Saturday, August 22, 2009

RAMADHAN AL MUBARAK

SELAMAT MENJALANKAN IBADAH PUASA
DARI WARGA PRIHATIN MALAYSIA


Ramadhan tiba lagi dan setiap kali menjelangnya Ramadhan, banyak bazaar yang akan tumbuh bagaikan cendawan untuk menjual juadah-juadah kepada pembeli. Setiap kali itu juga ada rengekan dari pembeli mengatakan juadah yang dijual oleh peniaga-peniaga ini tidak berpatutan dan mahal. Mana tidaknya, sebelum Ramadhan menjelang, barang-barang mentah seperti gula disekat dan ada juga kedai runcit tidak dapat menerima stok dari pembekal.



Adakah ini akan menjadi tradisi setiap kali menjelangnya Ramadhan? Atau sememangnya setiap kali menjelang musim perayaan? "dua minggu sebelum puasa, sehari makcik dapat beli sekilo gula sahaja. Nak beli lebih tak boleh. Terpaksa makcik beli hari-hari untuk disimpan. Anak-anak bila berbuka mesti nak minum air sirap atau air oren. Walaupun isu gula nampaknya tidak begitu serius sekarang, makcik risau nak menjelang hari raya nanti bukan sahaja gula, mungkin ayam, beras naik harga pula", keluh seorang suri rumah pada PRIMA.


Walaupun kisah gula sudah pun menjadi suam-suam kuku, PRIMA bukan ingin mengeruhkan lagi isu ini ataupun menambah kekusutan pada pihak berkenaan. Hendak disalahkan peniaga-peniaga pun tidak rasional kerana mereka juga ingin mencari untung. Kalau meranduk dihutan, biar luas perjalanannya, kalau stok gula disimpan, alamat naik harga pula jadinya. Di sini warga PRIMA ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam dan semoga ibadah yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan ini diterima olehNya. InsyaAllah...



- Waris Pak Dharma

SASTERA DAN BUDAYA

Sajak

Ingatan untuk Pak Dharma

AYAH

Pemberontak...katamu
pada diriku yang hanya anak kecil
ketika itu...
dihambat nista satu persatu

Sering berlegar dibenakku
pilih kasih antara yang lain
benci tercetus ingkar segala suruhanmu
biar derhaka ku cipta
agar bebas merdeka
ketika aku seorang anak kecil...

Meniti masa kematangan
aku sedar ciptaan insan yang kau lakarkan
hanyalah untuk menjadikan
aku seorang yang sempurna
bukan hanya pada matamu
jua pada mata masyarakat yang optimis
sehinggaku berada dalam kebanggaanmu

Ayah...
Lakaranmu hampir ke kemuncak
namun Dia tegar memanggilmu
tatkala aku ingin membalas keringatmu
yang telah engkau taburkan padaku
sedih...
Sekelumit kesal berada di dasar hati

Namun Ayah...
kupinta pada Ilahi
dalam wangian doa dan Yassin
agar engkau dirahmati
hanya itu yang dapatku kirimkan
dari jiwa anak solehah
InsyaAllah...
satu hari nanti akanku ke sana jua
entah bila...


Waris Pak Dharma
Sabtu, 22 Ogos 2009
2.14am

Friday, August 14, 2009

SAAT - SAAT TERAKHIR PEMIMPIN PRIMA
PERGINYA SEORANG IDEALISME NEGARA


Hari ini genap sudah 3 hari sasterawan dan budayawan negara, Allahyarham Abdul Muluk Daud @ Dharmala N.S. meninggalkan kita. Malam tadi, majlis tahlil telah diadakan di rumah arwah dengan malam pertama kami adakan majlis tahlil di kampung arwah di Petaling, Jelebu. Ramai rakan rapat arwah yang hadir di majlis tahlil malam tadi.

Banyak perubahan yang arwah tunjukkan pada kami dalam 3 minggu terakhir ini. Hari Jumaat, 31 Julai 2009 arwah sempat bertemu dengan anak-anak murid beliau. Banyak ilmu yang diturunkan kepada anak-anak murid beliau (termasuklah saya) sehinggalah kami meminta beliau tangguhkan dahulu pemberian ilmu kerana kami rasa ilmu yang diturunkan itu sudah mencukupi. Selepas itu beliau terus mengajak kami ke Restoran Taqwa (memang tempat kegemaran arwah). Sampai di Taqwa, beliau terus memesan air teh tarik dan mihun goreng (biasanya arwah suka memesan mee goreng mamak). Memang biasanya kami lepak minum di situ setiap kali selesai pembelajaran, cuma malam itu arwah banyak bercakap. Tidak seperti sebelumnya, arwah hanya bercakap apabila ditanya.

Isnin, 3 Ogos 2009 sewaktu arwah berbuka puasa bersama keluarga, beliau sempat bergurau dengan ahli keluarganya. Malah beliau sempat menghulurkan jag yang berisi air tebu kepada saya dan berkongsi cawan beliau dengan saya. Saya sebenarnya terpinga dengan sikap beliau tapi saya buat tak tahulah sebab saya fikir itu cuma perkara biasa sahaja.

Sehinggalah pagi sebelum arwah dibawa ke hospital, beliau sebenarnya tidak tidur sepanjang malam itu. Beliau sempat mengagah cucunya dan juga sempat mengemaskini blog PRIMA. Lebih kurang 4.30 pagi, beliau mengejutkan emak saya daripada tidur untuk bersahur. Emak saya terkejut sebab makanan telah pun terhidang di atas meja. Selesai bersahur, arwah mengadu kepada emak saya yang dadanya sakit. Setelah melihat keadaan arwah masih tidak stabil, kami terus membawa arwah ke Hospital Selayang. Arwah terus berada di hospital selama 8 hari dan pada hari ke-9 (Selasa, 12 Ogos 2009), Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir tepat jam 8.41 pagi.

Semoga roh ayahanda dicucuri rahmat-Nya...

Thursday, August 13, 2009

SASTERA DAN BUDAYA

SAJAK

Doa dan Salute untuk Muluk @ Dharmala NS

Komradku Muluk @ Dharmala NS
demikianlah ketentuan Allah SWT
bahawa sudah sampai
waktunya
engkau dipanggilnya pulang meninggalkan
medan perjuangan tanah airmu
yang telah engkau patuhi
tanggungjawabmu
sepanjang hidupmu penuh berani
dengan kamus tanpa kata
menyerah dan putus asa.

Semoga Allah SWT
menempatkan rohmu
di kalangan mereka yang beriman
setimpal dengan pahalamu
seorang pejuang
yang tulus, telus dan taqwa.

Muluk,
entah esok entah lusa
Apak juga akan dipanggil pulang
Alhamdulillah,
tapi selagi belum tiba waktunya
tahulah kau komradku
perjuangan kita akan tetap
bagaikan juga
sepertinya selama ini
terus akan Apak semarakkan
walaupun betapa kini
lentera demi lentera
terjual sudah
pada harga diskaun 70%.
ada juga
yang ditawar pada 80%.
aduhai!

Muluk @ Dharmala NS,
sejarah riwayatmu
adalah tugu gagah jasamu
berdiri megah kini
di puncak kebanggan kami
balu dan anak-anakmu
cucu dan menantumu
sanak saudara kaum kerabatmu
handai taulan dan peminatmu
dan barisan komrad seperjuangan mu.

Doa dan Salute kami untukmu
duhai komradku
Muluk @ Dharmala NS.
Alfatihah.

--Yassinsalleh, Apakmu.
Jam 1555, Ogos 13
Johor Bharu.

Belasungkawa

Al-Fatihah (الفاتحة)...


BUDAYAWAN TIADA PENGGANTI
PAK DHARMA KEMBALI KE RAHMATULLAH


Pada pukul 1.45am keadaan Abdul Muluk Daud ataupun lebih dikenali sebagai Pak Dharma sudah bertambah tenat apabila tekanan darah Pak Dharma mula menurun. Ketika itu isteri dan waris-waris Pak Dharma sudah menunggu di wad CCU. Setelah bertarung nyawa beberapa jam, Pak Dharma telah menghembuskan nafas yang terakhir pada pukul 8.41am pada hari Rabu (12 Ogos 2009).


Allahyarham Pak Dharma seorang budayawan dan sasterawan Melayu yang menulis pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi,rencana, skrip drama pentas, tv dan filem. Pemenang hadiah sastera nasional 1974 kategori cerpen. Pemenang sayembara novel Yayasan Sabah Gapena 1979 dan 1981. Pemenang hadiah cerpen Esso-Gapena 1981 dan 1982. Jawatankuasa penyelidikan budaya Muzium Negeri Sembilan 1990-2003. Pak Dharma juga merupakan pengendali blog PRIMA begitu mementingkan Bahasa Melayu sehingga setiap perjuangan yang dilakukan oleh beliau direalisasikan dengan aktiviti-aktiviti bacaan puisi dan sebagainya.


Jenazah Pak Dharma telah dibawa ke kediamannya di Taman Sri Gombak untuk diberi penghormatan terakhir dan kemudian dibawa ke masjid Al-Khiriyah untuk dimandikan dan dikafankan. Tepat pukul 2.15pm jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halamannya di Kg Bachang Mantin, Petaling, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan dimana jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah wakaf perkuburan Triang, bersebelahan dengan makam anakanda Allahyarham iaitu Allahyarham Ikram Hafiz.


Disini isteri dan waris-waris Allahyarham Pak Dharma ingin menjemput sahabat-sahabat Allahyarham untuk menghadiri kenduri tahlil selama dua hari pada 13 Ogos 2009 (Khamis) dan 14 Ogos 2009 (Jumaat) selepas solat Isyak di kediaman Allahyarham, No 24 Jln SG 9/1 Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor. Dahulu kehilangan permata hati, kini kehilangan permata kalbu. Semoga roh Allahyarham Pak Dharma dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. -Amin.

-Waris Pak Dharma

Saturday, August 8, 2009

BACA PUISI 'MANIFESTI RAKYAT'

BACA PUISI 'MANIFESTI RAKYAT' DITANGGUHKAN
DOAKAN PAK DHARMA CEPAT SEMBUH

Sebagaimana telah dimaklumkan sasterawan dan budayawan Abdul Muluk Daud (Pak Dharma) diserang sakit jantung awal pagi Selasa (4 Ogos 2009) dan masih berada di wad CCU Hospital Selayang. Tok YassinSalleh iaitu bapa saudara kepada Pak Dharma yang menziarahi Pak Dharma petang tadi (Sabtu, 8 Ogos 2009) ada bertanyakan kepada waris Pak Dharma mengenai bacaan puisi 'Manifesti Rakyat'- Menentang PPSMI dan isu rakyat prolitar. Setelah berbincang dengan penaja utama untuk majlis ini iaitu Dato' Kamal Amir, beliau memberitahu majlis ini terpaksa ditangguhkan.




"Bagi uncle biar Pak Dharma sihat dulu. Kita cuma tangguhkan, bukan dibatalkan," beritahu Dato' Kamal Amir melalui SMS kepada waris Pak Dharma. Sehubungan dengan itu majlis yang seharusnya akan berlangsung pada hari Sabtu (15 Ogos 2009) bertempat di Kelab Golf Perangsang, Temple Park, Selangor ditangguhkan sehingga tarikh baru diberitahu kelak. Kepada pendeklamator dan sesiapa yang mengenali Pak Dharma agar mendoakan kesihatannya beransur sembuh supaya dapat bersama-sama berada dalam majlis yang dirancang oleh beliau dan juga aktivis-aktivis PRIMA.


-Waris Pak Dharma
HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Wednesday, August 5, 2009

BERITA

PENGENDALI BLOG PRIMA, ABDUL MULUK DAUD
KRITIKAL AKIBAT SERANGAN JANTUNG



Sasterawan dan budayawan Abdul Muluk Daud atau lebih dikenali sebagai Pak Dharma diserang sakit jantung selepas bersahur bersama ahli keluarganya di Gombak, Selasa semalam (4 Ogos). Sementelah itu, Pak Dharma terus dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarganya dan kini berada di Unit Rawatan Jantung (CCU) tingkat lima hospital Selayang, Selangor. Selepas bersahur Pak Dharma ingin tidur sementara menunggu azan subuh. Tiba-tiba dia mengadu sakit dada dan minta diurutkan. Badannya berpeluh-peluh dan kukunya sudah biru," jelas Puan Adiah, isteri Pak Dharma.



Pak Dharma yang merupakan aktivis dan juga pengendali laman blog PRIMA masih berada dalam kritikal sehingga kini. Aktivis-aktivis PRIMA yang terawal menziarahi Pak Dharma adalah Hj Bakar Ninggal, Sayuti Omar, Yahya Ismail, Rashid, Rozie (isteri Dato Kamal Amir) dan juga YassinSalleh (bapa saudara Pak Dharma). Terima kasih kepada YM Dato' Lela Maharaja Dato' Hj Muhammad Sharip bin Hj Othman (Undang Luak Rembau) kerana sudi menziarahi Pak Dharma. Rakan-rakan Pak Dharma seperti Norzah Kepol (Pengarang Buletin Rakyat) dan suami, Fadil Tan Sri Samad Idris, Fezal Khan, Liew Ah Kim (mantan Ahli Parlimen Seputeh), sahabat-sahabat dan juga jiran tetangga, ribuan terima kasih diucapkan. Keluarga Pak Dharma memohon kepada sesiapa yang mengenali Pak Dharma agar mendoakan kesihatannya beransur sembuh dan dapat berkongsi informasi di dalam blog ini.




- Waris Pak Dharma