraya Taman Seri Gombak pun, kami sekadar bertanya khabar sahaja. Moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah!

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:




SALAHKAN PENGERUSI PERHUBUNGAN
MAT TAIB PERLU SALAHKAN ABDULLAH



Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyifatkan sikap Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib meletakkan beban kesalahan kekalahan BN pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu di Selangor ke bahu orang lain sebagai budaya pimpinan ‘korup idea’. Katanya Tan Sri Muhammad tak mampu mengkritik diri sendiri (self ciriticism), hingga menjadi ‘prasit politik’ yang bergantung kepada ihsan pimpinan bagi survival perjuangan yang dangkal. Mengulas keserabutan pemikiran Ketua Penerangan UMNO itu yang juga Menteri Pebangunan Luar Bandar menyalahkan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo menyumbang kepada kekalahan di Selangor, beliau memberitahu Tan Sri Muhammad bukan sahaja korup idea, malah dangkal politik dan terikat dengan perhambaan minda.

“Kalau di Selangor salah Dr Khir, bagaimana dengan Pulau Pinang, Perak dan Kedah adakah kesalahan dibeban ke bahu Pengerusi Perhubungan UMNO,” kata Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO. Seterusnya Dato’ Kamal Amir mencabar Tan Sri Muhammad menyalahkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kapisiti Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang menyebabkan negeri berkenaan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. “Tan Sri Muhammad harus membebaskan dirinya daripada perhambaan minda bagi mencerminkan keterampilan sebagai seorang Ketua Penerangan UMNO yang setanding dengan Tan Sri Jaafar Albar,” jelas Dato’ Kamal Amir.




INFO SASTERA & BUDAYA:

PIMPINAN DBP MAHU DITUKAR
PAK LAH BUAT KEPUTUSAN MUTLAK



Pelbagai pihak mahukan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr Firdaus Abdullah yang tamat tempoh kontraknya tahun ini, tak disambung semula. Dalam pertemuan dengan aktivis budaya di PWTC hari ini (23 April 2008) dikatakan seorang ahli Parlimen UMNO menelefon ke pejabat kementerian pelajaran mendesak supaya jawatan berkenaan diberikan kepada tokoh akdemik yang lebih muda, di samping berkarisma serta terbabit dalam gerakan bahasa di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun dilaporkan pihak pejabat kementerian memberitahu, memang pandangan tersebut sudah dalam pertimbangan kementerian berdasarkan kebobrokan pimpinan DBP setakat ini. Sebaliknya keputusan mutlak membuat pelantikan di pejabat Perdana Menteri bukan di kementerian terbabit.


Justeru menurut sumber, ahli Parlimen terbabit terkejut apabila kementerian pelajaran tak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pelantikan jawatan Ketua Pengarah DBP. Baru-baru ini SN Dato’ Dr A Samad Said dilaporkan enggan menggunakan status yang dianugerah selaku ‘Sasterawan Negara’, berikutan kekecewaan terhadap peranan DBP dalam pembangunan sastera di negara ini. Malah ketika ‘Pesta Buku Antarabangsa’ baru-baru ini sekali lagi Dato’ A Samad Said melahirkan rasa kecewa apabila suratnya kepada Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr Firdaus berkaitan isu mahu menerbitkan smeula karya-karyanya tak diberi layan. “Pembangunan sastera dan bahasa adalah berasaskan kepada hubungan baik sasterawan dan DBP, kalau sebaliknya ialah kegagalan pimpinan agensi kerajaan itu,” kata sumber berkenaan.




INFO SUARA PROLITAR:



JANGAN LAGI RABUN MATA
FIKIR-FIKIRLAH SAMPAI 10 KALI

Bila Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) mahu melakukan peralihan kuasa? Kalau calon penggantinya 2 X 5 dengan Pak Lah samalah macam melepaskan batuk di tangga. Tempoh pemilihan ialah sehingga Disember 2008. Sekiranya ahli-ahli UMNO tak mahu pisang berbuah dua kali, calon yang dikira terbaik ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Janganlah rabun mata lagi. Memang pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO memerlukan 30% sokongan. Tapi kalau budaya RM200 di Kubang Pasu diteruskan, ahli-ahli UMNO kena fikirlah 10 kali, bukan lagi dua kali. (SMS; 23 April 2008 – Rimau Karak, Pahang).


Oleh:Fuad Rahim

BETULKAH BLOGGER PENYEBAR FITNAH?


Blogger atau penulis blog boleh sahaja dianggap tukang fitnah atau penyebar kepalsuan tetapi bukan semua bersikap sedemikian.Jika blogger atau penulis blog dari kalangan wartawan, mereka pastinya ‘terikat’ dengan etika kewartawanan, walaupun menulis di blog atau laman web, seolah-olah seseorang itu tidak dipantau sesiapa. Disebabkan laman web yang menentang kerajaan dilihat lebih ramai dikunjungi, tetapi bukanlah bermakna laman-laman ini terlalu berpengaruh – kecuali pengendalinya mengakui sendiri kononnya laman mereka ‘cukup menyengat’. Pengunjung (baca: pembaca) dari kalangan mereka yang boleh mengundi tetapi tidak kurang juga mereka ini belum layak mengundi.

Selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12), banyak pihak membuat analisis kononnya blogger dan laman web adalah salah satu faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kecundang.Seorang penulis politik yang juga Setiausaha Umno Bahagian Pokok Sena, Ramli Mohd Yunus berpendapat, terlalu kecil peratusan mereka yang terpengaruh dengan tulisan dalam blog dan laman web yang menyebabkan pengundi beralih arah. “Saya sendiri seorang yang ketagih melayari laman-laman web, tetapi saya mempunyai akal untuk berfikir. Yang mana betul, saya percaya dan yang mana saya curiga, saya akan siasat sendiri. Mustahil saya boleh diperbodohkan kerana saya tidak membaca hanya senaskhah akhbar sehari dan rujukan saya bukan setakat akhbar tempatan. Saya membaca laman web dan saya juga membaca majalah dan akhbar lain termasuk terbitan antarabangsa.” Tegasnya.



Seorang lagi penulis, Zakaria Bidin ketika mengulas mengenai laman blog dan blogger pula berpandangan; “Masing-masing mempunyai hak menulis tetapi hak itu bukanlah kebebasan tanpa batasan. Saya tidak mempunyai banyak masa untuk melayari laman-laman web, tetapi bukan bermakna saya anti laman web,” Kata Zakaria lagi, “Pembaca perlu menimbang secara matang setiap maklumat yang dibaca. Jika boleh, siasat siapa penulisnya. Ambil tahu latar belakang penulis dan keperibadiannya. Jika tidak pasti, berbincanglah dengan kawan-kawan terhadap satu-satu isu yang dibaca,”.


Penulis Wan Yusof Wan Ngah pula berkata; “cara seseorang menulis sudah boleh diberikan ‘markah’ sama ada tulisan itu palsu, fitnah atau benar,” Wan Yusof yang banyak menulis di akhbar-akhbar tabloid berpendapat, seseorang blogger atau penulis laman web tidak terlepas dari dosa dan pahala. “Dia kena bertanggungjawab dengan apa yang ditulisnnya. Jika di dunia dia terlepas dia tidak mungkin terlepas di akhirat,” hujahnya.Wan Yusof berpendapat, penulis yang sengaja menulis fitnah adalah seseorang yang sakit jiwa dan mentalnya tidak stabil. “Untuk apa dia lakukan fitnah terhadap seseorang jika bukan kerana jiwanya sedang sakit?” soalnya lagi.


“Bagi saya, seseorang yang sengaja memfitnah sebenarnya menunjukkan dirinya yang tidak baik dan keperibadiannya yang songsang.” Tambahnya. Sebenarnya laman-laman web dan blog ini bermula sekitar 10 tahun yang lalu. Kalau kerana politik, ia lahir betul-betul ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan dari Umno. Ketika itu, laman-laman web dan blog muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, tiada siapa yang menghiraukannya. Ada yang menyindir kalau timbul cerita ‘aku dapat maklumat ni dari laman…..’


Hari ini, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Menteri Penerangan yang baru, Datuk Ahmad Sabbery Chik berjumpa dan berkenal-kenalan dengan blogger, semua blogger dan pengendali laman-laman web terasa mereka penting.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
PERIHAL PERKARA BUDAYA
ORANG MUDA PERLU MEMAHAMI

Kata sahibul hikayat akan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Shafie Apdal mahukan anak-anak muda lebih memahami budaya dan adat resam dua benua di negeri-negeri atas angin dan di bawah angin. Adapun disuratkan orang banyak hari ini, 16 Rabiulakhir 1429 (yakni 23 April 2008 kepada anak cucu fakir) akan orangkaya menteri itu berkata semasa perjumpaan dalam muafakat ketiga orangkaya-orangkaya menteri negeri atas angin dan bawah angin (ASEM CMM). Berkatalah akan orangkaya menteri itu, “Perkembangan di seluruh dunia sekarang menunjukkan masyarakat antarabangsa berhadapan pelabagai isu kebudayaan, yang mana salah faham terhadap budaya orang lain masih jelas berlaku dari semasa ke semasa.” Adapun yang diminta memahami budaya itu orang muda sahaja, kononnya orang tua faham sangatlah mereka.

Syahdan datanglah sebuah kapal Feringgi dari Goa. Maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya, dan bandarnya pun terlalu ramai. Maka segala orang pun berkampung melihat rupa Feringgi itu. Maka sekaliannya heran melihat dia. Arakian kata orang Melaka, “Ia ini Benggali Putih’. Sebermula akan kapitan Feringgi itu naik menghadap Bendahara Seri Maharaja. Maka oleh bendahara di angkat anak kapitan itu, dipersalin. Syahdan kapitan itu persembahkan pada bendahara rantai emas berpermata seutas dimasukkan ke leher bendahara dengan melangkau kepala. Maka sekali anak-anak buah hendak gusar akan kapitan itu, tiada diberi oleh bendahara, katanya, “Jangan dituruti, kerana ia orang tiada tahu adat Melayu,” seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:

HIDUP BAHASA MELAYU.

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:


BUAT KERJA DI SALAH ANGGAP
TAK BUAT KERJA AKAN DICEMUH


Assalamualaikum,



Dilema dalam pimpinan UMNO sejak dulu lagi ialah ‘buat kerja akan disalah anggap seolah-olah mahu cepat mencapai kedudukan; sekiranya tak buat kerja pula dipersalahkan malah dicemuh’. Begitulah! Bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris pernah memberitahu saya mengenai dilema yang dihadapinya ketika menjadi timbalan menteri, apabila beliau sering mendapat liputan media setiap kali menjalankan tugas kementerian. Justeru beliau dikatakan mahu cepat meningkat naik, hingga Tun Abdul Razak ingatkan beliau, “Tak apalah Mat, saya pindahkan you bawah Manickavasagam, dia tu ok!” Mujurlah ‘taukeh’ memahami situasi, bagaimana kalau ‘taukeh’ wal hasil balik hasal?


Hari ini (22 April 2008) dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Holliday Inn, Subang turut mendedahkan dilema berkenaan, apabila beliau terlalu menumpukan kepada ‘kerja’. Tak hairanlah ketika menjadi Menteri Besar Selangor, beliau dikritik oleh pimpinan dalam UMNO sendiri apabila berusaha mahu memastikan kerajaan negeri yang dipimpinnya mencapai kejayaan cemerlang. Beliau turut mengakui di bawah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, usaha beliau disenangi disebabkan Tun Dr M ‘turun padang’. Misalnya, menurut Dato’ Seri Dr Khir beliau pernah bertelagah dengan Tun Dr M berkaitan pemasaran industri kampung di pasaraya besar.


Tak disangkanya Tun Dr M ‘turun padang’ ke pasaraya besar berkenaan, di samping mengakui industri kampung yang disebut beliau (Dato’ Seri Dr Khir) dipasarkan di situ mampu mengaut keuntungan hingga RM5,000 sebulan. Apabila industri kampung (termasuk kerepek ubi dan sebagainya) mahu dieksport ianya dibantah oleh pasaraya besar, kerana boleh mengurangkan input mereka hingga 50% dengan tak menghiraukan kepentingan rakyat jelata di peringkat akar umbi. Dialog PRIMA bersama Dato’ Seri Dr Mohd Khir turut disertai Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Suhaimi Ibrahim, Sdr Aspan Alias, Sdr Sallehuddin, Sdr Zakir, Sdr Sobri Ahmad dan rakan-rakan pengendali laman web dan laman blog.



Pandangan yang berbeza berlaku juga misalnya, apabila Sdr Zakir menolak pendapat Dato’ Suhaimi yang mengakui UMNO masih ‘kuat’ dan diterima oleh orang Melayu. Kata Zakir kemerosotan prestasi UMNO di seluruh negara pada pilihanraya ke 12, bukan lagi undi protes sebaliknya manifestasi orang Melayu terhadap pimpinan UMNO. Justeru Sdr Aspan bersetuju UMNO perlu dipimpin oleh golongan muda yang dinamik seperti Dato’ Dr Mohd Khir. Malah Sdr Sallehuddin juga mengakui sekiranya UMNO enggan menerima perubahan, ianya sesuai dipamerkan di muzium sahaja. Apalagi Dato’ Kamal Amir turut menolak konsep ‘ketuanan Melayu’ yang dibangga-banggakan UMNO, kalau ketuanan berkenaan tak ‘berdaulat’. Heh heh heh!

-Pak Dharma




INFO HAK ASASI MANUSIA:

PEMUDA PERLU MENJADI BENTENG
PRIHATIN MEMBAWA ‘SUARA RAKYAT’


Bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo berikrar menjadikan Pergerakan Pemuda UMNO sebagai benteng kepada orang Melayu di peringkat akar umbi, di samping prihatin membawa ‘suara rakyat’ apabila menawarkan diri bertanding jawatan ketua pergerakan tersebut pada pemilihan UMNO Disember 2008 nanti. Ketika berdialog dengan pegendali laman web dan laman blog hari ini (22 April 2008), Dato’ Seri Dr Mohd Khir berkata, persepsi salah selama ini ialah apabila pihak Pemuda tak dapat membezakan ‘kerajaan’ dengan ‘UMNO’, menyebabkan isu yang dibangkitkan tak prihatin dengan ‘suara rakyat’. “Apabila Pemuda tak membawa ‘suara rakyat’, pihak lawan menggunakan kesempatan tersebut, menyebabkan mereka mendapat manfaat,” beritahu Dato’ Dr Mohd Khir.



Seterusnya Dato’ Seri Dr Mohd Khir mengakui pimpinan Pemuda UMNO di bawah Allahyarham Dato’ Harun Idris adalah period kegemilangan yang sukar dicapai selepas dekad 1970-an. Menurut beliau, pimpinan Pemuda di bawah Dato’ Harun bukan sahaja dikagumi di dalam negeri, malah dihormati di peringkat antarabangsa hingga mampu menarik pelabur-pelabur luar menjana pembangunan ekonomi. Katanya, Dato’ Harun dengan ‘pressure group’ mampu melonjak martabat Pergerakan Pemuda UMNO, justeru usaha menjatuhkannya digerakkan oleh kalangan dalam UMNO sendiri yang melihatnya boleh menjejaskan kewibawaan mereka. “Pemuda UMNO perlu kembali kepada akar umbi iaitu menjadi benteng orang Melayu dan prihatin dengan suara rakyat,” beritahu Dato’ Seri Dr Mohd Toyo selanjutnya.




PILIHANRAYA MACAM PEPERIKSAAN
UMNO MASIH LULUS DENGAN ‘GRED A’


Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Dato’ Suhaimi Ibrahim menolak tanggapan ramai mengenai kemerosotan prestasi UMNO pada pilihanraya ke 12, 8 Mac 2008 lalu. Katanya, anjakan pengundi Melayu sekadar 20 peratus sahaja di seluruh negara, justeru pencapaian UMNO bolehlah dianggap cemerlang. Beliau yang juga bekas ADUN Benta di Pahang memberitahu dalam dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Holliday Inn, Subang petang ini (22 April 2008). Menurut Dato’ Suhaimi, pilihanraya bolehlah dianggap seperti juga menghadapi peperiksaan, apabila calon terbabit sekadar gagal satu atau dua subjek tetapi keputusan keseluruhannya masih lagi ‘gred A’.


Bagaimanapun pandangan Dato’ Suhaimi dipertikai oleh pengndali laman blog Sdr Zakir, yang meminta aktivis UMNO mengakui kekalahan drastik pada pilihanra lalu. Menurut Sdr Zakir, kalau kemerosotan undi Melayu di Johor dijadikan ukuran, UMNO sebenarnya dalam keadaan ‘paling lemah’ dalam sejarah pilihanraya. Apalagi katanya, kekalahan UMNO bukan disebabkan undi protes, sebaliknya pemikiran pengundi-pengundi muda membuat anjakan paradigma berdasarkan keterbukaan mereka. “Dari 16 juta pengundi di Malaysia, ahli UMNO sekadar 3.2 juta sahaja, di samping pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab ialah 11 juta, kalau undi protes pun sekitar 3.2 juta ahli UMNO sahaja,” kata Sdr Zakir.


KETUANAN MELAYU MESTI DITOLAK
KONSEP USANG YANG SUDAH LAPUK


Ketuanan Melayu yang menjadi kebanggaan UMNO perlu ditolak secara total, kerana ianya konsep usang yang sudah lapuk, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Bagi memulihkan semula krisis keyakinan pimpinan UMNO sekarang sudah tiba masanya konsep ketuanan Melayu itu tak perlu disebut-sebut lagi, katanya dalam dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo. Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO menjelaskan, adalah memalukan ‘ketuanan Melayu’ sekiranya tak berdaulat dan tak bermartabat. “Apa yang penting sekarang ialah kedaulatan Melayu sama ada agama, politik, kebudayaan, ekonomi dan negara,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


Saranan Dato’ Kamal Amir dipersetujui oleh pengendali laman blog Sdr Sallehuddin yang menganggap ‘ketuanan Melayu’ sekadar gimmik politik sekiranya tak disertakan dengan memartabatkan kedudukan orang Melayu. Malah aktivis masyarakat Sdr Aspan juga turut merasakan ‘ketuanan Melayu’ menjadikan orang Melayu lalai, di samping terikut-ikut dengan pandangan pihak lawan terhadap pentingnya ‘Dasar Ekonomi Baru’. Seterusnya Dato’ Seri Dr Mohd Khir juga menganggap ‘ketuanan Melayu’ lebih baik ditukar kepada ‘ketahanan Melayu’ yang lebih relevan, terutama bersaing dengan orang lain sama ada dalam bidang yang baik mahupun yang tidak baik.



INFO SASTERA & BUDAYA:


SAJAK

Deklamasi Puisi Perdana


Ku cari damai abadi
ku dapat sumpah sampai mati
aku ingat nak jadikan
menantu menteri
depa titik aku dengan keji
tak apa –
aku masih lagi seorang perdana!


Ku cari Imam al-Ghazali
ku terjumpa ka ka ka ri…
Anwar al-Pakati
ku konspirasi
biarpun UMNO dah nak mati
asal puas di hati
alahai hebatnya Islam Hadhari.

YASSINSALLEH
Kajang, Selangor
21 April 2008.



INFO SUARA PROLITAR:

DULU BERANI KRITIK KETUA
SEKARANG SEMUA IKUT LEMBIK!


Even the founder member of UMNO, Dato’ Onn Jaafar had been push out when it comes to his questionable suggestion. Bapa Kemerdekaan, Tunku (Abdul Rahman Putra) had been urged to step down when 13 May Tragedy hits the nation in 1969. Bapa pemodenan Dr M (Tun Dr Mahathir Mohamad) had been fought in 1987 battle which leads to S46 (Parti Melayu Semangat 46) separation & ‘pengharaman UMNO’. So, previously/once upon a time, UMNO members are amazingly brave in challenging their leader! So, I wonder where all ‘the balls’ gone when the weakest leader of weakest era of UMNO in our history run the show in 2008! Want to wait to see UMNO becomes irrelevant? Or maybe they have all lost their balls at the golf courses! Then, let it be… (SMS; 22 April 2008 – Orang Lama, Hulu Langat, Selangor).


TERKILAT IKAN DI AIR
SUDAH TAHU JANTAN BETINA


Apa hal? Hari ini (22 April 2008) diumumkan pembatalan jembatan Pulau Pinang dengan alasan masalah reka bentuk, kenaikan harga dan tanah yang tak sesuai. Kenapa dulu tak fikir fasal reka bentuk, harga dan tanah tu? Terkilat ikan di air, dah tau jantan betina! Jadi, tak perlulah beri banyak dalih. Baru nak dera rakyat Pulau Pinang, Dato’ Lee Kah Choon dan protes. Beri surat tunjuk sebab pun tak guna, sebab Parti Gerakan pun ‘tak hidup tak mati’! (SMS; 22 April 2008 – Mat Buntal, Kepala Batas, Pulau Pinang).



BIAR HARGA BERAS NAIK
SUDAH BIASA KURANG MAKAN


Biarlah harga beras naik. Saya memang sudah biasa makan sekali sehari sahaja. Kalau harga beras melambung naik, saya boleh kurangkan makan lagi. Dua kali sehari sahaja makan lempeng. Setidak-tidaknya boleh elakkan penyakit kencing manis, darah tinggi atau lemah jantung. Taklah tergolek di bilik air, sebelum diusung ke hospital. Malaysia yang aman makmur, dengan kenaikan harga barang. Lagi rakyat benci dan meluat kerana harga barang naik sebelum pilihanraya; lagi BN dan pimpinan Dato’ Abdullah Ahmad Badawi tambahkan benci dan meluat rakyat. (SMS; 22 April 2008 – Ali Serabut, Cheras, Kuala Lumpur).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo


MEROMBAK PERATURAN KEHAKIMAN
DILAKSANA SECARA TERUS, TELUS DAN TURUS


Syahdan tersebutlah dalam negeri Melayu itu memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi beriya-iya mahu merombak peraturan kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) seperti disuratkan orang banyak hari ini 15 Rabiulakhir 1429 (atau bagi anak cucu fakir 22 April 2008). Berkatalah orang banyak peraturan kehakiman yang diwar-warkan itu tak memberi makna, sekiranya tak dilaksanakan secara telus, tulus dan turus. Begitulah juga perihal BPR bukanlah peraturannya yang salah, tetapi apabila ianya dilaksanakan mengikut seperti disebut oleh ‘Tok Nikah Kahwin’ dalam cerita yang dijadikan filem oleh Tan Sri P. Ramlee iaitu ‘Musang Berjanggut’ katanya, “Salah tu memang salah, tapi itu undang-undang Dato’ yang bikin.

Arakian apabila anak-anak orang besar di Melaka tak mencukupi perbelanjaan ketika menyambut perayaan ‘hari raya’, mereka pun menemui Tun Hassan Temenggung kerana mengadukan hal mereka. Maka oleh Tun Hassan Temenggung disuruhnya rentang tali di segenap kampung bagi meluruskan jalan-jalan dan lorong-lorong dalam negeri Melaka. Syahdan anak-anak orang besar itu pun merentang tali mahu meluruskan jalan-jalan dan lorong-lorong hingga terkenalah pada kedai-kedai dan rumah-rumah. Maka pemilik-pemilik kedai dan rumah-rumah itu pun menghulurkan peremasan kepada anak-anak orang besar yang merentang tali itu supaya tak terkena kediaman mereka. Terlalulah amat gembira anak-anak orang besar itu serta memuji-muji Tun Hassan Temenggung seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, April 22, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:



KRISIS MAKANAN LANDA DUNIA
MUNGKIN ANGKASA JADI PILIHAN



Assalamualaikum,


Kononnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi perhatian kepada masalah krisis makanan yang melanda dunia sekarang, seperti dilapor media hari ini (21 April 2008). Kalau di bumi menghadapi krisis makanan, apakah di angkasa lepas melambak-lambak makanan, berikutan usaha manusia terlalu arogan dengan kejayaan menerobosi angkasa lepas? Malam ini (21 April 2008) saya ke pasaraya NSK sebagai alternatif memilih harga barangan yang terendah di Selayang mahupun Gombak, malah menjadi tumpuan peniaga-peniaga restoran atau warung-warung makanan. Tak tahulah dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Samad sama ada beliau menyedarinya atau sebaliknya.



Minggu lalu saya ke pasaraya berkenaan, harga sekampit beras bagi isian 10 kilogram ialah RM19, tetapi malam ini melonjak ke paras RM23. Bagi harga beras termurah pula RM15.60 sekampit bagi isian 10 kilogram, naik mendadak kepada kepada RM20.30. Saya memilih harga beras disebabkan ianya ruji utama bagi rakyat Malaysia, lainlah kalau di kepulauan Meldives memilih jagung sebagai ruji utama rakyatnya. Harga makanan melonjak naik dikatakan berkaitan dengan krisis makanan dunia yang dialami oleh semua negara pengeluar bahan mentah makanan sama ada gandum, ubi kentang dan sebagainya. Mungkin sahaja Malaysia juga antara negara yang rakyatnya memberikan keutamaan kepada ubi kentang.



Ironinya, di pasaraya berkenaan ubi kentang Malaysia tak dilihat sebagai komoditi pasaran, kalaulah rakyat Malaysia menjadikan kentang sebagai bahan makanan utama. Ubi kentang yang dijual di pasaraya berkenaan semuanya diimport dari luar termasuk India, Pakistan dan Indonesia. Semalam (20 April 2008), pembeli ‘surat khabar lama’ berketurunan Cina singgah membeli surat khabar lama di rumah saya, secara spontan memberitahu, “Saya tak sekolah tinggi, tak jangan ingat saya tak boleh berfikir. Sekolah tinggi atau tak sekolah tinggi, itu nasib sudah tentukan!” Dia mempersoalkan bagaimana Malaysia sebagai pengeluar sawit, tetapi menghadapi kekurangan dalam pengeluaran minyak masak, di samping kenaikan harga yang tak munasabah.


Justeru, tak hairanlah seorang pengirim SMS dari Tapah, Perak menghubungi penyair Yassinsalleh memberitahu harga beras sudah naik di Perak, seolah-olah memberi tekanan kepada kerajaan Pakatan Rakyat – mereka juga tak mampu menghalang kenaikan harga barang. Pembeli ‘surat khabar lama’ dan pengirim SMS dari Perak itu, mungkin sahaja manifestasi keberangan golongan prolitar, yang menjadi semakin berang terhadap senario sekarang kepada BN dan bukannya kepada Pakatan Rakyat. Sekiranya diacah dengan pilihanraya mengejut, mereka tak akan memberi sokongan langsung kepada BN yang jelas semakin terdesak. Apalagi yuran persekolahan yang dikatakan ‘percuma’ kembali memeningkan kepala, apabila pelajar-pelajar dikehendaki membayar yuran perkhemahan hingga RM60, di samping sebelum ini yuran jamuan kepada ‘Pusat Sumber’ yang dikenakan RM60 juga (yakni belum pun pertengahan tahun). Aduhai!

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:



HARGA BERAS MENDADAK NAIK
‘KRISIS MAKANAN’ MENGGEGAR NEGARA



Kalangan pengguna tetap mempertikaikan ‘krisis makanan’ yang melanda Malaysia, sekalipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Samad memberitahu ‘krisis makanan global’ akan berlanjutan di Asia, Afrika dan juga Amerika Selatan yang dikenali sebagai negara pertanian. Berikutan tinjauan di pasaraya terkemuka di Selayang hari ini (21 April 2008), aktivis masyarakat Ir Adnan Haji Khalid memberitahu harga runcit beras sekampit isian 10 kilogram melonjak naik dalam tempoh seminggu sahaja dari RM19 kepada RM23, di samping harga beras murah berjenama ‘Fadzilah’ dari RM15.60 kepada RM20.30. “Pemusnahan sektor pertanian mungkin menjadi penyumbang kepada krisis makanan, berikutan Malaysia lebih mementingkan industri sebelum ini bagi menjadi negara maju,” ujar Ir Adnan.

Seterusnya Ir Adnan menjelaskan mungkin sahaja kerajaan menyedari akan berlaku krisis makanan pada April 2008, justeru mereka menggerakkan pilihanraya secara tergesa-gesa pada Mac 2008 dengan harapan mencapai kemenangan cemerlang. Kata Ir Adnan lagi, apabila berlaku anjakan pengundi yang di luar dugaan pada pilihanraya ke 12, kerajaan tak mamu membendung ‘krisis makanan’ yang diramalkan sebelum ini. Sekiranya kerajaan mencapai kejayaan besar pada pilihanraya lalu, sudah tentu pihaknya memberi alasan lain berikutan krisis makanan dunia, bukan menyebut harga beras dunia kini pada paras AS780 (RM2,464) satu tan, berbanding AS360 (RM1,137) akhir tahun lalu. “Kenaikan harga barang mungkin tak membebankan rakyat, kalau pendapatan bulanan mereka meningkat sama,” beritahunya kepada sekretariat PRIMA.


LAPORAN POLIS : WANITA DICABUL
PIMPINAN UMNO DIKATAKAN TERBABIT



Laporan polis dibuat hari ini oleh seorang wanita yang mendakwa dicabul, di samping membabitkan pimpinan tertinggi UMNO. Menurut sumber itu, pimpinan UMNO yang terbabit dikatakan menduduki barisan pimpinan kerajaan, di samping masih lagi berstatus Ahli Parlimen. Bagaimanapun sumber berkenaan enggan memberitahu pimpinan UMNO berkenaan, sebaliknya mengakui sudah membuat laporan polis di Wilayah Persekutuan. Wanita yang membuat laporan polis itu adalah secara sukarela, setelah berasa maruahnya tercabar dengan perlakuan pimpinan UMNO berkenaan. “Pimpinan UMNO di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, perlu membuktikan ketelusannya dengan membawa orang yang bersalah ke muka pengadilan,” kata sumber berkenaan.



INFO SASTERA & BUDAYA:


SAJAK


Malam Ini Gunung Ledang Rebah


Malam ini
Gunung Ledang rebah dibenam
embun duka
lalu puterinya bagaikan
tertawa berkata,
“Pun aku cuma
separuh cantiknya dia
malam ini aku mengadukan nestapamu
padaku.
Dan aku akan ke mana mengulit
sengasara”



Duhai intanku tersayang
kalau benarlah kau sayang padaku
berilah aku secangkir racun
untukku minum.


-YASSINSALLEH
Jam 0534, 19 April 08
Dusun Damai, Pagoh, Johor.




INFO SUARA PROLITAR:



BAGAIMANA BEZANYA MEREKA
PERKATAKAN PERKARA SUKAR DIJELAS?



What is the difference between Nik Aziz (Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) , Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat PKR dan bekas Timbalan Perdana Menteri) and Badawi (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO dan Perdana Menteri)? Nik Aziz can’t tell a lie, Anwar can’t tell the truth and Badawi can’t tell the difference (SMS; 20 April 2008 – YS, Kajang, Selangor).



AKTIVIS PRIMA KE PAHANG
DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI!



Minta mereka (aktivis PRIMA dan penyair bebas di Kuala Lumpur) menuju ke pekan Kuala Krau (26 April 2008). Pejabat PKR depan masjid. Makan malam dahulu jam 8.00 (mlm). Kemudian bertolak ke Kampung Pian, untuk majlis (Baca Puisi di perkampungan Kampung Pian dan menyaksikan kebudayaan tradisional Orang Asli). (SMS; 20 April 2008 – L Mankadir Shamsi, Lancang, Pahang).




KELIRU DENGAN PIHAK MEDIA
SIAPA MENGUASAI LIMA NEGERI?



Memang mengelirukan dengan persepsi media arus perdana, yang tak mahu menerima hakikat, sekalipun masyarakat antarabangsa sudah mengakui peranan laman blog dan laman web. Mereka masih mentakrifkan lima buah negeri (Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor) diperintah oleh pembangkang. Kalau dah memerintah, takkan pembangkang. Lima kerajaan negeri tu, pembangkangnya BN. Sepatutnya para pengampu tu berasa malulah sikit. Kerajaan UMNO yang hanya 78 kerusi Parlimen dan 62 parti komponen pun belum tahu tempoh hayatnya (SMS; 21 April 2008 – al-Fungsi, Sik, Kedah).




SELEPAS 20 TAHUN BERLALU
BARU BERANI KATA DR M SALAH



Benarlah kata bekas Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad, ex-gratia kepada enam bekas hakim itu bermotif politik. Kalau tak bermotif politik, kenapa menunggu hingga 20 tahun baru (kebobrokan) itu dikatakan kerana Tun Dr M. Apakah kebobrokan pada pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, 20 tahun akan datang pula baru mahu disebut pula. Kenapa kritikan keras tak dibuat 20 tahun dulu terhadap pimpinan Tun Dr M. Orang yang awalnya sokong Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) pun lari ke belakang. (SMS; 21 April 2008 - Sukri M, Kuala Lumpur).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo.


KEBOBROKAN MAKIN KETARA
HULUBALANG JUGA KECUNDANG



Sebermula berbalahlah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Nazri Aziz dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hingga ianya tuduh menuduh mengatakan ‘tak cerdik’. Adapun akan Dato’ Seri Nazri itu sudah pernah merasa pedihnya melawan ketua menyebabkan tersisih dari balairongseri, malah nasibnya tak sebaik Tan Sri Muhyiddin. Maka sekali persetua dapatlah Dato’ Seri Nazri itu dipilih menduduki balairongseri, di samping menteri yang mengatur adat istiadat di balairong itu. Oleh sebab yang demikian mestilah menjadi hulubalang besar, malah sentiasalah ia menyinsing lengan meminta lawan, sekalipun terpaksa mengusir akan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila cuba menghampiri balairongseri.


Syahdan sebaik sahaja Hang Berkat melihat Sultan Mahmud berpaling kepadanya, maka pada kasadnya tentulah menyuruh membuang Raja Zainal. Arakian pada malam hari pergilah Hang Berkat menaiki istana Raja Zainal, lalu ditikamnya lantas ke belikat. Maka Raja Zainal pun matilah. Syahdan diberitahu orang banyak kepada Sultan Mahmud akan paduka adinda itu matilah ditikam orang. Setelah disiasat tiadalah sesiapa pun tahu orang yang membunuh Raja Zainal. Apabila baginda melihat kepada Hang Berkat, maka diamlah baginda. Sultan Mahmud pun memberi perintah supaya orang banyak tak menyebut lagi perihal paduka adinda Raja Zainal itu dibunuh, kerana baginda tak mahu hulubalangnya kecundang seperti disebut ‘Kitab Melayu’ dari:






HIDUP BAHASA MELAYU!