Tuesday, May 12, 2009

EKORAN KECOH DI PERAK...

Hak Zambri buat rayuan:
Tapi, tak berasa malukah?

Kerajaan 'kudeta' pimpinan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir akan berusaha membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan sebagai menebus 'malu' setelah gagal mempertahankan kedudukannya selaku Menteri Besar Perak. Memang Zambry berhak membawa kes berkenaan bagi membuat rayuan, tetapi tak berasa malukah? Kalau dari peringkat awal lagi segalanya dah tak betul, justeru sampai bila-bila pun warga Malaysia tahu UMNO/BN menghalal cara bagi meneruskan kuasa, sekalipun kebencian rakyat sukar dipujuk dengan seribu janji dan harapan.

Bagaimanapun kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat lewat malam semalam (11 Mei 2009) mengambil keputusan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang berkuat kuasa serta merta. Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di kediaman beliau selepas tamat mesyuarat tersebut yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak di Ipoh.

Keputusan itu adalah antara tiga ketetapan penting yang diputuskan of Exco pada mesyuarat itu susulan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Putrajaya tengahari semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah sejak beliau mengangkat sumpah jawatan tersebut pada Mach 2008. Dato' Seri Ir Mohamad Nizar memberitahu media selepas mesyuarat itu, "Pada mesyuarat tergempar Ecxo kami telah mencapai keputusan untuk menggantung Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid daripada tugas mereka dengan serta merta."

Mereka dilarang menghadirkan diri atau menjalankan tugas di pejabat Setiausaha Kerajaan sehingga diberitahu kelak, beritahu Ir Mohamad Nizar. Menurutnya lagi, kami tidak memecat mereka kerana gaji dan elaun mereka tetap diberi tetapi mereka tidak dibenarkan bertugas. "Tugas Setiausaha Kerajaan Negeri akan dipangku oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Jamaluddin Al Amini manakala timbalan Penasihat Undang-Undang akan menjalankan tugas ketuanya yang digantung kerja. Sekiranya mereka dibenarkan terus bertugas kami khuatir akan timbul perasaan syak mengesyaki antara mereka dengan kakitangan lain dan perkara ini tidak baik," beliau menjelaskan. (http://www.biaqpila.blogspot.com/)

PUISI BERSAMA DR INTAN

Apelah Ropenye Perak
Idak Berdoroyan Yop Oi!

Mase Intan kecil dulu
arwah opah kate
bila dia dah takde
keturunanannye,
janganlah berebut
tanah pesake.

Nanti merajuk
semangat tanah
akan terbantut subur
tumbuhan-tumbuhan
pohon-pohon terlupekan musim
pokok-pokok tak mahu
berbunge.

Aduhai, opah
maafkanlah Intan,
mase opah kabor tu
Intan tak percaye.

Udah sebulan
musim doroyan
patutnya bermule,
sebatang pun
idak lagi berbunge
di Lata Kinjang takde
di Tualang Sekah tak kembang
di Malim Nawar
pun tak nampak rope.

Alahai, opah
apelah ropenya
Perak idak berdoroyan
semusim sajeke
kami takkan merase
gulei tempoyak?

Aduhai orang-orang besor negri
tolonglah kami orang-orang kampung
janganlah doroyan kami
berpanjangan tak berbunge
berontilah menghalal haramkan
politik negri pilihan kami
menurut nafsu nafsi
kembalikan hak kami yang ternafi.

Kalau idak,
takut nanti tujuh musim
doroyan tak menjadi
tujuh musim ikan tak bermain
tujuh keturunan kemarau memanjang
tujuh zaman bangsaku
hilang keturunan
dan pohon-pohon doroyan
akan ditebang
untuk dibuat terompah.

Opah Robeah tersayang
negri kite, Perak tercinte
porak perande!

-Dr Seri Intan Mokhtar
jam 2316
Mei 11, 09
Lata Kinjang,
Cenderiang, Tapah,
Perak DR.

Monday, May 11, 2009

APA KATA TUAN GURU...


Syukur dengan keputusan:
Nik Aziz ajak berpuasa sunat
Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihati rakyat Malaysia dan penyokong PR berpuasa esok (12 Mei 2009) kerana bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Dalam kenyataannya di Kota Bharu, Dato' Nik Aziz berkata, "Setelah kita menang di Perak kini Perak telah bertukar menjadi emas buat Pakatan Rakyat. Kejahatan telah terbukti dan kebenaran telah menjelma. Saya menasihati agar yang beragama Islam untuk puasa sunat esok hari serta sembahyang sunat syukur dua rakaat, jangan terlalu gooh dengan kemenangan ini."

Menurut laporan laman blog http://www.ahmadtarmizi.blogspot.com/, Dato' Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mengeluarkan kenyataan media di Kota Bharu sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak: 1) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak, 2) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak, dan 3) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.

Sebalikya UMNO/BN menerusi Dato' Dr Zamry Abdul Kadir mendakwa, mereka cuma menggunakan alasan mendapat lebih majoriti apabila 3 wakil rakyat dari Pakatan Rakyat melompat ke BN. Disamping itu Zamry juga mendakwa mendapat perkenan pihak Istana Perak dan menuduh Nizar seorang penderhaka. Sekiranya Zambry membuat rayuan terhadap keputusan tersebut, maruah UMNO/BN bukan sahaja jatuh ke perlimbahan, malah petanda awal ianya menggali kubur sendiri, menurut penganalisis politik.

KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI...


Perlembagaan Tertinggi:
Sah Mohammad Nizar MB
(Kenyataan media Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim, di Petaling Jaya pada 11 Mei 2009, mengenai keputusan mahkamah tinggi yang mengesahkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak)

Alhamdulillah saya menyambut baik keputusan mahkamah tinggi hari ini yang mengistiharkan YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan tersebut merupakan satu kemenangan buat rakyat dan juga sistem demokrasi di negara ini. Kami menyeru agar YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan segera dikembalikan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Keputusan hari ini membuktikan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Makanya adalah mustahak bagi semua institusi kerajaan untuk menghormati semangat yang termaktub dalam perlembagaan. Ini termasuklah sistem pengasingan kuasa yang secara jelas menggariskan pengasingan di antara kuasa eksekutif, kehakiman dan juga perundangan. Sejajar dengan itu adalah penting untuk kita mengiktiraf sidang bawah pokok yang berlangsung pada 3hb Mac 2009 serta segala resolusi yang diluluskan pada hari tersebut.
Bagi menyelesaikan kemelut politik di Negeri Perak, Pakatan Rakyat tuntas dengan tuntutan agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan serta merta. Ini membolehkan rakyat menentukan kerajaan mana yang memperolehi mandat serta kepercayaan mereka melalui pilihanraya yang bakal diadakan nanti. Kami yakin rakyat pasti memilih yang terbaik buat masa depan mereka dan negara ini. Sepanjang kemelut di Perak, Pakatan Rakyat menunjukkan iltizam untuk tetap teguh menjunjung Keluhuran Perlembagaan serta konsisten membawa Perubahan.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo

Anak harimau jangan diajar:
Makan daging ketika ia lapar

Arakian penitir-penitir canang yang suka menyurat berasa hampa akan Orangkaya Tuan Guru Dato' Seri Hadi Awang itu tak dilawan menjadi penghulu segala anak-anak buah harakah Islam (PAS) di negeri Melayu itu. Adapun penitir-penitir canang itu sudah menjadi kebiasaan melaga-lagakan siapa sahaja yang tak bersetuju dengan harakah Melayu (UMNO). Maka tak henti-hentilah penitir-penitir canang itu berharap akan Orangkaya Nasharuddin Mat Isa akan ditentang ia untuk jawatan Timbalan Penghulu.


Syahdan akan Haji Muhammad Sabu juga disebut-but orang akan melawan Orangkaya Nasharuddin itu, adanya. Sebermula penitir-penitir canang itu juga berharap Orangkaya Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abdul Razak dan Orangkaya Dato' Husam Musa akan ikut sama berlawan. Adapun penitir-penitir canang itu bukanlah menyurat untuk kepentingan bangsanya, kerana mereka itu mahu menyara hidup anak isteri. Maka fakir pun berfikir di dalam hati, penitir-penitir canang merasakan sudah khatamlah belajarnya. Maka diperbuat orang banyak pantun:

Ketitir kunang-kunang
Gagak bulunya hitam
Penitir-penitir canang
Banyak kaji tak khatam

Kata sahibul hikayat, ada seorang orang salah berdosa pada baginda, salahnya itu tida berapa bina. Maka oleh Seri Maharaja disuruhnya bunuh orang itu. Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Hai, hai, lihatlah Seri Maharaja; anak harimau diajarnya makan daging, dia kelak akan ditangkapnya." Maka pada ketika itu Seri Bija Diraja datang dari Singapura. Sebermula fakir diberitahu akan Seri Maharaja itu apabila menjadi bendahara, dialah yang dibunuh oleh Sultan Mahmud bersama semua keluarganya sekali, seperti dirawi dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG

Kerjasama politik perkara biasa:
Isu boleh selesai asal sahaja heh heh heh!


Assalamualaikum,


Kesediaan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bekerjasama dengan pimpinan pembangkang bagi menyelesaikan krisis perlembagaan di Perak, memang bukanlah membentuk kerajaan campuran. Bagaimanapun penyelesaian mudah iala membubarkan DUN Perak bagi membolehkan pilihanraya baru. Dengan kedudukan BN (28), PR (28) dan Bebas (3), DUN Perak juga tak stabil. Kalau tak dibubar sebagai penyelesaian yang adil kepada semua pihak untuk menerima semula mandat rakyat, justeru tak wujudlah ketelusan dalam meleraikan kekusutan.

Kerjasama politik bukanlah macam mencampakkan mata kail ke tengah air berpusar seperti dalam novel 'Juragan' (1987), tetapi tak menjejaskan mana-mana pihak. Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar dekad 198o-an juga menerima kerjasama Parti Komunis Malaya (PKM), apabila Chen Ping (Ong Boon Hua) bersedia menghentikan gerakan militan, di samping diberi tanah di selatan Thailand untuk mereka memulakan penghidupan baru. Mereka sekarang menetap di Kampung Perdamaian, di selatan Thailand bersama waris keturunan masing-masing.


Tun Abdul Razak juga menjalin kerjasama politik bersama Parti Gerakan dan PAS selepas pilihanraya 1969, tetapi tak heboh menerusi media. Misalnya, malam tragedi 13 Mei, Tan Sri Hamzah Abu Samah ke Kelantan menemui Tan Sri Mohd Asri Haji Muda, di samping malam itu juga ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas. Bersediakan Dato' Seri Mohd Najib turun sendiri ke Kelantan menemui Tuan Guru Dato' Nik Aziz bin Nik Mat atau ke Terengganu ke kediaman Tuan Guru Dato' Seri Haji Hadi Awang? Kalau harapkan pimpinan PAS menemui pimpinan UMNO, heh heh heh!


Pada 1993 apabila isu meminda perlembagaan bagi menghadkan kekebalan raja-raja, Ahli Parlimen Pembangkang sebahagiannya dijemput ke pejabat Tun Dr Mahathir. Selepas mereka bersedia menyokong usul berkenaan (kecuali wakil S46 dan PAS), barulah usul pindaan itu dibawa ke Parlimen. Itulah sejarah kerjasama politik! Maknanya kerjasama politik ini sudah berlaku sebelum Dato' Seri Najib menduduki kerusi PM, justeru pihak-pihak tertentu tak payahlah nak buat gimmik. Aduhai!

-Pak Dharma.

KENYATAAN MEDIA ANWAR

Status sebenar tahanan:
Kementerian perlu mohon maaf!
(Kenyataan media Ketua Pembangkang Parlimen dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur pada 10 Mei 2009, mengenai pembebasan 13 tahanan ISA yang tergesa-gesa oleh Kementerian Dalam Negeri hari ini).

Saya gembira sebaik dimaklum berkenaan pembebasan 13 orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuklah tiga orang pimpinan Hindraf. Kesemua mereka termasuk beberapa rakan yang didakwa terlibat dalam keganasan tanpa bukti - satelah 6-7 tahun ditahan telah mengharungi dugaan ini dengan penuh kesabaran.

Meski pun kepedihan dan kesengsaraan yang ditanggung amat berat, mereka tetap teguh berpegang kepada prinsip perjuangan serta tidak mahu menyerah kepada tuntutan pemerintah agar patuh pada beberapa syarat mengongkong.

Syabas saya ucapkan kepada saudara P. Uthayakumar dan rakan-rakan lainnya. Maka seharusnya rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui apakah status sebenar tahanan yang dibebaskan walau sebelum ini mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan keganasan. Mereka semua perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya dan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri seharusnya memohon maaf kepada mereka. Sepanjang ditahan, kerajaan seringkali memutarkan fitnah kononnya mereka semua terlibat dengan aktiviti keganasan, namun tidak pula dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.

Nah! Sekarang sekonyong-konyong dibebaskan tanpa penjelasan. Jelaslah walau apapun penjelasan, juga justifikasi yang diberikan, ISA perlu dimansuhkan serta merta dan kesemua tahanan perlu dibebaskan. Undang-undang kuku besi lagi kuno ini sudah tidak mempunyai tempat jika benar-benarlah perubahan yang dihajati.

Kenyataan Menteri Dalam Negeri semalam membuktikan kerajaan sememangnya tidak berhasrat untuk memansuhkan ISA. Beliau menyifatkan pembebasan 13 tahanan semalam hanya berdasarkan keadaan bukannya kerana akta tersebut zalim.

Maka jelas terbukti lantaran tertekan dengan kebiadapan wakil-wakil rakyat BN sewaktu sidang DUN Perak tempoh hari, langkah pembebasan ini hanya sekadar satu upaya untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar iaitu pencabulan perlembagaan serta prinsip demokrasi di negeri Perak.