Thursday, April 23, 2009

SURAT TERBUKA DR M...

Mahathir dedah surat menyurat:
Pimpinan Singapura dlm isu jambatan

(Cabutan daripada teks surat terbuka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada media, mengenai fakta surat menyurat dengan pemimpin Singapura berkaitan isu jambatan bengkok yang dibatalkan pembinaannya oleh kerajaan di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi)
Saya menulis surat terbuka ini sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk sesiapa saja yang ingin membacanya.Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya yang disiarkan, sama ada oleh media massa elektronik atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk menghadiri sidang akhbar saya.Mengenai isu di atas, saya telah menyatakan pandangan saya iaitu Kerajaan Malaysia telah gagal mempertahankan kedaulatan negara.
Akibat daripada itu negara mengalami kerugian berbilion ringgit. Wang ini adalah wang rakyat.Saya juga mahu rakyat faham sikap dan tindak-tanduk Kerajaan Singapura serta dakwaan Kerajaan Malaysia yang ia memberhentikan pembinaan jambatan itu kerana isu undang-undang dan kerana sentimen rakyat yang tidak sanggup menyerahkan ruang udara serta penjualan pasir kepada Singapura, dan ini disalahertikan secara sengaja bahawa rakyat tidak mahu jambatan.

Rakyat mahu jambatan tetapi menolak syarat Singapura, kerana ia tidak berasas dan bukan hak Singapura.Singapura sangat gemar mencetak surat-menyurat antara pemimpinnya dengan pemimpin Malaysia dengan tujuan membuktikan yang ia di pihak yang benar.Kerajaan Malaysia sekarang percaya bahawa dengan tidak menyanggah kempen memutarbelitkan oleh Singapura, masalah yang dihadapi akan selesai dengan sendirinya. Tetapi ini angan-angan yang tidak akan jadi kenyataan.

Di dalam amalan diplomatik, surat-surat yang ditulis oleh suatu pihak dengan memetik persetujuan-persetujuan lisan yang kononnya dicapai di dalam rundingan tidak rasmi di kalangan pemimpin, adalah tidak sah.Untuk menjadikan ianya sah, rundingan hendaklah dicatat dan dirakam dengan sempurna, disahkan dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak. Kenyataan yang dibuat di dalam sidang akhbar oleh salah satu pihak tanpa pengesahan pihak satu lagi juga adalah tidak sah.Encik Lee Kuan Yew, ketika dia menjadi Menteri Kanan Singapura, sangat gemar meminta diadakan pertemuan empat mata tanpa agenda yang sempurna dan kemudian merakamkan hasil pertemuan itu di dalam suratnya sendiri kepada pihak ketiga. (sila lihat Apendiks 1)

Berdasarkan surat-surat itu juga, dia harap rakan sejawatnya akan menyetujui kandungannya dan oleh yang demikian terikat dengan kandungan surat-surat itu. Dia tidak mengambil kira jika catatannya tidak dianggap tepat dan tidak disahkan.Saya menganggap apa-apa pun yang tidak menepati amalan diplomatik sebagai tidak sah. Tanggapan beliau adalah tanggapan beliau sahaja, tidak Iebih dan tidak kurang. Tindakannya mencetak surat-suratnya sebagai bukti bahawa saya telah bersetuju tidak bermakna sama sekali. Hanya jika saya membalas surat itu dan mengesahkan perkara-perkara tertentu, barulah perkara-perkara berkenaan boleh dianggap benar.

Tetapi sama ada ia sah dan kita terikat dengannya, bergantung pada pengesahan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, secara rasmi.Berdolak-dalik mengenai apa yang disebut “pakej” dan ketidakmampuan mencapai sebarang persetujuan adalah kerana kelulusan yang berasaskan “pakej” tidak praktikal. Jika persetujuan tidak boleh dicapai mengenai mana-mana satu perkara maka persetujuan tidak boleh dicapai bagi semua perkara dalam pakej itu.Atas sebab inilah yang saya mencadangkan dan Encik Goh Chok Tong bersetuju iaitu kita menyelesaikan perkara demi perkara secara berasingan.

Ini siperakukan dan diterima oleh Encik Goh Chok Tong selaku Perdana Menteri melalui surat bertarikh Oktober 14 2002 (sila lihat Apendiks 2) yang antara lain menyebut;“Pada penghujung pertemuan (di Hanoi) anda berkata kita perlu mencuba menyelesaikan isu air, lagi cepat lagi baik. Saya bersetuju....”Tetapi di dalam surat yang sama, Encik Goh Chok Tong berkata;“Oleh yang demikian, saya tidak menjangka menerima surat anda bertarikh 7hb Oktober pada l0hb Oktober di mana anda menyatakan “Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendekatan pakej……

Setelah menolak pendekatan pakej, saya membuat jangkaan yang isu pembinaan jambatan tidak akan dikaitkan dengan sebarang isu lain. Saya menaruh harapan yang sangat tinggi apabila isu pembinaan jambatan disebutkan di dalam surat-surat Menteri Kanan Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Goh Chok Tong.Dalam sepucuk surat (sila rujuk Apendiks I perenggan 6) kepada Tun Daim Zainuddin, Lee berkata;“Mengenai cadangan Mahathir membina Jambatan Tambak, Perdana Menteri saya (Goh) bersetuju dengannya tetapi mencadangkan agar kita tidak merobohkan Tambak Johor.”

Nampaknya rakyat Singapura lebih menyetujui jika kedua-dua jambatan baru dan Tambak Johor ada. Ini tentulah tidak masuk akal kerana cadangan pembinaan jambatan baru adalah bertujuan membuka laluan di antara kedua-dua belah di Selat Tebrau supaya air boleh mengalir tanpa sekatan. Ia bukan bertujuan menambah kapasiti hubungan antara Singapura dan Johor. Jika ini berlaku, ia hanyalah satu kebetulan.Satu lagi hujah menarik Encik Lee ialah (sekiranya Singapura bersetuju dengan pembinaan jambatan itu);“Singapura akan menambak laut di sebelah wilayahnya hingga ke sempadan dengan Malaysia.” (rujuk Apendiks 3, surat Menteri Kanan Lee kepada Dr Mahathir bertarikh Sept 8, 2001)Sempadan antara Singapura dan Malaysia di Selat Tebrau adalah dasar laut yang paling dalam.
Bagaimanapun, bagi Tambak Johor sempadannya adalah di tengah-tengah jambatan. Jika Singapura menambak laut di sebelah wilayahnya sehingga ke sempadan, ia bererti hanya laut di sebelah Malaysia akan kekal. Jadi apa halnya dengan konsep sempadan berasaskan dasar laut paling dalam? Dalam surat yang sama kepada Daim (rujuk Apendiks I perenggan 12), Menteri Kanan Lee berkata;“Saya sentiasa memaklumkan inisiatif saya kepada Perdana Menteri saya. Dia (Perdana Menteri Goh) bagaimanapun, berkata dia menyerahkan hal ini kepada saya sehingga peringkat akhir apabila dia akan mengkajinya dengan teliti sebelum memberi sebarang persetujuan.”

Menteri Kanan Lee juga menulis (Apendiks 1, perenggan 12); “semua nota atau surat yang saya hantar kepada anda dan kepada Mahathir dan sebaliknya perlulah dianggap sebagai Tanpa Prejudis (Without Prejudice) iaitu tidak akan ada sebarang perjanjian sehingga semua perkara dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.”Jelas bahawa Menteri Kanan Lee tidak diberi kuasa untuk memutuskan apa-apa kerana beliau perlu memaklumkannya kepada Perdana Menteri Goh untuk dikaji sebelum dipersetujui.

Jika tidak, maka tidak akan ada sebarang persetujuan mengenai semua perkara sehinggalah diperakui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.Dalam jawapan kepada cadangan saya agar terminal Keretapi Tanah Melayu dibina di Johor Baru, Menteri Kanan Lee, melalui surat bertarikh 10 Disember 2001 (sila rujuk Apendiks 4, perenggan 10), berkata;“Saya harap anda juga akan menimbangkan kepentingan jangka panjang dan nilai perkhidmatan KTM. Sejak tahun 1923 kereta api merupakan perhubungan yang sangat berharga ……..

Saya rasa mengekalkan hubungan kereta api antara Kuala Lumpur dan Singapura menguntungkan kedua-dua buah Negara……... Bagaimanapun, oleh sebab KTM milik negara anda, Singapura akan mematuhi keputusan anda”.Dalam surat ini, Menteri Kanan Lee berikrar mematuhi keputusan saya. Namun beliau boleh juga berkata Perdana Menteri Goh tidak bersetuju dan segala surat-menyurat kami adalah tanpa prejudis.

No comments: