Saturday, July 18, 2009

SIAPA SELEPAS CHUA JUI MENG

Anwar sambut baik Chua:
Bekas menteri memilih PKR

(Kenyataan media Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 18 Julai 2009 di Hotel Sunway, Subang Jaya)

Petang tadi, bekas Naib Presiden MCA Datuk Dr. Chua Jui Meng telah mengisytiharkan dirinya keluar dari MCA seterusnya mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Keadilan Rakyat di hadapan hampir 1,000 hadirin yang memenuhi dewan utama Hotel Sunway di Subang Jaya.
Selepas beberapa ketika andaian demi andaian dibuat, maka petang tadi terjawab sudah hala tuju perjuangan politik mantan Menteri Kesihatan itu. Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Chua dan ahli keluarga beliau terutama isterinya Datin Honey Hum, Datuk David Yeoh (bekas Senator MCA) dan Datuk Yap Yit Thong (bekas Ahli Parlimen Lumut) yang menyokong penuh keputusan beliau.

Pastinya keputusan ini diambil selepas membuat pertimbangan yang teliti. Berhadapan sistem yang bobrok dan kebejatan yang berterusan, maka tidak menghairankan sekiranya Datuk Dr. Chua memilih KeADILan sebagai wahana pencetus serta melaksanakan perubahan. Adalah diharapkan Datuk Dr. Chua dapat berkongsi pengalaman beliau yang luas dalam menabur khidmat kepada masyarakat dengan ahli-ahli KeADILan dan Pakatan Rakyat lainnya. Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan selamat berjuang kepada Datuk Dr. Chua Jui Meng! - ANWAR IBRAHIM

No comments: