Tuesday, May 19, 2009

DARI LAMAN BLOG...

Tak takut lakukan kemungkaran
Maknanya tak takut kepada Tuhan
Assalamualaikum,

Komunisme memang menolak kewujudan Tuhan, tetapi pimpinan gerakan radikal dalam perjuangan nasionalisme tak menerima idealisme berkenaan, menurut bekas aktivis tentera rakyat yang bergerak di hutan Perak sekitar dekad 1950-an dikenali Pak Chad. Kesempatan pertemuan saya dengan beliau semalam (18 Mei 2008) di sebuah perkampungan pedalaman di Jelebu banyak menelusuri nostalgia perjuangan bangsa. Pak Chad tak terkejut apabila diberitahu mengenai rakan-rakannya yang menetap di perkampunagn perdamaian Sukhirin di selatan Thailand.


Beliau tak terkejut apabila diberitahu mengenai warga penduduk perkampungan perdamaian Sukhirin mengadakan kenduri tahlil 40 hari selepas kematian Abu Samah Kassim dari Regimen Ke 10 di bawah pimpinan Rashid Maidin. Abu Samah (gambar ketika dirawat di hopital di selatan Thailand) berasal dari Lancang, Pahang merupakan cicit Dato' Setia Pahlawan Orangkaya Semantan, Dato' Bahaman menyertai gerakan militan apabila rumahnya diserbu oleh kolonial British. Beliau meninggalkan seorang balu Siti Nurkiah Mahmud Baginda dikenali Tun Aminah iaitu adik Zainab Mahmud Baginda (isteri Musa Ahmad) yang dibenarkan pulang ke tanah air sekitar dekad 1980-an.

Mereka berdua adalah kakak kepada bekas Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Osman Abadi (gambar,Tun Aminah). Kronologi ini bagi menilai sumbangan mereka dalam gerakan nasionalisme apabila dilabel sebagai komunisme. Malah Pak Chad mengakui, kalangan pejuang radikal Melayu mengakui apabila komunisme menolak kewujudan Tuhan, maknanya manusia sanggup melakukan rasuah, kepongahan, keerongosan dan kejahatan seolah-olah membelakangkan kewujudan Tuhan. Katanya 'Tuan Rashid' (panggilan kepada pimpinan Rashid Maidin) pernah menemuinya di Jelebu, sebelum bertolak menunaikan fardu haji adalah hafiz al-Quran.

"Tuan Rashid ke Mekah adalah atas sumbangan Tun Dr Mahathir di bawah urusan Tabung Haji," kata Pak Chad. Panggilan 'komrad' tak wujud dalam pejuang radikal Melayu, tetapi penghormatan kepada pimpinan dengan memanggil mereka tuan. Pak Chad juga mengenali 'Tuan Abdullah' (Abdullah CD), 'Tuan Musa' (Musa Ahmad) dan Kaklong Shamsiah (Shamsiah Fakeh) antara pimpinan radikal Melayu. Memang beliau menghormati keberanian mereka meneruskan perjuangan, sekalipun beliau menyerah diri selepas kemerdekaan Tanah Melayu. (gambar-gambar dengan ihsan laman blog http://www.matamin.blogspot.com/)
Pak Chad berasal dari Seri Menanti, Kuala Pilah menyertai gerakan militan ketika berusia 16 tahun sekitar awal dekad 1950-an. Beliau terbabit dalam gerakan Pemuda API, di samping pimpinan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) ialah Shamsiah Fakeh dari Ampang Tinggi berdekatan dengan kampungnya. Begitulah!

-Pak Dharma.

No comments: