Thursday, July 9, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA


Berpuisi tak lekang dek panas:
Bukan untuk menonjol-nonjol!


oleh: Zakaria Bidin


Tidaklah aktivis namanya tu. Cuma berpuisi ni adalah salah satu daripada luahan dalaman secara abstrek bersimbolikkan seni di mana terserlahnya kesuasteraan dan budaya kita yang tak lekang dek panas dan tak luntur dek hujan. Ia nampak beremosi ketika ianya dideklamasi. Tetapi difinasi, bentuk versi, tonasinya penuh berisi. Ia juga satu bentuk luahan hati bersama naluri penyair menyebarkan seruan, ingatan, perkhabaran mahupun membuat tuntutan sesuatu hak mewakili perasaan orang lain dengan cara masing-masing.

Biarpun semasa menuntut hak itu kita dikatakan tidak menonjol hingga berdemonstrasi, mengetuk pintu menteri, tidak bersekongkol dengan mana-mana kelompok, namun hasilnya untuk seluruh generasi akan datang mengecap hikmah secebis keagungan bahasa menjadi tunjang keunggulan bangsa Melayu dalam erti kata bahasa itu jiwa bangsa. Apalah ertinya mempunyai identiti bangsa tanpa bahasa? Lebih lagi ia dilengkapi budi bahasa menjadi pengiring bahasa dan bangsa yang tentunya lebih besar dari erti kibaran sehelai bendera. Tentu sekali Prima tidak wujud untuk mencari nama. Jauh sekali untuk disebut mahu menonjol diri.

Maka wajarlah dalam usia Prima yang lebih tua dari GMP yang baru mencipta nama, kita sama-samalah akur pada mereka yang lebih tua mendahului kita untuk mewakili kita semua telah berjaya mengembalikan mutiara yang hampir tengelam bersama sejarah silam yang telah terpadam dek hanya sedetik kelalaian pemimpin kita ketika mengubah dasar pendidikan menurut agenda peribadi untuk merangkul populariti semata-mata kononnya merekalah yang bijaksana, merekalah cerdik pandai yang tiada bandingannya. Cukup hairan apabila Bahasa Melayu tidak mahu dijadikan bahasa ilmu untuk berdiri sendiri hanya kerana Bahasa Inggeris duduk di nombor satu di dunia.

Biarpun untuk menghambat bahasa nombor satu itu bagaikan mustahil, tetapi pemimpin Melayu yang tidak pernah merasakan perit jerih pejuang-pejuang bahasa mempertahan dan membangunkan Bahasa Melayu yang sama ertinya mempertahankan bangsa, tidak berasa terkilan sama sekali melihat apa saja yang menyebut nama Melayu dikikis sedikit demi sedikit dari peta minda anak-anak bangsa berasa bangga menjunjung obor bangsanya sendiri - Melayu. Namun apa yang diumumkan menteri pelajaran semalam, belum lagi boleh kita bangga mengatakan tuntutan kita sudah berjaya kerana kita jangan lupa pepatah Melayu sudah menyebut sekali air bah, sekali pantai akan berubah.

Berbanggalah kita buat sementara waktu sehingga penghuni kerusi menteri pelajaran bertukar tuan yang tidak mustahil akan memberi sebanyak 6,666 alasan mahu mengubah dasar pelajaran lagi melakukan perubahan lain yang mungkin pelajar boleh memilih Bahasa Arab, Prancis, Jepun atau apa saja bahasa asalkan semua selesa atas nama 1Malaysia kelak. Sedikit masa sebelum ini, bila Bahasa Melayu kembali menggegarkan negara, RTM ada menyiarkan lagu Bahasa Jiwa Bangsa. Tetapi kini sudah kurang berkumandang semula kerana 1Malaysia sudah ada lagu yang perlu ditonjolkan untuk secara senyap hingga lagu Negaraku pun akan akhirnya tersimpan dalam arkib lagu-lagu patriotik kuno.

Begitulah hinanya Melayu didera oleh orang Melayu sendiri tanpa ada mana-mana peguam Melayu bangkit menghulur derma khidmat mereka mengheret pengkhianat khazanah dan pusaka Melayu ke mahkamah. Itulah sahaja pandangan saya untuk renungan kita bersama yang akan kita sama-sama perjuangkan melalui persana puisi kita di masa-masa akan datang yang tentunya pilihan saya melalui Prima. Wasallam.

No comments: