Sunday, March 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


PAS TOLAK JADI MB SELANGOR
KELIBAT KJ MENJELMA DI MANA-MANA


Assalamualaikum,


Sebelum ke majlis perkahwinan anak rakan lama di Padang Balang, Gombak sempat juga saya ke rumah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan di Selayang hari ini (23 Mac 2008). Beliau juga mahu ke Pahang beberapa hari bersama Ketua UMNO Bahagian Gombak Dato’ Ahmad Bujang untuk berihat setelah kekecewaan dengan kekalahan teruk di Parlimen pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Kata Omar Sudi, pengalaman selepas pilihanraya 1999 boleh membantu insiden kekalahan pada 2008 ini, iaitu semua pihak dalam UMNO perlu kembali bersatu di samping bekerja kuat. Bagaimanapun beliau mengaku kekalahan pada pilihanraya kali ini lebih terasa menyakitkan hingga sekarang masih menanggung implikasi ‘mimpi ngeri’nya.



“Saya nak ke Pahang beberapa hari untuk tenangkan fikiran bersama Dato’ Ahmad Bujang,” beritahu Sdr Omar Sudi. Memang pada pilihanraya baru-baru Dato’ Ahmad gagal mempertahankan DUN Hulu Kelang kepada calon PAS, Shaari Sungip. Aduhai! Bagaimanapun saya difahamkan bukan sahaja UMNO berhadapan dengan kelibat ‘KJ’ (Khairy Jamaluddin), malah PAS juga turut diganggu kelibat KJ (Kamaruddin Jaafar). Justeru Sdr Omar Sudi bertanya sama ada dalam perjumpaan dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo semalam (22 Mac 2008) saya bangkitkan isu KJ dalam PAS atau tidak, kerana dikatakan mempengaruhi banyak keputusan yang dibuat pimpinan PAS selama ini.



Mungkin sahaja Sdr Omar Sudi tersilap bertanya, disebabkan Dato’ Seri Dr Khir Toyo pemimpin UMNO Selangor, bukannya PAS. Bagaimanapun sebelumnya terdengar desas desus Dato’ Sri Dr Khir Toyo dikatakan mengambil inisitaif berunding dengan pihak PAS bagi mengadakan kerajaan campuran di Selangor. Kononnya, Dato’ Seri Dr Khir bersedia memberi laluan kepada Dato’ Dr Hassan Ali menduduki kerusi Menteri Besar sekalipun BN mempunyai 20 kerusi berbanding PAS 8 kerusi. Khabarnya pula Dato’ Dr Hassan akan dikenakan tindakan tata tertib apabila mendahului pimpinan Pusat membuat rundingan, di samping Dato’ Sri Dr Khir diminta lepas jawatan Pengerusi Perhubungan Selangor. Entahlah!


Tak sempat pula mahu bertanya kepada Dato’ Seri Dr Khir dalam perjumpaan itu semalam, disebabkan sumber tersebut baru saja diterima hari ini (23 Mac 2008). Dato’ Seri Dr Khir dan Dato’ Dr Hassan sekadar mahu selamatkan negeri Selangor daripada kuasa politik bukan Melayu. Sebelumnya dalam rundingan awal dikatakan pimpinan utama PAS termasuk Tuan Guru Dato’ Nik Aziz, Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang dan Dato’ Husam Musa sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada Dato’ Dr Hassan tetapi ‘KJ’ PAS yang dikatakan pro-Anwar Ibrahim menghalang keputusan tersebut. Maknanya ‘biar padan muka’ UMNO apabila Selangor terlucut kepada persepakatan baru yang memberi ruang dominasi politik kepada bukan Melayu. Heh heh heh!



TUN DR M DI MEGA MALL
MASIH GAGAH DAN BERSEMANGAT



Kira-kira jam 6.00 petang hari ini (23 Mac 2008), aktivis PRIMA Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah beritahu beliau terserempak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melintasi kawasan di Mega Mall berhampiran PWTC. Kebetulan Dato’ Dr Mohd Mansor menghantar isterinya ke PWTC bagi menghadiri satu majlis, justeru beliau berligar-ligar sahaja di Mega Mall bagi menunggu waktu majlis berkenaan selesai. Sebaik sahaja terserempak Tun Dr M, beliau sempat bertanya khabar sahaja, tetapi melihat bekas PM itu masih sihat, gagah dan bersemangat. “Memang fizikal Tun agak kurus sedikit, tetapi langkahnya masih gagah seolah-olah terus bersemangat,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


Kalau berpeluang memang Dato’ Dr Mohd Mansor mahu juga berbual-bual fasal senario politik sekarang, sebaliknya Tun Dr M sudah menuju ke kereta yang menunggu di luar. Apalagi Dato’ Dr Mohd Mansor memang terkilan dengan lanskap politik di Perak sekarang, kerana sebagai anak Perak yang lama berhijrah ke Pahang, sentimen anak negeri masih kekal di jiwanya. Katanya, parti bukan Melayu yang ‘mahu tunjuk belang’ boleh diberi mesej sekiranya BN yang mempunyai 28 kerusi bersedia bertolak ansur dengan PAS yang mendominasi 6 kerusi. Kalau benar Dato’ Seri Dr Mohd Khir bersedia korbankan kerusi MB, apa salahnya Dato’ Seri Tajol Rosli berkompromi dengan PAS. “Kalau ini berlaku mereka bukan Melayu tak berani nak tuntut jawatan itu jawatan ini dalam kerajaan negeri,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga pakar kaunseling.

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:

WANITA UMNO MASIH BELUM OK
RAFIDAH DIMINTA TAK BAWA ‘PIL KHAYAL’


Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof mengingatkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dato’ Seri Rafidah Aziz tak memberikan ‘pil khayal’ kepada Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila menyifatkan Pergarakan Wanita UMNO sekarang OK. Menurut Hajjah Fauziah, ketika Dato’ Seri Rafidah membuat kenyataan media bersama Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dato’ Shahrizat Abdul Jalil baru-baru ini mereka sekadar mahu memberi gambaran kepada Dato’ Seri Abdullah segalanya ‘ok’ seperti sebelum pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. “Kalau Pak Lah hanya mahu mendengar laporan ‘molok-molok’ sahaja, sudah tentu UMNO akan terus menangis tak berlagu,” beritahu Hajjah Fauziah.



Selama ini kata Hajjah Fauziah, Pergerakan Wanita UMNO sentiasa mengurut dada menahan sabar dengan kerenah Rafidah dan Shahrizat yang enggan menerima laporan mengenai kebobrokan dalam pimpinan Wanita UMNO di peringkat Bahagian. Mereka serahkan segala urusan kepada Perhubungan Negeri, dengan bersikap ‘seolah-olah jijik’ untuk turun menjejakkan kaki ke peringkat Bahagian yang bergolak, jelas Hajjah Fauziah selanjutnya. Sambil merujuk kepada senario di Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah lantas bertanya berapa kali Rafidah mahupun Shahrizat menemui Pergerakan Wanita Bahagian Gombak bagi meyelesaikan masalah berbangkit. “Tak ada makna Rafidah mahupun Shahrizat beritahu media Wanita UMNO ok, sedangkan majoriti pimpinan di peringkat Bahagian mengurut dada melihat gimmik mereka di TV,” ujar beliau menambah.



Menurut Hajjah Fauziah terlalu banyak kebobrokan dalam pimpinan Pergerakan Wanita UMNO di peringkat Bahagian tak sampai ke pengetahuan Dato’ Seri Abdullah, akibat kelicikan Rafidah dan Shahrizat. Katanya, pimpinan Rafidah dan Shahrizat fikir pengundi-pengundi Melayu terus mengundi BN, sekalipun segala kebobrokan itu sengaja disembunyikan bagi menyampaikan laporan yang ‘molok-molok’ kepada Dato’ Seri Abdullah. Memang pada pilihanraya 2004 segala perbuatan mereka dipendam sahaja oleh pimpinan peringkat Bahagian dengan ‘mengurut dada’, tetapi sekarang Rafidah dan Shahrizat belum berjejak di alam nyata, menurut Hajjah Fauziah. “Jangan kerana mereka berdua membawa lumpur, habis semua Wanita UMNO terpalit,” katanya.


KABINET DIANGGAP ‘DI ALAM BARZAH’
PERSEDIAAN UNTUK PERHIMPUNAN AGUNG


Susunan kabinet Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diprokalmir baru-baru ini dianggap oleh pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail sebagai ‘kabinet di alam barzah’ bagi persediaan untuk menghadapi Perhimpunan Agung UMNO di samping pemilihan pimpinan tertinggi. Memberitahu dalam satu perjumpaan dengan pengendali laman blog dan laman web di sebuah hotel di Subang semalam (22 Mac 2008) Haji Yahaya berkata, ‘kabinet di alam barzah’ jangan terlalu yakin dengan kekuatan mereka melalui laporan-laporan indah kroni dan media berkepentingan, kerana proses ‘undi tak percaya’ di Parlimen boleh menumbangkan. “Justeru Dato’ Abdullah jangan bergantung kepada ‘kabinet di alam barzah’ semata-mata, beliau perlu mencari formula lain,” beritahu Haji Yahaya.


Haji Yahaya yang juga bekas editor di Sabah Times di Kota Kinabalu pada period pentadbiran Dato’ Harris Salleh menambah, disebabkan Dato’ Seri Abdullah terlalu yakin dengan laporan-laporan indah sebelum pilihanraya 8 Mac 2008 menerusi kroni-kroni dan media berkepentingan, beliau diberi ‘pengajaran’ yang memedihkan. Kalau Dato’ Seri Abdullah masih juga ‘berseronok’ dengan ‘kabinet di alam barzah’, justeru bersedialah dengan kedudukan 140 kerusi di Parlimen yang hanya 78 sahaja UMNO, itupun termasuk di Sabah, menurut Haji Yahaya lagi. Seterusnya Haji Yahaya bersetuju UMNO menerima sahaja saranan bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad agar membentuk ‘Majlis Presiden’ bagi menasihati Presiden UMNO dalam tempoh terluka, terduka dan tercuka sekarang.



PILIHAN MENTERI ‘BUTA SEJARAH’
MENYERTAI KABINET SERBA ‘BERKELABUT’



Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menganggap Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih menteri ‘buta sejarah’ menyertai kabinet yang serba ‘berkelabut’. Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Zaid Ibrahim hari ini (23 Mac 2008) mahu mengemukakan ‘undang-undang anti-lompat’ beliau memberitahu, apabila ‘menteri buta sejarah’ dibawa menyertai kabinet, maknanya Dato’ Seri Abdullah membuat pilihan yang salah. Katanya, undang-undang anti-lompat sudah dilaksanakan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Joseph Pairin Kitingan tetapi tak berkesan. “Malah Dato’ Pairin mahu membubarkan DUN Sabah juga terganggu apabila Yang Dipertua Negeri enggan menanda tangani perisytiharan,” katanya.



Seterusnya Dato’ Kamal Amir juga berasa hairan seorang peguam berpengalaman seperti Dato’ Zaid Ibrahim, tak menyedari proses membawa usul ‘undang-undang anti-lompat’ itu tak akan berjaya dalam keadaan sekarang. Sebarang pindaan undang-undang di Parlimen tak mampu dilaksanakan sehingga pilihanraya akan datang, disebabkan BN tak mempunyai dua pertiga majoriti, jelas Dato’ Kamal Amir menambah. Serentak dengan itu Dato’ Kamal Amir menasihati Dato’ Zaid Ibrahim tak perlu memberikan laporan ‘molok-molok’ kepada Dato’ Seri Abdullah, kalau sekadar mahu mempertahan kedudukan di dalam kabinet. “Lebih baik buat kritkan yang baik bagi membolehkan Dato’ Abdullah mentadbir dengan berkesan,” kata Dato’ Kamal Amir.




INFO SASTERA & BUDAYA:



MEMPROMOSI NILAI-NILAI ASIA
KETERAMPILAN PIMPINAN DR M



Keterampilan pimpinan di samping keinginan mahu merealisasikan impian Malaysia sebagai sebuah negara industri, meletakkan Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap ‘bapa pemodenan’. Dalam tempoh 22 tahun di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, Malaysia menjadi negara industri pembuatan menerusi kejayaan program pengeluaran automobil nasional. Malah pada period Tun Dr Mahathir juga pelancaran stelit dilaksanakan, pembangunan teknologi digerakkan termasuk telefon selular, teknologi maklumat (IT) dan laluan transit ringan (LRT).


Beliau dilabel sebagai pejuang politik yang mempromosi nilai-nilai Asia yang mahukan kapitalisme autokratik iaitu menolak pendekatan individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar tidak campur tangan (laissezfaire). Memang kadangkala Tun Dr Mahathir dilihat membawa idealisme yang kontroversi, tetapi beliau mampu menggerakkan Malaysia terlalu pantas. Misalnya, sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, Tun Dr Mahathir menukar perbezaan waktu yang ketara 30 minit di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, kepada persamaan waktu yang tidak menjejaskan pentadbiran negara.



Secara historikal Tun Dr Mahathir yang terbabit dalam gerakan nasionalisme sejak menjadi aktivis pelajar di univerisiti, sekalipun ketika itu Malayan Union meledak, pembabitan beliau kurang menyerlah. Apabila Kongres Melayu Pertama digerakkan pada 1-4 Mac 1946, dua buah persatuan Melayu sahaja yang mewakili negeri Kedah iaitu ‘Kesatuan Melayu Kedah’ dan SEBERKAS. Delegasi ‘Kesatuan Melayu Kedah’ ialah Haji Hussein Che Dol (Ketua), Ayob Abdullah, Abdul Hamid Abdullah, Senu Abdul Rahman, Omar Din, Haji Mohd Rejab Darus dan Haji Salleh Shamsuddin (pemerhati). Bagi SEBERKAS pula delegasinya ialah Mohammad bin Jamil Binjal (Ketua), Haji Masaud Thaha, Azhari Taib dan Haji Omar Salleh (pemerhati).



Memang Tun Dr Mahathir tidak menyertai delegasi berkenaan, tetapi beliau antara aktivis terawal mendaftarkan diri menyertai UMNO di Kedah. Dilahirkan di sebuah rumah di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 20 Disember 1925, beliau memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum memasuki Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Pada period pendudukan Jepun, Tun Dr Mahathir terbabit berniaga cendol, membuka kedai kopi di samping menjual buah-buahan di pekan Rabu, Alor Setar. (bersambung esok).

(Dipetik dari buku ‘100 TOKOH MALAYSIA’; Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan; Kantung Network Sdn Bhd., Kuala Lumpur; 2007. Harga senaskhah ialah RM50).

SMS SAMPAI MESEJ RAKYAT
SUARA PRIHATIN SELURUH NEGARA



Gurindam SMS



Tamat sudah mimpi yang ngeri
suara rakyat harus dihormati
orang Melayu tersangatlah rugi
kerana dendam kesumat di hati
dapat kuasa lupa diri

Himpun harta & kumpul isteri
saudara mara & kroni-kroni
ingatkan berkuasa sampai ke mati
yang membangkang pun tak sedar diri
Bila marah penuh emosi
menang sorak suka hati
kampung tergadai tak siapa peduli
orang Cina bersatu hati
lalu dapat sebuah negeri
Melayu tumpang puas hati
kerana tersangatnya sakit hati
kepada UMNO tersangatnya benci
Ada empat tahun lagi
Melayu perlu baiki diri
jangan kita berpecah lagi
takut negeri tergadai lagi!

(Puisi ini disampai menerusi SMS oleh YS yang dipanjangkan dari sahabatnya).




KOMENTAR
bersama Pak Parjo



PERIHAL MEMANDA PERDANA MENTERI
DISORAK ORANG BANYAK DI TEMPAT LUMBA




Syahdan akan negeri Melayu itu diberitahu mengenai canggihnya perhubungan di dalam negeri, maka mudahlah disampaikan pesanan (kata anak cucu fakir SMS) fasal Memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi disorak-sorak orang banyak (atau di boo boo, kata anak cucu fakir) petang ini 15 Rabiulawal 1429 (seperti disebut anak cucu fakir 23 Mac 2008) ketika tiba di tempat acara perlumbaan (disebut orang litar F1). Percayalah fakir akan memanda Perdana Menteri semakin tak digemari oleh rakyat, kerana terlalu banyak diberitahu akan kesusahan orang banyak semenjak ia memerintah negeri. Gerangannya! Sebermula fakir pun berasa sedih hati juga apabila mendengar pesanan itu, kerana tak eloklah memanda Perdana Menteri diperlaku begitu.



Arakian akan memanda Bendahara Seri Wak Raja tibalah ke balairongseri, ketika pembesar-pembesar negeri selesai menjunjung duli. Akan Sultan Muzaffar tidaklah baginda sedar akan ketibaan memanda Bendahara Seri Wak Raja, disebabkan sudah lama dihadap di balairongseri masih juga memanda bendahara itu tidak muncul. Pada kasadnya memanda Bendahara Seri Wak Raja tidak sukakan dirinya menaiki takhta, kerana terlalu kasihnya bendahara kepada paduka adinda Sultan Abu Syahid yang terbunuh pada malam perebutan kuasa di istana Melaka itu. Setelah dilihat oleh memanda Bendahara Seri Wak Raja, Sultan Muzzafar masuk ke dalam apabila ia sampai di balairongseri, maka pada kasadnya sultan itu mereka. Berasa malulah memanda Bendahara Seri Wak Raja lalu balik ke rumah meminum racun, maka matilah ia meninggalkan anak-anaknya Tun Perak, Tun Kudu dan Tun Putih seperti dalam ‘Kitab Melayu’ dibacakan kepada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



HILANGNYA KESOPANAN, KESUSILAAN
DIUSIR DENGAN LAUNGAN ‘PENYAMUN’


Assalamualaikum,


Adab demokrasi seolah-olah tak penting, malah kalah dalam pilihanraya bagaikan berlaku ‘rampasan kuasa’, sehingga golongan tertentu macam dirasuk histeria mengusir sambil memekik-mekik ‘penyamun’. Begitulah! Insiden malam 8 Mac 2008 (sebenarnya sudah masuk 9 Mac 2008), bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo dikatakan menerima musibah demikian sebaik sahaja keputusan pilihanraya BN tak lagi mendominasi kerajaan negeri. Justeru sekumpulan penyokong parti lawan menyerbu ke kediaman rasmi Menteri Besar dengan memekik-mekik ‘penyamun’ berulang kali, sambil menyuruh penghuninya keluar serta merta. Bagi mengesahkan insiden ‘rampasan kuasa’ di Selangor, PRIMA membuat kunjungan hormat bagi menemui Dato’ Seri Dr Khir hari ini (22 Mac 2008).



Dengan kerjasama aktivis belia Sdr Sobri Ahmad, saya mengetuai rakan-rakan dari PRIMA bersama beberapa orang pengendali laman blog dan lama web menemui Dato’ Seri Dr Khir di Holiday Inn di Subang. Antara rakan-rakan yang hadir termasuk Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir, Dato’ Rejal Arbee, Sdr Zainal Abidin Rasidin, Sdr Sallehuddin, Sdr Zakir dan beberapa lagi yang saya tak kenali, tetapi salah seorang daripadanya difahamkan ialah anak Tan Sri Sanusi Junid (tak diberitahu namanya kepada saya, tetapi ternyata suaranya lantang mirip ayahnya, barangkali!). Hampir pula Dato’ Seri Dr Khir tergamam, apabila Dato’ Kamal Amir menyelar langkahnya meletakkan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, tetapi heh heh heh!



Malam ini (22 Mac 2008), Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof berbalas-balas SMS berkaitan dengan senario politik di Selangor. Apalagi kepongahan parti yang mendakwa berbilang kaum, sebaliknya mahu Exco kerajaan negeri didominasi oleh partinya (ironinya, semua satu kaum sahaja), di samping rakan persepakatan terpaksa berkompromi. Di Perak juga pihaknya mahu kerusi Exco kerajaan negeri didominasi partinya, tetapi tak seorang pun ADUN mereka orang Melayu. Entahlah! Memang takrif mereka parti berbilang kaum ialah komuniti lain cukup seorang berdua sahaja majoritinya komuniti mereka, dengan tak berasaskan komposisi kaum di negeri terbabit (sama ada di Perak mahupun di Selangor).



Berikutnya penyair Yassinsalleh pula menelefon, bertanyakan insiden di Terengganu yang didominasi oleh UMNO, ironinya pelantikan Menteri Besar turut kecoh, heboh dan cemuh! Apalagi Yassinsalleh yang dikenali sebagai penyair sinikal, sekadar berkata isu berkenaan apabila didedahkan ke TV maknanya sudah wujud agenda terancang. Aduhai! Memang beberapa ADUN (kononnya menyokong Dato’ Seri Idris Jusoh, tak pula disebut kroni-kroni) mahu memulaukan upacara angkat sumpah di istana Kuala Terengganu. Apa lagi kekecohan selepas 8 Mac 2008, memang rentetan daripada kepongahan, kebobrokan dan keberantakan pentadbiran BN sebelum pilihanraya itu. Astaga!


-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA



TUN M, KU LI SEDIA BERGABUNG
PULIHKAN ‘KRISIS KEYAKINAN’ UMNO



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan bersedia bekerjasama dengan bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bagi memulihkan semula ‘krisis keyakinan’ UMNO berikutan prestasi buruk pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Menurut Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz beliau diberitahu oleh sumber yang rapat dengan kedua-dua pemimpin tersebut, inisiatif sudah dibuat berikutan persefahaman mereka setelah saling berhubung menerusi telefon. Bagaimanapun Tun Dr M yang dinasihatkan oleh doktor perlu banyak berihat selepas menjalani pembedahan September 2007 yang lalu, membuktikan beliau mampu bergerak aktif demi memulihkan UMNO di samping mempertahankan maruah ketuanan Melayu, beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya.

Beliau yang juga bekas Exco Pemuda UMNO sekitar dekad 1980-an memberitahu, daripada sumber tersebut dua pemimpin berpengalaman dalam UMNO itu dikatakan sudah ditemui oleh pelbagai pihak pertubuhan Melayu bagi menggerakkan pemulihan UMNO. Menurut Dato’ Kamal Amir lagi, Persatuan Bekas Wakil Rakyat UMNO atau ‘Mubarak’ juga dilaporkan sudah menemui Tengku Razaleigh memintanya mengambil langkah segera, di samping berharap kesihatan Tun Dr M tak terganggu. “Insya Allah kalau tak ada aral melintang, Tun Dr M dan Ku Li akan berganding bahu menggerakkan perjumpaan yang klasik pada 4 April 2008 ke arah memulihkan semula ‘krisis keyakinan’ yang melanda UMNO sekarang,” jelas Dato’ Kamal Amir.



Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan lokasi perjumpaan klasik Tun Dr M dan Ku Li bersama lebih 60 pimpinan peringkat Bahagian UMNO. Sebelumnya sumber itu menyebut, perjumpaan tersebut dijangka di Gua Musang tetapi menyukarkan perjalanan Tun Dr M kerana memerlukan pesawat khas. Malah desas desus turut memberitahu ianya mungkin di Kelab Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai nostalgia kepada ‘Kongres Melayu Pertama’ 1 – 4 Mac 1946 yang digerakkan oleh Tan Sri Zaaba dengan kerjasama Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang dan Tunku Abdul Rahman. Kata Dato’ Kamal Amir lagi, masih terlalu awal mahu menyentuh lokasi akan diadakan kerana inisiatif digerakkan secara terancang. “Tunggulah pada 4 April 2008 ini, kerana kita semua juga sama-sama menunggu,” beliau menambah.


INFO SASTERA & BUDAYA:


MENJANA PERTUMBUHAN EKONOMI
KETIKA LANSKAP POLITIK BEROLAK-OLAK


(sambungan laman blog semalam, 21 mac 2008)

Pada pilihanraya 1974, Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) diminta oleh Tun Razak bertanding bagi kerusi Parlimen Hulu Kelantan di bawah BN. Ku Li menang tidak bertanding apabila PAS juga terbabit sebagaiparti komponen BN berikutan iltizam Tun Razak mahu mengurangkan politiking. Bagaimanapun Ku Li tidak dibawa menyertai kabinet, sebaliknya diletakkan sebagai Pengerusi Petronas bagi menjana pertumbuhan ekonomi. Beliau juga dipilih menjadi salah seorang Naib Presiden UMNO pada 1974 bersama Tun Ghafar Baba dan Tun Dr Mahathir Mohamad.



Berikutan berpulangnya ke rahmatullah Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri melantik Ku Li memegang jawatan Menteri Kewangan pada 5 Mac 1976. Lanskap politik yang berolak-olak pada 1982, membuat Ku Li tidak menduduki kerusi Naib Presiden UMNO, tetapi kekal mnejadi Menteri Kewangan hingga 1984. Ketika itu penganalisis politik turut memberi perhatian kepada kemampuan Ku Li menjana pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang pada 6-8 peratus setahun dengan pencapaian cemerlang.


Dalam rombakan kabinet pada 1984, Ku Li dipindahkan ke kementerian perdagangan dan perindustrian yang dianggap kurang tepat pada penganalisis politik ketika itu. Pada 1987, Ku Li membuat kejutan budaya apabila membentuk barisan alternatif melawan pimpinan Tun Dr Mahathir dalam Perhimpunan Agung UMNO. Berikutan kekalahan regu Tengku Razaleigh-Tun Musa Hitam, Ku Li menubuhkan Parti Semangat Melayu 46 (S46), setelah UMNO diharamkan oleh mahkamah. Bagaimanapun Tun Musa Hitam tidak pula menyertai Tengku Razaleigh, sebaliknya Dato’ Seri Rais Yatim, Dato’ Harun Idris, Dato’ Suhaimi Kamaruddin, Datin Paduka Rahmah Osman dan Dato’ Zainal Abidin Zain terbabit dalam S46.

Sekalipun di luar UMNO, Ku Li mampu mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang atas tiket S46 pada pilihanraya 1990 dan 1995. Beliau membubarkan S46 pada 1996, dengan kembali menyertai UMNO bersama rakan-rakannya. Ku Li kekal menjadi Ahli Parlimen Gua Musang yang menjadi platform beliau meneruskan perjuangan politik hingga sekarang. Beliau berkahwin dengan (Puan Sri) Noor Abdullah.

(Dipetik dari buku ‘100 Tokoh’; Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan; Kantung Network Sdn Bhd, Kuala Lumpur; 2007. Harga senaskah RM50.)


ISU BAHASA GAPENA TERLAMBAT
BARISAN PIMPINAN PERLU DIROMBAK


Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dikatakan terlambat dalam perjuangan isu Bahasa Melayu dalam pembelajaran mata pelajaran ‘matematik’ dan ‘sains’, ketika persatuan-persatuan persuratan di peringkat negeri bergerak lebih awal. Menurut aktivis budaya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Gapena tak mampu tampil ke hadapan ketika kerajaan memproklamir pembelajaran mata pelajaran ‘matematik’ dan ‘sains’ diwajibkan dalam Bahasa Inggeris, apabila ‘Dong Jai Zong’ secara terbuka menentangnya. Justeru kata Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) menggesa barisan pimpinan Gapena sekarang perlu dirombak, bagi memastikan ianya menjadi organisasi massa (ormas) yang berwibawa.


Mengulas laporan media hari ini (22 Mac 2008) apabila pimpinan Gapena menerusi Profesor Dr Zainal Kling mahukan pembelajaran mata pelajaran ‘matematik’ dan ‘sains’ di peringkat sekolah dalam bahasa Melayu, Dato’ Dr Mohd Mansor menyifatkan sebagai sudah terlambat. Malah beliau melahirkan rasa bimbang kenyataan tersebut dibuat setelah pimpinan Gaena terbabit dikatakan dicalon untuk menduduki ‘Kursi Tun Ghafar Baba’ di UPSI, Tanjung Malim. Katanya, kenapa ketika ‘Dong Jai Zong’ tampil menentang secara terbuka, Gapena sekadar berselindung untuk mencari ‘survival’ kerana mahu memelihara kepentingan peribadi. “Dalam senario sekarang memang wajar juga pimpinan Gapena dirombak bagi menjadikan ianya ormas yang berkesan,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo.


MULALAH ORANG BESAR BERTUGAS
SEMUA SUDAH MENNGAKU TAAT SETIA

Kata sahibul hikayat mustaidlah keputusan di dalam negeri Melayu itu, maka semua menteri-menteri dan orang besar sekalian mulalah berkhidmat setelah dilantik mengikut sepertimana ditetapkan oleh memanda Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Adapun menteri pemukul canang, Dato’ Ahmad Shabery Cheek diberitahu oleh memanda Perdana Menteri supaya memanggil akan ianya semua penyurat-penyurat di seluruh negeri (kononnya disebut orang kemudian hari ialah pengendali laman blog dan laman web, wallahu’alam!) yang dicanangkan hari ini juga 14 Rabiulawal 1429 (seperti disebut anak cucu fakir 22 Mac 2008). Maka berasa hairanlah fakir apabila orang besar itu mahu sangat bertemu dengan penyurat-penyurat itu, sedangkan pengarang-pengarang besar di surat khabar itu terlalulah besar pengaruhnya, tetapi tak pula dipanggil.


Arakian setelah Betara Majapahit mendengar Singapura negeri besar, rajanya tidak menyembah kepada baginda, maka disuruhnya menyurat bingkisan. Betara Majapahit menyuruh surat bingkasan itu sekeping tatal, tujuh depa panjangnya, ditarah tiada putus, dan nipisnya seperti kertas, digulungnya seperti subang. Maka disuratkan dengan bahasa yang indah-indah (tentunya Bahasa Melayu, bukanlah Bahasa Inggeris), disuruh utusan belayar ke Singapura. Beberapa lamanya di laut sampailah utusan itu ke Singapura membawa bingkisan yang disuratkan dengan bahasa yang indah-indah itu, lalu disambut oleh Paduka Seri Pikrama Wira. Maka disuruh baca kepada khatib, kerana tak semua tahu mengenai bahasa para penyurat itu sebagaimana ‘Kitab Melayu’ dibacakan oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, March 22, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:



PERTEMUAN DENGAN PARA BLOGGER
LAMARAN MENTERI PENERANGAN BARU



Assalamualaikum,


Aktivis teater di Pahang Sdr L. Mankadir Shamsi mengirim SMS malam ini jam 8.30 pm, sebaik sahaja melihat warta berita di TV berikutan lamaran Menteri Penerangan yang baru Shabery Chik melamar pengendali laman web dan laman blog bertemu bagi agenda yang ‘belum pasti’. ‘Awas’ kata Mankadir kerana bimbang blogger juga akan menjadi seperti sajak sinikalnya ‘Lembu Tua’ yang akan ditindik hidung, seterusnya diheret ke rumah penyembelihan bagi destinasi terakhir. Heh heh heh! Sebelumnya saya juga turut diingatkan oleh Presiden Penaja, Persatuan Pemandu-Pemandu Teksi Islam Lembah Kelang, Sdr Zainal Abidin Rasidin, ketika blogger semakin dihormati kerana kebebasan intelektual (menentang perhambaan minda), janganlah mudah menerima lamaran yang bersifat ‘kalau tak ada berada, masakan tempua bersarang rendah’!



Sebenarnya semalam (20 Mac 2008) PRIMA membuat perjumpaan di gerai medan selera Taman Seri Gombak dihadiri semua aktivis termasuk Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Haji Mohd Sayuti Omar, Haji Mohd Radzi Mustapha, Sdr Mohd Najib, Sdr Zakaria Bidin dan Sdr Sallehuddin yang sekaligus melahirkan keprihatinan dengan senario politik sekarang. Mungkin sahaja segelintir pimpinan UMNO masih merasakan mereka sama seperti sebelum 8 Mac 2008, hingga suara ‘itik serati’ mereka masih tak berubah bagi menyampaikan mesej yang ‘molok-molok’ kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Segelintir pimpinan UMNO yang masih hurah hurah itu, memang tak menyedari banyak insiden antara 8 Mac 2008 hingga ke tarikh proklamir kabinet, ditambah lagi dengan dua Ahli Parlimen menolak jawatan ‘timbalan menteri’. Ketua Wanita UMNO Dato’ Seri Rafidah Aziz yang dalam proses untuk diundurkan bagai menyembunyikan ‘gunung berapi’ di dada apabila tampil di kaca TV hari ini (21 Mac 2008) menerusi warta berita jam 8.00 malam, dengan lebih banyak ‘berbahasa Inggeris’ daripada ‘berbahasa Melayu’. Natijahnya boleh sahaja diandaikan iaitu ‘Ketua Wanita UMNO’ perlu untuk melonjakkan wibawanya menerusi ‘bahasa Inggeris’, kerana pimpinan sebelumnya seperti Datin Putih Mariah, Ibu Khadijah Sidek, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani sentiasa ‘berbahasa Melayu’. Gerangannya!



Memang PRIMA banyak menerima maklumat, bagaimana pilunya Dato’ Seri Abdullah berikutan insiden 8 Mac 2008, apalagi dikatakan ketika menemui pimpinan veteran (bekas Timbalan Perdana Menteri) Tun Musa Hitam segala kesalahan diletakkan di pundaknya. Justeru mereka sekadar mahu meneruskan legasi pimpinan sebelum 8 Mac 2008 dengan mendambakan kehebatan, kelebatan dan kebebatan UMNO, seolah-olah Dato’ Seri Abdullah tak tahu dirinya berhadapan dengan ‘sokong membawa rebah’. Bagi mereka yang prihatin dengan nasib bangsanya amat bersetuju dengan pandangan veteran Exco Pemuda UMNO Dato’ Dr Noordin Selat (wawancara dengan wartawan Berita Harian, 20 Mac 2008) iaitu runtuhnya prestasi UMNO, kerana rakyat sudah meluat, menyampah dan menyumpah!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


SELEPAS LEDAKAN 8 MAC
KU LI TOLAK JAWATAN PM



Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sudah ditawarkan peluang memimpin negara selaku Perdana Menteri sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum 8 Mac 2008 menampakkan kemusnahan prestasi UMNO, menurut jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, sekiranya Tengku Razaleigh tak memikirkan nasib akan menimpa negaranya dengan ‘menangguk di air keruh’, kedudukan 140-82 itu boleh mengangkat beliau ke jawatan Perdana Menteri. Sambil menempelak pimpinan UMNO yang cuba menyembunyikan kebobrokan itu, Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO sekitar dekad 1980-an mengingatkan ‘pelanduk’ yang belayar di atas kerak nasi bersama ‘bangau’, jangan memikirkan ‘kepintaran’ diri sendiri sahaja ketika bangau mempunyai ‘advantage’ untuk menyelamatkan diri.



Dato’ Kamal Amir mendedahkan satu sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh menyebut pimpinan Ahli Parlimen bukan Melayu sudah menemui beliau di kediamannya mendesak menerima tawaran membentuk kerajaan. Bagaimanapun kata sumber itu beritahu Dato’ Kamal Amir, Tengku Razaleigh berdiam diri dengan tak memberikan sebarang respons sekalipun beliau diminta memikirkan semula tawaran berkenaan. Sebaliknya jelas Dato’ Kamal Amir lagi, sumber berkenaan berkata Tengku Razaleigh memberitahu rakan-rakannya, beliau tak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya sekadar sebagai ‘puppet’ kepada ‘bukan Melayu’. “Kedudukan 78 kerusi UMNO di Parlimen sudah cukup bagi beliau menjadi PM malam 8 Mac 2008 dengan mengenepikan sahaja partinya,” ujar Dato’ Kamal Amir.



JANGAN JADI BAHAN EJEKAN
MELESTARI PERPADUAN MELAYU



Pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail berasa ragu-ragu dengan persepakatan untuk menyatukan Melayu seperti diwar-war oleh media arus perdana hari ini (21 Mac 2008), kerana bimbang ianya akan menjadi bahan ejekan komuniti lain. Isu penyatuan Melayu sudah digembar-gemburkan selepas ‘Tragedi 13 Mei 1969’, diikuti dengan insiden 1987 seterusnya kemelut 1999, malah semuanya berakhir dengan ‘wal hasil balik hasal’, beritahu Haji Yahaya yang juga bekas pensyarah USM dan pengkritik sastera tersohor pada dekad 1960-an. Haji Yahaya yang terbabit mencetuskan ‘Front Bertindak Bahasa Melayu’ pada 1966 dan membangkitkan ‘Isu Melayu Pulau Pinang’ pada dekad 1970-an berkata, “Penyatuan Melayu bukan untuk propaganda, tetapi dilaksanakan secara terancang seperti pada 1946 ketika menentang Malayan Union.”



Ketika menghubungi sekretariat PRIMA pagi ini (20 Mac 2008), Haji Yahaya menarik perhatian pada 1996, apabila Tengku Razaleigh Hamzah membubarkan ‘Parti Melayu Semangat 46’ bagi mencapai pendekatan ‘penyatuan Melayu’, sebaliknya di sabotaj oleh mereka yang berkepentingan peribadi. Seterusnya jelas Haji Yahaya, pada 1973 Tan Sri Asri Haji Muda mampu melupakan perbezaan politik bagi membawa PAS menyertai kerajaan campuran bersama Parti Perikutan (kemudian diluaskan kepada BN), tetapi dikhianati oleh orang Melayu sendiri. “Justeru bagi mencapai penyatuan Melayu perlu dibersihkan segala saki baki yang menjadi pengkhianat bangsa iaitu mereka yang mementingkan diri sendiri dan survival politiknya,” beritahu Haji Yahaya.


KALAU TAK BERSETUJU PANDANGAN
SILA KEMUKA FORMULA YANG TERBAIK



Aktivis Melayu yang melihat usaha yang digerakkan bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’ UMNO sebagai kurang berkesan, perlu mengemukakan formula yang lain bagi menangani kemelut sekarang, kata pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah ketika menghubungi sekretariat PRIMA pagi ini (20 Mac 2008). Mengulas kenyataan veteran UMNO Tan Sri Zaleha Ismail hari ini, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM memberitahu, Tan Sri Zaleha perlu memberikan formula beliau apabila menganggap ada jalan lain selain kesanggupan Tengku Razaleigh menawarkan diri bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’.


“Tan Sri Zaleha penaung satu badan NGO yang saya juga turut menjadi penasihat, justeru saya nasihatkan beliau kemukakan cadangan balas apabila menganggap perkara yang dicadangkan itu tak sesuai,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. Apabila menjadi pengkritik kata Dato’ Dr Mohd Mansor, janganlah cuba menghancurkan tetapi bersedia memberi cadangan balas yang lebih baik. Sebaliknya beliau memuji-muji bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sabaruddin Chik yang sanggup mendengar pandangan pihak lain, ketika kedudukan UMNO dalam keadaan sukar. Seterusnya beliau juga turut mengingatkan pimpinan yang berlagak seperti ‘keldai’ masuk ke dalam kulit ‘harimau’, janganlah cuba menjerkah harimau sebenar.

Seterusnya beliau menambah, jangan pandang rendah keupayaan pihak lain seperti insiden sebelum 8 Mac 2008. Apabila pihak yang direndah-rendahkan sebelum ini mula menunjuk belang dengan menuntut jawatan penting di peringkat negeri, UMNO juga perlu memikirkan apabila kuasa ‘undi tak percaya’ boleh meranapkan terus ketuanan Melayu. Menurut Dato’ Dr Mansor tak mustahil sekiranya mereka mampu mengambil alih dominasi kuasa politik, parti-parti yang ditakrif bercorak kaum seperti UMNO, MCA dan MIC boleh dimusnahkan menerusi undang-undang. “Sebelum ini pun sudah ada suara yang mahukan parti-parti berasaskan kaum di hapuskan,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.



INFO SASTERA & BUDAYA:



BUKU ‘100 TOKOH’ MALAYSIA
KU LI ARKITEK PENGGERAK EKONOMI


Bagi penganalisis politik sekitar dekad 1970-an, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah diberi jolokan sebagai ‘arkitek persahabatan Malaysia-Republik Rakyat China’, sempena kunjungan Tun Abdul Razak bagi menjalin hubungan diplomatik. Berikutan lawatan itu ianya mendorong kepada kejatuhan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjalankan gerakan militan di hutan. Sebelum kunjungan Tun Razak menemui Pengerusi Mao pada 1974, Tengku Razaleigh terlebih dahulu melawat RRC atas kapisiti Pengerusi PERNAS di samping menemui Perdana Menteri RRC ketika itu, Chao En Lai.


Kunjungan Tengku Razaleigh atau lebih sinonim dengan panggilan ‘Ku Li’ ke RRC memang bertujuan menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan membuka peluang pelaburan. Apalagi sebelumnya hubungan diplomatik dengan RRC tidak wujud akibat polisi yang berbeza, di samping pendekatan politik yang tidak seimbang. Ketika memimpin Bank Bumiputera, Ku Li juga menjemput Wong Am Pui dan Dato’ Khoo Kay Peng yang berpengalaman dalam perbankan bagi melatih kakitangan Melayu agar mahir menjana pengurusan bank. Beliau juga adalah pengasas ‘Petrolium Nasional Berhad’ (Petronas) sebagai industri petrolium di bawah pengawasan kerajaan.


Ku Li dilahirkan di kalangan kerabat diraja Kelantan pada 13 April 1937 adalah putera kepada Tengku Hamzah bin Tengku Zainal Abidin yang juga dikenali sebagai ‘Tengku Serimah’ (Tengku Seri Maharaja), Pemangku Menteri Besar Kelantan pra merdeka pada 1954-1955. Ku Li menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Gurung, seterusnya memasuki Kolej Sultan Ismail di Kota Bharu sebelum melanjutkan pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar di Perak. Bagaimanapun cita-cita Ku Li mahu menjadi peguam setelah memasuki Lincoln Inn di London terjejas apabila ayahnya sakit pada dekad 1950-an. Beliau terpaksa balik bagi menguruskan perniagaan keluarga, tetapi kemudiannya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi di Universiti Queen, Ireland pada 1959.



Apabila balik ke tanah air, Ku Li terbabit bersama UMNO pada 1962 dengan menjadi Ketua UMNO Bahagian Hulu Kelantan, di samping dilantik bagi jawatan Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan. Ku Li diminta oleh Tunku Abdul Rahman bertanding kerusi DUN di Kelantan pada pilihanraya 1969, sebagai strategi menawan kerajaan negeri yang didominasi oleh PAS sejak 1959. Ku Li bertanding di kerusi DUN Hulu Kelantan Barat, dan menang dengan memperoleh 4,061 undi menewaskan calon PAS, Hussin bin Abdullah (2,327 undi). ‘Parti Perikatan’ gagal menawan kerajaan negeri Kelantan, sekalipun mampu mengurangkan pengaruh PAS. (bersambung esok).

(Dipetik dari buku ‘100 Tokoh Malaysia’; Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan; Kantung Network Sdn Bhd, Kuala Lumpur; 2007. Harga RM50 senaskhah).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo.



JANGAN ‘MENANGGUK DI AIR KERUH’
INGATAN KEPADA SEKALIAN ANAK MELAYU



Syahdan tersebutlah sekali persetua akan serikandi Melayu bernama Dato’ Seri Rafidah Aziz terlalu marah ketika menampakan dirinya di khalayak ramai hari ini 13 Rabiulawal 1429 (atau bagi anak cucu fakir 21 Mac 2008) menerusi warta berita TV jam 8.00 malam. Adapun serikandi Melayu itu kurang fahamlah fakir, kerana bercakap dalam bahasa yang fakir langsung tak mengerti (kononnya dikata orang banyak ialah Bahasa Inggeris). Wallahua’lam! Sebermula serikandi Melayu itu mengingatkan orang banyak janganlah menangguk di air keruh, kerana UMNO itu masih gagah perkasa untuk ianya melompat ke tengah gelanggang, sekalipun ramai hulubalang-hulubalang yang tewas dalam pertempuran pada 30 Safar 1429 (iaitu 8 Mac 2008), adanya!



Arakian akan Tun Fatimah anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir itu digelar orang banyak ‘serikandi Melayu’ kerana dialah yang berani melawan seldadu Feringgi bersama rakan-rakan sebayanya. Ramailah seldadu Feringgi itu dibunuh oleh Tun Fatimah setelah diperisteri oleh Sultan Mahmud, dengan membawa rakan-rakannya keluar di waktu malam dengan menyamar berpakaian lelaki. Syahdan Tun Fatimah itu bukanlah ‘menangguk di air keruh’, dan tidaklah ia bercakap berkobar-kobar di depan orang banyak, tetapi keluar bersama hulubalang-hulubalang Melayu melawan seldadu Feringgi yang menceroboh negeri Melaka, seperti yang disurat dalam ‘Kitab Melayu’ yang dibacakan kepada:




HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, March 20, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

SEKIRANYA 30 BERPALING TADAH
PM HADAPI RISIKO ‘UNDI TAK PERCAYA!

Assalamualaikum,

Ketika minum teh tarik di gerai makanan Thai di Jelebu semalam (18 Mac 2008), pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon berkaitan susunan kabinet baru yang diproklamir Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 12.00 tengahari. Memang saya tak mengikuti perkembangan tersebut kerana tak sempat pula menonton TV, di samping mendengar warta berita pun sekadar menerusi radio di kereta. Tetapi rakan-rakan peneroka Felda yang turut sama minum teh tarik menyebut susunan kabinet Dato’ Seri Abdullah sebagai ‘rancak di labuh’ (indah khabar dari rupa), seolah-olah mereka juga mampu memberi pandangan, terutama apabila Ahli Parlimen mereka Dato’ Seri Rais Yatim diletakkan di kementerian luar negeri.

Begitulah! Peneroka Felda yang melepak bersama saya di gerai makanan Thai juga mampu memberi maklum balas dengan kabinet yang diproklamir Dato’ Seri Abdullah. Apalagi berasa hairan dengan gerai makanan Thai yang mendominasi medan selera seluruh negara, termasuk daerah Jelebu yang terpencil dari arus kota. Maknanya, mereka juga sudah memahami isu politik negara, hinggakan keputusan pilihanraya 8 Mac 2008 pusat pengundian di situ (MRSM Titi) saya diberitahu calon BN sekadar memperoleh lebih 290 undi berbanding PAS lebih 350 undi, sekalipun majoriti pengundi di kawasan (saluran) berkenaan ialah komuniti Cina.

Malah bagi peti undi di (SMUJ) di Petaling yang juga majoriti Cina, calon BN (Dato’ Seri Rais Yatim) sekadar menang tak sampai 10 undi. Apalagi di pekan Titi (Hosapa), calon BN ketinggalan jauh di belakang calon PAS hingga 90 peratus, yang memperlihat calon BN di Parlimen Jelebu bergantung sepenuhnya kepada kawasan Felda di beberapa kelompok termasuk Palong, Pasoh, Titi, Lakai atau Air Baning. Dalam konteks ini tak seharusnya pandangan peneroka Felda yang menyifatkan kabinet Dato’ Seri Abdullah ‘rancak dilabuh’ tak diambil kira, setelah menerima puji-pujian dari kalangan yang berselindung di sebalik heh heh heh, tetapi lebih bersifat huh huh huh!

Maknanya, pengundi Cina di Parlimen Jelebu tak segan silu untuk mengundi calon PAS iaitu mesej yang perlu diperhatikan iaitu anjakan pengundi Melayu boleh membawa padah kepada seluruh struktor kekuatan BN. Kedudukan 140 – 82 kerusi di Parlimen juga bukan sekadar tak memperoleh majoriti dua pertiga, malah dengan 30 kerusi berpaling tadah, Dato’ Seri Abdullah boleh berhadapan dengan ‘undi tak percaya’ sekiranya tak menuruti kehendak akar umbi. Apabila 30 Ahli Parlimen berpaling tadah, 82 Ahli Parlimen Pembangkang akan membantu mencukupkan 112 undi bagi melancarkan ‘undi tak percaya’ yang akan memalukan, memilukan dan menyayukan lanskap politik negara dalam tempoh terdekat. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


TAK BIJAK DESAK PM LETAK JAWATAN
DALAM SENARIO YANG MAMPU DIKAWAL

(Kenyataan media pimpinan PRIMA diketuai sasterawan Dharmala N.S., Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah dan Haji Mohd Sayuti Omar di Kuala Lumpur, 19 Mac 2008).
Langkah pertubuhan NGO mahupun orang perseorangan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah kurang bijak, ketika senario politik masih boleh dikawal demi survival perjuangan bangsa Melayu. PRIMA menolak sebarang usaha mendesak Dato’ Seri Abdullah meletak jawatan sekadar berdasarkan prestasi buruk BN pada pilihanraya 8 Mac 2008. Justeru, pihak NGO mahupun orang perseorangan tak munasabah mencampuri urusan UMNO, kerana ahli-ahli UMNO mampu memberi mesej kepada pimpinan mereka. Dengan ini PRIMA menyokong pimpinan negara di bawah Dato’ Seri Abdullah, selagi UMNO memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan beliau.

Berikutan prestasi buruk BN pada pilihanraya lalu, PRIMA berpendapat ianya bukan tanggungjawab Dato’ Seri Abdullah secara individu, tetapi pimpinan BN harus menerima tanggungjawab tersebut secara kolektif. Bagi memperkukuhkan semula struktor pimpinan UMNO mahupun BN, adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli di peringkat akar umbi yang seharusnya prihatin dengan kepentingan bangsa Melayu. Justeru PRIMA mengalu-alukan keprihatinan tokoh berpengalaman UMNO Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang mengambil inisiatif mengajak semua 193 Bahagian UMNO meminta pucuk pimpinan mengadakan Perhimpunan Agung Khas menjelang 11 Mei 2008 bagi mengatasi kemelut dalam UMNO yang mendorong kepada prestasi buruk pada pilihanraya baru-baru ini.

Inisiatif Tengku Razaleigh selaras dengan pengalaman UMNO pada pilihanraya 1969 yang berhadapan dengan prestasi tak menentu. Tak seorang pun Ahli Parlimen UMNO sekarang berpengalaman seperti Tengku Razaleigh yang terbabit dalam pilihanraya sejak 1969. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menulis surat mendesak Tunku meletakkan jawatan adalah berasas kerana berlakunya rusuhan kaum atau tragedi berdarah 13 Mei. Maknanya, ketika itu keamanan negara tergugat berikutan prestasi buruk UMNO dan Parti Perikatan dalam pilihanraya berkenaan. Begitu juga pada pilihanraya 1999 apabila prestasi UMNO merosot, desakan meminta Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan adalah disebabkan lanskap politik ketika itu serba goyah, payah dan layah! Apalagi gerakan reformasi meneruskan demonstrasi yang menjejaskan kestabilan politik.

Pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac 2008 tak menimbulkan sebarang kekalutan, kekemelutan mahupun kekelabutan hingga boleh mendesak Dato’ Seri Abdullah untuk meletakkan jawatan. Justeru Dato’ Seri Abdullah tak perlu didesak berundur dari jawatan Perdana Menteri, selagi pimpinan UMNO dan BN memberi sokongan kepada beliau. Pihak NGO mahupun individu seharusnya menghormati ahli-ahli UMNO dengan menyerahkan segala urusan pimpinan parti berkenaan di tangan mereka. Bagaimanapun pihak PRIMA menyokong setiap inisiatif ahli UMNO, pimpinan parti yang berwibawa atau mana-mana kumpulan reformis dalam UMNO yang mengambil langkah positif mahu memperkukuhkan semula pimpinan Melayu menerusi UMNO seperti ditunjukkan oleh Tengku Razaleigh.

TAMPARAN HEBAT KEPADA PM
APABILA DUA TIMBALAN MENTERI MENOLAK
Langkah dua orang Ahli Parlimen UMNO menolak jawatan timbalan menteri yang diproklamir oleh Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi semalam (18 Mac 2008) memberi tamparan hebat kepada pimpinan Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu, menurut pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail. Katanya, belum pernah berlaku dalam senario politik di Malaysia, apabila Ahli Parlimen yang dilantik memegang jawatan dalam pimpinan kerajaan menolak selepas diproklamir. Bukan sahaja langkah tersebut sebagai protes terbuka, malah memperlihatkan kewibawaan Dato’ Seri Abdullah turut dipersoal. “Adalah memalukan apabila keputusan Perdana Menteri tak dihormati lagi oleh ahli partinya,” beritahu Haji Yahaya.

Sementara itu penyair Yassinsalleh menganggap kewibawaan Dato’ Seri Abdullah ditahap paling rendah, apabila proklamir susunan kabinet yang dibuatnya disanggah oleh ahli partinya sendiri. Justeru katanya, beliau menyokong kenyataan pimpinan ‘Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) Sdr Feriz Omar hari ini (19 Mac 2008) yang mendesak Dato’ Seri Abdullah meletakkan jawatan. Menurut beliau, dalam konteks moral apabila Perdana Menteri tak dihormati oleh parti-partinya secara terbuka hingga pelantikan jemaah menteri dipertikai, wajar bagi pemimpin terbabit berundur. Hari ini (19 Mac 2008) Ahli Parlimen Jerantut Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Dato’ Anifah Aman menolak jawatan timbalan menteri yang ditawarkan kepada mereka. “Apabila mereka menolak bermakna sudah ada asas undi tak percaya kepada Perdana Menteri,” kata Sdr Yassinsalleh.

Ketika mengulas peletakan jawatan Setiausaha Agung UMNO dan BN, Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad seperti dilaporkan media hari ini (20 Mac 2008), pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pula memberitahu, fenomena yang berlaku sekarang adalah ‘signal’ kepada pimpinan negara di bawah Dato’ Seri Abdullah dalam mendengar pandangan dari pringkat akar umbi. Kenyataan Dato’ Radzi amat jelas menghiris perasaan orang Melayu apabila meletakkan jawatan setelah ‘khidmatnya tak diperlukan lagi’ oleh ketua parti. “Istilah yang disebut Dato’ Radzi samalah seperti ‘habis manis sepah dibuang’ yakni mendedahkan sikap ketua parti yang tak peka dengan masalah pandangan peringkat akar umbi,” jelas Dato’ Dr Mansor.

PIMPINAN UMNO PERLU RASIONAL
KU LI MAHU PULIH ‘KRISIS KEYAKINAN’
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang juga bekas Exco Pemuda UMNO meminta pimpinan UMNO bersikap rasional terhadap saranan Tengku Razaleigh Hamzah mahukan Perhimpunan Agung Khas diadakan 11 Mei 2008 ini. Katanya, Ku Li melihat prestasi buruk UMNO dalam pilihanraya 8 Mac 2008 lalu merupakan satu ‘krisis keyakinan’ yang teruk, justeru perlu dipulihkan segera. Baru-baru ini Ku Li menulis surat kepada semua 193 Ketua Bahagian UMNO bagi mengusulkan ‘Perhimpunan Agung Khas’ segera sebaik-baiknya sempena ulangtahun UMNO ke 62 tahun pada 11 Mei 2008 ini. Bagaimanapun setakat ini dua orang pimpinan UMNO Bahagian menolak pandangan Ku Li dengan tak merujuk kepada jawatankuasa Bahagian masing-masing.

“Sepatutnya pimpinan UMNO Bahagian berfikiran matang di samping menerima secara rasional pandangan Ku Li demi memulihkan semula ‘krisis keyakinan’ yang dihadapi oleh UMNO sekarang,” ujar Dato’ Kamal Amir yang mula menjadi aktivis UMNO sejak dekad 1970-an dan membarisi Exco Pemuda pada period pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dekad 1980-an. Sambil menyifatkan Ketua Bahagian yang menolak saranan tersebut sebagai terburu-buru, Dato’ Kamal Amir mengingatkan setiap pemimpin UMNO ‘jangan cuba menyelam air di dalam tunggak’, tetapi perlu memahami kaedah ‘dilipat sebesar kuku, direntang sebesar alam’. Justeru katanya, setiap pimpinan UMNO janganlah terjebak ke dalam fenomena ‘sudah terantuk baru mahu tengadah’.

DILEMA SUSUNAN KABINET BARU
UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM TERSEPIT

Undang-Undang Keluarga Islam yang sudah dirangka berhadapan dengan dilema berikutan susunan kabinet baru dyang diproklamir 18 Mac 2008 lalu, beritahu pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA beliau yang juga Presiden Kaunseling di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di samping bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM pihaknya merasa ‘tersepit’ apabila ‘Undang-Undang Keluarga Islam’ yang digerakkan oleh kementerian berkenaan sebelum ini, dipimpin oleh menteri di kalangan bukan Islam. “Pihak kami berasa sia-sia undang-undang tersebut dirangka, kerana bimbang pelaksanaannya tak menepati sasaran sebenar,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.
Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor, berdasarkan Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil dilantik menjadi penasihat kementerian berkenaan, lebih wajar beliau dilantik menjadi senator bagi memegang semula jawatan menteri tersebut. Beliau juga mengakuai, Dato’ Seri Shahrizat lebih sesuai meneruskan perkhidmatan di kementerian tersebut, untuk kesinambungan tugas yang berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam di bawah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat yang sudah dirangka. “Tak wajar undang-undang keluarga Islam dilaksanakan di bawah menteri yang bukan Islam, sekalipun timbalan menterinya masih orang Islam, kerana tugas pelaksanaan adalah di tangan menteri,” menurut beliau selanjutnya.

AHLI PARLIMEN WANGSA MAJU
RAI KEMENANGAN BERSAMA PENYOKONG

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wangsa Maju, Sdr Wee Choo Keong yang juga Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP) mengadakan majlis meraikan kemenangannya di Taman Bunga Raya malam ini (19 Mac 2008). Kira-kira 300 penyokong parti persepakatannya PKR dan PAS turut hadir yang pada awalnya dijangka di padang permainan di Jalan Mahsuri 1. Bagaimanapun disebabkan hujan lebat turun sejak jam 3.00 petang, majlis berkenaan dipindahkan ke hadapan rumah salah seorang pimpinan PKR di Wangsa Maju di Jalan Mahsuri 1 yang siap dipasang khemah untuk sambutan Mauludirasul pada esok hari (20 Mac 2008). Turut hadir beberapa tetamu termasuk ADUN Selangor bagi kawasan Kota Damansara Dr Nasir Hashim dan aktivis PKR di peringkat awal Sdr Ng Lam Yong.

LAPORAN MUTAKHIR:

UNDI TAK PERCAYA KEPADA PAK LAH
ANWAR AMBIL ALIH PERDANA MENTERI?
Pilihanraya kecil dijangka Mei 2008 nanti dipercayai memberi laluan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memasuki Parlimen berikutan tempoh kelayakannya bertanding dalam pilihanraya berakhir April 2008 ini. Dalam fenomena sekarang menurut sumber yang rapat dengan PKR, aura Dato’ Seri Anwar mampu memenangi hati pengundi memberi sokongan kepada Penasihat PKR itu. Masa sudah tiba bagi lanskap politik Malaysia berubah secara drastik, apabila usul undi tidak percaya akan dikemukakan di Parlimen bagi menyingkirkan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seterusnya beritahu sumber tersebut, setakat ini senarai nama Ahli-Ahli Parlimen yang akan berpaling tadah sudah berada dalam tangan pihak pimpinan PKR. Bagi membawa usul undi tak percaya itu, mereka sekadar memerlukan 30 sokongan Ahli Parlimen lagi disebabkan persepakatan PKR, DAP dan PAS sudah mempunyai 82 Ahli Parlimen, jelas sumber berkenaan. Dengan jumlah 112 undi di Parlimen sudah memadai bagi membawa usul tersebut yang memperlihatkan kedudukan BN semakin terdesak. “Nama-nama mereka yang sudah mengambil pendirian tersebut ada dalam tangan pimpinan PKR, hanya menunggu waktu yang baik apabila Dato’ Seri Anwar dipilih menjadi Ahli Parlimen dalam pilihanraya kecil nanti,” menurut sumber berkenaan.

PEMANDU TEKSI ISLAM SOKONG
TAK WAJAR PAK LAH LETAK JAWATAN

Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Teksi Islam Malaysia (PKPTIM) menyokong kenyataan pimpinan PRIMA menolak sebarang usaha mana-mana pihak mendesak Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan. Presiden penajanya, Sdr Zainal Abidin Rasidin berkata selepas penubuhannya hari ini (20 Mac 2008), prestasi terburuk BN pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu, memang tanggungjawab secara kolektif semua pimpinan BN. Menurut Sdr Zainal, buat masa ini PKPTIM mempunyai keahlian lebih 100 ahli di Lembah Kelang, di samping ianya akan dikembangkan ke seluruh negara dalam usaha membela kepentingan dan kebajikan pemandu-pemandu teksi.

Sdr Zainal juga memberitahu PKPTIM turut melantik pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. menjadi Penasihat Sementara persatuan tersebut, bagi menggerakkan penubuhan secara terancang. Bagaimanapun katanya, PKPTIM berharap Dato’ Seri Abdullah tak terperangkap dengan ‘pagar-pagar’ di kelilingnya yang menjadi ‘sokong membawa rebah’. Justeru Sdr Zainal menambah, pihaknya melihat ‘krisis keyakinan’ yang dihadapi UMNO sekarang memerlukan suntikan perkasa bagi membuang virus yang menular sejak beberapa waktu. PKPTIM berpendapat kata Sdr Zainal lagi, Dato’ Seri Abdullah memerlukan tokoh yang mempunyai pakej berpengalaman seperti Tengku Razaleigh Hamzah membantu beliau dalam menghadapi ‘krisis keyakinan’ ini. “Pihak kami sentiasa berdiri teguh di belakang Pak Lah dan Ku Li bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’ UMNO,” beritahu Sdr Zainal.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

CERDIK DIPINGGIR DALAM PIMPINAN
BUDAYA SIASAH DIWARISI ORANG MELAYU

Sebermula tersebutlah dalam negeri Melayu seorang ilmuan Dato’ Dr Noordin Selat yang pernah menjadi setiausaha siasah kepada menteri, di samping dilantik ia duduk tara orang besar-besar di balairongseri memberitahu budaya siasah (kata anak cucu fakir ialah politik) orang Melayu ialah meminggirkan orang cerdik pandai dalam barisan pimpinan. Syahdan akan Dato’ Dr Noordin itu berkata demikian apabila diwawancara oleh penyurat warkah Melayu hari ini 11 Rabiulawal 1429 (atau seperti kata anak cucu fakir 19 Mac 2008). “Orang ramai sudah benci dan menyampah dengan budaya politik negara seperti kurang ajar di Parlimen (balairongseri), mengata orang, janji tidak ditepati serta orang cerdik diketepikan dan jika diletakkan di dalam barisan kepemimpinan dianggap berbahaya,” ujar Dato’ Dr Noordin.

Syahdan fakir juga diberitahu akan Hang Nadim yang cerdik itu, pada suatu hari pergilah ia ke pantai melihat pegawai-pegawai dan segala hulubalang berkubukan betis apabila todak menyerang Singapura. Habislah sekalian pegawai-pegawai dan segala hulubalang yang berkubu akan betis itu mati ditombaki todak. Maka berkatalah Hang Nadim, “Mengapa dato’-dato’ semua berkubu akan betis, bukankah lebih baik kita berkubu batang pisang!”. Mendengar kata Hang Nadim yang masih kecil berumur kira-kira 10 tahun itu, Dato’ Bendahara pun memerintahkan orang berkubu batang pisang. Maka banyaklah ikan todak mati di pantai Singapura hingga bangkainya berbau busuk ke seluruh negeri. Lalu berkatakan Dato’ Bendahara di dalam hatinya, “Lagikan budak ini masih kecil terlalu cerdik ia, betapa kalau dia sudah dewasa, lebih baik aku persembah jahatnya kepada baginda, biar dibunuhnya budak itu!”. Memang selalulah fakir berfikir-fikir dengan:













HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, March 18, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

GANGGUAN GUNA TALIAN MAXIS
SUKAR DIHUBUNGI SEPANJANG PETANG

Assalamualaikum,

Telefon bimbit gunakan talian Maxis menimbulkan masalah sepanjang petang hari ini (17 Mac 2008), menyebabkan rakan-rakan yang menghubungi saya mulai jam 6.00 pm hingga 9.00 malam terganggu. Aktivis PRIMA termasuk Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz tak dapat menghubungi saya setelah menunggu untuk ‘teh tarik’ bersama Haji Mohd Sayuti Omar, Zaharin Yassin (Sang Kelembai) dan rakan-rakan lain. Aktivis perfileman dan penyair Yassinsalleh juga sekadar mengirim SMS, tetapi tak sempat pula dibalas akibat gangguan talian Maxis. Aduhai! Bagaimanapun selepas 9.00 malam talian Maxis kembali pulih, justeru saya sekadar diberitahu oleh Dato’ Kamal Amir, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyampaikan salam untuk sekretariat PRIMA.

Memang krisis keyakinan perlu dipulihkan oleh pimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, bagi menangani banyak isu terutama yang membabitkan survival ketuanan Melayu. Misalnya, sebelum ini media dikuasai UMNO dan PAS saling tuduh menuduh apabila menyentuh kemiskinan Melayu, hingga rakyat Melayu di Kelantan ditarifkan sebagai mundur. Provokasi media dikuasai UMNO (media arus perdana) pula disambut oleh media dikuasai PAS (Harakah) dengan mendedahkan kemiskinan Melayu di Kedah, Pahang atau lain-lain. Justeru keputusan pilihanraya 8 Mac 2008, UMNO tak mungkin lagi mentakrifkan Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sebagai negara mundur seperti Kelantan; malah PAS juga tak wajar pula memburuk-burukkan kemiskinan Melayu di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Mudah-mudahan!

BLOG PRIMA DIBERI RESPONS
SYARIKAT BERMINAT BUAT DOKU

Pagi ini (17 Mac 2008) syarikat penerbitan untuk slot TV Astro Prima menemui saya bagi membuat dokumentari pembabitan pimpinan PRIMA dalam kesusasteraan Melayu. Sekalipun ianya dalam proses perbincangan, tetapi memperlihatkan blog PRIMA makin menerima respons dari pelbagai pihak. Bukan sahaja syarikat penerbitan untuk slot TV berkenaan, malah individu perseorangan juga turut menghantar emel serta komen kepada blog PRIMA. Sebelum ini pengendali blog waghih.blogspot.com dari Seremban Sdr Rozmal Malakan yang juga aktivis PAS menjalin kerjasama dengan blog PRIMA, diikuti rakan dari Petaling Jaya dan Kota Bharu. Mereka juga pengendali laman blog yang sebelumnya memang terbabit dalam profesion kewartawanan. Alhamdullillah!

PRIMA digerakkan bermula dengan pertemuan saya dengan bekas pensyarah USM Haji Yahaya Ismail di sebuah restoran di Diamond Square Commercial Centre, Setapak sekitar 2006 apabila beliau meminta saya mengedit bukunya yang pernah diterbitkan pada dekad 1970-an ‘Perkembangan dan Kejatuhan Lekra di Indonesia’ (dalam usaha untuk diterbitkan semula). Beliau bersetuju apabila saya mahu usahakan penerbitan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ dengan disertai pula oleh Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Berikutnya PRIMA sekadar membuat kajian sejarah nasionalisme dan kebudayaan Melayu, diluaskan skopnya kepada perjuangan bahasa berikutan keputusan kabinet yang menyebut bahasa rasmi ialah ‘Bahasa Malaysia’. PRIMA menolak bahasa rasmi negara ini ‘Bahasa Malaysia’ sebaliknya hanya menerima ‘Bahasa Melayu’.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PAK LAH TAK PERLU BERLENGAH
PULIHKAN SEMULA KRISIS KEYAKINAN

Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa tak perlu lagi berlengah memulihkan semula ‘krisis keyakinan’ dengan membentuk kabinet, bukan sahaja sekadar tenaga baru tetapi mampu menghadapi kemelut politik Melayu berikutan prestasi buruk BN dalam pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’, Tengku Razaleigh Hamzah yang mempunyai pakej pengalaman di samping karisma dan wibawa wajar difikirkan menyertai pimpinan kerajaan bagi berhadapan dengan cabaran berikut yang sukar ditolak, beritahu pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail pagi ini (17 Mac 2008) ketika menghubungi sekretariat PRIMA. “Kekurangan majoriti dua pertiga di Parlimen bukan perkara mudah untuk dihadapi!” katanya menambah.

Haji Yahaya yang terbabit dalam gerakan ‘Front Bertindak Bahasa Kebangsaan’ pada dekad 1960-an dan mencetuskan ‘Isu Melayu Pulau Pinang’ sekitar dekad 1970-an yakin pilihanraya kecil dijangka Mei 2008 nanti akan pasti memihak kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sekaligus akan menjadi Ketua Pembangkang. Menurut Haji Yahaya, pada period pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pun, bekas Perdana Menteri itu mengelak dari membiarkan Dato’ Seri Anwar bertindak sebagai pembangkang di Parlimen. Justeru kata Haji Yahaya, barisan kabinet Dato’ Seri Abdullah memang memerlukan benteng kukuh bagi berhadapan dengan asakan 82 ahli pembangkang yang dibarisi Dato’ Seri Anwar, Dato’ Seri Hadi Awang, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Dato’ Ibrahim Ali, Mahfuz Omar atau Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Pakej pengalaman Tengku Razaleigh dikira sebagai aset terpenting bagi menghadapi asakan barisan pimpinan pembangkang di Parlimen, di samping bagi memulihkan semula krisis keyakinan politik Melayu di luar Parlimen,” beritahu Haji Yahaya selanjutnya. Di samping itu beliau menolak andaian seolah-olah memperkecilkan kemampuan barisan kabinet yang bakal dibentuk, sebaliknya Haji Yahaya percaya kombinasi pimpinan baru dan tokoh berpengalaman seperti Tengku Razaleigh ianya memberi lebih manfaat. Haji Yahaya seterus menggesa Dato’ Seri Abdullah tak melengah-lengahkan penubuhan kabinet di samping mengukuhkan kombinasi pimpinan dalam usaha memulihkan ‘krisis keyakinan’ bagi kepentingan ketuanan Melayu.

UTAMAKAN ASPIRASI RAKYAT:
SHAHIDAN PERLU TERIMA HAKIKAT

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta bekas Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kassim mengutamakan aspirasi rakyat, apabila menolaknya menerusi kuatkuasa istana. Dato’ Kamal Amir berkata, sekalipun Dato’ Seri Shahidan mampu membawa kemenangan partinya mendominasi DUN Perlis, ianya tak bermakna rakyat negeri Perlis mahukan pimpinan beliau. Menurut Dato’ Kamal Amir, rakyat Perlis sekadar setia kepada UMNO bukan menerima pemimpinnya. Justeru mereka merayu kepada kuasa istana yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi menolak Dato’ Seri Shahidan. “Kadangkala demokrasi juga dimanipulasi dengan kaedah yang sukar ditafsirkan,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Serentak dengan itu beliau juga turut meminta Dato’ Seri Idris Jusoh juga menerima hakikat, aspirasi rakyat di Terengganu perlu diutamakan. Justeru katanya, tak perlulah memanipulasi demokrasi dengan sokongan majoriti ADUN bagi menunjukkan menerima mandat parti. Institusi istana bukan mencampuri urusan politik, sebaliknya menerima kehendak rakyat yang mengharapkan baginda raja-raja Melayu menjadi payung dalam usaha melindungi dikri ‘Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri’ baginda masing-masing. Apabila orang politik mengeksploit pembahagian kuasa menerusi amalan sistem demokrasi, kadangkala ianya mengabaikan fakta sokongan akar umbi. “Kalau dulu meminta mereka yang tak terpilih menjadi calon menerima hakikat, sekarang masanya pula bagi pihak terbabit menerima hakikat,” kata Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

ANAK MELAYU BUTA TULISAN JAWI
FENOMENA MENJELANG ALAF BARU 2000

Kemampuan PAS dan PKR mendominasi kerajaan negeri di pantai barat pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu, diminta tak mengabaikan usaha memperkasa semula tulisan jawi sebagai dikri memartabatkan Bahasa Melayu. Aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar mengingatkan ‘tulisan jawi’ sekadar mampu bertahan hingga dekad 1970-an, akibat dasar pendidikan yang tak mementingkan tulisan jawi. Akibat dasar pendidikan yang kurang prihatin terhadap tulisan jawi, menyebabkan anak-anak Melayu yang bersekolah pada dekad 1970-an tak lagi mampu menguasai tulisan dan ejaan jawi. Justeru menjelang alaf baru 2000, majoriti anak-anak Melayu ‘buta tulisan jawi’. “Apalagi badan-badan budaya dan persuratan juga turut mandul pemikiran dalam memperkasakan semula tulisan jawi,” jelasnya menambah.

Di samping merujuk kepada kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengnambil insiatif mempekasakan tulisan dan ejaan jawi menerusi sekolah agama rakyat, Haji Mohd Sayuti yang juga pengarang akhbar tabloid ‘SIASAH’ mendesak kerajaan negeri di Perak, Selangor dan Kedah mengguna pakai kaedah di Kelantan dalam melestarikan tulisan dan ejaan jawi di negeri-negeri pantai barat. Menurutnya lagi, pada dekad 1930-an dan 1940-an novel-novel Melayu juga dicetak dalam tulisan jawi, sebaliknya menjelang dekad 1960-an tulisan rumi mendominasi budaya ilmu orang Melayu. “Jatidiri Melayu akan turut tergugat sekiranya tulisan dan ejaan jawi dikorbankan oleh fenomena politik,” katanya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MINTA MAAF BUKAN PENYELESAIAN:
SEKADAR UNTUK MENJAGA HATI SAHAJA

Kata sahibul hikayat tersebutlah kisah seorang pembesar negeri yang baru dipilih bernama Dato’ Mukhriz bin Tun Dr Mahathir diminta meminta maaf kerana mengutus surat kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memintanya segera meletakkan jawatan. Maka segala hulubalang dan pegawai-pegawai muda pun disuruh berlengkap dalam mesyuaratnya dengan mengingatkan Dato’ Mukhriz: ‘Mulut bacar emas banyak, hati berani senjata tajam’! Maka diberitahu kepada orang banyak oleh pemukul-pemukul canang hari ini (9 Rabiulawal 1429 seperti kata anak cucu fakir ialah 17 Mac 2008), Dato’ Mukhriz tak mengenang budi setelah dijadikanlah ia orang besar di Jerlun yang boleh duduk berhadap-hadapan di balairongseri.

Syahdan akan fakir berasalah macam ‘anak-anak kecil’ bergaduh yang mengungkit ianya memberi gula-gula, walhal mereka bertengkar sekadar berebut-rebut barang mainan sahaja, adanya. Adapun Dato’ Mukhriz itu sekiranya diusir ia, maka orang-orang besar yang duduk berhadap-hadapan di balairongseri itu tinggal 139 sahaja, kerana kata orang tua-tua fakir: ‘Ikut hati mati, ikut rasa binasa’. Entahlah! Sekali persetua maka datanglah Feringgi ke negeri Melaka diketua kapitannya Gonzalo Periera, lalu dibawa menemui akan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Maka disarungkan oleh Gonzalo Periera kalung ke leher Dato’ Bendahara dengan melepasi kepalanya, hingga marahlah anak-anak Melayu dengan menyuruhnya meminta maaf. Lalu kata Dato’ Bendahara, “Jangan kamu sekalian memandai-mandai, bukankah dia belum tahu adat resam Melayu,” seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ disuratkan:








HIDUP BAHASA MELAYU!