Tuesday, October 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

DEBAT TERBUKA PIMPINAN PEMUDA
DR KHIR TOYO MELONJAK DAN MARA

Assalamualaikum,


Cabaran yang dibuat calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bagi menggerakkan debat terbuka, seolah-olah melembabkan pencalonan ke atas pendahulu pesaingnya Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir. Malah Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyambut cabaran Khairy juga bukan sahaja melepasi kouta pencalonan, malah terus menerima sokongan luar biasa. Sebaliknya Dato’ Mukhriz yang enggan berdebat, tiba-tiba menghadapi laluan lembab, ketika dua pesaingnya menerima pencalonan yang laju, maju dan teraju! Fenomena berkenaan seolah-olah mengimbau kembali persaingan bagi jawatan Ketua Pemuda pada 1982, apabila calonnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencabar Dato’ Suhaimi Kamaruddin berdebat. Berikutan keengganan Dato’ Suhaimi berdebat, beliau tewas dengan majoriti 10 undi sekalipun menerima pencalonan yang banyak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Mustapha Mohamad pula mendakwa belum tiba masanya bagi UMNO menggerakkan perdebatan. Ironinya, kalau sekarang masih belum tiba masanya setelah 51 tahun merdeka, bilakah pula masa yang dinanti-nanti itu akan tiba? Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan tak bersetuju digerakkan debat berkenaan, mungkin sahaja menyedari Dato’ Mukhriz bukanlah pemidato yang mampu berdebat. Apalagi isu debat pimpinan politik bukanlah perkara baru, malah sudah digerakkan sejak dekad 1960-an yang dipelopori oleh bekas Presiden Gerakan Profesor Syed Hussein al-Attas (Allahyarham). Ketika itu sasarannya ialah Menteri Pelajaran, Tan Sri Khir Johari (Allahyarham) dalm isu dasar pendidikan kebangsaan.

Bagaimanapun Tan Sri Khir enggan berdebat, sebaliknya menyambut cabaran tersebut dengan mencadangkan Tun Dr Mahathir, pengerusi biro pendidikan UMNO ketika itu menghadapi Profesor Syed Hussein. Sebaliknya Tun Dr Mahathir sendiri menyalahkan Tan Sri Khir yang mahukan perdebatan tersebut. Maknanya, sejak dekad 1960-an lagi Tun Dr Mahathir enggan menggerakkan perdebatan terbuka dalam isu politik. Justeru kesediaan Dato’ Seri Mohd Khir berdebat melonjakkan kualiti pimpinannya kepada perwakilan Pemuda UMNO apabila melepasi kouta pada 27 Oktober 2008, ketika beliau ketinggalan dengan 36 pencalonan sahaja. Khairy pula membuat cabaran untuk berdebat sebaik sahaja melepasi kouta 39 pencalonan. Begitulah!

Berikutan keengganan Dato’ Mukhriz menerima cabaran berdebat, beliau yang mendahului dengan 68 pencalonan sebelumnya, sekadar menambah dua pencalonan menjadi 70 pada 28 Oktober 2008. Berbeza dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir yang bersedia untuk berdebat melonjak kepada 47 pencalonan pada 27 Oktober 2008, malah memintas Khairy sekadar 46 pencalonan. Bagaimanapun pada 28 Oktober 2008, Khairy kembali mendahului Dato’ Seri Dr Mohd Khir dengan 48-47, di samping Dato’ Mukhriz kekal 70 pencalonan. Sekiranya Khairy dan Dato’ Seri Dr Mohd Khir mampu memintas Dato’ Mukhriz dalam persaingan seterusnya, maknanya isu debat terbuka mampu memutar jarum arloji kepada ‘cencaru makan petang’. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO TOLAK PEJUANG PROLITAR
TREND PENCALONAN PIMPINAN TERTINGGI.

Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen (BBC) Dato’ Ruhanie Ahmad masih belum menerima sebarang pencalonan bagi jawatan MT UMNO hingga setakat hari ini (28 Oktober 2008), sekalipun beliau sudah mengumumkan menawar diri, kata aktivis budaya Yassinsalleh. Beliau melahirkan rasa terkilan dengan budaya UMNO sekarang lebih mementingkan ‘politik wang’, berbanding keikhlasan perjuangan apabila Dato’ Ruhanie (Ron) dianggap sebagai pejuang prolitar (marhaen) iaitu kelas bawahan. Menurut Yassinalleh, sepanjang perkhidmatan Dato’ Ron sebagai Pengerusi BBC, beliau merupakan Ahli Parlimen UMNO yang disegani oleh pihak pembangkang, apabila hujah-hujahnya mempunai fakta yang sukar ditangkis lawan. “Kalau UMNO meneruskan budaya menolak tokoh yang berprinsip, UMNO akan menjadi denosour,” beritahu Yassinsalleh selanjutnya.

Selasa lalu (21 Oktober 2008) Dato’ Ron mengumumkan menawar diri bertanding jawatan MT UMNO, Mac 2009 nanti sekalipun terlambat membuat keputusan tersebut. Dato’ Ron membuat tawaran tersebut selepas merasakan perlunya ‘pemikiran alternatif’ dalam MT UMNO, disamping kewajaran penulis laman blog diwakili menerusi pimpinan tertinggi UMNO. Justeru Yassinsalleh menambah, Bahagian-Bahagian UMNO yang masih belum mengadakan mesyuarat agung perlu mengambil langkah positif dengan mencalonkan Dato’ Ron bagi mengisi jawatan MT untuk memberi perimbangan dalam kesinambungan perjuangan bangsa. Setakat 28 Oktober 2008 Dato’ Noh Omar dilihat menerima pencalonan tertinggi bagi jawatan MT dengan 90 pencalonan. “Sekiranya UMNO mahu berubah perlulah membawa perubahan secara keseluruhan,” ujar Yassinsalleh menambah.

DBP WAJAR DIBERI KUASA KHAS
DAKWA SESIAPA PERLEKEH BAHASA

Penulis laman blog Sallehuddin Hashim mahukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa menerusi undang-undang bagi mengambil langkah positif dalam isu Bahasa Melayu. Katanya, selagi tak diwujudkan agensi yang berfungsi mengawal selia Bahasa Melayu di bawah peraturan undang-undang, pelbagai pihak boleh melakukan tindakan sewenang-wenang memperlekeh Bahasa Melayu. Seterusnya Sallehuddin menambah, tak ada gunanya di mulut mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, tetapi tingkah laku memperlekeh kedaulatannya. Sallehuddin memberitahu demikian ketika mengulas langkah kerajaan negeri di Pulau Pinang mahu menggunakan empat bahasa bagi papan tanda jalan atas alasan negeri berkenaan sudah diiktiraf sebagai ‘tapak warisan’. “Memang aneh apabila sudah diiktiraf tapak warisan, ianya perlu memperlekeh Bahasa Melayu,” kata Sallehuddin.

Sementara itu Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyifatkan langkah menggunakan empat bahasa bagi papan tanda di Pulau Pinang bukan sahaja memperlekeh Bahasa Melayu, malah secara terbuka kerajaan negeri Pulau Pinang sudah menerima pandangan Ketua Wanita Gerakan, Dato’ Tan Lian Hoe iaitu orang Melayu juga golongan imigran. Maknanya beritahu Dato’ Kamal Amir, orang Melayu menerima nasib Pak Kaduk ‘ayam menang kampung tergadai’ atau menjadi dagang di negeri sendiri. Seterusnya Dato’ Kamal Amir menggesa orang Melayu menerima ‘Deklarasi Janda Baik’ yang dirumuskan oleh penulis-penulis Melayu pada 26 Oktober 2008 lalu (sila rujuk http://msomelayu.blogspot.com/). “PRIMA menyokong ‘Deklarasi Janda Baik’ dan resolusi pada 21 Oktober 2008 di Kuala Lumpur,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL
‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(26)

9
DENDAM BAPAK PROFESOR

DALAM KURUNGAN JADI TIKUS:
DI LUAR TUNJUK GAGAH PERKASA

BILIK makmal yang lengkap dengan peralatan teknologi tak ubah macam bilik kurungan juga. Pintu masuk ke bilik makmal berkenaan hanya dinding logam tungsten itu sahaja. Sekiranya dinding keluli padu itu berganjak ke tepi macam grill ditolak, barulah pintu ternganga. Tetapi sebahagian kecil dinding berkenaan sudah terbelengot bagaikan zink terpokah.

Ketika dinding kebal itu terbuka, Bapak Profesor tak terus membolos masuk. Dia berhenti sejenak memerhati bahagian dinding berkenaan yang terbelengot. Mendengus marah Bapak Profesor setelah menyedari kekebalannya mula tergugat. Tak disangka dinding keluli padu daripada logam tungsten itu boleh dimusnahkan.

“Aku beri tempoh 24 jam pada Kolonel Si Tongkol, kalau dia tak menyerah kamu semua akan dibunuh!” jerkah Bapak Profesor memerhati tiga orang tawanan yang terikat kaki dan tangan. Mereka tak mampu melawan disebabkan gari yang mencengkam pada pergelangan kaki dan tangan tak boleh dibuka. Suiznya terletak pada punat butang di tangan Bapak Profesor.

Tentera boneka yang berkawal tak banyak di dalam bilik makmal itu. Setiap tawan dikawal dua objek tentera boneka yang sentiasa dipantau oleh Bapak Profesor. Sebab itu para tawanan sekadar terlentang sahaja di katil menyerahkan diri kepada takdir Illahi.

“Di luar kamu seorang yang garang, kenapa di sini macam tikus?” Bapak Profesor membentak ketika melintasi katil Jojo.

Lelaki berketurunan India itu tak menyahut. Dia terkebil-kebil mata kerana terlalu ketakutan. Ketika itu dia merasakan dirinya memang kerdil. Bukan lagi pelaut yang gagah mengharung ombak bergelora. Kalau kebiasaannya dia menyergah tawanan dalam bilik kurungan, tetapi ketika itu dia sendiri dibuli oleh Bapak Profesor.

“Kenapa dia tak berani bersuara, apa kamu sudah bisu?” segera Bapak Profesor menampar pipi Jojo. “Nah, sekarang tunjukkan diri kamu anak jantan, opportunis!” sindirnya dengan menyimpan dendam.

Memang lama dia berdendam pada lelaki berkenaan. Sejak dicolek ketika masih lagi mengajar di Institut Teknologi Bandung, memang Jojo ikut terbabit. Lelaki itu sentiasa mengherdik asal sahaja dia merayu meminta simpati. Ketika dipaksa bekerja di institusi jana teknologi bawah tanah di Sweden pun, Jojo tetap berlagak keras terhadapnya.

Setiap kali berpindah randah di pekan-pekan kecil di utara benua Eropah itu, memang Jojo yang mengawal pergerakannya. Jojo akan membentak sekiranya dia enggan lakukan kerja-kerja mengikut jadual kumpulan gerila berkenaan.

Apabila dia dapat membolos diri dari kawalan setelah dibantu oleh Si Tongkol, tiba-tiba Jojo ikut sama menyertai kumpulan bekas kolonel tentera itu. Tahu sangat Bapak Profesor mengenai pakatan Si Tongkol seludupkan senjata api. Memang dia sendiri bangunkan jana teknologi di pulau kecil itu. Dia hasilkan objek tentera-tentera boneka terlebih dahulu, sebelum membina kilang senjata.

“Bapak Profesor tak wajar berdendam, saya hanya laksanakan tugas aje!” sahut Jojo menyedari orang tua itu menyimpan dendam terhadapnya.

“Laksana tugas mahu tunjuk kuasa, begitu?” Bapak Profesor mengherdik kuat. “Sekarang kamu boleh laksanakan tugas dan tunjukkan kuasa sekaligus!” sekali lagi Bapak Profesor menampar pipi lelaki tersebut.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA

Pembetulan Pantun Melayu

Anak indung anak ketitir
Anak merbah terlompat-lompat
Yang dikendong habis tercicir
Yang dikejar haram tak dapat.

Yang betulnya:

Anak indung anak ketitir
anak merbah terlompat-lompat
UMNO sombong, laluannya getir
PKR megah, harapan mendapat.

Bukit Putus, Rimba Keluang
Direndang jagung hangus berisi
Hukum putus badan terbuang
Dipandang gunung sama ditangisi.

Yang betulnya:

Bukit Putus, Rimba Keluang
direndang jagung hangus berisi
desas desus pemimpin dibuang
UMNO terdorong hilanglah visi.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga.

Yang betulnya:

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
memang padan UMNO berpecah
Najib naik, samalah juga.

Pucuk pauh delima batu
Ikan semilang di tapak tangan
Walaupun jauh beribu batu
Jauh di mata di hati jangan

Yang betulnya:

Pucuk pauh delima batu
ikan semilang di tapak tangan
UMNO jatuh, Melayu bersatu
sejarah hilang dalam angan-angan!

-Alba,
Jelebu, N.S.
28 Oktober 2008.



INFO SUARA PROLITAR

PENDAPATAN PENEROKA RM1,000
DR YUSUFF NOOR DIMINTA KE FELDA

Dalam ‘Selamat Pagi Malaysia’, Pengerusi FELDA Tan Sri Dr Mohd Yusuff Noor beritahu pendapatan peneroka Felda tak kurang RM1,000 sebulan, walaupun harga pasaran dunia getah dan kelapa sawit jatuh. Sebaik-baiknya elok juga Tan Sri Dr Mohd Yusuff tinggal bersama peneroka dalam tempoh sebulan. Sekarang ini musim hujan, berapa hari sahaja peneroka boleh menoreh. Peneroka nak kerja di luar jadi pemandu lori atau bas ekspres, tentulah tak boleh. Tak siapa nak ambil pekerja sebulan dua sahaja.Gali kolam ikan pun tak berbaloi, sebab makanan ikan dah mahal. – (SMS; 28 Oktober 2008; 16:33:42 – Sali Long, Felda Titi, Jelebu).

SIAPA AGAKNYA AKAN DISALAHKAN
KALAU INSIDEN TAK DIINGINI BERLAKU?

Sekolah Menengah Hillcrest di Taman Seri Gombak, melancarkan kutipan derma bacathon.Pelajar-pelajar perempuan disuruh mengutip derma rumah ke rumah. Setiap pelajar perlu kutip tak kurang daripada RM30. Apabila pelajar dapat kutip RM20 sahaja, wang diambil kad dipulangkan. Suruh kutip lagi RM10. Pelajar-pelajar ini pergilah rumah ke rumah. Kalau berlaku insiden seperti Allahyarham adik Nurin Jasmin atau adik Sharlinie, siapa agaknya akan disalahkan. Guru-guru nak cari nama pada jabatan pelajaran, pelajar-pelajar disuruh jadi pecacai, begitukah? – (SMS; 28 Oktober 2008; 18:21:51 – Din Shah, Taman Seri Gombak, Batu Caves)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA KUALA KANGSAR DIDESAK
FIKIR SEMULA PERIHAL PERALIHAN KUASA

Sebermula tersebutlah perkataan ketua segala perempuan akan harakah Melayu (UMNO) itu, Orangkaya Tan Sri Rafidah Aziz mendiamkan diri sahaja apabila diminta oleh orang banyak memikirkan perihal peralihan kuasa (sebenarnya silalah berundur). Arakian akan Orangkaya Tan Sri Rafidah percayalah ia segala perempuan harakah Melayu akan terus menyokongnya. Adapun ia masih lagi Orangkaya Kuala Kangsar; tak sama dengan bekas Orangkaya Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil kalahlah ia untuk jadi Orangkaya di Lembah Pantai. Syahdan bekas Orangkaya Tan Sri Aishah Ghani berkatalah ia hari ini 28 Syawal 1429 (28 Oktober 2008), bahawa sekalian anak-anak buah mahukan Dato’ Seri Shahrizat jua, adanya. Arakian, bukanlah bekas Orangnkaya Tan Sri Aishah sahaja berkata begitu, bekas Orangkaya Tun Fatimah Hashim juga turut meminta Tan Sri Rafidah memikirkan semula perihal peralihan kuasa itu, seelok-eloknya biarlah dipercepatkan. Heh heh heh!

Syahdan adapun Tun Fatimah disebut orang raja perempuan besar, tetapi apabila ia hamil dibuangnya. Maka titah Sultan Mahmud dengan Tun Fatimah, ‘Mengapatah maka tuan hami maka dibuangkan? Tiada sukakah tuan beranak dengan beta?’ Maka sahut Tun Fatimah, ‘Apatah kerja raja beranak dengan beta lagi kerana anak raja yang kerajaan telah ada.’ Maka titah Sultan Mahmud, “Jika tuan hamil sekali lagi, janganlah dibuang, jikalau ia laki-laki ialah kita rajakan.’ Telah itu maka Tun Fatimah pun hamillah pula tiadalah dibuangnya. Setelah genap bulannya, maka Tun Fatimah pun beranaklah perempuan, terlalu baik parasnya; serta jadi, disambut oleh Sultan Mahmud, lalu dicium baginda; dinamai Raja Putih, terlalu sangat dikasihi baginda, begitulah perihal kuasa dan pengaruhnya ketua sekalian perempuan itu di zaman dahulu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, October 27, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG


10 AKTIVIS BEBAS SAMBUT DEEPAVALI
RAJA PETRA DITAHAN MENJELANG AIDILFITRI

Assalamualaikum,

Masyarakat India menyambut Hari Deepavali hari ini (27 Oktober 2008), dengan 10 orang aktivis Hindraf dibebaskan semalam (26 Oktober 2008) daripada dakwaan terbabit mengganggu ketenteraman awam. Maknanya, mereka mampu tersenyum gembira bagi meraikan Hari Deepavali bersama keluarga masing-masing. Khabarnya, sesiapa yang cuba mempertahankan aktivis Hindraf, mereka juga akan didakwa seperti kenyataan media Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Abdul Hamid Syed Jaafar Albar. Ironinya, Dato’ Seri Abdul Hamid tak pernah sebut mengenai penulis laman web Raja Petra Kamaruddin yang ditahan di bawah ISA, kenapa tak dibebaskan ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri? Apakah Raja Petra lebih berbahaya daripada 10 orang aktivis Hindraf yang dibenarkan merayakan Hari Deepavali bersama keluarga mereka?

Agensi berita AP menyibarkan gambar Sayed Ghulam seorang petani di wilayah Helmand, Afghanistan yang dicungkil matanya oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai aktivis Taliban atas tuduhan tali barut kerajaan pimpinan Hamid Karzai yang diboneka oleh Amerika Syarikat. Memang Sayed Ghulam tersepit antara tentera kerajaan dan militan Taliban, sama seperti dialami oleh penduduk Tanah Melayu pada period darurat. Misalnya sekitar dekad 1950-an, seorang petani di Kampung Seperi, Jelebu, Negeri Sembilan dituduh menjadi tali barut komunis oleh tentera kerajaan British, sebaliknya ketika Askar Melayu diserang hendap di hutan Jelondong, petani-petani di Kampung Seperi memberikan perlindungan (sila rujuk buku ‘Askar Melayu 50 Tahun’, Pustaka Budiman, 1983).

Motif agensi berita barat sekadar mahu menggambarkan keganasan pejuang Islam menerusi pembabitan Taliban. Agensi berita barat sengaja menyembunyikan kekejaman Amerika Syarikat (AS) di bawah kebangsatan George W Bush terhadap tahanan di Abu Ghareif di Iraq dan di Guantinamou. AS sekadar menghukum tentera yang terbabit, setelah kumpulan hak asasi manusia membuat pendedahan. 200 orang tak berdosa dalam pengeboman di Bali, Indonesia dilaporkan sebagai keganasan Imam Samudra, tetapi beribu-ribu orang awam di Iraq dan Afghanistan tak berdosa terbunuh akibat kebangsatan George Bush disifatkan sebagai isu yang berbeza. Ironinya, media arus perdana tempatan berlagak sebagai berperi kemanusiaan, apabila turut menyibarkan gambar dari agensi berita barat mengenai kekejaman di Afghanistan.

Satu ketika dulu sekitar dekad 1980-an media arus perdana tempatan juga menganggap insiden di Mamali sebagai keganasan penduduk terbabit dengan menyembunyikan fakta mereka semua mangsa tak bersenjata. Bagi agensi berita barat, keganasan ialah apabila tentera mereka dibunuh sekalipun misi yang dijalankan menceroboh, atau seperti insiden J.W.W. Birch dibunuh oleh Si Putom di Pasir Salak. Sebaliknya apabila tentera mereka membunuh beratus-ratus pejuang Melayu, sama ada pada 1831, 1874, 1892, 1915 atau 1928 ianya tak ganas, tetapi disebabkan pejuang-pejuang terbabit ‘penderhaka’. Saddam Hussein yang dilabel ‘ganas’ sudah pun dihukum mati, tetapi kenapa keganasan masih berterusan di Iraq. Justeru apa logiknya menganggap Taliban pengganas, kalau sekadar membaca laporan media barat. Alahai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

NAJIB PERLU 33 PENCALONAN LAGI
UNTUK MENAFIKAN PELUANG KU LI

Bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah masih belum menerima pencalonan sehingga hari ini (27 Oktober 2008) bagi merebut jawatan Presiden UMNO, Mac 2009 ini. Selepas berakhir Mesyuarat Agung sejumlah 101 Bahagian UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menerima 101 pencalonan dengan memerlukan 33 pencalonan lagi bagi menafikan peluang Tengku Razaleigh. Sekalipun penyokong-penyokong Tengku Razaleigh yakin melepasi kuota 58 pencalonan sebelum ini, tetapi senario semakin sukar diramal berikutan keputusan yang dibuat oleh Bahagian-Bahagian UMNO. Malah calon-calon yang dianggap proksi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendominan pencalonan bagi jawatan-jawatan penting termasuk Naib Presiden dan Ketua Pemuda.

Berikutan kemenangan calon-calon proksi Tun Dr Mahathir, suara di kalangan UMNO juga condong kepada agenda yang belum selesai pernah disebut oleh bekas Presiden UMNO itu. Pembelajaran Bahasa Inggeris bagi subjek matematik dan sains di sekolah-sekolah yang diwajibkan pada period pentadbiran Tun Dr Mahathir, mula mahu dipertahankankan. Mungkin sahaja dasar pentadbiran Tun Dr Mahathir akan diberi prioriti selepas Mac 2009, termasuk menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjadi harapan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini. Justeru banyak pihak merumuskan saranan Tun Dr Mahathir mahu mewujudkan ‘Majlis Presiden’ dalam UMNO merujuk jawatan pengerusi majlis berkenaan akan diterajui oleh Tun Dr Mahathir. Barangkali!

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(25)

8
MELAWAN IDEA MUSUH

DULU MACAM AUR DEGAN TEBING:
KEKUATAN TENTERA ALLAH SUKAR DILAWAN

MEMANG laungan Si Tongkol didengar oleh Bapak Profesor yang bersembunyi dalam bilik operasinya di bawah terumbu batu karang. Sistem pantulan cahaya yang dipasang di segenap pelusuk pulau kecil berkenaan memudahkan dia memantau pergerakan lawan. Sebab itu Si Tongkol tak terburu-buru melarikan diri ke dalam bot di kaki bukit terumbu karang itu.

“Dulu memang kita macam aur dengan tebing, tapi sekarang tentera bonek aku sudah cukup kuat,” lantas kedengaran Bapak Profesor menyahut menerusi objek tentera-tentera boneka di pintu gua.

“Tentera Allah lebih kuat, kamu lihat sahaja ombak tsunami hampir 400,000 nyawa terkorban,” Si Tongkol lebih bersemangat.

“Kamu jangan mengubah topik, kolonel!” kata Bapak Profesor ketawa mengejek. “Sekarang persaingan antara kita berdua, bukan babitkan Allah SWT,” ujarnya terus terkekeh-kekeh ketawa.

“Saya tahu perang teknologi kamu, mahu tewaskan strategi manusia,” sahut Si Tongkol melaung kuat. “Maknanya kamu mahu perkecilkan Allah, yang berikan akal fikiran melalui otak manusia,” tegasnya ingatkan orang tua berkenaan. Lantas dia sebut fasal ‘hippocompus’ yang boleh melakukan perubahan ‘neural’ dalam otak manusia.

Tetapi Bapak Profesor tetap terkekeh-kekeh ketawa. Sengaja dia mengejek Si Tongkol fasal stor memori yang berubah sekiranya belaku kerosakan hippocompus. Ketika itu dia tak bimbang berhadapan dengan Si Tongkol sekadar doktor perubatan yang terbabit dalam ketenteraan.

“Sejak bila kamu tahu mengenai hemoglobin darah, mahu bercakap fasal neorologo?” Bapak Profesor masih ketawa besar megejek Si Tongkol.

Tiba-tiba pula ketawa Bapak Profesor terhenti, sebaik sahaja dapat saya tumbangkan salah satu objek boneka di pintu gua secara tertangkup. Ternyata boneka berkenaan tak mampu berdiri semula disebabkan pantulan cahaya matahari tak menyinggahi ke mata. Beberapa objek boneka cuba membantu, tetapi cepat-cepat Mail Kengkang menolong saya mengheret objek boneka berkenaan masuk ke dalam gua.

Abang Din, Usin Sodok dan Sahak Salai juga turut membantu mengheret objek boneka berat macam balang gas memasak itu jauh ke dalam gua. Sengaja objek tersebut saya telungkupkan supaya matanya tak disilau pantulan cahaya matahari di luar. Sebaliknya rakan-rakan tentera boneka di luar gua tak dapat masuk kerana keadaan di dalam yang gelap tak kelihatan pantulan cahaya.

Selepas saya semburkan cecair arsenik berwarna hitam ke mata tentera bonek yang ditawan, barulah objek berkenaan diterlentangkan. Tak bertangguh pula saya membuka ruang dadanya mengeluarkan wayar gear pacu dan gear terpacu yang dipantau oleh alat kawalan jauh itu. Memang wayar itu disambungkan pada keluli iaitu dengan usur-unsur molekul alkena bagi mendapatkan pantulan cahaya.

“Awasi anasir dinamit dalam boneka berkomputer tu, Hang Jebat,” Si Tongkol bergurau setelah mendengar kawan-kawan memanggil saya Hang Jebat. “Pakcik tahu sejak mula berjumpa, memang kamu pantas (patut) menjadi wira,” katanya tersenyum sekalipun terpaksa menahan kesakitan.

Tetapi anasir dinamit itu sekadar atom yang mudah meledak apabila tergesel dengan bahan bakar. Justeru saya pindahkan anasir dinamit itu kepada unsur dinamo melalui putaran keluli. Ketika itu kedengaran Bapak Profesor berulang kali membentak marah.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Anak Ayam Turun Sepuluh
(dengan apologi)


Anak ayam turun sepuluh
mati seekor tinggal sembilan
Najib geram Muhyiddin mengeluh
Pak Lah berdengkur hati terkilan.

Anak ayam turun sembilan
mati seekor tinggal delapan
Ku Li dendam rasa terkilan
UMNO akur ikut ketetapan.

Anak ayam turun delapan
mati seekor tinggal tujuh
Anwar seram mahu berdepan
takut tersungkur kerana gelojoh.

Anak ayam turun tujuh
mati seekor tinggal enam
Mahathir pitam ketika tengkujuh
Mukhriz menghambur sebelum terbenam.

Anak ayam turun enam
mati seekor tinggal lima
Khairy demam hampir terjunam
memang mujur kouta diterima.

Anak ayam turun lima
mati seekor tinggal empat
Hishamuddin melaram dicalon sama
Hamid Albar turut mendapat.

Anak ayam turun empat
mati seekor tinggal tiga
Khir Toyo tergamam mendapat tempat
Pemuda tafakur mahu berlaga.

Anak ayam turun tiga
mati seekor tinggal dua
UMNO demam kerana diduga
akan bertempur asal bersua

Anak ayam turun dua
mati seekor tinggal satu
kalau haram kali kedua
UMNO terkubur menjadi hantu!

-Cicit Tok Azit
Pelangai, Pahang.
27 Oktober 2008.

FAKTA YANG PERLU DIKETAHUI
BUKAN SEKADAR CATATAN SEJARAH

‘Budi Bahasa Budaya Kita’ menjadi motto Kementerian Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan (dulu ketika ianya dinamakan Kementerian Kesenian Kebudayaan dan Warisan, bangkitlah aktivis budaya mahukan ‘kebudayaan’ didahulukan, justeru kerajaan bersetuju menukar kepada Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan, tetapi sekarang kenapa ‘Perpaduan’ didahulukan, kerana ‘Kebudayaan’ sendiri sudah merangkumi ‘Perpaduan’? Aduhai!). Sayangnya, dalam membentangkan fakta sejarah Istana Budaya, kementerian terbabit (lihat kepilan ‘Warna’ bersama Utusan Malaysia; 27 Oktober 2008), seolah-olah tak berbudi bahasa, hingga tak merujuk ucapan bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris sempena Hati Sastera di Ipoh pada April 1980. Laporan Berita Minggu 27 April 1980:

“Di peringkat kementeriannya, Dato’ Abdul Samad (Idris) mengorak langkah penuh kepastian ke arah ini – antaranya Panggung Negara yang tidak lama lagi akan dibina akan diistilahkan ‘Istana Budaya’ supaya sesuai dengan tradisi di zaman bahari: BUDAYA DAN ILMU BERPUSAT DI ISTANA. Status pemikiran budaya dan ilmu, baginya perlu diletakkan ditaraf paling tinggi dan dimuliakan masyarakat. Di sini beliau menyeru budayawan, sasterawan dan bangsa Melayu seluruhnya memikul bersama tanggungjawab memelihara kebudayaan Melayu.” (Maknanya, siapa yang menamakan ‘Istana Budaya’ dan sebab-sebabnya dinamakan begitu, perlu diketahui oleh orang Melayu bagi mengelak berlakunya kebangsatan pemikiran – apabila ianya ditukar daripada Panggung Negara kepada Istana Budaya pada 1980).

INFO SUARA PROLITAR

JEMPUT IDOLA KE MAJLIS KAHWIN
KEIKHLASAN MAWI PERLU DIPERSOAL

Ini bukan SMS saya, tapi daripada siapa pun tak tahu, nombornya tak timbul. Mawi kata dia jemput Pak Lah (ke majlis kahwinnya), Nik Aziz (Dato’ Nik Abdul Aziz) dan Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim), konon idolanya. Iya ke? Bukan takut hilang heh heh heh ke? Tak sangka ada huh huh huh, heh heh heh, hah hah hah jadi idola Mawi. Betul-betul raya sakan AKK tahun ni, tak henti-henti saudara mara datang beraya melawat. Macam mana AKK nak berihat? Heh heh heh!

Entah-entah Mawi diperguna, Anwar kan suka gunakan belia-belia dan anak-anak muda sebagai penyokong. Tengoklah ‘Keadilan’ punyalah ramai belia-belia fanatik sokong dia sanggup berdemo. Sokong tanpa hala tuju dan tahu kebenaran. Patutnya ada orang nasihatkan Mawi jangan campur hal politik. Jemput Yang Dipertuan Agong atau Perdana Menteri aje. Mesti berpijak dibumi nyata. Nik Aziz ok juga, tapi bukan Anwar. Mawi ramai pengikutnya. – (SMS; 26 Oktober 2008; 16:32:46 – Ina, Selayang Baru, Selangor).

LONGGOKAN SAMPAH DI HUTAN MELINTANG
LEGASI PENDUDUK DI KAWASAN PERUMAHAN

Lihatlah gambar foto yang disertakan bersama ini. Sekali pandang ianya perkara biasa sahaja, tetapi renung-renunglah. Lokasi ini jalanraya menghubungkan Hutan Melintang ke Bagan Datoh di Hilir Perak. Di tepi jalan ini longgokan sampah hingga menjadikan ianya tempat pembuangan sisa toksid. Sejak wakil rakyatnya dari BN, hingga sekarang sudah bertukar kepada PKR, longgokan sampah terus menjadi legasi penduduk-penduduk kawasan perumahan di Hutan Melintang. Bukan sahaja menyakitkan mata memandang, malah berbau busuk dan mengganggu kenderaan. Kalau ADUNnya dari PKR, Ahli Parlimennya UMNO, nak bertanding pula jawatan Naib Presiden UMNO. Kena prihatin sikit dengan masalah rakyat. – (SMS; 26 Oktober 2008; 16:47:51 – Wak Soro, Hutan Melintang, Perak).

PERANGKAP SAMAN DI SABAK BERNAM
KELAJUAN 80 KSJ KELIRUKAN PENGGUNA

Nak kata sakit hati, tak pula. Tapi terkilan juga, apabila kereta dalam kelajuan 80 ksj kena saman. Rupa-rupanya macam jerangkap samarlah pula, kalau melalui jalanraya di Sabak Bernam. Dari Sekincan sebelum sampai Simpang Lima (berhadapan Sekolah Agama Simpang Lima), anda mendapati had laju ialah 90 ksj, tetapi tak semena-mena bertukar kepada 60 ksj. Pengguna jalanraya akan keliru dengan perubahan mendadak itu. Satu kilometer selepas itu kembali kepada 90 ksj, dan kemudiannya balik kepada 60 ksj. Kalau had laju dijalanraya diletakkan berserabut, pengguna jalanraya lebih lagilah kelam kabut. Saya kirimkan gambar ini, untuk tindakan pihak yang memantau had laju di Sabak Bernam. – (SMS; 26 Oktober 2008; 17:28:09 – Mangsa Saman, Kelang, Selangor).

HARGA KELAPA MEMANG BERBALOI
GANGGUAN BABI LIAR MERUNSINGKAN.

Pekebun-pekebun kecil kelapa di Bagan Datoh, Perak bersyukur harga komoditi itu meningkat hingga RM1.20 sebiji sekarang. Tak pernah lagi harga komoditi kelapa naik melambung tinggi. Tetapi dalam keadaan gawat sekarang, harga kelapa RM1.20 sebiji memang menggembirakan. Bagaimanapun dalam kegembiraan itu, pekebun-pekebun kecil kelapa berhadapan dengan gangguan babi-babi liar. Spesies babi liar akan memakan buah kelapa yang gugur, sebelum sempat pekebun-pekebun kecil mengutip. Babi-babi liar ini beranak pinak dalam belukar piai bersebelahan. Bersama ini dikirimkan foto belukar piai lokasi babi-babi liar itu membiak.

Aduan sudah dibuat kepada jabatan pertanian dan pejabat Ahli Parlimen. Tetapi babi-babi liar terus bermaharajalela. Selagi tak ada sebarang peraturan bagi mengambil tindakan kepada pekebun-pekebun yang tak mengusahakan tanah mereka, isu babi-babi liar tak akan selesai. Spesies tersebut beranak pinak dalam belukar piai di kawasan tanah terbiar. Sikap tak prihatin pemilik-pemilik tanah berkenaan, menyebabkan pekebun-pekebun kecil di sekitarnya mengalami kerugian. Kerajaan dan jabatan pertanian perlu mencari formula bagi mengatasi masalah pekebun-pekebun kecil kelapa ini. Peraturan perlu dibuat bagi memantau pemilik-pemilik tanah yang cuai itu. – (SMS; 27 Oktober 2008; 11:28:46 – Anjang Sam, Bagan Datoh, Perak).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

HULUBALANG BAHASA BERDIAM DIRI
PERIHAL PAPAN TANDA JALAN DI P PINANG

Sebermula akan kerajaan negeri di Pulau Pinang itu mahukan papan tanda jalan ditulis dalam bahasa lain di samping Bahasa Melayu, kerana bimbang pelancong-pelancong luar yang datang ke negeri Melayu tak memahami nama-nama jalan berkenaan. Arakian akan anak cucu fakir memberitahu, mereka juga tak melihat tulisan dalam Bahasa Melayu, Cina atau India ketika berada di negeri atas angin, adanya. Adapun bekas Orangkaya Tangkak, Dato’ Ahmad Arshad tidaklah ia bercakap dalam bahasa atas angin, ketika berucap dalam perjumpaan besar di dunia (persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu) suatu masa dahulu. Tersebutlah alkisah akan bekas Orangkaya Ketua Menteri Tun (Tabib) Lim Chong Eu juga mahu menggunakan empat bahasa pada papan tanda jalan semasa ia mula memerintah negeri itu (iaitu 1969). Tetapi bekas Orangkaya itu memahami akan perasaan sekalian rakyat jelata, maka dibatalkan akan kasadnya.

Syahdan berdiam dirilah segala hulubalang bahasa. Tak kedengaran kepada fakir akan Pendeta (Mahaguru) Tan Sri Ismail Hussein, ketua segala penulis (Gapena) itu bangun menyanggah akan hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang mahu menggunakan bahasa lain pada papan tanda jalan. Maka terlalu marah bekas Mahaguru di pengajian tinggi (bekas Timbalan Naib Canselor HEP, UTM) Dato’ (Mahaguru) Mohd Mansor Abdullah akan perihal merendah-rendahkan Bahasa Melayu oleh kerajaan negeri Pulau Pinang itu. Tak diketahui pula fakir akan Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sama ada orangkaya itu marah ataupun tidak. Sebermula segala anak cucu fakir seperti Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Haji Sayuti Omar, Dato’ Ruhanie Ahmad, Dinsman, Haji Abu Bakar Ninggal, Sallehuddin Hisham, S.H. Alattas, Norzah Haji Kepol, Yassinsalleh, Zakaria Bidin, Dato’ Aziz Chemor semuanya tak bersetuju Bahasa Melayu itu dipandang rendah.

Arakian akan segala anak tua-tuan itu berkata, ‘Apa kita buat bertunggu di balairong diam-diam sahaja, baik juga kita membaca hikayat perang, supaya kita beroleh faedah daripadanya.’ Maka Tun Muhammad Unta, ‘Benar kata tuan-tuan itu, baiklah Tun Indera Segara pergi memohonkan Hikayat Muhammad Hanafiah, sembahkan mudah-mudahan dapat patik-patik itu mengambil faedah daripadanya, kerana Feringgi akan melanggar esok hari.’ Syahdan Tun Indera Segara pun masuk menghadap Sultan Ahmad. Maka segala sembah orang itu semuanya dipersembahkan ke bawah duli Sultan Ahmad. Maka oleh Sultan Ahmad dianugerahi Hikayat Amir Hamzah. Sebermula titah Sultan Ahmad pada Tun Indera Segara, ‘Hendak kita berikan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah takut tak terikut beraninya, dapat seperti Amir Hamzah pun cukuplah.’ Adapun anak Melayu itu sejak zaman Melaka lagi sudah banyak membaca, bukanlah mereka tak tahu membaca seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:

HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, October 25, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG


MEDIA BARAT DENGAN KEBANGSATAN
MENJADI IKUTAN MEDIA ARUS PERDANA

Assalamualaikum,

Kebangsatan media di barat memang menjadi alat propaganda zionis, seperti pernah digerakkan oleh agenda pro kapitalis dalam memerangi musuh politik mereka sekitar dekad 1960-an. Agensi berita blok barat melaporkan kesihatan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berhadapan dengan pelbagai penyakit kronik apabila membatalkan banyak aktiviti rasminya. Konon! Pada dekad 1980-an media barat mengeksploit berita berkaitan Ayatollah Ruhollah Khomeni yang juga sakit dalam keadaan kritikal. Wartawan yang dihantar menemui Ayatollah pula wanita-wanita muda dengan bertudung kepala sebagai kebebasan di barat, sebaliknya sengaja dieksploit pemimpin Iran berkenaan tak keberatan menerima tetamu dari kalangan wartawan-wartawan wanita. Begitulah!

Legasi kebangsatan media barat ini sudah diorkestra mengikut rentak pada dekad 1960-an dengan melaporkan pemimpin Republik Rakyat China (RRC), Mao Tse Tung (Mao Xedung) sudah beberapa kali meninggal dunia. Asal sahaja Pengerusi Mao tak kelihatan di khalayak ramai, media barat meneruskan kebangsatan membuat laporan mengenai pemimipin komunisme itu sudah mati. Sebelum melaporkan Ahmadinejad meghidap sakit kronik hari ini (25 Oktober 2008), minggu lalu pemimpin Korea Utara juga dilaporkan mengalami stroke. Sebaliknya media barat menyembunyikan keadaan Perdana Menteri Israel (tak perlu disebut namanya) yang koma berbulan-bulan, macam mayat terkejang. Aduhai!

Agensi berita Reuters pula sengaja mengeksploit laporan Mahkamah Perlembagaan Turki yang memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tayyip Erdogan sebagai anti sekular (yang menjadi kesalahan mengikut undang-undang Turki). Blok barat sekarang melancarkan perang media terhadap negara-negara yang menolak kepongahan menjadi ideologi mereka. Ironinya, media di Malaysia juga mengadaptasi kebangsatan media barat yang melancarkan ‘perang saraf’ dengan membiarkan ‘perhambaan minda’ terus membelenggu masyarakat dunia. Malaysia berhadapan dengan ‘perang media’ apabila kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menutup penulis laman web Raja Petra Kamaruddin yang dianggap mengancam ketenteraman awam.

Perisik Yahudi (Mossad) dikatakan cuba membunuh pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dengan meracunnya, hingga menyebabkan mengalami keadaan kritikal minggu lalu. Strategi yang dijalankan oleh Mossad hampir sama seperti dilancarkan kepada bekas pemimpin al-Fatah, Allahyarham Yasser Arafat. Bagaimanapun misi membunuh Yasser Arafat berjaya dilaksanakan oleh Mossad, dengan memantau tukang masak yang boleh diupah dengan ganjaran duniawi. Media pro Zionis enggan mendedahkan jenis bahan kimia beracun yang digunakan oleh agen Mossad, sekalipun laman web akhbar Arab ‘Almalaf’ melaporkan insiden yang menimpa Nasrallah. Sebaliknya di Malaysia, rakyat diminta lebih percayakan media arus perdana yang dipantau oleh kerajaan BN daripada pengendali laman web dan laman blog. Alahai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


MUNGKIN PEMUDA AKAN SAKSIKAN
PERTANDINGAN KETUA TIGA PENJURU.

Persaingan bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Mac 2009 nanti, mungkin akan berlaku pertandingan tiga penjuru sekiranya bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo mampu memenuhi kouta pencalonan. Hari ini (25 Oktober 2008) Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berjaya melepasi kouta apabila terus menerima pencalonan melebihi 39 Bahagian UMNO. Bagaimanapun Ahli Parlimen Jerlun, Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir yang dijangka pada peringkat awal sukar melepasi kouta, tak diduga mendahului lawannya Khairy dan Dato’ Seri Dr Mohd Khir. Pencalonan mengikut kouta memang strategi mudah melaksanakan misi, apabila mampu memantau pengerusi tetap, di samping dua wakil bersiap sedia untuk mencadangkan ‘pencalonan ditutup’ dengan seorang lagi menyokong.

Bahagian Gombak dikatakan sudah mencalonkan Dato’ Seri Dr Mohd Khir bagi Ketua Pemuda dengan mendapat sokongan. Bagaimanapun belum sempat cadangan ditutup, salah seorang wakil mengemukakan nama Dato’ Mukhriz yang juga turut disokong. Apabila pengerusi tetap membukakan ianya kepada pengundian, Dato’ Mukhriz dipilih dengan majoriti tipis. Maknanya, kalau pemilihan berkenaan dijadikan ukuran Dato’ Mukhriz juga belum terjamin mencapai kemenangan mudah pada pemilihan Mac 2009 apabila pengundian dijalankan secara telus. Lainlah kalau prosedur pemilihan seperti pada tahun 1972, apabila pengundian dijalankan secara blok iaitu seorang sahaja wakil negeri yang dibenarkan membuat pilihan. Undi blok yang memberi kemenangan kepada Dato’ Harun Idris, sekalipun calon yang disokong oleh Presiden UMNO ialah Tan Sri Abdul Samad Idris. Heh heh heh!

MENJELANG PERLAIHAN KUASA MAC 2009
ANWAR MUNGKIN HILANG KELAYAKAN MP

Para penganalisis politik merumuskan, misi peralihan kuasa UMNO pada Mac 2009 bagi membolehkan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mendominan jawatan Presiden UMNO, bukan sekadar untuk menjadi Perdana Menteri sebaliknya memastikan Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Sekiranya Dato’ Seri Anwar gagal memintas Dato’ Seri Mohd Najib sebelum Mac 2009 bagi menubuhkan kerajaan baru, kes liwat yang dibawa ke mahkamah akan meranapkan sama sekali kerjaya politik beliau. Apabila Dato’ Seri Anwar sabit kesalahan berkaitan kes berkenaan, beliau secara automatik hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan tak dibenarkan aktif atau memegang sebarang jawatan dalam politik. “Najib tak akan melepaskan peluang untuk menyingkirkan Anwar,” menurut sumber berkenaan.

Bagaimanapun Dato’ Seri Mohd Najib bukanlah selesa dengan kedudukan menjadi calon tunggal bagi jawatan Presiden UMNO yang diterimanya sekarang, kerana Dato’ Seri Anwar juga menyedari agenda untuk meranapkan peluangnya. Pergolakan UMNO sekarang meletakkan Dato’ Seri Mohd Najib bagaikan ‘telur di hujung tanduk’, berikutan isu pembelian helikopter kementerian pertahanan yang didedahkan baru-baru ini. Sekalipun Dato’ Seri Mohd Najib membuat penafian demi penafian, tetapi kenyataan di media arus perdana tak sama denga frasa undang-undang yang perlu dipatuhi. Persaingan sekarang bukan pertandingan bagi jawatan Presiden UMNO, tetapi ialah kerusi Perdana Menteri yang akan dikosongkan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, kata sumber itu seterusnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL
‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(25)

8
MELAWAN IDEA MUSUH

SEGERA saya mengajak Mail Kengkang ke pintu gua, sementara Abang Din, Usin Sodok dan Sahak Salai terus merawat Si Tongkol. Bagaimanapun saya ingatkan Mail Kengkang supaya tak terkena cahaya matahari dari luar. Asal sahaja disilau cahaya matahari, memang mudah dapat dikesan oleh objek tentera-tentera boneka yang dipantau dengan alat kawalan jauh itu.

Setelah mendekati objek tentera boneka di pintu gua, memang sistem pantulan cahayanya pada bahagian mata sahaja. Logam tungsten yang membina objek badan tak boleh digesel tembakan peluru kerana akan memercikkan haba arsenik yang berbahaya. Apalagi bahan letupan sudah dipadang di tempat strategik yang tak diketahui. Kalau tentera boneka dapat diletupkan bermakna ledakan akan berlaku di mana-mana.

“Kalau kita telungkupkan objek ini, matanya tak terkena pantulan cahaya matahari, tentu kita dapat tawan,” bisik saya memberi isyarat kepada Mail Kengkang jangan terburu-buru. “Kita lihat sebentar tadi dia bangun semula disebabkan jatuh terlentang,” ujar saya seterusnya.

“Kamu yang jadi Hang Jebat, aku ikut aje apa yang kamu rancang,” sahut Mail Kengkang mula tersenyum setelah dapat mengikis rasa takut di hatinya.

Belum sempat saya bertindak mahu mnejatuhkan salah satu objek boneka biar ia tertangkup, suara Bapak Profesor bergema memberi amaran melalui pembesar suara yang dipasang pada objek tentera-tentera boneka ciptaannya. “Kolonel Si Tongkol, kawan-kawan kamu dalam tawanan aku, lebih baik menyerah!” katanya serentak melalaui semua objek tentera boneka.

Si Tongkol tak menyahut. Memang dia menyedari kunco-kunconya dapat ditawan tentera-tentera boneka. Mereka sudah dibawa ke bilik makmal dan diperosok di sebalik dinding kebal logam tungsten yang diseludupnya dari Sweden. Si Tongkol yang bantu seludupkan semua bahan-bahan teknologi yang diperlukan Bapak Profesor. Malah Bapak Profesor sendiri memilih pulau terumbu batu karang yang mnejadi tempat persembunyian Si Tongkol selama ini.

Dia tak mahu lagi balik ke Bandung selepas anak gadisnya meninggal dunia akibat barah hati kronik. Ketika ditawan kumpulan gerila untuk bangunkan institusi teknologi bawah tanah, dia bersetuju lakukan apa sahaja asalkan mencukupi ongkos membiyai rawatan anak gadisnya.

Kekecewaan itulah yang mendorong Bapak Profesor membina jana teknologi sendiri di pulau terumbu batu karang itu. Dia tak peduli musibah menimpa sesiapa sahaja, tetapi pulau terumbu batu karang berkenaan sudah cukup menjadi empayarnya. Objek tentera-tentera boneka ciptaannya mampu hasilkan senjata-senjata canggih. Bukan takat diseludup Si Tongkol, malah perairan antarabangsa di Selat Melaka akan dikuasai sama.

Ketika memerhati ke luar pintu gua, saya melihat kabus menebal di sekeliling pulau terumbu batu karang, sekalipun matahari memancar di kepala. Ombak yang memukul ke kaki terumbu batu karang seolah-olah menghasilkan kabus tebal. Tahulah saya Bapak Profesor menggunakan sistem sentuhan solar yang menghasilkan gas bromin.

Gas bromin yang dilihat seperti kabus itu berbahaya kepada laluan kapal kargo ketika melintasi perairan. Bukan sahaja tersekat di perairan cetek, malah boleh merempuh batu karang berdekatan terumbu berkenaan. Ketika itu saya dapat bayangkan Bapak Profesor tak hiraukan lagi keselamatan orang lain. Selepas anak gadisnya meninggal dunia akibat barah hati, sikapnya bertukar menjadi tak prihatin dengan kepentingan awam

“Kita macam aur dengan tebing, Profesor!” kedengaran Si Tongkol melaung dari dalam gua. “Kamu tak mungkin dapat bekalan makanan, kalau cuba memusnahkan saya dan rakan-rakan saya,” ujarnya mengingatkan orang tua berkenaan.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Adat Menjadi Pentadbir Negeri


Cubadak di tengah padang
Sebingkah ambil akan tuai
Apa kata cupak hulubalang
Beroleh titah daripada pegawai.

Mencampak timba ke hulu
Tiba di hulu di tengah lurah
Sebab banyak gadis Melayu
Kerana penghulu akan memerintah.

Mencampak timba ke hulu
Kenalah udang dek orang
Apakan cupak penghulu
Berpimpin orang-orang

Ke pohon tengah padang
Muafakatlah nan berkata
Adalah tembok undang-undang
Ialah empat perkara

Mencampak timba ke hulu
Melalui kota yang teguh
Apakah cupak penghulu
Mengetahui jawat yang tengah tiga puluh.

Mula mencapuk ke dalam padi
Mencari buah delima
Apakah cupak penghulu dalam negeri
Ialah mengetahui dakwa yang lima.

Mencapuk ke tengah sawah
Mendapat buah delima
Apakah cupak memerintah
Mengetahui jawab empat perkara.

Berparak ke tengah kota
Tempat bertanam selasih Jambi
Jika tiada banyak kitab terbaca
Tiadalah sah mnejadi kadi.

Berbelah ke tengah parak
Terlunyah daun kerisik
Jikalau belum menghadap penghulu yang banyak
Belumlah sah dinamakan cerdik.

Mencampak timba ke perigi
Terkena timba tak bertali
Kalau tak tahu memimpin diri
Belumlah layak jadi menteri.

(Dipetik dari ‘Kanun Sungai Ujong’)

INFO SUARA PROLITAR

LAWAN PENIAGA YANG SABOTAJ
PERLU PEMIMPIN BERMUKA GARANG

Syabas, harga minyak akan turun 15 sen lagi. Peniaga tak perlu berdalih lagi untuk naikkan harga barang. Malah barang yang naik harga juga perlu diturunkan. Kerajaan tak perlu takut pada peniaga yang nak sabotaj. Dulu pun peniaga sabotaj iaitu selepas tragedi 13 Mei. Akhirnya tahu juga, beras disorok, minyak tanah disorok, cili kering disorok, syiling lima sen disorok. Peniaga runcit juga menjadi mangsa. Peniaga yang sabotaj tu ialah pemborong. Nak melawan peniaga lintah darat, kena ada pemimpin macam Tun Dr Ismail. Misai melenting, muka garang, hati pun kering. – (SMS; 25 Oktober 2008; 16:52:07 – Mat Bengang, Rawang, Selangor).

PENIAGA KEDAI MAKAN PANIK
DUIT SYILING TAK CUKUP BEKALAN.

Kalau membeli barang di Jelebu, peniaga enggan menukar duit syiling. Peniaga akan minta dibayar cukup-cukup mengikut harga. Misalnya, kalau harga makanan RM5.60, tak boleh nak bayar dengan wang RM10.00. Peniaga akan meminta RM10.60 dan pulangkan semula RM5.00. Nampaknya dah mula nak sorokkan duit syiling. Kononnya peniaga-peniaga kedai makan sukar nak dapat bekalan duit syiling. Tukar ke bank pun, duit syiling terhad. Apa nak jadi dengan negeri ini? -(SMS; 25 Oktober 2008; 18:28:14 – Acu Li, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

HUKUM BUNUH IKUT ISLAM:
IMAM SAMUDRA MINTA DIPANCUNG

Arakian akan ketiga-tiga pejuang yang meletupkan kelab malam di Bali (disebut orang banyak pada tahun 2003) menyebabkan lebih 200 orang terbunuh, akan dijatuhkan juga hukum mati selepas berakhir Syawal 1429 ini. Syahdan Imam Samudra, Amrozi dan Mukhlas (Ali Ghufron) itu menuntut ianya hendaklah mengikut peraturan Islam iaitu dengan dipancung. Sebermula anak-anak muda itu dikatakan oleh orang berkuasa di negeri atas angin sebagai pengganas, adanya. Adapun Imam Samudra, Amrozi dan Ali Ghufron itu tak gentarlah mereka dihukum mati, tetapi hendaklah mengikut peraturan Islam, bukan tunduk dengan hukuman (atau undang-undang) negeri atas angin iaitu ditembak dengan istinggar. Maka terharulah fakir dengan keberanian anak-anak muda di negeri Jawa itu kerana tak sama dengan anak-anak muda di negeri Melayu yang berebut-rebut mencari pangkat, darjat dan manfaat.

Sebermula Betara Majapahit itu dua tiga hari tiada keluar dihadap orang. Telah dilihat oleh Pateh Aria Gajah Mada kelakuan betara Majapahit itu, maka Pateh Aria Gajah Mada pun masuk menghadap ke dalam. Maka sembah Pateh Aria Gajah Mada, “Tuanku, apa mulanya maka Tuanku tiada keluar tiga hari ini?” Maka titah betara Majapahit, “Tubuh beta tiada sedap.” Maka sembah Pateh Aria Gajah Mada, “Pada pemandangan patik ada juga sesuatu kedukaan Tuanku; hendaklah Tuanku katakan kepada patik, mudah-mudahan dapat patik membicarakan.” Maka titah betara Majapahit, “Adapun paman, bahawa beta ini bukannya anak si penyadap. Adapun beta ini anak raja Tanjong Pura, daripada anak cucu raja yang turun dari Bukit Seguntang itu. Nama beta Raden Kirana Langu.” Hatta segala yang berlaku diceritakan dengan benar belaka, bukan kerana mahu mencari harta dunia hingga tunduk dengan kehendak raja-raja atas angin, seperti yang dinukil dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, October 24, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

USAHAWAN MINAT BUDAYA
TERBABIT DG AKTIVITI PENYELIDIKAN

Assalamualaikum,

Baru sahaja semalam (23 Oktober 2008) rakan lama saya seorang usahawan di Seremban, Haji Kamaruddin Sulaiman berpulang ke rahmatullah, pagi ini (24 Oktober 2008), Pengarah Muzium Negeri Sembilan Drs Shamsuddin Ahmad menelefon beritahu mengenai seorang lagi usahawan Dato’ Haji Abdul Rashid Yusuff pula meninggal dunia. Kira-kira jam 9.00 pagi, pembantu muzium di Muzium Negeri Sembilan, Ahmad Afian Abdul Kadir juga menelefon menyampaikan berita berpulangnya ke rahmatullah Dato’ Haji Abdul Rashid. Sebenarnya Dato’ Haji Abdul Rashid adalah rakan baik Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, di samping pernah terbabit sebagai aktivis UMNO sejak dekad 1960-an lagi di Jelebu bersama aktivis belia Cikgu Md Derus Haji Abdul Latiff. Sebelum menyertai sektor korporat, Dato’ Haji Abdul Rashid memang seorang pendidik tetapi lebih cenderung menjadi aktivis politik.


Ketika ke Taman Paroi Jaya, di Seremban semalam (23 Oktober 2008) sempat juga saya singgah di rumah Cikgu Md Derus (yang juga jiran Allahyarham Haji Kamaruddin). Memang Cikgu Md Derus bersama isterinya Kak Timah beritahu mengenai Dato’ Haji Abdul Rashid dalam keadaan kritikal. (Isteri Dato’ Haji Abdul Rashid, Datin Hajjah Rashidah Rashid pernah mengajar di sekolah yang sama dengan Cikgu Md Derus, justeru mereka juga memang berkawan rapat sejak di Jelebu lagi). Secara kronologi, saya lebih akrab dengan Cikgu Md Derus ketika beliau mengajar di Jelebu, disebabkan sama-sama terbabit sebagai aktivis belia di Kuala Kelawang. Sebaliknya Dato’ Haji Abdul Rashid kurang berminat dalam gerakan belia. Barangkali!

Bagaimanapun apabila beliau terbabit dalam sektor korporat, di samping berkawan rapat dengan Tan Sri Abdul Samad Idris, beliau mula akrab dengan saya. Kadangkala terserempak di pejabat Tan Sri Abdul Samad (sama ada di Bank Pembangunan mahupun di Finas); kadangkala apabila turun ke Seremban, beliau sudah menunggu untuk makan tengahari. Komitmen beliau dalam aktiviti Muzium Negeri Sembilan, ketika Tan Sri Abdul Samad menjadi Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan memang amat dihargai. Apalagi pembabitan beliau melengkapkan pengisian Muzium Diraja Seri Menanti termasuk memperkenalkan tenunan kain dari Minangkabau dan kereta kuda (bendi) yang popular di kota Padang, Sumatera Barat. Dato’ Haji Abdul Rashid juga turut membantu penyelidikan sirah Raja Melewar di Pagarruyung bersama anak saudaranya Dato’ Rosli Harun.


Kali terakhir saya menemui Dato’ Haji Abdul Rashid pada 2003 (iaitu sebelum Tan Sri Abdul Samad Idris berpulang ke rahmatullah), ialah ketika sama-sama menyertai rombongan Muzium Negeri Sembilan berkunjung ke propinsi Riau bagi menelusuri perjuangan Tuanku Tambusai (Haji Mohd Salleh Maulana Kadi) di Daludalu, Rokan Hulu. Sebelumnya, memang setiap tahun bertemu di kediaman Tan Sri Abdul Samad ketika menyambut Hari Raya bersama Persatuan Anak-Anak Negeri Sembilan di Kuala Lumpur. Memang sumbangan Dato’ Haji Abdul Rashid atas kapisiti tokoh korporat dalam aktiviti Muzium Negeri Sembilan sukar dilupakan, sekalipun tak sempat untuk meneruskan perancangan pemuliharaan makam Dato’ Siamang Gagap di Kampung Terusan, berikutan berpulangnya ke rahmatullah Tan Sri Abdul Samad pada 15 Oktober 2003 (iaitu lima tahun dulu). Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

ROMBAKAN KABINET PAK LAH
SEKADAR TEMPOH HINGGA MAC 2009

Sukar mahu mencari rasionalnya rombakan kabinet bakal dilakukan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang, kalau sekadar berdasarkan keputusan pemilihan pimpinan MCA baru-baru ini. Spekulasi menyebut rombakan tersebut memang diperlukan, apabila keputusan pemilihan pimpinan MCA memberi petunjuk ahli mereka di peringkat akar umbi menolak mereka yang menyertai kabinet. Sebaliknya Dato’ Seri Abdullah menurut penganalisis politik, bukan merujuk kepada keputusan pemilihan MCA tetapi pergolakan dalam UMNO berikutan trend pencalonan Bahagian-Bahagian yang sudah melangsungkan Mesyuarat Agung. Justeru rombakan kabinet yang akan dilakukan, mungkin sahaja untuk menggugurkan beberapa menteri kabinet termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang selesa dengan kedudukan pencalonan sekarang.


Berdasarkan lanskap politik sekarang, Dato’ Seri Abdullah tak perlu untuk membuat rombakan disebabkan tempoh jawatan beliau hingga Mac 2008 seperti dipersetujui melalui pelan peralihan kuasa. Sebelumnya Dato’ Seri Abdullah sudah mengumumkan pelan peralihan kuasa sehingga Jun 2010, tetapi Tan Sri Muhyiddin bersama Dato’ Mokhriz Tun Dr Mahathir mendesak ianya perlu dipercepatkan. Secara kebetulan pula setakat ini Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Mokhriz menerima pencalonan tertinggi bagi jawatan yang ditandingi mereka. Tak hairanlah menurut sumber, Dato’ Seri Abdullah mahukan rombakan kabinet akan membabitkan Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Seri Hishamuddin yang dilihat sebagai proksi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Entahlah!

INFO SASTERA & BUDAYA:

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(25)

8
MELAWAN IDEA MUSUH

SI TONGKOL TAK PANIK PENDARAHAN:
TAPI OBJEK TENTERA BONEKA LEBIH PINTAR

“TAK tahulah, tapi orang tua tu perlukan bantuan pakcik untuk dapatkan bekalan makanan,” tuturnya tersenyum sekalipun dahinya berkerut menahan kesakitan.

“Tapi luka ni parah, Pakcik Si Tongkol perlukan rawatan hospital,” Usin Sodok pula mencelah.

Tersengih-sengih Si Tongkol disebabkan kami semua melayannya dengan ramah mesra. Kami tak berdendam sekalipun pernah didera sebelum itu. Sebaliknya Si Tongkol juga mengajar kami cara merawat luka ketika mengalami kecederaan serius. Malah dia mengaku tak bimbang dengan kecederaan tersebut. Sejak dalam tentera lagi Si Tongkol terbabit dalam gerakan komando di Indonesia.

Memang dia pakar kimia semasa dalam komando. Bukan takat seorang komander berpangkat kolonel, Si Tongkol juga doktor perubatan terlatih. Tahu sangat dia fasal komposisi darah seperti pernah dianalisis oleh Profesor Karl Landsteiner pakar anatomi patologi di Venna itu. Dia juga memahami mengenai paroksismal hemoglobinuria dan penyelidikan morbid anatomi dan imunisasi.

Sebab itu Si Tongkol tak mudah panik apabila mengalami pendarahan. Dia tahu had hemoglobin darah yang diperlukan tubuh badan manusia. Memang kekurangan darah boleh mendorong kepada punca poliomielitis. Bagi menghentikan pendarahan Si Tongkol menunjukkan kepada saya rawatan yang perlu dilakukan.

“Selagi tentera boneka mengawal di pintu gua, kita tak dapat membolos keluar,” ujar Sahak Salai membantu membersihkan darah di bahagian luka yang dialami Si Tongkol.

“Memang strategi perang manusia tak dapat tandingi strategi perang komputer,” jelas Si Tongkol mengeluh perlahan.

“Kalau begitu, kita kena lawan dengan strategi komputer juga,” sahut saya lantas mencapai radio transistor di atas meja. Segera saya rosakkan sistem gelombang radio berkenaan hingga tak boleh berfungsi.

Ketika itu objek tentera-tentera boneka berpaling ke dalam gua. Pantulan cahaya dari mata tentera-tentera boneka itu tak melepaskan sebarang tembakan. Tetapi menyuluh ke dalam gua seolah-olah terlalu marah apabila sistem gelombang radio dimusnahkan. Apabila silau pantulan cahaya itu berterusan menyuluh, segera saya letakkan cermin muka menampan alirannya.

Tiba-tiba sahaja tentera boneka jatuh terlentang sebaik sahaja pantulan melantun ke mukanya. Tetapi ia bingkas bangun semula, sekalipun tak dapat mara ke hadapan. Cahaya gelap di dalam gua menyebabkan objek tentera-tentera boneka tak mampu lagi bergerak mara.

“Eksprimen kita berjaya, Pakcik Si Tongkol,” beritahu saya lantas menyentuh wayar di dalam radio transistor. Bunyi bising radio transistor tak berfungsi itu menjadikan objek tentera-tentera boneka terlangah-langah.

“Wah, kamu juga tahu fasal program komputer,” tersenyum bangga Si Tongkol selepas melihat objek tentera boneka kecoh apabila mendengar bunyi radio transistor bising akibat gelombang tak berfungsi. Gegaran gelombang radio transistor itu turut jejaskan kelancaran operasi tentera boneka.

“Kita perlu menawan salah satu objek boneka itu,” jelas saya mencari idea bagaimana mahu menewaskan tentera-tentera boneka. Taktik mereka sama seperti semut kerengga iaitu lebih banyak objek akan menyerbu asal sahaja salah satu objek boneka itu diserang.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Adat Si Ayam Jantan

-apologi kepada Ku Li

Kata raja titah nan adil
kata menteri janji tak mungkir
kata penghulu kata penyelesai
berjalan nan lurus, berkata nan benar
berhukum nan adil
di lingkungan bendul
rumah nan berketak
tangga nan berlaman
jangka nan berelak.

Ambil tuah pada nan menang
ambil contoh pada nan sudah
pipih datang melayang
bulat datang menggolek
harapkan bulan jatuh ke riba
seciuk bak ayam
sedencing bak besi
di mana padi rebah
di situ tekukur meniti batang
heh heh heh, heh heh heh!

Ayam jantan
berkokok di bawah rumah
tak akan hilang tuahnya
ular menyusur akar
tak akan hilang bisanya.

-Alba,
Jelebu, Negeri Sembilan
24 Oktober 2008.

INFO SUARA PROLITAR:

GALI KUBUR DAN KOREK LIANG LAHAD
‘FARDU KIFAYAH’ YANG DIPANDANG REMEH

Kemahiran tradisi Melayu semakin pupus, berikutan ramai orang tua-tua yang meneruskan legasi kepakaran itu meninggal dunia. Bukan sahaja pertukangan tangan, malah kemahiran yang berkaitan dengan kematian juga tak diberi perhatian oleh generasi muda sekarang, kata pengamal rawatan tradisional Zainal Maakir, 68 dari Kampung Durian Gasing, Mukim Hulu Teriang, Jelebu, Negeri Sembilan. Zainal Maakir atau dikenali Tok Busu bukan sahaja terbabit sebagai pengamal rawatan tradisional, tetapi berkemahiran mengorek liang lahad bagi menggali kubur. Berikutan ramai orang tua-tua yang berkemahiran mengorek liang lahad sudah meninggal dunia, sekarang Tok Busu yang memikul tanggungjawab tersebut. “Kalau anak-anak muda tak mahu belajar, siapa akan meneruskan kerja-kerja mengorek liang lahad ini?” kata Tok Busu.


Sekalipun dianggap remeh temeh, tetapi mengorek liang lahad bagi mengkebumikan jenazah adalah ‘fardu kifayah’, menurut Tok Busu yang pernah dilantik menjadi siak Masjid Jamek Kampung Teriang sebelum ini. Beliau juga turut melahirkan rasa kesal berikutan kemahiran kraftangan Melayu juga turut diabaikan, termasuk membuat larik, ulu parang, gasing, lekar, jeramak, lukah, tengkalak dan sebagainya. Memang barang-barang tersebut tak menjadi keperluan lagi dalam kehidupan orang Melayu sekarang, tetapi kemahiran tersebut wajar dipelihara. Sementara aktivis budaya, Yassinsalleh ketika ditanya bersetuju, kemahiran kraftangan Melayu dipelihara. Justeru katanya, jabatan-jabatan terbabit sama ada jabatan kebudayaan mahupun muzium mengambil inisiatif memulihara kraftangan dan kemahiran Melayu ini. “Mungkin 100 tahun akan datang orang Melayu pun tak kenal lagi dengan kraftangan berkenaan,” beritahu Yassinsalleh.

KENA ORANG SERONOK HATI
BATANG HIDUNG SENDIRI, MELENTING!

Hairan juga apabila isu cerpen dibangkitkan di Parlimen. Tak cukup dengan Parlimen buat pula laporan polis. Nampaknya marah sangat si ahli politik tu pada penulis Chamil Wariya. Mungkin bukan kerana cerpen, tetapi si ahli politik sering mengikuti penulisan Chamil yang juga berkas wartawan. Kalau nak kira cerpen itu menyinggung individu tertentu, novel ‘Sheet…’ Shahnon Ahmad lebih teruk mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad. Seronoknya si ahli politik itu, kerana novel hentam Tun Dr Mahathir. Tapi kena batang hidung sendiri, melenting macam nak gila! – (SMS; 24 Oktober 2005; 14:28:53 – Wak Kimin, Pucung, Selangor).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANG BANYAK PERTIKAI PEMBELIAN:
KELENGAKAAN PERANG NEGERI ATAS ANGIN

Syahdan tersebutlah akan Orangkaya Penghulu Bendahari (disebut orang Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) Dato’ Seri Azmi Khalid akan memanggil bentara dalam (atau disebut orang kemudian hari Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan) Dato’ Abu Bakar Abdullah. Adapun bentara kanan diminta memberi keterangan akan pembelian kelengkapan perang dari negeri atas angin (iaitu disebut oleh anak cucu fakir helikopter Eurocopter EC725). Arakian semasa Orangkaya Penghulu Bendahari berkata-kata itu turutlah disertai Penyelia Perbendaharaan (disebut sekalian orang banyak Ketua Audit Negara) Tan Sri Ambrin Buang, kerana kira-kira perbendaharan pembelian alat kelengkapan perang itu dipertikai sekalian orang banyak. Maka Orangkaya Menteri Pertahanan yang dahulu Dato’ Mohd Najib Tun Abdul Razak juga perlulah memberikan keterangan kerana ianya membabitkan perbendaharaan negara.

Sebermula pada masa dahulukala negeri Pahang itu negeri besar, takluk ke benua Siam, Maharaja Dewa Sura nama rajanya, keluarga juga pada Paduka Bubunnya. Setelah Sultan Mansor Shah mendengar khabar Pahang itu, maka terlalu ingin baginda akan negeri Pahang itu. Arakian baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja menyerang Pahang. Maka bendahara pun pergilah dengan Tun Pikrama dan Tun Bijaya Maha Menteri dan Seri Bija Diraja, dan Seri Pikrama, dan Tun Sura Diraja, dan Tun Amar Diraja, dan Tun Bija Diraja, dan Tun Bija Setia, dan Sang Bija Rakna, dan Tun Rana, dan Tun Seri Setia, dan Sang Naya, dan Sang Guna, dan Sang Jaya Pikrama, dan Sang Aria, dan Sang Rana Rana Sura, dan Sang Sura, dan Sang Jaya, san Sang Sura Pahlawan, dan Tun Aria, dan Tun Bija Pikrama, dengan sekalian hulubalang pergi mengiringkan akan Bendahara Paduka Raja, dua ratus banyaknya kelengkapan besar kecil. Syahdan alahlah Pahang, sekalipun tak menggunakan kelengkapan dari negeri atas angin tetapi bersatu hati seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!