Thursday, July 9, 2009

EKORAN HINA PENIAGA IKAN

Mengapa Terus Hina Rakyat
Kelantan dan Terus Tipu Mereka

Oleh: Mohd Affandi Hassan

Sungguh pelik, mengapa UMNO terus menerus menghina dan menipu rakyat Kelantan? Ketua Penerangan UMNO, seorang Timbalan Menteri, menghina calon PAS sebagai pemborong ikan di pasar, sebagai peraih yang tidak ada pendidikan tinggi yang tak layak jadi ADUN, malah tak layak jadi calon pun. Penghinaan itu tidak saja mengenai batang tubuh orang yang dihina, tetapi menghina satu kebudayaan dalam perniagaan orang-orang Kelantan. Menjadi peraih adalah satu kerja mulia bagi orang Kelantan, kerja halal yang membawa berkat kerana ramai anak-anak peraih ini yang mendapat pelajaran tinggi di dalam dan luar negeri. (Gambar, Mohd Affandi, sasterawan dan bekas pegawai tinggi kementerian, yang juga anak kelahiran Kelantan adalah pengkaji sosial yang lebih berketerampilan daripada Ahmad Maslan)

Tetapi yang lebih penting, peraih adalah satu budaya yang disanjung tidak saja di Kelantan, malah oleh para pelawat ke Kelantan yang melihat begitu ramai kaum wanita berjual beli di pasar-pasar Kelantan. Mereka semua peraih, yang membantu pembuat kuih untuk menjual kuih mereka, yang membantu pembuat pakaian untuk menjual pakaian mereka, dan macam-macam lagi perusahaan kecil rakyat Kelantan yang terus hidup kerana wujudnya peraih sebagai orang tengah antara pembekal (pembuat) dengan rakyat bawahan.

Kerana adanya peraih, rakyat boleh makan nasi kerabu setiap hari, boleh makan nasi belauk setiap hari, boleh makan laksam, laksa, pulut lepa (puluh bersalut sambal daging) dan macam-macam makanan rakyat. Sungguh gila sesiapa juga yang menghina para peraih ini, yang sejak beratus tahun menghidupkan ekonomi Kelantan dan memudahkan rakyat Kelantan mendapat keperluan mereka. Sangat aneh apabila sudah dilaung-laungkan oleh ketua-ketua UMNO supaya tidak mencaci calon dan rakyat Kelantan, dikerjakan dengan angkuh oleh Ketua Penerangan UMNO sendiri. (Gambar, Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO, yang masih kurang pengalaman).

Sudah jelas UMNO akan dihumban ke lubuk besar kerana sikap angkuh dan bodoh sombong mereka. Tentang penipuan. Apa lagi alasan untuk diberikan kepada rakyat tentang bayaran cukai gas asli kepada kerajaan Kelantan. Tidak masuk akal mengapa gas asli itu harus dibawa ke Thailand, kemudian disalurkan ke Malaysia. Mengapa tidak terus didaratkan di Kelantan? Motif politik yang jahat menentukan tempat gas itu dibawa. Kalau betul telus dan sebagainya, mengapa pembayarannya tidak diumumkan kepada orang ramai? Pencurian gas asli dari Kelantan tidak boleh dimaafkan oleh rakyat Kelantan.

UMNO nyata berbohong dan perlu mengaku mereka berbohong. Tetapi yang paling pelik dari segala kepelikan ialah kutukan Ketua Penerangan UMNO terhadap para pemuda Manek Urai yang katanya lari dari Manek Urai kerana tidak ada kerja. Agaknya, mengapa orang China dan India dibawa masuk ke Tanah Melayu satu masa dahulu, untuk berseronok atau cari rezeki? Sekarang keturunan mereka sudah jadi menteri atau Ketua Menteri. Sila ungkit hakikat sejarah ini, kalau kamu berani. Berapa ramai yang datang dari pulau-pulau Nusantara ke Tanah Melayu, ada yang jadi raja, jadi menteri dan sebagainya. (Gambar, calon PAS di PRK Manek Urai Haji Fauzi [tengah], menembusi kubu UMNO di Manjor, Manek Urai).
Adakah mereka ini manusia hina yang tak ada maruah? Cuba tanya Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor, sanggupkah dia caci budak-budak Kelantan yang cari kerja di Selangor? Dia patut sedar ayahnya datang dari mana. Tidak ada alasan langsung untuk kamu menghina rakyat Kelantan mencari kerja di tempat lain dalam Malaysia. Inikan negara Satu Malaysia? Kamu juga yang menjerit Satu Malaysia untuk semua. Sekarang kamu kata orang muda dari Kelantan tidak boleh cari kerja di tempat lain. Kamu perlu kenal serba sedikit cara hidup orang Kelantan. Mereka memang suka mencari rezeki luar dari daerah mereka.

Ketika buruh diperlukan di Kedah satu ketika dulu, ramai orang Kelantan pergi ke Kedah setiap musim menuai, mengambil upah menuai. Mereka disambut baik oleh penanam padi. Sekarang ekonomi berubah, mereka tidak lagi mengambil upah menuai, tetapi membuat kerja lain yang boleh memberi mereka pendapatan. Tak payahlah diulang-ulang cacian dan penghinaan tentang budak-budak Kelantan keluar daerah mencari kerja. Memang itu budaya mereka, dan mereka boleh hidup senang kerana adanya budaya itu. Mereka bukan pemalas.

Sepatutnya kamu orang UMNO bangga dengan budaya ekonomi yang menguntungkan ini, bukan mengejinya. Ketua UMNO dari Kelantan sendiri nampaknya terikut-ikut mencerca anak-anak Kelantan. Apa jenis ahli politik kamu ini?

-Petaling Jaya [8/7/2009].

No comments: