Saturday, May 16, 2009

INFO MUKTAMAR PAS...

Persaingan merebut pimpinan PAS:
Terikut-ikut format amalan UMNO


Lima calon dinamakan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS, dengan 86 dicalonkan bagi ahli jawatankuasa kerja. Format bagi pemilihan mirip kepada yang diamalkan oleh UMNO apabila diwujudkan jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap bagi melengkapkan senarai pimpinan PAS dalam tempoh tiga tahun 2009/2012. Sekalipun jawatan Presiden tak ditentang apabila nama Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang sahaja dicalonkan, tetapi perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden seolah-olah mempunyai persamaan dengan insiden pemilihan UMNO April 2009 lalu.

Senarai penuh calon-calon bagi pimpinan PAS seperti dilaporkan Harakahdaily menunjukkan persaingan bagi jawatan Pengerusi Tetap menampilkan Abu Kassim Abdullah dan Hussain Ismail; di samping Timbalan Pengerusi Tetap membabitkan enam penjuru iaitu Hussain Ismail, Ishak Surin, Misbahul Munir Masduki, Nasuruddin Daud, Tengku Puji Tengku Abd Hamid dan Wan Abdul Rahim Abdullah. Bagaimanapun fokus sudah tentu kepada jawatan Timbalan Presiden yang mencalonkan Dato' Seri Azizan Abdul Razak, Dato' Dr Haron Din, Dato' Husam Musa, Haji Mohamad Sabu dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Persaingan bagi jawatan Naib Presiden juga dilihat sengit apabila membabitkan 16 penjuru termasuk Haji Ahmad Awang, Dato' Seri Azizan Abd Razak, Haji Mohamad Sabu, Dato' Harun Taib, Dato' Hassan Mohd Ali, Dato' Husam Musa, Ustaz Idris Ahmad, Dato' Kamaruddin Jaffar, Dato' Mahfuz Omar, Mohd Amar Abdullah, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, Salahuddin Ayob, Taib Azamuddin Md Taib dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Bagaimanapun di kalangan pimpinan PAS sendiri meramalkan beberapa calon akan menarik diri di saat akhir.


Beberapa pimpinan Muslimat juga dicalonkan untuk ahli jawatankuasa kerja termasuk Azizah Khatib Mat, Halimah Ali, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali, Mariam Abdul Rashid, Nuridah Mohd Salleh, Siti Mariah Mahmud dan Wan Hasrina Wan Hassan. Jumlah calon-calon yang bertanding bukan sekadar memperlihat perkembangan menggalakkan ahli-ahli PAS, tetapi juga potensi parti berkenaan mencapai sasaran lebih bermakna. Muktamar PAS dijangka Jun 2009 ini sepatutnya tak mengadaptasi pemilihan yang diamalkan tetapi mempunyai format yang lebih advance daripada UMNO yang semakin tak disenangi oleh warga Melayu - Pak Dharma.

No comments: