Tuesday, October 12, 2010

ORANG TUA KATA...ORANG MUDA KATA...

APABILA PEPATAH DISALAH GUNA
BENCANA MULA MENIMPA..!

Assalamualaikum,

Lama juga AW tak menulis. Bukannya apa, cuma sibuk sedikit dengan jadual peperiksaan. Mengenai tajuk di atas, AW tertarik untuk mengaitkan pepatah yang ditulis kawan AW di Facebook di laman komen dengan isu yang semakin hangat diperkatakan sekarang, kes buang bayi.Pepatahnya:

"Kerana kasih hamba turutkan,
buang ibu buang saudara..."

Tentu ramai yang pernah mendengar pepatah ini. Menurut kawan AW tersebut, orang kita sekarang ramai yang buang bayi kerana adanya pepatah ini. AW tidak menafikan kebenaran kata-katanya sebab anak muda kita suka menyalah gunakan pepatah Melayu. Bagi AW, pepatah ini tercipta disebabkan nenek moyang kita suka memilih calon suami/isteri untuk anak mereka walaupun anak mereka itu sendiri memiliki calon yang berasal dari keluarga baik-baik (walaupun tidak berasal dari keluarga kaya seperti Kassim Selamat, hehe).

Apalagi, apabila kehendak untuk bersama pasangan mereka sendiri dihalang, maka terhasillah pepatah ini. Tetapi, tidak mengapa. Walau bagaimana kerasnya larangan untuk bersama kekasih, mereka tetap ingin BERKAHWIN dan mempunyai hubungan yang sah. Bukan macam orang muda kita sekarang, menyalah gunakan pepatah Melayu untuk menghalalkan apa yang haram. Fikir-fikir sendiri la ye!

Yang peliknya, apabila alpa tentang dosa pahala dan menjadikan nafsu sebagai Tuhan, mereka tetap menyusahkan orang tua mereka dan juga orang ramai. Iyelah, apabila perut sudah memboyot, mereka memalukan keluarga mereka dan apabila "isi" perut yang boyot itu lahir kemudian dibuang, mereka menyusahkan orang ramai untuk mengebumikan bayi itu (jika mati) atau menjaga bayi itu (kalau masih hidup). Bukan bermaksud bayi itu menyusahkan masyarakat sekeliling, tapi bukankah molek kalau siibu itu sendiri yang menjaganya atau keluarga terdekat yang menguruskan jenazah bayi tersebut?Ish ish ish!

AW cukup geram melihat isu ini semakin "menggila". Bukankah elok jika halalkan sebuah hubungan dengan ikatan perkahwinan? Allah pun tidak murka.Tetapi, mengapa mesti nak tambah dosa? Sudahlah ada dosa berzina, tambah pula dengan dosa membunuh. Kepada "ibu bapa" yang pernah buang anak, andai kata bayi yang dibuang itu masih hidup kemudian ditakdirkan Allah untuk menjadi seorang Perdana Menteri, sekiranya anda kenal itu adalah anak anda, mahukah anda mengenepikan rasa malu dan mengaku itu anak anda? Semoga Allah lindungi kita daripada gejala maksiat.

(Tahniah untuk abang sulung AW, Khairil Nizam dan kakak ipar AW, Siti Khairiah atas kelahiran anak kedua mereka, Nur Hanna Aleesya pada 23 September yang lalu. Apabila AW menatap anak saudara AW itu dan ingin mendukung serta mengucupnya, AW rasa sangat takut dan gementar sebab takut dia berasa sakit dan tidak selesa. Ketika itu AW bermonolog, "Apa perasaan orang yang ingin buang anak ketika dia mahu membuang anaknya?"Dunia, dunia!)


-ANAK WARISAN...

Saturday, September 18, 2010

DALAM KENANGAN:

BELASUNGKAWA:
M.RAJOLI DALAM KENANGAN

Assalamualaikum,

Baru tadi AW melayari Facebook AW dan terlihat kiriman daripada kawan AW yang mengatakan pelakon veteren serba boleh, M.Rajoli atau nama sebenarnya Haji Mohd Rajoli b Mohamed Zain, 65 (gambar) telah kembali ke Rahmatullah kira-kira pukul 11.00 malam tadi (17 September 2010). AW pun menyemak laman web Utusan Malaysia kerana ia sentiasa memaparkan berita-berita terkini untuk memastikan kesahihan cerita itu. Memang benar, M.Rajoli sudah tiada!

Memang agak lama arwah menghidap penyakit tumor di kepala. Menurut Utusan lagi, arwah dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Ampang disebabkan tekanan darah rendah dan penyakit jantung pada hari Khamis. Keadaannya semakin kritikal sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir.

Pernah berlakon dalam beberapa filem dan drama seperti Lang Buana, Cicakman, Congkak , Al-Kautsar dan Tanah Kubur, pelakon yang cukup sinonim dengan watak baik ini juga berbakat dalam memegang watak antagonis. Arwah juga pernah meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk drama Tanah Kubur. Malangnya bakatnya kini hanya menjadi memori dan legenda dalam seni perfileman negara. Takziah untuk keluarga Allahyarham M.Rajoli dan Al-Fatihah untuk arwah. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang soleh.Amin.

-ANAK WARISAN...

Wednesday, September 15, 2010

KES PEMBUNUHAN SOSILAWATI DAN 3 YANG LAIN:

MENGAPA PEMBUNUHAN KEJAM INI
DILAKUKAN OLEH MANUSIA BERAKAL?

Assalamualaikum,

Sebenarnya AW rasa malas nak menulis di sini. Tapi memandangkan kes ini menjadi semakin hangat, AW tergerak hati sedikit ingin mengulas hal ini lebih-lebih lagi ianya dilakukan oleh manusia yang mempunyai ilmu. Menurut media massa dan media elektronik, Datuk Sosilawati (gambar), Kamaruddin Shamsuddin (pemandu peribadi Sosilawati), Ahmad Kamil Karim (peguam peribadi Sosilawati) dan Noorhisham Mohammad (pegawai CIMB) telah diseksa dengan kejam dan dibunuh sebelum dibakar untuk menghapuskan bukti.

Entahlah, yang melakukannya merupakan seorang peguam (gambar). Bukankah peguam itu mempunyai ilmu dan orang yang berilmu mampu berfikiran waras? Tindakan peguam ini bukan sahaja tidak waras, malah lebih teruk lagi daripada binatang buas. Itulah bak kata pujangga, "orang yang tamak selalu rugi." Pihak polis percaya bahawa kes ini berlaku disebabkan urusan perniagaan dan pembelian tanah. Jadi, bak kata orang Kedah, pikiaq la sendiri!

Lebih mengejutkan, peguam tersebut turut dikaitkan dengan kehilangan empat orang yang lain termasuk seorang ahli perniagaan dari Sri Lanka sebelum ini.Apa ke hei nye yob?Menurut Buletin Utama tadi, seorang lelaki mengaku pernah menjadi mangsa kekejaman peguam itu. Beliau membuat laporan polis, dan hasilnya isterinya ditetak sehingga mati di depan rumah peguam itu. Kalau tak silap apa yang AW sempat dengar tadi, mangsa ada mengatakan yang dia meminjamkan duit kepada peguam itu dan peguam itu meminta dia memilih antara duit dan keluarga (mungkin ketika mangsa ingin menuntut hutang).Ada ke patut?

Cuma satu yang AW ingin katakan, jika benarlah arwah Sosilawati itu bersalah terhadap peguam itu, tak sepatutnya arwah diperlakukan begitu. Negara kita masih ada undang-undang, belum terlupus pun lagi undang-undang kita. Tapi mengapa perlu peguam itu melakukan undang-undang sendiri?Dan kenapa 3 orang yang lain itu turut dibunuh?Mereka mempunyai isteri dan anak-anak yang masih kecil. Itulah, bila nafsu menguasai diri, akal waras ditolak ke tepi. Harap semua rakyat di Malaysia dan dunia mengambil iktibar daripada insiden menyayat hati ini. Semoga keluarga kesemua mangsa yang terlibat tabah menghadapi saat kehilangan orang tersayang. Al-Fatihah untuk kesemua arwah.
-ANAK WARISAN...

Thursday, August 12, 2010

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1431 H

Assalamualaikum,

Nampaknya AW sedikit terlambat untuk mengucapkan salam Ramadhan 1431 H.Bukannya apa,AW mengalami demam pada hari pertama umat Islam berpuasa. Hari ini AW berasa sedih kerana hari ini genap setahun pengasas blog ini, Allahyarham Abdul Muluk @ Pak Dharma pergi menghadap Ilahi setelah 9 hari dimasukkan ke Hospital Selayang akibat serangan jantung. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.



~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1431 H~
-ANAK WARISAN...


Wednesday, July 21, 2010

IMBASAN CERAMAH TERAKHIR UNTUK SISWA DAN SISWI UKM SESI 2008/2009


Ceramah ‘Pengkisahan Sejarah Pembukaan Negeri Sembilan Dan Adat Istidatnya’ oleh Dharmala N.S. (Pak Dharma), Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (Prima) anjuran Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (Permanis), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi 2008/2009 dalam Program Kembara Seri Perpatih, pada 27 Januari 2009 jam 9.00 pagi di Panggung Budaya UKM, Bangi.

PENDAHULUAN

Pembukaan negeri dikaitkan dengan unsur-unsur mitos bagi memperlihatkan ciri-ciri super naturalpower di samping limpah daulat rajanya. Kerajaan Melayu Melaka dibina pada 1401 misalnya, berasaskan mitos pelanduk putih menendang anjing perburuan Parameswara (atau Raja Iskandar) hingga tercampak ke anak air. Unsur-unsur mitos juga diterapkan dalam pembukaan kerajaan Salendra yang berpusat di Palembang sebelumnya, atau kerajaan Temasik pada period Sang Nila Utama yang terbias dalam pelayaran dari Bentan. Sang Sapurba di Palembang ditampilkan dengan insiden padi di bendang Wan Empok dan Wan Malini di Bukit Seguntang berbuahkan emas, berbatangkan tembaga, berdaunkan sesuai. Kononnya!


Sang Nila Utama pun dikejutkan dengan insiden terserempak haiwan berkepala singa bertubuh seakan-akan kuda ketika mendarat di Pulau Temasik bagi membuka negeri baru dinamakan Singapura. Sang Sapurba pula melangkaui ke Minangkabau bagi membunuh ular yang mengganggu petani prolitar membangunkan huma di lereng gunung. Dengan kesaktian super naturalpower Sang Sapurba mengurniakan pedang Corek Semandang Kini kepada panglimanya Permasku Mambang bagi membunuh ular berkenaan. Tetakan pedang Corek Semandang Kini menyebabkan raptelia berkenaan mati, tetapi dikekalkan unsur-unsur mitos apabila mata pedang terbabit sumbing 199 banyaknya. Berikutan kehebatan super naturalpower daulat Sang Sapurba kararlah beliau menjadi raja Pagarruyung bagi mewariskan pemerintahan di Negeri Sembilan. Bagaimanapun di kalangan masyarakat Minangkabau apabila mengungkapkan sirah pembukaan negerinya disebut:

Dari mano asal terbit pelito
Daripada tanglung nan berapi
Dari mano asal nenek kito
Dari lereng Gunung Merapi.

PEMBUKAAN NEGERI SEMBILAN

Berdasarkan buku ‘Peraturan Adat Istiadat Dalam Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan Darul Khusus’ yang disalin oleh Ustaz Mahmud bin Talib iaitu bertarikh 12 Muharram 1407 (16 September 1986) dari teks asalnya disusun oleh Tengku Besar Burhanuddin ibni Almarhum Yamtuan Antah, pembukaan Negeri Sembilan diasaskan oleh Raja Melewar dari Pagarruyung pada 1773 sempena sembilan orang penghulu yang membaiah baginda di Astana Raja, Rembau. Bagaimanapun dalam catatan Belanda daripada Van de Veer panglima armada lautnya menyebut Bendahara Sekudai membuat lawatan ke ‘Nine States’ pada 1644, selepas membantu Belanda menewaskan Portugis di Melaka dalam tragedi memanjat sigai pada 1641.

Malah merujuk kepada jurnal ‘Papers on Malay Subjects’ berkaitan ‘Notes on The Negeri Sembilan’ daripada himpunan essei Martin Lister, D.V.A. Harvey, R.N. Bland, A Hale, C.W.C. Parr dan beberapa lagi orientalis barat, kolonial Belanda di Melaka yang mewujudkan ‘Nine States’ pada 1643 dengan mengiktiraf kuasa Dato’ Seri Lela Merah, sebagai pemerintah di Naning, di samping menjadi ketua kepada ‘Nine States’. Pada 1705 pemerintah Naning diiktiraf pula Sultan Abdul Jalil III dengan diberi cop mohor kerajaan Johor, diikuti oleh Penghulu Rembau pada 1707 menerima pengiktirafan kerajaan Melayu Johor menerusi Bendahara Seri Maharaja. Sebaliknya selepas tragedi Sultan Mahmud Mangkat Dijulang 1699, Bendahara Abdul Jalil memproklamir dirinya menjadi Sultan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil IV (atau Sultan Abdul Jalil Riayat Shah) justeru bertepatan gelaran bendaharanya, Bendahara Seri Maharaja.

Bagi masyarakat Negeri Sembilan sejarah pembukaan negeri lebih terarah kepada pengkisahan ‘terombo’ yang disimpan oleh waris masing-masing sebagai salasilah jurai keturunan mereka. Justeru sejarah pembukaan Negeri Sembilan tak pernah dirujuk kepada sejarah bertulis, sebaliknya lebih afdal diungkapkan ‘yang tersurat dan yang tersirat’. ‘Terombo’ akan menjadi pegangan mereka kerana ianya ‘yang tersirat’, sebaliknya sejarah bertulis dianggap ‘yang tersurat’ dianggap berlawanan dengan fakta pertuturan lisan mereka yang berungkai-rungkai, berangkai-rangkai dan berbingkai-bingkai dengan unsur-unsur mitos, legenda mahupun fantasi. Dalam mengungkapkan sejarah pembukaan negeri disebut:

Mengaji dari alif
Berbilang dari esa
Berkata daripda asal
Usul asal jangan ditinggalkan
Sehelai akar sebingkah tanah sebatang kayu
Sehelai akan yang putus akan pengikat
Sebingkah tanah terbalik buat permatang
Sebatang kayu tumbang buat turasan
Permatang sudah lurus, tanah sudah datar
Tanaman sudah menjadi, orang sudah ramai
Si Lawah turun ke hilir, Si Pasin mudik ke hulu
Alam sudah beraja, luak sudah berpenghulu
Suku sudah berlembaga, anak buah sudah berbuapak
Adat nan datar, pesaka nan satu
Runding tidak beralih, ibu adat muafakat!


-WARIS PAK DHARMA-

Saturday, June 12, 2010

MACAM-MACAM...

EMPAT ORANG KEHILANGAN GELARAN
SETELAH DITARIK BALIK SULTAN JOHOR

Assalamualaikum,

Kali ini AW ingin menyentuh kisah empat orang yang ditarik balik pangkat "Datuk" dan "Datin Paduka" oleh Sultan Johor. Mereka yang ditarik balik pangkatnya ialah adik ipar Sultan Johor, Komander Shaftdean Lufty Rusland, wanita pertama yang menjelajah Kutub Utara dan Selatan, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Chua Jui Meng dan pengamal undang-undang, Hassan Yunos.

Hal ini disahkan oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Keputusan itu dibuat berdasarkan laporan yang diterima dan bersetuju menasihatkan Sultan Johor untuk melaksanakan kuasa baginda.Demi melindungi maruah mereka, jumaah tidak mendedahkan sebab penarikan itu dibuat. Menurut kata Abdul Rahim, tiga kriteria dipertimbangkan ketika pengurniaan darjah kebesaran iaitu ketaatan kepada raja, semangat berusaha dan sumbangan terbaik. Menurutnya lag, pihak yang terbabit perlu tanya diri sendiri mengapa penarikan pangkat itu dibuat.

Hai, entahlah!

-ANAK WARISAN...

Monday, June 7, 2010

ISU SEMASA

PENGALAMAN SUKARELAWAN MALAYSIA
KETIKA MERASAI SENDIRI KEKEJAMAN ISRAEL

Assalamualaikum,


Kali ini AW hanya ingin menulis sedikit sahaja mengenai sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel. Sebelum AW menyentuh mengenai tajuk di atas, AW ingin memberikan pendapat mengenai tahanan dari kapal Rachel Corrie. Semasa menonton Berita Terkini pukul 4.00 petang tadi, AW hanya dapat memanjatkan kesyukuran apabila sukarelawan Malaysia dari kapal Rachel Corrie dijangka tiba di KLIA hari ini. Mereka bernasib baik kerana tidak diapa-apakan. Cuma AW terfikir sendiri, apa yang Israel dapat dengan menahan kapal-kapal yang menghantar bantuan kepada rakyat Gaza dan membunuh sebahagian sukarelawan tersebut?Dunia, dunia!

Berbalik kepada tajuk di atas, AW merasa gentar sedikit ketika membaca pengalaman sukarelawan Malaysia ketika berada di bawah tahanan tentera Israel di Harian Metro. Menurut Ketua Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Shamsuddin, tentera Israel memang berniat untuk membunuh. Hal ini kerana sekumpulan sukarelawan berjaya menangkap tiga orang tentera Israel yang tersilap langkah. Apabila diperiksa, mereka mendapati senarai nama dan gambar individu di atas kapal Mavi Marmara ada pada mereka. Seterusnya mereka mendapati kebanyakan mereka yang terbunuh terdapat dalam senarai itu. Manakala mereka yang terselamat tidak ada dalam senarai itu. Pelikkan?

Menurutnya lagi, sepanjang berada di bawah tahanan tentera Israel, mereka diikat hampir 15 jam, tidak dibenarkan ke tandas, tidak diberi makan hampir 24 jam dan sentiasa diacukan senapang. Walaupun misi mereka untuk menghantar bantuan kepada rakyat Gaza terbantut, sekurang-kurangnya peristiwa ini telah membuka mata dunia untuk mengecam tindakan Israel. Seperti contoh, masyarakat di Eropah sudah mula melakukan demontrasi mengecam kekejaman Israel yang menghalang misi bantuan ke Gaza dan membunuh sebahagian sukarelawan yang terlibat.

Malaysia akan memfailkan petisyen untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Diharap usaha Malaysia akan berjaya. Kesimpulannya, seluruh masyarakat dunia khususnya umat Islam perlu bersatu padu untuk menunjukkan bahawa Israel semakin dibenci. Israel semakin melampau berikutan kejadian yang menimpa sukarelawan dari kapal Mavi Marmara. Teringat pula kata-kata bonda AW, "Sepatutnya, sukarelawan Malaysia 'tu patut diberi anugerah Datuk ke, disambut dengan kalungan bunga ke sebab dia orang 'tu bertarung nyawa nak sampaikan bantuan, bukannya beri pangkat atau penghormatan pada orang yang tak bagi apa-apa sumbangan pun!"Fikir-fikirkan lah ye.Heh heh heh!


-ANAK WARISAN...