Thursday, April 9, 2009

DARI LAMAN BLOG...

Warga emas tak beradab:
Beri ceramah di Negeri Sembilan

Assalamualaikum,
L Mankadir Shamsi menelefon dari Kuantan semalam (8 April 2009), beliau balik lebih awal dari Bukit Selambau dan Bukit Gantang, sebelum hari mengundi 7 April 2009. Sebelum itu Yassinsalleh forwardkan SMS dari Dr Seri Intan Mokhtar yang terkilan apabila seseorang membuat komen dalam blog saya http://abdulmulukdaud.blogspot.com/ mendakwa saya tak beradab (atau biadap) kerana memakai selipar sewaktu menyampaikan ceramah di Sekolah Dato' Razak, Sungai Gadut, Seremban pada 2 April 2009. Apalagi dalam usia warga emas yang melabelkan saya tak beradap, barangkali bukan berusia warga emas.

Justeru Dato' Seri Anwar Ibrahim, Dr Syed Hussein Ali, Haji Muhamad Sabu, Dato' Mahfuz Omar (setahu saya sering memakai selipar) atau lain-lain golongan prolitar berwaspdalah ke Negeri Sembilan, kerana rupa-rupanya berceramah dengan memakai selipar sahaja 'tak beradab'. Dr Seri Intan pakar inovasi dari UPM pun tak terkata apa-apa, cuma beliau hantar SMS: 'Kesian'! Bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah juga sering memakai selipar ke majlis ceramah. Tokoh wartawan Tan Sr A. Samad Ismail juga selesa berselipar (gambar) ke majlis-majlis tertentu. Tak tahulah saya sekarang majlis ilmu di Negeri Sembilan kalau memakai selipar 'tak beradab'; apalagi sebelum ini tak pernah berlaku.

Misalnya, ketika menghadap ke Balai Undang Rembau atau ke Balai Undang Johol sebelum ini, YTM Dato' Lela Maharaja, Dato' Haji Muhamad Sharip Haji Othman dan YTM Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato' Haji Mohd Jan Abdul Ghani tak pula menegur ianya satu perlakuan 'tak beradab'. Malah kedua-dua YTM mempelawa pula saya menaiki kereta rasmi (di samping menyandar pula di belakang) dengan tak menganggap saya melakukan perkara 'tak beradab'. Apalagi sekitar dekad 1990-an, beberapa kali saya menemani Mamak Bandaro (Tan Sri Abdul Samad Idris) menemui Gabenor Sumatera Barat ketika itu Drs Hassan Basri Durin juga sekadar memakai selipar.

Apalagi Mankadir juga ketawa besar apabila membaca komen berkenaan, disebabkan beliau memang memakai kasut tapi tak pernah berstokin. Barangkali beliau juga 'tak beradab'! Haji Abu Bakar Ninggal pula menelefon selepas maghrib (8 April 2009) beritahu mengenai Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz akan menerima menantu minggu ini, bimbang juga saya mahu ke majlis berkenaan akan dilabel 'tak beradab' sekiranya memakai selipar. Barangkali bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga tak menyedari saya sekadar memakai selipar sahaja ketika ke pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya sebelum PRU12 dulu. Heh heh heh!
-Pak Dharma

Kenyataan Media Anwar...



Bukan sekadar janji politik:
Rakyat tuntut bubarkan DUN

(Kenyataan media Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim, 8 April 2009 selepas kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil, 7 April 2009)

Kemenangan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta sokongan pengundi Batang Ai membuktikan rakyat masih yakin terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus menerajui perjuangan menuntut Perubahan bagi mencipta Malaysia Baru yang adil dan saksama. Hari ini rakyat menghantar mesej yang jelas. Mereka mahukan Perubahan yang nyata, bukan sekadar janji politik untuk terus kekal berkuasa.

Kemenangan Dato’ Seri Nizar di Bukit Gantang merupakan satu referendum agar dikembalikan Kerajaan Perak yang sah. Rakyat menuntut agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihanraya diadakan di seluruh Negeri Perak.

Kepada pendukung Pakatan Rakyat di Batang Ai, kita berhasil mengungkapkan isu tanah adat dan peminggiran rakyat yang terjadi di Sarawak. Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat akan terus berjuang membawa Perubahan kepada rakyat Negeri Sarawak.

Sekali lagi kewibawaan proses pilihanraya menjadi pertikaian. Pengiraan awal yang tidak dilakukan di tempat pembuangan undi serta penggunaan helikopter untuk mengangkut membuka ruang kepada penipuan. Ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras membawa Perubahan, bukan sahaja di Batang Ai, tetapi juga di segenap pelusuk tanah air.

Walaupun berulang kali berhadapan dengan kekerasan, fitnah dan ugutan penguasa, ianya tidak akan menghambat kami dari menunaikan janji yang telah diberikan. Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan berusaha melaksanakan agenda serta dasar untuk membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum. Pakatan Rakyat tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan rakyat ini.

Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tetap bersama-sama dengan agenda Perubahan dan Pakatan Rakyat. Sudah tiba masanya kita meniup nafas segar kepada demokrasi dan memperkukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini.

Wednesday, April 8, 2009

PADA HEMAT MOHD AFFANDI...

Penyingkiran Tokoh:
Bukan Peralihan Kuasa

Sekali lagi UMNO mengemukakan skrip baru untuk sebuah cerita lama yang jalan ceritanya tetap sama: ketua UMNO bertukar ganti untuk dipilih menjadi Perdana Menteri, tidak peduli rakyat suka atau tidak, asalkan dapat memuaskan syahwat politik UMNO yang sentiasa berkobar-kobar. Kini anak sulung Tun Razak dilantik menjadi Perdana Menteri keenam dalam kelam kabut rasuah politik dalam UMNO.

Lebih menggembirakan UMNO ialah pulangnya Si Luncai ke perahu buruk mereka yang selama 22 tahun lebih ketika Si Luncai berada di dalamnya sambil menebuknya sehingga karam terus di bawah tadbiran keluarga Badawi, dan kini naiklah “nakhoda” baru yang menjeritkan slogan “UMNO menakhoda sejarah” sekali lagi. Retorik UMNO ini sangat hebat dan akan terus hebat selagi orang Melayu tidak seluruhnya cerdik sehingga dapat melihat kelentong UMNO, yang walaupun sangat jelas, tidak dapat ditafsirkan oleh Melayu yang diperbodohkan.

Dalam konteks inilah Melayu Melaka dalam Sejarah Melayu (bukan yang ada sekarang) jauh lebih cerdik, kerana mereka dapat mengenal siapa pemimpin mereka yang baik dan siapa pula yang jahat. Tetapi dari segi jahatnya para pembesar mereka, tindak tanduk mereka sama saja dengan yang terjadi pada waktu ini dalam Negara Satu Malaysia. Bezanya mereka menggunakan keris untuk membunuh sesiapa juga yang akan membolehkan mereka disanjung oleh raja mereka (yang tidak semestinya musuh mereka) dan mendapat anugerah; sedangkan pada waktu ini keris itu cuma dicium-cium dengan jeritan bengis untuk mempertahankan keadilan dan “ketuanan Melayu” melalui penggunaan pelbagai dan berbagai-bagai jenis undang-undang, paling terkenal ISA, OSA dan lain-lain yang diperanakkan oleh undang-undang tersebut.

Semua undang-undang itu tidak bermaksud untuk menjaga rakyat, tetapi untuk mengekalkan kuasa. Jika perlu diubah, maka akan dikaji berulang kali untuk membuat perubahan semu yang akan terus mengekalkan kuasa sang nakhoda. Ketika menjadi nakhoda setelah Tunku disingkirkan (dengan kerelaannya), Tun Razak menenggelamkan Kapal Layar untuk digantikan dengan dacing, yang kekal hingga sekarang. Adakah dacing akan dihumban ke Laut China Selatan apabila anak Tun Razak mengambil alih kuasa Negara Satu Malaysia? Kalau mahu ikut sejarah, ketika Kelantan diperintah oleh seorang raja perempuan, lambangnya ialah kijang.

Tetapi lambang itu sudah diambil oleh Bank Negara, oleh itu tidak boleh dicuri lagi. Yang ada cuma harimau dan seladang. Kedua-duanya terkenal liar dan bengis dalam tabiat masing-masing, dengan seladang tetap kalah dalam mempertahankan anak buahnya daripada diserang harimau. Mana-mana satu pun diambil, atau tidak diambil, kedua-duanya pernah menjadi lambang orang Melayu: satu untuk kerajaan, satu untuk rakyat. Tidakkah ini sangat cantik? Harimau tetap membaham seladang kerana itulah makanannya. Belum ada lagi cerita harimau mempertahankan seladang, kecuali ketika berebut bangkai seladang yang jadi makanan mereka. (4/4/2009).

[*Mohd. Affandi Hassan sasterawan dan pengkritik sastera Melayu berasal dari Kelantan, yang banyak menghasilkan karya-karya kontroversi. Sekarang pesara PTD, pernah bertugas sebagai DO sebelum berkhidmat sebagai pegawai tinggi di beberapa kementerian. Kritikannya dikenali sekarang sebagai 'Gagasan Persuratan Baru'].

ANALISIS P/RAYA KECIL...

Mesej Jelas Dari Perak:
Rakyat tolak 'rampasan kuasa'

Keputusan pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di Kedah 7 April 2009 adalah mesej rakyat menolak 'rampasan kuasa' kerajaan negeri di Perak pada 6 Februari 2009, menurut kalangan penganalisis politik. Kemenangan BN di Batang Air, di Sarawak pula bukanlah sokongan kepada UMNO sebaliknya memperlihat dominasi politik etnik Iban dan pengaruh parti-parti keturunan Dayak berperanan di Sarawak, kata mereka.

Justeru bagi memulihkan semula imej UMNO/BN isu 'rampasan kuasa' di DUN Perak perlu diselesaikan secara berhemah, di samping tak membabitkan kedaulatan istana, menurut bekas Exco Pemuda UMNO Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz. Penjelasan Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi TV1 (Selamat Pagi Malaysia, 8 April 2009) yang menyebut terserah kepada baginda Sultan Perak untuk membubarkan DUN, adalah percubaan mengheret kemurnian institusi istana ke dalam kebobrokan UMNO, katanya.

"Langkah sebaik-baiknya untuk memulihkan maruah UMNO ialah membubarkan DUN di samping menyerahkan mandat kepada rakyat," beritahu beliau menambah. Penjelasan Zahid Hamidi sokongan tiga ADUN Bebas sebagai bukti UMNO/BN mendominasi DUN Perak, meletakkan kepongahan UMNO yang sukar diterima majoriti rakyat. Kata Dato' Kamal Amir, tiga ADUN yang disebut Zahid bukan ciri-ciri sokongan rakyat sebaliknya 'pencerobohan' ke atas hak rakyat.

Dalam pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang calon PAS Dato' Seri Ir Muhamad Nizar Jamaluddin yang juga Menteri Besar selepas PRU12 (8 Mac 2008) memperoleh 21,860 undi menewaskan calon UMNO/BN Ismail Suffian (19,071 undi). Kemenangan tersebut sebagai manifestasi sokongan rakyat iaitu menolak 'rampasan kuasa'. Sekiranya UMNO/BN masih beranggapan isu 'rampasan kuasa' sebagai remeh temeh ianya akan membawa impak yang lebih besar pada PRU13, menurut Dato' Kamal Amir menambah.

Sementara di Bukit Selambau, keberangan masyarakat India kepada Presiden MIC Dato' Seri Samy Vellu diterjemahkan melalui peti undi sebagai mesej jelas untuk 'menjenamakan' semula BN, beritahu sumber tersebut menambah. Malah mesej tersebut sudah disampaikan sebelum hari pengundian iaitu masyarakat India melarang Samy Vellu berkempen ke Bukit Selambau. "Kalau Samy Vellu masih tak mahu menerima hakikat, BN akan menanggung beban," jelasnya

Kritikan terbuka Ahmad Zahid dalam wawancara bersama 'Selamat Pagi Malaysia' 8 April 2009 mengakui pengundi bukan Melayu melahirkan kebencian kepada komponen BN, tetapi menyembunyikan keberangan orang Melayu kepada UMNO. Penolakan orang Melayu di Bukit Gantang terhadap UMNO juga memberi mesej, rakyat Perak menolak kepimpinan Najib selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Perak secara total, menurutnya lagi.

"Najib perlu berundur dari pimpinan UMNO Perak, sebelum ianya menambah banyak masalah di negeri itu," beritahu sumber dalaman UMNO di Perak sendiri selepas keputusan pilihanraya kecil berkenaan. Di samping itu kehadiran ramai FRU turut memberi petanda rakyat juga menolak kebobrokan bagi menakut-nakutkan mereka dengan isu keselamatan. Strategi menggunakan FRU ketika pilihanraya juga tak memberi sebarang kredit kepada UMNO/BN, kata sumber berkenaan.

Rumusannya menurut Dato' Kamal Amir, kekalahan BN di Semenanjung akan menular ke Sabah dan Sarawak selepas ini sekiranya berlaku pilihanraya. Kedudukan UMNO lebih 70 kerusi di Parlimen adalah bergantung kepada Sabah, kerana di Semenanjung kerusi UMNO tak sampai 70 kerusi daripada jumlah 140 dikuasai BN. "Justeru jentera kerajaan, media dan pasukan keselamatn tak lagi menjamin keberkesanan kempen UMNO/BN," jelas Dato' Kamal Amir.

PUISI

Ku Ziarahi Kemunting
Tanpa Lentera.

Syabas
kerabatku Anak
Bangsa Malaysia
Bukit Selambau
dan
Bukit Gantang
adalah
manifestasi
Maruah
mengalahkan
RASUAH, adalah
pernyataan
supaya
berhentilah
menghina
intelek rakyat
supaya
berhentilah
menzalimi
tujuh keturunan
warisanmu
yang akan
menanggung
aibmu,
duhai pemegang
lentera yang
menyuluhkan
jalan patung-patung
wayangmu:
duhai juragan
pepatung
yang berkemudi
di haluan,
yang bercanda
dalam igauan
tak
tersempadan;
yang kian
mempertinggi
tempat
kejatuhan;
berhentilah
sejenak dari
memalu
genderang
perangmu
dan
dengan formula
PPSMI
cubalah insafi
bahawa
Allah SWT tidak
menolak doa
orang yang
teraniaya!

-Yassinsalleh
jam 0123
April 8, 09

CATATAN PERJALANAN YASSINSALLEH...



Semalam serakah dan megah:
Hari ini ditimbus timbunan sumpah

Bagaikan biasa, Taiping kembali lengang dan basah. Orang yang semalamnya mesra dan ramah, pagi ini segalanya dia pandang benci dan menyampah. Matanya ke bawah menghitung langkah memijak kertas, janji yang dah jadi timbunan sampah. Aduhai, semalam yang gagah dan mewah, hari ini ditimbus sumpah, semalam yang serakah dan megah, pagi ini tersembam rebah. Oh, di manakah kau kan ku cari, duhai juragan perkasa? Di angkasakah kau mengejar geruda atau di dasar lautankah kau menjadi tuka.

Begitulah berakhirnya pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang, dengan BN termengah-mengah mencari formula kenapa UMNO kalah. Daripada 11 ribu oengundi Cina di Bukit Gantang, hanya 1,500 orang mengundi BN. Tak payah dibuat bedah siasat, semuanya adalah mesej 'rampasa kuasa' itu tak berfaedah. Disebabkan takut bubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihanraya, makah Allah SWT yang aturkan segalanya. Apa macam? Mujurlah UMNO jatuh tertiarap sahaja, kalau jatuh tertonggeng, astaga! (Yassinsalleh, April 8, 09, di hutan Kemunting, Taiping)


KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Sudah tau ganja mabuk
Maka kenapa pula dimakan?


Sebermula terlalulah amat berdukacita sekalian anak-anak buah harakah Melayu, kerana tak terpilih memegang jawatan Orangkaya di Bukit Gantang. Arakian penduduk-penduduk di Bukit Selambau juga tak mahu memilih anak-anak buah harakah Melayu menjadi Orangkaya di situ pada hari pemilihan semalam 11 RFabiulakhir 1430 (atau disebut anak cucu di kemudian hari 7 April 2009). Adapun yang menang di Batang Air itu sekadar sahabat anak-anak buah harakah Melayu sahaja.

Bertambah masyghol sekalian anak-anak buah, kerana menyangka dengan mengusir Orangkaya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menanglah mereka. Maka Orangkaya Dato' Ahmad Zahid Hamidi itu dibawanya bekas Orangkaya Tun Dr Mahathir Mohamad ke Bukit Gantang, lalu dipersalahkan orang akan dia. Syahdan diberitahu orang banyak mengenai pantun Melayu dahulukala: Ketua-ketua raja duduk/jangan ditimpa papan/diketahui ganja itu mabuk/apakah sebab maka dimakan?.

Sebermula, akan Seri Nara Diraja, kakak Bendahara Seri Maharaja, jadi Penghulu Bendahari juga; beranak lima orang; yang tua sekali laki-laki, Tun Ali namanya; seorang lagi perempuan Tun Kudu, diperisteri Sultan Mahmud, disuruh panggil pada segala orang dalam Dato' Tun, penyebutan segala anak cucu 'Dato' Puteh' yang tengah Tun Hamzah namanya; seorang lagi Tun Mahmud namanya, bergelar Tun Nara Wangsa, beristerikan anak Tun Isap Barakah, beranakkan Tun Isap Misai. Syahdan pada masa itu semua Orangkaya-Orangkaya tak dipilih, tetapi ianya dilantik mengikut keturunan sahaja seperti dikarang dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!