Wednesday, April 29, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Mana rimah nasi:
Yang kita makan tadi?

Syahdan kecohlah lagi di negeri Terengganu kerana baju untuk diberikan kepada pelajar-pelajar miskin dibeli dari negeri China. Adapun yang berkata-kata itu Orangkaya Hulu Besut, Nawi Mohamad. Tiadalah ia berkata-kata itu ditujukan kepada Orangkaya Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said (gambar), tetapi berasa kecewa kerana membabitkan peruntukan RM7.9 juta. Arakian disebut orang banyak di Terengganu itu sudah sedia ada 32 pusat jahitan Persatuan Ibu Tunggal yang mampu menyediakan 100,000 pakaian seragam sekolah sebulan. Maka dipantunkan oleh orang tua-tua:

Buai laju-laju
sampai pucuk sena
beli baju baru
pergi ke negeri China

Sebermula adapun Sultan Ahmad itu, semanya baik, lagi murah; tetapi suatu celanya, sebab tiada kasih akan segala pegawai-pegawai dan segala orang-orang besar, melainkan orang muda-muda dan hamba raja yang ersebut itu dikasihi baginda. Apabila orang-orang muda sudah makan di dalam ayam suapan dan nasi kunyit, atau barang sebagainya, maka apabila segala orang besar-besar datang menhadap Sultan Ahmad, maka dikias-kias atau disindir-sindir oleh segala orang muda itu katanya, "Mana rimah nasi kunyit dan tulang ayam suapan yang kita makan tadi?"; seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:


Pak Kaduk & Lebai Malang:
Di kalangan segelintir Melayu

Assalamualaikum,
Ketika UMNO hampir tersungkur dalam pilihanraya 1969, diikuti tragedi 13 Mei yang tak pernah dialami oleh kalangan yang menganggap diri mereka serba tahu dalam usia tak menjangkau 45 tahun, Bahasa Melayu tampil menyelamatkan pimpinan politik Melayu termasuk UMNO, PAS mahupun tak berparti. Tun Rahman Yaakob (gambar) mengangkat martabat Bahasa Melayu dengan dilaksanakan dalam surat menyurat jabatan kerajaan, mahkamah malah di Dewan Rakyat. Selaku Menteri Pelajaran, Tun Rahman menjadi kebanggaan Melayu dengan pendekatan beraninya ketika itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang tewas di Parlimen Kota Setar Utara turut mendaulatkan bangsa Melayu menerusi 'Dilema Melayu'. Beliau mempersoal peratusan Melayu dalam jawatan tinggi kerajaan; mempersoal peratusan Melayu dalam perebutan ekonomi, apalagi kemiskinan Melayu yang berstatus Pak Kaduk dan Lebai Malang. Begitulah! Semua beban kesalahan diletakkan dibahu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang kononnya terlalu 'bertolak ansur', menyebabkan bangsa Melayu ditolak, ditolak, ditolak dan terus diansur.

Kalau pendukung-pendukung PPSMI yang menolak Bahasa Melayu mahu pertahankan juga pelaksanaan berkenaan, teruskanlah! Pejuang-pejuang bahasa tak rugi apa-apa dengan kesediaan menyuarakan kepentingan bangsa Melayu apalagi semuanya sudah menjangkau warga emas yang usia jangka hayatnya beberapa tahun sahaja lagi. Bukan sahaja Dao' Hassan Ahmad, Dato' A Samad Said, Dato' Dr Muhamad Mansor Abdullah, Mohd Affandi Hassan dan ramai lagi, semuanya tak memerlukan apa-apa lagi.

Tetapi kalau dengan PPSMI UMNO merasakan mampu meneruskan jangka hayat, silakan! Pilihanraya 1969 sudah meletakkan UMNO dipersimpangan, justeru terpaksa melutut kepada Bahasa Melayu menerusi ketegasan Tun Rahman Yaakob (selepas diperlekeh oleh pimpinan UMNO pada 1967). Selepas itu barulah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, berikutan 'Dilema Melayu' yang diungkit-ungkit oleh Tun Dr Mahathir. Bagaimanapun DEB tak juga mencapai sasaran 30% individu Melayu dalam penyertaan ekonomi menjelang 1990 (kecuali agensi-agensi kerajaan, pun tak mencapai juga 30% itu). Alahai!

-Pak Dharma

APA KATA DR MANSOR...


Sukar UMNO lwn aura Anwar:
Lakukan segera sikap 'self criticsm'

Pimpinan UMNO tak seharusnya berasa malu mengakui aura Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim lebih mengkagumkan orang Melayu berbanding dengan pemimpin UMNO sendiri, kata bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM Profesor Dato' Dr Muhamad Mansor Abdullah (gambar kanan). Beliau yang berkunjung ke Sabah minggu lalu diberitahu lebih 70% kakitanagn awam dari Semenanjung yang berkhidmat di negeri itu menganggap Anwar sebagai ikon kepimpinan sekarang. Justeru menurut Profesor Dato' Dr Muhamad Mansur, pimpinan UMNO perlu melonjakkan diri lebih dikagumi daripada Anwar kalau mahu memulihkan semla reputasi UMNO. "Kalau UMNO masih berkhayal dengan kualiti pimpinan mereka sekarang, maknanya mereka menunggu masa menjadi denosour yang akan pupus," beliau menjelaskan.

Serentak dengan itu Profesor Dato' Dr Muhammad Mansur yang juga aktivis UMNO meminta pimpinan UMNO tak berasa malu untuk melakukan 'self criticism' dan jangan berkhayal dengan puji-pujian media massa yang memang 'ada udang di sebalik batu'. Pemimpin UMNO tak perlu berselindung apabila tak disambut kedatangan mereka di Sabah, tetapi perlu bermuhasabah diri memperbaiki rekod peribadi, bagi mengatasi populariti Anwar di kalangan orang ramai. Selagi pemimpin UMNO bergantung kepada puji-pujian media massa dengan tak membuat 'self criticism', Anwar dan Pakatan Rakyat akan sentiasa berada di hadapan, menurut Profesor Dato' Dr Muhamad Mansor. "Trend pemikiran masyarakat sekarang sudah jauh berbeza, justeru UMNO jangan membiarkan diri terus menjadi denosour," beriahu beliau selanjutnya.

KENYATAAN MEDIA ANWAR IBRAHIM

Profesor Madya di USM:
Calon PKR di DUN Penanti


(Permatang Pauh, Pulau Pinang) Sesudahnya tsunami politik Mac 2008, rakyat Malaysia kembali ke peti undi sebanyak lima kali. Empat darinya kita menyaksikan rakyat Malaysia memilih Pakatan Rakyat, yang kelimanya walaupun dicemari politik wang dan penipuan, menunjukkan betapa rakyat begitu mengidamkan perubahan dan politik baru di negara ini.

Mesejnya jelas. Rakyat Malaysia mahukan perubahan dan menidakkan pemerintahan BN yang dikuasai Umno. Mereka mendakap perjuangan Pakatan Rakyat yang mahukan rakyat bersatu padu dan berusaha membasmi rasuah serta memastikan tidak ada lagi kaum yang dipinggirkan, baik Melayu mahupun kaum bumiputera Sarawak dan Sabah.

Oleh itu saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan calon KEADILAN bagi kawasan Penanti pada pilihanraya 31 Mei ini ialah En. Mansor bin Othman. Beliau merupakan Ketua Bahagian KEADILAN Balik Pulau dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri KEADILAN Pulau Pinang. Beliau juga telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Pusat KEADILAN. En. Mansor Othman juga telah berkhidmat dengan saya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri sebagai Setiausaha Politik dari tahun 1996-1998.

Beliau telah mencurahkan tenaga demi membawa pembangunan ke Pulau Pinang dan saya yakin beliau bersedia untuk berkhidmat untuk penduduk Penanti sepenuh jiwa dan raga.

En. Mansor merupakan pemegang ijazah sarjana dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana falsafah serta sarjana sastera dari Universiti Yale. Beliau merupakan Profesor Madya di USM dan Pengarah Pusat Kajian Dasar. Beliau secara aktif berusaha meningkatkan taraf pendidikan dan program belia di Pulau Pinang dengan penglibatan sebagai ahli Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat dan Jawatankuasa Program Pembangunan Belia. Sebagai exco PEMADAM, beliau bekerja keras meningkatkan kesedaran awam berhubung penyalahgunaan serta langkah-langkah pencegahan dari terlibat dengan dadah.

Melalui program TEKUN di mana beliau sebagai Pengurus Besar, En. Mansor Othman terlibat secara aktif dalam pembangunan usahawan bumiputera, bertujuan meningkatkan kemahiran usahawan kecil dan sederhana serta membiayai usaha mereka dengan pemberian kredit mikro.

Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana sudi bersama kita malam ini dan membuktikan kepada semua keteguhan kerjasama Pakatan Rakyat. Parti Keadilan Rakyat yakin DAP dan PAS pasti bersama-sama di dalam pihanraya kecil ini bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat.

Tuesday, April 28, 2009

MOHD AFFANDI MENULIS...


(Nota: Analisis ini ditulis Mei 2002 membicarakan secara ringkas tentang politik Melayu. Peristiwa yang berlaku selepas itu membuktikan analisis ini tepat sekali dengan kejadian yang berlaku, terutama akhir-akhir ini. Tulisan ini belum tersiar. Moga-moga ada yang berminat untuk membahaskan persoalan ini di mana-mana forum atau tulisan.)

Dua Mitos Agung:
Dalam Sistem Politik Melayu
Oleh Mohd. Affandi Hassan

Bolehkah masalah Melayu diselesaikan dalam bingkai UMNO? Diskusi buku Imbasan oleh Dr. Datuk Hassan Ahmad (gambar, bersongkok) di DBP baru-baru ini nampaknya mengambil pendirian hanya UMNO yang boleh menyelesaikan masalah orang Melayu, tanpa menyedari, atau melupakannya, bahawa sejak merdeka hingga kini UMNO lebih banyak menimbulkan masalah daripada menyelesaikannya. Pandangan begini tidak dibenarkan disuarakan, walaupun dalam diskusi itu ada disebut bahawa suara yang berbeza haruslah diterima. Tetapi itu hanya usapan jempul, bukan sesuatu yang dipercayai dan diyakini, sesuatu yang tidak diperjuangkan.

Oleh kerana itu amat sulit hendak membicarakan masalah yang dihadapi oleh Melayu, kerana setiap perbincangan mesti mengambil kira bahawa UMNOlah yang menjadi penyelamat bangsa Melayu. Bagaimana jika sebaliknya yang berlaku, yakni UMNO menjadi masalah kepada bangsa Melayu? Bolehkah kita mengambil pendirian ini sekadar untuk perbincangan, bukan untuk maksud lain-lain? Saya akan uji kejujuran bangsa Melayu seluruhnya, terutama UMNO, untuk mendengar pandangan yang berbeza daripada yang biasa didengar oleh mereka.
Saya harap bangsa Melayu dalam abad 21 tidak sama dengan bangsa Melayu zaman Melaka, yang sering disebut-sebut dalam diskusi itu. UMNO harus bijaksana untuk menerima hakikat bahawa masalah orang Melayu tidak akan selesai selagi UMNO berkuasa dan bertindak dalam konteks dua mitos agung yang dijadikan landasan politik Melayu.

Bangsa Melayu harus sedar bahawa mereka telah diperdaya oleh UMNO sejak 1946 hingga sekarang, untuk percaya bahawa UMNOlah penyelamat mereka, padahal UMNOlah yang membuat Melayu terumbang-ambing tak tentu arah pada waktu ini, dibebankan dengan masalah yang merugikan mereka akibat keputusan politik para peimpin UMNO yang hanya berminat mengekalkan kekuasaan, bukan menyelesaikan masalah mereka.

Adalah ironis bahawa pada hakikatnya UMNO menjadikan masalah orang Melayu sebagai landasan untuk mengekalkan kuasa, dengan menakut-nakutkan mereka bahawa mereka akan musnah jika tidak menyokong UMNO.Masalah yang dihadapi bangsa Melayu ialah masalah lama, yang diperbaharui setiap masa untuk menentukan segolongan pemimpin terus berkuasa dan berhak menentukan nasib bangsa Melayu sepanjang zaman.

Terikat kepada feudalisme

Masalah itu ialah orang Melayu masih terikat kepada feudalisme, baik dalam bentuk lama yang diwarisi dari Sejarah Melayu maupun dalam bentuk baru yang dicipta oleh UMNO dengan menggunakan peristiwa kebangkitan "menentang" Malayan Union sebagai akar feudalisme bentuk baru tadi. Kehidupan orang Melayu dikuasai melalui dua mitos agung, iaitu Mitos Sejarah Melayu yang melahirkan Waad Sejarah Melayu, dan Mitos Malayan Union yang melahirkan Waad Malayan Union.
Dalam waad pertama, yang dipersetujui oleh Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana, rakyat dilarang mengingkari perintah raja, walaupun salah, manakala raja pula dilarang menghina rakyat, walaupun mereka bersalah. Tetapi dalam amalannya, suara rakyat hilang ghaib. Yang wujud hanya suara raja, yang berkuasa mutlak. Yang boleh menentang hanya orang besar, berasaskan sama ada kepentingan orang besar tadi terjejas atau tidak. Suara rakyat juga hilang. Jadi Waad Sejarah Melayu telah menentukan bahawa pemimpin Melayu hanya berasal dari istana, yakni dari golongan raja dan pembesarnya. Ringkasnya, pemimpin Melayu mestilah dari golongan bangsawan.

Itulah keadaan politik Melayu apabila "penentangan" terhadap Malayan Union terjadi: hanya untuk mengembalikan kedudukan golongan bangsawan ke tempat asalnya seperti yang dimeterikan dalam Waad Sejarah Melayu. Apabila orang Melayu "menang" dalam perjuangan menentang Malayan Union itu, keadaan politik sudah berubah sama sekali. Orang Melayu harus menerima hakikat politik bahawa kuasa politik Melayu haruslah dikongsi bersama dengan bangsa asing, yang kini sedang menunggu untuk dijadikan rakyat Persekutuan Tanah Melayu setelah persetujuan baru diterima dan Malayan Union diketepikan.

Malayan Union tidak pernah dihapuskan, kerana unsur-unsur penting menjelma dalam Perjanjian Persekutuan. Pada waktu itu orang Melayu berada di persimpangan: sebahagian besar mereka menyokong perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh pemimpin dari golongan rakyat, yang tidak mempunyai akar dengan istana atau golongan bangsawan. Inggeris tidak suka golongan pejuang kemerdekaan ini, lalu menggalakkan golongan istana mengambil tempat sebagai pemimpin rakyat dalam suasana politik yang sudah berubah itu.

Inggeris menyokong penuh golongan bangsawan istana ini, malah mereka digalakkan menentang Malayan Union. Kesempatan itu diambil Inggeris untuk memusnahkan kepemimpinan Melayu yang berasal dari golongan rakyat, dan memaksakan golongan bangsawan dan istana sebagai pemimpin bangsa Melayu. Dalam konteks inilah UMNO dilahirkan dengan sokongan Inggeris. Dengan itu feudalisme bentuk lama yang hampir lumpuh pada mulanya, dihidupkan dengan gagahnya dalam kepemimpinan baru yang dipelopori UMNO.

Satu ironi sejarah

Jika kita ingin berkata satu ironi sejarah telah berlaku, kita boleh berkata begitu, kerana dari segi sejarahnya UMNO menerima kemerdekaan dari Inggeris dengan syarat-syarat tertentu. Inggeris puas hati kerana Tanah Melayu jatuh ke tangan golongan bangsawan dan istana yang sediakala memihak kepada mereka, di samping dapat pula memberi hadiah kepada bangsa asing yang mereka bawa masuk, yang sediakala menyokong mereka.

Dari situlah UMNO mencipta mitos baru berasaskan "perjuangan menentang Malayan Union". Mitos itu jelas menegaskan bahawa UMNOlah yang menjadi penyelamat bangsa Melayu, yang memberi kedaulatan kepada rakyat, yang membangunkan negara ini. Bukan bersendirian, tetapi bersama-sama bangsa asing yang kini menjadi rakyat yang dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan. Sejak permulaan "kemenangan" UMNO, hingga sekarang, rakyat sentiasa diberitahu bahawa keselamatan dan kemakmuran mereka hanya akan dapat mereka capai melalui UMNO.

Jadi dalam konteks ini, UMNO mencipta feudalisme baru berasaskan Waad Malayan Union tadi untuk menyediakan kepemimpinan orang Melayu dari kalangan mereka sahaja. Sesiapa yang menentang, akan dianggap menentang negara dan bangsa Melayu. Sesiapa yang menentang, akan dihukum dengan keras untuk memastikan kelangsungan feudalisme ciptaan UMNO terus kekal, dan UMNO terus berkuasa dalam menentukan sistem politik negara.

Itulah keadaan politik yang ada sekarang, ketika para pembicara diskusi membahaskan masalah orang Melayu. Mereka melihat persoalan itu dalam konteks yang dihuraikan di atas. Oleh itu apapun juga cadangan yang mereka buat, tidak akan terkeluar daripada Mitos Agung Kedua, yakni mitos di sekitar Waad Malayan Union. Walaupun mereka bercakap tentang kebebasan dan sebagainya, maksudnya hanyalah kebebasan dalam konteks Waad Malayan Union tadi. Tidak ada pilihan lain. Bolehkah masalah orang Melayu diselesaikan dalam konteks yang demikian? Saya akan membincangkan persoalan ini dalam siri tulisan berikutnya, jika pandangan yang berbeza boleh dikemukakan dan bersedia didengar.


Petaling Jaya, 22 Mei 2002


(*Mohd Affandi Hassan ialah sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Beberapa kali memenangi hadiah karya sastera nasional, tetapo menolaknya. Pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian, beliau berpengalaman luas dalam penadbiran dan pengurusan negara, di samping menenali rapat pimpinan politik Melayu)

Monday, April 27, 2009

YASSINSALLEH BERPUISI

What A Wonderful World

Hari ini hari
Ahad,
aku letak kereta
di tepi jalan
sekejap
masuk duit
mesin bank
bayar hutang
credit card.

Sampai kat kereta
polis tengah
tulis saman
salah parking
dedikasi betul
polis
hari cuti am pun
Sedia
Berkhidmat!

Nak bagi duit kopi
aku takut polis
tu nanti kata
"Encik tak nampak
ke kat dada saya ni?"
aku tengok,
menjerit megah
slogan:
KAMI BENCI
RASUAH
Alhamdullillah!

Aku pun pergi
Chow Kit
gunting rambut
bagi kontot
nanti tak payah
beli syampu,
mahal.

Sampai kat kereta
kono saman lagi den
ayo golo dek eh
jang oi,
padan muko den
gomarlanggar undang-undang
untung tak kono
lokap!
Alhamdullillah
Malaysia bertuah
polisnya amat dedikasi
dan benci rasuah.

Alhamdullillah
polis benci
rasuah
makanya
hukum lojik
merumuskan
justeru polis
benci rasuah
polis akan tangkap
semua orang yang rasuah.

Alhamdulillah
Masya Allah
siapa nanti nak ketuai
kampung dan mukim
sapa pula yang nak jaga
daerah dan wilayah
siapa pula yang
nak luluskan
balak dan AP
softwares dan hardwares
PPSMI
tergendala pula
nayalah anak-anak
nak belajar
nanti tak layak
pula jadi glokal.

Tapi syukurlah juga
takde menteri
yang akan kena
tangkap
kalau salah
parking
drebar
menterilah yang
kena saman
Alhamdullillah
pentadbiran negara
takkan terjejas
kerana polis
tak dapat nak
benci menteri
sebab menteri
tak ambil rasuah
menteri ambil
komisyen je!
Alhamdullillah
what a wonderful
world

-Yassinsalleh
jam 2317
April 09
esok nak motong
kumpul duit
nak bayar
kompaun dua saman
den kono jang oi.

Kalaulah Dalam Mimpi

"Tolong berhenti
nyanyi boleh
tak?"
khianatnyalah
nyanyian itu
mendera
bagaikan
menabur bara
pasir
ke mata fikir
nestapa.

Btapalah ya
mampunya aku
sekadar
menyisir rambutnya
bagaikan angin timur
menunda buih
ke pasiran rindu
yang tak
kesampaian.

Lagu yang kau
tak mau
kedengaran itu
kalaulah dalam
mimpi
itu adalah genta
sepiku
yang tak terbisikkan
itu adalah
rontaan rinduku
membenamkan
gelisah pilu yang singgah
kakinya luka
tertancap
pec ahan kaca
jendela yang
enggan terbuka.

Alahai
kalaulah sekadar
menyanyipun
sudah demikian
kau angkuh
serakah
betapalah gerangan
amarahmu meledak
sekiranya aku minta
pinjam sebiji viagra
dan angsa tua
yang kau tiduri
itu.

-Yassinsalleh
jam 2023
April 27, 09
mencari esok
untuk menempah lusa
yang tak tau
berkata-kata

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Wabak selsema babi merebak:
Kenapa orang banyak terlalu takut
Sebermula gemparlah orang banyak kerana wabak penyakit selsema babi merebak di negeri-negeri atas angin di Mexico, Amerika Syarikat dan New Zealand. Arakian akan Orangkaya Menteri Kesihatan Dato' Seri Liow Tiong Lai sudah menyuruh bilik gerakan dicergaskan untuk memantau wabak penyakit itu. Adapun sekali persetua wabak penyakit JE disebabkan haiwan babi merebak ia di negeri Melayu, tetapi ladang ternakan babi itu semakin banyak dibuat. Maka fakir pun berfikir di dalam hati, kenapa orang banyak terlalu takut dengan wabak selsema babi, tetapi tak takut mempersenda-senda heh heh heh!

Syahdan maka ada selang dua hari, raja China pun sakit gatal semua tubuhnya lalu menjadi kedal. Maka raja China menyuruh memanggil tabib, minta ubat. Maka diubati oleh tabib itu, tiada sembuh. Sebermula beberapa ratus tabib, tiada juga sembuh. Maka ada seorang tabib tua berdatang sembah (gerangannya di negeri Melayu juga ada tabib tua itu) pada raja China, demikian sembahnya, "Tuanku, seri kopiah, adapun penyakit kenohong ini tiada akan sembuh dengan ubat patik sekalian, krana penyakit ini bersebab datangnya." Maka titah raja China, "Apa sebabnya penyakit ku ini?"

Arakian maka sembah tabib itu, "Tuanku ini tulah oleh raja Melaka berkirim sembah itu; dan jika tiada air basuh kaki raja Melaka Tuanku santap dan basuhkan muka, tiada akan sembuh penyakit Tuaku ini." Maka tiadalah tabib Melayu berani berdatang sembah kepada raja Melaka memberitahu perkara yang benar, kerana apabila sekalian anak-anak muda itu duduk sesamanya mereka akan berpantun:

Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada
Adakah gila bagimu tuan
Burung terbang dipipiskan lada.

Syahdan demikianlah yang disampaikan kepada fakir dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!