Friday, May 22, 2009

SUARA DARI SELATAN...

Robohnya Tambak Johor:
Jambatan bengkok diteruskan?

Tambak Johor akan dirobohkan kata Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bagi memberi laluan kepada jambatan baru apabila diperlukan. Bagaimanapun jelasnya, tiada tempoh ditetapkan untuk melaksanakannya dan itupun selepas satu kajian menyeluruh dilakukan terhadap keperluan mempunyai jambatan baru tersebut, lapor Utusan Malaysia hari ini. Di samping itu beliau juga mahu melihat peningkatan dalam hubungan serta laluan rakyat antara Malaysia dan Singapura, termasuk cadangan menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baru.

“Secara logik, kemajuan bermakna perubahan, kemajuan bermakna pembangunan, kemajuan bermakna hubungan komunikasi dan laluan pengangkutan lebih baik serta selesa antara kedua-dua negara. Jika itu diterjemahkan sebagai bermakna Tambak (Johor) patut diganti, maka betullah, tetapi kita tidak wajar tergesa-gesa dengan perkara itu. Kita perlu melihat dari segenap sudut, melihat sama ada kedua-dua negara setuju dengan projek berkenaan,” beritahu beliau
dalam wawancara eksklusif dengan akhbar Singapura, The Straits Times yang diterbitkan di sini hari ini.

Isu pembinaan jambatan baru bagi menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura akan turut disentuh dalam pertemuan Najib dengan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, esok. Dato' Seri Najib ketika bercakap kepada pemberita di Johor Bahru, hari ini berkata, perbincangan itu akan diadakan dalam pertemuan empat mata dengan Hsien Loong. “Jambatan bengkok ke, lurus ke, atas tanah atau bawah tanah, esoklah saya akan dibincangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bangunan Sistem Lingkaran Pendinginan Berpusat di Kota Iskandar, Johor Bahru.

Sebelum isu jambatan bengkok menimbulkan kemarahan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkan. Tun Mahathir mengkritik pentadbiran Tun Abdullah sejak sebelum PRU12, malah berazam untuk meneruskan projek jambatan bengkok. Justeru pencapaian Dato' Seri Najib serta penyingkiran Tun Abdullah dilihat sebagai azam Tun Dr Mahathir mahu melaksanakan aspirasinya, sama sebagaimana penyingkiran Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila cuba menghalang projek Putrajaya.

No comments: