Monday, May 4, 2009

MEMINTA MANDAT RAKYAT

Pilihanraya kecil di Penanti:
Menyusul lagi satu demi satu?

Pilihanraya kecil di DUN Penanti, Pulau Pinang 31 Mei 2009 adalah meminta mandat rakyat bagi menuntut pembubaran DUN Perak. Pihak mana akan mencapai kemenangan tak penting, tetapi mesejnya adalah jelas kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak kuasa rakyat diperlukan dalam proses demokrasi. Langkah BN memanipulasi kuasa institusi istana ditolak oleh kuasa rakyat pada pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Selambau. Isu meminta mandat rakyat sudah dilestarikan pada dekad 1960-an apabila ADUN dan Ahli Parlimen Parti Buroh meletak jawatan satu demi satu bagi membolehkan pilihanraya kecil.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Parti Buroh kawasan Batu, Tan Sri Dr Tan Chee Khoon (gambar) menolak resolusi partinya, justeru menubuhkan Parti Gerakan bersama Tun Dr Lim Chong Eu, Prof Dr Syed Hussein al-Attas, V David, V Veerapan dan lain-lain. Pilihanraya kecil berkenaan dimenangi oleh calon Parti Perikatan (sekarang BN) yang menunjukkan mandat rakyat bri sokongan kepada pimpinan UMNO. Tetapi rentetan pilihanraya kecil dengan mesejnya 'demokrasi sudah mati' memberi impak kepada keputusan pilihanraya 1969. Heh heh heh!

Pada dekad 1980-an juga plihanraya kecil digerakkan satu demi satu bagi mendesak Parlimen dibubar, dengan caln Bebas Dato' Shahrir Samad sahaja menang di Johor Bahru. Di kawasan lain termasuk Parlimen Ampang Jaya dimenangi BN, sekalipun Bebas meletakkan Dato' Harun Idris (gambar). Justeru apabila Parlimen dibubar pada 1990, UMNO/BN masih mampu meneruskan dominasi mengatasi majoriti dua pertiga. Berikutan dengan kemenangan demi kemenangan ini UMNO dan komponen BN meneruskan kepongahan, keperongosan dan kebobrokan, apalagi turut menghapuskan 'kekebalan raja-raja'.

Nah, sekarang ketika 'kekebalan raja-raja' sudah diperlekehkan, kembalilah kepada mandat rakyat. Selepas DUN Penanti, barangkali menyusul pula satu demi satu perletakan jawatan yang membolehkan pilihanraya kecil satu demi satu seperti keperihalan dekad 1960-an dan 1980-an. Di Selangor khabarnya sudah disebut-sebut akan berlaku pilihanraya kecil, mungkin juga di Perak, mungkin juga di negeri lain. Manalah tahu! Rumusannya lebih wajar dibubarkan sahaja DUN Perak, bagi penyelesaian yang sempurna iaitu menyerahkan semula kepada mandat rakyat. - Pak Dharma

No comments: