Tuesday, March 17, 2009

Luahan rasa Dato' Kamal Amir...

Agihan 200 Permit AP Dipersoal:
Pembersihan Yang Mudah Ditafsir

Dato' Seri Mohd Ali Rustam calon Timbalan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung 24-28 Mac 2009 ini, diisytihar tak berkelayakan bertanding petang ini (17 Mac 2009) oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin Ismail. Sumber yang rapat dengan pimpinan UMNO mengakui, Ali Rustam sudah diberi jaminan tak akan diambil sebarang tindakan, sekiranya menerima keputusan Jawatankuasa Disiplin dan tak mempersoalkan apa-apa berikutan keputusan berkenaan. Mungkin sahaja Ali Rustam dianggap pro Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti insiden Dato' Seri Azalina Osman Said yang diserbu pejabatnya oleh SPRM atau Khairy Jamaluddin yang diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin.

Bagaimanapun desas desus sudah lama kedengaran berkaitan calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO mengagihkan 200 permit AP kepada anak pimpinan yang mempunyai kaitan dengan Jawatankuasa Disiplin. Sehingg sekarang tak didedahkan siapa pemberi permit AP, dan anak pimpinan yang mempunyai kaitan dengan Jawatankuasa Disiplin itu. Sekalipun Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dalam kenyataan kepada media petang ini (17 Mac 2009) mahu melakukan pembersihan di dalam UMNO, tetapi adalh dibimbangkan pmmbersihan sekadar 'membalas dendam'. Kalau pada 2004 Tan Sri Isa Samad (dikatakan pro Najib) dikenakan tindakan, justeru pada kali ini Ali Rustam (atau pro Pak Lah) pula menerima risikonya.

Tengku Ahmad Rithauddin akan dipersoal kalau tindakan jawatankuasanya mempunyai unsur-unsur tak sihat. Isu 200 permit AP juga terus menghantui penyokong-penyokong UMNO di peringkat akar umbi, kerana kementerian tertentu sahaja yang boleh memberikan permit tersebut. UMNO akan kembali kepada gelora 1987 apabila wujud 'A Team' dan 'B Team', malah berakhir dengan tragedi diharamkan di mahkamah. Berikutan tragedi itu sistem kehakiman dipersoalkan, menyebabkan kerajaan menanggung beban pada 2008 dengan membayar pampasan kepada hakim-hakim yang diberhentikan ketika krisis 1987. Dalam tempoh 22 tahun pada 2009, UMNO sedang menunggu hari-hari terakhir selembar sejarah...!

(*Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz ialah bekas Exco Pemuda UMNO sekitar dekad 1980-an, dan pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Melayu dan Ketua Editor Karangkraf yang menerbitkan akhbar Bacaria dan lain-lain penerbitan. Sekarang beliau adalah usahawan yang terbabit dalam beberapa perniagaan).

No comments: