Wednesday, July 21, 2010

IMBASAN CERAMAH TERAKHIR UNTUK SISWA DAN SISWI UKM SESI 2008/2009


Ceramah ‘Pengkisahan Sejarah Pembukaan Negeri Sembilan Dan Adat Istidatnya’ oleh Dharmala N.S. (Pak Dharma), Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (Prima) anjuran Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (Permanis), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi 2008/2009 dalam Program Kembara Seri Perpatih, pada 27 Januari 2009 jam 9.00 pagi di Panggung Budaya UKM, Bangi.

PENDAHULUAN

Pembukaan negeri dikaitkan dengan unsur-unsur mitos bagi memperlihatkan ciri-ciri super naturalpower di samping limpah daulat rajanya. Kerajaan Melayu Melaka dibina pada 1401 misalnya, berasaskan mitos pelanduk putih menendang anjing perburuan Parameswara (atau Raja Iskandar) hingga tercampak ke anak air. Unsur-unsur mitos juga diterapkan dalam pembukaan kerajaan Salendra yang berpusat di Palembang sebelumnya, atau kerajaan Temasik pada period Sang Nila Utama yang terbias dalam pelayaran dari Bentan. Sang Sapurba di Palembang ditampilkan dengan insiden padi di bendang Wan Empok dan Wan Malini di Bukit Seguntang berbuahkan emas, berbatangkan tembaga, berdaunkan sesuai. Kononnya!


Sang Nila Utama pun dikejutkan dengan insiden terserempak haiwan berkepala singa bertubuh seakan-akan kuda ketika mendarat di Pulau Temasik bagi membuka negeri baru dinamakan Singapura. Sang Sapurba pula melangkaui ke Minangkabau bagi membunuh ular yang mengganggu petani prolitar membangunkan huma di lereng gunung. Dengan kesaktian super naturalpower Sang Sapurba mengurniakan pedang Corek Semandang Kini kepada panglimanya Permasku Mambang bagi membunuh ular berkenaan. Tetakan pedang Corek Semandang Kini menyebabkan raptelia berkenaan mati, tetapi dikekalkan unsur-unsur mitos apabila mata pedang terbabit sumbing 199 banyaknya. Berikutan kehebatan super naturalpower daulat Sang Sapurba kararlah beliau menjadi raja Pagarruyung bagi mewariskan pemerintahan di Negeri Sembilan. Bagaimanapun di kalangan masyarakat Minangkabau apabila mengungkapkan sirah pembukaan negerinya disebut:

Dari mano asal terbit pelito
Daripada tanglung nan berapi
Dari mano asal nenek kito
Dari lereng Gunung Merapi.

PEMBUKAAN NEGERI SEMBILAN

Berdasarkan buku ‘Peraturan Adat Istiadat Dalam Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan Darul Khusus’ yang disalin oleh Ustaz Mahmud bin Talib iaitu bertarikh 12 Muharram 1407 (16 September 1986) dari teks asalnya disusun oleh Tengku Besar Burhanuddin ibni Almarhum Yamtuan Antah, pembukaan Negeri Sembilan diasaskan oleh Raja Melewar dari Pagarruyung pada 1773 sempena sembilan orang penghulu yang membaiah baginda di Astana Raja, Rembau. Bagaimanapun dalam catatan Belanda daripada Van de Veer panglima armada lautnya menyebut Bendahara Sekudai membuat lawatan ke ‘Nine States’ pada 1644, selepas membantu Belanda menewaskan Portugis di Melaka dalam tragedi memanjat sigai pada 1641.

Malah merujuk kepada jurnal ‘Papers on Malay Subjects’ berkaitan ‘Notes on The Negeri Sembilan’ daripada himpunan essei Martin Lister, D.V.A. Harvey, R.N. Bland, A Hale, C.W.C. Parr dan beberapa lagi orientalis barat, kolonial Belanda di Melaka yang mewujudkan ‘Nine States’ pada 1643 dengan mengiktiraf kuasa Dato’ Seri Lela Merah, sebagai pemerintah di Naning, di samping menjadi ketua kepada ‘Nine States’. Pada 1705 pemerintah Naning diiktiraf pula Sultan Abdul Jalil III dengan diberi cop mohor kerajaan Johor, diikuti oleh Penghulu Rembau pada 1707 menerima pengiktirafan kerajaan Melayu Johor menerusi Bendahara Seri Maharaja. Sebaliknya selepas tragedi Sultan Mahmud Mangkat Dijulang 1699, Bendahara Abdul Jalil memproklamir dirinya menjadi Sultan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil IV (atau Sultan Abdul Jalil Riayat Shah) justeru bertepatan gelaran bendaharanya, Bendahara Seri Maharaja.

Bagi masyarakat Negeri Sembilan sejarah pembukaan negeri lebih terarah kepada pengkisahan ‘terombo’ yang disimpan oleh waris masing-masing sebagai salasilah jurai keturunan mereka. Justeru sejarah pembukaan Negeri Sembilan tak pernah dirujuk kepada sejarah bertulis, sebaliknya lebih afdal diungkapkan ‘yang tersurat dan yang tersirat’. ‘Terombo’ akan menjadi pegangan mereka kerana ianya ‘yang tersirat’, sebaliknya sejarah bertulis dianggap ‘yang tersurat’ dianggap berlawanan dengan fakta pertuturan lisan mereka yang berungkai-rungkai, berangkai-rangkai dan berbingkai-bingkai dengan unsur-unsur mitos, legenda mahupun fantasi. Dalam mengungkapkan sejarah pembukaan negeri disebut:

Mengaji dari alif
Berbilang dari esa
Berkata daripda asal
Usul asal jangan ditinggalkan
Sehelai akar sebingkah tanah sebatang kayu
Sehelai akan yang putus akan pengikat
Sebingkah tanah terbalik buat permatang
Sebatang kayu tumbang buat turasan
Permatang sudah lurus, tanah sudah datar
Tanaman sudah menjadi, orang sudah ramai
Si Lawah turun ke hilir, Si Pasin mudik ke hulu
Alam sudah beraja, luak sudah berpenghulu
Suku sudah berlembaga, anak buah sudah berbuapak
Adat nan datar, pesaka nan satu
Runding tidak beralih, ibu adat muafakat!


-WARIS PAK DHARMA-

Saturday, June 12, 2010

MACAM-MACAM...

EMPAT ORANG KEHILANGAN GELARAN
SETELAH DITARIK BALIK SULTAN JOHOR

Assalamualaikum,

Kali ini AW ingin menyentuh kisah empat orang yang ditarik balik pangkat "Datuk" dan "Datin Paduka" oleh Sultan Johor. Mereka yang ditarik balik pangkatnya ialah adik ipar Sultan Johor, Komander Shaftdean Lufty Rusland, wanita pertama yang menjelajah Kutub Utara dan Selatan, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Chua Jui Meng dan pengamal undang-undang, Hassan Yunos.

Hal ini disahkan oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Keputusan itu dibuat berdasarkan laporan yang diterima dan bersetuju menasihatkan Sultan Johor untuk melaksanakan kuasa baginda.Demi melindungi maruah mereka, jumaah tidak mendedahkan sebab penarikan itu dibuat. Menurut kata Abdul Rahim, tiga kriteria dipertimbangkan ketika pengurniaan darjah kebesaran iaitu ketaatan kepada raja, semangat berusaha dan sumbangan terbaik. Menurutnya lag, pihak yang terbabit perlu tanya diri sendiri mengapa penarikan pangkat itu dibuat.

Hai, entahlah!

-ANAK WARISAN...

Monday, June 7, 2010

ISU SEMASA

PENGALAMAN SUKARELAWAN MALAYSIA
KETIKA MERASAI SENDIRI KEKEJAMAN ISRAEL

Assalamualaikum,


Kali ini AW hanya ingin menulis sedikit sahaja mengenai sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel. Sebelum AW menyentuh mengenai tajuk di atas, AW ingin memberikan pendapat mengenai tahanan dari kapal Rachel Corrie. Semasa menonton Berita Terkini pukul 4.00 petang tadi, AW hanya dapat memanjatkan kesyukuran apabila sukarelawan Malaysia dari kapal Rachel Corrie dijangka tiba di KLIA hari ini. Mereka bernasib baik kerana tidak diapa-apakan. Cuma AW terfikir sendiri, apa yang Israel dapat dengan menahan kapal-kapal yang menghantar bantuan kepada rakyat Gaza dan membunuh sebahagian sukarelawan tersebut?Dunia, dunia!

Berbalik kepada tajuk di atas, AW merasa gentar sedikit ketika membaca pengalaman sukarelawan Malaysia ketika berada di bawah tahanan tentera Israel di Harian Metro. Menurut Ketua Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Shamsuddin, tentera Israel memang berniat untuk membunuh. Hal ini kerana sekumpulan sukarelawan berjaya menangkap tiga orang tentera Israel yang tersilap langkah. Apabila diperiksa, mereka mendapati senarai nama dan gambar individu di atas kapal Mavi Marmara ada pada mereka. Seterusnya mereka mendapati kebanyakan mereka yang terbunuh terdapat dalam senarai itu. Manakala mereka yang terselamat tidak ada dalam senarai itu. Pelikkan?

Menurutnya lagi, sepanjang berada di bawah tahanan tentera Israel, mereka diikat hampir 15 jam, tidak dibenarkan ke tandas, tidak diberi makan hampir 24 jam dan sentiasa diacukan senapang. Walaupun misi mereka untuk menghantar bantuan kepada rakyat Gaza terbantut, sekurang-kurangnya peristiwa ini telah membuka mata dunia untuk mengecam tindakan Israel. Seperti contoh, masyarakat di Eropah sudah mula melakukan demontrasi mengecam kekejaman Israel yang menghalang misi bantuan ke Gaza dan membunuh sebahagian sukarelawan yang terlibat.

Malaysia akan memfailkan petisyen untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Diharap usaha Malaysia akan berjaya. Kesimpulannya, seluruh masyarakat dunia khususnya umat Islam perlu bersatu padu untuk menunjukkan bahawa Israel semakin dibenci. Israel semakin melampau berikutan kejadian yang menimpa sukarelawan dari kapal Mavi Marmara. Teringat pula kata-kata bonda AW, "Sepatutnya, sukarelawan Malaysia 'tu patut diberi anugerah Datuk ke, disambut dengan kalungan bunga ke sebab dia orang 'tu bertarung nyawa nak sampaikan bantuan, bukannya beri pangkat atau penghormatan pada orang yang tak bagi apa-apa sumbangan pun!"Fikir-fikirkan lah ye.Heh heh heh!


-ANAK WARISAN...

Sunday, June 6, 2010

RAGAM DUNIA...

MISI BANTUAN MALAYSIA KE GAZA DITAHAN:
ISRAEL SEMAKIN KEJAM "MENGHIRUP" DARAH!

Assalamualaikum,


Sudah lama AW tidak menulis di sini. Sebenarnya AW sibuk dengan jadual belajar AW. Baru sekarang AW dapat meluangkan masa menaip di blog. Perkara pertama yang AW nak sentuh di sini ialah mengenai kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie yang ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel ketika ingin menyampaikan bantuan kemanusian ke Semenanjung Gaza.


AW pun tak dapat nak kata apa. Nampaknya Israel semakin kejam.Nasib baik tahanan dari kapal Mavi Marmara sudah dibebaskan, cuma tahanan dari kapal Rachel Corrie sahaja belum dilepaskan lagi, tapi mereka difahamkan dalam keadaan selamat.


Menurut kata wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, beliau terpaksa merangkak dalam darah mangsa yang mengalir akibat ditembak oleh tentera Israel.Ada yang parah, tak kurang juga yang mati.Tambah Ashwad lagi, kapal Mavi Marmara diserang pada lebih kurang pukul 2.45 pagi.Beliau terkejut kerana kapal yang dinaiki hanya membawa mereka yang terlibat dengan misi bantuan itu dan aktivis keamanan.Hai, entahlah!


Selain itu, AW difahamkan kebanyakan mereka yang ditembak berasal dari Turki. Mungkin mereka lebih banyak melawan daripada berdiam diri seperti yang dilakukan oleh rakyat kita yang ditahan oleh Israel.Tangan mereka diikat, ada juga yang ditendang.Betapa kejamnya Israel!Menurut mereka yang ditahan, kesemua barang mereka termasuk pen dirampas.Pihak Israel seolah-olah tidak mahu sebarang rekod mengenai penahanan mereka sama ada secara bertulis atau visual dirakam.Setelah dibebaskan, satu-satunya barang yang dikembalikan adalah, pasport antarabangsa.


Sekurang-kurangnya, rakyat kita tidak "dihirup" darahnya oleh Israel. Mereka dapat kembali kepada keluarga masing-masing dalam "keadaan yang baik". Semoga tahanan dari kapal Rachel Corrie dapat kembali ke tanah air dengan selamat dan diharap, semakin ramai yang akan meluat dengan propaganda Israel yang semakin rakus membunuh rakyat Palestin dan masyarakat global yang lain.Ish Ish Ish...


-ANAK WARISAN...

Tuesday, March 30, 2010

SAJAK...

HATI SEBUAH KELUARGA

Tiba jua detik itu...
Saat aku membuka kelopak mataku...
Untuk melihat wajah kudus ibuku...
Yang berpenat lelah...
Bertarung nyawa...
Melahirkan aku ke dunia ini...
Sejuk tenang aku di dakapnya...
Dan dibelai, dikucup manja...
Tak tergambar perasaan itu...
Di kotak fikiranku...

Tatkala itu...
Datang seorang lelaki yang mengaku ayahku...
Mendakap erat tubuh merahku...
Menatap mata kuyuku...
Melaungkan iqamat di deria pendengaranku...
Sambil menarikan jari-jemarinya di rambut halusku...
Bertuahnya aku!

Tika itu juga...
Sepasang insan tersenyum padaku...
Berebut untuk memeluk dan mengucup dahi dinginku...
Tersenyum kecil hatiku...
Melihat telatah abang dan kakakku...

Tapi...
Sebak hatiku, amarahnya jiwaku...
Bila terkenangkan ada rakan seperjuanganku...
Tak sempat mengecapi nikmat duniawi...
Menonton panorama indah bumi...
Disebabkan oleh kekejaman manusia...
Yang tak inginkan kewujudan mereka...
Dilihat masyarakat moden...

Mengapa manusia kini makin kejam?
Berdosakah kita jika memberi kesempatan...
Untuk mereka bertatih...
Belajar dan berdikari...

Tak mengapa kawan...
Aku ada di sini...
Diberi kesempatan oleh Yang Maha Esa...
Untuk hidup dalam kalangan...
Keluarga yang penyayang...
Yang tidak mengherdikku, tidak pula menyeksaku...
Dan jika aku mampu...
Inginku sujud syukur pada-Nya tika ini juga!

Aku berjanji kawan...
Jika aku sempat mengharungi alam dewasa kelak...
Akan ku ajar insan yang tidak pernah mengerti...
Mungkin juga tidak ingin mengerti...
Tentang makna kasih sayang...
Dalam Hati Sebuah Keluarga...


p/s: Sajak ini AW cipta khusus untuk memperingati kematian tragik Arwah Adik Syafia yang didera oleh teman lelaki ibunya sendiri, juga untuk bayi-bayi dan kanak-kanak yang tidak sempat melihat dunia disebabkan kekejaman manusia yang semakin alpa dengan kehidupan serba moden ini.Al-Fatihah...



-ANAK WARISAN

Wednesday, February 10, 2010

ISU SEMASA...

GAJI AMAH INDONESIA MINIMUM RM800
BETUL-BETUL, CUBAAN ATAU PUBLISITI?

Assalamualaikum,

Sudah lama rasanya AW tidak "membebel" di sini. Mungkin kerana disebabkan AW sibuk dengan tugasan harian AW menyebabkan AW tidak sempat meng"updatekan" berita terkini yang berlaku di sekeliling kita. Sebelum AW mengulas mengenai tajuk di atas, AW ingin menyentuh sedikit kisah liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari yang makin panas. AW tidak mahu membuat spekulasi sendiri seperti yang dibuat oleh masyarakat sekeliling. Sebaiknya biarlah mahkamah yang memutuskan siapa benar siapa bersalah. Kita tunggu dan lihat sajalah!

Berbalik kepada tajuk di atas, AW hairan kenapa timbulnya isu ini di Buletin Utama (TV3), 10 Februari 2010. AW tidak tahu sejauh mana kebenarannya, namun apa yang pasti, ianya mampu membuat masyarakat yang menggunakan khidmat pembantu rumah Indonesia kecoh seketika. Yang peliknya, rakyat Malaysia yang bekerja sebagai kerani pun gaji tidak sampai RM700.Di mana rasionalnya semua ini?

Mungkin hal ini berbangkit apabila pihak Indonesia mencadangkan amah dari negara mereka diberikan antaranya gaji minimum RM800, cuti sehari dan pasport dipegang sendiri oleh amah. Hal ini disebabkan semakin banyak amah Indonesia didera. Tapi cuba kita fikirkan, berapa banyak kes rompak dan pecah rumah yang didalangi oleh rakyat Indonesia?Berapa banyak anak gadis kita dilarikan ke Lombok?Dan berapa banyak kekecohan yang dilakukan orang Indonesia terhadap negara kita pula?Nasib badan!

Tapi sekiranya hal ini menjadi isu kelak, janganlah pula kita ambil tindakan kurang bijak pula. Cuba kita fikirkan daripada sudut positif, sekiranya hal ini menjadi realiti, ini menandakan kerajaan ingin mengurangkan pengambilan rakyat Indonesia sebagai pekerja di Malaysia. Secara tidak langsung, mata wang kita tidak tertukar kepada Rupiah Indonesia.Heh heh heh!

p/s : Sebelum terlambat, AW ingin mengucapkan takziah kepada seluruh kerabat diraja Johor dan rakyat Johor di atas pemergian Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail ke rahmatullah pada 22 Januari 2010 yang lalu. Al-Fatihah...

-ANAK WARISAN...

Thursday, December 17, 2009

Sampaikan Salam...

SALAM MAAL HIJRAH 1431 H
DARI KAMI WARGA PRIMA

Assalamualaikum,

Sedar tak sedar, kita sudah di penghujung tahun 1430 H. Banyak peristiwa berlaku seperti gempa bumi di Indonesia, banjir dan paling mengejutkan warga PRIMA mengenai perginya pengasas blog PRIMA ini, Allahyarham Pak Dharma ke rahmatullah. Diharapkan semoga di tahun yang baru ini, lebih banyak limpah kurnia dan rahmat dari-Nya dan semoga semakin kurangnya kejadian ragut yang didalangi oleh remaja kita sehingga menyebabkan nyawa mangsa yang tak berdosa melayang. Dan di kesempatan ini, kami di PRIMA ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431 H. Sekian, wassalam.

-ANAK WARISAN...