Sunday, March 8, 2009

DARI LAMAN BLOG

AKTIVIS BAHASA SEDIA BERJUANG
DENGAN KERINGAT DAN AIR MATA



Assalamualaikum,



Aktivis budaya di Lancang, Pahang L Mankadir Shamsi bertolak ke Kuala Lumpur selepas subuh semalam (7 Mac 2008), dengan berpesan kepada anaknya kalau beliau tak balik, baju-t ‘Mansuh PPSMI’ akan dikirim kepada saya. Baju berkenaan tak perlu dibasuh (biarkan dengan kesan peluhnya), bagi membuktikan kepada Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussin, beliau akan perjuangkan isu Bahasa Melayu dengan ‘keringat’ dan ‘air mata’ bangsa. Begitulah! Beliau juga enggan menerima pandangan saya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tak perlu dipersalahkan sekalipun PPSMI adalah idea beliau.

Tun Dr Mahathir sudah melepaskan jawatan sejak Oktober 2003, justeru dalam tempoh lima tahun, Hishamuddin mahupun UMNO boleh mansuhkan dengan tak perlu bersyarat. Mankadir tetap dengan pendiriannya, Tun Dr Mahathir menyebabkan segala kekalutan sekarang berlaku. Apabila saya jelaskan Tun Dr Mahathir pernah meminta maaf ketika pertemuan dengan PRIMA, sekiranya pentadbiran beliau menyebabkan Malaysia berserabut, tetapi Mankadir tetap berkeras menyalahkan Tun Dr Mahathir. Malah beliau percaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak akan menerima kredit, apabila mansuhkan PPSMI selepas Perhimpinan Agung UMNO nanti.


Najib mahu menjadi ‘hero Melayu’ dengan menggunakan isu PPSMI, malah tak berasa hairan sekiranya immuniti raja-raja Melayu dipulihkan. Bagaimanapun PRIMA sudah memulakan isu Bahasa Melayu dan immuniti raja-raja Melayu, ketika Najib umumkan bahasa rasmi negara ialah ‘Bahasa Malaysia’ pada Jun 2007. Satu memorandum dihantar kepada semua raja-raja Melayu dan pemimpin-pemimpin politik Melayu menerusi pos ekspress, apabila sukar sangat membuat temu janji. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menerusi Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz bersetuju dengan memorandum berkenaan. Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi Omar Jaafar memberi jaminan akan meneliti memorandum tersebut.


Institusi istana di Negeri Sembilan melalui Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau juga memberi jaminan akan menyampaikan memorandum tersebut ke Dewan Keadilan Negeri Sembilan. Maknanya, memorandum menuntut Bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia) adalah bahasa rasmi negara dan pemulihan semula immuniti raja-raja Melayu sudah disampaikan kepada raja-raja Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu, sebelum Tan Sri Annuar Musa bersuara hari ini (8 Mac 2009). PRIMA sudah mendahului Tan Sri Annuar sejak Jun 2007, dan 7 Mac 2009 kemuncaknya yang digerakkan oleh Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) pimpinan Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dato’ Dr A Samad Said dan aktivis-aktivis bahasa dan sastera. Alhamdullillah.


Bagaimanapun Mankadir bersama rakan-rakannya yang menjadi wartawan pengasas HARAKAH bersama Dato’ Nakhaie Ahmad sekitar dekad 1980-an dulu iaitu Mat Radzi, Ali Madun dan Mohd Zain singgah ‘teh tarik’ dulu di Taman Seri Gombak. Sebelum bertolak ke Masjid Negara, beliau memberitahu PPSMI memang mempunyai unsur-unsur tertentu berkaitan dengan peruntukan pengurusan yang dipertahankan oleh pendukung-pendukungnya. Justeru Mankadir memberitahu, kalau dalam tempoh sebulan UMNO/BN tak memansuhkan PPSMI, beliau mahukan gerakan mansuhkan PPSMI akan diteruskan. Insya Allah!

-Pak Dharma.

No comments: