Thursday, July 30, 2009

Janji Tun Razak terhadap ISA..

Tun Razak beri jaminan
ISA hanya untuk komunis
oleh Ahmad Tajdid

GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI) akan mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 1 Ogos ini sempena penyerahan memorandum kepada Istana Negara menggesa supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Tanggal 1 Ogos akan datang juga adalah tahun ke-49 ISA diluluskan Parlimen. Apakah tujuan sebenar ISA diwujudkan? Ikuti sedutan ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak Husain ketika Rang Undang-undang ini dibawa ke Dewan Rakyat pada 21 Jun 1960:

" Tuan Yang Dipertua, saya suka hendak terangkan sedikit berkenaan dasar Rang Undang-undang (Keselamatan Dalam Negeri) ini. Seperti Ahli-ahli Yang Berhormat ketahui bahawa Kerajaan bercadang hendak menamatkan darurat yang ada pada ketika sesudah 12 setengah tahun lama-nya iaitu akan tamat pada 31 haribulan Julai. Oleh itu mustahaklah diadakan Rang Undang-undang termasuklah Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Bill.

Seperti yang telah diterangkan, kerap kali bahawa sungguhpun Darurat akan tamat pada 31 haribulan Julai ini, tetapi musuh iaitu pengganas komunis masih lagi ada di negeri kita di antara sempadan Tanah Melayu. Sudah saya terangkan tadi lebih kurang 580 orang lagi pengganas komunis di sempadan Tanah Melayu dan barangkali 90 orang lagi ada dalam negeri Tanah Melayu. Jadi, mustahak-lah kita mengadakan satu undang-undang supaya dapat Kerajaan meneruskan serangan terhadap pengganas-pengganas komunis ini supaya dapat dihapuskan dengan seberapa segera.

Begitu juga oleh sebab musuh masih ada dalam negeri kita yang mana musuh itu disebabkan dan memikirkan yang mereka itu telah kalah dalam peperangan yang akan menjalankan seberapa usaha tenaganya dengan cara meresap subversif hendak menjatuhkan Kerajaan negeri ini dan hendak merosakkan keamanan. Oleh sebab itu, mustahak-lah kita mengadakan undang-undang bagi mencegah atau melawan anasir-anasir subversif itu.

Undang-undang atau Rang Undang-undang yang ada ini bertujuan satu bagi hendak menjalankan peperangan di sempadan antara Tanah Melayu dengan Siam supaya pengganas komunis akan dihapuskan dengan segera. Kedua, hendak mencegah anasir-anasir pengganas komunis yang ada dalam negeri ini yang menjalankan pekerjaan dengan cara meresap atau subversif. "- http://www.lanailestari.blogspot.com/

No comments: