Wednesday, June 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERPADUAN MELAYU TAK TERJEJAS
MASYARKAT KAMPUNG TERUSKAN TRADISI

Assalamualaikum,

Ahad lalu (1 Jun 2008) saya ke Cangkat Jering, Taiping menghadiri majlis kahwin anak angkat saya Azrai. Poster pilihanraya masih di pokok-pokok, tiang elektrik atau di mana-mana sahaja sudah mula kusam, hingga gambar calon juga tak berapa jelas. Perpaduan Melayu tetap tercerna sekalipun kononnya berlaku perpecahan masyarakat berikutan keputusan PRU12 yang serba kalut, kelabut dan karut! Masyarakat Melayu di kampung meneruskan tradisi gotong royong, dengan belia-belia menghidang makanan di samping gadis-gadis menyampaikan bunga telur. Begitulah! Bagaimanapun saya tak sempat menunggu anak angkat saya bersanding, disebabkan mahu cepat ke Bagan Datoh untuk menjengah bapa mertua yang masih kurang sihat.

Isnin (2 Jun 2008), Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon mengajak teh tarik selepas beliau selesai memberikan kuliah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), di samping Sdr Omar Sudi Abdul Manan memberitahu masih lagi di Port Dickson turut serta dalam seminar anjuran UMNO Selangor. Memang beliau masih aktif sekalipun usia sudah menjangkau kategori ‘warga emas’, malah mahu meneruskan agenda penubuhan ‘Telapak Budaya’ ke arah pemupukan budaya nasional berteraskan kebudayaan Melayu. Dato’ Dr Mohd Mansor pula beritahu mengenai insiden beliau gagal merebut pimpinan Dewan Persuratan Melayau Pahang (DPMP) apabila tewas tiga undi kepada Dato’ Tan Alauddin menerusi undi terbuka. Sebelumnya L Mankadir Shamsi mendesak dijalankan ‘undi sulit’ bagi pertandingan jawatan pimpinan.

Selasa (3 Jun 2008) Sdr Mohd Ezam Mohd Noor mengirim SMS dari Jakarta, di samping meminta PRIMA meneruskan cita-cita murni ‘menentang perhambaan minda manusia kepada manusia’. Sdr Mohd Ezam baru sahaja memproklamir menyertai semula UMNO yang seharusnya dihormati sebagai kebebasan intelektual dalam menentukan wadah pilihan menggerakkan kesinambungan perjuangannya menolak naratif rasuah dan salah guna kuasa. Sebagai pimpinan GERAK mungkin sahaja Sdr Mohd Ezam memang memiliki pengalaman bermakna bagi dimanfaatkan apabila beliau kembali menyertai UMNO, ketika senario politik semakin mencabar, mendebar dan membebar!

Petang (3 Jun 2008) teh tarik pula bersama Dato’ Ahmad Bujang, Dato’ Dr Mohd Mansor, Sdr Omar Sudi Abdul Manan, Sdr Said Anuar dan Sdr Zainal Alam di D’ Palma di Ampang dengan cucur cempedak, goreng pisang, goreng sukun dan cucur tepung. Aduh enaknya! Secara spontan Dato’ Ahmad Bujang yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak berpendapat bagi memulihkan semula prestasi UMNO, adalah wajar dimansuh sekatan kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan Gred A aktif berpolitik. Sekatan untuk aktif berpolitik yang dikenakan kepada pegawai-pegawai Gred A seolah-olah memisah mereka dengan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi. Barangkali!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


PAKAR KAUNSELING BERASA KELIRU
INDUSTRI TERNAKAN BABI DIBENARKAN

Keputusan membenarkan industri ternakan babi digerakkan di Sepang, di samping langkah menghalang program ‘Islam Hadhari’ di Selangor memperlihatkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dipengaruhi parti komponennya, menurut mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Memberitahu sekretariat PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga pakar kaunseling menjelaskan, program ‘Islam Hadhari’ digerakkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di peringkat kerajaan Pusat. Katanya lagi, masyarakat Islam berasa tersinggung dengan keputusan yang mengelirukan apabila kerajaan negeri membenarkan industri ternakan babi dan menolak program ‘Islam Hadhari’.

“Mungkin sahaja industri ternakan babi memberi input yang lumayan, sementara program ‘Islam Hadhari’ disalurkan kepada masyarakat Islam sahaja,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya. Bagaimanapun beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor, sekiranya konsep ‘Islam Hadhari’ itu dianggap tak menepati pemikiran Islam, ianya tetap ‘majlis ilmu’ yang digalakkan. Seterusnya beliau menjelaskan, kalau pendekatan ‘Islam Hadhari’ dianggap salah, justeru secara perundangan Islam pihak yang menuduh perlu menunjuk perkara-perkara yang ditakrif ‘salah’ itu. Sebaliknya beliau menegaskan, hasil daripada industri ternakan babi tetap salah apabila ianya disalurkan kepada ‘majlis ilmu’ yang digerakkan oleh masyarakat Islam.

INFO SASTERA & BUDAYA

SELANGOR TOLAK PENYAIR PRIMA
MALAM ‘KARYAWAN 2’ DI SHAH ALAM

Kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim disifatkan menolak penyair-penyair PRIMA menyertai ‘Malam Karyawan 2’ pada 7 Jun 2008 ini, menurut aktivis PRIMA Sdr Yassinsalleh. Beliau memberitahu, ketika Tan Sri Khalid menganjurkan ‘Malam Karyawan 1’ di kediamannya No 26 Jalan Setiabakti 5, Bukit Damansara sehari sebelum pembubaran Parlimen iaitu 12 Februari 2008. PRIMA diminta bekerjasama menjayakan majlis berkenaan dengan menjemput beberapa penyair PRIMA mendeklamasikan puisi. “Memang saya terbabit mendeklamasi puisi pada majlis Malam Karyawan 1 di kediaman Tan Sri Khalid atas kapisiti aktivis PRIMA yang prihatin dengan perjuangan Bahasa Melayu,” menurut Sdr Yassinsalleh.

Sebaliknya selepas PRU12 dengan membentuk kerajaan negeri bersama komponen Pakatan Rakyat, ‘Malam Karyawan 2’ bukan sahaja berhijrah dari kediaman Tan Sri Khalid di Bukit Damansara ke Dewan Jubli Perak, bangunan Setiausaha Kerajaan di Shah Alam, malah mungkin membabitkan kehadiran ahli Exco kerajaan negeri Selangor yang tak pernah dilihat kelibatnya pada ‘Malam Karyawan 1’, jelas Sdr Yassinsalleh. Seterusnya beritahu Sdr Yassinsalleh karyawan yang diundang khas oleh Tan Sri Khalid pula ialah SN Dr Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr Saddiq Fadzil dan Eddin Khoo. “Tapi PRIMA menggerakkan aktiviti tak bergantung kepada sokongan mana-mana kerajaan negeri,” beritahu Sdr Yassinsalleh seterusnya.

PENA HANTAR WAKIL MENYERTAI:
PERTEMUAN PENYAIR DI JAWA TENGAH

Persatuan Penulis Nasional (PENA) akan menyertai ‘Pertemuan Penyair di Kediri’, Jawa Tengah, Indonesia 1 – 5 Jun 2008 sebagai kesinambungan pertemuan sebelum ini yang digerakkan di Medan, beritahu aktivis PENA Sdr Ismas Saring. Setakat ini kata Sdr Ismas kepada sekretariat PRIMA, Dr Ibrahim Ghafar sudah menyatakan kesediaannya bagi menyertai pertemuan tersebut. Di samping membentangkan kertas kerja bagi pihak Malaysia, Dr Ibrahim dijangka turut mendeklamasikan puisi-puisinya, beritahu Sdr Ismas seterusnya. “Pembabitan PENA dalam aktiviti di luar Malaysia, memperlihatkan prihatin ormas (organisasi massa) itu terhadap pembangunan sastera di nusantara,” menurut Sdr Ismas yang tak dapat ikut serta dalam pertemuan tersebut.

Sdr Ismas antara aktivis PENA yang sering menjelajah ke seluruh nusantara dengan puisi-puisinya, mengalami masalah kesihatan baru-baru ini di samping sudah dua bulan tak ikut mendeklamasi puisi di laman Rumah PENA. Sejak beberapa tahun lalu PENA menganjurkan deklamasi puisi pada awal minggu pertama setiap bulan, sebagai aktiviti bulanan yang terterusan. Di samping Sdr Ismas ramai penyair-penyair PENA mengambil bahagian termasuk Yassinsalleh, M. Ashikin (Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah), Dr Ahmad Razali, S.M. Zakir, Dr Ibrahim Ghafar, Ahmad Sarju, AGI dan ramai lagi. “Insya Allah saya akan kembali mendeklamasi puisi di Rumah PENA sebagai aktiviti yang tetap berterusan,” beritahu Sdr Ismas menambah.

INFO SUARA PROLITAR

SURI RUMAH SEMAKIN KECEWA
BARANG NAIK SELEPAS BN TUMBANG

Kalangan suri rumah di sekitar Bagan Datoh melahirkan rasa kecewa berikutan kenaikan harga barang yang ketara selepas Barisan Nasional (BN) ditumbangkan di Perak, di samping sukar menerima alasan yang diberikan mengenai kekurangan bahan makanan di peringkat global. Salah seorang suri rumah di Sungai Haji Muhammad dikenali Makngah Rahmah, 76 bertekad mahu menemui perayu-perayu undi yang memberi jaminan harga barang terkawal sekiranya BN tumbang. “Saya mahu jumpa semula perayu-perayu undi itu, kerana sekarang BN tak memerintah lagi di Perak,” katanya kesal. Beliau turut mengakui harga beras yang paling murah bagi kampit 10 kg ialah RM28, berbanding sebelum PRU12 ialah RM15.50.

HARAPAN PEKEBUN KECIL KELAPA
AGENSI SEPERTI ‘RISDA’ DIGERAKKAN

Kejatuhan harga kelapa memberi implikasi kepada pekebun-pekebun kecil kelapa berikutan kenaikan harga barang keperluan yang mendadak. Justeru mereka berharap kerajaan perlu mewujudkan agensi seperti ‘Risda’ bagi menangani masalah pekebun-pekebun kecil kelapa, terutama bantuan yang diberikan kepada pekebun-pekebun kecil getah di negara ini. Menurut mereka lagi, pekebun-
pekebun kecil getah mendapat sokongan kerajaan menerusi agensi ‘Risda’, sebaliknya pekebun-pekebun kecil kelapa terpaksa berjuang sendiri meneruskan kehidupan. “Pekebun kecil kelapa tak berpeluang mendapat rancangan tanam semula seperti pekebun kecil getah yang diuruskan oleh Risda,” beritahu seorang pekebun kecil kelapa di Bagan Datoh dikenali Pak Andak, 79.

IMPAK KEKALUTAN POLITIK MALAYSIA:
BAKAR PISANG ‘ANGUS ADE MACAM IDAK’!

Agenda CIA dah nampak impak pada senario dalam kekalutan politik Malaysia. Mereka dah berjaya 70 peratus (respon PRIMA dijadikan ‘lepas jambatan tongkat dibuang’ oleh penganjur ‘Malam Karyawan 2’). Jangan tunggu Si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan! Jangan juga jadi Lebai Malang lagi malang bertambah malang; yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Lebih baik jadi Pak Pandir, harga beras naik bakar aje pisang muda – angus ade macak idak – pun tak apa. Beralas juga perut! (SMS; 1 Jun 2008 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

MINTA BERDIALOG DENGAN PENULIS MELAYU
BUKAN TAKAT PESTA-PESTAAN ‘MALAM KARYAWAN’

Itu mainan politik (respon PRIMA dijadikan ‘lepas jambatan tongkat dibuang’ oleh penganjur ‘Malam Karyawan 2’). Kontek Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) minta dia berdialog dengan penulis Melayu. Banyak isu mengenai Melayu, Islam, ekonomi, politik. Bila-bila kita boleh berbahas dengan dia, bukan takat pesta-pestaan ‘Malam Karyawan’ aje! (SMS; 1 Jun 2008 – Yahaya Ismail, Petaling Jaya, Selangor).

SUKAR TEMUI NEGARAWAN BANGSA
NAFSU KUASA MELEBIHI SEGALANYA!

Salam Pak Dharma. Saya di Jakarta bertemu kawan-kawan di sini jelaskan sikap dan pendirian saya. Akan kembali (ke tanah air) akhir minggu. Hajat nak bertemu rakan-rakan di PRIMA nanti. Saya simpati (respon PRIMA dijadikan ‘lepas jambatan tongkat dibuang’ oleh penganjur ‘Malam Karyawan 2’). Kita sukar temui negarawan bangsa. Kebanyakan nafsu berkuasa melebihi segala-galanya. Wassalam. (SMS; 2 Jun 2008 – M.Ezam, Jakarta, Indonesia).

KAYA BUKAN DI SEGI MATERIAL SAHAJA.
Oleh : ASALBAYU

MEMBACA blog Sdr Mohd Sayuti Omar (http://msomelayu.blogspot.com) berkaitan peingatan arwah ayahnya, Omar bin Othman dengan madah; hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin lantas mengingatkan saya terhadap tafsiran saya tentang miskin sebelum ini.Dulu saya menyangka bahawa jika tidak memiliki duit atau material seseorang itu dianggap miskin dan tentulah dipandang hina oleh anggota masarakat. Persepsi saya juga menyatakan kekayaan material itu membahagiakan.Namun sebenarnya ia tidak begitu tepat. Memiliki pengetahuan yang banyak juga adalah kekayaan, sementara kesihatan adalah kekayaan yang tidak ternilai harganya.Saya menydarinya selepas diserang strok pada 17.9.1999 sehingga mengakibatkan sebahagian badan lumpuh dan terlantar di rumah selama 6 bulan. Alhmdulillah kini saya semakin pulih dan berupaya memandu motokar.Sebagai di antara tanda bersyukur, saya sedang menyusun sebuah buku sepanjang 18 bab menceritakan pengalaman peribadi untuk dipasarkan selewat-lewatnya awal tahun 2009 akan datang. Sementara itu, sebahagian daripadanya bolehlah dibaca dalam blog saya dengan menjenguk http://asalbayu-bangkitsemula.blogspot.com



KOMENTAR
Bersama Pak Parjo.

SARANAN DARI SEORANG SAHABAT
WUJUDKAN RANGKAIAN KEDAI BUKU DBP

Sebermula diceritera oleh orang yang empunya ceritera, akan sahabat fakir mengakui mahu membeli kitab-kitab (yakni buku-buku seperti disebut orang banyak) yang diterbit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Maka berasa hampalah sahabat fakir apabila tak menemui sebuah pun rumah kedai yang meletak papan tanda yang disurat ‘Kedai Buku DBP’, adanya. Syahdan akan kitab-kitab dari DBP itu kononnya dijual orang di kedai-kedai yang papan tandanya disuratkan pedagang-pedagang lain. Maka berasa hairanlah sahabat fakir kerana DBP yang menerbit kitab-kitab, tetapi tak mempunyai rumah kedai sendiri bagi menjual kitab-kitabnya. Arakian akan Orangkaya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein pun sekadar menerima laporan yang molok-molok sahaja dari pegawai-pegawai, gamaknya!

Syahdan negeri Melaka makin makmurlah, masyhurlah peri kebesaran Melaka itu dari atas angin datang ke bawah angin. Maka oleh segala Arab dinamainya Malakat, tempat perhimpunan segala dagang. Adapun zaman itu sebuah negeri pun tiada menyamai Melaka, melainkan Pasai dan Haru, tiga buah negeri itu juga sama besarnya. Tua muda pun rajanya berkirim salam juga. Tetapi orang Pasai barang dari mana surat datang, jika salam pun dibacakannya sembah juga. Arakian disuratkan orang banyak ketiga-tiga negeri besar itu semuanya yang molok-molok sahaja, hingga sekalian orang-orang besar merasakan tak ada cacat cela di dalam negeri. Maka pada sekali peristiwa ada seorang Tun Bahara namanya dari Pasai, pandai ia bercatur sambil bersyair, berbait, bergurindam dan berseloka seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, May 27, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KU LI PRIHATIN DENGAN PEJUANG
TUNKU BAPA KEMERDEKAAN NEGARA

Assalamualaikum,

Semalam (26 Mei 2008), Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz beritahu tak sempat untuk ke Subang (hari ini 27 Mei 2008, jam 5.00 petang) menyambut kepulangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dari Tokyo, disebabkan mengikut Tengku Razaleigh Hamzah dalam siri kunjungan ke Kelantan hari ini (27 Mei 2008). Dato’ Kamal Amir beritahu, program kunjungan Tengku Razaleigh sudah dirangka lebih awal, malah sehari sebelumnya beliau baru sahaja balik dari Kota Kinabalu, Sabah. Pada 1982 saya pernah menemui Tunku Abdul Rahman Putra (membantu Tan Sri Abdul Samad Idris siapkan manuskrip buku ’25 Tahun Merdeka’) di kediamannya di Bukit Tunku, beliau mengaku disisihkan pimpinan UMNO ketika itu.
Bagaimanapun beritahu Tunku, kita ramai pimpinan UMNO menyisihkan beliau, malah mahu merobohkan monomen di hadapan bangunan Parlimen, anak raja Kelantan (yang dimaksudkan ialah Tengku Razaleigh) tetap menghormatinya. Malah rumah serta kereta yang digunakan oleh Tunku ketika itu, adalah disediakan oleh Tengku Razaleigh. Pengakuan Tunku dalam wawancara tersebut, sekaligus dapat saya bayangkan memang Tengku Razaleigh prihatin dengan sumbangan Tunku terhadap kemerdekaan, di samping pengorbanannya dalam gerakan nasionalisme. Tetapi apabila kenang ungkapan sinikal yang pernah dituturkan oleh Tan Sri Jaafar bin Hassan Albar, tak hairanlah fenomena dalam UMNO itu berlaku.

Kata Tan Sri Jaafar Albar, “Kalau mata kapak sahaja memang ianya tak mampu menumbangkan sepohon pokok, sebaliknya ambillah dahan pokok itu dijadikan ‘taran’ kapak, nescaya pokok berkenaan mudah ditumbangkan.” Pagi ini (27 Mei 2008), Sdr Yassinsalleh beritahu beliau mempunyai urusan di Johor, justeru tak sempat juga ke Subang pada sebelah petang. Tengaharinya pula (27 Mei 2008) Sdr Zainal Abidin Rasidin mengajak makan tengahari di gerai ‘masak kawah’ di Taman Seri Gombak, di samping beritahu program ‘Yayasan Buku Malaysia’ mahu menganjurkan anugerah kepada penulis-penulis Malaysia pada Ogos 2008 nanti. Haji Hassan Hamzah dari YBM juga menelefon beritahu mengenai program yang sedang disusun, termasuk penerbitan beberapa buah buku yang akan dipasarkan tak lama lagi.
Antara buku-buku yang akan diterbitkan termasuk tiga buah novel karya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, buku adventure mendaki Gunung Everest oleh bekas Timbalan Menteri Penerangan, Dato’ Haji Khalid Yunus dan beberapa lagi. Syabas! Usaha Haji Hassan dalam penerbitan buku-buku Melayu ini, sudah tentu memberi manfaat kepada kedaulatan Bahasa Melayu sendiri. Memang PRIMA sudah lama tak menaruh banyak harapan kepada DBP dalam perjuangan sastera dan bahasa, kerana fungsinya tak sama dengan penubuhan ‘Jataban Karang Pengarang Maktab Perguruan Sultan Idris’ iaitu agensi yang menjadi asas kepada sejarah penubuhan DBP. Mungkin sahaja sejarah berkenaan sudah dilupakan oleh pegawai-pegawai muda di DBP, mahupun pimpinan sekarang yang serba hebat, lebat dan bebat!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


KONTRAKTOR KELAS F MERUNGUT
MPS TAK PERNAH LAGI MESYUARAT

Kontraktor-kontraktor kelas F yang menjalankan kerja-kerja di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merungut berikutan kesukaran berurusan berkaitan dengan projek-projek kecil. Menurut beberapa orang kontraktor terbabit, sejak Mac 2008 mereka diberitahu MPS tak pernah mengadakan mesyuarat bagi meluluskan projek-projek kecil yang menjadi sumber pendapatan kontraktor-kontraktor kelas F. Malah mereka juga menambah, sebelum Mac 2008 pihak MPS dikatakan sudah meluluskan lebih RM70 ribu peruntukan bagi projek-projek kecil, tetapi hingga sekarang tak diketahui ke mana ianya disalurkan. “Bagaimana peruntukan berkenaan boleh disalurkan sekiranya sejak Mac 2008, MPS tak pernah mengadakan mesyuarat bulanan mahupun mingguan?” beritahu kontraktor-kontraktor terbabit.

Sekretariat PRIMA difahamkan, MPS tak pernah mengadakan jadual mesyuarat sejak peralihan kerajaan selepas PRU12, 8 Mac 2008 hingga ahli-ahli mesyuarat MPS sukar memberikan penjelasan kepada kontraktor-kontraktor terbabit. Menurut sumber, Yang Dipertua MPS sendiri tak pernah melaporkan kepada ahli-ahli mesyuarat MPS sebarang perkembangan dalam pentadbiran. Berikutan rungutan kontraktor-kontraktor kelas F terhadap projek-projek kecil yang dikendalikan di bawah MPS, ahli-ahli mesyuarat yang masih mempunyai tempoh perkhidmatan sehingga akhir Jun 2008 berasa kecewa kerana tak dapat menjalankan tangungjawab yang diamanahkan. “Yang Dipertua MPS perlu memberi penjelasan dengan masalah yang dihdapi kontraktor-kontraktor kelas F ini,” ujar kalangan kontraktor-kontraktor berkenaan.

SPEKULASI AWAL PIMPINAN UMNO
MAT TAIB REBUT TIMBALAN PRESIDEN?

Tempoh sehingga Disember 2008 bagi Perhimpunan Agung UMNO memberi ruang kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah, Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib membuat persiapan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO sebagai spekulasi awal, menurut kalangan penganalisis politik. Sumber terbaru dikatakan Tan Sri Muhammad menganjurkan seminar UMNO Selangor di Port Dickson mulai Sabtu ini (31 Mei – 2 Jun 2008). Spekulasi awal dikatakan Tan Sri Muhammad akan bergandingan dengan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan mempertahan jawatan Presiden UMNO. “Bagaimanapun berdasarkan kempen senyap dikatakan Dato’ Seri Najib Tun Razak menunggu peluang 60 Bahagian mencalonkan beliau bagi jawatan Presiden UMNO,” beritahu sumber berkenaan.




Seterusnya sumber berkenaan mengakui, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO bergandingan dengan Dato’ Seri Najib yang berharap akan menerima pencalonan daripada 60 Bahagian. Dalam perkembangan terbaru dikatakan seramai 15 calon sudah menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden UMNO, iaitu fenomena yang belum pernah berlaku sebelum ini. Bagaimanapun Dato’ Seri Hishamuddin Hussein yang disebut-sebut akan melepaskan jawatan Ketua Pemuda bagi merebut salah satu jawatan Naib Presiden, dikatakan mahu berpatah balik kepada mempertahan Ketua Pemuda berikutan fenomena yang berserabut dalam perebutan jawatan pimpinan UMNO sekarang. “Setakat ini empat calon dari Johor sudah menawar diri untuk calon jawatan Naib Presiden,” kata sumber tersebut.

INFO SASTERA & BUDAYA

DPMP ANTARA ORMAS TERTUA
TURUT TERBABIT TUBUHKAN GAPENA

Mesyurat agung Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Ahad ini (1 Jun 2008) dikatakan berlaku persaingan bagi merebut jawatan pimpinan utama, berikutan kalangan aktivis DPMP mahukan perubahan. DPMP antara ormas (organisasi massa) tertua di Malaysia, memang terbabit di peringkat awal membentuk Gabungan Penulisan Nasional (Gapena). Malah dianggap memberi sokongan kuat kepada pimpinan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, ketika DPMP di bawah pimpinan Sahmad Malaya. Sekitar dekad 1970-an, DPMP juga sering menganjurkan bengkel penulisan, termasuk disertai ormas di luar Pahang, apabila ianya diadakan di Bentung. DPMP juga antara ormas yang menubuh cawangan-cawangan di peringkat daerah bagi menggerakkan aktivitinya.

Di samping menganjurkan bengkel penulisan sekitar dekad 1970-an, DPMP di bawah pimpinan Shahmad Malaya turut menyertai aktiviti ormas di luar Pahang, termasuk juga seminar penulisan di Ipoh awal dekad 1970-an yang dianjurkan oleh Gatra 2 di bawah pimpinan Suhaimi Haji Muhammad. Aktivis DPMP Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah adalah antara pembentang kertas kerja yang menimbulkan kontroversi, apabila beliau menimbulkan isu ‘penulis ikan bilis dan penulis ikan jerung’. Di samping Dato’ Dr Mohd Mansor, Suhaimi Haji Muhammad juga menimbulkan kontroversi dengan isu ‘penulis mesti kaya kalau mahu jadi agung’. Kontroversi ditimbulkan kerana ketika itu mereka dilabel sebagai penulis yang tak memiliki status akademik.

Justeru DPMP masih terus bertahan setelah rakan-rakan ormas seperti Gabungan Sasterawan Utara (GATRA) di Kedah, GATRA 2 di Perak, Angkatan Penulis Kreatif Kuala Lumpur (AKTIF), Lembaga Sasterawan (LEPAS) di Kuala Kangsar, Angkatan sasterawan Negeri Sembilan (ASAS Negeri) dan beberapa lagi tak meneruskan aktiviti mereka. Mesyuarat Agung DPMP 1 Jun ini, dikatakan ada desakan mahu Tan Alaudin digantikan dengan pimpinan baru selaku Ketua Satu, di samping menampilkan beliau sebagai calon Ketua Satu Gapena di peringkat nasional. Setakat ini calon terbaik bagi mengambil alih pimpinan DPMP adalah Dato’ Dr Mohd Mansor, malah terdapat juga ura-ura mahukan beliau didesak merebut jawatan Ketua Satu Gapena.

INFO SUARA PROLITAR

SOKONGAN PERINGKAT AKAR UMBI
DR KHIR LAYAK UNTUK KETUA PEMUDA

Peluang Dr Khir (Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo) rebut Ketua Pemuda (UMNO) pada Perhimpunan Agung Disember (2008) nanti lebih baik. Usaha mahu memecat Dato’ Mokhriz (Tun Dr Mahathir) sekarang, memang untuk menyekat peluangnya. Tetapi Dr Khir boleh pergi jauh. Apalagi beliau mendapat sokongan di peringkat akar umbi. Dr Khir juga sudah buktikan berjaya membawa Majlis Belia Malaysia (MBM) dikenali di peringkat antarabangsa. Beliau tetap layak. – (SMS; 27 Mei 2008 – Orang Muda, Hulu Langat, Selangor).

TUN DR M DIBERI SAMBUTAN
LEBIH 800 ORANG TUNGGU DI AIRPORT.

Banyak cawangan-cawangan (UMNO) dari Kedah, Perak, Shah Alam dan lain-lain (sambut kepulangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, jam 5.00 petang di Lapanganterbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Subang). Walaupun hari kerja (lebih) 800 orang datang, dan banyak press serta polis. Saya tunggu gambar-gambar dari Jinggo di http://minaq-jinggo.fotopage.com/ - (SMS; 27 Mei 2008 – Sallehuddin, K.L.)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANG ATAS ANGIN MENUDUH
BANGSA MELAYU MENJADI LANUN

Sebermula dititirlah canang ke seluruh negeri, akan orang di atas angin itu sejak dahulukala mengatakan orang Melayu memanglah ganas. Syahdan di balairong seri (Dewan Negara) hari ini 21 Jamadilawal 1429 (atau disebut orang 27 Mei 2008) akan Oranngkaya Tan Sri Jins Shamsuddin menyebut iklan yang digambarkan oleh orang di atas angin mengenai orang Melayu itu ganas. Aduhai! Sejak dahulukala orang atas angin menuduh orang Melayu menjadi ‘lanun’, termasuklah Si Bongkok Tanjung Puteri yang mempertahankan perairan Selat Teberau hingga ke terumbu karang di Pulau Batu Putih. Maka orang Melayu sendiri terikut-ikut menuduh Si Bongkok menjadi lanun. Adapun Silawatang di Kesang juga disebut orang Melayu lanun, hatta Nakhoda Udin di Sungai Kerian pada 1826 juga dikata orang banyak menjadi ‘lanun’. Malah ‘Nayan’ di Kedah pada 1901 disebut orang ‘penyamun’, adanya.

Arakian sekali persetua ada seorang Jawa berjalan ia di pasar. Adapun orang Jawa itu demam kura, berjalan pun terkukul-kukul. Maka oleh segala anak-anak muda di pasar itu, diejek-ejek akan Jawa itu. Berkali-kali ditegah oleh orang banyak di pasar, tetapi tak pula dihiraukan oleh segala anak-anak muda berkenaan. Syahdan berasa malulah Jawa itu kerana diejek-ejek. Maka hilanglah sabarnya Jawa, lalu mengamuklah ia menggunakan golok. Arakian gemparlah sekalian orang banyak di pasar apabila Jawa itu mengamuk. Banyaklah yang mati, maka bertempiaran mereka menyelamatkan diri. Akan Hang Tuah itu sedang mengapak kayu di hadapan kedai ayahnya. Setelah mendengar akan orang mengamuk, Hang Tuah pun keluar dengan memegang kapaknya. Maka dikapak oleh Hang Tuah orang Jawa mengamuk itu terbelah dua seperti disebut oleh ‘Kitab Melayu’ yang disurat:



HIDUP BAHASA MELAYU!
JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


JURUTERA TAK MAMPU MENULIS NOVEL
PENGARANG JUGA SUKAR MENGECAT RUMAH

Assalamualaikum,

Sebelum ke Tampin petang 23 Mei 2008 lalu, sempat juga singgah ke rumah kawan saya Ir Mohd Isa Hamzah di Taman Harmonis, Gombak disebabkan tak dapat hadir pada majlis perkahwinan anaknya pada 24 Mei 2008. Ir Mohd Isa mengakui beliau tak mampu menulis novel sebagai kekurangan yang sukar diatasinya. Bagaimanapun Ir Mohd Isa tak menafikan apabila saya pula memberitahu, tak mampu melakukan tugas-tugas seorang jurutera. Malah satu ketika sekitar dekad 1970-an di Seremban, pernah seorang lelaki Cina penyapu cat yang membuat renovasi di pejabat saya, kagum melihat ketekunan saya menaip kerja-kerja pejabat. Sebaliknya beliau tertegun apabila saya beritahu, memang saya boleh menaip tetapi tak mampu melakukan kerja-kerja mengecat secara sempurna seperti beliau lakukan apabila membuat renovasi pejabat berkenaan. Begitulah!

Pada 25 Mei 2008 saya menghadiri majlis perkahwinan anak seorang lagi rakan di Taman Gombak, Haji Ismail, beliau secara bergurau memberitahu tetamu, makanlah dulu dengan tak perlu bimbang sekiranya menghadapi masalah penyakit. Maklumlah, buat masa sekarang memang ramai tetamu sentiasa berpantang apabila menghadiri majlis perkahwinan, hingga kari kambing pun tak boleh dijamah! Selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Haji Ismail, kira-kira jam 1.30 tengahari saya terus ke rumah Cikgu Haji Mohd Noor Jion di Batu 6 ¾ Gombak. Cikgu Haji Mohd Noor sudah berusia 92 tahun, berasal dari Chenor di Pahang tetapi sudah lama menetap di Gombak, di samping pernah berkhidmat di akbar MAJLIS sekitar dekad 1940-an dan 1950-an.

Memang Cikgu Haji Mohd Noor terkilan dengan isu Pulau Batu Putih terlepas dari tangan Malaysia, apalagi dalam usianya 92 tahun insiden tersebut berlaku di depan mata. Beliau pernah menjadi rakan Dato’ Abdul Rahman Talib (bekas menteri kabinet sekitar dekad 1960-an), ketika mereka sama-sama dalam perkhidmatan perguruan. Malah ketika Cikgu Haji Mohd Noor hampir dihukum oleh British sekitar tahun 1941 kerana enggan terbabit mengikuti kursus ‘sukarelawan’ (guru-guru dipaksa menyertai ‘sukarelawan’ sebagai pasukan bagi melawan kemaraan Jepun di Pahang), Dato’ Abdul Rahman selaku nazir sekolah-sekolah menyelamatkan beliau. “Kalau tubuh pasukan sukarelawan nak rebut Pulau Batu Putih, saya sedia mendaftar diri!” katanya bersemangat.

Mungkin sahaja saya berasa malu berhadapan dengan Cikgu Haji Mohd Noor yang kelihatan masih sihat dalam usianya menjangkau 92 tahun, tetapi bersemangat mahu merebut Pulau Batu Putih yang jaraknya sekadar 12 kilometer sahaja dari Pengerang (yang satu ketika dulu menjadi lokasi pertahanan Si Bongkok Tanjung Puteri) apabila melakukan serang hendap terhadap kapal-kapal dagang British. Apalagi secara historikal ketika Singapura diceroboh Jepun pada 14 Februari 1942, tak seorang pun barisan peguam yang berhujah di ICJ menampil diri bertahan. Ketika itu Leftenan 90 Adnan Saidi, Koperal 182 Yaacob Bidin dan Perajurit 1286 Mohd Yunus yang menahan dada dengan tusukan benet tentera Jepun. Bukan pimpinan kerajaan Singapura sekarang. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO SABAH BUKAN KELAS DUA
KU LI MAHU MERAKYATKAN PARTI


Pemulihan ‘krisis keyakinan’ perlu menyeluruh dengan merakyatkan UMNO, bukan dibiarkan dalam fenomena sekarang hingga UMNO Sabah seolah-olah diberi layanan ‘kelas dua’, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang ikut bersama dalam kunjungan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah ke Sabah baru-baru ini. Menurut Dato’ Kamal Amir, dalam kunjungan ke Sabah isu yang jelas menjadi fenomena sekarang ialah layanan yang diberi kepada UMNO Sabah seolah-olah mereka ahli kelas dua, di samping mengharap ihsan daripada Kuala Lumpur. Justeru beritahu Dato’ Kamal Amir, Tengku Razaleigh mahukan UMNO Sabah tak berbeza dengan UMNO di Semenanjung, kerana setiap ahli sama-sama membayar yuran. “UMNO dari Sabah juga wajar dicalon memegang jawatan tertinggi parti termasuk kerusi-kerusi utama,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Menyentuh pembangunan wilayah koridor yang dijanjikan kepada rakyat Sabah, Dato’ Kamal Amir memberitahu projek saluran paip yang disebut adalah di Bintulu yang ianya memberi manfaat kepada penduduk Sarawak. Projek aluran paip berkenaan tak memberi sebarang kepentingan kepada rakyat Sabah, sekalipun UMNO sudah bertapak di negeri itu. Di samping berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh peringkat akar umbi UMNO Sabah dengan kunjungan Tengku Razaleigh, pihaknya turut mendengar rungutan mereka apabila dilayan seolah-olah ‘ahli kelas dua’. “Tengku Razaleigh akan membuat perubaha dengan menukar persepsi UMNO perlu dirakyatkan bukan lagi ‘dituankan’ hingga wujud eklompok kelas,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
Sementara itu penyiar Yassinsalleh menjelaskan, PRIMA tak terbabit dengan politik UMNO, sebaliknya setiap aktivis berhak menyokong tokoh yang dianggap perlu diberi sokongan secara individu. Katanya, pembabitan Dato’ Kamal Amir memberi sokongan kepada usaha pemulihan yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh disebabkan beliau bekas Exco Pemuda UMNO sekitar dekad 1980-an. Justeru beliau menjelaskan pimpinan utama PRIMA, sasterawan Dharmala N.S. misalnya lebih memfokuskan kepada isu kebudayaan dan Bahasa Melayu di samping perjuangan ‘menentang perhambaan minda’. Yassinsalleh juga mengakui beliau menyokong pendekatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad isu pemulihan ‘krisis keyakinan’ negara ialah dengan meminta Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur. “Kita berhak bebaskan minda, demi menggerakkan kemanfatan kepada semua warga Melayu,” katanya.

INFO SASTERA & BUDAYA

AKTIVIS DPMP MAHU PIMPINAN BARU
GAPENA PERLU KEMBALI MENJADI ORMAS

Aktivis Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) L. Mankadir Shamsi menyokong sebarang langkah Ketua Satunya, Dato’ Tengku Alaudin Abdul Majid berundur dengan memberi laluan kepada Timbalan Ketuanya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah memimpin DPMP. Seterusnya kata L Mankadir, Dato’ Tengku Alaudin boleh bertanding jawatan Ketua Satu Gapena bagi membawa perubahan kepada organisasi massa (ormas) terbabit memisahkan diri daripada jaringan politik tertentu. Menurut L Mankadir lagi, Gapena perlu dibawa kembali kepada perjuangan asalnya dalam pemupukan budaya nasional berteraskan kebudayaan Melayu. “Gapena sekarang menyimpang jauh hingga menjadi terompet politik bukan lagi sebagai ormas,” beritahu L Mankadir.
Seterusnya L Mankadir menegaskan, beliau tak akan berkompromi dalam isu menukar pimpinan Gapena mulai sekarang. Sekiranya Dato’ Tengku Alaudin keberatan, DPMP akan mencalonkan Dato’ Dr Mohd Mansor bagi merebut jawatan Ketua Satu Gapena, malah turut bergerak mendapatkan sokongan badan-badan kerabat membawa perubahan yang diperlukan. Katanya, Gapena tak boleh dibiarkan menjadi seperti orang dalam keadaan uzur dengan tak diberi rawatan sempurna, justeru beliau akan membawa usul tersebut dalam mesyuarat agung DPMP akan datang. “Memang sukar membawa perubahan, tetapi kita perlu berhadapan dengan kesukaran kalau mahu ianya mencapai kesempurnaan yang hakiki,” menurut L Mankadir selanjutnya.
SAYEMBARA MENULIS SAJAK
SEMPENA MENUAI PADI DI KEDAH

-oleh Asalbayu-


ANGKATAN Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama eSastera.com mempelawa penyair diseluruh dunia menyertai Sayembara Menulis Sajak bertemakan “Ternakan Kerbau Dalam Tradisi Masyarakat Melayu” yang menawarkan hadiah berjumlah RM 1,300 mulai 17.5.2008 hingga 31.10.2008.Sekretariat sayembara menegaskan, penganjuran acara berkenaan sebagai di antara program sempena sambutan Jubli Emas Sultan Haji Abdul Halim Muazzam Shah menaiki takhta kerajaan negeri Kedah.Selain itu ia adalah bertujuan bagi memeriahkan Tahun Melawat Kedah 2008 dan Acara Tahunan Pesta Menuai Kedah yang merupakan jelapang padi Malaysia.

Pemilihan temanya adalah memandangkan bahawa kerbau begitu akrab dengan masyarakat Melayu di masa silam terutama bagi mengusahakan industri pertanian selain haiwan terbabit juga turut menyumbang sumber protein iaitu daging dan susu.Keakrabannya dapat dilihat dalam beberapa pepatah seperti ‘Masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak’, ‘Seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit’, ‘Manusia dipegang janjinya, kerbau dipegang talinya’ dan banyak lagi.Masyarakat mendatang menurutnya, mungkin tidak lagi mengenali kerbau kerana haiwan ternakan itu kurang dipelihara selain kebanyakan aktiviti industri pertanian telah diambilalih oleh jentera sesuai dengan tuntutan peredaran zaman.Antara syarat penyertaan yang telah ditetapkan ialah:

·Hadiah yang ditawarkan terbahagi kepada tiga (3) kategori; pertama RM 1,000, kedua RM 200 dan ketiga RM 100.

·Karya sajak bebas tetapi mestilah mematuhi tema yang telah ditetapkan: Ternakan Kerbau Dalam Tradisi Masyarakat Melayu.

·Karya sajak mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu.

· Tidak terikat dengan taraf tiga (3) bintang dalam keahlian eSastera.

·Penghantaran karya hanya akan diterima melalui muatnaik (upload) ke folder Komuniti Penyair eSastera.com.

·Penulis tidak terikat dengan jumlah karya yang hendak dihantar, hadiah hanya akan diberikan kepada sebuah karya yang terbaik.

·Karya yang diiktiraf sebagai pemenang, penulisnya akan diminta mengirimkan biodata dan pengesahan keasliannya.

·Karya yang menyertai sayembara tidak dibenarkan dihantar ke mana-mana penerbitan sewaktu tempoh peraduan (17.52008 – 31.10.2008).· Keputusan pengadil adalah muktamad.

·Penulis digalakkan meggunakan unsur multimedia ketika mengemukakan karya ke eSastera.com dan mencatatkan sumber unsur-unsur yang digunakan seperti gambar dan muzik.

·Penulis tidak terikat dengan panjang pendek karya sajak yang dikirimkan.· Majlis penyampaian hadiah akan diumumkan kemudian.

·Karya yang terbaik akan dikumpulkan dalam sebuah antologi, jika didapati sesuai.Butir-butir sayembara boleh dirujuk di laman web http://www.rumah.ws/ESsayembara/kerbau.htm atau di blog ASASI, http://asasi.esasterawan.net. Untuk maklumat lanjut, pertanyaan boleh diajukan melalui email asasikedah@yahoo.com.

INFO SUARA PROLITAR

UMNO MACAM BAIKI KERETA
AHLI MAHU BELI KENDERAAN BARU!

UMNO sekarang macam nak hantar kereta ke workshop. Tapi kita ni macam nak tukar kereta terus. Sekarang ni berdahagi betul nak dapat siang yang cukup lapang dan malam yang cukup panjang. Kerja menuntut hampir setiap detik laluan waktu. Hanya untuk sendiri: Semua dah siap, tinggal nak bakar meriam aje. (Dalam dialek Negeri Sembilan, tapi diedit semula bagi disesuaikan untuk bacaan umum) – (SMS; pagi 26 Mei 2008 – Pak Sodaro, Kajang, Selangor).

SAMBUT KEPULANGAN TUN DR M
DEMI AGAMA, BANGSA & NEGARA

Esok, 27 Mei 2008, jam 5.00 petang, di Airport (Lapanganterbang) Subang (iaitu di sebelah Petronas), untuk sama-sama menyambut kepulangan Tun Dr Mahathir Mohamad dari Jepun. Kehadiran adalah rangsangan perjuangan untuk sama-sama menyelamatkan agama, bangsa dan negara – (SMS; petang 26 Mei 2008 – YS, Kuala Lumpur).

PERTAHANKAN SETIAP INCI BUMI
MESTI BUKTIKAN, BUKAN CAKAP SAJA!

Gagal memperoleh Batu Putih, adalah kelemahan pemimpin negara. Sekarang Batu Putih sebesar sepatuh padang bola, esok-esok pulau lain pula, lebih besar lagi. Entah-entah sebesar koridor demi koridor. Kalau UMNO nak pertahankan pemimpin, biarlah! Orang Melayu bangunlah. Bukan pemimpin UMNO aje, pemimpin lain dari UMNO juga perlu disingkir, kalau biarkan setiap inci bumi Melayu diserah kepada kuasa asing – (SMS; malam 25 Mei 2008 – Tok Gadek, Sungai Cincin, Gombak, Selangor).

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

ORANGKAYA KETUA MENTERI MELAKA
BAGAIKAN PERIHAL ORANGKAYA TUN PERAK

Syahdan akan Orangkaya Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam dilihat orang banyak menerima borang keahlian menyertai UMNO. Maka gembiralah sekalian ahli-ahli UMNO melihat kejayaan Orangkaya Ketua Menteri Melaka itu menerima akan sokongan besar. Syahdan sebelum hari pemilihan pada 30 Safar 1429 (disebut orang juga 8 Mac 2008), maka banyaklah diterima borang keahlian menyertai UMNO di seluruh negara. Arakian tersebutlah di negeri Kelantan, Dato’ Seri Anuar Musa juga menerima berbungkus-bungkus borang keahlian menyertai UMNO. Maka gusarlah Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat, kerana bimbang UMNO di Kelantan akan kehabisan borang keahlian untuk diagihkan kepada orang-orang Melayu di Kelantan. Maka fakir diberitahu orang banyak ‘peluru habis, Palembang tak alah’.

Arakian tersebutlah kisah akan Siam mahu menyerang Melaka. Maka akan Tun Perak, Penghulu Kelang itu disuruhkan memasang api suluh pada setiap pokok di tepi pantai. Apabila hari malam kelihatanlah api di tepi pantai, seperti banyaknya sekalian orang tak terpemenai bilangannya. Sebaik sahaja dilihat orang-orang Siam dari perahu-perahu mereka di tengah laut, akan ramainya rakyat Melaka, maka berkatalah pahlawan Siam di dalam hatinya, “Lagikan seorang Tun Omar mengamuk habislah perahu-perahu Siam pecah di air, apakah pula terlalu banyaknya orang di pantai dengan suluh api menunggu angkatan Siam!”. Lalu pecahlah perang orang Siam, akan perihal bijaknya Tun Perak itu mengatur muslihat perang seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, May 25, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



APBILA ORANG KECIL MENINGGAL
SEKADAR DIRATAPI KELUARGA TERDEKAT

Assalamualaikum,



Belum pun subuh kira-kira jam 5.30 pagi ini (25 Mei 2008) adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid menelefon beritahu bapa saudaranya, Abdul Kadir bin Abdul Rahman di Rasah, Seremban meninggal dunia. Jam 7.00 pagi pula Haji Mohd Salleh Salimin turut menelefon mengenai berpulangnya ke rahmatullah Abdul Kadir. Innalillahi wainnalillahi raji’un. (Mungkin sahaja tulisan rumi tak menepati ejaan dalam tulisan jawi, tak apalah!). Selepas lebih 30 tahun tak pernah lagi menemui Abdul Kadir, tetapi saya masih ingatkan beliau, kerana pernah menyewa rumah emaknya di Rasah apabila saya tinggal bersama Haji Salleh Salimin, Razali dan Musa pada 1973. Abdul Kadir rakan sepejabat Haji Salleh, justeru hubungna rapat terjalin apabila saling kunjung mengunjungi. Begitulah!



Abdul Kadir memang bukan orang besar, beliau sekadar ‘orang kecil’ dengan fizikal juga tak berapa besar. Sudah tentu beliau meninggal dunia sekadar diratapi saudara mara terdekat, di samping tak mendapat liputan media arus perdana. Dalam usia melebihi 70 tahun, apalagi sudah lama terkejang sakit akibat angin ahmar, tak siapa menghiraukan pemergian beliau. Abdul Kadir adalah anak Dato’ Shahbandar Abdul Rahman, antara pembesar adat yang pernah berjuang menentang British. Abangnya pula ialah Haji Mohd Tahir Abdul Rahman, bekas pejuang nasionalisme di Negeri Sembilan di samping turut mengasaskan penubuhan Persatuan Melayu Negeri Sembilan (Pemenas) bagi membentuk UMNO dalam Kongres Melayu Pertama di Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946.



Selepas Malayan Union dimansuhkan dengan diproklamir Persekutuan Tanah Melayu pada Februari 1948, Haji Mohd Tahir dilantik menjadi ahli Majlis Permesyuaratan Negeri Sembilan (atau sekarang ADUN). Bagaimanapun Abdul Kadir tak pernah berbangga dengan pencapaian abangnya Haji Mohd Tahir, mahupun kehebatan ayahnya menentang British pada period penjajahan. Malah beliau tak hiraukan mengenai keturunannya dari Tuanku Imam Tambusai, Haji Mohd Salleh bin Maulana Kadi yang diproklamir sebagai salah seorang ‘Pahlawan Nasional Indonesia’ sekalipun jasadnya dikebumikan di Rasah, Seremban. Tak hairanlah tokoh-tokoh pejuang di masa lalu dipinggirkan asal sahaja mereka boleh menjadi ‘over shadow’ kepada pihak berkepentingan.



Misalnya, beberapa bulan selepas balik ke tanah air Shamsiah Sutan Fakeh (Ibu Shamsiah) pernah berkunjung ke rumah bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Samad Idris. Memang Tan Sri Abdul Samad meminta saya datang bersarapan pagi bersama, apalagi Ibu Shamsiah sebenarnya berasal dari Kuala Pilah (atau satu daerah dengan Tan Sri Abdul Samad). Sepanjang perbualan dengan beliau, saya tak melihat ciri-ciri ganas pada diri Ibu Shamsiah selain dari sifat-sifat keibuan yang jelas terpancar dari wajahnya. Insiden beliau ditohmah membuang bayinya ke dalam sungai di Pahang sekitar dekad 1950-an, memang usaha British mahu mengeksplotasi isu berkenaan bagi menaikkan lagi suhu kebencian orang Melayu terhadap perjuangan beliau menentang penjajah. Alahai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:



WACANA ADAT TERLALU SINGKAT
PESERTA BERASA TAK SEMPAT MENGHAYATI



Majlis ‘Wacana Adat’ sempena kerjan YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol mendapat sambutan luar biasa apabila Dewan Orang Ramai di pekan Renggoh, Johol dipenuhi peserta-peserta dan peminat-peminat adat. Malah sebahagiannya turut menganggap sebagai ‘majlis ilmu’, di samping memberi banyak manfaat kepada masyarakat. Majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dipengerusikan oleh Puan Mawar Malinda Haji Zakaria itu dirasmikan oleh Undang Luak Johol dengan turut dihadiri YB Mohammad Razi Haji Kail, Exco Kerajaan Negeri, YB Roslan Mohd Yusuh, ADUN Johol dan Pengarah LMNS, Drs Shamsuddin Ahmad.



Bagaimanapun beberapa orang dato’-dato’ lembaga dari luak Rembau yang turut hadir mengakui ‘wacana’ berkenaan terlalu singkat, malah peserta-peserta tak sempat memberi penghayatan. ‘Wacana Adat’ yang difasilitor oleh Dato’ Dr Abdul Rahman Kaeh dengan panelnya Dato’ Ustaz Muhammad bin Yassin (mantan pensyarah Maktab Raja Melewar, Seremban) dari pendekatan agama, Dato’ Wira Dr Mohd Rosli Saludin (Ketua Jabatan Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan UPSI) dari pendekatan pepatah peitith dan Pak Dharmala N.S. (Ahli Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Lembaga Muzium Negeri Sembilan) dari pendekatan sejarah.


GENERASI MUDA SERING DIPERSALAH
ADAT PERPATIH DARI PERSPEKTIF SEJARAH



(Teks ceramah Pak Dharmala N.S., Ahli Jawatankuasa Penyelidik Budaya Muzium Negeri Sembilan pada ‘Wacana Adat’, 24 Mei 2008, jam 9.30 pagi di Dewan Orang Ramai Renggoh, Johol, Negeri Sembilan sempena Kerjan YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol)


MUKADDIMAH



Pemahaman adat dalam struktor kehidupan manusia harus dilihat menerusi pendekatan sejarah yang berkait-kait, berselit-selit dan beranggit-anggit. Di luak Johol misalnya, mungkin sahaja sistem adat sudah digunapakai sebelum 1723 iaitu tarikh Dato’ Setiawan 1 diproklamir menyandang pesaka Undang Luak Johol (atau sebelumnya dikenal sebagai penghulu). Justeru adat yang digunapakai sebelum tarikh 1723 melalui proses diubah suai apabila diterapkan dalam pentadbiran baru yang lebih lengkap pada ketika itu. Luak Johol pada period pra sejarah 1723 boleh dirujuk kepada cerita lisan tempatan menerusi ‘Terombo Dato’-Dato’ Johol’ berkaitan pembesar-pembesarnya bersama Tok Batin menjemput Bendahara Sekudai mentadbirkan luak mereka.


Berdasarkan cerita lisan di Johol didokumentasi semula oleh orientalis barat seperti Campbell, Harvey, R.O. Winstedt atau R.J. Wilkinson menerusi jurnal ‘Paper on Malay Subjects’, sudah tentu ianya dilengkapkan bagi kepentingan politik penjajah; justeru masih banyak yang tersirat belum tersurat seolah-olah meminggirkan dikri adat yang disebut orang tua-tua dahulu apabila berlaku krisis keyakinan: Terkilan yang besar maka memanggil; terkilan yang kecil maka menghadap!. Apalagi mitos Bendahara Sekudai pula yang dikatakan sebagai salasilah keturunan Undang Luak Johol, turut disebut juga sebagai salasilah Undang Luak Sungai Ujong, sekalipun secara historikal Bendahara Sekudai ialah pembesar Johor yang terbabit dalam perang membantu Belanda mengusir Portugis di Melaka pada 1641. Begitulah!



Dalam penulisan jurnal J.M. Gullick mengenai ‘Sejarah Negeri Sembilan’ memang luak Johol terlingkung pada period awal, dengan dibahagikan kepada tiga frasa bagi pemerintahan Melayu tradisi iaitu: (i) Period awal dengan dipecahkan kepada empat wilayah Sakai; Sungai Ujong, Kelang, Jelebu dan Johol, (ii) Period peralihan apabila empat wilayah Sakai digantikan dengan sembilan negeri Minangkabau di bawah kedaulatan Johor, dan (iii) Period moden apabila empat daripada sembilan negeri Minangkabau itu membentuk perlembagaan monarki bebas di bawah pemerintahan Yamtuan mereka sendiri. Pebentukan perlembagaan baru itu dikira sebagai transformasi budaya masyarakat Melayu dengan menggunapakai sistem adat yang diadaptasi daripada Adat Perpatih dibawa dari Paggaruyung di Minangkabau.



MENELUSUR TRANSFORMASI BUDAYA



Pelaksanaan adat dalam dikri ketuanan Melayu pula perlu diselusuri menerusi transformasi budaya sejak sistem pemerintahan berpusat di istana, sama ada pada period kesultanan Melayu Melaka sekitar tahun 1400 Masehi mahupun sebelumnya di bawah glori empayar Palembang atau Salendra. Mungkin sahaja pada period perkembangan kerajaan Melaka, wilayah yang dikenali Johol sekarang adalah diletakkan sebagai period awal yang dipecahkan kepada empat negeri Sakai, seperti disebut J.M. Gullick. Selepas kejatuhan Melaka pada 24 Ogos 1511 misalnya, rakyat keturunan Minangkabau turut berundur membuat penempatan baru di lokasi jauh dari pentadbiran Portugis di Melaka.



Misalnya ahli geografi Portugis, Goudinho de Eredia dalam buku peta pada 1613 berkaitan persempadanan pemerintahan Portugis di Melaka menyebut Naning kawasan penempatan Minangkabau adalah sebahagian wilayahnya, di samping Rembau yang juga diduduki komuniti Minangkabau di luar pentadbiran Portugis. Berdasarkan buku peta berkenaan tiga wilayah lagi yang disebut penempatan Minangkabau ialah Johol, Seri Menanti dan Sungai Ujong; sekalipun wilayah berkenaan masih didiami oleh penduduk tempatan terdiri daripada Orang Asli. Bagaimanapun fakta penulisan Belanda membuat kesilapan besar apabila menyebut Laksamana Van de Veer menandatangani perjanjian dengan Sultan Abdul Jalil II dari Johor pada 1639 bagi mengusir Portugis di Melaka.


Fakta sebenarnya Sultan Abdul Jalil II memerintah Johor pada 1571-1597 dengan bersemayam di Tanah Puteh. Pada 1639 Masehi, Johor adalah di bawah pemerintahan Raja Bujang bergelar Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677) yang bersemayam di Pulau Lingga dengan wakilnya di Johor ialah Bendahara Paduka Raja, Tun Jenal (anak kepada Tun Seri Lanang) yang dikenali sebagai Bendahara Sekudai (seperti disebut dalam epik Sejarah Melayu). Malah Bendahara Sekudai terbabit membantu Belanda memanjat kota Melaka dengan menggunakan sigai, iaitu idea yang tak pernah diduga oleh pertahanan Portugis. Justeru fakta sejarah bagi kerajaan Melayu turut memberi implikasi kepada transformasi budaya dalam pemerintahan serta pelaksanaan sistem adat Minangkabau di Johol, mahupun luak-luak yang lain di Negeri Sembilan.



Period awal yang dipecahkan kepada empat wilayah Sakai oleh orientalis barat itu, sebenarnya berdasarkan kepada terombo di Sungai Ujong yang menyebut Batin Seri Alam (ketua komuniti Sakai) mewariskan pemerintahan kepada anak-anaknya Batin Bercanggai Besi di Sungai Ujong; Tok Jelondong (perempuan) di Jelebu dan Nenek Kerbau (perempuan) di Johol. Anak perempuan Batin Bercanggai Besi dikenali Puteri Mayang Selida berkahwin dengan Sultan Johor memperoleh empat orang anak iaitu (i) Bendahara Sekudai, (ii) Tok Engku Kelang, (iii) Tok Mantri Akhirzaman dan (iv) Tok Johan Pahlawan. Tok Engku Kelang dihantar sebagai pemerintah di Kelang, berdasarkan terombo yang menjadi asas kepada pra sejarah pemerintahan Melayu di Negeri Sembilan.



Secara logik memang fakta sejarah bertulis dengan terombo di setiap luak di Negeri Sembilan mempunyai perbezaan tarikh yang ketara, tetapi ianya tetap memiliki ciri-ciri persamaan yang boleh diselaraskan bagi menelusuri dikri ketuanan adat itu: Kok cicir dipungut, kok hilang dicari, kok hanyut dipintasi, kok tenggelam diselami. Begitulah! Misalnya tarikh memproklamir Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Setiawan 1 memegang pesaka Undang Luak Johol pada 1723, adalah bertepatan dengan insiden Raja Kecil atau Sultan Abdul Jalil Rahmad Shah diusir ke Siak oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang disokong anak raja Bugis lima bersaudara diketuai oleh Daeng Merewa.



Susur galur keturunan Dato’ Setiawan I berdasarkan ‘Terombo Dato’-Dato’ Johol’ adalah anak perempuan Bendahara Sekudai yang mempunyai kesaktian luar biasa bernama Puteri Kanun. Apabila memegang pesaka Undang Luak Johol pada 1723, Puteri Kanun digelar Dato’ Setiawan bagi mentadbirkan pemerintahan di Johol. Sejarah lisan di Johol ini selaras dengan pergolakan lanskap politik di Johor ketika itu apabila anak-anak raja Bugis mendominasi pengaruh istana, di samping Daeng Merewa sendiri menuntut jawatan Yang Dipertuan Muda Riau (atau setara dengan status Perdana Menteri) dalam pemerintahan Johor, menyebabkan etnik Minangkabau sama ada di Johol, Sungai Ujong, Jelebu mahupun Rembau mencari alternatif baru bagi ketuanan Melayu.



FRASA PENYUSUNAN MASYARAKAT ADAT


Apabila Raja Melewar diproklamir menaiki takhta selaku Yamtuan di Seri Menanti pada 1773, ianya dianggap sebagai frasa awal penyusunan masyarakat adat di Negeri Sembilan. Sebaliknya dalam ‘terombo Jelebu’ juga mengakui insiden memutus ‘tali ke Johor’ yang digerakkan oleh Dato’ Moyang Salleh pada 1757, sebagai frasa awal dalam penstruktoran adat di luak Jelebu atau lebih awal daripada penampilan Raja Melewar menaiki takhta. Johol yang turut mengangkat Dato’ Setiawan memegang pesaka Undang Luak Johol pada 1723 juga melaksanakan penyusunan masyarakat beradatnya pada period tersebut iaitu 50 tahun lebih awal daripada tarikh Raja Melewar dijemput bagi menjadi Yamtuan di Seri Menanti.


Pemilihan nama ‘Negeri Sembilan’ pada frasa penyusunan masyarakat adat juga, mungkin sahaja berasaskan kepada model yang ditiru di Pagarruyung ketika Cati Bilang Pandai membentuk ‘Kerajaan Dusun Tuo Limapuluh Koto’ kira-kira 2000 tahun dahulu, apabila berkahwin dengan isteri mentornya Dato’ Maharajo Dirajo, bernama Maharatu Indo Jolito. Kerajaan berkenaan meliputi Dusun Tuo (iaitu Limo Kaum Tujuh Koto) dan IX Koto Di Dalam (mengandungi sembilan koto atau negeri), kemudiannya menampilkan anaknya Sutan Balun selaku pemerintah bergelar Dato’ Perpatih Nan Sabatang. Apabila dipilih selaku pemerintah Sutan Balun turut membuat transformasi adat dengan menukar sistem ‘Undang-Undang Si Mumbang Jatuh’ yang dipraktikkan oleh Dato’ Maharajo Dirajo kepada sistem ‘Undang-Undang Si Gamak-Gamak’ atau ‘Undang-Undang Tarik Balik’. Maknanya, peraturan adat juga boleh dirombak dan dipinda selaras dengan perbilangan yang disebut: Ibu adat, muafakat.


Model pembentukan ‘Negeri Sembilan’ pada 1773, mungkin sahaja ianya mengikut pelaksanaan IX Koto Di Dalam yang diasaskan oleh Cati Bilang Pandai sebagai saingan kepada kerajaan Pasumayam Koto Batu yang diwarisi oleh Sutan Basa daripada ayahnya Maharajo Dirajo, kemudiannya dikenali Pariangan Padang Panjang dengan melestarikan sistem adat Minangkabau ‘Koto Piliang’. Sutan Basa pula memilih gelaran kebesarannya bergelar Dato’ Ketumanggungan. Sutan Balun pula melaksanakan pentadbiran adatnya dikenali ‘Bodi Caniago’ tetapi sumber rujukan tetap berpaksa kepada sistem adat yang diwarisi dari Pasumayam Koto Batu iaitu ‘Adat Minangkabau’.


Imigrasi pengaruh Dato’ Perpatih Nan Sabatang ke Tanah Melayu dianggarkan sudah beransur-ansur masuk ketika pemerintahan kerajaan Melayu Melaka. Malah dalam krisis penduduk tempatan dan pedagang-pedagang India pada period pemerintahan Sultan Mansor Shah sekitar dekad 1450-an, Sungai Ujong (Sening Ujong) sudah mempunyai penghulunya sendiri, Tun Tuakal. Dalam insiden tersebut Tun Tuakal memberi sokongan kepada Tun Perak, apabila pedagang-pedagang terbabit dilindungi oleh Seri Nara Diraja Tun Ali. Berikutan krisis tersebut Tun Tuakal dihukum bunuh atas tuduhan menderhaka, dengan Sening Ujong diletakkan di bawah dominasi pengaruh Seri Nara Diraja Tun Ali.


Penstruktoran adat sudah dilaksanakan di istana Melaka, tetapi ianya berbeza daripada yang digunapakai di Minangkabau, sebaliknya lebih condong kepada tata cara pemakaian Palembang. Misalnya dalam ‘Sejarah Melayu’ diungkapkan aturan menghadap di istana: “Adapun apabila raja dihadap orang di balairong, maka bendahara dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang-orang besar segala sida-sida duduk di seri balai. Maka segala anak raja itu duduk di kelek-kelekan balai kiri kanan, dan segala sida-sida yang muda-muda duduk di selang-selang antara bentara, dan hulubalang-hulubalang muda berdiri di ketapakan balai memikul pedang".


“Dan kepala bentara yang kiri itu daripada anak cucu menteri yang patut akan menjadi bendahara dan penghulu bendahari dan temenggung, dan kepala bentara yang di kanan itu daripada anak cucu hulubalang yang akan patut jadi Laksamana dan Seri Bija Diraja; dan sekali hulubalang duduk di selasar balai; dan barangsiapa bergelar Sang Setia bakal Seri Bija Diraja, dan barangsiapa bergelar Sang Guna bakal Laksamana, dan barangsiapa bergelar Tun Pikrama bakal Bendahara.” Struktor adat Melayu dalam pentadbiran kerajaan Melaka itu selaras dengan ungkapan etnik di Negeri Sembilan yang berpaksa kepada adat Minangkabau ketika itu: Dari nenek turun ke Mamak/dari Mamak ke kemanakan/patah tumbuh hilang berganti/pesaka tetap begitu jua!


NARATIF IBU ADAT IALAH MUAFAKAT


Paksi kekuatan adat sama ada di Minangkabau mahupun di Negeri Sembilan; apatah lagi di setiap luak ialah ‘MUAFAKAT’. Misalnya di luak Jelebu dan Sungai Ujong ianya disebut: Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana mufakat, tetapi bagi luak Johol dan Rembau pula diungkapkan: Bulat air kerana gopong, bulat manusia kerana muafakat. Fungsinya tetap sama sekalipun membawa pendekatan yang berbeza apabila masyarakat beradat lebih mementingkan ‘muafakat’. Tak hairanlah sebelum kedatangan Islam, pemuka-pemuka adat di Minangkabau mempertahankan dikri ketuanan mereka menyebut: Adat bersendi hukum, hukum bersendi alur dan patut, alur dan patut bersendi benar, benar berdiri dengan sendirinya!


Sebaliknya sekitar dekad 1820-an dan 1830-an, reformis masyarakat di Sumatera Tengah dipimpin Imam Bonjol menolak kebobrokan sistem adat yang disalahgunakan oleh pemuka-pemuka adat hingga menjadikan masyarakat berkasta-kasta. Selepas kebangkitan Imam Bonjol, pemuka-pemuka adat mengambil pendekatan baru dengan merombak ‘Undang-Undang 20’ yang diwarisi daripada legasi ‘Undang-Undang Si Gamak-Gamak’ kepada ‘Piagam Malipialam’ dengan lebih berciri Islam iaitu ‘adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah’. Maknanya, ketika Raja Melewar menaiki takhta pada 1773, baiah adat yang dibawa bersama ke Tanah Melayu masih lagi ‘adat bersendi hukum, hukum bersendi alur dan patut’. Barangkali!


Penyebaran adat Minangkabau di Negeri Sembilan juga tetap mengikut landasan: ‘Beruang-ruang bak durian, berlopak-lopak bak sawah, berompok-ompok seorang satu’ yakni tak seragam digunapakai di setiap luak. Misalnya, peraturan melantik peyandang pesaka Undang Luak Johol berbeza dengan yang digunapakai bagi luak Sungai Ujong, luak Jelebu atau luak Rembau. Di luak Johol pelantikan penyandang pesaka Undang Luak adalah berdasarkan ‘berundang berteromba bersalasilah’ – yakni ketuanan Undang mengikut teromba dan salsilah, bukan tertakluk kepada perbilangan ‘bulat Lembaga menjadikan Undang’. Berbeza dengan luak Sungai Ujong yang mempraktikkan aturan ‘berundang berkeadilan berteromba bersalasilah’ atau di luak Jelebu dengan ‘berundang berkeadilan berlembaga’, begitu juga di luak Rembau ‘berundang berlembaga’ semua mengikut aturan: Bulat anak buah menjadikan buapak/bulat buapak menjadikan Lembaga/bulat Lembaga menjadikan Undang/bulat Undang menjadikan Raja.


Maknanya fungsi Adat Perpatih yang diadaptasi dari Adat Minangkabau carak Bodi Caniago di Pagarruyung apabila diamalkan di Johol, tak berlawanan dengan kaedah pelantikan penyandang pesaka Undang Luak, asal sahaja merujuk kepada persepakatan yang dituntut iaitu: ‘Ibu adat muafakat’. Dari perspektif sejarah juga luak Johol sudah melalui frasa perubahan pemikiran masyarakat menerusi naratif ‘ibu adat muafakat’ dalam insiden memansuhkan pesaka Dato’ Muda selaku bakal Undang pada dekad 1890-an, dengan dipindah kepada pesaka Dato’ Baginda Tan Mas. Persepakatan dibuat oleh pemuka-pemuka adat luak Johol ketika itu berikutan moral Dato’ Pilih iaitu penyandang pesaka Dato’ Muda dikatakan berlawanan dengan dikri ketuanan Melayu yang sepatutnya dipertahankan sebaik-baiknya.


RUMUSAN


Secara umum di Negeri Sembilan sudah sinonim dengan pemakaian adat bersumber Adat Perpatih yang dirujuk kepada pemerintahan beraja di Pagarruyung iaitu berasaskan kepada ‘Raja Nan Tigo Selo’ dan ‘Basa Ampek Balai’. Sekalipun pemerintah awal raja Minangkabau di Pariangan apabila Sang Sapurba dijemput dari Palembang oleh pemuka-pemuka tempatan bagi menghapuskan kekacauan yang ditimbulkan oleh Sikumambang, tetapi imigrasi adat ke Negeri Sembilan dibawa oleh pewaris-pewaris adat di luhak Tanah Datar atau istana Pagarruyung (sekarang ibu negerinya ialah Batusangkar). Dalam epik ‘Sejarah Melayu’ juga disebut Sang Sapurba mudik Batang Kuantan (Sungai Kuantan) di Inderagiri ke Pariangan bagi membunuh ular ‘saktimani’ yang menggangu tanaman petani-petani tempatan. Apabila ular ‘saktimani’ ditetak dengan pedangnya, dikatakan sumbing 99 akibat sisik ular berkenaan tak lut dengan senjata biasa.


‘Rajo Nan Tigo Selo’ di Minangkabau ialah (i) Raja Alam, (ii) Raja Adat dan (iii) Raja Ibadat, dengan diperkuat oleh ‘Basa Ampek Balai’ iaitu (i) Pamuncak di Sungai Tarab, (ii) Makudum di Sumanik, (iii) Indomo di Saruaso, dan (iv) Tuan Gadang di Batipuh kemudiannya selepas kedatangan Islam ditambah kepada Tuan Kadi di Padang Genting. Pemerintahan di Minangkabau dengan kerajaan yang besar ialah di Pasumayam Kota Batu yang diasaskan oleh Maharajo Dirajo, di samping Kerajaan Bukit Batu Patah Pagarruyung adalah sebahagian daripada pemerintahan Pasumayam Kota Batu. Di bawah pemerintahan kerajaan Bukit Batu Patah Pagarruyung inilah merangkumi Dusun Tuo Lima Kaum dan IX Koto Di Dalam, yang memungkinkan pula pembentukan ‘Negeri Sembilan’ dalam imigrasi adat ke Tanah Melayu.


Begitu juga kedudukan ‘Undang Yang Empat’ mungkin sahaja berasaskan kepada model ‘Basa Ampek Balai’ di Minangkabau iaitu disebut ‘Raja Adat’ sebagai pentadbir dalam heiraki ketuanannya. Secara umum tak semua pelaksanaan adat Minangkabau di Negeri Sembilan diterima 100 peratus, sebaliknya diselaraskan dengan pemakaian adat tempatan Orang Asli yang disebut oleh orientalis barat sebagai pengasas kepada ‘empat negeri Sakai’ pada period awal. Bendahara Sekudai yang mendominasi teromba komuniti Melayu di Negeri Sembilan pula berdasarkan fakta penulisan Belanda, pernah membuat lawatan ke Sungai Ujong pada 1644 iaitu selepas kejayaan membantu Belanda mengusir Portugis di Melaka pada 1641. Wallahu’alam!.


INFO SASTERA & BUDAYA:


KAYU UKUR JAHANAMKAN BAHASA
PENGENDALI PRORAGM TAK BERETIKA


Penggunaan bahasa bercelaru bagi pengendali program ‘Akademi Fantasia’ di Astro dianggap ‘menjahanamkan’ keindahan bahasa Melayu, menurut bekas guru yang juga aktivis filem Sdr Yassinsalleh. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Sdr Yassinsalleh memberitahu, “Akademi Fantasia adalah kayu ukur kejahanaman Bahasa Melayu hasil sistem pendidikan kebangsaan yang falsafah dan semangatnya didukung atau lebih tepat ‘dipekungkan’ oleh UMNO”. Seterusnya Sdr Yassinsalleh melahirkan rasa bimbang dengan penggunaan bahasa yang bercelaru, bukan sahaja ianya mencemar jatidiri Bahasa Melayu, malah meletakkan nilainya tak lagi berkeperibadian.



Justeru Sdr Yassinsalleh meminta pihak pengendali program berkenaan lebih beretika di masa hadapan, memandangkan ianya ditonton oleh generasi muda. Menurutnya lagi, generasi muda mungkin sahaja tak memikikan implikasi daripada program berkenaan, kerana mereka menilai menerusi fakta hiburan semata-mata. Di samping penggunaan SMS dalam menentukan pemenang dalam program realiti tersebut, isu Bahasa Melayu tak boleh dipandang remeh disebabkan ianya menggunakan medium Bahasa Melayu. “DBP mahupun Gapena perlu tampil mengambil inisiatif memantau isu Bahasa Melayu apabila ianya ditonton secara langsung di TV, bukan sekadar tersengih-sengih ketika menontonnya,” kata Sdr Yassinsalleh seterusnya.

INFO SUARA PROLITAR:


AKAL BUDI ORANG MELAYU
SAMBUT SEORANG NEGARAWAN


Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan kembali ke tanah air pada 27 Mei 2008 jam 5.00 petang di Lapanganterbang Sultan Abdul Aziz Salahuddin (lapanganterbang lama di Subang). Marilah sama-sama kita menyambut Tun Dr Mahathir. Rakyat Malaysia @ orang Melayu ada akal budi dan Tun Dr M adalah negerawan terkemuka negara. Ajak kawan-kawan, sahabat-sahabat dan semua rakan seperjuangan, sibarkan maklumat ini. (SMS; pagi 25 Mei 2008 – Suara Orang Kecil, Kuala Lumpur).


KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

MAHKAMAH LUAR SELESAI PERTIKAIAN
PULAU BATU PUTIH BERTUKAR ‘BATU HITAM’

Sekali persetua tersebutlah akan negeri Melayu itu berebutkan Pulau Batu Putih, maka dibawalah ke mahkamah luar negeri di atas angin. Arakian diputuskan oleh mahkamah di atas angin akan pulau yang direbutkan itu diserahkan kepada Singapura yang dahulukala memang negeri Melayu juga, adanya. Maka disuratkan orang banyak akan Pulau Batu Putih itu sudahlah menjadi Pulau Batu Hitam kepada negeri Melayu dengan memanda Perdana Menterinya adalah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Syahdan diberitahu kepada fakir bahawa 43 tahun dahulu menangislah Orangkaya Tan Sri Syed Jaafar bin Hassan Albar apabila Singapura itu dikeluarkan dari negeri Melayu oleh memanda Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra. Aduhai!

Syahdan Sang Nila Utama itu pergi berburu, datanglah pada suatu batu, terlalu besar dengan tingginya, maka baginda naik ke atas batu itu memandang ke seberang. Maka dilihat baginda tanah seberang itu pasirnya terlalu ptuih, seperti kain terhampar. Baginda pun bertanya pada Indera Bupala, “Pasir yang kelihatan itu tanah mana?”. Maka sembah Indera Bupala, “Itulah hujung tanah besar, Temasek namanya”. Maka titah Sang Nila Utama, “Mari kita pergi ke sana”. Setelah datang ke tengah laut, ribut pun turun; maka kenaikan itupun keairan. Ketika kenaikan itu hampir Teluk Belanga, makin sangat air naik. Maka sembah penghulu, “Tuanku, pada bicara patik sebab mahkota itu kenaikan kita keairan, eloklah buang mahkota itu ke laut.” Mahkota ketuanan Melayu itu dibuang ke laut, ribut pun teduh, sampailah Sang Nila Utama ke Temasek, ditukarlah namanya kepada Singapura seperti disebut ‘Kitab Melayu’ oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, May 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:
PROGRAM 'WACANA ADAT'
PERTABALAN UNDANG LUAK JOHOL

Assalamualaikum,



Apabila blog ini dinaikkan, saya sudah berlepas ke Tampin malam ini bagi program ‘Wacana Adat’ sempena kerjan (pertabalan) Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani, besok (24 Mei 2008) mulai jam 9.00 pagi. Disebabkan khuatir tak sempat sampai ke Johol sekiranya bertolak besok, justeru Penolong Kurator Muzium Negeri Sembilan, Asrul Affandi Kamaruzzaman meminta saya bermalam di Tampin. Alhamdullillah! Bagi menaikkan laman blog, semua anak-anak saya boleh mengendalikan terutama Nurul Salwa, graduan Sains Komputer dari Universiti Industri Selangor (Unisel), begitu juga Ikram Hafiz (siswa Komputer Industri) di Unisel, mahupun Idham Khalil guru kokurikulum atau Elmi Fadzimah pelajar Tingkatan 3, tetapi mempunyai blognya sendiri.

Semalam (22 Mei 2008) aktivis teater di Pahang Sdr L Mankadir Shamsi mengirim SMS melahirkan rasa gembira, kerana Ketua Persatuan Penulis Johor (PPJ) kabarnya sudah menyatakan hasrat mahu merebut jawatan Ketua Satu Gapena pada mesyuarat agungnya tak lama lagi. PPJ sekarang kabarnya dipimpin oleh Sdr Amiruddin, tiba-tiba sahaja mahu melawan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein bagi jawatan Ketua Satu Gapena. Ironinya, Johor baru sahaja menjadi lokasi perjumpaan ‘Kongres Permuafakatan Melayu’, dengan PPJ sendiri menjadi penganjur terpenting. Sdr Yassinsalleh pula turut memberi jaminan akan membantu secara ‘all out’ bagi memastikan proses demokrasi juga dilaksanakan oleh Gapena, di samping pimpinan baru wajar mengambil alih.


Sebelum ini sudah tersebar khabar angin kononnya Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Satu Gapena, sekiranya Tan Sri Ismail Hussein berhasrat mahu terus juga mempertahankan jawatan tersebut. Selepas khabar angin Dato’ Dr Mohd Mansor mahu menawarkan diri, tiba-tiba sahaja Ketua PPJ juga menyatakan hasratnya. Bagaimanapun hasrat tersebut belum tersibar meluas di media arus perdana, sebaliknya Dato’ Dr Mohd Mansor sudah menyampaikan mesej kepada semua badan kerabat Gapena. Mungkin sahaja sekiranya Ketua PPJ membuat kenyataan terbuka di media arus perdana, pihak kerabat Gapena juga perlu diberi keyakinan segalanya akan menjadi kenyataan.

Malam semalam (21 Mei 2008), Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan menelefon, beritahu mengenai laman blog UMNO Gombak didaftar oleh individu dengan menggunakan nama ‘UMNO Gombak’. Katanya, mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian Gombak pada malam 21 Mei 2008, bersetuju membuat laporan polis apabila nama ‘UMNO Gombak’ digunakan bagi laman blog individu berkenaan. Sekalipun ianya disebut ‘bukan suara rasmi UMNO Gombak’ menerusi http://umnogombak.blospot.com/ tetapi tetap menjejaskan kewibawaan pimpinan UMNO Bahagian Gombak, yang tak pernah membenarkan mana-mana individu menggunakan laman blog berkenan, kata Omar Sudi. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO SUARA PROLITAR:
MOHON SOKONGAN
TENGKU RAZALEIGH MENERAJUI NEGARA
Saudara/Saudari yang dihormati,

Sebagaimana yang telah diumum dan diketahui, Tengku Razaleigh Hamzah telah menawar dirinya untuk menarajui negara kita ini yang tersayang. Kami dengan ikhlas memohon sokongan Saudara dan Saudari terhadap niat suci ini demi kepentigan negara dengan apa cara sahaja yang mungkin, berlandaskan undang-undang negara.Banyak program telah dirancangkan, oleh beberapa pihak atas initiatif mereka sendiri, yang mahu lihat negara kita terselamat dari masaalah yang melanda negara masa ini. Kali ini program yang telah diatur untuk Tengku Razaleigh akan diadakan di Kedah seperti jemputan umum yang dilampirkan bersama ini. Harap dapat disebarkan seluas-luasnya dan jikalau ada masa lapang, marilah kita bersama berada di program ini. Saya harap dapat mengumum program program lain yang melibatkan penampilan Tengku Razaleigh di masa hadapan.


Sekian. Terima Kasih.


Yang benar,
Nik A. Azmi (kiriman email)
KOMENTAR
Bersama Pak Parjo
'RAJA GULA' USAHAWAN TERKAYA
SI MISKIN BERTAMBAH MERANA

Sebermula disuratkan orang banyak, adapun 10 orang terkaya di negeri Melayu itu seorang sahaja berketurunan Melayu tersenarai iaitu Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dengan nilai hartanya sejumlah 1.3 bilion ringgit Amerika. Arakian laporan yang disurat pada 17 Jamadilawal 1429 (disebut orang 23 Mei 2008), orang yang terkaya sekali ialah Tan Sri Robert Kuok yang dipanggil oleh sekalian ahli perniagaan sebagai ‘raja gula’. Syahdan kekayaan ‘raja gula’ itu, tak akan tercapai oleh ‘raja bola’ Dato’ Ghani Minhat mahupun ‘raja blog’ Raja Petra Kamaruddin, adanya. Maka disebut anak cucu fakir setelah lebih 50 tahun negeri Melayu itu merdeka, dengan ‘Dasar Iktisad Baru’ (atau disebut sekalian hamba rakyat ialah DEB), belumlah lagi anak Melayu menjadi terkaya dengan hartanya yang melimpah ruah, tetapi setakat gelaran sahaja dipanggil akan mereka itu ‘Orangkaya’.
Arakian telah demikian fikir baginda, maka disuruh orang memanggil Bendahara Paduka Raja dan Seri Nara Diraja, dan segala menteri-menteri, dan Orangkaya-Orangkaya dan ceteria, dan sida-sida, bentara dan hulubalang, maka sekaliannya datang menghadap duduk di balai. Telah itu maka Sultan Mansor Shah (nama batang tubuh baginda ialah Raja Abdullah) pun duduk di atas singgahsana kerajaan di atas peterana yang bertatahkan permata. Maka bentara menyuruhkan segala Orangkaya-Orangkaya itu naik duduk semuanya. Baginda pun bertitah, ‘Apa bicara tuan hamba sekalian, kita hendak menyuruh ke Siam, apa sudahnya kita bermusuh dengan Siam, lebih baik kita berbaik-baik’. Syahdan, maka sembah segala menteri dan Orangkaya-Orangkaya itu, ‘Daripada banyak seteru, baiklah berbanyak sahabat’. Adapun berbaik-baik dengan Siam itu banyaklah berniaga beras, bukannya gula atau seumpamanya seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang disurat:





HIDUP BAHASA MELAYU!