Sunday, March 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


PAS TOLAK JADI MB SELANGOR
KELIBAT KJ MENJELMA DI MANA-MANA


Assalamualaikum,


Sebelum ke majlis perkahwinan anak rakan lama di Padang Balang, Gombak sempat juga saya ke rumah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan di Selayang hari ini (23 Mac 2008). Beliau juga mahu ke Pahang beberapa hari bersama Ketua UMNO Bahagian Gombak Dato’ Ahmad Bujang untuk berihat setelah kekecewaan dengan kekalahan teruk di Parlimen pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Kata Omar Sudi, pengalaman selepas pilihanraya 1999 boleh membantu insiden kekalahan pada 2008 ini, iaitu semua pihak dalam UMNO perlu kembali bersatu di samping bekerja kuat. Bagaimanapun beliau mengaku kekalahan pada pilihanraya kali ini lebih terasa menyakitkan hingga sekarang masih menanggung implikasi ‘mimpi ngeri’nya.



“Saya nak ke Pahang beberapa hari untuk tenangkan fikiran bersama Dato’ Ahmad Bujang,” beritahu Sdr Omar Sudi. Memang pada pilihanraya baru-baru Dato’ Ahmad gagal mempertahankan DUN Hulu Kelang kepada calon PAS, Shaari Sungip. Aduhai! Bagaimanapun saya difahamkan bukan sahaja UMNO berhadapan dengan kelibat ‘KJ’ (Khairy Jamaluddin), malah PAS juga turut diganggu kelibat KJ (Kamaruddin Jaafar). Justeru Sdr Omar Sudi bertanya sama ada dalam perjumpaan dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo semalam (22 Mac 2008) saya bangkitkan isu KJ dalam PAS atau tidak, kerana dikatakan mempengaruhi banyak keputusan yang dibuat pimpinan PAS selama ini.



Mungkin sahaja Sdr Omar Sudi tersilap bertanya, disebabkan Dato’ Seri Dr Khir Toyo pemimpin UMNO Selangor, bukannya PAS. Bagaimanapun sebelumnya terdengar desas desus Dato’ Sri Dr Khir Toyo dikatakan mengambil inisitaif berunding dengan pihak PAS bagi mengadakan kerajaan campuran di Selangor. Kononnya, Dato’ Seri Dr Khir bersedia memberi laluan kepada Dato’ Dr Hassan Ali menduduki kerusi Menteri Besar sekalipun BN mempunyai 20 kerusi berbanding PAS 8 kerusi. Khabarnya pula Dato’ Dr Hassan akan dikenakan tindakan tata tertib apabila mendahului pimpinan Pusat membuat rundingan, di samping Dato’ Sri Dr Khir diminta lepas jawatan Pengerusi Perhubungan Selangor. Entahlah!


Tak sempat pula mahu bertanya kepada Dato’ Seri Dr Khir dalam perjumpaan itu semalam, disebabkan sumber tersebut baru saja diterima hari ini (23 Mac 2008). Dato’ Seri Dr Khir dan Dato’ Dr Hassan sekadar mahu selamatkan negeri Selangor daripada kuasa politik bukan Melayu. Sebelumnya dalam rundingan awal dikatakan pimpinan utama PAS termasuk Tuan Guru Dato’ Nik Aziz, Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang dan Dato’ Husam Musa sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada Dato’ Dr Hassan tetapi ‘KJ’ PAS yang dikatakan pro-Anwar Ibrahim menghalang keputusan tersebut. Maknanya ‘biar padan muka’ UMNO apabila Selangor terlucut kepada persepakatan baru yang memberi ruang dominasi politik kepada bukan Melayu. Heh heh heh!



TUN DR M DI MEGA MALL
MASIH GAGAH DAN BERSEMANGAT



Kira-kira jam 6.00 petang hari ini (23 Mac 2008), aktivis PRIMA Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah beritahu beliau terserempak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melintasi kawasan di Mega Mall berhampiran PWTC. Kebetulan Dato’ Dr Mohd Mansor menghantar isterinya ke PWTC bagi menghadiri satu majlis, justeru beliau berligar-ligar sahaja di Mega Mall bagi menunggu waktu majlis berkenaan selesai. Sebaik sahaja terserempak Tun Dr M, beliau sempat bertanya khabar sahaja, tetapi melihat bekas PM itu masih sihat, gagah dan bersemangat. “Memang fizikal Tun agak kurus sedikit, tetapi langkahnya masih gagah seolah-olah terus bersemangat,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


Kalau berpeluang memang Dato’ Dr Mohd Mansor mahu juga berbual-bual fasal senario politik sekarang, sebaliknya Tun Dr M sudah menuju ke kereta yang menunggu di luar. Apalagi Dato’ Dr Mohd Mansor memang terkilan dengan lanskap politik di Perak sekarang, kerana sebagai anak Perak yang lama berhijrah ke Pahang, sentimen anak negeri masih kekal di jiwanya. Katanya, parti bukan Melayu yang ‘mahu tunjuk belang’ boleh diberi mesej sekiranya BN yang mempunyai 28 kerusi bersedia bertolak ansur dengan PAS yang mendominasi 6 kerusi. Kalau benar Dato’ Seri Dr Mohd Khir bersedia korbankan kerusi MB, apa salahnya Dato’ Seri Tajol Rosli berkompromi dengan PAS. “Kalau ini berlaku mereka bukan Melayu tak berani nak tuntut jawatan itu jawatan ini dalam kerajaan negeri,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga pakar kaunseling.

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:

WANITA UMNO MASIH BELUM OK
RAFIDAH DIMINTA TAK BAWA ‘PIL KHAYAL’


Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof mengingatkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dato’ Seri Rafidah Aziz tak memberikan ‘pil khayal’ kepada Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila menyifatkan Pergarakan Wanita UMNO sekarang OK. Menurut Hajjah Fauziah, ketika Dato’ Seri Rafidah membuat kenyataan media bersama Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dato’ Shahrizat Abdul Jalil baru-baru ini mereka sekadar mahu memberi gambaran kepada Dato’ Seri Abdullah segalanya ‘ok’ seperti sebelum pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. “Kalau Pak Lah hanya mahu mendengar laporan ‘molok-molok’ sahaja, sudah tentu UMNO akan terus menangis tak berlagu,” beritahu Hajjah Fauziah.



Selama ini kata Hajjah Fauziah, Pergerakan Wanita UMNO sentiasa mengurut dada menahan sabar dengan kerenah Rafidah dan Shahrizat yang enggan menerima laporan mengenai kebobrokan dalam pimpinan Wanita UMNO di peringkat Bahagian. Mereka serahkan segala urusan kepada Perhubungan Negeri, dengan bersikap ‘seolah-olah jijik’ untuk turun menjejakkan kaki ke peringkat Bahagian yang bergolak, jelas Hajjah Fauziah selanjutnya. Sambil merujuk kepada senario di Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah lantas bertanya berapa kali Rafidah mahupun Shahrizat menemui Pergerakan Wanita Bahagian Gombak bagi meyelesaikan masalah berbangkit. “Tak ada makna Rafidah mahupun Shahrizat beritahu media Wanita UMNO ok, sedangkan majoriti pimpinan di peringkat Bahagian mengurut dada melihat gimmik mereka di TV,” ujar beliau menambah.



Menurut Hajjah Fauziah terlalu banyak kebobrokan dalam pimpinan Pergerakan Wanita UMNO di peringkat Bahagian tak sampai ke pengetahuan Dato’ Seri Abdullah, akibat kelicikan Rafidah dan Shahrizat. Katanya, pimpinan Rafidah dan Shahrizat fikir pengundi-pengundi Melayu terus mengundi BN, sekalipun segala kebobrokan itu sengaja disembunyikan bagi menyampaikan laporan yang ‘molok-molok’ kepada Dato’ Seri Abdullah. Memang pada pilihanraya 2004 segala perbuatan mereka dipendam sahaja oleh pimpinan peringkat Bahagian dengan ‘mengurut dada’, tetapi sekarang Rafidah dan Shahrizat belum berjejak di alam nyata, menurut Hajjah Fauziah. “Jangan kerana mereka berdua membawa lumpur, habis semua Wanita UMNO terpalit,” katanya.


KABINET DIANGGAP ‘DI ALAM BARZAH’
PERSEDIAAN UNTUK PERHIMPUNAN AGUNG


Susunan kabinet Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diprokalmir baru-baru ini dianggap oleh pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail sebagai ‘kabinet di alam barzah’ bagi persediaan untuk menghadapi Perhimpunan Agung UMNO di samping pemilihan pimpinan tertinggi. Memberitahu dalam satu perjumpaan dengan pengendali laman blog dan laman web di sebuah hotel di Subang semalam (22 Mac 2008) Haji Yahaya berkata, ‘kabinet di alam barzah’ jangan terlalu yakin dengan kekuatan mereka melalui laporan-laporan indah kroni dan media berkepentingan, kerana proses ‘undi tak percaya’ di Parlimen boleh menumbangkan. “Justeru Dato’ Abdullah jangan bergantung kepada ‘kabinet di alam barzah’ semata-mata, beliau perlu mencari formula lain,” beritahu Haji Yahaya.


Haji Yahaya yang juga bekas editor di Sabah Times di Kota Kinabalu pada period pentadbiran Dato’ Harris Salleh menambah, disebabkan Dato’ Seri Abdullah terlalu yakin dengan laporan-laporan indah sebelum pilihanraya 8 Mac 2008 menerusi kroni-kroni dan media berkepentingan, beliau diberi ‘pengajaran’ yang memedihkan. Kalau Dato’ Seri Abdullah masih juga ‘berseronok’ dengan ‘kabinet di alam barzah’, justeru bersedialah dengan kedudukan 140 kerusi di Parlimen yang hanya 78 sahaja UMNO, itupun termasuk di Sabah, menurut Haji Yahaya lagi. Seterusnya Haji Yahaya bersetuju UMNO menerima sahaja saranan bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad agar membentuk ‘Majlis Presiden’ bagi menasihati Presiden UMNO dalam tempoh terluka, terduka dan tercuka sekarang.



PILIHAN MENTERI ‘BUTA SEJARAH’
MENYERTAI KABINET SERBA ‘BERKELABUT’



Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menganggap Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih menteri ‘buta sejarah’ menyertai kabinet yang serba ‘berkelabut’. Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Zaid Ibrahim hari ini (23 Mac 2008) mahu mengemukakan ‘undang-undang anti-lompat’ beliau memberitahu, apabila ‘menteri buta sejarah’ dibawa menyertai kabinet, maknanya Dato’ Seri Abdullah membuat pilihan yang salah. Katanya, undang-undang anti-lompat sudah dilaksanakan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Joseph Pairin Kitingan tetapi tak berkesan. “Malah Dato’ Pairin mahu membubarkan DUN Sabah juga terganggu apabila Yang Dipertua Negeri enggan menanda tangani perisytiharan,” katanya.



Seterusnya Dato’ Kamal Amir juga berasa hairan seorang peguam berpengalaman seperti Dato’ Zaid Ibrahim, tak menyedari proses membawa usul ‘undang-undang anti-lompat’ itu tak akan berjaya dalam keadaan sekarang. Sebarang pindaan undang-undang di Parlimen tak mampu dilaksanakan sehingga pilihanraya akan datang, disebabkan BN tak mempunyai dua pertiga majoriti, jelas Dato’ Kamal Amir menambah. Serentak dengan itu Dato’ Kamal Amir menasihati Dato’ Zaid Ibrahim tak perlu memberikan laporan ‘molok-molok’ kepada Dato’ Seri Abdullah, kalau sekadar mahu mempertahan kedudukan di dalam kabinet. “Lebih baik buat kritkan yang baik bagi membolehkan Dato’ Abdullah mentadbir dengan berkesan,” kata Dato’ Kamal Amir.




INFO SASTERA & BUDAYA:



MEMPROMOSI NILAI-NILAI ASIA
KETERAMPILAN PIMPINAN DR M



Keterampilan pimpinan di samping keinginan mahu merealisasikan impian Malaysia sebagai sebuah negara industri, meletakkan Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap ‘bapa pemodenan’. Dalam tempoh 22 tahun di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, Malaysia menjadi negara industri pembuatan menerusi kejayaan program pengeluaran automobil nasional. Malah pada period Tun Dr Mahathir juga pelancaran stelit dilaksanakan, pembangunan teknologi digerakkan termasuk telefon selular, teknologi maklumat (IT) dan laluan transit ringan (LRT).


Beliau dilabel sebagai pejuang politik yang mempromosi nilai-nilai Asia yang mahukan kapitalisme autokratik iaitu menolak pendekatan individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar tidak campur tangan (laissezfaire). Memang kadangkala Tun Dr Mahathir dilihat membawa idealisme yang kontroversi, tetapi beliau mampu menggerakkan Malaysia terlalu pantas. Misalnya, sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, Tun Dr Mahathir menukar perbezaan waktu yang ketara 30 minit di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, kepada persamaan waktu yang tidak menjejaskan pentadbiran negara.



Secara historikal Tun Dr Mahathir yang terbabit dalam gerakan nasionalisme sejak menjadi aktivis pelajar di univerisiti, sekalipun ketika itu Malayan Union meledak, pembabitan beliau kurang menyerlah. Apabila Kongres Melayu Pertama digerakkan pada 1-4 Mac 1946, dua buah persatuan Melayu sahaja yang mewakili negeri Kedah iaitu ‘Kesatuan Melayu Kedah’ dan SEBERKAS. Delegasi ‘Kesatuan Melayu Kedah’ ialah Haji Hussein Che Dol (Ketua), Ayob Abdullah, Abdul Hamid Abdullah, Senu Abdul Rahman, Omar Din, Haji Mohd Rejab Darus dan Haji Salleh Shamsuddin (pemerhati). Bagi SEBERKAS pula delegasinya ialah Mohammad bin Jamil Binjal (Ketua), Haji Masaud Thaha, Azhari Taib dan Haji Omar Salleh (pemerhati).



Memang Tun Dr Mahathir tidak menyertai delegasi berkenaan, tetapi beliau antara aktivis terawal mendaftarkan diri menyertai UMNO di Kedah. Dilahirkan di sebuah rumah di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 20 Disember 1925, beliau memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum memasuki Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Pada period pendudukan Jepun, Tun Dr Mahathir terbabit berniaga cendol, membuka kedai kopi di samping menjual buah-buahan di pekan Rabu, Alor Setar. (bersambung esok).

(Dipetik dari buku ‘100 TOKOH MALAYSIA’; Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan; Kantung Network Sdn Bhd., Kuala Lumpur; 2007. Harga senaskhah ialah RM50).

SMS SAMPAI MESEJ RAKYAT
SUARA PRIHATIN SELURUH NEGARA



Gurindam SMS



Tamat sudah mimpi yang ngeri
suara rakyat harus dihormati
orang Melayu tersangatlah rugi
kerana dendam kesumat di hati
dapat kuasa lupa diri

Himpun harta & kumpul isteri
saudara mara & kroni-kroni
ingatkan berkuasa sampai ke mati
yang membangkang pun tak sedar diri
Bila marah penuh emosi
menang sorak suka hati
kampung tergadai tak siapa peduli
orang Cina bersatu hati
lalu dapat sebuah negeri
Melayu tumpang puas hati
kerana tersangatnya sakit hati
kepada UMNO tersangatnya benci
Ada empat tahun lagi
Melayu perlu baiki diri
jangan kita berpecah lagi
takut negeri tergadai lagi!

(Puisi ini disampai menerusi SMS oleh YS yang dipanjangkan dari sahabatnya).




KOMENTAR
bersama Pak Parjo



PERIHAL MEMANDA PERDANA MENTERI
DISORAK ORANG BANYAK DI TEMPAT LUMBA




Syahdan akan negeri Melayu itu diberitahu mengenai canggihnya perhubungan di dalam negeri, maka mudahlah disampaikan pesanan (kata anak cucu fakir SMS) fasal Memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi disorak-sorak orang banyak (atau di boo boo, kata anak cucu fakir) petang ini 15 Rabiulawal 1429 (seperti disebut anak cucu fakir 23 Mac 2008) ketika tiba di tempat acara perlumbaan (disebut orang litar F1). Percayalah fakir akan memanda Perdana Menteri semakin tak digemari oleh rakyat, kerana terlalu banyak diberitahu akan kesusahan orang banyak semenjak ia memerintah negeri. Gerangannya! Sebermula fakir pun berasa sedih hati juga apabila mendengar pesanan itu, kerana tak eloklah memanda Perdana Menteri diperlaku begitu.



Arakian akan memanda Bendahara Seri Wak Raja tibalah ke balairongseri, ketika pembesar-pembesar negeri selesai menjunjung duli. Akan Sultan Muzaffar tidaklah baginda sedar akan ketibaan memanda Bendahara Seri Wak Raja, disebabkan sudah lama dihadap di balairongseri masih juga memanda bendahara itu tidak muncul. Pada kasadnya memanda Bendahara Seri Wak Raja tidak sukakan dirinya menaiki takhta, kerana terlalu kasihnya bendahara kepada paduka adinda Sultan Abu Syahid yang terbunuh pada malam perebutan kuasa di istana Melaka itu. Setelah dilihat oleh memanda Bendahara Seri Wak Raja, Sultan Muzzafar masuk ke dalam apabila ia sampai di balairongseri, maka pada kasadnya sultan itu mereka. Berasa malulah memanda Bendahara Seri Wak Raja lalu balik ke rumah meminum racun, maka matilah ia meninggalkan anak-anaknya Tun Perak, Tun Kudu dan Tun Putih seperti dalam ‘Kitab Melayu’ dibacakan kepada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: