Saturday, April 12, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:


INDUSTRI BUKU TERHUTANG BUDI
MAJORITI WANITA MINAT MEMBACA


Assalamualaikum,



Kira-kira jam 10.00 pagi hari ini (11 April 2008), pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon, beritahu mengenai ‘Pesta Buku Antarabangsa’ yang masih berlangsung di PWTC sejak awal April lalu. Beliau mengakui majoriti pembeli buku ialah wanita yang memberi implikasi merekalah golongan minat membaca di kalangan masyarakat Melayu. Justeru Presiden Persatuan Industri Buku Malaysia, Haji Hassan Hamzah boleh membuat rumusan hasil ‘Pesta Buku Antarabangsa’ ini bagaimana di peringkat global juga, komuniti wanita turut mendominan industri buku. Tak hairanlah penulis wanita J.K. Rawlings mampu menjadi jutawan menerusi penulisan buku misteri siri ‘Harry Poter’ yang dianggap di luar biasa. Begitulah!


Haji Hassan bukanlah baru menceburkan diri dalam industri buku di Malaysia, malah sebelumnya sudah berkhidmat dalam profesion wartawan sejak dekad 1970-an, sama ada di Kuala Lumpur mahupun di Kuching, Sarawak. Selepas melanjutkan pengajian di luar negeri, beliau balik ke tanah air bagi melestarikan industri buku yang malap, gelap dan telap sekarang. Sebenarnya sekitar dekad 1970-an penerbit buku-buku remaja ketika itu Dato’ Dr Haji Mustapha Ton (yang juga menerbitkan majalah Variapop, Variasari dan Variafilem) sudah membuat kaji selidik. Memang beliau mengakui ‘kuasa membaca’ adalah di tangan wanita sama ada majalah mahupun buku-buku yang diterbitkannya.


Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas profesor dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM berasa kagum dengan keprihatinan wanita menjadi tenaga utama ‘kuasa membaca’, kerana setiap mereka yang memasuki dewan ‘Pesta Buku Antarabangsa’ di PWTC sudah pasti keluar membawa beg berisi buku-buku yang dibelinya. Berbeza pula dengan kalangan lelaki sekadar mundar mandir, kemudian duduk di café ‘menjadi ‘kaki temberang’ seolah-olah mengetahui semua isi dunia. Aduhai! Mereka mampu bercakap politik berjam-jam di café, tetapi takut bersuara secara terbuka mengkritik kebobrokan pentadbiran negara. Malah penyair Yassinsalleh menerusi SMS mengakui kalangan bloggers sendiri sudah mula ‘menikam dari belakang’ kawan sendiri, selepas mencium tangan heh heh heh. Tak tahulah!


Yassinsalleh bukan sahaja lebih tua daripada saya, malah beliau adalah bapa saudara saya (ayahnya ialah sepupu nenek saya), mungkin sahaja beliau tak menyedari ramai juga kalangan penulis ini dari kalangan ‘papa kedana’, ‘papa kelana’ dan ‘papa merana’. Tak semua pula mampu bertahan seperti Pak Sako, Pak Boestamam, Pak Aziz Ishak, Pak Nazar Nong, Pak Tajuddin Kahar, Pak Hasnol Hadi, Tan Sri A Samad Ismail, Pak Samad Ahmad atau sekurang-kurangnya Mamak Bandaro (Tan Sri Abdul Samad Idris) dan Tan Sri Senu Abdul Rahman. Memang Tan Sri Abdul Samad Idris mahupun Tan Sri Senu tak mengkritik secara terbuka, tetapi mereka menulis surat kepada menteri-menteri apabila mempersoal polisi kementerian. Begitulah!


-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:


BUKU 70 DALIL KU LI
PENERBIT MAHU CARI PENULIS



Langkah penerbit yang mahu mencari penulis bagi menghasilkan buku mirip ’50 Dalil’ pada 1998 dengan diberi judul ’70 Dalil Ku Li Tak Boleh Jadi Perdana Menteri’ didedahkan oleh Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Menurut beliau baru-baru ini penulis terbabit dihubungi oleh penerbit berkenaan bagi menyiapkan manuskrip buku tersebut, sekalipun Perhimpunan Agung UMNO dijangka Disember 2008. Seterusnya kata beliau, sudah tentulah ada pihak berniat jahat dalam usaha untuk menyerang Tengku Razaleigh Hamzah bagi menghalang beliau menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO. “Siapa lagi yang mahu hasilkan buku berkenaan, kalau bukan orang yang bimbang dengan penampilan Ku Li,” kata Dato’ Kamal Amir.


Bagaimanapun menurut Dato’ Kamal Amir, pihak yang mahu men’sponser’ penulisan buku itu adalah kalangan yang ‘bangkrap idea’, di samping menjadi ‘petualang bangsa’ yang mahu meneruskan legasi ‘perhambaan minda’. Kalau penaja buku berkenaan berasa ’50 Dalil’ boleh menjatuhkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, usaha berkenaan gagal kerana aura Dato’ Seri Anwar menenggelamkan kewibawaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang, beritahu Dato’ Kamal Amir. Seterusnya kata beliau lagi, disebabkan pihak terbabit ‘bangkrap idea’, justeru ianya menggunakan semula judul tersebut dengan diubahsuai iaitu ’70 Dalil Ku Li Tak Boleh Jadi PM’.



Dato’ Kamal Amir juga mendedahkan penerbit yang menawarkan penulisan buku berkenaan tersilap orang, kerana ditawarkan kepada penulis yang berprinsip. Malah katanya, beliau akan mendedahkan latar belakang penerbit terbabit sekiranya buku berkenaan diterbitkan dengan mengupah penulis lain. Setakat ini menurut Dato’ Kamal Amir, penerbit terbabit belum lagi memberikan bahan-bahan diperlukan bagi menyedia manuskrip kepada penulis yang ditawarkan sekalipun sudah seminggu berlalu. “Pihak PRIMA akan memantau penglibatan penerbit berkenaan yang sentiasa menunggu ‘sponser’, justeru pihak berkenaan akan ‘menggali kubur sendiri’ apabila menerbitkan buku tersebut,” beritahu Dato’ Kamal Amir.



SUMBANGAN ARTIKEL


Oleh: Fuad Rahim



KENAPA SEMUA MARAH PAK LAH, KJ?



KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum 12 (PRU 12),8 Mac lalu, sudah kita ketahui. Lima negeri, (baca: enam sebenarnya jika termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) terlepas ke tangan parti-parti pembangkang, PAS, DAP dan PKR.Barisan Nasional (BN) tersentak! Macam tak percaya apa yang berlaku. Sebenarnya, pembangkang juga tersentak. Tersentak pembangkang sebenarnya lebih teruk dari tersentak BN. Cuma, mereka (pembangkang) tersentak kerana menang manakala BN, tersentak sebab kalah. Ini bezanya. Mereka jadi gembira tidak keruan, BN pula, bersedih dan mula bergaduh sesama sendiri.




Bukan BN tidak pernah kalah. Bukan BN tidak pernah rasa susah. Bukan BN tidak pernah menghadapi tsunami tetapi, disebabkan tidak menduga semua ini, maka – jalan paling mudah, tuding jari menyalahkan orang itu dan orang ini.Sasaran paling utama (baca: mudah), salahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (KJ) yang didakwa menjadi penyebab kepada keputusan PRU 12 yang cukup menyedihkan!



Ada dua orang tua yang ‘belum nyanyuk’ tampil garang – mahu menunjukkan kehebatan mereka, ketika Umno dan rakan-rakan lain dalam BN tercari-cari sebab dan penyebab kekalahan di lima buah negeri ini, sekaligus hilang majoriti 2/3 di Parlimen.Kedua-dua orang tua ini, seorang bekas Perdana Menteri, 22 tahun memerintah kononnya pencipta KLCC, KLIA dan Menara Kuala Lumpur – terus menerus mendesak supaya PM berundur bagi memikul tanggungjawab terhadap keputusan PRU 12.



Persoalannya – wajarkah dia yang sering dilukiskan sebagai seorang yang mempunyai ‘hidung tinggi’ melakukan desakan ini? Apakah kerana anaknya, hanya menjadi Anggota Parlimen biasa, tanpa sebarang jawatan – paling tidak Setiausaha Parlimen – post yang sudah dimansuhkan menjadi penyebab kepada serangan-serangannya ini?Tidak adakah sedikit pun kesalahan dan kesilapan yang dia lakukan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, dan kesannya diluahkan pengundi dalam PRU 12 yang lalu, dengan menolak BN?



Tidak insafkah dia dengan apa yang dia lakukan terhadap sistem kehakiman, mencampuri urusan BPR yang dihalang menyiasat seorang ‘orang besar di EPU’, buang tiga Timbalan Perdana Menteri, buang ramai Menteri, Timbalan Menteri dan pecat orang sesuka hati – termasuk menahan mereka dalam ISA?Baik sungguhkah bekas Perdana Menteri ini? Tidak ada apa-apakah yang dia buat untuk selamatkan perniagaan anak-anaknya? Anak-anaknya ‘bersih’? Bersih dari menggunakan namanya ketika ‘mengaut dan memunggah kekayaan’ ketika dia berkuasa dahulu?



Kenapa Pemuda Umno di cawangan-cawangan dalam Bahagian Kubang Pasu menolaknya menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian dalam pemilihan yang lalu? Tentulah ada sebabnya. Anggota Umno, sama ada yang muda, dewasa atau sudah tua – cukuplah dipermain-mainkan orang tua yang ‘belum nyanyuk’ ini. Baca balik buku tulisannya yang pernah diharamkan dalam era Almarhom Tunku Abdul Rahman Putra – Malay Dilemma, betapa dia menghina orang-orang Melayu.



Apakah dalam era kepimpinan dia dahulu tidak ada demontrasi jalanan? Apakah dalam era kepmpinan dia dulu, tidak ada tunjuk perasaan? Adakah dalam era kepimpinan dia dulu, negara kita Malaysia bersih dari amalan rasuah?Sudah betullah kalau Perdana Menteri meminta, seorang lagi orang tua yang tak habis-habis berangan-angan nak jadi Perdana Menteri, sejak 1987 – cerminkan muka dahulu. Sepatutnya, PM Abdullah juga meminta bekas Perdana Menteri yang sudah sepatutnya duduk beribadat kepada Allah, cerminkan muka dahulu.



Satu masalah paling besar yang dihadapi mereka berdua ini – orang-orang tua yang boleh dianggap sebagai ‘taksub kepada fikiran dia sendiri’. Kalau perasaan sedih tak apa, yang susahnya ‘perasan sedih’. Perasaan dengan perasan adalah dua perkara yang berbeza. Jauh sangat bezanya.Tepat kata Anggota MT, Datuk Seri Syed Hamid Albar, bekas Perdana Menteri ini sudah sepatutnya menghentikan kerja-kerja mengganggu Perdana Menteri.



Datuk Ahmad Zahid Hamidi pula menegur bekas Perdana Menteri ini sebagai ‘gila talak politik’.
Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula menyifatkan dia sebagai ‘terlalu kebal’.Tidak cukup dengan membelasah Perdana Menteri, kedua-dua orang tua yang belum boleh dianggap nyanyuk ini – seorang bekas Perdana Menteri dan seorang lagi masih berangan-angan nak jadi Perdana Menteri turut menjadikan Khairy Jamaluddin sebagai sasaran.



Kononnya, Khairy masih mentah. Berapa umur orang tua yang tidak dapat menewaskan Presiden Umno dalam pertandingan tahun 1987 ketika mula-mula bertanding dahulu? Berapa umur dia ketika dilantik di Petronas dahulu? Kalau bekas Perdana Menteri yang memerintah 22 tahun betul-betul nampak, kawannya itu berguna, kenapa dia tidak lantik seperti dia lantik Datuk Seri Rais Yatim jadi Menteri dalam era kepimpinannya dahulu.



Inilah sebenarnya kerja Allah – yang kita tidak dapat membacanya. Bila sudah terasa bersalah, kita nak salahkan orang lain pula.Orang-orang Umno, jangan terus terpedaya dengan permainan yang tidak ada faedahnya kepada bangsa Melayu yang masih memerlukan pembelaan dari pelbagai sudut, ekonomi, pelajaran dan pembangunan.Perdana Menteri boleh teruskan agenda negara. Bangunkan modal insane. Memang ada harga yang perlu dibayar. Jangan pedulikan pengacau. Kerja-kerja pengacau ini adalah kerja syaitan dan iblis.

KECUH UMNO / BN
AHLI & RAKYAT DITUBA

PRU 12 telah berlalu. Banyak yang dapat dimanfaatkan dari peristiwa sejarah 8 Mac 2008 itu. Terutamanya pada mereka yang selama ini berfikiran mudah. Mudah jaga rakyat. Mudah jaga orang susah. Mudah jadi Wakil Rakyat. Mudah jadi ahli politik. Semuanya mudah bagi si pemudah. Lalu yang mudah menjadi payah dan goyah! BN tak dapat 2/3 majoriti Parlimen. Rakyat pula sudah beralih angin. Cerita tentang kemajuan bangunan tinggi mencakar langit. Cerita tentang puluhan pusat pengajian tinggi. Cerita tentang letrik / air paip / jalan raya / balai raya / tanah kubur yang disalurkan pada rakyat hanya cerita lapuk. Rakyat sudah tahu untuk mereka dan keturunan mereka ke pusat pengajian tinggi terbeban dengan hutang. Ini namanya hutang berketurunan.
Rakyat biasa Malaysia satu masa yang terdekat akan menjadi rakyat yang berhutang. Anak-anak orang tertentu yang banyak mengecap laba melalu DEB (tak ramai!) sahaja yang akan terlepas dari berhutang kerana mereka lebih dari kemampuan membiayai keturunan mereka dari kerja mudah mempergunakan rakyat dalam skim subsidi di masa-masa tertentu terutamanya menjelang tahun hampir pilihanraya umum. Rakyat sebenarnya sedang menilai tentang kemampuan kerajaan 50 tahun merdeka (BN) untuk menselesakan kos kehidupan mereka. Harga petrol / harga barangan keperluan / yuran pendidikan (tak mahu berdolak dalik) dari bawah hingga ke menara gading / tempat tinggal termasuk tanah bermilik untuk diwarisi. Kerana itu PRU 12 mereka menolak di beberapa negeri kaya dalam Negara ini dari ditadbiri oleh BN. Lantas pemimpin BN pun menggelupur. Bagaikan ikan dalam lukah yang mulai kekeringan air.
Rakyat mulai melihat apa yang selama ini BN tak buat. Kalau buat pun bagaikan melepas batuk di tangga sahaja. Kerana mereka berfikiran mudah untuk mentadbiri rakyat cukup dengan cakap-cakap / janji-janji / hulur sikit-sikit subsidi. Lantas itu untuk jangan rakyat terutamanya ahli-ahli parti komponan BN beralih arah. Maka diwujudkan berbalah sama sendiri agar yang berpaling menoleh kembali. Yang nak lari berhenti. Yang keluar masuk balik. Yang melatah dah diam. Yang tak sokong dah mula mencari tempat untuk menyokong. Yang mengutuk dah cium tangan. Ahli-ahli komponan BN yang tak suka Pak Lah / Najib menangguhkan lari sekarang kerana Dr. M / Ku Li ada menentang Yang tak suka Khairi menangguhkan lari atau lompat parti kerana Mukhriz / Khir Toyo dah ke depan.
Begitu jugalah sebaliknya. Ertinya apa guna lari atau lompat parti sedangkan rasa tak puas hati ada juara yang menyuarakannya. Tak payah tunggu PKR / DAP / PAS. Bila keadaan sudah reda bagai kata pepatah bidok lalu kiambang bertaut. Berbaiklah kembali mereka setelah semua pekong dalam hati perut masing-masing dibongkar untuk umpan / santapan ahli-ahli yang tak tahu apa itu politik orang yang berpolitik subsidi. Rakyat yang tak tentu arah tuju kembalilah mengikut telunjuk pemimpin dan lupalah apa yang mereka selama ini tidak puas hati kerana diharu-birukan dengan suasana perebutan kerusi pimpinan. Ahli-ahli sudah bagaikan ikan dalam lubuk terpinga-pinga kena tuba perebutan yang dirancang untuk pulihkan kekuatan UMNO / BN. Yang menang atau kalah dalam perebuatan itu terus bersama membuncitkan pundi-pundi ekonomi mereka / keturunannya sambil ketawa berdekah-dekah di belakang tirai setelah bersendiwara dengan ahli UMNO / BN / Rakyat.

NGAH UDA: Tak kan pening. Biasa hidup susah makan umbut pinang malan.



INFO SATERA & BUDAYA:



KEBERANGAN SASTERAWAN NEGARA
DEDAHKAN KEBOBROKAN TADBIR DBP


Sasterawan Negara Dato’ A Samad Said masih sukar menyembunyikan keberangan terhadap kebobrokan pentadbiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hingga terpaksa juga mendedahkan kepada media. Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengulas laporan media hari ini (11 April 2008) apabila Dato’ A Samad Said sukar berkompromi dengan layanan DBP (yang diberi tugas menjaga kebajikan SN), hingga karya-karyanya dipinggirkan. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, sebelum ini dilaporkan hasil penulisan SN Profesor Emeritus Dato’ Haji Shahnon Ahmad juga dipendamkan hampir lima tahun oleh DBP. “Kalau kebobrokan di DBP tak dihapuskan, pihak DBP tak layak lagi menjadi sekretariat pemilihan SN,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.


Seterusnya beliau menambah, sekiranya DBP tak bersedia menjadi sekretariat ianya lebih baik dipindahkan ke IPTA, malah tenaga panel penilai SN juga lebih ramai di IPTA bagi melaksanakan tugas berkenaan. Dalam laporan media hari ini, Dato’ A Samad Said yang terbabit mengendalikan gerai beliau di Pesta Buku Antarbangsa di PWTC melahir rasa terkilan dengan pentadbiran DBP yang tak menjawab surat beliau yang meminta menarik balik hakcipta karyanya di DBP. Apalagi surat beliau ditujukan kepada Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr Firdaus Abdullah, yang juga kenalan baik beliau dalam gerakan penulis. “Kalau SN seperti Dato’ Dr A Samad Said tak dilayan, bagaimana pula dengan penulis-penulis lain yang bukan berstatus SN,” ujar beliau selanjutnya.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


JUMLAH WANG DIBAWA KELUAR
TERLALU BESAR DARIPADA BIASA!


Sekali persetua disuratkan orang banyak akan kejadian di pangkalan negara (atau kata anak cucu fakir Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur) semalam (3 Rabiulakhir 1429 atau 10 Mac 2008), menyebabkan orang-orang Temenggung (adapun ianya pada masa sekarang disebut orang ‘Polis Di Raja Malaysia’) berasa terkejut. Adapun jumlah wang yang dibawa keluar di pangkalan itu terlalu besar daripada kebiasaannya iaitu 1.5 juta wang Singapura (S$) atau kira-kira 3.45 juta wang Malaysia (RM). Arakian fakir diberitahu perihal itu seakan-akan kejadian yang berlaku di Australia beberapa tahun lalu yang membabitkan memanda Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Maka diberitahu kepada hamba rakyat hina dina sekalian memanda Menteri Besar itu tak tahu berbahasa orang putih, menyebabkan kurang arif ia akan undang-undang di negeri orang, adanya.



Syahdan pada masa sekarang dikatakan orang memanda menteri itu kononnya turut mengagih-agihkan wang di kementeriannya untuk ketua-ketua kampung di negeri Perak. Tak tahulah fakir sama ada ianya mengikut undang-undang atau tidak, kerana ketua-ketua kampung itu diletakkan di bawah kerajaan negeri, gamaknya. Sebermula berlaku dalam negeri Melaka itu kecurian, menyebabkan rakyat jelata menjadi takut akan kehilangan harta benda mereka. Maka oleh Sultan Alauddin Riayat Shah dikeluarinya bersama dua orang pengawal, lalu dibunuh pencuri yang bermaharajalela. Setelah diberitahu kepada Temenggung Seri Maharaja (Tun Mutahir) akan baginda sendiri mengeluari pencuri itu, maka berkawallah ia bersungguh-sungguh. Arakian siapa sahaja berjalan malam akan dibunuh oleh Temenggung. Maka seorang pencuri diparang oleh Temenggung tangannya lalu putus hingga tersangkut pada alang kedai seperti disebut:






HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: