Wednesday, July 8, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA



Sdr. Dharmala NS yth., Besok, 8/7/2009, Rabu, keputusan PPSMI akan diumumkan. Sempena perjuangan kita menghapuskan polisi gila ini, saya sertakan cerita pendek ini untuk hiburan pembaca blog saudara. Karya ini ditulis July 2004. Belum tersiar. Haram.


CERPEN

KAMPUNG BAHASA INGGERIS

Oleh Mohd. Affandi Hassan

Sebaik saja kampung itu ditukar namanya menjadi Kg. Bahasa Inggeris, lori-lori besar keluar masuk membawa pasir, batu, dan simen untuk membina Dewan Inggeris yang terbesar di negara. Separuh daripada kawasan dewan digunakan untuk perpustakaan buku-buku berbahasa Inggeris dari seluruh dunia. Tidak sebuah pun buku Melayu terdapat dalam perpustakaan itu. Bersebelahan dewan itu dibina pula dua buah sekolah baru untuk penduduk kampung itu dan kawasan sekitarnya. Kedua-duanya dinamakan Sekolah Rendah Kebangsaan Inggeris Kg. Bahasa Inggeris dan Sekolah Menengah Kebangsaan Inggeris Kg. Bahasa Inggeris.

Nama-nama itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat di masjid, dibuat dalam semangat Islam Hadhari yang diamalkan oleh pemerintah sekarang. Pertukaran nama kampung ini diilhamkan oleh Wawasan 2020 yang mengutamakan bahasa Inggeris. Sekarang kampung ini menjadi anak angkat Bandar Cyberjaya yang menjadi pusat MSC yang telah berjaya memperkayakan beratus orang pilihan yang cintakan bahasa Inggeris.

Mengikut orang kampung, tidak lama lagi mereka akan jadi jutawan apabila berjuta-juta pelancong luar yang kaya-kaya melawat kampung mereka untuk mendengar mereka bercakap Inggeris yang fasih, termasuk mencarut sekali. Tetapi yang agak aneh, guru-guru yang melatih orang kampung berbahasa Inggeris didatangkan dari India, Pakistan, dan Bangladesh, kecuali seorang Red Indian dari Kanada (yang lelaki) dan seorang Red Indian lagi dari Amerika Syarikat (yang perempuan) untuk menjadi penyelaras projek menginggeriskan kampung-kampung Melayu untuk menghadapi cabaran Wawasan 2020.

Jadi walaupun orang kampung fasih berbahasa Inggeris, tetapi cara bertutur mereka samalah dengan cara guru-guru mereka. Dua orang Red Indian yang jadi penyelaras tidak boleh berbuat apa-apa. Orang kampung tidak sedar mereka bercakap Inggeris seperti orang India, kerana semua mereka bercakap seragam saja.

Pada mulanya lucu juga apabila orang tua-tua yang bekerja di sawah bercakap dalam bahasa Inggeris dengan kerbau atau lembu mereka. Lembu-lembu yang sudah biasa menerima perintah dalam bahasa Melayu kasar dan ringkas itu diam saja bila diperintahkan dalam bahasa Inggeris, leka mengunyah rumput di dalam mulut. Sekali sekala melibaskan ekor menghalau lalat langau.

Tiba-tiba lembu yang dulunya rajin bekerja setelah menerima perintah dalam bahasa Melayu, kini menjadi pemalas dan degil apabila diperintah dalam bahasa Inggeris. Orang tua-tua dan muda-muda yang tidak sabar melihat kedegilan lembu-lembu mereka, akhirnya menyumpah menyeranah dengan the four-letter word yang terkenal dalam bahasa Inggeris itu. Tetapi lembu-lembu Melayu yang tidak pernah mendengar cacian dalam bahasa Inggeris yang kesat dan biadab itu tidak bergerak-gerak, terus diam degil mengunyah rumput di dalam mulut.

Akhirnya seorang profesor lembu dari universiti yang pakar tentang lembu didatangkan ke Kg. Bahasa Inggeris untuk menyelesaikan masalah itu. Keputusannya senang saja: semua lembu Melayu yang degil itu dijual atau disembelih. Tempat mereka digantikan dengan jentera. Sejak itu masalah lembu Melayu tidak timbul lagi. Semua jentera nampaknya bekerja dengan baik, tidak perlu memahami apa-apa bahasa pun. Tetapi orang kampung mengomel sesama mereka, tempat kerja mereka yang dulunya riuh dengan jeritan memerintah lembu-lembu Melayu kini sunyi sepi, tiada suara manusia lagi, hanya suara jentera yang memekakkan telinga. Tetapi mereka akhirnya tidak mengomel lagi setelah biasa dengan kebisingan itu, dan mendapati kerja-kerja mereka lebih cepat dan lebih baik hasilnya.

Tiba-tiba kemarahan orang kampung yang dulunya berada di sawah, kini berpindah ke masjid. Orang kampung yang sudah terlatih bercakap Inggeris itu tidak senang lagi mendengar khutbah dalam bahasa Melayu loghat Utara pekat. Entah apa-apa yang disebutnya. Khatib yang membaca khutbah adalah khatib jemputan, didatangkan khas oleh kerajaan untuk membantu orang kampung memahami konsep Islam Hadhari yang sedang dipopularkan oleh kerajaan. Orang kampung tidak faham lagi bahasa Melayu loghat-loghatan yang pekat bunyi ciri Utaranya.

Lepas sembahyang, beberapa orang tua dan muda-muda kedengaran menyumpah dengan menggunakan bahasa Inggeris yang kasar, that famous four letter word itu. Lucu sungguh bila mendengar seorang tua menyumpah dalam bahasa Inggeris: -What a hack, that bloody khutbah reader. What a f***ing khutbah we hear to day! I do not understand a word. What a f***ing ustaz indeed …

Yang anehnya tidak ada yang tertawa, kerana ramai lagi yang menggunakan istilah F*** tanpa One yang terkenal dan menjadi kegemaran penutur dalam bahasa Inggeris, termasuk penduduk Kg. Bahasa Inggeris. Ada seorang cuba memperkenalkan istilah baru dengan menyebut What a bloody F One that idiot, menggantikan f*** yang sudah biasa mereka pakai, tetapi tidak jalan, tidak digemari kerana terlalu lembut.

Sekarang perempuan tua-tua pun menggunakan cacian yang sama terhadap suami mereka atau sesama sendiri sambil mengait atau membuat kuih atau menjahit atap. Bezanya, mereka tertawa kuat sesama sendiri. Perkataan mencarut tentang kemaluan mereka sudah diganti dengan perkataan Inggeris yang lebih keras, kerana kini mereka semua bercakap Inggeris. Suasana menjadi lebih meriah bagi perempuan Kg. Bahasa Inggeris. Ternyata mereka lebih senang berbahasa Inggeris daripada berbahasa Melayu.

Ketika itulah datang 40 orang mahasiswa sebuah universiti bersama profesor mereka melawat Kg. Bahasa Inggeris yang kini sudah terkenal itu. Kesemua mereka kagum melihat orang kampung sudah begitu jauh maju dalam menggunakan bahasa Inggeris, jauh lebih maju jika dibandingkan dengan mahasiswa universiti sendiri, juga dengan setengah-setengah profesor yang tergagap-gagap apabila bercakap Inggeris.

Akhirnya mereka kembali ke universiti untuk membuat perakuan supaya universiti mereka menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, seperti orang Kg. Bahasa Inggeris kini menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam kehidupan harian mereka. Keputusan muktamat belum lagi dibuat, tetapi menurut sumber universiti, seorang tokoh politik berpangkat besar berkedudukan tinggi sudah bersetuju supaya perkara itu dikemukakan kepada Kabinet untuk diputuskan. Jika universiti itu dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, maka itulah universiti pertama yang dulu berbahasa Melayu akan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Oleh kerana universiti tidak menggunakan lembu seperti orang Kg. Bahasa Inggeris satu ketika dulu, adalah difahamkan bahawa universiti berkenaan tidak akan menghadapi masalah lembu Melayu.

Ada satu lagi cerita pelek yang baru diterima dari Kg. Bahasa Inggeris. Jika dulu orang kampung selalu membaca Harakah, kini mereka membaca hanya akhbar Inggeris saja. Kitab-kitab agama pun tidak lagi berupa kitab Jawi berwarna kuning, tetapi kitab-kitab berbahasa Inggeris belaka. Yang paling lucu ialah apabila seorang menteri tiba untuk melawat Kg. Bahasa Inggeris mendapati dirinya tergagap-gagap bercakap Inggeris, tidak fasih seperti orang Kg. Bahasa Inggeris, maka besarlah kemaluannya apabila beliau diketawakan oleh budak-budak dan orang tua-tua yang begitu fasih berbahasa Inggeris, terutama sekali ketika mencarut.

Kedengaran di sana sini bisikan yang nyaring memaki hamun menteri yang tidak cekap berbahasa Inggeris itu, dimaki hamun dengan that bloody F One four-letter word yang sudah jadi basahan orang kampung. Bukan main malu lagi menteri itu yang sempat mendengar maki hamun dalam carutan yang begitu fasih diucapkan oleh orang kampung yang meluat mendengar beliau tergagap-gagap bercakap Inggeris.

Akhirnya beliau terpaksa pulang awal, tidak sempat makan bersama orang kampung. Orang kampung menjadi lebih marah sambil meneruskan maki hamun mereka kerana mereka beranggapan menteri itu tidak mahu mendengar rungutan mereka. Tanpa mereka sedari, kefasihan mereka berbahasa Inggeris membuat mereka lebih bebas, lebih terbuka, lebih berani memaki hamun atau menyumpah dengan bahasa yang kasar, sesuatu yang tidak mereka lakukan ketika berbahasa Melayu dahulu. Mereka kini sudah mempunyai peribadi tersendiri yang cintakan kebebasan dan demokrasi dan bencikan sifat pura-pura para pemimpin Melayu yang mendesak orang Melayu berbahasa Inggeris, tetapi diri sendiri tergagap-gagap apabila bercakap Inggeris. Melalui bahasa Inggeris, orang Melayu sudah mula kurang ajar, sudah mencapai status yang diingini oleh para pemimpin radikal Melayu satu ketika dulu supaya orang Melayu jadi kurang ajar. Ahli-ahli bahasa tentulah tidak suka mendengar kemajuan ini, tetapi itulah hakikatnya. Melayu cepat menjadi kurang ajar setelah fasih berbahasa Inggeris.

Kg. Bahasa Inggeris akhirnya menjadi kebanggaan seluruh negara, sebagai kampung Melayu pertama yang menginggeriskan kehidupan harian mereka, sebagai menyambut seruan para pemimpin warisan Malayan Union supaya orang kampung mengubah nasib mereka dengan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Untuk membalas budi itulah maka orang kampung diberi segala kemudahan yang tidak pernah mereka fikirkan selama ini, yang rupanya datang bergerudum menerpa ke kampung mereka sebaik saja mereka menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian mereka. Tidak lama lagi seorang menteri dari Britain akan melawat Kg. Bahasa Inggeris, membawa sejumlah buku untuk disimpan di perpustakaan rujukan Kg. Bahasa Inggeris.

Khabarnya, menteri British itu akan membawa sekumpulan pakar bahasa untuk mengkaji bagaimana bahasa Inggeris begitu mudah dipelajari oleh orang kampung. Kata satu berita BBC, kerajaan British akan menggunakan model itu untuk menggingeriskan seluruh dunia dalam masa 50 tahun ini, atau kurang dari itu. Ketika itulah para ulama yang terkial-kial mula bercakap Inggeris berasa sangat rugi kerana negara-negara Arab yang kaya dengan minyak itu tidak berminat menggalakkan penggunaan bahasa Arab di kalangan umat Islam. Sekarang para ulama menjadi semakin risau kerana sudah wujud menteri yang tidak mahu perkataan Arab berada dalam bahasa Melayu. Tentu saja menteri itu akan menentang jika bahasa Arab dikembangkan di Malaysia. Kata ahli bahasa Melayu, hanya bahasa Arab saja yang boleh menyelamatkan bahasa Melayu. Tetapi tidak seorang pun percaya pandangan itu ilmiah atau boleh dipercayai kebenarannya.

Sekurang-kurangnya itulah pandangan Lebai Kasim, imam dan khatib masjid Kg. Bahasa Inggeris. Menurut beliau, bahasa Arab tidak perlu dimajukan. Yang penting ialah memajukan bacaan Quran secara berlagu sambil mengadakan peraduan berlagu Quran. Orang Melayu mesti fasih membaca Quran, tetapi tidak perlu memahaminya. Kata beliau, konsep Islam Hadhari sudah mencukupi untuk menjelaskan tamadun Islam kepada umat Melayu yang buta bahasa Arab.

Lagi pula bahasa Arab tidak boleh membunyikan bahasa Melayu. Misalnya “belacan” menjadi “belashan” dalam bahasa Arab. Dalam bahasa Inggeris lebih buruk lagi, kerana diterjemahkan bulat-bulat menjadi “shrimp cake” atau “shrimp paste”. Yang akan menyelamatkan orang Melayu ialah Islam Hadhari, kata Lebai Kasim dengan tegas.

Untuk itu beliau telah dinaikkan pangkat dan gaji menjadi Imam Besar masjid Kg. Bahasa Inggeris. Beliau adalah di antara orang kampung yang amat fasih berbahasa Inggeris dan bahasa Arab. Seorang lagi ialah seorang penternak ayam, yang secara gila-gila bercakap Inggeris loghat Oxford dengan ayam-ayamnya akhirnya bisa bercakap Inggeris seperti juruhebah BBC, tidak seperti orang kampung yang lain-lainnya yang bercakap seperti orang India, Pakistan atau Bangladesh yang menjadi guru mereka. Kata penghulu kampung, beliau akan menerima gelaran Dato’ tidak lama lagi kerana usahanya itu.

Khabarnya, beliau akan dibawa berkeliling Malaysia untuk bercakap Inggeris kepada budak-budak sekolah seluruh negara, juga kepada para kakitangan kerajaan. Siapa sangka seorang penternak ayam yang bercakap dengan ayam tiba-tiba berjaya menjadi seorang penutur bahasa Inggeris yang paling sempurna di negara, berkat kegigihannya percayakan slogan Malaysia Boleh! Kata ahli psikologi dan sosiologi, bahasa Inggeris telah melahirkan tokoh-tokoh besar negara, yang belum lagi berupaya dilakukan oleh bahasa Melayu. Kesimpulan ini memperkuatkan lagi keinginan universiti termaklum untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Kata mereka, jika ayam berupaya meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris seorang penternak ayam, maka lebih mudah lagi mahasiswa menjadi maju dengan berfikir dan menulis dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Mereka akan jadi lebih cerdik, dan akan laku dalam pasaran pekerjaan. Nampaknya kegilaan universiti itu hendak menggunakan bahasa Inggeris akan dipenuhi juga oleh kerajaan yang memang menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris. Orang-orang kerajaan pun sekarang nampak benar tergila-gilakan bahasa Inggeris, sampai ada yang mencadangkan supaya Dewan Bahasa dan Pustaka itu ditukar menjadi Dewan Bahasa dan Pustaka Inggeris.

Ada seorang ahli bahasa yang cerdik bertanya dengan bodoh:

-Jika bahasa Inggeris begitu penting, digalakkan supaya digunakan oleh orang kampung sekalipun untuk memudahkan mereka menerima pelancong, maka di mana hendak ditempatkan bahasa Melayu?

Tidak seorang pun pakar bahasa boleh menjawab pertanyaan bodoh itu. Sehinggalah seorang budak India yang fasih berbahasa Melayu dan menulis karya kreatif dalam bahasa Melayu memberi jawapan yang tepat:

-Tidak jadi masalah. Bahasa Sanskerit sudah mati, tetapi masih hidup dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa-bahasa India di negara India. Bahasa yang mati masih boleh hidup jika perkataannya masih terpakai, walaupun bahasa itu sudah tidak dituturkan lagi. Di mana bahasa Melayu berada? Tentu saja dalam karya-karya sastera dan dalam buku-buku nahu. Masih berguna kerana masih boleh diajar di sekolah-sekolah. Yang mati hanya bahasa Melayu, bukan nahu dan sasteranya.

Orang-orang Melayu yang lebih bodoh tidak dapat menerima hujah itu. Bagaimana bahasa yang mati masih boleh hidup? Pendapat yang gila, mengarut, kata mereka. Akhirnya diadakan satu seminar peringkat antarabangsa untuk membincangkan nasib bahasa Melayu. Kerajaan lepas tangan kerana tidak ada duit, sudah hampir bankerap sekarang. Belanja mengadakan seminar itu diperolehi daripada sebuah badan dakwah Kristian yang masih percaya bahawa bahasa Melayu masih mempunyai kuasa besar untuk mengkristiankan orang Melayu Islam.

Akhirnya seminar nasib bahasa Melayu itu berjaya diadakan di Dewan Besar Kg. Bahasa Inggeris. Majlis penutupnya diadakan di sebuah gereja terbesar di Asia Tenggara yang dibina di Shah Alam, yang telah bersetuju mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa dakwah Kristian di Malaysia. Para pendakwah Kristian ini telah lama sedar bahawa penggunaan bahasa Inggeris telah gagal mengkristiankan orang Melayu Islam.

Selesai. Finished!!
Petaling Jaya,
25/7/2004.

No comments: