Saturday, June 20, 2009

analitikal mohd affandi hassan...

TIDAK ADA PERPECAHAN, HANYA
PERBEZAAN PENDAPAT DAN PILIHAN

Terlalu banyak yang bodoh-bodoh yang diucapkan oleh ahli politik Melayu sekarang. Misalnya, seorang ketua UMNO dari Johor, yang menjadi Ketua Penerangan UMNO, memecahkan Melayu kepada lima puak. Itu hanya pandangan beliau yang tidak berasas. Dengan pendapat tidak berasas itu, maka orang Melayu dipecahbelahkan tak fasal-fasal, hanya untuk memuaskan nafsu ketua UMNO yang mahu melihat orang Melayu berpecah.

Cara berfikir kuno begini tidak membantu persaudaraan Melayu yang memang rosak setelah dikelirukan oleh ketua-ketua UMNO yang mahu melihat orang Melayu berpecah untuk memastikan UMNO bersatu. Lebih realistik jika kita berkata masih terdapat semangat kenegerian yang sangat tebal, terutama sekali di Johor, Melaka, Negeri Sembilan. Kelantan dan Terengganu telah membuktikan tidak ada semangat kenegerian sempit demikian, dengan menerima tokoh-tokoh di luar Kelantan untuk bertanding di Kelantan misalnya, untuk memastikan mereka menang.

Belum tentu Timbalan Presiden PAS yang dimarahi Tok Guru Nik Aziz akan menang jika bertanding di tempat sendiri. Sebagai parti yang seronok memecahbelahkan orang Melayu, UMNO tidak boleh mengemukakan apa-apa bukti yang telah dibuktikan oleh Kelantan dan Terengganu. Sepatutnya inilah fakta yang perlu diketengahkan, diberitahu berkali-kali kepada Melayu lain-lain tempat bahawa melalui persaudaraan Islam, seseorang boleh bertanding dalam pilihan raya di mana-mana saja.

Tetapi UMNO tidak mahu, malah dengan keras dan bongkak selalu memutuskan hanya anak tempatan yang layak bertanding di tempat sendiri. Jadi dengan itu rakyat dipaksa berfikiran sempit dengan semangat berpuak-puak yang sangat tebal, semuanya untuk faedah UMNO. Oleh itu UMNO tidak layak bercakap tentang perpaduan dan perpecahan Melayu, kerana rekod mereka sangat buruk. Mereka telah membuktikan betapa palsunya makna perpaduan yang mereka selalu gembar-gemburkan.

Mereka, orang-orang UMNO ini, harus diberi pendidikan politik yang lebih baik dan objektif berasaskan akal sihat supaya dapat membezakan antara perpaduan dengan perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat tidak bermakna tidak ada perpaduan dalam sesebuah negara. Dari segi tabiinya manusia mesti berbeza pendapat, tetapi mereka bersatu seperti yang ditunjukkan oleh imam-imam besar dalam Islam. Perbezaan pendapat antara mereka dan pengikut mereka adalah rahmat. UMNO yang tidak faham Islam atau yang faham Islam secara menyeleweng tidak akan faham prinsip Islam ini.

Oleh itu dengan lantang UMNO memaksakan faham salahnya ke atas rakyat, maka perbezaan pilihan dan pendapat tidak lagi diterima sebagai hak manusia dan hak rakyat yang penting, tetapi mesti dikekang untuk memastikan UMNO sentiasa menang walaupun sudah tidak relevan lagi. Dalam konteks inilah UMNO secara sengaja atau tidak sengaja menolak perbezaan pendapat dengan alasan perbezaan itu menghalang perpaduan.
Dalam konteks inilah para pemimpin UMNO merasakan diri mereka lebih tinggi daripada Islam, oleh itu mereka tidak mahu merujuk perbezaan pendapat kepada Al-Quran dan Sunah, tetapi memilih untuk kembali kepada Perlembagaan Negara yang mereka buat sendiri. Dalam konteks inilah terasa sangat aneh dan pelik apabila PAS, sebuah parti Islam, mengajukan cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan untuk membela Melayu.

Hanya akhir-akhir ini saja, setelah diasak, baru ada yang berkata kerajaan perpaduan itu berasaskan Islam dan hukum Islam (undang-undang Islam). Adakah itu benar? UMNO tidak percaya, sebaliknya masih mendesak supaya PAS menjelaskan maksud kerajaan perpaduan itu. Siapakah di antara dua jenis parti nasionalis ini yang bermain politik? Apakah yang membuat PAS lebih percayakan UMNO daripada Pakatan Rakyat? Jawapannya cukup mudah: PAS pada dasarnya adalah sebuah parti nasionalis agama yang meletakkan Melayu pada kedudukan utama, dengan Islam pada kedudukan kedua.

Dengan itu PAS dan UMNO pada hakikatnya satu parti yang mempunyai dua nama, mewakili dua kelompok orang Melayu: satu mewakili Melayu bukan berpendidikan agama, yang satu lagi mewakili Melayu berpendidikan agama. Kedua-duanya berjiwa Melayu, dengan meletakkan agama di tempat kedua. Oleh itu apabila PAS mengemukakan kerajaan perpaduan kepada UMNO, maka yang tersirat di dalam hati PAS ialah jiwa Melayu yang kuat, yang tidak mahu melihat Melayu hilang kuasa di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Perak dan Selangor boleh diselamatkan jika PAS dan UMNO bersetuju membentuk kerajaan perpaduan. Dengan logik itu, maka PAS memikat UMNO untuk bersatu. Sedar tidak sedar, PAS masuk ke dalam jerat UMNO yang ditahan (maksudnya dipasang) oleh PAS sendiri. Itulah yang cantiknya dalam peristiwa menarik politik Melayu yang terumbang ambing masih mabuk PRU 12 yang merugikan Melayu itu. Tetapi dengan mengemukakan kerajaan perpaduan, PAS tidak menyelesaikan masalah, malah menjadikan masalah Melayu itu lebih kusut, terutama di kalangan penyokong di peringkat bawah. Demikianlah buruknya strategi pemimpin PAS yang membuat Nik Aziz sangat marah.

Dalam hal ini Nik Aziz berada di pihak yang benar. Tetapi risikonya beliau mungkin dipecat dari PAS dan jawatan MBnya akan terlucut. Beliau mungkin dimalukan di Manek Urai apabila APAS akan memberi kemenangan mudah kepada UMNO untuk memalukan Nik Aziz dan bermuka-muka dengan Najib Tun Razak untuk menaikkan imejnya. Untuk membuktikan PAS jujur. Tetapi masalahnya, jika UMNO memang, mereka akan berkata bahawa kemenangan itu membuktikan PAS tidak mempunyai pengaruh lagi di kalangan orang Melayu. Itulah sepak terajang politik: kejujuran tidak pernah menjadi perhitungan.

Dalam apa juga strategi politik, hanya pihak yang berkuasa dan kuat saja yang menentukan perubahan yang mereka kehendaki. Pihak yang lemah tidak akan mendesak pihak yang kuat untuk melakukan perubahan. Sekarang PAS dalam keadaan kelam kabut, dan dalam keadaan beginilah UMNO menyindir PAS dengan tajam sekali, sambil menegaskan PAS boleh mengemukakan apa syarat yang mereka mahu, apa perkara yang mereka ingin bincang, UMNO akan turut. Tidakkah itu satu cara terang-terangan mengajak PAS naik kapal yang telah dihanyutkan oleh Perikatan bila mereka jadi Barisan Nasional, untuk menghanyutkan PAS ke Laut Kalzum? - [20/6/2009] Mohd. Affandi Hassan

No comments: