Sunday, May 24, 2009

INFO ANTARABANGSA

K'jaaan label pejuang Taliban:
'Pengganas' kerana jaga hati AS




MANGSA yang terselamat cuba melarikan diri dari kawasan letupan yang berlaku di Pawagam Tasveel Mahal di Peshawar, Pakistan. Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 80 tercedera apabila letupan tersebut berlaku disebabkan serangan tentera terhadap puak penentang Taliban yang berakar umbi dalam kawasan Lembah Swat. - (Foto AP - jam 9.10 pagi). Gambar berkenaan menunjukkan kebangsatan tentera yang mengikut telunjuk Amerika Syarikat dengan melabelkan rakyat sendiri sebagai 'pengganas', sebaliknya AS memang dikenali dengan 'kebangsatan' itu terus membuli dan memusnahkan negara miskin.

Puak Taliban adalah tenaga rakyat yang tak rela memperhambakan minda untuk kepentingan AS, sekalipun Barrack Hussein Obama menggantikan George W Bush menjadi Presiden. Siapa sahaja menduduki 'Rumah Putih' tak akan mengubah persepsi mereka terhadap negara-negara Islam. Setiap hari pengeboman berlaku, pejuang-pejuang Taliban dilabel sebagai pengganas, sementara kerajaan yang pro-AS menjadi alat meneruskan kepongahan mereka yang ditunggang oleh Yahudi. Kemusnahan yang dipaparkan ini mudah-mudahan difahami oleh mereka yang membiarkan diri dibelenggu oleh perhambaan minda!

KALAU DAH UMNO, UMNO JUGA!


Bubarkan sahaja DUN Perak:
Barangkali UMNO boleh menang

Pelik tetapi benar apabila pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) kesal dengan 'kedegilan' pakatan pembangkang untuk menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah seperti dilapor Mingguan Malaysia hari ini (24 Mei 2009), beritahu aktivis masyarakat di Pahang L.Mankadir Shamsi. Katanya, UMNO (bukan BN kerana komponen yang lain mahu DUN Perak dibubarkan) cuba memutar belitkan fakta mengenai kekacauan akan berlaku jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak dibubarkan.

"11 Mei 2009 Mahkamah Tinggi sudah membuat keputusan yang tak menyebelahi UMNO, justeru siapa yang berdegil dan siapa yang nak bermain silap mata?" beliau menjelaskan. Kalau UMNO mahhu berkuasa di Perak bukanlah lebih baik menerusi piliharaya dengan membubarkan DUN Perak, katanya. Lagipun menurut L Mankadri, sekiranya berlaku pilihanraya DUN Perak, belum tentu PR boleh menang, barangkali UMNO boleh memperoleh majoriti dua pertiga. "Nah, sekarang bubarkan sahaja DUN Perak supaya krisis tak berlarutan hingga kepada rayuan ke Mahkamah Persektuan" ujar L Mankadir.



INFO SASTERA & BUDAYA...


Video Perjanjian Pangkor:
Dokumentasi khas kembara

Sebuah DVD perjalanan mencari sejarah menurut gerak hati bertajuk "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" telah diterbitkan Oktober 2008. Sila baca artikel pengenalan Program berjalan sambil buat video cerita Perak sekitar Perjanjian Pangkor 1874 dan pembunuhan Birch, apa sebenarnya berlaku... Jemputan untuk semua!. Atau lihat penerangan dengan klip video khas di artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap!

Buku-buku di atas, juga DVD boleh dibeli. Sila masuk ke sini... Cara-cara mendapatkan siri buku BKA dan DVD... Untuk mereka yang berada di selatan terutama sekitar Muar, boleh hubungi Khairi Sapiee (016-6849248) atau pergi ke kedai buku City Star yang beralamat di 88, Jalan Abdullah, sebelah Maybank di tengah bandar. Untuk mereka di sekitar Pahang terutama di Raub sila hubungi Puan Rohani Arshad (017-9508549) atau Nasrizal Hamid (019-9581195, 012-9215725). Terbaru, siri buku "Berpetualang ke Aceh" juga boleh didapati di MBO Book Centre, Kompleks PKNS Shah Alam. Sementara itu masih ada stok di sesetengah kedai buku MPH dan Popular Bookstores di seluruh Malaysia.

Jangan lupa... Sila lihat juga cerita-cerita terkini di blogspot-blogspot saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) Perjalananan terbaru ke Muar dan Ledang... ada kena-mengena ke dengan Ahlul Bait? Ini adalah gambar Gunung Ledang diambil dari pekan Sagil dalam perjalanan menghala ke bandar Muar. Untuk pengetahuan, baik Sagil mahupun Gunung Ledang dahulunya terletak di dalam daerah Muar. Tetapi baru beberapa tahun ini daerah Muar dipecah dua dengan bahagian utara dari Sungai Muar dijadikan daerah baru dipanggil Ledang. (selanjutnya sila layari http://www.donmny.blogspot.com/) - Merah Silu.

Saturday, May 23, 2009

CETUSAN MINDA

Politik Kuasa Menentukan:
POLITIK UNDANG-UNDANG

Benarkah tidak ada rampasan kuasa di Perak? UMNO menafikan adanya rampasan kuasa (gambar, kekecohan di DUN Perak), kerana menurut para pemimpin UMNO semuanya dilakukan menurut prinsip-prinsip demokrasi dan mengikut undang-undang. Tetapi rakyat nampaknya tetap menolak ketetapan UMNO dan sekutunya, kerana menurut rakyat terdapat unsur samseng dalam menentukan prinsip demokrasi tadi. Tiga orang ahli DUN yang berpaling tadah kerana sebab-sebab peribadi, dengan gesaan dan sokongan dan “paksaan” UMNO, telah berjaya menimbulkan kelam-kabut di Perak dengan sokongan dan dukungan UMNO sepenuhnya.

Yang paling menarik dalam kes ini ialah undang-undang dan mahkamah yang melaksananak undang-undang menyerlahkan wajahnya yang paling murni dan benar, yang sungguh menggembirakan UMNO yang sejak berkuasa mulai Ogos 1957 telah membuat undang-undang baru dan mengubah undang-undang yang ada untuk memastikan wajah UMNO selalu ceria dengan senyuman setiap kali keputusan dibuat oleh para hakim di mahkamah mereka. Dalam kes Perak, rampasan kuasa (atau peralihan kuasa dalam bahasa yang lunak, yang tidak berjaya menutup hakikat maksud rampasan kuasa itu) sudah jelas dibenarkan asal saja sesuai dengan undang-undang dan Perlembagaan.

Banyak kes yang berlaku di Malaysia, dan dalam menentukan kes Perak, kes-kes rampasan kuasa itu dijadikan panduan dalam membuat keputusan, seperti yang jelas dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang memakai kes-kes itu. Jadi dari segi undang-undang, tidak ada rampasan kuasa seperti tidak adanya penipuan dalam bentuk apa sekali pun, walaupun perbuatan yang dibenarkan itu seratus peratus adalah penipuan yang terang-terangan. Jika anda faham hujah ini, anda akan mengerti mengapa Rasulullah SAW menegaskan, sekiranya Fatimah anak Muhammad mencuri, nescaya tangannya dipotong.

Perkara ini disebutkan di sini kerana dalam Islam keadilan tidak memilih pihak tertentu yang boleh dikecualikan; seperti yang sering berlaku dalam mahkamah (gambar hiasan, Nizar mengiringkan Rja Muda Perak). Dalam kes Perak, sudah jelas hakim mahkamah tinggi tidak tahu membaca undang-undang dan agak keliru dalam memahami situasi politik sebenar. Itulah keputusan tiga orang hakim Mahkamah Rayuan, yang melontarkan dengan angkuh keputusan Mahkamah Tinggi dengan alasan yang cukup memalukan, iaiku hakimnya telah melakukan kesalahan. Bolehkah hakim yang bersalah dihukum? Tidak boleh.

Yang terjadi ialah pihak yang menuntut keadilan akan kehilangan keadilan yang terawang-awang pada peringkat awal, kemudian “keadilan” itu berpindah ke tangan lain (yang berlengas dengan tahi ayam busuk ketika menyerang raban DUN Perak mencuri ayam yang boleh dicuri) dalam sekelip mata. Jika hal ini terjadi dalam sebuah drama, atau melodrama sekali pun, tentu penonton akan menjeritkan “Mana boleh begitu, tak masuk akal!” Tetapi logik drama tidak sama dengan logik undang-undang.

Oleh itu seorang hakim yang tidak arif (meskipun digelar Yang Arif) seperti dalam kes Perak ini boleh dijadikan arif dengan mengetepikan keputusannya oleh sekumpulan hakikm lain yang lebih arif dalam erti yahng lebih luas (yakni tidak semestinya dalam undang-undang saja). Oleh itu drama dalam undang-undang jauh lebih menarik daripada drama yang dipentaskan secara olok-olok di Istana Budaya sebagai sebuah cerita. Itulah sebabnya orang tua-tua kita bercerita dalam dongeng mereka tentang Hakim Beruk yang bijaksana itu. Cerita itu tetap memikat kita semua kerana peristiwa itu diulang setiap masa sepanjang zaman.

Yang boleh dilakukan rakyat hanya tertawa melihat kebijaksanaan Hakim Beruk menipu dua orang petani yang menyerahkan pisang besarnya untuk dihakimi oleh beruk. Keputusan beruk untuk memakan pisang itu semuanya adalah bijak, kerana itulah makanannya. Seperti ular menelan katak dalam lagu “Bangau Oh Bangau”. Itulah hakikat undang-undang dan keadilan yang disahkan sama ada dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Ke mana pun kita tarik makna keadilan itu, rakyatlah sebenarnya yang menentukan keadilan untuk mereka, kerana merekalah yang memilih pembuat undang-undang. Oleh itu janganlah salahkan pemimpin atau kakitangan kerajaan dan sesiapa sekali pun, termasuk para hakim yang arif, jika mereka berasa tertipu dalam sandiwara Hakim Beruk yang diceritakan oleh datuk nenek mereka. [23/5/2009]

-Mohd. Affandi Hassan

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...


Jambatan ketiga di Pengerang:
Tambak Johor tak boleh roboh!

Syahdan kerajaan Temasik kekal ia tak mahu mendengar cadangan negeri Melayu itu untuk merobohkan Tambak Johor. Adapun jambatan ketiga (berlebihlah satu daripada jambatan emas dan jambatan perak iaitu dua sahaja dari Melaka ke Gunung Ledang), maka Tambak Johor itu tak mahu dirobohkan. Maka terkebil-kebillah mata Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana orang-orang besar di negeri Temasik itu cerdik-cerdik belaka. Salangkan bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir Mohamad tak dihiraukan, inikan pula Orangkaya Dato' Seri Najib.

Arakian orang besar negeri Temasik itu brsedialah ia menimbang cadangan negeri Melayu untuk membina jambatan ketiga, yang akanl menghubungkan negara pulau itu dengan kawasan di timur Johor, khususnya di Pengerang dan Desaru, sebagai usaha meningkatkan lagi pergerakan rakyat, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara. Adapun Pengerang itu berdekatan dengan Batu Putih yang diperolehinya tak lama dulu setelah dibicarakan oleh negeri-negeri atas angin. Maka itulah diperbuat orang nyanyi:

Jambatan emas jambatan perak
Jambatan batu di Pengerang
Jangan lekas besar borak
Jangan tipu jangan temberang.

Sebermula maka Semerluki pun lalu ke Pasai, segala jajahan Pasai banyak dibinasakannya. Maka raja Pasai menitahkan orangkaya Raja Kenayan mengeluari Semerluki. Maka Raja Kenayan berlengkap; telah lengkap maka ia pun keluar. Arakian bertemu Semerluki di Teluk Perli, maka peranglah kelengkapan Menkasar dan Pasai. Maka oleh Semerluki disuruhnya campaki sauh terbang, kena perahu Raja Kenayan.

Syahdan kata Raja Kenayan, "Putarlah olehmu, nescaya ku amuk dengan jenawi bertumit." Maka segera disuruh Semerluki tetas lalu bererailah perahu mereka. Maka kata Semerluki, "Rupanya berani lagi Raja Kenayan dari laksamana di negeri Melayu!" seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU

DARI LAMAN BLOG:

Sistem kehakiman di Malaysia:
Episod baru jadi makin bercelaru

Assalamualaikum,

Sisitem kehakiman di Malaysia yang ditertawakan masyarakat antarabangsa pada 1987 cuba dipulihkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Zaid Ibrahim, tetapi beliau terpaksa meletakkan jawatan atas sebab heh heh heh! Bagaimanapun hakim-hakim yang dipecat pada 1987 sudah menerima pampasan, sekalipun struktor kehakiman tak pulih sepenuhnya. Apalagi sistem kehakiman terus dipertikai pada 1998, berikutan insiden mata lebam yang membabitkan individu yang berkedudukan Timbalan Perdana Menteri. Aduhai!

Perlembagaan tak membenarkan keputusan mahkamah dipertikai, kerana ianya boleh ditakrif menghina mahkamah (contempt of court), tetapi sistem kehakiman membabitkan maruah negara. Lee Kuan Yew dan Singapura menggunakan sistem kehakiman bagi memufliskan lawannya, sekalipun masyarakat antarabangsa menyedari kebobrokan, kepongahan dan keperongosan sistem berkenaan. Memang Singapura tak terjejas dengan kecelaruan dalam sistem kehakimannya, walaupun dipinggirkan dari kelompok 'Sosialis Antarabangsa'.

Sebaliknya Singapura tak sehebat ketika disingkirkan dari Malaysiapada 1965, malah rakyatnya sering menyeberang Tambak Johor untuk berbelanja murah. Keputusan Mahkamah Rayuan semalam (22 Mei 2009) mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan penyingkiran Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak, masih berterusan ke Mahkamah Persekutuan, adalah episod terbaru meletakkan sistem kehakiman semakin bercelaru. Proses seterusnya ialah kepada Yang Dipertuan Agong, semata-mata bagi mengelakkan pembubaran DUN Perak oleh UMNO (komponen BN yang lain mahukan DUN Perak dibubarkan).

Apakah disebabkan tak mahu DUN Perak dibubarkan UMNO sanggup menghalal cara hingga mencemarkan sistem kehakiman seperti insiden 1987 dan 1998? Sebenarnya UMNO tak dikalahkan oleh pembangkang; sebaliknya UMNO dimusnahkan oleh UMNO sendiri! Malah Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar (bekas tokoh besar UMNO) menyebut, pokok tak akan tumbang dengan mata kapak; sebaliknya apabila dahan pokok berkenaan dijadikan taran kapak, barulah pokok itu tumbang. Maknanya pokok berkenaan tumbang, kerana pokok juga. Kalau tak faham juga, tak tahulah!


-Pak Dharma.

Friday, May 22, 2009

ULASAN JURUCAKAP PRIMA...


Cari penyelesaian sebenar:
Bubarkan segera DUN Perak

Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz merumuskan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya petang ini (22 Mei 2009) masih tak merungkai krisis perlembagaan di negeri Perak, selagi DUN tak dibubarkan disamping menyerahkan semula mandat kepada rakyat. Justeru menurut Dato' Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO, Dato' Dr Zambry Abd Kadir sekadar mampu duduk di kerusi pejabat Menteri Besar Perak, hakikatnya pencapaian beliau adalah 'zero' di mata rakyat. "UMNO sekadar boleh mengelirukan dirinya sendiri, bukan sesuatu yang mutlak," beliau menambah.

Dato' Kamal Amir yang berasal dari Sitiawan merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu mengisytiharkan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak yang sah. Beliau juga menarik perhatian kepada tragedi 1876, apabila mahkamah skular British juga mampu menurunkan Sultan Abdullah daripada takhta, seterusnya dibuang ke Pulau Sycelles apabila mereka mendominasi kuasa. Sebaliknya rakyat Perak tak menerima British memerintah di tanah airnya, walaupun secara fizikal British berkuasa dengan tentera dan polisnya, kata Dato' Kamal Amir. "Jalan sebaik-baiknya janganlah meniru agenda penjajah, kerana kuasa itu tak akan kekal," beritahu beliau.