Saturday, March 1, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)







PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
'UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI'
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA


DARI LAMAN BLOG:


PENDEKATAN PRIMA MAKIN DITERIMA
PENAMPILAN PENGUNDI GENERASI KEDUA


Assalamualaikum,


Pendekatan yang dibawa PRIMA mengajak pengundi-pengundi memberikan ‘undi kepada calon, bukan kepada parti’ semakin diterima oleh pelbagai pihak yang ditemui oleh aktivis PRIMA. Misalnya, hari ini (1 Mac 2008) seorang rakan dari Putrajaya yang berkunjung ke rumah saya, mengakui kemungkinan juga ‘silent majority’ akan memain peranan berikutan penampilan pengundi-pengundi generasi kedua pada pilihanraya ke 12 ini. Menurut kawan itu yang mengundi buat pertama kali di Putrajaya pada pilihanraya 2004, calon BN Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkempen dari pejabat ke pejabat dalam keadaan terdesak, memang menimbulkan rasa tak senang di kalangan kakitangan pejabat yang menjadi pengundi ‘silent majority’ pada 8 Mac nanti.



Kawan itu beranggapan langkah Dato’ Seri Tengku Adnan berkempen dari pejabat ke pejabat, bukan sahaja melanggar etika malah tak bersopan terhadap kakitangan kerajaan, seolah-olah status menteri boleh ‘mengarahkan’ mana-mana sahaja kakitangan kerajaan mengikut telunjuk sekalipun di luar kementeriannya (Kementerian Pelancongan). Beliau mengambil contoh insiden Menteri Pelajaran, Tan Sri Abdul Hamid Khan (sekitar dekad 1960-an) yang mengarahkan Ketua Turus Angkatan Tentera (sekarang ialah Panglima Angkatan Tentera) Jeneral Tan Sri Tunku Osman Jewa mengambil anak saudaranya berkhidmat dalam pasukan tentera, menyebabkan timbul perbalahan disebabkan Tan Sri Tengku Osman enggan menerima arahan tersebut, kerana menterinya ialah Menteri Pertahanan (Askar Melayu 50 Tahun; Pustaka Budiman, 1983), bukan Menteri Pelajaran.


Sekalipun tak siapa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman perlu mengambil langkah untuk memantau tingkah laku calon BN berkenaan. Kakitangan SPR yang mengawasi setiap perjalanan kempen, tak perlu menerima laporan pihak lawan kerana Dato’ Seri Tengku Adnan melakukan secara terbuka. Tak tahulah kalau Tan Sri Abdul Rashid sengaja menutup sebelah mata, selepas termakan budi berikutan disambung setahun lagi status menjadi Pengerusi SPR, setelah perkhidmatannya tamat tempoh Disember 2007 lalu. Heh heh heh, hah ha hah, huh huh huh!

Tak apalah tutup sebelah mata, asal sahaja tak tertutup kedua belah mata atau ianya langsung tak tertutup tetapi celik sepanjang masa. Aduhai! Ketika melancarkan Akademi Buku Malaysia semalam (29 Februari 2008), di DBP Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Seri Dr Rais Yatim enggan menyebut jumlah dana yang diperuntukkan kepada yayasan berkenaan kerana mematuhi undang-undang pilihanraya. Apalagi beliau sebagai peguam terpaksa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang, bagi mengelakkan dituduh melanggar etika. Justeru Tan Sri Abdul Rashid seharusnya pula menerima hakikat, selalunya ‘kambing tak akan mengerkah harimau, sebaliknya harimau yang akan mengerkah kambing’. Begitulah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:


PERANG POSTER MEMBERI PETANDA
PERUBAHAN DITENTUKAN ‘SILENT MAJORITY’


Jentera pilihanraya BN mengakui di peringkat awal mereka tewas dalam ‘perang poster’ berbanding pilihanraya di masa lalu, termasuk juga persaingan ‘sorak’ pada hari penamaan calon, beritahu pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah dalam lawatan ke Sabah hari ini (1 Mac 2008). Pada hari penamaan calon katanya, beliau di Perlis di samping melihat fenomena ketumpulan jentera BN pada peringkat awal, tetapi tak mengetahui punca sebenarnya. Bagaimanapun menurut Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas profesor dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, beliau turun membantu calon BN bagi kawasan Parlimen Pekan di Pahang dengan turut mengadakan pertemuan di lokasi peneroka-peneroka Felda.
“Empat kali saya turun ke lokasi Felda menemui peneroka-peneroka, calon-calon DUN tak turut ikut serta yang boleh menjejaskan calon di Parlimen," beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor secara ikhlas. Menurut beliau pembabitannya membantu Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak adalah berdasarkan pendekatan PRIMA iaitu ‘undi calon, bukan undi parti’, malah ianya diterima oleh peneroka-peneroka Felda yang ditemuinya. Golongan tua mahupun warga emas menerima pendekatan tersebut, tetapi pertambahan lebih 2,000 undi di kalangan generasi kedua mungkin memberi sedikit persaingan. “Justeru tak perlu menyentuh mengenai generasi kedua Felda, kerana BN masih boleh bergantung kepada generasi pertama,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.


Menyentuh lawatannya ke Sabah, beliau diberitahu pengundi-pengundi di Sabah mirip kepada pendekatan di Kelantan, malah di kawasan yang ditandingi oleh Ketua Menteri Dato’ Musa Aman perang poster kelihatan dingin. Jentera kerja pilihanraya menunggu sumber kewangan sebelum menggerakkan pemasangan poster, kerana mereka enggan bekerja sukarela. Di samping itu, Dato’ Dr Mohd Mansor yang menghubungi sekretariat PRIMA menerusi telefon hari ini (1 Mac 2008), mungkin juga kedinginan ‘perang poster’ sebagai strategi BN di Sabah untuk memerangkap pihak lawan. Sekiranya BN di Sabah terlalu yakin dengan kemenangan mereka, mungkin pula ‘memakan diri’ kerana unsur-unsur ‘silent majority’ juga menyelubungi pengundi-pengundi di Sabah, katanya.


PERJUMPAAN DI BUKIT KIARA
REKOD UNTUK BANTU KELANTAN


Perjumpaan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan anak-anak Kelantan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini (1 Mac 2008), selepas usaha membantu calon BN di Bacok semalam (29 Februari 2008) tak memberi kesan. Di Bacok ketika hadir dalam upcara pecah tanah ‘Universiti Malaysia Kelantan’ (UMK) dekat Tangok di kawasan seluas 300 hektar dengan kos pembinaan RM205 juta, hanya tiga orang sahaja pimpinan UMNO Kelantan yang ditampilkan iaitu Dato’ Mustapha Mohamed, Dato’ Dr Awang Adek Hussin dan Dato’ Seri Annuar Musa, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. “Pemimpin UMNO yang lain di Kelantan dipinggirkan, kemudian cuba pula nak memujuk anak-anak Kelantan di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


Seterusnya Dato’ Kamal Amir turut mengingatkan rekod pentadbiran Dato’ Seri Abdullah sendiri bagi membantu rakyat Kelantan sukar dipercayai, kerana menjelang pilihanraya sahaja segala peruntukan diumumkan berdasarkan ‘politik angka’. Ketika Dato’ Seri Abdullah menjadi Menteri Pelajaran, apa yang disumbangkannya kepada pendidikan di Kelantan, sekalipun ketika itu kerajaan negeri di bawah BN bagi tempoh 1978-1990, menurut Dato’ Kamal Amir lagi. Begitu juga apakah sumbangan Dato’ Seri Abdullah kepada negeri Kelantan ketika menjadi Menteri Pertahanan, tanyanya lagi. “Kalau rekod pentadbirannya tak memberi apa-apa kepentingan kepada Kelantan, macam mana beliau boleh bermurah hati dengan ‘politik angka’ menjelang pilihanraya ini,” ujar Dato’ Kamal Amir selanjutnya.


INFO SASTERA & BUDAYA:


BUKU ISU SEMASA GALAKKAN MEMBACA
KERAJAAN DISARAN MEMBERI PENILAIAN


Penulis buku-buku isu semasa sebagai kritikan sosial, sering dipandang serong seolah-olah anti kerajaan di samping ditakrif mahu menjatuhkan pimpinan tertentu. Justeru pihak pentadbiran kerajaan perlu memberi penilaian baru bagi menjadi buku-buku berkenaan digerakkan sebagai galakan membaca di kalangan khalayak, di samping menolak naratif ‘perhambaan minda’, menurut penganalisis politik Haji Mohd Sayuti Omar. Seterusnya Haji Mohd Sayuti menyarankan dana RM5 juta yang diperuntukkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa) melalui Perpustakaan Negara turut juga membeli buku-buku isu semasa yang ditakrif sebagai ‘buku politik’. “Buku-buku isu semasa merupakan kritikan sosial yang mampu menggerakkan percambahan minda,” beritahu Haji Mohd Sayuti.

Berdasarkan perkembangan di Taiwan dengan penduduknya dianggarkan 25 juta, industri buku di sana mampu menerbitkan 30,000 judul setahun, menunjukkan tahap pemikiran rakyatnya berkembang dengan lonjakan yang perkasa. Sebaliknya di Malaysia dengan jumlah penduduk yang sama di samping keluasan geografi negara secara fizikal lebih besar, tetapi industri buku terus menguncup, jelas Haji Mohd Sayuti. Bukan sahaja sukar mahu mencapai 30,000 judul setahun, malah bagi tempoh satu dekad pun Malaysia tak mampu menghasilkan 1,000 judul novel. “Kalau buku-buku isu semasa tak ditakrif buku politik, sebaliknya dilihat sebagai buku bacaan umum, Perpustakaan Negara boleh membeli secara langsung buku-buku terbabit daripada pengarangnya,” ujar Haji Mohd Sayuti lagi.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PERUNTUKAN MENCURAH DIUMUMKAN
MACAM JAMBATAN EMAS KE GUNUNG LEDANG


Syahdan tersebutlah di sebuah negara Melayu akan berlangsung pilihanaraya umum ke 12 bagi memilih segala orang-orang besar memerintah di dalam negeri. Maka banyak peruntukan dicanang ke seluruh pelusuk negeri seperti Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak umumkan di Pekan, Pahang peruntukan RM174 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM65 juta kepada SJK Tamil menerusi Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK). Adapun peruntukan dalam RMK9 itu memang ianya diluluskan di Dewan Rakyat, kerana turut dibahaskan oleh semua orang-orang besar termasuklah daripada puak-puak pembangkang. Peruntukan yang banyak kononnya itu samalah juga macam Sultan Mahmud mahu membina jambatan emas dan jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.


Arakian akan Laksamana Hang Tuah yang turut sama ke Gunung Ledang itupun hilanglah, dikebumikan mengikut adat orang besar-besar oleh Sultan Mahmud. Maka menantunya Khoja Hussin itulah gantinya bergelar Laksamana Khoja Hussin. Sekali persetua Raja Mendeliar pun menemui Laksamana Khoja Hussin yang menggantikan bapa mertuanya sebagai pembesar Melaka. Adapun Raja Mendeliar mengadu akan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir mahu menderhaka, setelah diberitahu oleh Kitol mengenai Nina Sura Dewana memberi seketi emas kepadanya. Syahdan Laksamana Khoja Hussin menantu kepada Laksamana Hang Tuah itu kabullah ia menghadap lalu dipersembahkan segala kata-kata Raja Mendaliar. Murkalah Sultan Mahmud setelah mendengar sembah menantu Laksamana Hang Tuah yang disuratkan oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: