Friday, March 27, 2009

Pemikiran Mohd Affandi Hassan...

Siapa Lebih Berjasa, Antara:
Petualang dan Pengkhianat Bangsa?

Cucu Dato Onn, anak Tun Hussein yang disingkirkan Dr. Mahathir Mohamed, Timbalannya, bekas (bukan mantan) Ketua Pemuda UMNO, menyelar kehadiran petualang dalam politik Malaysia yang menurutnya menentang semua yang dipropagandakan oleh UMNO. Ketua Pemuda ini menyenaraikan perkara-perkara yang kita dengar dan baca setiap hari yang ditujukan kepada parti bukan UMNO. Antara yang sering disebut ialah mereka (para petualang) menentang dan melanggar Perlembagaan Negara, mempersetankan undang-undang negara, menderhaka kepada raja-raja Melayu, menentang ketuanan Melayu.

Dengan lagak seorang raja besar, Ketua Pemuda ini dibawakan sebilah keris panjang, lalu ditarik dari sampirnya, dicium seperti Agong mencium keris kerajaan pada upacara rasmi. Sungguh hebat Ketua Pemuda UMNO ini. Lepas mencium keris itulah beliau membelasah para petualang yang tidak disebut namanya, tetapi dikomen oleh juru hebah TV beliau maksudkan Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat. Orang ini nampaknya sudah lupa daratan tidak ingat lagi datuk dan bapanya keluar UMNO kerana tidak bersetuju dengan prinsip-prinsip UMNO. Sampai hati orang ini mengutuk datuk dan ayahnya sebagai petualang, pengkhianat bangsa Melayu kerana meninggalkan UMNO waktu kedua-duanya diperlukan oleh UMNO.

Hussein Onn ketika itu jadi Ketua Pemuda. Sekarang kedua-dua tokoh UMNO yang pernah lari dari UMNO ini menjadi ikon di Bangunan UMNO dalam lukisan potret a la Hang Tuah yang cukup menarik. Lagak lupa diri, lupa daratan, lupa taraf peribadi, lupa pendeknya lompat katak, lupa ceteknya semburan seranah, adalah gambaran jelas nyata kualiti tanpa kualiti para “pemimpin” (jangan tinggal koma pengikat kata pada perkataan “pemimpin”) UMNO yang hebat, tetapi tidak menggerunkan. Bandingkan dengan lembutnya Dr. Burhanuddin, yang menggerunkan sesiapa juga yang tahu erti karamah, ketika beliau memberi ucapan memperingatkan bangsanya supaya jangan mengkhianati perjuangan mereka.

Dr. Burhanuddin tidak mencabut keris panjang-panjang ketika berucap, tetapi tiap patah kata yang lahir dari mulutnya adalah keris pendek yang tajam bagi orang yang tahu bahasa bersopan. Itulah watak negarawan bertamadun. Sungguh ajaib bagaimana bekas Ketua Pemuda UMNO begitu bangga dengan watak tidak bertamadunnya. Adakah itulah watak para “pemimpin” UMNO? Barisan baru kepemimpinan UMNO yang diketuai Najib Tun Razak yang menolak Abdullah Badawi dengan cara memalukan (kata orang UMNO itulah tradisi UMNO kerana Tun Razak buat begitu kepada Tunku Abdul Rahman, Dr. Mahthir sendiri pun berbuat begitu terhadap Hussein Onn), dengan arahan Dr. Mahathir Mohamed, adalah barisan Malayan Union.

Bagi orang yang tidak faham tentang rahsia Malayan Union dalam politik UMNO, tentulah terasa agak pelik bagaimana tiba-tiba muncul balik Malayan Union dalam barisan kepemimpinan baru UMNO? Inilah kemenangan Dr. Mahathir Mohamed yang membawa bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu untuk orang Malaysia, khususnya orang Melayu, melalui PPSMI yang dikutuk oleh para pejuang bahasa itu. Kemenangan besar cucu Dato’ Onn sebagai Naib Presiden UMNO dengan undi besar membuktikan UMNO, melalui perwakilannya, menerima bahasa Inggeris dan Malayan Union sebagai warisan UMNO yang mesti dipertahankan “hingga ke titisan darah terakhir”.

Begitu hebat komitmen mereka terhadap bahasa Inggeris dan semangat kolonial (penjajah) ini, sehingga semangat dan komitmen itu dijadikan asas “kemajuan Malaysia” dalam abad 21 yang mesti dipertahankan walaupun UMNO ditolak oleh orang Melayu dan akan dihumban ke Laut China Selatan dalam PRU 13 nanti. Memang benar gesaan Prof. Emeritus Nik Safiah Karim, bahawa PPSMI hanya dapat dihapuskan dengan menolak UMNO dalam pilihan raya nanti, dengan menghumbannya ke dalam laut. Adakah perwakilan UMNO tidak berjiwa Melayu atau pura-pura berjiwa Melayu dengan menerima PPSMI?

Mereka tentu tidak bodoh untuk mengkhianati perjuangan mereka membela bahasa Melayu, seperti yang mereka sering laungkan sambil mencium keris, dengan memilih PPSMI sebagai asas kekuatan UMNO di bawah Najib Tun Razak. Sekiranya orang Melayu belum sedar dan belum lihat erti barisan baru ini, maka mereka, orang Melayu yang sudah hilang Tanah Melayunya, akan hilang bahasa Melayunya dan budaya Melayu yang telah dijadikan prinsip utama dalam Kongres Kebudayaan Melayu 1971. Tentu saja para pemimpin UMNO sudah lupa semua ini kerana mereka sudah kaya dan mereka tahu bahasa Inggeris akan lebih mengayakan mereka lagi, oleh itu mesti diperjuangkan sebagai bahasa baru untuk orang Melayu.

Kini timbul persoalan: Siapa petualang, siapa pula pengkhianat bangsa Melayu? Adakah dua kumpulan ini sama taraf? Menurut cucu Dato’ Onn, mereka bukan petualang, bukan juga pengkhianat walaupun mereka memperjuangkan bahasa Inggeris dengan jujur untuk memajukan orang Melayu. Mereka adalah pewaris Malayan Union yang diberi wajah baru dalam PPSMI yang disokong penuh oleh Najib Tun Razak, ahli-ahli MT UMNO yang baru, dan seluruh perwakilan UMNO.

Orang Melayu harus bersyukur dan gembira kerana kini mereka tahu dengan jelas siapa UMNO sebenarnya. Adakah mereka mahu kekalkan UMNO dalam politik Malaysia setelah mengetahui hakikat sebenar parti warisan Malayan Union itu? Bodohlah orang Melayu jika mereka masih mahu menerima kumpulan PPSMI yang mengkhianati seluruh cita-cita politik dan aspirasi mereka selama ini untuk mendaulatkan bahasa dan budaya Melayu di Tanah Melayu yang sudah hilang itu. (27/3/2009)

(*Mohd Affandi Hassan, sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian, beliau peka dengan pendidikan Melayu dan menghasilkan buku 'Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid; DBP, 1992.)

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...


Tak Dipilh Duduk Bersaf-saf:
Memang Amalan Di Istana Melaka

Arakian sekalian anak-anak buah harakah Melayu (UMNO) itu sudah memilih akan pegawai-pegawai mereka di balai penghadapan hari semalam (26 Mac 2009). Maka Orangkaya Bagan Datoh Dato' Seri Zaid Hamidi itu dipilih orang duduk bersaf-saf bersama Orangkaya Dato' Seri Hishamuddin Hussein dan Orangkaya Shafie Apdal. Adapun Orangkaya Dato' Seri Rais Yatim tak dipilih ia duduk di saf-saf kerana mahukan Bahasa Melayu dan raja-raja Melayu didaulatkan heh heh heh! Maka sahabat-sahabat fakir memberitahu, sampailah masanya akan harakah Melayu dilupakan sahaja, kerana mereka memilih orang yang mahukan bahasa orang atas angin dimuliakan. Fakir tiadalah mengikuti sangat permuafakatan harakah Melayu itu, disebabkan mereka semua orang bijak laksana yang tak boleh ditegur lagi, seperti diberitahu oleh nenek moyang fakir: Cerdik tak boleh diikut; bodoh tak boleh diajar!

Hatta keesokan harinya, maka sultan keluar di hadap oleh segala pegawai; semuanya ada menghadap, melainkan laksamana juga tiada. Maka Sultan Mansor Shah menyuruh memanggil Bendahara Paduka Raja. Maka bendahara pun datang. Syahdan sultan bertanya kepada bendahara akan kelakuan tatkala di Pasai. Maka bendahara pun berdatang sembah mengkhabarkan tatkala perang di Pasai itu serta berbagai-bagai puji-pujiannya akan laksamana. Maka baginda pun hairan mendengar dia. Maka baginda memberi persalin akan Bendahara Paduka Raja dengan selengkap pakaian kerajaan dianugerahkan baginda, dan dipersalin akan Tun Pikrama, dan Hang Isap, dan Nina Ishak dan Tun Hamzah. Maka Tun Pikrama digelar Paduka Tuan, kerana peri jatuh menjatuhkan pembesar negeri sudah jadi amalan di istana Melaka dahulu seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

UMNO Kena Bayar Harga Perubahan:
Bukan Sekadar Macam Gendang Kosong!

Assalamualaikum,

Secara rasmi Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak diproklamir Presiden UMNO semalam 26 Mac 2009, dengan barisan pimpinan mengulangi period awal dekad 1970-an. Ketika Tun Razak mengambil alih pimpinan UMNO, Tun Dr Ismail dari Johor timbalannya. Keadaan ini diulangi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Johor juga. Sekalipun bagi jawatan Naib Presiden dimenangi Dato' Ahmad Zaid Hamidi di Perak (ketika itu Tun Sardon Jubir dari Johor juga), tetapi ianya diikuti oleh Dato' Seri Hishamuddin Hussein (ketika itu Tun Hussein Onn) dan seorang lagi Dato' Shafie Apdal dari Sabah (sebelumnya Tun Ghafar Baba dari Melaka). Justeru di atas kertas sekarang, memang Dato' Seri Mohd Najib bakal Perdana Menteri apabila Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya. Begitulah!

Tetapi Tun Ghafar pernah memberikan pandangannya, politik sentiasa berubah dalam masa 24 jam. Tak tahulah dengan Dato' Seri Najib yang mengakui UMNO masih belum berubah dan Dato' Seri Abdullah pula menegaskan kalau UMNO tak berubah, justeru kerajaan yang wujud sekarang ialah kerajaan terakhir bagi UMNO. Mungkin sahaja UMNO juga mengikuti kaedah kerajaan Pasir Dua Butir yang diimaginasikan oleh Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee dalam menggarap filem terakhirnya 'Laksamana Do Re Mi'. Bagi Ketua Wanita UMNO Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil pula yang perlu berubah ialah pimpinan UMNO, barulah berlaku perubahan dalam UMNO. Entahlah!

Maknanya, kalangan pimpinan UMNO sendiri tak sekata apabila mempersoal isu perubahan, kerana 'melakukannya' tak semudah 'bercakap'. Malah Nabi Allah Yunus bin Matta a.h. dalam tempoh 40 tahun mahu membuat perubahan, sekadar enam orang sahaja yang mengikutnya. Baginda terpaksa melalui dibuang ke laut, ditelan ikan nun dan terdampar ke gurun tandus. Nabi Muhammad SAW juga dari usia baginda 25 tahun hingga berusia 40 tahun pun masih sukar membawa perubahan kepada kaumnya. Baginda dilontar batu ketika di Taif hingga terpaksa bersembunyi di kebun anggur. Kalau sekadar berucap mahukan perubahan, tetapi diri sendiri tak berubah ianya sekadar menipu diri sendiri, kerana harga bagi perubahan itu terlalu mahal.

Rasullullah terpaksa berhijrah ke Madinah dengan jarak lebih 400 kilometer dari Mekah merentasi gurun pasir, bersembunyi di gua di samping sahabatnya Saidina Abu Bakar al-Siddiq dipatuk ular bagi membawa perubahan. Dato' Seri Anwar Ibrahim juga lebam mata untuk membawa perubahan tetapi dilabel oleh Dato' Seri Hishamuddin Hussein sebagai 'petualang' (tetapi tak dinyatakan petualang kepada siapa). Pimpinan gerakan militan India satu ketika dulu Subhas Chandra Bose turut mengakui: "Mahukah anda memetik bunga ros yang indah, tapi perlulah mersakan kesakitan tusukan durinya; mahukah anda kebebasan dan keadilan, harga untuk kebebasan dan keadilan ialah kesengsaraan dan pengorbanan."
Perubahan yang disarankan oleh Dato' Seri Najib tak sama macam bulat datang bergolek pepeh datang melayang, tetapi perlu dihadapi seperti natijah yang dilalui Dato' Seri Anwar Ibrahim bermata lebam pada 1998. Bersediakah? Kalau sekadar duduk di kerusi empuk, tersandar di kereta mewah atau sering bertanya: 'hari ini apa kita mahu makan, pak; hari ini kita makan di mana pak, hari ini siapa kita nak makan, pak', tak payah bercakap mengenai 'perubahan'. UMNO kena bayar harga 'perubahan', bukan sekadar memukul gendang kosong. Biarlah menjadi ayam hutan disogokkan makan di pinggan emas pun, ia akan balik mengekas bersama kerabatnay di tengah belukar. Begitulah!
-Pak Dharma.

INFO SASTERA & BUDAYA...

PUISI

Uwan

Uwan
masa aku kecil
uwan serahkan rotan sebilah
pada Ulung Berahim guru Quranku
"Kalau jahat cucu se
dogil dio taknak belajar
taknak nongar cakap;
kau rotanlah dio
jangan buto jangan patah
sudahlah."

Alhamdullillah
uwan
aku membesar, remaja
berkeluarga
dan kini sudah tua
dalam sesempurna
yang terdaya ku renangi
arus takdir
hayatku.

Uwan
di kota digital ini
anak-anak mengaji
pakai software
uwan,
pada siapa nak ku serahkan
rotan?

Uwan
bawalah aku
pulang ke kampung
dan kembalikan
semalamku
yang hilang
di kota ini
orang-orang
dirotan
kalau mereka
takmahu jadi
setan.

-Yassinsalleh
Mac 26, 09
perjalanan pulang
jam 21.28.

Thursday, March 26, 2009

NIZAM HAMID MELAPORKAN:



Pejuang Nasionalisme Di Hospital:
Abu Samah Dimasukkan Ke Wad ICU


Salam. Saya mendapat perkhabaran pejuang nasionalisme Abu Samah Kassim sedang uzur/sakit yang serius di ICU, Hospital Golok (Selatan Thailand). Sama-sama kita doakan beliau segera sembuh. Abu Samah Kassim anak Semantan, lahir di Lancang. Keturunan Dato' Setia Perkasa Pahlawan Orangkaya Semantan, Dato' Bahaman. Pernah menjadi pemimpin Pemuda UMNO Temerloh, selain PKMM/API. Beliau menyertai Rejemin Ke 10 PKM yang ditubuhkan pada 21 Mei 1948 di Kerdau, Temerloh. Beliau menjadi pemimpin kanan rejimen bersama Abdullah CD, arwah Rashid Maidin, Ibrahim Chik dan lain-lain. Tidaklah terkenal seperti Abdullah CD, tetapi merupakan pemimpin utama khususnya dalam memimpin pertempuran.


Pernah dua kali dikepung Inggeris, tetapi berjaya meloloskan diri. Insiden terkenal apabila ribuan askar mengepung beliau di rumahnya di Lancang dengan tembakan bertubi-tubi. Beliau dapat larikan diri. L Mankadir Shamsi boleh sahkan cerita ini, sebab rumahnya sehingga hari ini masih ada kesan peluru. Semasa darurat kali kedua dekad 1960-an beliau memimpin gerila PKM kembali ke Malaysia dari Thailand. Selepas Perjanjian Damai 1989 di Hatyai beliau memilih untuk menetap di Thailand, Kampung Chulaborn 12. Beliau sekarang uzur sakit tua, komplikasi lain seperti diabetis dan lain-lain. Sekarang di ICU, Hospital Golok seperti info terakhir yang saya terima.


(*Ahmad Nizam Hamid ialah seorang peguam di Temerloh, yang juga aktivis masyarakat. Beliau terbabit sebagai penyair dan pendeklamator tempatan, di samping pernah mendeklamasikan sajak di Indonesia bersama penyair tersohor di Indonesia W S Rendra)

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS...

Salam Kosong Salam Berisi:
Lambang Persaudaraan UMNO

Persaudaraan UMNO, yang menjadikan rasuah politik sebagai prinsip kepemimpinan, dijelmakan dalam ungkapan yang disebut oleh bakal Perdana Menteri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmiannya dalam perhimpunan agung UMNO. Kata Najib, sudah terkenal dalam UMNO ungkapan SK (salam kosong tanpa wang) dan SI (salam berisi dengan wang). Di Kelantan terkenal ungkapan, “Bersalam dengan Datuk Anu ... (sebut nama, Datuk itu Datuk ini) panas tangan”, kerana sekurang-kurangnya jatuh RM50.00 senang-senang. Bagus betul orang UMNO sesama mereka, terutama para pemimpinnya yang begitu pemurah.

Maklumlah mereka banyak wang. Bagaimana dapat wang? Waktu jambatan Tendung (Kelantan) sedang dibina, orang-orang cerdik dalam UMNO dan kenal pentingnya wang, jadi penyelia pembinaan jambatan itu tanpa dilantik oleh sesiapa, yang kerjanya memastikan tidak ada yang terbuang ke poket orang lain apa juga lebihan wang (yang cukup banyak dilebihkan) yang mengalir dari Kuala Lumpur. Sekarang salah seorang penyelia limpahan wang dari Kuala Lumpur itu cukup giat menjeritkan slogan peri pentingnya orang Melayu bersatu dan berani mempertahankan ketuanan Melayu dengan membasmi rasuah politik dalam UMNO (meskipun dia bukan ahli).

Mengapa rasuah politik jadi begitu serius dalam UMNO? Jawapan mudah: Kerana ada sponsor yang berbakat sebagai pemimpin dan ramai pula penerimanya. Orang-orang berbakat itu mempunyai semangat cintakan bangsa terlalu mendalam, membuat mereka berebut-rebut mengatasi satu sama lain untuk berjasa kepada negara, bangsa dan agama. Inilah kehebatan UMNO yang menjadi masalah besar kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya, apabila orang berbakat pemimpin itu terlalu ramai dan semakin besar pula nafsu ingin berjasanya. Mereka ini mendapat galakan semangat patriotisme dalam masa 22 tahun Dr. Mahathir Mohamed menjadi ketua UMNO.

Oleh itu ramai penganalisis politik berpendapat pada era itulah biji benih rasuah politik disemai dan ditanam dengan gigihnya melalui projek-projek mega yang berbilion ringgit kosnya. Di samping berlumba-lumba membangun negara dengan wang Petronas dan sumber-sumber lain, para pemimpin berbakat yang cerdik itu menggunakan kesempatan membangun itu untuk “membuat duit” sebanyak-banyaknya. Anak-beranak, adik-beradik, rakan taulan yang rapat, semuanya diberi peluang untuk menunjukkan bakat mereka membangun negara dan mengumpul wang. Misalnya, untuk menyediakan peralatan kerusi meja, kain langsir, perkakas pejabat, permaidani dan lain-lain, belanjanya beratus juta (jika tidak lebih) dan semua projek “furnishing the air port” itu jatuh ke tangan anak-beranak tertentu.

Itu hanya contoh kecil, dikemukakan bagi orang yang kurang upaya memahami kerumitan mewujudkan budaya rasuah politik itu. Maka apabila Mr. Clean diberi kesempatan menunjukkan peribadi bersihnya, dia sebenarnya mewarisi organisasi politik yang bernama UMNO itu yang sudah matang budaya rasuah politiknya. Apabila dia ingin menghapuskan budaya rasuah itu, dia sendiri yang dihapuskan terlebih dahulu, belum puas lagi jadi Perdana Menteri sudah diarahkan “saying goodbye” kepada semua rakan taulannya yang gigih membangun negara dan mengumpul duit itu. Siapakah di antara rakan taulannya itu yang miskin papa kedana? Tikus di rumah mereka pun kaya raya, kenyang tak terkira, apatah lagi anak-beranak mereka yang pintar-pintar belaka mencari duit.

Maka apabila bakal Perdana Menteri meraung sekali lagi memerintah anak buahnya menghapuskan rasuah politik, tikus dan tupai sekelilingnya tertawa besar sambil mengunyah sisa rasuah yang begitu banyak terbuang, tak termakan oleh tuan rumah sendiri. Apabila kekayaan telah jadi begitu besar, dengan segala kemewahan yang tak terkira lagi, maka penghapusan rasuah boleh disembur dengan peribahasa (menggunakan pertanyaan ingkar): Bolehkah dihalau tikus kenyang di atas timbunan padi? Tahi tikus pun berharga, apatah lagi padi bertimbun. Maka bermadahlah Pelawak Melayu yang terkenal bernama Si Luncai: “Tengok perut aku yang buncit ini, adakah kamu fikir semuanya tahi?

Tengok pula perut kamu yang kempis, kamu fikir tak ada tahi di dalamnya? Buncit atau kempis sama- sama makan semuanya simpan tahi, tak usah cakap banyak.” Ternyata Si Luncai jauh lebih bijak dan jujur berbicara tentang rasuah ini. Jelaslah yang patut terjun ke laut bukan Si Luncai, tetapi semua pandai rasuah dalam UMNO. Cuma Si Luncai tidak tahu, pandai rasuah UMNO ini punya kapal selam, kapal perang, kapal angkat minyak. Kalau tenggelam kapal selam sudah tunggu; kalau terjerit-jerit dalam laut kapal perang ambil; kalau berat sangat harta benda yang jatuh ke laut bersama pandai rasuah ini, kapal minyak boleh muat tiga juta penumpang, tak jadi masalah langsung. Jadi, mahu tidak mahu, Si Luncai terus terjun dengan labu-labunya. Biarkan. Biarkan. Siapa kata Melayu bodoh? (25/3/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan ialah pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian yang berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan di peringkat tinggi. Sebagai sasterawan dan pengkritik sastera, beliau prihatin dengan kebobrokan pentadbiran, justeru perlu diperbetulkan dengan pendekatan keilmuan.)


INFO SUARA PROLITAR...


Amanat Terakhir Seorang Presiden:
Tiada Tepukan Gemuruh Dalam Dewan


Ucapan dasar Presiden UMNO Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disiarkan di kaca TV secara langsung sekadar setengah jam sahaja, dengan tak menerima tepuk gemuruh ketika beliau juga beberapa kali terbatuk-batuk. Persidangan ditangguhkan pada 11.15 pagi bagi jamuan teh hingga 11.45 pagi, iaitu insiden yang tak pernah berlaku dalam mana-mana Perhimpunan Agung UMNO. Dato' Seri Abdullah yang akan berundur selepas Perhimpunan Agung memang tak lagi bersemangat untuk menyampaikan ucapan dasar, seperti ditunjukkan oleh penggantinya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Apalagi beliau berikrar akan memberikan sokongan padu kepada Presiden UMNO yang baru dan Perdana Menteri yang baru yang tak diperjelaskan jadual sebenar peralihan kuasa itu.


Dalam ucapan yang singkat dalam sejarah Perhimpunan Agung UMNO, Dato' Sri Abdullah turut mengungkapkan 'mereka yang di atas (pentas) mahukan perubahan, eloklah tunjukkan contoh untuk berubah terlebih dahulu'. Maknanya, kalau mereka yang di atas pentas masih juga seperti ketam berjalan mengereng, bagaimana mahu mengajak orang di bawah berjalan betul? Apalagi pihak lain yang melakukan kesalahan, beliau pula yang terpaksa dibebankan dengan permalasahan. Begitulah! Ucapan dasar yang disampaikan Dato' Seri Abdullah di Perhimpunan Agung UMNO hari ini 26 Mac 2009, adalah tugas terakhir beliau secara rasmi dalam UMNO. Justeru, kalau orang di atas tak berubah sama ada perangai, peribadi mahupun pendekatan Dato' Seri Abdullah juga secara sinis menjelaskan, kerajaan terakhir UMNO akan bermula juga hari ini berdasarkan tema 'Berubah Atau Rebah'. Heh heh heh!