Tuesday, July 14, 2009

KOMEN LAMAN BLOG LESUNGBATU


Jabatan kerajaan perlu serius:
Imbangi pemimpin turun padang

Oleh ABANG MAHMOR

DARIPADA ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sambutan 100 hari beliau sebagai perdana menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dua hari lalu antara yang paling menarik perhatian saya ialah apabila beliau menyebut mahu meningkatkan kecekapan penjawat awam serta keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan di dalam kerajaan. Selain itu, tentulah amalan turun padang yang beliau sendiri lakukan sebelum ini bersemuka dengan rakyat pelbagai kaum dan darjat merupakan satu perkara yang sepatutnya sudah diamalkan sekian lama. Selain dari menteri, timbalan menteri, wakil rakyat, ketua-ketua pentadbir kerajaan juga perlu mengamalkan perkara sama.

Dalam erti kata lain, seperti yang Najib sebut, ketua-ketua jabatan tidak terlalu mengurungkan diri di dalam bilik berhawa dingin tanpa menjenguk ke luar melihat anak-anak buahnya melakukan kerja terutama di pejabat-pejabat kerajaan yang berurusan dengan orang ramai. Hanya daripada situ sahaja ketua-ketua jabatan dapat menilai sendiri dan membuat perubahan jika perlu bagi menambahkan kecekapan kaki tangan mereka secara spondan yang tentunya akan memberi kesan yang lebih pantas selain daripada sentiasa memberikan pendedahan mengikuti kursus dan seminar misalnya.

Di kebanyakan tempat, ketua-ketua jabatan tidak ambil kisah tentang apa yang berlaku di pejabatnya. Mereka sama ada terlalu sibuk dari kaki tangan dan pegawainya atau mungkin tidak pernah terlintas mahu menjadikan diri mereka sebagai mando atau detekfif dalaman mengendap bagaimana anak buah mereka menjalankan kerja. Tidak siapa akan bertanya kalau seseorang pegawai keluar makan minum terlalu lama, kenapa kerja banyak tertangguh atau kenapa terlalu banyak karenah terpaksa dilalui oleh orang ramai membuat sesuatu urusan. Hingga ke hari ini, jabatan kerajaan tidak ada lagi yang memberi kemudahan menyediakan khidmat photostat sebagai contoh paling ketara.

Setiap kali orang ramai yang sudah beratur lama menunggu giliran, tiba-tiba diminta membuat salinan di luar pula yang tentunya memakan masa sedangkan di pejabat itu sendiri boleh memberi khidmat tersebut yang mana kosnya tidak seberapa. Malahan orang ramai yang berurusan di situ tentunya sedia membayar perkhidmatan itu jika dikenakan bayaran sekalipun. - http://www.lesungbatu.webs.com/

No comments: