Sunday, July 26, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA

Fakta yang diguna pakai:
Berdasarkan 'ibu adat muafakat'

Memang saya tak berkesempatan hadir di Pesta Adat di Seri Menanti baru-baru ini, tetapi wajar menyentuh sedikit percanggahan pandangan YM Dato' Seri Maharaja Haji Khalid Bonget, tiang balai Penghulu Luak Hulu Muar dengan Prof Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rusli Saludin, Pensyarah UPSI seperti dilapor laman blog http://www.budayasenipasn9.blogspot.com/. Barangkali secara akademik Dr Mohd Rusli melihat dari aspek pengkajian secara khusus, sebaliknya YM Dato' Seri Maharaja Khalid berdasarkan fakta yang diguna pakai. Apalagi Adat Minangkabau (dikenali di Negeri Sembilan Adat Perpatih) sudah melalui beberapa proses perubahan yang berdasarkan 'ibu adat muafakat'. (Gambar hiasan - Undang Luak Rembau YTM Dato' Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip Othman, membelakang bersama DYMM Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz dalam pesta adat di Seri Menanti)

Kebetulan pula saya tak pernah ditemukan dengan kedua-dua tokoh adat berkenaan dalam majlis ilmu. Ketika kerjan (pertabalan) YTM Undang Luak Johol Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato' Haji Mohd Jan Abdul Ghani, saya ditemukan dengan Dr Rosli dalam majlis ceramah. Selepas pemasyhuran DYMM Tuanku Muhriz menaiki takhta Yang Dipertuan Besar saya ditemukan dengan YM Dato' Seri Maharaja Khalid dalam slot 'Helo Malaysia' di TV Bernama (502). Tak berlaku pun sebarang percanggahan pendapat dalam kedua-dua perbincangan saya bersama dua tokoh berkenaan.

Adat Minangkabau diperingkat awal dikenali 'Adat Si Mumbang Jatuh' diasaskan oleh Dato' Maharajo Dirajo dengan penasihatnya Cati Bilang Pandai. Apabila masyarakat berkembang, adat berkenaan (peraturan hidup atau undang-undang) dipinda kepada 'Undang-Undang Tarik Balik' proses dilaksanakan oleh Sutan Basa (dikenali juga Koto Piliang atau Adat Ketumanggungan), tetapi asasnya tetap berpegang kepada 'Adat Si Mumbang Jatuh'. Proses berikutnya ialah berubah kepada 'Undang-Undang Si Gamak-Gamak' (disebut Bodi Caniago atau Adat Perpatih) di bawah Sutan Balun, asasnya tetap sama iaitu 'Adat Si Mumbang Jatuh'. Ketiga-tiga proses perubahan dipinda lagi kepada 'Undang-Undang 20', dengan beberapa perubahan sesuai dengan masyarakatnya. - (Gambar - YM Dato' Seri Maharaja Khalid Bonget, tiang balai Penghulu Luak Ulu Muar).

Kesemua Adat Minankabau berkenaan berubah lagi pada period Perang Paderi sekitar dekad 1830-an dengan menerima 'Piagam Malipialam' denan memasukkan perbilangan 'adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah'. Justeru sama ada Adat Ketumanggungan (Koto Piliang) mahupun Bodi Caniago (Adat Perpatih) adalah Adat Minangkabau. Kekeliruan yang dibangkitkan oleh Dr Rosli ialah pembahagian tanah pusaka, tanah harta pusaka, tanah ulayat yang dimiliki melalui sistem pewarisan Adat Perpatih seperti disebut oleh YM Dato' Seri Maharaja sebagai boleh dijual atau digadai jika memenuhi syarat. YM Dato' Seri Maharaja Khalid memberikan pandangan berdasarkan proses perubahan 'Hukum Tanah Minankabau'. Saya perturunkan kertas kerja Abuya HAMKA:

"Sebab ada suku, mesti ada sako. Di zaman jayanya, adanya harta pusaka menjamin hidup anak kemanakan. Harta pusaka 'dijual tak dimakan beli, digadai tak dimakan sando (cagaran)'. Sgala anak buah menokok dan menambah, tak boleh ada yang menguranginya. Mamak-mamak menjaga wilayah ibu atau andung memegang kunci ampang-puruk dan lumbung (kepuk). Isi lumbung atau isi ampang-puruk hanya boleh dikeluarkan kalau terjadi sebab-sebab yang empat perkara: (i) Rumah gadang ketirisan, (ii) Adat pusaka tak berdiri, (iii) Gadis gadang tak berlaki, dan (iv) Mayat terbujur di tengah rumah." Dalam proses perubahan sekarang ditambah lagi dua iaitu menjadi enam, termasuk hutang pendidikan anak-anak dan menjelaskan aib (yakni hutang orang gadang kepada orang gadang yang lain).

Kalau dibincangkan 'dilipat sebesar kuku, dibuka sebesar alam; dihela berjela-jela, dipuntal tak mahu singkat'. YM Dato' Seri Maharaja memberikan pandangan daripada aspek pelaksanaan, sementara Dr Rosli membincangkan berdasarkan kajian. Maknanya, kalau feqah dibincang berdasarkan usul, tentulah celaru, keliru dan selaru! Kedua-duanya betul, dan tak bercanggah iaitu kalau 'Si Mumbang Jatuh' bincangkan menerusi 'Si Mumbang Jatuh'; jangan beralih kepada 'Si Gamak-Gamak'. Begitu juga 'Undang-Undang Tarik Balik' dibincang mengikut 'alur dan patut' jangan dibawakan kepada 'Undang-Undang XX' atau 'Piagam Malipialam'.

No comments: